Thursday, March 29, 2012

Pujian Kepada Pelajar Perempuan, Membuatkan Pelajar Lelaki Terdorong Membuat Latihan

Belajar di kala rakan-rakan lain sibuk mengurus dan berlatih aktiviti sempena Hari Usahawan sekolah, memang mengundang rasa malas pelajar. Situasi itu yang berlaku kepada pelajar 5 Omar semalam.

Ketika saya masuk mengajar matapelajaran Tauhid, ramai pelajar kelihatan malas-malas sahaja mahu membuka buku apalagi belajar. Mereka lebih senang bersembang, bermain dan bergurau bersama rakan-rakan di dalam kelas.

Bagi memulakan P&P hari ini (26.03.12), saya mengajak pelajar menyemak jawapan kertas ujian matapelajaran Tauhid tempohari. Meski masih malas-malas, mereka menyemak juga jawapan masing-masing berdasarkan jawapan yang telah dibetulkan.

Seperti biasa, saya menggunakan teknik memuji gaya Nabi Muhammad saw untuk memancing minat mereka belajar (puji + impak). Setiap seorang pelajar saya arahkan membaca satu persatu soalan yang terdapat pada kertas ujian masing-masing. Apabila mereka membaca dengan suara yang jelas, saya akan memuji mereka dengan menyebutkan impaknya.

“Bagus, Ustazah suka dengan bacaan kamu (Pujian). Suara kamu jelas dan terang, semua pelajar dapat mendengarnya.” (Impak)

Kadangkala, saya menyebut, “Bagus! Ustazah kagum dengan bacaan kamu (Pujian). Suara kamu yang kuat memudahkan kawan-kawan kamu menyemak nombor soalan yang sedang kita baca.” (Impak)

Dan apabila mereka dapat memberikan jawapan yang betul daripada soalan yang dibaca, saya akan berkata; “Bagus. Jawapan kamu tepat.”

Hasilnya, mereka berebut-rebut mengangkat tangan mahu membaca soalan meskipun sebenarnya masing-masing telah diperuntukkan seorang satu soalan.

Sebaik selesai sesi menyemak dan memberikan jawapan yang betul kepada pelajar 5 Omar, saya berhasrat menyambung semula pelajaran yang tertangguh sebelum ujian prestasi fasa pertama yang lalu. Namun, reaksi kebanyakan pelajar 5 Omar sangat ketara memperlihatkan tanda-tanda mereka tidak berminat belajar. Jangankan buku teks Tauhid dikeluarkan, mereka lebih selesa bercakap-cakap dengan rakan-rakan dan bersikap acuh tidak acuh kepada arahan saya.

“Baiklah, dahulu kita berhenti pada tajuk Sifat Hayat Allah. Menurut catatan Ustazah, kita sudah selesai membincangkan tajuk Sifat Hayat Allah. Hari ini, kita akan membuat latihan berkenaan tajuk Sifat Hayat Allah.”

“Ustazah, tak payah belajarlah hari ini. Lagipun, bukan semua orang ada.” Celah seorang pelajar.

Sejak ujian prestasi fasa 1 tempohari, ini kali pertama saya menyambung pelajaran yang tertangguh. Memandangkan masa saya mengajar 5 Omar tidak sekerap 5 Ali (hanya dua kali seminggu), hubungan mereka dengan saya tidaklah seakrab pelajar 5 Ali. Sekiranya dengan pelajar 5 Ali, memadai dengan saya memujuk dan merenung lama. Mereka akan segera membuka buku, tetapi ia tidak berlaku dengan pelajar 5 Omar.

“Baiklah, hari ini kita akan buat latihan muka surat 27. Bahagian 1, 2 dan 3.” Kata saya lagi sambil berjalan daripada meja ke meja pelajar.

Sebaik melabuhkan duduk di meja guru, datang Shahrul pelajar yang pernah menerima pujian saya dahulu (boleh baca linknya di sini). Katanya; “Ustazah, buat yang ini sahajalah. Yang ini dan ini tak payahlah (sambil menunjukkan latihan no 2 dan 3 dalam buku teks).”

Saya hanya diam memandang wajah Shahrul. Dia jarang malas melakukan apa sahaja yang disuruh setiap kali subjek saya. Hari ini, dia pula yang meminta supaya latihan diberikan sedikit sahaja. Melihatkan sikapnya itu, saya memikir-mikir, apakah teknik yang Nabi yang boleh digunakan untuk kembali memugar semangat belajarnya dan pelajar 5 Omar yang lain.

Sangat bersyukur kerana pada waktu itu, saya teringat kata-kata Puan Khairulaniza, “Salah satu cara mengubah tingkah laku negatif pelajar A ialah memuji tingkah laku positif pelajar-pelajar lain. Jika pelajar A masuk lambat ke dalam kelas, ketika itu puji pelajar B yang masuk cepat. Jika pelajar A bercakap ketika guru sedang mengajar, ketika itu puji pelajar lain yang diam dan memberi tumpuan kepada guru mengajar. Inshaallah, tingkah laku negatif pelajar A akan berubah tanpa perlu menegur kesalahannya.”

Melihatkan pelajar lelaki 5 Omar masih bising, tidak mengeluarkan buku, dan bersembang-sembang serta malas-malas, saya memuji pelajar perempuan 5 Omar yang sudah pun mula menyalin latihan yang diberikan walaupun mereka juga kelihatan seperti terpaksa.

