Monday, February 23, 2015

"Saya tak boleh menghafal macam diorang. Saya tak pandai."



MENDORONG pelajar di kelas hadapan sebenarnya tidaklah sesukar mendorong pelajar di kelas belakang. Namun ia akan menjadi sukar sekiranya pelajar kelas hadapan tersebut tidak mempunyai keyakinan diri terhadap dirinya sendiri atau dia memiliki self-esteem yang terlalu rendah apabila kerap membanding-bandingkan dirinya dengan rakan-rakannya yang lain.

Insya-Allah dalam entri kali ini, saya akan kongsikan aplikasi Teknik Nabi ke atas pelajar kelas hadapan yang mempunyai pelajar kurang keyakinan dalam belajar.

Pagi hari Rabu itu, sebagaimana biasa saya membawa beberapa orang pelajar tahun 4 Delima ke bilik j-QAF. P&P yang bakal berlangsung adalah subjek Al-Quran, dan rancangan pengajaran bagi minggu itu adalah silibus Hafazan Surah Al-Qariah.

Pelajar tahun 4 Delima bukanlah pelajar kelas belakang sebagaimana pelajar tahun 4 Mutiara, mereka pelajar kelas hadapan selepas tahun 4 Berlian. Namun di kalangan pelajar tahun 4 Delima, masih kedapatan pelajar yang tidak dapat membaca Jawi dan Al-Quran mahu pun Iqra’. Mereka akan dibawa keluar daripada kelas perdana dan diletakkan di bawah kendalian guru j-QAF sehingga mereka boleh membaca Al-Quran mahu pun Jawi.

Pada hari itu, sebagaimana biasa sekali lagi beberapa orang pelajar tahun 4 Delima saya bawa ke bilik j-QAF. Kelas dimulakan dengan ucapan salam dan bacaan doa. Sebaik selesai bacaan doa, saya meminta para pelajar mengeluarkan buku tulis bagi menyalin potongan ayat surah Al-Qariah di papan putih.

Para pelajar tahun 4 Delima menurut dengan mudah. Memandangkan mereka adalah pelajar kelas hadapan, senang sahaja mereka memahami arahan saya tanpa banyak ragam seperti pelajar kelas belakang. Namun ketika menyalin catatan yang diberikan, mereka mula bercakap-cakap dan membuat bising.

Sebagaimana kebiasaannya apabila mengaplikasi Teknik Nabi, saya jarang mahu marah. Saya akan memilih antara dua pilihan. Sama ada mahu menegur pelajar yang sedang membuat bising atau memuji pelajar yang senyap menyalin nota di papan putih.

Saya juga tidak mengguna pakai amalan lazim seperti di bawah;

Saya tidak memarahi mereka dengan berkata, “Senyaplah! Saya suruh kamu menyalin, bukan bercakap!” (SALAH)

Saya tidak menghukum mereka dengan berkata, “Nak bercakap sangat, mari sini! Bercakap sekarang, sampai kamu puas!” (SALAH)

Saya juga tidak menasihati mereka dengan berkata, “Lain kali kalau belajar, buatlah cara belajar. Jangan bercakap, salinlah kalau ustazah suruh salin.” (SALAH)


Saya memilih untuk menegur menggunakan Teknik Menegur Dengan Menerangkan. Saya berkata, “Sesungguhnya apabila pelajar menyalin latihan, mereka tidak boleh bercakap-cakap atau membuat bising. Ini akan mengganggu pelajar lain yang sedang memberi perhatian menyalin latihan. Sebaliknya ketika menyalin latihan, pelajar hendaklah fokus dan menyalin secara senyap. Apabila kita menyalin dengan senyap, kerja kita akan cepat siap.”


Sebaik mereka mendengar teguran saya, kelas mula beransur senyap. Tiada pelajar yang bercakap atau membuat bising lagi. Mereka tekun menyalin catatan yang ada di papan putih. Ajaib, itulah kebiasaan yang biasa berlaku apabila menegur menggunakan Teknik Nabi bersama pelajar kelas hadapan. Mereka cepat memahami teguran.

Dalam Teknik Menegur Dengan Menerangkan di dalam teknik Nabi Muhammad terdapat beberapa perkara yang harus diberi perhatian. Antaranya ialah;

Pertama, Sebut perbuatan salah yang dilakukan pelajar;

“Sesungguhnya apabila pelajar menyalin latihan, mereka tidak boleh bercakap-cakap atau membuat bising.”

Kedua, Sebut atau berikan maklumat yang betul bagi membetulkan kesalahan pelajar;

Sebaliknya ketika menyalin latihan, pelajar hendaklah fokus dan menyalin secara senyap. Apabila kita menyalin dengan senyap, kerja kita akan cepat siap.”

Ketiga, Gunakan skrip kata-kata seperti, “sesungguhnya…sebaliknya” atau “Apabila…sebaliknya”.

Dalam teguran saya kepada pelajar tahun 4 Delima, saya menggunakan perkataan “sesungguhnya…sebaliknya”.

“Sesungguhnya apabila pelajar menyalin latihan…”

Sebaliknya ketika menyalin latihan…”

Hadith rujukan; Hadith Badwi Kencing.

Anas bin Malik melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama Nabi Muhammad . Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabu Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad  memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau pun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza Wajalla, bersembahyang, dan membaca Al-Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad   menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. – Hadith no. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Perjalanan proses P&P berlangsung dengan mudah. Mereka tekun menulis dan menyalin catatan di papan putih. Selepas mereka semua siap menyalin, saya mulakan latih tubi membaca potongan-potongan ayat surah Al-Qariah berulangkali. Proses ini penting bagi membuatkan pelajar-pelajar cepat mengingat potongan-potongan ayat yang dibaca.

