Tuesday, January 22, 2013

Apabila Pelajar Hilang Semangat dan Fokus, Beginilah Cara Menaikkan Self-Esteem Mereka

“Susahlah cikgu, saya sudah tidak tahu mahu buat apa.”

"Yalah, cikgu. Kitaorang sudah tak ada idea."

“Cikgu, tak seronoklah buat benda ini. Bukan dapat apa pun. Kita buat kerja sendiri sahajalah.”

“Cikgu janganlah tengok. Kami malu.”

“Cikgu, tengok! Dia buat roket cikgu.”

Inilah respon pelajar ketika saya meronda-ronda di dalam kelas 5 Dedikasi selepas mereka memberi salam sebentar tadi. Pelajar-pelajar 5 Dedikasi sudah hilang semangat mahu meneruskan aktiviti Hasil Kreatif sempena Program Maju Diri pada hari tersebut.

Memandangkan aktiviti yang berlangsung ketika itu adalah aktiviti Hasil Kreatif, setiap kumpulan yang telah dibekalkan dengan beberapa keping kertas putih bersaiz A4 harus menghasilkan seberapa banyak hasil kreatif dengan menggunakan kertas putih tersebut. Kumpulan pelajar yang paling banyak mencipta hasil kreatif menggunakan putih akan dikira sebagai pemenang.

Berdasarkan pengalaman mengaplikasi Teknik Nabi Muhammad, apabila seorang pelajar tidak bersemangat atau kurang tumpuan terhadap pelajaran, saya sedia maklum bahawa self-esteem pelajar berada di tahap yang rendah. Kerana itu, mereka tidak mempunyai keyakinan kepada diri sendiri untuk mendorong diri mereka agar tetap belajar atau meneruskan kerja -kerja yang diarahkan guru. Hal sebegini boleh diselamatkan dengan aplikasi Teknik Nabi Muhammad.

Bagi kembali menaikkan self-esteem pelajar-pelajar 5 Dedikasi, saya tidak melakukan perkara-perkara berikut;
  • Saya tidak memarahi mereka dengan berkata, “Kamu ini bagaimana? Dari tadi guru kamu masuk menjalankan aktiviti, baru satu hasil kreatif kamu?” (Salah)
  • Saya tidak kritik mereka dengan berkata, “Itulah, lain kali guru mengajar pasang telinga. Lihat dan dengar bagaimana guru menerangkan. Barulah kamu faham dan tahu apa yang bakal kamu hasilkan. Ini tidak, setengah jam guru kamu berada di dalam kelas kamu tidak dapat apa-apa manfaat.” (Salah)
  • Saya tidak menyiasat mereka dengan berkata, “Setengah jam pertama tadi, apa yang kamu buat? Sehingga sekarang ada kumpulan yang langsung tidak membuat hasil kreatif? Kamu main ya?” (Salah)

Sebaliknya, saya bina keyakinan mereka dengan menaikkan self-esteem pelajar-pelajar yang sudah hampir padam. Saya cari kebaikan yang ada kepada pelajar-pelajar 5 Dedikasi. Sebaik menemui kebaikan mereka, saya puji dan dorong menggunakan Teknik Nabi Muhammad.

Sewaktu melintasi kumpulan pelajar yang masih duduk di dalam kumpulan sambil memegang kertas-kertas putih, saya puji mereka menggunakan pujian gaya Nabi Muhammad.



“Wah, cikgu kagum pada kerjasama yang ditunjukkan oleh kumpulan ini. Walaupun mereka masih belum mempunyai hasil kreatif yang benar-benar siap, mereka tetap berusaha dengan memikirkan apakan hasil-hasil yang dapat dicipta menggunakan kertas putih di tangan mereka. Orang yang tetap berusaha memikir sudah pun diberi pahala oleh Allah walaupun hasil kerjanya belum siap. Allah suka pada orang yang tidak putus asa.”

Kumpulan pelajar yang dipuji tersenyum-senyum mendengar kata-kata saya. Mereka duduk dalam kumpulan memberikan kerjasama bersama rakan-rakan yang lain meneruskan aktiviti Hasil Kreatif. Kalau tadi mereka masih bermain-main dengan kertas di tangan, kali ini mereka sudah mengambil kertas baru. Satu kertas putih sebelum ini disudahkan oleh rakan-rakan di sebelah kiri mereka, satu lagi kertas putih sudah dilakar dengan lukisan tangan oleh rakan-rakan pelajar perempuan yang duduk di sebelah kanan.

Saya tersenyum suka. Dengan Teknik Nabi Muhammad, sesuatu yang sukar akan menjadi mudah sekiranya betul aplikasinya.