Pelajar perempuan dipuji kerana terlebih dahulu mengeluarkan buku dan menyalin latihan

“Wah, bagus! Ustazah sangat kagum dengan pelajar perempuan yang khusyuk menyiapkan latihan (Ayat Pujian). Ustazah sangat yakin, apabila semua pelajar menumpukan perhatian menjawab soalan yang diberikan, tentu latihan kamu akan segera siap (Ayat Impak). Oleh kerana sikap mereka yang mengikut kata Ustazah, mari kita berikan tepukan kepada semua pelajar yang telah menyalin latihan.”

Taktik atau teknik yang digunakan berjaya. Seluruh isi kelas memberikan tepukan gemuruh untuk pelajar perempuan. Pelajar lelaki yang tadi masih berdiri dan bercakap-cakap mula membuka buku menyalin latihan, manakala pelajar perempuan terus tekun menyiapkan latihan yang diberikan. =)

Khusyuk! Inilah perubahan drastik pelajar lelaki 5 Omar selepas pujian diberikan kepada pelajar perempuan

Melihatkan pelajar lelaki terdorong khusyuk menyiapkan latihan, sekali lagi saya berkata, “Baiklah, sekiranya tadi ustazah kagum dengan pelajar perempuan yang rajin menyiapkan latihan, sekarang Ustazah sangat kagum dan suka dengan satu kelas yang menyiapkan latihan (Pujian). Ustazah percaya, sekiranya kamu terus beri perhatian membuat latihan, kerja-kerja latihan kamu akan cepat siap dan Ustazah juga akan boleh menandanya cepat (Impak).”

“Mari sama-sama kita berikan tepukan yang paling gemuruh untuk menghargai diri sendiri.” Sekali lagi seisi kelas bergema dengan tepukan yang kuat. Saya tersenyum, memang ajaib. Tidak sampai lima minit, tingkahlaku mereka berubah. Jika sebelum ini, masing-masing kelihatan malas-malas, kini mereka berlumba-lumba menyiapkan latihan. Alhamdulillah.

Shahrul juga turut terdorong menyiapkan latihan selepas pujian dan penghargaan (tepuk tangan) diberikan tanpa memberikan alasan atau minta dikurangkan lagi latihan

Yang tengah ini Hadi pelajar tidak pandai membaca Jawi suatu masa dahulu (baca linknya di sini) Hadi juga tekun menyiapkan latihan. Dari kiri Hafiz, dan dari kanan Haziq

Permandangan daripada belakang kelas 5 Omar. Mereka sangat tekun membuat latihan sehingga tidak sedar gambar mereka disnap.

Inilah hasil pujian mengikut teknik Nabi Muhammad saw (Puji +Impak). Tidak seorang pun bercakap, masing-masing menyiapkan latihan. Alhamdulillah.

Ustazah Siti Khadijah

Wednesday, March 21, 2012

Impak Penggunaan Teknik Nabi, Ustazah Pula Jadi Rebutan

Ustazah tidak rehatkah?” Tanya Abang Ngah yang mahu turun ke kantin sewaktu melihat saya leka menyusun kertas-kertas ujian terakhir Bahasa Arab di meja guru.

Rehat, inshaallah. Sebentar lagi.” Jawab saya pendek. Abang Ngah lalu mengangguk. Dia meneruskan langkah menuju kantin di bawah.

Ustazah, tidak makan?” Tanya Profesor Syahmi pula kepada saya. Barangkali kerana saya tidak berganjak daripada meja guru, membuatkan dia pula mengajukan soalan yang hampir sama dengan Abang Ngah.

Rehat, inshaallah. Sebentar sahaja lagi.” Jawab saya mengulang jawapan yang sama seperti pada Abang Ngah tadi.

Petang hari Jumaat 09 Mac 2012 yang lalu adalah hari ketiga saya mengulang penghargaan makan bersama pelajar 5 Ali. Seperti yang dijanjikan, hari ini saya bakal menghabiskan waktu rehat bersama pelajar perempuan 5 Ali pula.

Ustazah, hari ini Ustazah rehat dengan budak perempuankan?” Soal Nia pula bagi mendapatkan kepastian saya.

Ya, Nia.” Balas saya pendek sambil menganggukkan kepala lalu meneruskan sibuk menyemak nama pelajar yang menghantar kertas jawapan ujian Bahasa Arab. Nia dan beberapa pelajar perempuan lagi tersenyum suka. Beberapa orang pelajar perempuan turun ke kantin membeli makanan. Bagi yang membawa bekal, mereka bersiap sedia mengeluarkan bekalan dari bawah meja dan dari dalam beg sekolah masing-masing.

Barangkali kerana pelajar perempuan agak lambat memenuhkan meja guru dengan bekal yang dibawa dan makanan yang dibeli dari kantin, pelajar lelaki yang sudah berada di dalam kelas berebut-rebut mengelilingi saya. Mengenangkan perjanjian yang telah dibuat semalam, saya berkata kepada pelajar-pelajar lelaki yang sedang berusaha memenuhkan meja, “Hari ini giliran pelajar perempuan.”

Mereka buat tidak endah. Malah, semakin ramai pula yang memenuhi meja guru. Melihatkan meja guru dikelilingi oleh pelajar lelaki, Kak Yong yang baru berjalan sambil membawa bekalannya berkata; “Wei, hari ini giliran kitoranglah.”

Siapa cepat, dia dapatlah. Korang lambat, siapa suruh.” Profesor Syahmi dengan selamba menjawab. Rakan-rakannya yang lain mengiyakan tindakannya. Semakin ditegur, semakin ramai pula yang tanpa segan silu memenuhkan meja guru.

Ustazah, mana aci. Asyik budak lelaki sahaja Ustazah.” Nia yang baru naik dari kantin pula bersuara.

Biarlah. Siapa suruh lambat.” Salahuddin pula menjawab ketidakpuasan hati pelajar perempuan.