Setiap kali mereka membaca dan mengulang-ulang potongan ayat dengan betul, saya akan memuji dengan menggunakan Teknik Nabi. Saya puji mereka, “Bagus, ustazah suka. Bacaan kamu bukan sahaja sama, tetapi juga betul Tajwidnya. Baca Al-Quran dengan betul Allah beri pahala. 10 pahala untuk satu huruf.”

Dalam mengaplikasi Teknik Pujian Gaya Nabi , empat elemen utama menjadi asas dalam skrip pujian yang dituturkan.

Pertama, Cari sekurang-kurangnya satu kebaikan pelajar.

Kebaikan pelajar yang dipuji ialah membaca dan mengulang-ulang potongan ayat surah Al-Qariah dengan betul.

Kedua, Mulakan skrip pujian dengan menzahirkan emosi positif seperti “Ustazah suka…Ustazah kagum” dan lain-lain.

Dalam skrip pujian saya kepada pelajar tahun 4 Delima, saya menzahirkan emosi positif dengan berkata, Bagus, ustazah suka…”


Ketiga, Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha, teknik, kebaikan, sikap bukan orangnya.

“Bacaan kamu bukan sahaja sama, tetapi juga betul Tajwidnya.”


Keempat, nyatakan impak kepada perbuatan baik, hasil kerja, usaha, teknik atau sikap tersebut di dalam skrip ayat pujian.

“Baca Al-Quran dengan betul Allah beri pahala. 10 pahala untuk satu huruf.”


Hadith rujukan; Hadith Pintu Langit Terbuka.

Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.” – Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Pelajar-pelajar tahun 4 Delima begitu seronok dipuji. Mereka lebih bersemangat membaca dan mengulang-ulang potongan ayat surah Al-Qariah sehingga akhirnya mereka mampu menghafal potongan-potongan ayat yang dibaca. Namun apabila mereka diminta memperdengar potongan bacaan ayat-ayat yang dihafal, mereka masih belum benar-benar bersedia.

Lalu saya menggunakan Teknik Penolong Guru bagi membantu mereka menghafal. Saya letakkan setiap pelajar secara berpasangan. Pelajar yang sudah mahir membaca dan mengingat potongan-potongan ayat yang dihafal akan diberikan pasangan yang masih belum mahir mengingat dan menghafal. Tugas mereka adalah memastikan pasangan mereka akan berjaya menghafaz potongan-potongan ayat Surah Al-Qariah sama seperti mereka.


“Ustazah, saya tiada pasangan.” Tiba-tiba seorang pelajar perempuan berkacamata bersuara.

“Tidak ada pasangan, tidak mengapa. Mari berpasangan dengan ustazah.” Balas saya.

Teknik Penolong Guru ini sangat membantu para pelajar tahun 4 Delima di dalam mengingat dan menghafal. Mereka dengan sendirinya menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan pasangan masing-masing turut menghafal sebagaimana mereka.

Apabila pasangan mereka berjaya mengingat satu-satu ayat, mereka akan melaporkan, “Ustazah, pasangan saya sudah ingat ayat sekian-sekian.”


Sungguhpun begitu, di kalangan para pelajar tahun 4 Delima ada seorang pelajar yang saya kira self-esteemnya sangat rendah. Apabila saya menyuruh dia mengulang-ulang ayat bacaan secara berpasangan, dia meluahkan kata hatinya, “Ustazah, saya tak boleh menghafal macam diorang. Saya tak pandai.”

“Tidak mengapa, tidak pandai boleh belajar. Nanti lama-lama akan pandai.” Saya memujuk.

“Tapi diorang dah hafal banyak ayat ustazah. Saya baru dua ayat. Saya tak boleh.” Dia bersuara lagi. Kali ini, dia hampir menangis.
“Kita cuba dahulu ya. Belum cuba, belum tahu. Mana tahu selepas kamu berpasangan dengan dia, kamu akan ingat lebih banyak ayat-ayat yang sudah kita salin tadi.” Saya berusaha memujuk lagi. Dalam hati, saya berdoa agar kali ini dia akan lembut hati.

Kali ini dia akur, dia duduk berpasangan bersama pasangan yang ditetapkan untuknya. Saya lalu memuji perbuatannya. Saya berkata, “Bagus, kamu ikut cakap ustazah. Ini menunjukkan kamu anak murid yang mendengar kata. Kalau kamu selalu mendengar kata ustazah, ustazah sangat yakin kamu akan cepat belajar dan menghafal.”

Saya tinggalkan dia bersama pasangan menghafalnya ketika dia sudah mula tersenyum. Saya biarkan mereka saling menghafal. Setiap kali mereka melaporkan kejayaan pasangan masing-masing menghafal, saya memuji lagi dengan skrip pujian Teknik Nabi.

Tidak lama kemudian, semua pelajar yang berpasangan dalam menghafal sudah boleh mengingat keseluruhan potongan ayat-ayat surah Al-Qariah. Saya meminta mereka beratur bersama pasangan menghafal masing masing bagi memperdengarkan ayat-ayat yang sudah dihafal. Kali ini, mereka berebut mahu menghafal.

“Ustazah, saya dulu.”

“Kitaorang dululah. Kitaorang yang cakap dengan ustazah dahulu.”

“Siapa yang mahu menghafal, boleh beratur bersama pasangan di hadapan ustazah.” Saya meredakan perang mulut yang baru sahaja meledak. Mereka mendengar kata. Saya memuji lagi. Kali ini, mereka beratur tanpa perang mulut lagi.

Saya melihat pelajar yang tadinya berasa tidak yakin untuk menghafal, dia masih duduk berpasangan bersama pasangannya. Alhamdulillah, dia masih membaca dan mengulang-ulang potongan ayat surah Al-Qariah. Dari jauh saya memanggil namanya.


