Entri ini sudah lama saya tulis. Namun sering
ketiadaan masa untuk menyudahkannya secara sempurna. Dek kerana kekangan masa
yang amat mencemburui kebelakangan ini, banyak entri yang sudah dirangka,
terpaksa dibiarkan tersimpan di dalam komputer riba begitu sahaja.
Baiklah, saya mulakan entri kali ini dengan
laporan aplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas pelajar-pelajar 5 Ali sehari
sebelum sekolah bercuti untuk berhari raya Aidilfitri yang lalu.
Sehari sebelum sekolah bercuti, ramai pelajar
tidak hadir ke sekolah. Termasuklah pelajar-pelajar 5 Ali. Di dalam kelas 5
Ali, hanya beberapa orang pelajar sahaja yang masih tetap hadir ke sekolah.
Melihat kepada situasi pelajar yang tidak ramai hadir, pelajar-pelajar 5 Ali
yang hadir menjadi tidak bersemangat mahu belajar dan tidak mahu terus berada
di sekolah.
“Ustazah, kita tak payah belajarlah hari ini.
Ramai orang tak ada.”
“Ha’ah, Ustazah. Kita tak payah belajar.”
“Ustazah, kita pergi perpustakaanlah.”
“Ustazah, hari ini kita balik awal ya. Lagi
pun nak raya. Bolehlah ustazah.”
“Ustazah, ramai yang tak datang. Ini pun tak
sampai sepuluh orang. Kita tak payah belajar ya.”
Saya hanya diam mendengar permintaan mereka. Saya
juga tidak menegur kesilapan mereka yang datang ke sekolah, tetapi tidak mahu
belajar. Saya telah mengaplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan seperti
dalam hadith 12 Malaikat pada hari tersebut.
Anas melaporkan, pada suatu hari ada
seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang
sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar
waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban
mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah
tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak
seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang
mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang
berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan
termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad
berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat
kata-kata itu.” -Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam
hadith ini, seorang lelaki melakukan beberapa kesalahan secara terbuka di
dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang. Namun Nabi Muhammad
sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:
"Orang
lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan
kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)"
Apabila
saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)
Di
sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah
prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki
itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa dirinya dimalukan
di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak jatuh.
Dalam kelas 5 Ali, saya tidak memarahi
pelajar yang datang ke sekolah tetapi tidak mahu belajar dengan berkata, “Kamu
ini datang ke sekolah, tetapi tidak mahu belajar. Kamu nak jadi apa tidak
belajar? Nak jadi bodoh?” (SALAH)
Saya juga tidak menegur pelajar dengan
berkata, “Kalau tidak mahu belajar, mengapa kamu datang juga ke sekolah. Baik
kamu duduk sahaja di rumah, tidak payah belajar.” (SALAH)
Saya juga tidak menasihati para
pelajar-pelajar tersebut dengan berkata, “Kamu kena belajar. Kalau kamu
belajar, kamu akan jadi pandai dan lulus dalam peperiksaan. Hanya dengan
belajar kamu akan dihormati oleh ramai orang.” (SALAH)
Sebaliknya, saya menggunakan pendekatan
aplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan dan Format
Pujian Nabi seperti dalam hadith 12 Malaikat dan hadith Pintu Langit Terbuka.
Meskipun pelajar-pelajar 5 Ali tidak mahu
belajar pada hari tersebut, tetapi mereka tetap hadir ke sekolah di kala
rakan-rakan lain sudah mula bercuti untuk berhari raya. Ia merupakan satu
kebaikan.
Jadi, saya memuji perbuatan mereka menggunakan
Format Pujian Nabi dengan berkata, “Sungguh ustazah kagum kamu datang ke
sekolah walaupun ramai kawan kamu telah
bercuti. Ustazah sangat yakin, sekiranya kamu terus datang ke sekolah,
kamu akan lulus cemerlang dalam peperiksaan UPKK nanti.”