Hari ini, Ustazah mahu rehat bersama pelajar perempuan.” Ulang saya sekali lagi.

Pelajar lelaki 5 Ali masih buat tidak endah seperti mereka tidak mendengar apa-apa. Malah, usaha ‘merebutkan ustazah’ masih diteruskan sehingga meja guru benar-benar tiada ruang untuk pelajar perempuan mencelah masuk.

Melihatkan keadaan tersebut, saya berkata lagi, “Baiklah, sekiranya kamu semua tidak mahu beralah, Ustazah boleh bangun untuk pergi kepada pelajar perempuan.”

Tanpa diduga, berlakulah aksi spontan yang dilakukan pelajar lelaki 5 Ali demi mempertahankan Ustazah mereka daripada menjadi rebutan pelajar perempuan.

Wei, jom kita kepung Ustazah.”
Ya, cepat. Mari kita kepung Ustazah.”
Jangan bagi Ustazah laluan untuk bangun.”

Seperti sedang melakukan aktiviti pelajaran dalam kumpulan, begitulah kesungguhan kerjasama mereka mempertahankan Ustazah mereka daripada menjadi rebutan pelajar perempuan. Memang tiada ruang langsung untuk saya bangun, apalagi berdiri setelah dikepung mereka.

Ustazah, Ustazah sudah janji semalam.” Nia mengingatkan kembali janji yang dibuat pada mereka semalam.

Salah koranglah. Siapa suruh lambat?”

Bagi meleraikan perang yang sedang meletus, saya bersuara, “Orang yang tidak memenuhi janji adalah orang munafik. Nabi melarang kita berjanji sekiranya ia tidak boleh ditepati. Ustazah sudah berjanji, dan Ustazah harus tepati janji tersebut kerana Ustazah tidak mahu menjadi orang munafik. Sudah dua hari Ustazah rehat bersama pelajar lelaki, hari ini Ustazah mahu rehat bersama pelajar perempuan pula.”

Mereka langsung bubar daripada meja guru sambil berkata, “Ustazah tidak adil!”

*Adoi, saya pula dikatakan tidak adil. Sekiranya badan Ustazah mereka ini boleh dikerat dua, akan saya kerat untuk setiap daripada mereka.

Nia yang begitu gembira apabila hasratnya untuk rehat dan makan bersama ustazah dipenuhi
 
Ustazah Siti Khadijah 

Friday, March 16, 2012

Penghargaan Dibalas Penghargaan

(07 Mac 2012-08 Mac 2012)
Semuanya kerana sepotong ayat yang diucapkan oleh seorang rakan usrah minggu lalu. Entri ‘Penghargaan Dibalas Penghargaan’ ini berlaku tidak dirancang. Dalam saya memikir-mikirkan ucapan, ‘Untuk kita menjadi seorang pemimpin yang istiqamah, pinjamkan telinga kepada orang bawah’, saya temukan solusi untuk lebih karib dengan pelajar 5 Ali dan membalas penghargaan mereka terhadap saya semalam (boleh baca di sini) juga penghargaan sebelum-sebelum ini. Alhamdulillah.

Sebelum entri kali ini saya kisahkan dengan lebih lanjut, izinkan saya menerangkan terlebih dahulu situasi sekolah tempat saya menumpang berkhidmat. Sekolah agama tempat saya mengajar kini adalah sebuah sekolah yang agak dhaif dan serba kekurangan. Ia bukan sebagaimana sekolah-sekolah yang pernah kalian lihat di kaca tv, akhbar,  internet atau di alam realiti.

Sekolah agama tempat saya berkhidmat kini, adalah sebuah sekolah yang tidak memiliki tanah sendiri. Pihak pengurusan sekolah terpaksa menyewa beberapa blok bangunan rumah kedai untuk dijadikan pejabat, kelas-kelas dan bilik guru. Selama hampir dua belas tahun pihak pengurusan sekolah berjuang untuk mendapatkan tanah bagi mendirikan sebuah sekolah yang sempurna, namun masih juga belum tertunai hasrat dan keinginan mereka. Sekiranya tidak keterlaluan, mungkin boleh saya katakan, sekolah tempat saya berkhidmat kini adalah tidak jauh berbeza dengan sekolah SD Muhammadiah Belitong seperti dalam filem Laskar Pelangi di abad millenium ini.

Lantaran kerana serba kekurangan, sekolah tidak berkemampuan untuk memiliki surau, dewan ataupun kantin yang sempurna seperti di sekolah-sekolah lain. Setiap kali waktu solat, pelajar diasingkan mengikut tahun untuk bergilir menggunakan surau. Pelajar tahap dua; pelajar tahun lima solat di surau, manakala pelajar tahun empat pula solat di dewan (ini menurut pemerhatian saya selama sebulan lebih berkhidmat). Begitulah juga dengan kantin, kebanyakan pelajar terpaksa menjadikan kelas sebagai tempat rehat atau kantin mereka. Lantaran kerana itu, janganlah kalian pelik mengapa dalam entri yang bakal saya ceritakan ini, kebanyakan pelajar menghabiskan waktu rehat di dalam kelas.

Baiklah, berbalik kepada tajuk asal entri ini ‘Penghargaan Dibalas Penghargaan’. Kisahnya bermula sebaik ujian matapelajaran Akhlak tamat. Petang itu entah mengapa saya merasa sangat malas mahu berehat di bilik guru. Barangkali kerana memikirkan yang saya harus turun naik tangga ke bilik guru, dan harus turun naik tangga kembali untuk ke kelas 5 Ali (selepas waktu rehat), saya memutuskan untuk terus berada di dalam kelas 5 Ali.