“Najwa, ok?” Tanya saya.

“Saya belum hafal lagi, ustazah.” Dia masih meluah ketidak keyakinan dirinya.

“Tak apa. Mulakan hafalan perlahan-lahan. Baca dan hafal sahaja ayat-ayat mana yang kamu ingat.” Sebolehnya saya memberi harapan.

Tidak mahu terlalu mendesak agar dia mengingat keseluruhan potongan ayat yang dibaca. Saya kesani, dia pelajar yang mempunyai low self-esteem. Mendesak atau menyuruh-nyuruh akan membuatkan dia tertekan. Self-esteemnya perlu ditinggikan agar dia terdorong belajar dengan sendirinya.

Selepas hampir kesemua pasangan memperdengar bacaan surah Al-Qariah kepada saya, hanya tinggal pasangan pelajar yang bernama Suhaila bersama rakan menghafalnya.


“Najwa, mahu cuba?” Saya bertanya.

“Saya tak hafal lagi, ustazah.” Balasnya lagi.

“Dia baru ingat empat ayat, ustazah.” Rakan menghafalnya melaporkan.


“Empat ayat pun, menghafal juga. Berbanding tadi hanya dua ayat, sekarang sudah jadi empat ayat. Ia lebih baik daripada tadi. Kalau kamu teruskan menghafal, ustazah sangat yakin lama-lama kamu akan dapat hafal satu surah Al-Qariah.” Saya memuji lagi, berharap pujian kali ini akan dapat meninggikan self-esteemnya dan dia akan mahu memperdengarkan bacaan surah Al-Qariah yang dihafal.


“Saya nak cuba hafal, ustazah.” Akhirnya pelajar itu bersuara.

Saya tersenyum mendengarnya. Alhamdulillah, pujian yang diucapkan berjaya membuatkan dia mahu memperdengarkan bacaan surah Al-Qariah yang dihafalnya. Pelajar yang bernama Najwa itu membaca ayat-ayat yang dihafalnya. Biarpun tersekat-sekat, pelajar itu akhirnya berjaya menamatkan potongan ayat yang dihafal sehingga ayat keempat.

Saya memuji lagi, “Ustazah kagum, walaupun tergagap-gagap kamu tetap membaca sehingga ayat keempat. Malaikat sedang catatkan pahala untuk kamu. Hari ini, kamu dapat dua pahala. Pertama, pahala mencuba dan berusaha menghafal. Kedua, pahala membaca Al-Quran. Sekiranya kamu terus mengulang-ulang bacaan potongan-potongan ayat surah Al-Qariah, lama-lama kamu akan ingat satu surah.”


Pelajar itu tersenyum dan tiba-tiba dia bertanya, “Ustazah, bila lagi saya boleh sambung menghafal macam kawan-kawan?”

“Minggu hadapan ada masa Al-Quran kita sambung lagi.”

Nampaknya dia sudah terdorong mahu menghafal lagi. Alhamdulillah.

Minggu hadapan yang dijanjikan tiba, namun saya pula sibuk mengurus pertandingan Tilawah dan Hafazan peringkat sekolah. Setiap kali pelajar itu bertemu saya di mana-mana, dia pasti bertanya, “Ustazah, saya sudah ingat semua surah Al-Qariah, bila saya dapat baca di hadapan ustazah.”


Subhanallah!

Teknik Penolong Guru, pelajar-pelajar tahun 4 Delima menghafal surah Al-Qariah berpasangan.


Menunggu giliran membaca potongan ayat-ayat surah Al-Insyirah bersama pasangan masing-masing.


Ustazah Siti Khadijah (USK)

Sunday, February 15, 2015

Dorongan Teknik Nabi Digabung Panggilan ‘Anak-anak Syurga’ Membuahkan Impak Memberangsangkan


PAGI hari itu, saya masuk ke dalam kelas 4 Mutiara seorang diri. Hari ini, rakan guru yang berpasangan dengan saya mempunyai keripuhan yang harus diselesaikan. Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada beliau yang sudah saya anggap sebagai salah seorang daripada guru saya dalam meneruskan perjalanan sebagai seorang pendidik di sekolah baru ini.

Selama beberapa minggu saya berpasangan dengan beliau, beliau banyak membantu dan menunjuk ajar. Pengalaman beliau yang sudah bertahun-tahun menjadi seorang pendidik tidak hanya dimanfaatkan buat dirinya sendiri, tetapi juga secara tidak sedar sudah amat membantu saya yang baru menjadi ‘guru’.

Sepertinya beliau amat memahami dan mahu memberi ruang kepada saya mengaplikasi Teknik Nabi tanpa dihijab rasa segan apabila tidak berkolaborasi. Jazakillah khairan, Kak Mas budiman. Didoakan, usaha saya yang tidak seberapa mengaplikasi Teknik Nabi ini akan turut membuahkan pahala buat akak.

Sebagaimana kelaziman kelas-kelas belakang, apabila guru masuk ke dalam kelas mereka sibuk dengan hal mereka. Itulah yang berlaku saat saya memasuki kelas tahun 4 Mutiara. Mereka tidak kelihatan mahu belajar kerana fokus mereka adalah bermain. Sungguh pun mereka berdiri mahu mengucap salam kepada guru, mereka bebas melakukan hal yang mereka sukai tanpa merasakan pentingnya menghormati guru.

Apabila saya meminta ketua kelas 4 Mutiara memberi salam, masih ada beberapa orang pelajar yang bermain, mengusik kawan, bercakap sesama sendiri dan ada juga yang tanpa segan silu memukul rakannya di hadapan mata saya. Selaku guru, tentulah perbuatan mereka ini akan membuatkan kita cepat ‘mahu naik angin’ sekiranya emosi diri tidak berjaya diurus dengan baik.