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak
melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki
berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi
bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada
orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu
menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Saya kagum
dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam
laporannya, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata
begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.” –Rekod Hadith
Muslim
Antara ciri-ciri pujian Nabi Muhammad di
dalam hadith ini ialah:
- Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya.
- Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
- Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.
Format pujian Teknik Nabi;
Pujian dimulakan dengan ayat, “Saya kagum…,”
“Saya suka…,”
“Saya bangga…,
“Saya gembira…”
“Saya kagum dengan
kata-kata itu.”
“Sungguh ustazah kagum kamu datang…”
Puji hasil kerja:
“Saya kagum dengan
kata-kata itu.”
“Sungguh ustazah kagum kamu datang ke sekolah
walaupun ramai kawan kamu telah bercuti.
Nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji:
“Pintu-pintu
langit dibuka kerana kata-kata itu.”
“Ustazah sangat yakin, sekiranya kamu terus
datang ke sekolah, kamu akan lulus cemerlang dalam peperiksaan UPKK nanti.”
Pelajar-pelajar 5 Ali yang mendengar pujian
saya diam memandang saya yang duduk di meja guru. Kalau tadi mereka
bermalas-malas mahu belajar, kini mereka bertanya pula apakah tajuk yang akan
dipelajari pada hari itu.
Sebaik melihat respon positif mereka, saya
mulakan P&P pada hari tersebut dengan menyemak kertas ujian prestasi
bersama pelajar. Memandangkan pelajar yang hadir tidak ramai, P&P pada hari
itu dijalankan secara santai.
Sebaik selesai menyemak soalan Ujian Prestasi
Dua, P&P diteruskan dengan menyambung ujian lisan UPKK bagi silibus
Penghayatan Hidup Islam dan Amali Solat kepada pelajar yang masih belum menduduki
ujian lisan. Barangkali kerana bosan menunggu giliran, pelajar-pelajar 5 Ali
yang sudah tamat ujian lisan mula tidak senang duduk.
“Ustazah, saya nak tolong cuci meja boleh?”
Tiba-tiba Al-Fateh yang menjadi ketua kelas 5
Ali datang ke meja guru memohon kebenaran untuk mencuci dan gosok menggosok meja pelajar yang
telah dihiasi dengan pelbagai corak hasil kreatif pen dan pensil pelajar 5 Ali. Di
belakangnya, Abang Ngah setia menyokong permintaan Al-Fateh. Saya pandang wajah
Al-Fateh dan Abang Ngah lama silih berganti. Akhirnya saya mengangguk memberi kebenaran.
Al-Fateh bertindak mengepalai aktiviti
mencuci meja-meja pelajar 5 Ali. Dia mengajak rakan-rakan 5 Ali yang sudah selesai
menjalani ujian lisan UPKK membantunya. Saya hanya memerhatikan dari meja guru
sambil meneruskan ujian lisan kepada pelajar yang masih belum selesai.
Al-Fateh mengepalai aktiviti mencuci dan gosok menggosok meja pelajar-pelajar 5 Ali
Aktiviti mencuci meja berjalan dengan baik.
Al-Fateh dan rakan-rakannya memang berusaha keras mencuci contengan dan tulisan hasil kreativiti pelajar kelas 5 Ali. Melihatkan kesungguhan mereka mencuci meja,
pelajar-pelajar dari kelas 4 Abu Bakar yang berhadapan dengan kelas 5 Ali
datang melihat di muka pintu.
“Saya mahu tengok sahaja.” Salah seorang
daripada pelajar-pelajar 4 Abu Bakar yang mengerumuni pintu kelas 5 Ali
memberitahu.
Saya hanya membiarkan mereka menonton
aktiviti mencuci meja di dalam kelas 5 Ali tanpa mengajak atau menyuruh mereka
membantu Al-Fateh dan rakan-rakannya.