Ketika itu, tidak pula saya terfikir mahu makan petang. Hanya tangan dibiarkan menanda kertas-kertas ujian matapelajaran Feqah semalam dan memerhatikan gelagat pelajar-pelajar 5 Ali yang bersedia untuk menikmati waktu rehat mereka. Ada pelajar yang membawa bekal sendiri, dan ada juga pelajar yang turun ke kantin membeli makanan, kemudian naik kembali ke kelas membawa makanan untuk dimakan.

Dalam leka memerhati pelajar-pelajar 5 Ali, ucapan rakan usrah tadi masih bermain-main di fikiran. Melihatkan Al-Fateh dan Salahuddin membuka bekal yang dibawa, saya tersenyum. Mereka juga tersenyum-senyum memandang saya, “Ustazah, jom makan.” Pelawa mereka, entahkan betul mahu mengajak atau sekadar ajak-ajak ayam tidaklah pula saya pasti.

Melihatkan gelagat mereka yang terus tersenyum-senyum apabila saya mengangguk, saya teringat penghargaan-penghargaan manis pelajar 5 Ali semalam dan sebelum-sebelum ini. Terfikir-fikir juga maksud daripada ucapan rakan seusrah tempohari. Lalu potongan ayat tersebut saya ranumkan dengan makna sepotong ayat Al-Quran daripada surah An-Nisak ayat ke 86 yang bermaksud; ‘Dan apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah penghormatan tersebut sepadan dengannya. Sungguh, Allah memperhitungkan segala sesuatu.’ Alhamdulillah, saya mula memahami maksud ucapan tempohari.

'Apa salahnya sesekali menghargai mereka. Bukankah selain pujian, makan bersama juga merupakan satu sunah Nabi saw?' Saya senyum lagi memandang pelajar 5 Ali yang baru naik ke kelas. Tanpa berlengah, saya turun ke kantin membeli makanan.

Sebaik berada kembali di meja guru, saya berkata; “Siapa mahu teman Ustazah makan?”

  























Hari pertama makan bersama pelajar lelaki 5 Ali
Mendengarkan pertanyaan saya, pelajar 5 Ali segera menjawab, “Saya.”
“Saya Ustazah.”

Ada juga yang tidak menjawab, tetapi terus mengangkat makanannya ke meja guru. Aqif dan Edry yang sudah menjamah bekalannya sedikit, segera bangun sambil berjalan laju ke meja guru. Zack yang ketika itu berdiri di hadapan meja guru, hanya memandang kerana di tangan dan mejanya tiada makanan untuk dimakan.

Melihatkan keadaan Zack yang memandang seperti orang terkulat-kulat, saya berkata kepada Edry, “Edry, apakah boleh Ustazah pinjam penutup Tupperware kamu ini untuk Ustazah letakkan makanan supaya Zack boleh makan bersama dengan kita?”

Setelah mendapat keizinan Edry, makanan yang diletakkan di atas penutup Tupperware tadi saya berikan kepada Zack. Dia duduk di meja guru, makan bersama saya dan pelajar 5 Ali yang lain. Sewaktu makan, kami berkongsi pelbagai cerita. Setiap kali ada yang lucu dalam cerita-cerita yang dikongsikan, kami ketawa bersama. Ketika ini, saya mula mengetahui watak pelajar dengan lebih dekat.
Edry Abdul Halim yang ramah bercerita. Ada muka Tuanku Abdul Rahman tak?

Kata Edry, “Ustazah, dekat sekolah kebangsaan, ramai orang kata saya dah kahwin dengan Lisa Suriani.”

Saya senyum sahaja mendengarnya. “Habis, kamu jawab apa?”

“Saya buat macam Ustazah selalu sebut. Diorang ejek saya, nanti lama-lama diorang yang terbalik kahwin dengan Lisa Suriani.” Jawab Edry dengan panjang lebar.

Saya dan pelajar 5 Ali yang lain ketawa mendengar ceritanya. Anak-anak ini memang kelakar dan lucu. Ceritanya sentiasa mencuit hati.

“Masa dulu, cikgu panggil saya Tuanku Abdul Rahman.” Cerita Edry lagi.

“Tuanku Abdul Rahman? Apakah sebabnya kamu dipanggil dengan gelaran itu?" Tanya saya sekadar mahu mendapatkan kepastian.

“Sebab dahulu saya pernah berlakon jadi Tuanku Abdul Rahman.” Jawabnya lagi.

“Ooo, baguslah. Bukankah Tuanku Abdul Rahman itu pernah menjadi perdana menteri Malaysia. Mana tahu suatu hari nanti, kamu pula yang akan menjadi perdana menteri Malaysia.” Kata saya memujuk agar dia terus tersenyum dan tidak berasa sedih dengan panggilan-panggilan yang tidak disukainya.

Itu antara peristiwa yang sangat saya ingat pada hari pertama kami makan bersama. Peristiwa makan bersama ini berlangsung selama tiga hari. Hari pertama dan kedua bersama pelajar lelaki 5 Ali. Manakala pada hari ketiga giliran pelajar perempuan 5 Ali.










Makan bersama dengan indahnya. *Jurufoto adalah Al-Fateh






Pada hari kedua kami menghabiskan waktu rehat bersama, berlaku suatu peristiwa yang apabila dikenang-kenang terasa lucu, tetapi saat mengalaminya hati kecil saya tersentuh.

Ceritanya begini, pada waktu rehat (08 Mac 2012) saya bercadang mahu berehat bersama pelajar perempuan 5 Ali pula. Tetapi meja guru terlebih dahulu dikerumuni pelajar lelaki. Saya tidak sampai hati mahu menyuruh mereka pergi. Ketika itu, seorang pelajar perempuan berkata; “Ustazah, kami mahu juga rasa makan dan rehat dengan Ustazah. Asyik budak lelaki sahaja.”