Dalam amalan lazim, biasanya seorang guru akan melakukan perkara-perkara berikut bagi mengekang tingkahlaku-tingkahlaku ini berterusan;

Memarahi pelajar
“Hei, awak tidak nampakkah saya ada di hadapan ini? Tidak tahu-tahu lagi apa yang perlu dilakukan? Sudah berapa tahun awak sekolah?” (Salah)


Mengkritik pelajar
“Eh, awak ini sudah tahun 4. Bagaimana cara beri salam pun tidak tahu-tahu lagi kah?” (Salah)


Menghukum pelajar
“Awak mari sini! Memang nak kena ini, awak jangan masuk kelas saya. Saya tidak mahu tengok muka awak. Balik-balik muka awak yang buat perangai.” (Salah)


Adakalanya, dengan mudah sahaja tangan seorang guru itu memukul mana-mana bahagian tubuh pelajar. (Salah)


Menasihati pelajar
“Lain kali apabila saya masuk, berdiri dan beri salam betul-betul. Saya tidak mahu lihat ada yang berdiri goyang-goyang, ada yang bercakap, ada yang main-main dan ada yang pukul-pukul kawan.” (Salah)


Saya tidak melakukan perkara-perkara berikut kerana mahu mengaplikasi Teknik Nabi yang dipelajari. Sebaliknya, saya aplikasi Teknik Menzahirkan Eksperesi Muka bagi menghentikan tingkahlaku pelajar tahun 4 Mutiara ini.

Dalam sebuah hadith hasil kajian Tim Hadith Psikologi, ada satu hadith menunjukkan yang apabila Nabi Muhammad marah, baginda tidak berkata sepatah pun perkataan. Sebaliknya baginda hanya memperlihatkan reaksi di wajahnya yang menunjukkan baginda tidak menyukai situasi tersebut.

Hadith rujukan; Hadith Nabi Memuji Perempuan Di Dalam Masjid.
Saidina Anas melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah ternampak kesan ludah melekat di dinding masjid. Baginda berasa marah sehingga wajah baginda merah. Kemudian datang seorang wanita penduduk asal Madinah, lalu dia membuang kesan ludah itu, kemudian meletakkan wangian pada tempat itu. Nabi Muhammad  berkata, “Alangkah bagusnya perbuatan itu.” – Hadith ini terdapat dalam koleksi An-Nasa’I dan koleksi Ibnu Majah.

Saya menyalin perbuatan baginda Nabi ini kala mahu mendorong para pelajar agar mereka tidak meneruskan tingkahlaku yang boleh dikatakan tiada adab dengan guru.

Saya hanya melihat satu-persatu wajah para pelajar 4 Mutiara tanpa sepatah pun perkataan yang keluar daripada mulut saya. Saya zahirkan di wajah reaksi tidak menyukai perbuatan mereka dengan mimik muka yang serius. Saya merenung lama satu-persatu wajah yang ada di hadapan mata tanpa segaris senyuman. Lama sungguh saya berbuat sedemikian.

Sehingga ada di kalangan para pelajar yang menyedari bahawa saya tidak menyenangi perbuatan mereka tersebut. Mereka memandang saya, saya memandang mereka semula tanpa sepatah kata. Wajah saya benar-benar menampakkan saya tidak gembira dengan perbuatan mereka.

“Woi, cikgu pandanglah!”

“Diamlah, ustazah tengok itu. Tak nampak ke?”

“Woi, ustazah tengok engkau.”


Hingga akhirnya satu kelas menjadi senyap. Mereka masih memandang wajah saya, barangkali berharap agar akan ada suara yang memecahkan kesunyian yang bagai dilanggar garuda tiba-tiba.

Sebaik mereka semuanya diam dan berdiri dengan keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya, saya segera mengubah reaksi di wajah. Kali ini, ekperesi di wajah saya hiasi dengan senyuman. Saya meminta mereka duduk dan membaca doa pula.

Asas dalam mengaplikasi Teknik Eksperesi Muka:
Pertama: Zahirkan wajah yang menampakkan reaksi atau eksperesi tidak senang dengan perbuatan yang tidak disukai tanpa berkata sepatah pun perkataan.

Kedua: Lihat, perhatikan atau renung wajah para pelajar dalam tempoh yang agak lama sehingga mereka menyedari kesilapan mereka.

Ketiga: Segera mengubah ekperesi atau reaksi wajah sebaik pelajar atau anak telah mengubah tingkahlaku kepada tingkahlaku positif atau menyedari kesalahan mereka.

(Guru tidak boleh terus menzahirkan wajah yang tidak berpuas hati apabila para pelajar atau anak telah mengubah sikap. Ini kerana Nabi tidak meneruskan ekperesi muka marah apabila seorang wanita menyapu ludah yang terdapat di dinding masjid).

Apabila para pelajar mula membaca doa, sekali lagi beberapa orang pelajar cuba membikin onar. Biasalah, pelajar kelas belakang jarang boleh fokus dalam satu-satu tempoh yang lama apabila melakukan sesuatu pekerjaan melainkan kerja atau perbuatan tersebut memang disukai mereka.

Ada yang masih bercakap dan bermain-main semasa berdoa. Mereka tidak fokus kepada doa yang dibacakan. Saya buat tidak nampak. Saya juga tidak menyantuni mereka sebagaimana dalam amalan lazim. Saya tidak lakukan perkara-perkara berikut.