“Cikgu, malulah. Janganlah tengok!”

“Tidak perlu malu. Ini percubaan pertama kamu. Memanglah akan kelihatan banyak kekurangan dan tidak sempurna. Cikgu yakin, sekiranya kumpulan kamu terus mencuba, percubaan kedua kumpulan kamu tentu akan lebih baik daripada yang sebelum ini.” Balas saya memugar keyakinan mereka.

Syukur, kata-kata saya menampakkan hasil. Kumpulan pelajar yang tadi malu dan segan mahu menunjukkan hasil kerja mereka mula meletakkan kertas putih yang telah dibentuk di atas meja.

“Kita buat rekaan lain pula. Ini yang pertama, kali ini yang kedua akan lebih bagus.”

“Cikgu, tengok dia cikgu. Dia buat roket.” Seorang pelajar lelaki yang duduk dalam kumpulan pelajar di hadapan kelas mengadu.

Saya segera menghampiri pelajar yang dimaksudkan. Pelajar tersebut kelihatan takut-takut. Pesawat kertas yang bertulisan tangan ‘Air Asia’ disorokkan di bawah lengannya.

“Biar cikgu lihat.” Pinta saya kepada pelajar tersebut.


“Wah, cikgu kagum! Sekarang kamu mencipta kapal terbang kertas Air Asia. Suatu hari nanti, insha-Allah kamu akan mencipta kapal terbang Air Asia dan pesawat MAS yang sebenar untuk negara pula.”

Pelajar tersebut senyap sahaja mendengar respon saya. Namun selepas dipuji, dia tidak menyorokkan kapal terbang kertasnya lagi. Sebaliknya, kapal terbang kertasnya diletakkan elok di atas meja. Sekiranya tadi dia hanya menulis perkataan ‘Air Asia’ di sayap kapal terbang, kali ini dia sudah mula mewarnakan perkataan tersebut menggunakan pensil warna berwarna merah. Di bahagian sudut lain, dia menambah logo ‘1 Malaysia’ pula. Berhasil! Teknik Nabi Muhammad membuatkan self-esteemnya naik dan risiko sosialnya bersama guru menjadi hilang. Dia sedang mendorong dirinya sendiri untuk menjadi lebih cemerlang. Subhanallah.

Saya berjalan lagi ke arah kumpulan-kumpulan yang lain. Saya dorong semua kumpulan menggunakan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad (cari kebaikan + puji kebaikan tersebut + sebutkan impaknya).


Ketika menghampiri satu kumpulan pelajar perempuan, saya berkata; “Wah bagus! Kumpulan kamu kreatif mencipta bakul. Nanti kamu akan boleh membuat bakul daripada rotan pula. Ia boleh dijual. Dengan itu, kamu akan mempunyai pendapatan.”

Mereka suka mendengar kata-kata saya.

“Cikgu, boleh kami ambil kertas kosong lagi?”

“Boleh.” Balas saya.

Satu kelas khusyuk mencipta hasil kreatif mereka bersama kumpulan. Tiada yang curi tulang atau bermalas-malas seperti mula-mula sesi P&P tadi.

Kepada kumpulan pelajar yang melukis, saya puji hasil lukisan mereka dengan berkata,

"Bagus, cantik lukisan kamu. Memang kamu mempunyai bakat menjadi seorang pelukis. Cikgu doakan kamu menjadi pelukis terkenal suatu hari nanti. Lukisan kamu ini memang cantik, sekiranya diwarnakan tentu akan kelihatan lebih cantik."


Sebaik saya pergi dari tempat mereka, pelajar di dalam kumpulan tadi mula mewarnakan hasil lukisan mereka secara bersama.


Beberapa minit kemudian, saya pusing-pusing lagi melihat dan menilai hasil kerja pelajar-pelajar 5 Dedikasi. Sudah banyak hasil kreatif terhasil tidak sampai setengah jam. Ia benar-benar berbeza dengan setengah jam pertama mereka bersama guru sebelum ini. Tadi mereka hanya mencipta satu hasil kreatif sahaja, malah ada kumpulan yang tidak buat apa-apa. Kini, sudah pelbagai bentuk hasil kreatif ciptaan kumpulan mereka. Ada lukisan yang cantik, ada bintang, pesawat Air Asia & Garuda, origami, sampul surat, kapal layar dan sebagainya.

Ini menunjukkan self-esteem pelajar sudah naik sangat tinggi dalam tempoh yang tidak lama. Ia benar-benar satu mukjizat. Pelajar yang telah hilang semangat pada mulanya sedang gigih berusaha menyudahkan tugasan mereka dengan sukarela.

