Sunday, December 9, 2012

Berbengkel Bersama Ustazah Siti Khadijah


Atas permintaan, sekali lagi saya akan turun ke Seremban untuk perkongsian Bengkel Mendorong Pelajar Kelas Corot dengan Teknik Nabi Muhammad. Kalau sebulan yang sudah bengkel setengah hari di Senawang, kali ini bengkel sehari di Seremban Forest Height.


Pihak penganjur membuka bengkel ini untuk siapa sahaja yang berminat. Bagi tuan, puan, cikpuan, ibubapa, cikgu-cikgu, ustaz, ustazah dan bakal -bakal guru yang berkelapangan pada 15 Disember 2012 dan berminat menyertai bengkel ini, boleh hubungi Puan Norzila Zainal (013-6309285) untuk maklumat lanjut.

Untuk bengkel kali ini, setiap peserta yang mendaftar akan menerima ebook Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad dalam bentuk cd beserta dengan videonya sekali.

Terhad kepada 40 orang peserta sahaja. Boleh juga mendaftar kepada pengurus ustazah Siti Khadijah. Sms Tuan Asyraff Hafdzan bin Abdullah 019-3939094. Mohon disertakan nama penuh, no telefon, dan alamat emel.

*Mohon disebarkan kepada rakan-rakan yang lain.

Wednesday, November 21, 2012

Peratus Kelulusan Pelajaran Kelas 5 Ali Mengatasi Kelas 5 Omar dan 5 Othman

“Peratus keseluruhan pelajar-pelajar kelas 5 Ali mencapai 100%?” Saya bertanya sendiri sebaik selesai menyiapkan analisa ujian Prestasi Dua bagi kelas 5 Ali. Seakan tidak percaya. Apakah saya telah salah ‘key in’ markah atau memang benar semua pelajar 5 Ali lulus dalam ujian Prestasi Dua kali ini.

Analisa ujian Prestasi Dua Kelas 5 Ali.

Kerana sukar untuk mempercayai, saya menyemak kembali satu persatu nama-nama pelajar 5 Ali dan markah setiap matapelajaran yang diambil mereka dalam ujian prestasi dua baru-baru ini. Boleh jadi saya tersilap dalam memasukkan markah di dalam komputer. Namun setelah meneliti nama-nama pelajar dan markah setiap matapelajaran mereka, ternyata ia tetap sama seperti yang tertera di dalam komputer riba.

Saya kaget dan kehilangan kata-kata. Rasa ngilu dan sebak mula menghuni tangkai hati. Sungguh saya dilanda debar yang maha hebat.

Segera saya terbayangkan wajah beberapa orang pelajar 5 Ali yang tidak pernah mencapai peratus lulus, baik dalam ujian prestasi satu mahupun dalam peperiksaan semester pertama yang lalu. Sekiranya lulus pun, peratusnya betul-betul atas pagar; 40%.

“Boboi, Zack, Angah 2, Mimi, Syafiq, Profesor Syahmi, Nano, Nisrina! Apa sudah jadi pada mereka?” Saya benar-benar seperti dikejutkan dengan suatu perkara diluar jangka.

Sekali lagi, nama dan markah lapan pelajar ini saya amati satu persatu. Subhanallah, memang peratus kelulusan mereka tidak menunjukkan mereka gagal seperti sebelum ini. Malah Boboi, Syafiq, Zack dan Angah 2 yang selalu gagal dalam hampir semua mata pelajaran lulus dengan peratus yang sangat baik dalam semua matapelajaran yang saya ajarkan. Bukan lagi atas pagar 40% tetapi 50% ke atas. Saya keharuan, dan amat yakin semuanya berkat aplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas mereka.

Saya masih ingat, sepanjang sepuluh bulan mengajar dan mengaplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas mereka, saya tidak memaksa mereka belajar. Saya tidak melakukan perkara-perkara di bawah;
  • Saya tidak memarahi mereka; “Kamu ini mahu jadi apa hah? Kalau tidak mahu belajar, baik kamu tidak usah datang ke sekolah.”
  • Saya tidak menasihati mereka; “Kamu mesti belajar bersungguh-sungguh. Tidak boleh main-main. Nanti kamu tidak akan lulus dalam ujian dan peperiksaan.”
  • Saya tidak mengancam atau mengugut mereka; “Sekiranya kamu tidak memberi perhatian dan tidak menyiapkan kerja rumah yang ustazah berikan, jangan balik hari ini.”
  • Saya tidak membanding-bandingkan mereka dengan pelajar kelas tahun 5 yang lain; “Kamu mesti belajar macam budak kelas 5 Abu Bakar. Ustazah masuk kelas mereka, tidak payah suruh mereka ulangkaji pelajaran, mereka ulangkaji sendiri. Bukan macam kamu, asyik main sahaja.”
  • Saya juga tidak menghukum mereka sekiranya mereka tidak siap kerja atau tidak menghafaz; “Oleh kerana kamu tidak hafaz ayat dan tajuk sekian-sekian, ketuk ketampi 30 kali sekarang!” 
Yang saya lakukan hanya mendorong mereka menggunakan Teknik Nabi Muhammad.
  • Saya tidak jemu mengulang Teknik Pujian Format Nabi Muhammad (baca di sini) setiap kali melihat mereka melakukan satu-satu kerja dengan teknik yang betul meskipun hasilnya salah.
  • Saya aplikasikan Teknik Memberi Markah Dorongan (baca di sini)- aplikasi hadith salam.
  • Saya gunakan Teknik Penolong Guru (baca di sini), Teknik Semua Pelajar Angkat Tangan (baca di sini), Teknik Menyelesaikan Konflik (baca di sini), Teknik Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan(baca di sini), Teknik Tutup Mata Pada Kesalahan (baca di sini) dan lain-lain Teknik Nabi Muhammad lagi.
Saya juga masih ingat, setiap kali apabila mereka diminta menjawab soalan baik di dalam buku tulis, di papan putih atau menjawab soalan yang saya tanyakan, selalu mereka akan kata, “Ustazah, saya tak tahu!"
Saya akan balas, “Tidak mengapa, ustazah ajar kamu sampai tahu.”