1. Memarahi mereka.
“Kamu ini macam mana? Doa pun main-main. Bagaimana Allah mahu terima doa kamu kalau beginilah caranya kamu berdoa.” (Salah)


2. Menasihati mereka.
“Lain kali, apabila berdoa, berdoalah bersungguh-sungguh. Tadah tangan dan sebut bacaan doa dengan sempurna. Barulah Allah senang nak makbulkan doa kamu.” (Salah)


3. Mengkritik atau memerli mereka.
“Asal berdoa saja, kamu mesti baca laju-laju. Kalau makan, tak pula kamu laju-laju.” (Salah)


4. Membanding-bandingkan mereka.
“Kamu ini, cubalah berdoa macam si fulan. Si fulan berdoa bagus dan amat beradab. Tidak macam kamu, berdoa pun tunggang langgang.” (Salah)


Sebaliknya saya aplikasi Teknik Menutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan.
Dalam Teknik Nabi, apabila kita melihat seseorang melakukan kesalahan, dan dalam masa yang sama dia juga ada membuat kebaikan, kita boleh memilih samada mahu aplikasi Teknik Menutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan kepadanya atau aplikasi Teknik Menegur Dengan Menerangkan.

Menurut Tuan Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof yang merupakan salah seorang daripada anggota Tim Pengkaji Hadith Psikologi Nabi Muhammad , di dalam kita mahu mendorong pelajar berubah ke arah kebaikan, kita boleh memilih samada mahu aplikasi teknik memuji atau teknik menegur.

Tidak boleh di dalam satu skrip Teknik Nabi yang dibina, ayat pujian digabungkan bersama ayat teguran. Sekiranya kita mahu membetulkan kesalahan, teknik yang harus digunakan adalah Teknik Menegur Dengan Menerangkan. Sekiranya kita tidak mahu menegur, kita boleh memuji tanpa menegur kesalahan.

Dalam situasi pelajar-pelajar 4 Mutiara di atas, saya memilih untuk aplikasi Teknik Menutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan. Meskipun kedapatan para pelajar yang tidak fokus dalam berdoa dan bermain-main, mereka tetap membaca doa. Malah, ada juga di kalangan para pelajar 4 Mutiara yang bersungguh-sungguh menadah tangan ketika membaca doa. Ini adalah kebaikan yang dapat diangkat dalam mendorong perubahan tingkahlaku mereka ke arah yang lebih baik.

Saya menutup mata pada kesalahan pelajar yang tidak bersungguh-sungguh dan bermain-main semasa berdoa, sebaliknya saya memuji kebaikan mereka yang tetap berdoa. Saya memuji perbuatan mereka dengan berkata,

“Ustazah suka mendengar bacaan doa kamu. Ustazah juga perhatikan, ada di kalangan rakan-rakan kita di dalam kelas ini yang berdoa bersungguh-sungguh seperti kumpulan ini. Ustazah amat yakin dan percaya, apabila kita berdoa bersungguh-sungguh, Allah akan mudahkan kita dalam urusan belajar.”


Saya memuji sambil berjalan ke arah sekumpulan pelajar yang memang kelihatan khusyuk ketika berdoa sebentar tadi. Mereka kelihatan tersenyum.

Saya menyambung lagi, “Sebagai penghargaan, mari kita berikan tepukan buat mereka.”


Seluruh kelas menepuk tangan untuk sekumpulan pelajar yang berdoa dengan bersungguh-sungguh dan khusyuk sebentar tadi. Kumpulan pelajar yang kelihatan khusyuk berdoa itu tadi kelihatan amat gembira. Mereka tampak lebih bersemangat mahu meneruskan sesi pembelajaran bersama saya.

Dalam mengaplikasi Teknik Pujian Gaya Nabi , ada empat perkara yang menjadi tunjang utama.
Pertama, Cari sekurang-kurangnya satu kebaikan pelajar.
Saya menutup mata pada kesalahan pelajar yang tidak bersungguh-sungguh dan bermain-main semasa berdoa, sebaliknya saya memuji kebaikan mereka yang tetap berdoa.

Kedua, Mulakan skrip pujian dengan menzahirkan emosi positif seperti “Ustazah suka…Ustazah kagum” dan lain-lain.
Saya memulakan skrip pujian dengan menzahirkan emosi positif, “Ustazah suka…”

Ketiga, Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha, teknik, kebaikan, sikap bukan orangnya.
“Ustazah suka mendengar bacaan doa kamu. Ustazah juga perhatikan, ada di kalangan rakan-rakan kita di dalam kelas ini yang berdoa bersungguh-sungguh…”


Keempat, nyatakan impak kepada perbuatan baik, hasil kerja, usaha, teknik atau sikap tersebut di dalam skrip ayat pujian.
“Ustazah amat yakin dan percaya, apabila kita berdoa bersungguh-sungguh, Allah akan mudahkan kita dalam urusan belajar.” (Impak berdoa bersungguh-sugguh).

Hadith rujukan; Hadith Pintu Langit Terbuka.
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.” – Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Kemudian, saya pinta pula supaya para pelajar 4 Mutiara membaca surah Al-Fatihah sebelum memulakan sesi P&P bagi subjek Al-Quran yang bakal dilaksanakan secara membaca ikut guru (BIG).

Kali ini, satu kelas benar-benar fokus memberi perhatian ketika membaca Al-Fatihah. Tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang bermain atau melakukan hal sendiri sebagaimana kebiasaan.

Syukur pada Allah, mereka benar-benar terdorong berubah selepas mendengar pujian dan penghargaan berupa tepukan gemuruh yang diberikan kepada sekumpulan pelajar sebentar tadi. Begitulah istimewanya Teknik Nabi, mendorong orang lain akan menyebabkan orang lain terdorong sama.