Ketika memerhatikan dan mengambil gambar kumpulan-kumpulan pelajar yang tekun menyudahkan hasil kreatif, seorang pelajar bertubuh besar datang kepada saya.


“Cikgu, ini hasil kerja saya.”
Dia menunjukkan pesawat kertas putih kosong kepada saya.

“Bagus. Ini adalah pesawat kertas kamu. Sekarang, ini pesawat kertas ‘Air Asia’ kamu. Nanti suatu hari kamu akan tunjukkan kepada dunia pesawat sebenar Air Asia yang kamu cipta pula.” Saya mengulang skrip pujian yang sama ke atas pelajar sebelum ini kepada pelajar di hadapan saya.

“Pesawat Garuda cikgu!” Balas pelajar tersebut.

“Garuda?” Tanya saya kembali mahu mendapatkan kepastian. Kurang jelas dengan jawapan pelajar tersebut.

“Saya orang Indonesia, cikgu. Saya mahu cipta pesawat Garuda buat negara Indonesia.” Balas pelajar tersebut menjawab pertanyaan saya.

Tersenyum saya mendengarnya. Patutlah Garuda, orang Indonesia rupanya. =)

*Di bawah ini, saya sertakan foto-foto anak-anak 5 Dedikasi yang gembira menjalankan aktiviti PMD selepas diaplikasi Teknik Nabi Muhammad.

























Ustazah Siti Khadijah

Wednesday, January 9, 2013

Aplikasi Teknik Memberi Ganjaran, Teknik Memberi Markah Dorongan dan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad

Entri kali ini adalah mengenai aplikasi Teknik Nabi Muhammad pertama saya di dalam kelas di sekolah baru. Minggu pertama bagi semua guru pelatih DPLI j-QAF ambilan 2013 adalah minggu untuk menjalani tugasan MOS (Minggu Orientasi Sekolah). Namun oleh kerana ada guru yang tidak hadir dan sibuk dengan tugasan penting sekolah, saya dan rakan-rakan diminta oleh pihak pengurusan sekolah untuk bergilir-gilir masuk menggantikan kelas-kelas mereka.

Tengahari itu, saya masuk ke dalam kelas 5 Dedikasi sebagai guru Bahasa Arab menggantikan mentor (guru pembimbing) kerana beliau sibuk mengurus urusan SPBT. Sebaik masuk ke dalam kelas, saya berdiri di hadapan pelajar-pelajar berdekatan dengan meja guru.

Para pelajar yang telah dibahagikan supaya duduk dalam kumpulan sedang sibuk dengan aktiviti dan tugasan yang diberikan oleh guru sebelum ini. Mereka tidak begitu mengendahkan kehadiran saya. Ada yang masih sibuk dengan kertas-kertas putih di atas meja mereka, ada juga yang sedang bercakap dengan rakan-rakan, dan ada yang buat hal sendiri. Hanya beberapa orang pelajar sahaja yang berdiri untuk memberi salam (itu pun berdiri dalam keadaan malas-malas sahaja). 

Ketika ketua kelas tahun 5 Dedikasi mula mahu mengucapkan salam, saya segera menunjukkan isyarat tangan lima jari supaya beliau menunggu. Ketua kelas tahun 5 Dedikasi segera faham isyarat yang diberikan. Dia memandang saya yang tidak berkata sepatah perkataan pun.

Saya masih diam sambil memandang semua pelajar di dalam kelas 5 Dedikasi satu persatu dengan memek muka yang menunjukkan saya tidak senang dengan perlakuan mereka ketika saya masuk. Pada mulanya, mereka masih seperti di awal-awal saya masuk ke kelas tadi. Barangkali kerana saya mendiamkan diri agak lama, mereka mula berdiri.

“Woi, cikgulah! Berdiri betul.”
“Woi, ada cikgu dekat depan! Bangunlah.” Beberapa orang pelajar bersuara menyuruh rakan-rakan mereka berdiri. Saya masih memerhati dari meja guru dalam situasi mendiamkan diri.

Saya tidak tegur perbuatan pelajar-pelajar yang tidak menghormati guru tersebut dengan melakukan perkara-perkara di bawah;
  • Saya tidak memarahi pelajar-pelajar dengan berkata, “Berdiri betul-betul! Kamu tidak nampakkah saya sudah masuk?” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar-pelajar dengan berkata, “Berdirilah betul-betul apabila melihat guru kamu masuk ke dalam kelas.” (SALAH)
  • Saya tidak mengkritik pelajar-pelajar dengan berkata, “Kamu ini sudah darjah lima, takkan berdiri betul ketika guru masuk pun kamu tidak tahu.” (SALAH)

Sebaliknya, saya mengaplikasi Teknik Memberi Ganjaran berdasarkan hadith Bersin. Sebaik semua pelajar berdiri memandang saya yang berada di hadapan kelas, saya memilih satu kumpulan yang berdiri tegak dan betul.