Apabila mereka kata; “Ustazah, susahlah.”
Saya jawab; “Kita cari dan mula dengan yang mudah dahulu.”

Apabila mereka kata; “Saya tidak hafaz, ustazah.”
Saya jawab, “Baca sahaja yang kamu hafaz.”

Apabila mereka kata, “Ustazah, kita tak usah belajarlah hari ini. Bukan semua orang datang.”
Saya puji mereka menggunakan format pujian Teknik Nabi. Saya kata, “Ustazah kagum. Kehadiran kamu yang hanya bebarapa orang ini akan membantu kamu memahami pelajaran lebih daripada rakan-rakan yang tidak hadir.”

Apabila mereka berkata, “Ustazah, kita pergi perpustakaan sahaja.”
Saya jawab, “Boleh, tetapi setelah kita belajar pelajaran baru hari ini. Waktu di perpustakaan tidak akan terganggu dan akan lebih lama kerana kita sudah selesai belajar.”

Apabila mereka berkata, “Ustazah, saya tidak bawa buku.”
Saya jawab; “Tulis di kertas kosong dahulu. Nanti tampal di dalam buku yang tertinggal.”
“Kongsi dengan kawan sebelah. Kawan sebelah kamu akan dapat pahala sebab tolong orang belajar ilmu Allah.”

Apabila mereka kata, “Ustazah, kelas lain tak belajar pun. Kita tak payahlah belajar. Kita main jugalah ustazah.”
Saya jawab, “Ya, mari kita main mengingat dan menghafal isi-isi penting dan tulis di papan putih. Kita lawan siapa yang paling baik bekerjasama dalam kumpulan dia dikira menang.”

Kerana perkara-perkara ini pelajar 5 Ali mencapai kelulusan 100%. Allahu akbar! Benar Allah itu sangat kaya, sungguh setiap yang Rasulullah lakukan tiada yang sia-sia. Ia mengandungi hikmah yang tidak kita jangka. Ini buktinya! 

Lebih mengejutkan, setelah sepuluh bulan didorong dengan Teknik Nabi Muhammad, bukan sahaja pelajar 5 Ali lulus 100% dalan ujian Prestasi Dua, malah peratus kelulusan mereka telah mengatasi dua kelas tahun 5 yang lain; 5 Omar dan 5 Othman. 5 Ali kelas kedua terbaik selepas kelas cemerlang 5 Abu Bakar! Ini satu rekod baru buat pelajar kelas corot 5 Ali.



Analisa ujian Prestasi Dua 5 Omar.




Ini pula analisa Ujian Prestasi Dua kelas 5 Othman.

*Saya tidak menyertakan analisa ujian Prestasi Dua kelas 5 Abu Bakar kerana 5 Abu Bakar adalah kelas cemerlang. Peratus kelulusan keseluruhan mereka tidak pernah gagal.

Ustazah Siti Khadijah

Friday, October 12, 2012

"Kalau Ustazah Emak Saya, Saya Akan Peluk Ustazah Sekarang."

Petang Jumaat seminggu yang lalu, sedang saya ralit menyiapkan tugasan yang tertangguh di meja sendiri, seorang pelajar lelaki yang tidak bersongkok dan berstokin datang ke pejabat untuk meminta plastik sampah. Sebaik terlihatkan saya yang sedang menulis catatan di dalam buku rekod mengajar, dia berpatah kembali dari pejabat  menuju ke meja saya.

“Assalamualaikum, ustazah.” Sapanya ramah.

“Wa’alaikumussalam. Oh, kamu.” Saya membalas sapaan pelajar tersebut.


“Saya mahu minta plastik sampah. Tapi apabila nampak ustazah, saya rasa mahu berbual dengan ustazah.” Terangnya jujur.