Allah, serba salah dibuatnya. Bagi melegakan rasa tidak puas hatinya, saya berkata, “Inshaallah, esok Ustazah akan makan bersama pelajar perempuan pula. Ustazah janji.”
“Yeay!” Pelajar perempuan bersorak beramai-ramai.

Ketika kami (saya dan pelajar 5 Ali) memenuhkan meja, Salahuddin juga turut duduk di meja guru. Tetapi, kerana dia tidak mempunyai makanan, rakan-rakanya menyuruhnya bangun meninggalkan meja guru. Saya pula ketika itu, benar-benar tidak perasan  akan peristiwa itu. Hanya menyedari apabila ada seorang pelajar perempuan menjerit, “Ustazah, Salahuddin menangis di belakang!”

Saya hairan, masa bila pula si Salahuddin ke belakang. Tadi elok-elok di sebelah saya. Aik, tiba-tiba hilang? Apabila memandang ke belakang, memang benar Salahuddin sedang menangis. Esakannya kuat sekali sehingga tersedu-sedan. Dia duduk di tempatnya dengan membalikkan badan memandang belakang kelas.

Allah, sayu rasanya. Mana tidaknya, dia seorang pelajar yang sering membuatkan saya tersenyum dan ketawa dengan gelagat-gelagatnya. Belum pernah sekalipun dia membuatkan saya betul-betul marah dengan perangainya. Namun kali ini, dia menangis tersedu-sedan sehingga menitiskan airmata.

Syukur juga ketika itu Al-Fateh baru naik dari kantin langsung ke meja guru. Sebaik Al-Fateh memenuhkan ruang kosong meja, saya berkata kepadanya, “Fateh, boleh tolong Ustazah? Salahuddin menangis, kamu boleh tolong pujuk dia?”

Sebaik mendengar kata-kata saya, Al-Fateh segera bangun. Pinggan berisi mihun Tomyam yang dibeli di kantin, turut diangkatnya. Katanya, “Tidak mengapalah Ustazah, saya makan dibelakang sahaja bersama Fatah.”

Tidak sampai hati melihat mereka berdua, saya lalu bangun menyusul Al-Fateh. Ketika sampai di tempat duduk Salahuddin, terdengar suara Al-Fateh, “Fatah, jomlah kau makan dengan aku.”
“Tak nak. Aku tak nak.” Jawab Salahuddin. Dia masih teresak-esak. Matanya merah baru lepas menangis. Sangat sayu melihatnya.

Saya lalu menghadap wajah Salahuddin. “Salahuddin, mari rehat bersama Ustazah.” Saya berusaha memujuk.

“Tak nak. Saya tidak ada makanan.” Jawab Salahuddin dalam tangisnya yang baru mahu reda.

“Kau kongsi makanan dengan aku, Fatah.” Fateh juga masih berusaha memujuk.

“Tak nak. Aku tak suka mee.” Jawab Salahuddin lagi.

“Baiklah, sekiranya kamu tak suka mee atau mihun tidak mengapa. Ustazah ada nasi lauk ayam. Jom makan dengan Ustazah. Ustazah tak habis makan seorang.” Pujuk saya lagi.

Hari kedua. Salahuddin sudah mula tersenyum dan berkongsi nasi dengan saya
Tangan Salahuddin saya pegang dan perlahan-lahan membawanya ke meja guru. Alhamdulillah, dia menurut tanpa membantah. Al-Fateh juga turut mengikut kami. Nasi bungkus bekalan suami, saya bahagikan bersama Salahuddin dan seorang lagi pelajar 5 Ali. Syukur pada Allah, makan berjemaah kami terasa indah sekali petang hari kedua itu. Semoga sentuhan 'meminjamkan telinga' dan makan bersama akan membuatkan pelajar-pelajar 5 Ali merasai penghargaan kasih sayang gurunya yang kerdil ini.

*Peristiwa hari ketiga makan bersama pelajar perempuan 5 Ali juga mempunyai suatu peristiwa lucu. Inshaallah, nanti sahaja akan saya ceritakan di lain entri. =)

Hari pertama. Abang Ngah, Al-Fateh dan Salahuddin. Kasihan mereka. Oleh kerana meja guru tinggi mereka harus bangun ketika mahu menyuap makanan. =)

Hari kedua; Zack, Aiman dan Edry

Ustazah Siti Khadijah

Thursday, March 15, 2012

Teguran Mengikut Cara Nabi Muhammad saw

Ini bukan entri hasil eksperimen penggunaan teknik Nabi Muhammad saw yang saya gunakan seperti biasa mendorong pelajar sebelum ini. Ini entri hasil pembacaan ulangkaji saya di blog Tim Hadith Psikologi yang mengkaji hadith-hadith Nabi Muhammad saw (boleh baca di sini)


Baru sekejap tadi saya mengulangkaji hadith-hadith di blog Tim Hadith Psikologi. Sebelum ini hanya membaca sepintas lalu. Tetapi tadi membaca dengan niat mahu lebih memahami dan mengaplikasi dalam hidup sehari-hari. Pembacaan terhenti pada hadith di bawah ini. Saya membacanya berulangkali. Semakin dibaca, semakin terasa kerdilnya diri. 






Benar, kadangkala kesilapan kita dalam menegur perbuatan buruk seseorang lebih kepada ruang terbuka seperti di Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya. Sedangkan Nabi Muhammad saw mengajar, teguran harus terus dinyatakan kepada si pelaku kesalahan, bukan diumumkan di ruang terbuka atau juga melalui perantaraan.