Saya tidak menangguh-nangguhkan pujian sebaik melihat kebaikan para pelajar 4 Mutiara yang telah mula fokus membaca surah Al-Fatihah sebelum memulakan bacaan surah Ibrahim secara mengikut guru (BIG). Ini adalah peluang mendorong mereka agar terus kekal berkelakuan baik dan bersedia meneruskan sesi belajar bersama saya.

Saya lalu memuji, “Ustazah kagum, bacaan Al-Fatihah kamu serentak dan sangat baik. Allah suka kepada orang yang baca Al-Quran dengan betul (Impak pertama). Ustazah pun suka nak mengajar kalau selalu begini." (Impak kedua).

Suka sungguh mereka dipuji sebegitu. Ini membuatkan mereka yang sudah disusun dalam kedudukan berkumpulan terdorong berlumba untuk mempamerkan bacaan yang lebih baik. Sikap sebegini jarang berlaku apabila saya tidak menggunakan Teknik Nabi dalam mendorong mereka sebelum-sebelum ini.

P&P hari itu diteruskan dengan bacaan surah Ibrahim dengan kaedah Baca Ikut Guru (BIG). Oleh kerana pelajar tahun 4 Mutiara adalah kelas paling belakang, adalah mustahil mereka dapat membaca satu-satu ayat yang panjang dalam satu tempoh masa. Ini kerana majoriti para pelajar tahun 4 Mutiara adalah pelajar yang tidak boleh membaca Al-Quran dan Jawi.

Saya membaca potongan ayat-ayat surah Ibrahim satu persatu dan mereka mengikutnya secara bersama. Seronoknya P&P hari itu, mereka benar-benar patuh membaca tanpa membikin onar.

Bacaan mereka serentak dan sama sebagaimana bacaan saya. Setiap kebaikan mereka lakukan pada hari itu, saya dorong dengan pujian secara berperingkat-peringkat. Ini sangat membantu proses perubahan tingkahlaku mereka ke arah lebih baik.

Hanya sesekali apabila mereka salah membaca, saya akan menegur dengan menerangkan kesalahan.

Saya berkata, “Apabila guru sedang membaca ayat Al-Quran, para pelajar hendaklah mendengar dan tidak mengikut bacaan melainkan setelah guru habis membacanya. Sebaliknya apabila guru sudah habis membaca, barulah pelajar boleh mengikutnya. Ini akan menyebabkan kesalahan bacaan dapat dieelakkan dan bacaan kamu menjadi betul.”


Fokus, pelajar tahun 4 Mutiara membaca Al-Quran tanpa membikin onar.
 
Teknik Menegur Dengan Menerangkan di dalam teknik Nabi Muhammad adalah berasaskan prinsip-prinsip berikut;

Pertama, Sebut perbuatan salah yang dilakukan pelajar;

“Apabila guru sedang membaca ayat Al-Quran, para pelajar hendaklah mendengar dan tidak mengikut bacaan melainkan setelah guru habis membacanya.”


Kedua, Sebut atau berikan maklumat yang betul bagi membetulkan kesalahan pelajar;

“Sebaliknya apabila guru sudah habis membaca, barulah pelajar boleh mengikutnya. Ini akan menyebabkan kesalahan bacaan dapat dieelakkan dan bacaan kamu menjadi betul.”


Ketiga, Gunakan skrip kata-kata seperti, “sesungguhnya…sebaliknya” atau “Apabila…sebaliknya”.

Dalam skrip menegur kesalahan bacaan para pelajar 4 Mutiara, saya telah menggunakan perkataan “Apabila…sebaliknya.”


Hadith rujukan; Hadith Badwi Kencing.

Anas bin Malik melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama Nabi Muhammad . Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabu Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad  memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau pun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza Wajalla, bersembahyang, dan membaca Al-Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad   menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. – Hadith no. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Sebaik mereka mendengar teguran saya, mereka lebih berhati-hati membaca ayat-ayat Al-Quran. Mereka akan menunggu sehingga saya habis membaca satu persatu potongan ayat surah Ibrahim, barulah mereka ikut membacanya. Ini membuatkan suasana pembelajaran sebenar dapat berlangsung dengan mudah di dalam kelas 4 Mutiara ini biar pun mereka adalah kelas paling belakang yang pada mulanya tidak fokus dan tiada minat belajar.

 Beri kerjasama membaca Al-Quran dengan baik sekalipun terpaksa berkongsi naskah Al-Qurah

Iqra'. Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan. 

Selepas tamat sesi bacaan Al-Quran, saya beralih pula kepada mengajarkan ilmu Tajwid yang terkandung di dalam ayat-ayat yang dibaca ketika sesi Tilawah tadi. Saya ulang kembali pelajaran Tajwid minggu lalu untuk memastikan apakah mereka mereka masih mengingati pelajaran yang diajar.

Saya bertanya, “Minggu lalu kita sudah belajar tajuk apa? Siapa ingat?”



“Em, Mad.”

“Mad, Ustazah.”

“Huruf Mad, Ustazah.”


Bebarapa orang pelajar cuba menjawab soalan saya walaupun jawapan mereka tidak tepat.

“Tajuk apa? Mad ke Mamat?” Tanya saya sekali lagi sengaja mahu mencetuskan suasana ceria di dalam kelas 4 Mutiara. Pelajar-pelajar tahun 4 Mutiara ketawa mendengar pertanyaan saya. Lalu mereka menjawab serentak.

“Mad, ustazah. Bukan mamat. Mamat itu nama orang.” Saya ikut ketawa lalu memuji mereka.

“Bagus, kamu ingat tajuk pelajaran Tajwid yang telah kita pelajari minggu lalu biar pun kurang tepat. Ustazah suka. Ini bermakna, kamu beri perhatian ketika Ustazah Maslinah mengajar.”