Saya senyum mendengar kata-katanya. Kemudian saya memberitahu kepadanya, “Kamu boleh minta plastik sampah dengan meminta kepada ustazah yang ada di dalam pejabat. Di sini tiada plastik sampah.”




“Saya tahu. Tetapi saya tetap mahu berbual dengan ustazah.” Sambungnya lagi.

Mengenangkan masa itu bukanlah waktu rehat, saya menyambung lagi, “Nanti pada waktu rehat, kamu datang lagi. Kita boleh berbual lebih panjang. Sekarang masih belum waktu rehat. Pelajar tidak dibenarkan berada di luar kelas kecuali dengan kebenaran guru. Lagi pula, tidak baik buat orang tertunggu-tunggu. Mana tahu rakan-rakan dan guru kamu sedang menunggu plastik sampah. Kasihan mereka.”

Dalam Teknik Nabi Muhammad mendorong orang corot, apabila seseorang melakukan kesalahan, Nabi Muhammad tidak akan memarahi mereka. Sebaliknya, Nabi hanya menerangkan.

Anas bin Malik melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab daripada kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. ~Hadith Rekod Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prinsip-prinsip berikut:
  • Ada kesalahan yang yang mesti dibiarkan ia dilakukan sampai selesai, seperti dalam kes ini Nabi Muhammad tidak membenarkan lelaki itu diganggu sehingga menyelesaikan kencingnya.
  • Faktor menjaga kesihatan pesalah adalah lebih utama daripada menyuruh pesalah itu menghentikan kesalahan yang sedang dilakukannya.
  • Ada jenis kesalahan yang pesalah tidak disuruh membetulkan kesan kesalahannya, sebaliknya orang lain yang diminta melakukannya. ~Buku Bengkel Mendorong Pelajar Kelas Corot 
Dalam situasi yang berlaku pada hari itu, ada beberapa kesalahan yang telah dilakukan oleh pelajar tersebut. Antaranya ialah;
  1. Tujuan asal pelajar tersebut datang ke pejabat untuk meminta plastik sampah. Sebaik melihat saya berada di meja guru, dia langsung melupakan tujuan asalnya.
  2. Masa tersebut adalah masa belajar, namun dia berada di luar kelas dengan tujuan mahu berbual.
  3. Tidak memakai songkok dan stokin.
Berpandukan hadith Badwi Kencing, saya telah mengaplikasi Teknik Menegur dengan Menerangkan.
  • Saya tidak memarahi pelajar tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu berada di sini, bukankah sekarang masa belajar?” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar tersebut dengan berkata, “Masuklah ke dalam kelas untuk belajar. Nanti kamu akan jadi pandai.” (SALAH)
  • Saya tidak mengkritik pelajar tersebut dengan berkata, “Sudah tahu mahu meminta plastik sampah, mengapa kamu datang berjumpa saya. Di sini bukan tempat meminta plastik sampah.” (SALAH)
Sebaliknya saya menegur dengan menerangkan kepada pelajar tersebut dengan berkata, “Nanti pada waktu rehat, kamu datang lagi. Kita boleh berbual lebih panjang. Sekarang masih belum waktu rehat. Pelajar tidak dibenarkan berada di luar kelas kecuali dengan kebenaran guru. Lagi pula, tidak baik buat orang tertunggu-tunggu. Mana tahu rakan-rakan dan guru kamu sedang menunggu plastik sampah. Kasihan mereka.”

Sebaik mendengar kata-kata saya, pelajar tersebut akur dan kembali kepada tujuan asal mengapa dia datang ke pejabat. Namun setelah mendapatkan plastik sampah, dia menyinggah lagi di meja saya untuk meninggalkan pesanan.

Katanya, “Ustazah, nanti masa rehat saya mahu datang berbual dengan ustazah ya.”

Saya mengiyakan kata-katanya, dan kemudian sempat mengaplikasi satu lagi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan.

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” ~Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith ini, seorang lelaki melakukan beberapa  kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang. Namun Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:
  
"Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)"
Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)

Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa  dirinya dimalukan di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak  jatuh.

Oleh kerana pelajar tersebut tidak memakai songkok dan stokin, saya berkata, “Ustazah suka melihat kamu memakai songkok. Pakaian kamu akan kelihatan lebih kemas dan rapi sekiranya kamu memakai songkok.”
  • Saya tidak memarahi pelajar itu dengan berkata, “Kamu tidak pakai songkok. Perbuatan kamu ini salah. Kamu telah melanggar peraturan sekolah.” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar itu supaya tidak mengulang kesalahan yang sama dengan berkata, “Lain kali, jangan tidak pakai songkok lagi. Nanti saya akan bawa kamu jumpa guru besar.” (SALAH)
  • Saya juga tidak bertanya apa-apa soalan bagi menyiasat kesalahan pelajar tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu tidak pakai songkok?”, “Mengapa kamu ini selalu sangat tidak pakai songkok?” (SALAH)
Tiba-tiba pelajar tersebut menyambung kata-kata saya, “Kalau pakai stokin mesti lebih bagus kan ustazah. Nanti masa perhimpunan, saya tidak akan didenda lagi.”