Saya merasakan, amat perlu analisis hadith ini dikongsi di blog ini. Sungguh saya tidak dapat menahan airmata ketika menuliskan entri ini. Barangkali, ini teguran Allah kepada saya. Moga dengan perkongsian ini akan membuatkan kita benar-benar mengerti mengapa sirah mengatakan 'Indahnya Akhlak Nabi saw'. Semoga juga, ia bermanfaat dan memberi kita peluang membetulkan kesalahan.

Gambar hiasan yang diambil dari internet

Asma binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang berada, waktu itu Asma memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah dan telapak tangannya. - catatan ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Abu Dawud.

1. Memakai pakaian yang diperbuat daripada kain nipis adalah kesalahan teknikal. Ia bukan kesalahan moral.

2. Asma adalah seorang perempuan yang baik akhlak atau moralnya. Hanya sahaja kain yang menjadi bahan bajunya itu nipis. Maka penyelesaiannya adalah dengan cara Nabi Muhammad memberitahu dia bahawa dia tidak boleh memakai pakaian yang nipis.

2. Hadith ini menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menegur perempuan yang memakai pakaian yang menampakkan aurat, yakni bahagian badannya yang perlu ditutup.

i. Nabi Muhammad menegur perempuan itu secara langsung, maknanya kata-kata teguran diucapkan terus kepada perempuan yang berkenaan sahaja. Kerana Asma yang memakai pakaian daripada kain nipis maka kepada Asma sahaja teguran itu diberikan.

ii. Teguran tidak boleh diucapkan secara tidak langsung, di mana perempuan lain yang melakukan kesalahan tetapi teguran itu diucapkan kepada perempuan-perempuan lain, umpamanya Asma yang memakai baju nipis tetapi Nabi Muhammad bercakap berkenaan baju nipis kepada Siti Aisyah, Fatimah, Habibah dan lain, bukan kepada Asma.

iii. Nabi Muhammad tidak mengirimkan teguran melalui orang perantaraan, ertinya disebabkan Asma yang melakukan kesalahan itu, maka Nabi Muhammad bercakap terus kepada Asma, bukannya menyuruh Aisyah supaya menyampaikan tegurannya kepada Asma.

iv. Teguran terhadap baju Asma itu tidak diucapkan oleh Nabi Muhammad di khalayak ramai secara umum, seperti dalam ceramah, dalam blog ataupun dalam Facebook.

v. Teguran Nabi Muhammad kepada Asma itu tidak diucapkan dalam bentuk sindiran. Contoh ayat-ayat sindiran:


* "Buat apa memakai baju, kalau kita dapat tengok bayangan tubuhnya." (SALAH)

* "Ada perempuan yang menutup aurat tetapi sebenarnya dia membalut auratnya." (SALAH)

* "Sesetengah perempuan memakai tudung tetapi jambulnya terjulur." (SALAH)

* "Bagi sesetengah perempuan, tudung adalah perhiasan yang diletakkan di kepalanya." (SALAH)



3. Kesalahan tidak menutupi aurat dengan sempurna adalah jenis kesalahan personal yang tidak dikenakan hukuman di dunia, kerana hukumannya adalah di akhirat. Ia seperti kesalahan-kesalahan mengumpat, membuang masa, tidak menepati janji dan lain-lain.

4. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada Asma adalah memberi pendidikan, ataupun istilahnya tarbiyah.

5. Apabila menegur baju Asma yang nipis, bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad semasa mendidik Asma adalah bahasa teknikal. ~Sumber asal blog Analisis Hadith Psikologi

"Wahai Allah, ampuni kami!" 

*Bercadang menulis entri lain, lain pula yang dipost. Tidak mengapalah, semoga ini memberi manfaat.

Ustazah Siti Khadijah

Tuesday, March 13, 2012

Hari Menduduki Ujian Hari Mereka Memberi Penghargaan


Ceritanya bermula apabila seorang pelajar perempuan memberikan hadiah kepada gurunya selepas pulang daripada bercuti, disusuli pula oleh pakatan pelajar tahun 5 Ali menulis penghargaan sayang di papan putih, dan seterusnya berakhir dengan tindakan dua orang pelajar yang bertindak menjaga solat di dalam kelas tanpa disuruh. Segalanya adalah penghargaan manis untuk gurunya yang satu ini. Kisahnya bermula begini…

Tengahari Selasa minggu lepas, saya mengatur langkah memasuki kelas 5 Ali. Minggu ini (06 Mac – 09 Mac 2012), merupakan minggu semua pelajar menduduki ujian prestasi fasa pertama di sekolah. Semua guru kelas diarahkan supaya menjaga kelas masing-masing sepanjang tempoh ujian berlangsung. Sebaik selesai pelajar memberi salam, saya perasan ada seorang pelajar perempuan tersenyum-senyum memandang saya daripada tempat duduknya. Saya membalas senyumannya seikhlas mungkin. Dia senyum makin lebar. Risau pula dibuatnya, mengapa dengan anak ini? Tanya saya sendiri.

Bagi mengelakkan daripada terus berprasangka, saya menjawab salam pelajar dan berkata, “Baiklah, untuk lebih memberkati ujian yang bakal kita duduki sebentar lagi,  mari kita menadah tangan berdoa supaya Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya supaya kita mudah menjawab kertas-kertas ujian hari ini.” Semua pelajar menadah tangan dan berdoa dengan begitu bersemangat sekali. Saya seluruhi wajah anak-anak 5 Ali di hadapan satu-persatu. Sampai sahaja pada pelajar perempuan tadi, dia memandang saya sambil tersenyum-senyum lagi.