Saya lalu berkata, “Inilah cara berdiri yang betul bagi pelajar-pelajar apabila seorang guru masuk ke dalam kelas. Kumpulan ini semua ahlinya berdiri tegak memandang ke arah guru tanpa melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati guru. Mereka tahu cara menghormati dan meraikan guru yang masuk ke dalam kelas. Tahniah buat kumpulan ini. Saya berikan tiga bintang untuk kumpulan ini.”

Teknik Memberi Ganjaran:
1.Ganjaran diberikan apabila kerja dibuat dengan betul.
Satu kumpulan pelajar berdiri betul sambil memandang ke arah guru. Saya memberikan ganjaran kepada mereka atas kerja yang dilakukan iaitu berdiri betul dengan mengumumkan kepada semua pelajar di dalam kelas,

“Inilah cara berdiri yang betul bagi pelajar-pelajar apabila seorang guru masuk ke dalam kelas. Kumpulan ini semua ahlinya berdiri tegak memandang ke arah guru tanpa melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati guru. Mereka tahu cara menghormati dan meraikan guru yang masuk ke dalam kelas.”

Saya juga memberikan mereka ganjaran berbentuk markah dorongan dengan berkata, “Tahniah buat kumpulan ini. Saya berikan tiga bintang untuk kumpulan ini.”

2.Kerja yang dibuat dengan teknik yang salah tidak diberi ganjaran.
Pelajar-pelajar yang tidak berdiri dengan betul tidak diumumkan nama kumpulan mereka dan mereka tidak mendapat markah dorongan berupa bintang.

3.Apabila kerja dilakukan secara terbuka, maka ganjaran juga diberikan secara terbuka.
Perbuatan satu kumpulan pelajar di dalam kelas 5 Dedikasi berdiri dengan cara yang betul dilakukan di tempat terbuka (ada orang nampak) iaitu di dalam kelas, saya memberikan ganjaran kepada mereka juga secara terbuka. Kata-kata saya dapat didengar oleh semua pelajar.

4.Orang yang melakukan kerja dengan teknik yang salah tidak dikritik.
Pelajar-pelajar tahun 5 Dedikasi yang tidak berdiri dengan betul tidak saya tegur, marahi, nasihati atau kritik. Sebaliknya, saya diam sahaja.

Impak daripada kata-kata ganjaran yang diberikan tadi, pelajar-pelajar 5 Dedikasi yang tidak berdiri dengan betul menyedari kesilapan mereka. Mereka mula berdiri sama seperti kumpulan yang diumumkan tadi.

Sebaik melihat mereka berdiri betul, saya puji mereka menggunakan Teknik Pujian Gaya Nabi pula.

Saya berkata, “Bagus! Kumpulan ini juga sudah berdiri dengan cara yang betul. Wah, nampaknya semua kumpulan sudah berdiri dengan cara yang betul sebelum memberi salam! Ini satu perkara yang mengembirakan. Ustazah kagum. Kamu cepat faham dan belajar. Kalau begini, tentu apabila kita belajar akan mudah faham. Ustazah berikan setiap kumpulan tiga bintang.”

Pelajar-pelajar 5 Dedikasi tersenyum suka mendengar kata-kata saya. Mereka berdiri tegak sehingga selesai salam diucapkan. Malah, ketika saya mahu keluar daripada kelas setelah tamat waktu mengajar, mereka segera berdiri dengan betul tanpa perlu disuruh berdiri. Alhamdulillah.

Gambar hiasan Pelajar-pelajar 5 Dedikasi ketika melakukan aktiviti dalam kumpulan

Hadith rujukan:
1.Hadith Bersin (Teknik Memberi Ganjaran)
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh saidina Anas bin Malik yang berbunyi begini, Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, “Yarhamkallah.” Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad saw. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?” Nabi Muhammad saw menjawab, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulilliah.

2.Hadith Salam (Teknik Markah Dorongan)
“Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” –Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

3.Hadith 12 Malaikat (Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad)
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Bersambung...
Nantikan entri seterusnya bagaimana saya mendorong pelajar-pelajar 5 Dedikasi menghasilkan Hasil Kreatif menggunakan kertas-kertas putih.

*Oleh kerana tidak sempat snap gambar ketika mereka berdiri, tiadalah gambar-gambar berkaitan untuk entri ini.