Saya mengangguk membenarkan kata-katanya. Sebelum menuruni tangga, sempat dia berkata, “Ustazah, rehat nanti saya akan datang lagi untuk berbual dengan ustazah. Saya akan pakai songkok dan stokin.”

“Baik. Ustazah tunggu kamu.” Balas saya sambil menghadiahkan senyuman yang paling manis buatnya.

Sebenarnya, pelajar tersebut adalah pelajar tegar tidak bersongkok di sekolah. Setiap kali perhimpunan sekolah diadakan, dia akan ditarik oleh pengawas sekolah supaya berdiri di hadapan perhimpunan kerana kesalahan tidak bersongkok. Sudah berulangkali dia didenda berdiri di hadapan perhimpunan sekolah dan kadangkala dicubit perut oleh guru disiplin, namun dia masih juga liat mahu bersongkok.

Saya tidak mengenali namanya kerana dia bukan pelajar darjah lima. Saya hanya mengenal wajahnya lantaran dia berulangkali berdiri di perhimpunan sekolah kerana kesalahan tidak bersongkok. Kami baru berbaik-baik sejak pertemuan pertama di pejabat beberapa bulan yang lalu.

Ketika itu, dia berlegar-legar di ruang pejabat tanpa tujuan. Melihat saya duduk di meja sendiri, dia datang menegur. Tegurannya disambut baik. Kami berbual beberapa perkara. Saya tidak menegur perbuatannya yang tidak bersongkok dan berlegar di pejabat tanpa tujuan. Sebaliknya hanya mengaplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan sama seperti situasi di atas. Hasilnya, semasa perhimpunan sekolah petang hari itu, dia tidak didenda lagi atas kesalahan tidak bersongkok.

Barangkali, kerana saya jarang bertemu dengannya, dan jarang dapat mengaplikasi Teknik Nabi kepadanya, dia tetap mengulang kesalahan yang sama. Di hari-hari perhimpunan sekolah seterusnya dia masih tetap didenda atas kesalahan yang sama.

Pada waktu rehat petang hari Jumaat itu, dia datang lagi menunaikan kata-katanya. Kali ini, dia datang lengkap bersongkok dan berstokin. Saya memujinya menggunakan Format Pujian Nabi. Pujian saya berbunyi, “Wah, bagus! Ustazah suka melihat kamu bersongkok. Tentu kamu tidak akan dihukum lagi kerana telah memakai songkok.” (Baca Teknik Format Pujian Nabi di sini)

Dia hanya tersenyum-senyum mendengar pujian saya. Saya mempelawa dia duduk bersama di meja. Makanan yang dibekalkan suami pada hari itu saya hidangkan di atas meja. Saya menjemput dia makan bersama. Dia sangat teruja.

Semasa makan, kami berbual bercerita pelbagai perkara. Barulah saya tahu bahawa dia salah seorang pelajar kelas corot bagi tahun empat. Kawan-kawannya yang kebetulan mahu pergi ke perpustakaan juga menyinggah di meja saya. Saya ajak mereka semua makan bersama. Jelas kelihatan di wajah mereka rasa terkejut. Mungkin hairan bagaimana rakannya boleh mendapat layanan istimewa daripada seorang guru.

Kami berbual lagi. Di hadapan kawan-kawannya saya disua pertanyaan, “Ustazah, kenapa ustazah tak garang macam guru-guru lain? Ustazah tidak marah-marah saya tidak pakai songkok dan stokin.”

Saya menjawab, “Kerana Nabi tidak pernah memarahi atau memukul orang yang buat salah. Nabi buat baik pada semua orang tidak kira orang itu orang baik atau tidak. Ustazah mahu ikut Nabi, kerana itu ustazah tidak mahu marah-marah dan pukul kamu.”

Dia dan rakan-rakannya memandang saya lama setelah mendengar jawapan tersebut. Ketika berdiri mahu menghadiri perhimpunan sekolah, dia berkata, “Ustazah, salam. Saya mahu turun ke perhimpunan. Nanti ustazah turun ya. Saya dan kawan-kawan tunggu ustazah.”

Saya mengangguk kepala. Baru beberapa langkah berjalan, dia memanggil saya. Katanya, “Ustazah, kalau ustazah emak saya, saya akan peluk Ustazah sekarang.”

Kalbu saya dibuai sayu dan keharuan. Walaupun bayang pelajar tersebut telah hilang di pandangan, kata-katanya masih terngiang-ngiang. Benarlah Teknik Nabi ini mukjizat. Pelajar corot itu apabila dilayan mengikut perlakuan Nabi, menatijahkan impak yang tidak dapat dijangkakan. 

Pelajar corot ini menjadi sangat istimewa apabila dilayan dengan cara yang betul

Ustazah Siti Khadijah

Friday, October 5, 2012

Gosok, Jangan Tak Gosok!