Pujian gaya Nabi yang diberikan sebenarnya amat membantu mendorong para pelajar 4 Mutiara untuk ikut peringkat berikutnya pembelajaran hari itu. Mereka ternyata seronok dipuji. Sesi P&P menjadi mudah apabila mereka sudah mula kelihatan minat belajar.

Saya menerangkan kembali tajuk Tanda dan Huruf-huruf Mad yang telah dipelajari oleh mereka pada minggu lalu. Lalu saya meminta mereka mengeluarkan buku tulis untuk menyalin kembali tajuk pelajaran Tajwid yang tidak sempat disalin pada minggu lalu. Mengajar kelas belakang memang biasanya satu tajuk akan memakan satu masa yang agak panjang.

Namun biasalah, para pelajar 4 Mutiara ini ada sahaja ragamnya. Mendorong mereka memerlukan masa yang agak lama sebagaimana pelajar-pelajar tahun 5 Ali dahulu. Self-esteem mereka harus benar-benar tinggi sekiranya seorang guru mahu mereka kerap mendengar kata.

Apabila saya memberi arahan agar mereka mengeluarkan buku latihan tadi, lambat sekali mereka mahu menurut. Mereka berdiri bangun mencari buku di dalam beg dan mencari di tempat buku di belakang kelas, namun masih sempat mengusik kawan dan bercakap-cakap. Hanya beberapa orang pelajar yang benar-benar mengikut arahan mengeluarkan buku dan segera menulis.

Saya malas mengambil pusing dengan perbuatan mereka. Saya jauh sekali mahu marah kerana saya tahu, sekiranya saya marah ia hanya akan membuang masa dan saya yang akan penat nanti. Memang sejak menjadi guru pengamal Teknik Nabi, saya perasan yang marah bukanlah jalan penyelesaian terbaik apabila pelajar membuat perangai. Nanti elok-elok mereka mahu menyalin, langsung mereka tidak mahu membuat kerja.

Sekali lagi saya menggunakan Teknik Menutup Mata Pada Kesalahan. Saya buat-buat tidak nampak apa yang sedang mereka lakukan. Saya teruskan menyalin di papan putih dengan niat, nanti sebaik selesai menyalin nota saya mahu memuji pelajar yang sudah mula menyalin nota yang diberikan tanpa menyentuh soal mereka yang masih bercakap, mengusik kawan dan sebagainya.

Ketika saya kusyuk menulis, tiba-tiba kedengaran seorang pelajar tahun 4 Mutiara yang berkata, “Anak syurga dengar cakap ustazah. Aku mahu jadi anak syurga, sebab itu aku sudah mula menulis.”


Tersenyum seorang diri saya mendengar kata-kata itu. Lantas saya berpaling ke belakang mencari arah datangnya suara tersebut. Rupa-rupanya ia merupakan suara Faizal si pengirim mesej cinta tempohari alias ketua kelas 4 Mutiara.

"Anak syurga dengar cakap ustazah. Aku mahu jadi anak syurga, sebab itu aku sudah mula menulis." (Faizal, duduk di hadapan yang mempunyai kotak pensil berwarna biru).

Memang pada minggu lalu saya membahasakan panggilan untuk para pelajar tahun 4 Mutiara sebagai ‘anak-anak syurga.’ Ketika kali pertama memanggil mereka dengan panggilan ‘anak-anak syurga’, mereka bertanya.

“Kenapa ustazah panggil kami ‘anak-anak syurga’?”



“Syurga itu suatu tempat yang sangat cantik dihuni oleh oleh orang baik-baik. Sementara ‘anak syurga’ adalah merupakan panggilan untuk anak yang baik-baik. Anak yang mendengar kata dan sangat baik dengan guru. Ustazah lihat, kamu semua ada ciri-ciri itu. Kerana itu ustazah mahu panggil kamu ‘anak-anak syurga’ biar nanti kamu akan benar-benar dapat masuk syurga.” Balas saya apabila mereka bertanya pada minggu lalu.

Apa sahaja yang mereka lakukan semasa sesi P&P pada minggu lalu, saya akan menyebut,

‘anak syurga begitu…’
‘anak syurga begini…’

Ini membuatkan mereka seronok dipanggil dengan panggilan tersebut. Hari ini, saya benar-benar terlupa mahu memanggil mereka sebagaimana panggilan pada minggu lalu. Sama sekali saya tidak menyangka Faizal masih mengingati panggilan tersebut dan menuturkan kata-katanya sebentar tadi.

Saya lantas memuji ingatan Faizal tersebut yang mengingati sikap atau ciri anak-anak syurga yang pernah dinyatakan minggu lalu. Pujian saya masih seperti biasa mengikut format pujian Teknik Nabi sebagaimana di atas.

“Bagus! Anak syurga bukan hanya mengikut kata-kata guru, anak syurga juga sentiasa mengingati pesanan guru mereka. Sukanya ustazah apabila ada yang mahu ikut dan ingat pesanan ustazah. Ini yang membuatkan ustazah mahu masuk selalu kelas ini.”


Faizal si pengirim mesej cinta alias ketua kelas 4 Mutiara senyum tersipu, tetapi gembira. Kemudian saya kembali mengulangi panggilan bagi semua pelajar tahun 4 Mutiara sebagai ‘anak-anak syurga’.


“Anak-anak syurga!” Sapa saya.


“Saya, ustazah.” Balas mereka beramai-ramai.


“Siapa di dalam kelas ini mahu jadi anak-anak syurga?”  Tanya saya lagi.


“Saya, ustazah.” Serentak jawapan mereka.