Ustazah Siti Khadijah

Saturday, January 5, 2013

Kemuncak Aplikasi Teknik Nabi Muhammad Kepada Pelajar-pelajar 5 Ali

Serasa tidak lengkap catatan setahun yang lalu ke atas pelajar-pelajar 5 Ali tanpa berkongsi pengakhiran daripada kisah-kisah perjuangan mereka. Sebelum memasukkan entri-entri Teknik Nabi Muhammad di sekolah baru, saya memutuskan untuk menutup kisah perjuangan anak-anak 5 Ali di sekolah lama dengan berkongsi pencapaian cemerlang mereka di dalam peperiksaan UPKK (Ujian Penilaian Kelas Kafa) pada akhir tahun 2012 yang lalu.

Jujur saat dimaklumkan oleh rakan guru di sekolah berkenaan keputusan anak-anak 5 Ali, Allah sahaja yang tahu bagaimana situasi saya ketika itu. Selain airmata menggambarkan rasa gembira dan terharu atas pencapaian yang amat memberangsangkan anak-anak 5 Ali, saya hilang suara untuk menyatakan betapa saya bersyukur dengan perubahan mendadak mereka baik dari segi akhlak dan akademik.

Mungkin bagi setengah pihak, apalah ertinya kejayaan anak-anak kelas corot dibandingkan dengan kelas-kelas pertama, kedua atau mungkin ketiga. Bagi diri saya yang bersama mereka berjuang untuk sampai ke tahap ini, ia suatu kejayaan yang amat luar biasa dan boleh dibanggakan.

Kronologi kejayaan anak-anak 5 Ali bermula selepas didorong dengan Teknik-teknik Nabi Muhammad hasil kajian Tim Hadith Psikologi.

Daripada pelajar yang tidak pernah lulus dalam peperiksaan, anak-anak 5 Ali mula lulus dengan pencapaian sederhana. Daripada pelajar yang lulus setakat atas pagar, anak-anak 5 Ali lulus setaraf dengan kelas-kelas hadapan mereka. Malah peratus kelulusan anak-anak 5 Ali jauh lebih baik berbanding dua kelas di hadapan mereka (5 Omar dan 5 Othman). Daripada lulus setaraf, mereka lulus cemerlang di dalam peperiksaan sebenar. Daripada pada mulanya tidak minat membaca dan menghafal, anak-anak 5 Ali sudah suka membaca dan menghafal. Juga daripada pelajar yang tidak mempunyai matlamat hadir ke sekolah, anak-anak 5 Ali mula memahami tujuan mereka hadir ke sekolah.

Tidak perlulah saya bercerita panjang mengenai mereka, kerana saya yakin, para pembaca sudah maklum akan kisah-kisah mereka yang banyak diceritakan di blog ini. Saya sekadar mahu berkongsi keputusan penuh peperiksaan UPKK anak-anak 5 Ali. Inilah kemuncak kegemilangan aplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas mereka. 

Kecemerlangan anak-anak 5 Ali bermula dengan pelajar yang mendapat 7A (paling tinggi) sehingga 1A (paling rendah). Berikut adalah keputusan mereka.

Keputusan penuh peperiksaan UPKK pelajar-pelajar 5 Ali.

Pelajar 5 Ali yang mendapat keputusan 7A
1.Iman Fatini binti Azman @ Iman (7A 1B)
Sekiranya para pembaca masih ingat, cerita mengenai Iman pernah dikongsikan oleh Puan Ainon Mohd. di blog Tim Hadith Psikologi. Iman pelajar pintar yang tidak mahu masuk ke kelas Abu Bakar walaupun keputusannya bagus (baca di sini). 

2.Muhammad Aqiff Hakimi bin Alimiazan @ Aqiff (7A 1B)
Kisah Aqiff saya pernah kongsikan di Fb di awal-awal tahun yang lalu. Aqiff pelajar kelas corot yang berjaya mendapat tempat kedua ketika mewakili sekolah dalam pertandingan Hafazan peringkat Zon Kajang. Dia kemudian mewakili sekolah ke peringkat daerah dalam pertandingan Hafazan. Kisah Aqiff ini juga saya ceritakan dalam entri Teknik Melantik Penolong Guru (baca di sini dan baca di sini).