Entri ini sudah lama saya tulis. Namun sering ketiadaan masa untuk menyudahkannya secara sempurna. Dek kerana kekangan masa yang amat mencemburui kebelakangan ini, banyak entri yang sudah dirangka, terpaksa dibiarkan tersimpan di dalam komputer riba begitu sahaja.

Baiklah, saya mulakan entri kali ini dengan laporan aplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas pelajar-pelajar 5 Ali sehari sebelum sekolah bercuti untuk berhari raya Aidilfitri yang lalu.

Sehari sebelum sekolah bercuti, ramai pelajar tidak hadir ke sekolah. Termasuklah pelajar-pelajar 5 Ali. Di dalam kelas 5 Ali, hanya beberapa orang pelajar sahaja yang masih tetap hadir ke sekolah. Melihat kepada situasi pelajar yang tidak ramai hadir, pelajar-pelajar 5 Ali yang hadir menjadi tidak bersemangat mahu belajar dan tidak mahu terus berada di sekolah.

“Ustazah, kita tak payah belajarlah hari ini. Ramai orang tak ada.”

“Ha’ah, Ustazah. Kita tak payah belajar.”

“Ustazah, kita pergi perpustakaanlah.”

“Ustazah, hari ini kita balik awal ya. Lagi pun nak raya. Bolehlah ustazah.”

“Ustazah, ramai yang tak datang. Ini pun tak sampai sepuluh orang. Kita tak payah belajar ya.”

Saya hanya diam mendengar permintaan mereka. Saya juga tidak menegur kesilapan mereka yang datang ke sekolah, tetapi tidak mahu belajar. Saya telah mengaplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan seperti dalam hadith 12 Malaikat pada hari tersebut.

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith ini, seorang lelaki melakukan beberapa  kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang. Namun Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:
  
"Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)"
Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)

Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa  dirinya dimalukan di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak  jatuh.

Dalam kelas 5 Ali, saya tidak memarahi pelajar yang datang ke sekolah tetapi tidak mahu belajar dengan berkata, “Kamu ini datang ke sekolah, tetapi tidak mahu belajar. Kamu nak jadi apa tidak belajar? Nak jadi bodoh?” (SALAH)

Saya juga tidak menegur pelajar dengan berkata, “Kalau tidak mahu belajar, mengapa kamu datang juga ke sekolah. Baik kamu duduk sahaja di rumah, tidak payah belajar.” (SALAH)

Saya juga tidak menasihati para pelajar-pelajar tersebut dengan berkata, “Kamu kena belajar. Kalau kamu belajar, kamu akan jadi pandai dan lulus dalam peperiksaan. Hanya dengan belajar kamu akan dihormati oleh ramai orang.” (SALAH)

Sebaliknya, saya menggunakan pendekatan aplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan dan Format Pujian Nabi seperti dalam hadith 12 Malaikat dan hadith Pintu Langit Terbuka.

Meskipun pelajar-pelajar 5 Ali tidak mahu belajar pada hari tersebut, tetapi mereka tetap hadir ke sekolah di kala rakan-rakan lain sudah mula bercuti untuk berhari raya. Ia merupakan satu kebaikan.

Jadi, saya memuji perbuatan mereka menggunakan Format Pujian Nabi dengan berkata, “Sungguh ustazah kagum kamu datang ke sekolah walaupun ramai kawan kamu telah  bercuti. Ustazah sangat yakin, sekiranya kamu terus datang ke sekolah, kamu akan lulus cemerlang dalam peperiksaan UPKK nanti.”

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam laporannya, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.”Rekod Hadith Muslim

Antara ciri-ciri pujian Nabi Muhammad di dalam hadith ini ialah:
  1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya. 
  2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
  3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.
Format pujian Teknik Nabi;
Pujian dimulakan dengan ayat, “Saya kagum…,”
“Saya suka…,”
“Saya bangga…,
“Saya gembira…”
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“Sungguh ustazah kagum kamu datang…”

Puji hasil kerja:
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“Sungguh ustazah kagum kamu datang ke sekolah walaupun ramai kawan kamu telah  bercuti.

Nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji:
Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.”
“Ustazah sangat yakin, sekiranya kamu terus datang ke sekolah, kamu akan lulus cemerlang dalam peperiksaan UPKK nanti.”

Pelajar-pelajar 5 Ali yang mendengar pujian saya diam memandang saya yang duduk di meja guru. Kalau tadi mereka bermalas-malas mahu belajar, kini mereka bertanya pula apakah tajuk yang akan dipelajari pada hari itu.

Sebaik melihat respon positif mereka, saya mulakan P&P pada hari tersebut dengan menyemak kertas ujian prestasi bersama pelajar. Memandangkan pelajar yang hadir tidak ramai, P&P pada hari itu dijalankan secara santai.

Sebaik selesai menyemak soalan Ujian Prestasi Dua, P&P diteruskan dengan menyambung ujian lisan UPKK bagi silibus Penghayatan Hidup Islam dan Amali Solat kepada pelajar yang masih belum menduduki ujian lisan. Barangkali kerana bosan menunggu giliran, pelajar-pelajar 5 Ali yang sudah tamat ujian lisan mula tidak senang duduk.