“Nia, apakah ada sesuatu yang tidak kena di wajah Ustazah sehingga kamu memandang Ustazah pelik sebegitu?” Mahu sahaja saya ajukan soalan itu kepada pelajar perempuan tersebut. Namun, belum pun sempat ia terlantun, Nia sudah berjalan daripada tempat duduknya menghala ke meja guru. Dia masih tersenyum-senyum. Malah senyumannya kelihatan semakin manis apabila dirinya menghampiri saya.

“Ustazah.” Nia memulakan bicara malu-malu. Senyumnya masih tidak lekang daripada bibir.

“Ya, Nia. Apakah yang sedang mengganggu kamu sehingga kamu datang menemui Ustazah ini?” Tanya saya tenang, meskipun sebenarnya saya sangat ingin mengetahui apakah yang menganggu Nia sehingga dia tidak jemu tersenyum setiap kali bertentang mata dengan saya hari ini.

“Mmm. Saya..saya.” Nia menyambung bicara yang masih malu-malu. Kali ini suaranya tergagap-gagap.

Saya memandang Nia. Seulas senyum dihadiahkan buat Nia yang masih kelihatan malu-malu meneruskan bicaranya. “Cakaplah. Ada apa yang boleh Ustazah bantu kamu sebelum kertas ujian pertama hari ini dimulakan?”

“Sebenarnya, saya.. saya.” Bicaranya terhenti sekali lagi. Hujung tudungnya dipegang, lalu dibawa ke muka. Dia menutup mukanya. Barangkali kerana malu sehingga tidak sedar dia sedang melindungi wajahnya ketika bercakap dengan saya.

Saya makin bingung. Anak ini, sebenarnya kenapa? Lalu, tangan Nia saya capai untuk mengalihkan hujung tudung yang menutupi wajahnya. Setelah itu, saya menggenggam tangannya. “Okey, sekarang cakap!” Saya memberi arahan.

“Sebenarnya, saya mahu bagi Ustazah hadiah.” Jawab Nia yang masih lagi malu-malu. Mukanya sudah sedikit kemerahan.

“Hadiah?”  Saya cuba mengingat, apakah ada tarikh-tarikh penting hari ini. Hari lahir saya bulan lima, ini baru bulan tiga. Hari guru? Bukankah hari guru juga bulan lima? Musykil dengan kata-kata Nia tadi, saya bertanya kembali.

“Boleh Ustazah tahu, hadiah sempena apa?”

“Cuti Sabtu Ahad tempohari, saya ikut keluarga bercuti. Semasa berjalan-jalan, saya teringatkan Ustazah. Lalu saya membeli hadiah ini untuk diberikan kepada Ustazah.” Terang Nia sambil meletakkan satu bungkusan plastik kecil di hadapan saya.

“Oh, begitu rupanya. Patutlah tersenyum dari tadi dan malu-malu mahu memberitahu.” Jawab saya pula. =)

Bungkusan kecil pemberian Nia saya buka ketika itu juga. Sebaik terlihat isinya,  saya berkata, “Wah, cantik! Ustazah suka hadiah pemberian kamu ini. Terima kasih kerana memberikan Ustazah hadiah ini. Allah sahaja yang akan dapat membalas kebaikan hati kamu. Ustazah tahu kamu seorang pelajar yang baik, Ustazah akan mendoakan supaya kamu lulus dengan cemerlang dalam ujian nanti.” Nia tersenyum suka mendengar kata-kata saya. Setelah menjawab terima kasih saya, dia berlalu ke tempat duduknya dalam keadaan seperti tadi.

Kali ini melihat senyuman Nia, membuatkan saya pula ikut tersenyum-senyum dan terfikir-fikir. Anak-anak kecil yang masih belum sampai umur (baligh) selalu tulus. Mereka tidak pandai berbohong. Syukur dan pujian untuk Allah swt kerana mengizinkan ingatan Nia terbang terhadap gurunya ini di tengah keseronokan bercuti bersama keluarganya. Selepas itu, saya meneruskan sesi ujian matapelajaran Feqah untuk pelajar 5 Ali.

Selepas waktu rehat, pelajar 5 Ali menduduki ujian matapelajaran Al-Quran pula. Bagi ujian mata pelajaran Al-Quran, semua pelajar hanya diuji secara lisan berdasarkan surah-surah yang dihafal (untuk pemarkahan bahagian hafazan) dan membaca surah pilihan (untuk pemarkahan tilawah). Memandangkan masa selepas rehat agak singkat, saya memulakan ujian Al-Quran lebih awal daripada masa yang telah ditetapkan. Seorang demi seorang pelajar dipanggil namanya untuk diuji bacaan tilawah dan hafazan.

Sewaktu ujian masih berlangsung, datang seorang pelajar perempuan kepada saya. Katanya, “Ustazah, Ustazah tidak tukar matapelajaran di papan putih.”

“Oh, ya! Ustazah terlupa. Boleh kamu tolong Ustazah tukarkan matapelajaran dan masa ujian di papan putih tersebut?” Tanya saya kepadanya.

“Boleh!” Jawab beliau dengan gembira sekali.

Memandangkan masa sudah semakin singkat dan pelajar pula masih ramai yang belum menduduki ujian Al-Quran, saya tidak pula melihat tulisan pelajar yang membantu menuliskan matapelajaran dan masa di papan putih. Saya teruskan kerja menyemak bacaan hafazan dan tilawah pelajar. Barangkali kerana kelas yang terlalu bising, dan suara pelajar yang sedang menduduki ujian tidak dapat didengari, saya meninggikan suara menyuruh pelajar-pelajar lain diam. Mereka terdiam mendengar suara saya. Kelas 5 Ali sunyi sekali. Kalau ada jarum piniti yang jatuh, pasti dapat didengari saat itu.

