PAGI tadi ketika menanti para pelajar tahun 6 masuk ke dalam dewan peperiksaan UPSR, saya mendapat tahu seorang pelajar tahun 6 Cemerlang demam. Semalam, ketika saya menampal slip nama pelajar di meja para pelajar tahun 6 Cemerlang, saya perasan pelajar ini tidak hadir.
Dia adalah salah seorang ahli kumpulan pelajar tahun 6 yang agak nakal dalam tahun 6 Cemerlang. Namun, setelah diaplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas kumpulan pelajar ini, saya perhatikan mereka sedikit demi sedikit berubah ke arah positif. Setiap kali saya masuk ke dalam kelas, kami pasti duduk bercerita pelbagai isu semasa dan agama sambil mereka membuat latihan.
Sebaik mendapat tahu pelajar ini demam, namun tetap hadir mengambil peperiksaan UPSR, hati saya berkata, "Pelajar ini harus didorong dengan pujian menggunakan Teknik Nabi Muhammad. Usahanya yang hadir dalam keadaan kurang sihat satu kebaikan yang harus diberikan ganjaran sosial positif."
Ini bertujuan mendorongnya untuk terus hadir ke sekolah dan tetap bersemangat menjalani peperiksaan biarpun kurang sihat.
Sebelum semua pelajar masuk ke dalam dewan, saya sempat perhatikan wajah pelajar ini. Memang pagi tadi wajahnya nampak tidak seriang hari biasa. Dia kelihatan diam dan wajahnya sedikit pucat.
Diam-diam di dalam bilik guru, saya keluarkan sekeping kad kecil daripada sebuah buku. Kemudian, menulis kata-kata pujian ini buat pelajar yang demam tersebut.
Kad ucapan dan ole-ole buat pelajar demam; Azrai'e
"Assalamualaikum.
Buat Azra'ie yang ustazah sayangi,
Ustazah kagum melihat kamu hadir ke sekolah mengambil peperiksaan UPSR, meskipun kamu demam. (Pujian)
Allah pasti berikan kamu pahala yang banyak kerana usaha kamu itu. (Impak perbuatan hadir ke sekolah 1)
Ustazah doakan, kamu akan cepat sembuh (Impak 2) dan mendapat keputusan terbaik dalam UPSR. (Impak 3).
Salam sayang,
Ustazah Siti Khadijah."
Ketika memberikan kad ucapan ini kepada pelajar yang bernama Azra'ie, rakan kumpulannya yang lain berkata, "Ustazah, kami mahu juga. "
"Ustazah beri pada Azra'ie kerana dia demam. Mudah-mudahan dia akan cepat sembuh." Balas saya sambil menghulur kad ucapan dan sedikit ole-ole buat pelajar tersebut. Sebaik Azra'ie menerima pemberian tersebut, saya lihat dia sudah mula tersenyum.
Mudah-mudahan Azra'ie akan kembali sihat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan UPSR.
Ustazah Siti Khadijah
Ustazah Siti Khadijah
Alhamdulillah, pujian akan dapat menaikkan semangat, tmbahan dia sorang je yg dapat, lagi rasa dihargai..
ReplyDeleteDan dari situ Azra'ie akan menjawab dengan hati yang gembira ;)