“Ustazah, saya nak tolong cuci meja boleh?”

Tiba-tiba Al-Fateh yang menjadi ketua kelas 5 Ali datang ke meja guru memohon kebenaran untuk mencuci dan gosok menggosok meja pelajar yang telah dihiasi dengan pelbagai corak hasil kreatif pen dan pensil pelajar 5 Ali. Di belakangnya, Abang Ngah setia menyokong permintaan Al-Fateh. Saya pandang wajah Al-Fateh dan Abang Ngah lama silih berganti. Akhirnya saya mengangguk memberi kebenaran.

Al-Fateh bertindak mengepalai aktiviti mencuci meja-meja pelajar 5 Ali. Dia mengajak rakan-rakan 5 Ali yang sudah selesai menjalani ujian lisan UPKK membantunya. Saya hanya memerhatikan dari meja guru sambil meneruskan ujian lisan kepada pelajar yang masih belum selesai.

Al-Fateh mengepalai aktiviti mencuci dan gosok menggosok meja pelajar-pelajar 5 Ali

Aktiviti mencuci meja berjalan dengan baik. Al-Fateh dan rakan-rakannya memang berusaha keras mencuci contengan dan tulisan hasil kreativiti pelajar kelas 5 Ali. Melihatkan kesungguhan mereka mencuci meja, pelajar-pelajar dari kelas 4 Abu Bakar yang berhadapan dengan kelas 5 Ali datang melihat di muka pintu.

 Aktiviti gosok menggosok bermula

“Saya mahu tengok sahaja.” Salah seorang daripada pelajar-pelajar 4 Abu Bakar yang mengerumuni pintu kelas 5 Ali memberitahu.

Saya hanya membiarkan mereka menonton aktiviti mencuci meja di dalam kelas 5 Ali tanpa mengajak atau menyuruh mereka membantu Al-Fateh dan rakan-rakannya.

Namun, melihatkan kegigihan dan kesungguhan Al-Fateh dan rakan-rakannya bekerja mencuci meja, saya menjadi kagum. Mereka bukan sahaja mencuci meja sendiri, tetapi juga mencuci meja semua pelajar 5 Ali yang tidak hadir pada hari tersebut. Saya langsung memuji Al-Fateh dan rakan-rakannya di hadapan pelajar-pelajar 4 Abu Bakar yang setia menonton aktiviti mencuci dan menggosok meja dari muka pintu.

"Apa yang penting, kerjasama!"
Gosok, jangan tak gosok!

Saya berkata, “Ustazah kagum melihat kamu bersungguh-sungguh membersihkan meja. Kalau hari biasa kamu membuat satu kebaikan Allah memberikan satu pahala, tetapi hari ini, satu kebaikan kamu lakukan Allah pasti memberikan pahala berlipat kali ganda kerana hari ini adalah hari baik. Bulan ini adalah bulan Ramadan. Ustazah yakin, puasa kamu akan diterima Allah dengan balasan pahala yang sangat banyak.”

Al-Fateh dan pelajar-pelajar tambah bersemangat mencuci meja. “Woi, kau cuci meja belah sana. Yang belah sini biar aku buat.” Jerit satu suara.

“Korang punya meja ni tak bersih. Guna ini!” Al-Fateh memberi arahan.

Saya yang masih duduk di meja guru menjalankan ujian lisan UPKK tersenyum melihat gelagat Al-Fateh dan rakan-rakannya. Apa yang memeranjatkan, sebaik pujian tersebut dilafazkan, beberapa orang pelajar 4 Abu Bakar yang setia menonton di muka pintu tadi datang ke meja saya dan memohon izin untuk turut bekerjasama membantu aktiviti mencuci meja dan gosok-menggosok pada hari tu. Nampaknya, pujian di tempat terbuka kepada pelajar-pelajar 5 Ali telah mendorong mereka untuk turut sama mencuci meja dan meraih pahala. Maha suci Allah!

Dua pelajar 4 Abu Bakar ini terdorong membantu aktiviti mencuci meja dan gosok menggosok selepas mendengar pujian yang diberikan kepada pelajar 5 Ali

Walau berpuasa, tetap bersemangat mengejar pahala

Aiyak! Sampai kaki ikut mencuci =)

Dua pelajar perempuan 5 Ali yang hadir; Nini dan Ecah turut mencuci meja dan terlibat dalam aktiviti gosok menggosok

Walau sendiri, pelajar kelas 4 Abu Bakar ini masih tetap mencuci

Selesai meja pelajar lelaki, meja pelajar-pelajar perempuan pula digosok hero-hero 5 Ali

Penat berdiri, duduk pula mencuci! 

Ustazah Siti Khadijah

Tuesday, August 14, 2012

Hanya Menerangkan, Wang yang Hilang Dikembalikan

Suatu hari ketika masih menggantikan posisi seorang guru yang berkursus pada sesi pagi, berlaku satu kecurian di dalam kelas 2 Omar. Ketika itu, semua pelajar sedang bersiap sedia untuk keluar rehat. Seorang pelajar lelaki yang duduk di barisan hadapan datang bertemu saya di meja guru mengadukan masalah kehilangan wang saku yang dibawanya.