Pelajar 5 Ali yang mendapat keputusan 6A
1.Afini Afrina Alang binti Khalidin Alang @ Nini (6A 1B)
Nini adalah pelajar kecil molek yang pernah memberikan saya hadiah beg tangan berwarna purple yang saya kongsikan kisahnya di Fb. Nini ini jugalah yang pernah berkata, "Ustazah, oleh kerana semua orang sudah tolong angkat barang-barang ustazah, biar saya tolong angkat ustazah bawa masuk ke dalam kelas." (baca di sini & di sini)

2.Awang Izzuddin Al-Qassam bin Awang Suffian @ Al-Fateh (6A 1B)
Al-Fateh adalah ketua kelas bagi kelas 5 Ali. Kisah mengenainya banyak saya kongsikan di blog. Sekiranya pembaca masih ingat, Al-Fateh adalah pelajar yang bertanggungjawab mengetuai aktiviti 'gosok menggosok meja' semasa bulan Ramadan yang lalu (baca di sini)

3.Muhammad Amir Syazwan bin Marzuki @ Zack (6A 1B 1C)
Zack antara pelajar paling corot dalam kelas 5 Ali. Dalam hampir semua ujian dan peperiksaan, dia akan mendapat nombor 21-25. Namun dalam peperiksaan UPKK sebenar, dia mendapat 6A 1B 1C. Saya seperti tidak percaya. Terbayang-banyang bagaimana dia didorong daripada tidak minat belajar kepada mahu bersungguh-sungguh belajar. Daripada tidak suka menghafal, kepada pelajar pertama yang datang menghafal. Malah, ketika ramai tidak hadir ke sekolah kerana aktiviti di sekolah Kebangsaan, dia tetap hadir mahu belajar. Sebak pula rasanya. (T__T)

4.Muhammad Khairul Anwar bin Mohd Zamri @ Angah 1 (6A 2B)
Angah 1 juga antara pelajar yang mempunyai prestasi lebih kurang sama dengan Zack. Di dalam kelas, Angah 1 berkawan tiga orang; Dia, Angah 2 dan Boboi. Ketiga-tiganya pelajar adalah pelajar prestasi lemah di dalam semua matapelajaran. Dalam peperiksaan UPKK sebenar, Angah 1 mendapat keputusan yang sama sekali tidak dijangkakan.

5.Muhammad Yusri bin Mohd Ridzuan @ Edry (6A 2B)
Edry adalah Penolong Guru Kebajikan bagi kelas 5 Ali. Tugasnya adalah membantu dan mengangkat barang-barang guru. Kisah lucu mengenai pertukaran nama Yusri kepada Edry pernah saya tuliskan di entri tidak lama dahulu. (baca di sini)

6.Nisrina binti Amran (6A 2C)
Nisrina adalah pelajar yang telah berubah hampir 360 darjah. Kisah pelajar yang bernama Nisrina ini amat memberi kesan di hati saya. Dia pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghidap satu penyakit berat. Namun tetap hadir ke sekolah setelah menerima sentuhan Teknik Nabi Muhammad yang diaplikasikan kepadanya. (baca di sini)

7.Noor Athirah binti Md Redwan @ Kak Yong (6A 2B)
Kak Yong adalah penolong ketua kelas 5 Ali. Dia pelajar yang suka meraih tangan saya setiap kali berjumpa. Kemudian diciumnya berkali-kali. Memandangkan kami sama tinggi, selalu juga dia berangan mahu menukar posisi dengan saya. 

8.Nur Aisyah binti Rosly @ Ecah (6A 1B)
Ecah adalah Penolong Guru Ucapan di dalam kelas 5 Ali. Dia bertanggunggjawab mengetuai ucapan salam, doa dan terima kasih sekiranya ketua kelas dan penolong 5 Ali tidak hadir.

9.Nurfattahillah bin Mohd Rashaidi @ Salahuddin (6A 2B)
Salahuddin adalah pelajar yang pernah menghafal di celah almari. Dia, Al-Fateh dan Abang Ngah adalah tiga sahabat baik yang selalu melakukan aktiviti bersama. Kalau seorang tidak pakai songkok, yang lain akan ikut. Kisah mengenai Salahuddin banyak saya kongsikan di blog ini. (baca di sini)

Pelajar 5 Ali yang mendapat 5A
1.Ariffah Nasuha binti Nasir @ Sue (5A 3B)
Sue ini pelajar yang sering berebut dengan pelajar-pelajar lelaki untuk membawa barang-barang saya masuk ke kelas. Dia juga akan berlumba dengan pelajar lelaki untuk menjemput saya masuk ke kelas. Sue inilah yang menghantar mesej mengucap terima kasih kerana tahun 2013 ini dia dapat masuk ke kelas 6 Omar. (baca di sini)

2.Muhammad Fadhirul Danial bin Muhammad Feno @ Abang Ngah (5A 3B)
Kisah mengenai Abang Ngah pernah saya ceritakan dalam entri hadith Khalid dan Abdur Rahman bin Auf (baca di sini). Abang Ngah juga pernah mengetuai kelas supaya memboikot saya selepas pergaduhan berebutkan ustazah mereka dengan pelajar 5 Omar tidak lama dahulu.