“Bagus, anak-anak syurga akhlaknya baik. Dia akan ikut semua kata guru. Siapa mahu ikut cakap ustazah?” Sengaja saya bertanya lagi.


“Saya…saya…saya.” Jawab mereka lagi

“Bagus, doa ustazah kamu semua akan jadi anak-anak syurga yang baik. Boleh anak-anak syurga ustazah yang baik dalam kelas 4 Mutiara ini salin nota yang ustazah tulis di papan putih?”



“Boleh, Ustazah.” Bersemangat sekali mereka menjawabnya.

Selepas saya menyudahkan mota di hadapan kelas, saya mula bergerak dari satu meja ke satu meja pelajar. Tujuan saya hanya satu, saya mahu dorong mereka menyiapkan nota dan menghantarnya.

Apabila saya melihat ada pelajar yang sudah menyalin separuh, saya memuji, “Bagus, kamu sudah tulis separuh. Sedikit lagi mahu habis, teruskan menulis. Nanti kerja kamu akan cepat siap.”

Apabila sampai di meja pelajar yang masih terkial-kial mahu menyalin, dan kerjanya baru menulis hari dan dan tarikh, saya juga memuji.

“Bagus, kamu sudah menggaris dan menulis hari juga tarikh. Ini menunjukkan kamu sudah bersedia mahu menyalin pelajaran di papan putih. Teruskan menyalin, lama-kelamaan kerja kamu akan siap.”



Tetap menyalin meskipun penulisan mereka memakan masa.

Saya terus mencari kebaikan-kebaikan yang dilakukan pelajar agar mereka dapat dipuji dengan pujian gaya Nabi dengan memasukkan 4 elemen utama dalam Teknik Memuji. Ada pelajar yang saya puji tulisan mereka, ada pelajar yang dipuji kecepatan mereka menulis dan ada pelajar yang dipuji kerana mengikut arahan guru menyalin nota. Hal ini membuatkan semua pelajar tahun 4 Mutiara memberi kerjasama sehingga sesi P&P tamat.

Selesai menyalin, saya meminta pula mereka mencari contoh-contoh tanda dan huruf Mad yang dipelajari di dalam ayat-ayat surah Ibrahim yang mereka baca di awal sesi P&P tadi. Mereka menurutinya dengan mudah. Saya tidak cukup kaki berjalan sekejap ke sebelah kanan, kiri dan tengah apabila pelajar memanggil berkali-kali mahu menunjukkan contoh yang mereka temui.

“Ustazah, ini…ini.”

“Ustazah, tengok ini betul tak?”

“Ustazah, sini..sini. Saya jumpa.”



Sesi mencari contoh-contoh Tanda dan Huruf-huruf Mad.

"Ustazah, sini..sini. Saya sudah jumpa."

Maha suci Allah. Kelas 4 Mutiara hari itu bising dengan kesungguhan para pelajar belajar yang memanggil-manggil saya berulangkali. Saya memuji-memuji mereka setiap kali mereka menunjukkan contoh yang mereka jumpai di dalam Al-Quran.

Apabila contoh yang mereka jumpai betul, saya memuji, “Bagus, kamu dapat cari contoh tanda dan huruf mad dengan betul. Ini menunjukkan kamu faham apa yang diajarkan. Ini juga menunjukkan kamu beri perhatian ketika sedang belajar. Nanti kita akan dapat baca Al-Quran tanpa kesalahan Tajwid lagi.”

Kepada pelajar yang menjumpai contoh tetapi salah juga saya puji. Saya berkata, “Bagus, kamu ada usaha belajar. Meskipun salah, kamu dapat pahala mencuba.”

Secara tidak langsung, pujian-pujian yang diberikan membuatkan para pelajar tahun 4 Mutiara terus mencuba dan mencari lebih banyak contoh-contoh tanda dan huruf Mad yang dipelajari. Pelajar yang pada mulanya salah memberikan contoh, terdorong membetulkan. Manakala pelajar yang sudah sedia betul dalam mencari contoh-contoh tanda dan huruf Mad berusaha mencari lebih banyak lagi contoh-contoh perbahasan tajuk yang mereka pelajari.

Alhamdulillah, proses mengajar di kelas paling belakang menjadi situasi yang amat menyeronokkan pada hari itu. Saya amat berpuashati bersama mereka. Terasa seakan saya diberi peluang mengulang kenangan belajar bersama pelajar-pelajar 5 Ali suatu masa dahulu. Sikap, perangai dan akademik mereka persis benar.

Paling seronok, apabila betul cara dorongan. Perubahan merreka dapat dilihat dalam kadar segera. Ia bukan hanya dapat dirasakan oleh saya tetapi juga para pelajar.

Sewaktu loceng dibunyikan bagi menandakan sesi P&P hari itu telah tamat, beberapa orang pelajar datang berjumpa saya. Mereka berkata, “Ustazah, Ustazah tinggal di mana?”



“Ustazah tinggal di Kajang Utama.” Ringkas jawapan saya.

“Kalaulah rumah ustazah dekat, kitaorang mahu datang mengaji dengan ustazah.” Seorang pelajar lelaki menyatakan keinginannya kepada saya.

“A’ahlah, ustazah. Hari-hari pun tidak mengapa.” Sampuk seorang pelajar lagi.

Saya senyum gembira. Apabila self-esteem  anak-anak kelas belakang meningkat, ternyata mereka punya kesedaran belajar sendiri. Dan siapa sangka, dorongan Teknik Nabi yang digabungkan bersama panggilan ‘anak-anak syurga’ sangat membantu meninggikan self-esteem mereka hari itu. Banyak impak positif yang berlaku dan proses P&P menjadi sangat mudah.

Alhamdulillah, terima kasih Allah.

Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...