“Cikgu, duit belanja saya hilang.” Dia memberitahu saya tentang kehilangan wang belanja yang dibawanya.

Pada mulanya, saya tidak melakukan apa-apa. Hanya menggantikan wangnya yang hilang tersebut dengan sedikit wang sendiri bagi membolehkan pelajar tersebut turut dapat rehat bersama kawan-kawannya.

“Mmm, hari ini ustazah belanja kamu. Ambil duit ini untuk buat belanja makan waktu rehat kamu pada hari ini.” Saya menghulur sekeping wang kertas berwarna biru kepada pelajar tersebut. Dia menyambutnya dengan wajah yang masih muram sambil berjalan kembali ke tempat duduknya.

Duga saya, tindakan saya itu sudah benar mengikut Teknik Nabi Muhammad yang tidak menyiasat sebarang kesalahan. Namun ternyata ia silap besar.

Ketika semua pelajar 2 Omar sudah keluar rehat, pelajar itu masih duduk di mejanya. Saya hairan. Apakah penyelesaian yang diberikan dengan menggantikan wangnya yang hilang tadi masih belum dapat memulihkan perasaannya sehingga dia tidak keluar rehat.

Kebetulan pula pada waktu itu, saya memang tidak bercadang mahu kembali ke bilik guru atau berehat. Saya hanya menghabiskan waktu rehat selama 30 minit di dalam kelas 2 Omar. Saya menghampiri pelajar lelaki yang mengadu kehilangan wang tadi.

“Kamu tidak pergi rehat? Bukankah ustazah sudah berikan sedikit wang untuk kamu rehat?” Tanya saya kepada pelajar tersebut.

Pada mulanya dia masih kelihatan muram. Namun sebaik pertanyaan itu disuakan, pelajar tersebut langsung menangis dan menjawab, “Duit saya hilang Rm 9.00, cikgu ganti Rm 1.”

Tanpa dapat ditahan, dia menangis semahunya. Saya benar-benar rasa bersalah. Patutlah dia tidak keluar rehat. Wang belanjanya hilang Rm 9.00, saya pula hanya memberikan Rm 1.00 mana mungkin dapat menampung rasa sedih atas kehilangan keseluruhan jumlah wangnya yang hilang.

Saya mula sedar yang kesilapan saya adalah tidak bertanya langsung berkenaan wang belanjanya yang hilang. Niat pada mulanya tidak mahu menyiasat rupanya mengundang salah faham saya memahami beza antara ‘bertanya’ dan ‘menyiasat’.

Ya, saya seharusnya bertanya serba sedikit berkenaan wangnya yang hilang bukan hanya mendiamkan terus. Lalu menggantikan wangnya yang hilang. Memang patutlah pelajar tersebut tidak mahu keluar rehat.

Situasi ini membuatkan saya semakin memahami perbezaan antara ‘bertanya’ dan ‘menyiasat’. Apabila dinyatakan Nabi tidak menyiasat, bukanlah bermaksud Nabi Muhammad tidak bertanya langsung, baginda bertanya serba sedikit sekadar ingin mengetahui jawapan.

Sebagai contoh, dalam hadith 12 Malaikat (baca di sini), apabila seorang lelaki datang lambat untuk menunaikan solat kemudian dia membaca zikir  'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih' dengan suara yang kuat sehingga mengganggu kekhusyukan Nabi yang sedang bersolat, selepas bersolat Nabi bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata (zikir) itu.”

Apabila lelaki itu tidak mengaku pada awalnya, Nabi bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Barulah lelaki yang mengucapkan kata-kata itu mengaku.

Hadith ini menunjukkan Nabi Muhammad juga bertanya, namun tidak menyiasat. Terdapat perbezaan antara bertanya dan menyiasat. Antaranya ialah;
  1. Bertanya tujuannya adalah untuk mengetahui jawapan. Sebaik jawapan diketahui, kita tidak menyalahkan atau mengkritik orang yang melakukan kesalahan. Menyiasat pula tujuannya mahu mengetahu punca mengapa sesuatu perkara itu berlaku.
  2. Apabila bertanya, perkataan ‘Kenapa’ dan ‘Mengapa’ tidak boleh digunakan. Ini kerana, dalam hadith-hadith yang ditemui menunjukkan Nabi Muhammad tidak bertanya menggunakan perkataan ‘kenapa’ dan ‘mengapa’. Sementara menyiasat pula, ayat akan dimulakan dengan penggunaan perkataan ‘kenapa’ dan ‘mengapa’.
  3. Apabila bertanya, kita tidak mempunyai perasaan mahu menyalahkan atau menuduh-nuduh. Ia hanya untuk mengetahui jawapan. Manakala menyiasat, ia seperti kita menuduh-nuduh seseorang melakukan sesuatu perbuatan dan seolah-olah kita menyalahkan seseorang atas kesalahan tersebut.
Menyedari kesilapan ini, saya membaiki situasi dengan bertanya kepada pelajar lelaki yang kehilangan wang belanja tersebut beberapa perkara berkenaan kehilangan wang yang dibawanya.