3.Muhammad Khairul Aiman bin Mazri @ Aiman (5A 2B 1C)
Aiman adalah pelajar yang suka bersongkok senget dan melintang. Kisah Aiman boleh dibaca baca di sini.

4.Nurnazatul Munirah binti Hussin @ Nazatul (5A 3B)
Nazatul merupakan Penolong Guru Alat Bantu Mengajar di dalam kelas 5 Ali. Tugasnya adalah memastikan buku teks, buku latihan sudah berada di atas meja atau dihantar kepada guru.

5.Nurul Dania binti Mohd Radzi @ Nia (5A 3B)
Nia merupakan Penolong Guru Kehadiran. Tugas Nia adalah memastikan dan memaklumkan kehadiran pelajar 5 Ali kepada guru. Kisah Nia yang pandai menghargai gurunya juga pernah saya tuliskan di entri (baca di sini).

Pelajar 5 Ali yang mendapat 4A
1.Fattah Vasya bin Syaiful Hadi @ Fattah (4A 3B 1C)
Fattah adalah pelajar pendiam dan suka melakukan hal sendiri di dalam kelas 5 Ali. Kisah Fattah yang pendiam ini pernah saya kongsikan di entri (baca di sini)

2.Muhammad Syafiz Izwan bin Jelis @ Angah 2 (4A 3B AC)
Angah 2 ialah pelajar yang mudah tersenyum kepada siapa sahaja yang ditemuinya. Kisah pelajar kecil molek ini pernah saya ceritakan dalam entri hadith Khalid dan Abdur Rahman (baca di sini)

3.Nur Nabila binti Atan @ Nano (4A 2B 2C)

4.Nurul Fatihah binti Mataki @ Ea’ah (4A 4B)
Ea’ah adalah penolong ketua kelas dan Penolong Guru Ucapan di dalam kelas 5 Ali. Dia bertanggunggjawab mengetuai ucapan salam, doa dan terima kasih sekiranya ketua kelas tidak hadir.

Selebihnya, keputusan pelajar-pelajar 5 Ali.
1.Danial Hakimi bin Ahmad Nazarman @ Kimi (3A 3B 2C)
Kisah pelajar yang bernama Kimi ini pernah saya kongsikan di Fb (baca di sini)

2.Muhammad Syahmi Irsyad bin Mohd Nazri @ Profesor Syahmi (3A 3B 1C 1D)
Kisah mengenai pelajar yang mahu dipanggil dengan gelaran Profesor Syahmi pernah saya tuliskan dalam entri. Entri cerita Profesor Syahmi adalah entri yang paling popular di blog USK (baca di sini)

3.Nursyamimi binti Norazman @ Mimi (3A 4B 1C)
Mimi ini juga adalah pelajar perempuan yang akan berlumba dengan pelajar lelaki untuk menjemput saya masuk ke dalam kelas ( baca di sini).

4.Muhammad Zulfikal Khir bin Mohd Sufian @ Boboi (1A 4B 2C 1D)
Boboi adalah pelajar 5 Ali yang terkebelakang berbanding yang lain. Boboi tidak pandai membaca Jawi apalagi Bahasa Arab. Namun setelah didorong menggunakan Teknik Nabi Muhammad, Boboi boleh membaca Jawi dan Bahasa Arab walaupun merangkak-rangkak. Keputusan Boboi dalam peperiksaan sebenar menunjukkan peningkatan yang cemerlang. Ini rekod baru bagi pelajar  yang tidak tahu membaca Jawi dan Bahasa Arab seperti dirinya. Keputusannya benar-benar luar biasa.

5. Wan Muhammad Syafiq Iqram bin Wan Md Noor Shamshalimy @ Syafiq(1A 4B 2C 1(th)) 
Syafiq juga seperti Nisrina. Dia kerap tidak hadir ke sekolah. Apabila ditanya apakah sebabnya selalu tidak hadir ke sekolah, dia akan menjawab, “Emak dan ayah saya kerja, ustazah. Saya jaga adik di rumah.”

Inilah 25 orang anak-anak 5 Ali yang telah banyak memberi inspirasi kepada para pembaca blog USK. Kerana cerita-cerita dari kelas corot mereka, Teknik Nabi Muhammad semakin dikenali. Tiada yang mampu saya berikan buat 25 anak-anak istimewa ini melainkan doa yang tidak pernah putus. Sangat sebak apabila ada di antara mereka yang tidak merelakan pemergian saya di sekolah baru. 