Namun, melihatkan kegigihan dan kesungguhan
Al-Fateh dan rakan-rakannya bekerja mencuci meja, saya menjadi kagum. Mereka
bukan sahaja mencuci meja sendiri, tetapi juga mencuci meja semua pelajar 5 Ali
yang tidak hadir pada hari tersebut. Saya langsung memuji Al-Fateh dan
rakan-rakannya di hadapan pelajar-pelajar 4 Abu Bakar yang setia menonton
aktiviti mencuci dan menggosok meja dari muka pintu.
"Apa yang penting, kerjasama!"
Gosok, jangan tak gosok!
Gosok, jangan tak gosok!
Saya berkata, “Ustazah kagum melihat kamu
bersungguh-sungguh membersihkan meja. Kalau hari biasa kamu membuat satu kebaikan
Allah memberikan satu pahala, tetapi hari ini, satu kebaikan kamu lakukan Allah
pasti memberikan pahala berlipat kali ganda kerana hari ini adalah hari baik.
Bulan ini adalah bulan Ramadan. Ustazah yakin, puasa kamu akan diterima Allah
dengan balasan pahala yang sangat banyak.”
Al-Fateh dan pelajar-pelajar tambah
bersemangat mencuci meja. “Woi, kau cuci meja belah sana. Yang belah sini biar
aku buat.” Jerit satu suara.
“Korang punya meja ni tak bersih. Guna ini!” Al-Fateh memberi arahan.
Saya yang masih duduk di meja guru
menjalankan ujian lisan UPKK tersenyum melihat gelagat Al-Fateh dan
rakan-rakannya. Apa yang memeranjatkan, sebaik pujian tersebut dilafazkan,
beberapa orang pelajar 4 Abu Bakar yang setia menonton di muka pintu tadi datang ke
meja saya dan memohon izin untuk turut bekerjasama membantu aktiviti mencuci meja dan
gosok-menggosok pada hari tu. Nampaknya, pujian di tempat terbuka kepada pelajar-pelajar 5 Ali telah mendorong mereka untuk turut sama mencuci meja dan meraih pahala. Maha suci Allah!
Dua pelajar 4 Abu Bakar ini terdorong membantu aktiviti mencuci meja dan gosok menggosok selepas mendengar pujian yang diberikan kepada pelajar 5 Ali
Walau berpuasa, tetap bersemangat mengejar pahala
Aiyak! Sampai kaki ikut mencuci =)
Dua pelajar perempuan 5 Ali yang hadir; Nini dan Ecah turut mencuci meja dan terlibat dalam aktiviti gosok menggosok
Walau sendiri, pelajar kelas 4 Abu Bakar ini masih tetap mencuci
Ustazah Siti Khadijah
Alhamdulillah, terima kasih kerana menulis lagi..
ReplyDeleteSyabas cikgu, berjaya mendidik cara Rasulullah dn mahu dikongsikan bersama. Teruskan perkongsian ini supaya lebih ramai dapat mengamalkannya, termasuk saya, insyaAllah.
ReplyDeleteUstazah, teruskan menulis. Terima kasih atas perkongsian yg sgt bermanfaat utk ummah. :)
ReplyDeleteUstazah, hampir setiap hari saya ternanti-nanti entri terbaru... Saya telah diperkenalkan oleh seorang kawan tentang blog ustazah bulan lepas... Kesemua entri telah saya baca... Saya berazam semoga ilmu yg ustazah kongsikan dapat diamalkan terutama dengan anak-anak. Namun, cabaran yg saya hadapi adalah hendak menyusun ayat-ayat pujian dan memberi impak sebagaimana sunnah Nabi SAW secara spontan bila bersama anak2. Saya bersyukur diperkongsikan ilmu ini... Niat ustazah ini sungguh murni dan saya doakan agar Allah memberi keberkatan dan rahmatNya kpd ustazah dan keluarga...
ReplyDeleteFauziah, Shah Alam