“Berapakah jumlah sebenar wang kamu yang hilang?”
“Bilakah kamu mula sedar yang wang tersebut telah hilang?”

Sebaik mengetahui jawapan daripada pelajar tersebut, saya berkata kepada pelajar tersebut, “Baik. Nanti selepas semua pelajar masuk ke dalam kelas, ustazah berjanji akan cuba menyelesaikan perkara ini. Sekarang kamu pergi rehat dahulu.”

Pelajar tersebut patuh kepada kata-kata saya.

Sebaik semua pelajar 2 Omar sudah kembali ke dalam kelas, saya mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah kehilangan wang pelajar tersebut dengan menggunakan Teknik Menegur Dengan Menerangkan berdasarkan hadith Badwi Kencing Di Dalam Masjid.

Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. ~Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menegur lelaki Arab dari kampung (Badwi) yang melakukan kesalahan di dalam masjid hanya dengan menerangkan undang-undang apabila berada di dalam masjid.

Kata-kata Nabi Muhammad, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.”

Nabi Muhammad tidak memarahi lelaki Arab Badwi tersebut dengan berkata, “Kamu tidak boleh membuang air di dalam masjid! Salah perbuatan kamu yang membuang air di dalam masjid.” (SALAH)

Nabi Muhammad tidak menyiasat punca lelaki Arab Badwi tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu membuang air di dalam masjid?” (SALAH)
“Mengapa kamu membuang air di dalam rumah Allah?” (SALAH)

Saya telah mengaplikasi Teknik ini dengan Menerangkan kepada pelajar-pelajar 2 Omar bahawa perbuatan mengambil barang orang tanpa izin adalah salah.

Skrip ucapan yang dituturkan ialah, “Hari ini, seorang rakan kita telah kehilangan duit belanja sebanyak Rm 9.00. Kasihan dia tidak mempunyai wang untuk makan dan minum di waktu rehat."

"Kita semua mahu masuk syurga bukan? Siapa mahu masuk syurga, angkat tangan.” Tanya saya kepada pelajar-pelajar 2 Omar.

Semua pelajar 2 Omar mengangkat tangan menandakan mereka mahu masuk syurga.

Saya melanjutkan penerangan dengan berkata, “Sesungguhnya di dalam syurga penuh dengan benda serta perkara yang baik-baik. Semua orang yang menjadi ahli syurga juga adalah orang baik-baik. Di dalam syurga tidak ada sedikit pun benda dan perkara yang tidak baik.”

“Mengambil barang orang tanpa izin adalah salah dan berdosa. Sekiranya kita mengambil barang orang seperti duit contohnya, kemudian kita membeli makanan. Apabila makanan tersebut dimakan, ia akan menjadi darah daging yang tidak baik di dalam tubuh badan kita. Apabila sudah terdapat benda yang tidak baik di dalam tubuh badan kita, ia boleh menyebabkan kita susah mahu dengar cakap ibubapa dan cikgu. Apabila belajar juga ia akan menjadi susah faham.”

“Ketika kita semua mahu masuk ke syurga, hanya orang yang baik-baik dan memiliki tubuh badan yang darah dan dagingnya baik sahaja akan dapat masuk ke syurga. Apabila terdapat benda yang tidak baik di dalam tubuh kita, Allah akan bersihkan tubuh badan kita dengan mencampakkan ia terlebih dahulu ke dalam api neraka. Setelah ia benar-benar bersih, tiada lagi benda-benda yang tidak baik, barulah kita dibenarkan masuk ke syurga.”

Semua pelajar 2 Omar diam mendengar kata-kata saya penuh minat. Satu persatu wajah-wajah comel di hadapan saya seluruhi. Memandangkan saya tidak tahu siapa yang mencuri wang pelajar lelaki yang hilang tersebut, saya hanya mengaplikasi teknik ini berdasarkan perbuatan yang pernah dilakukan  Nabi dalam menangani satu-satu situasi. 

Setelah menerangkan perkara tersebut, saya kembali menyambung pelajaran. Tidak dijangka sepuluh minit kemudian, pelajar lelaki yang mengadu kehilangan wang belanja sebelum waktu rehat tadi datang sekali lagi ke meja guru. Kali ini dia datang kerana mahu memulangkan kembali Rm 1 yang telah saya berikan kepadanya sebelum waktu rehat tadi.

Katanya, “Cikgu, saya pulangkan kembali duit yang cikgu bagi pada saya. Orang yang ambil duit saya sudah pulangkan semula semua duit saya.”

Saya amat terperanjat. Subhanallah!

Pelajar yang bersongkok hitam ini merupakan pelajar lelaki yang mengadu kehilangan wang kepada saya (maaf, gambarnya tidak sempat saya snap secara sempurna)

Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...