Memang saya jarang marah (betul-betul) di dalam kelas. Kebiasaannya kalau pun marah, hanya acah-acah atau olok-olok sahaja. Kali ini, mereka benar-benar terdiam. Saya pula yang rasa bersalah.

Bagi kembali mengawal situasi, saya memandang papan putih yang telah ditulis pelajar tadi. Hampir sahaja menitik airmata apabila melihat tulisan pelajar tadi. Selain tulisan matapelajaran dan masa ujian yang telah dibetulkan, ada beberapa tulisan lain di samping tulisan-tulisan tersebut. 

“Kami sayang Ustazah Khadijah.”
“We always love you teacher Siti Khadijah.”
“ I love u.”

Allah, benar-benar rasa bersalah dan berdosa saat itu. Rupanya mereka bising kerana berpakat mahu meluahkan penghargaan sayang kepada saya. Saya pula memarahi mereka hanya kerana merasa terganggu dengan suara mereka yang mengganggu perjalanan ujian Al-Quran petang itu. 

Akhirnya saya berkata, “Ustazah suka dan gembira dengan tulisan di papan putih ini. Terima kasih kerana menyayangi Ustazah. Ustazah juga sayangkan kamu semua. Ustazah akan doakan semoga kamu semua akan lulus dengan cemerlang.” Saya senyum sambil berdoa mudah-mudahan mereka tidak terasa hati dengan tindakan saya memarahi mereka tadi. 

Syukur, alhamdulillah. Pelajar 5 Ali juga tersenyum-senyum mendengar kata-kata saya. Kelas telah kembali kepada situasi biasa. Mereka meneruskan aktiviti bebas mereka, saya pula kembali ke meja guru meneruskan kerja menyemak bacaan hafazan dan tilawah pelajar yang masih belum selesai.

Petang itu apabila diberitahu yang semua pelajar harus solat Asar di rumah, Salahuddin datang ke meja saya. Berkali-kali dia bertanya kepada saya, “Ustazah, boleh saya solat sambil duduk? Perut saya sakit.”
“Boleh, Salahuddin. Tetapi, menurut ustazah, adalah lebih baik kamu solat di rumah sahaja. Sekarang, kamu pergi berehat di tempat kamu.”

Selepas itu, saya kembali menyemak bacaan hafazan dan tilawah pelajar yang masih berbaki beberapa orang lagi. Baru sahaja pelajar terakhir menyudahkan bacaan, terdengar pula jeritan seorang pelajar perempuan.

“Ustazah, Awang (Al-Fateh) dengan Fadhirul (Abang Ngah) solat di dalam kelas!”
Saya melihat daripada jauh ke belakang kelas. Memang Al-Fateh dan Abang Ngah sedang menunaikan solat Asar di dalam kelas. Patutlah sebentar tadi mereka berdua meminta izin untuk ke tandas. Subhanallah! Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan ketika itu hanyalah tangan yang bertindak mengambil foto-foto mereka. Sungguh, ini adalah satu bentuk penghargaan yang paling istimewa untuk ustazah mereka.

Nia yang malu-malu ketika mahu memberikan hadiah kepada saya sedang menduduki ujian Al-Quran. Tukang ambil gambar adalah Al-Fateh.

Inilah hadiah comel pemberian Nia yang telah saya lekatkan di peti sejuk rumah =)


Suasana hari pertama pelajar 5 Ali menduduki ujian

Pemandangan daripada belakang kelas 5 Ali

Sebahagian pelajar 5 Ali sedang khusyuk menjawab soalan ujian.

Antara tulisan penghargaan sayang mereka kepada saya. Ejaan ustazah pun salah (ustzah). Hehehe.

Lagi pakatan penghargaan sayang daripada pelajar 5 Ali. 

Penghargaan paling istimewa di hari pertama kelas 5 Ali menduduki ujian. Sangat damai dan tenang setiap kali menatap foto ini.

Meski hanya beralaskan kain samping sekolah, mereka cukup amanah menjaga perintah Allah. Si cilik yang sedang duduk dan nampak kakinya terjuntai di dalam gambar pula adalah Salahuddin yang sedang menahan sakit perut. Berkali-kali beliau bertanya kepada saya, “Ustazah, boleh saya solat sambil duduk? Perut saya sakit.”

Kak Yong bersedia mahu menjawab soalan Hafazan

Abang Ngah sedang menduduki ujian tilawah Al-Quran

Boboi ketika menduduki ujian Hafazan

Syafiq Iqram sedang menduduki ujian tilawah Al-Quran. Ada cerita mengenai pelajar ini. Inshaallah, lain kali akan saya tuliskan mengenainya.

Ini pula Edry Abdul Halim yang rajin membantu saya membacakan nama sebenar pelajar 5 Ali untuk proses pemarkahan ujian Al-Quran. (Gambarnya ada bulatan putih kerana kesilapan kamera).

Mimi sedang menduduki ujian Al-Quran. Janganlah diperhatikan gambar gurunya, ia memang sengaja dikaburkan.

Ini pula Profesor Syahmi. Cerita mengenainya pernah ditulis di link ini suatu ketika dahulu.

Inilah Al-Fateh yang selalu menjadi jurufoto entri-enti blog ini tanpa disuruh. Entah masa bila gambar ini diambil, saya tidak perasan. Saya hanya diberitahu Edry begini, "Ustazah, yang gambar Awang sandar dekat ustazah itu, sebenarnya tak kena pun ustazah. Awang duduk jauh. Dalam gambar saja nampak dekat."


Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...