Anak-anak 5 Ali yang baik, seandainya kita tidak lagi bersama, ustazah mendoakan kalian menjadi anak-anak yang cemerlang bukan sahaja di dalam pelajaran, tetapi juga seorang hamba Allah yang beriman. Semoga suatu hari nanti, kalian pula bakal mendidik anak-anak ustazah sebagaimana ustazah mengajar dan membimbing kalian. Ibunda gurumu ini amat yakin, kalian berjiwa besar. Sehingga bertemu lagi di lain waktu. Allah berkati dan sentiasa bersama kalian. 

5 Ali dalam kenangan.

“Kejar pelangimu sehingga ke hujung dunia nak!”

Ustazah Siti Khadijah

Friday, January 4, 2013

Tidak Menegur Kesalahan, Pujian Gaya Nabi

Minggu pertama ini, saya masih belum masuk mengajar kerana terlibat dengan tugasan MOS (Minggu Orentasi Sekolah) yang diarahkan pensyarah. Biarpun masih belum mengajar di dalam kelas, Teknik Nabi Muhammad tetap dapat diaplikasi di luar kelas.


Pagi tadi ketika mahu mencari kelas tahun 6, saya sempat mengaplikasi Teknik Tidak Menegur Kesalahan dan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad bersama beberapa orang pelajar. 

Sekolah tempat saya menjalani latihan adalah sebuah sekolah yang besar. Setiap darjah (daripada tahun 1-6) mempunyai 10 buah kelas dan mempunyai bangunan sendiri. Memandangkan kawasan sekolah agak besar dan semua guru terlibat dengan program PMD (Program Maju Diri), banyak perkara hari ini harus kami usaha dan selesaikan sendiri.

Ketika mencari kelas tahun 6, rakan saya bertanya kepada salah seorang pelajar yang berkumpul bersama rakan-rakannya di hadapan tandas; 

"Abang...abang, bangunan ini semua kelas darjah 6 kah?"

Pelajar yang dimaksudkan memandang rakan saya tersebut kemudian buat-buat tidak dengar. Barangkali juga kerana rakan saya tersebut tidak mempunyai 'nametag' guru, pelajar tersebut sengaja tidak mahu melayaninya.

"Abang..abang, abang baju 'purple', ini bangunan darjah 6 kah?" Rakan saya bertanya lagi. Pelajar tersebut masih buat-buat tidak dengar. Malah, sedikit pun dia tidak mengendahkan kehadiran kami.

Kerana kasihankan rakan tersebut, saya lalu berjalan lebih dekat menghampiri kumpulan pelajar yang sedang berada di hadapan tandas. Saya tidak memarahi pelajar tersebut dengan berkata;

"Hei, awak tak dengarkah cikgu tanya tadi?" (Salah)
"Awak ini kenapa, cikgu panggil banyak kali siap sebut baju awak warna 'purple', takkan awak tak perasan?" (Salah)
"Awak ini, kecil-kecil sudah pandai tidak hormat cikgu." (Salah)

Sebaliknya, saya sentuh bahu seorang pelajar lain yang ada berdekatan dengan pelajar berseragam 'purple' tersebut. Saya lihat 'tag' nama yang terlekat di bajunya, kemudian saya berkata, 

"Muhammad, cikgu mahu bertanya. Ini semua bangunan untuk kelas darjah 6 kah?"

"Ya, cikgu. Ini semua bangunan kelas darjah 6." Jawab pelajar tersebut.

Sebaik mendengar respon daripada pelajar tersebut, saya segera memujinya, "Wah, bagus! Kamu mahu jawab soalan cikgu. Tentu orang akan suka berkawan dengan kamu. Kamu juga akan mudah belajar kerana mendengar cakap seorang guru."

Pelajar tersebut tersenyum mendengar pujian saya. Kemudian saya bertanya lagi, "Ada berapa buah kelas untuk darjah 6?"

"Ada 10 cikgu." Pelajar tersebut membalas lagi.

"Ada 10. Wah, banyaknya!"

"Kamu darjah berapa?"

"Darjah 6 , cikgu."

"Oh, darjah 6. Terima kasih kerana menjawab semua soalan cikgu. Kamu telah memudahkan kerja cikgu. Allah pasti akan beri pahala buat kamu."
Saya menyambung lagi, kemudian beredar meninggalkan tempat tersebut.

Selepas mendengar kata-kata saya, pelajar tersebut segera berkata kepada rakannya yang buat-buat tidak dengar soalan rakan saya tadi, "Itulah engkau, lain kali orang tanya jawab. Apalah!"
Hadith rujukan; Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam laporannya, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.” –Rekod Hadith Muslim



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...