SELAIN
mengajar subjek Bahasa Arab di sekolah, saya turut terlibat di dalam
mengendalikan kelas Tasmik - kelas memperdengar bacaan Al-Quran bagi silibus
program j-Qaf. Di sekolah kebangsaan tempat saya mengajar ini, biasanya di
dalam menjalankan kelas Tasmik (bagi setiap satu kelas), ia akan dipandu oleh
dua orang guru sebagai pemudahcara.
Namun bagi sesi tahun 2013 yang
lalu, saya diamanahkan untuk mengendalikan dua kelas Tasmik seorang diri.
Memandangkan sesi berlangsungnya kelas Tasmik hanyalah 30 minit, jumlah pelajar
yang agak ramai ada ketikanya mengganggu kelancaran kelas. Antara kesalahan
yang sering dilakukan oleh pelajar adalah ponteng kelas dan datang lewat ke bilik j-QAF bagi
menjalani sesi Tasmik.
Situasi pelajar datang lewat ke
kelas Tasmik bukanlah perkara baru. Ia adalah situasi yang sering dialami oleh
guru-guru pemudahcara kelas Tasmik. Malah, saya pernah diberitahu oleh rakan
guru yang lain, ada ketikanya pelajar menyorok di tempat tertentu kerana tidak
mahu menghadiri kelas Tasmik.
Dalam
situasi yang saya alami, apabila pelajar-pelajar datang lewat ke bilik j-QAF
bagi menghadiri kelas Tasmik, saya tidak akan melakukan perkara-perkara berikut
sebagaimana di dalam amalan lazim.
Ø Saya tidak
memarahi mereka. (SALAH)
Ø Saya tidak
mengkritik mereka. (SALAH)
Ø Saya tidak
menghukum mereka. (SALAH)
Ø Saya tidak
menasihati mereka. (SALAH)
Sebaliknya, saya
mencari hari di mana mereka boleh datang awal atau datang tepat pada masanya.
Sekiranya mereka datang awal atau datang tepat pada masanya, saya akan memuji
perbuatan mereka dengan pujian yang menggunakan format pujian gaya nabi.
Dalam pujian gaya
Nabi, ada empat elemen yang harus digunakan ketika mengucapkan skrip pujian.
Elemen-elemen tersebut ialah;
1.
Cari sekurang-kurangnya satu kebaik yang dilakukan
oleh pelajar.
2.
Mulakan skrip pujian dengan kata-kata yang
menzahirkan emosi positif seperti, “Saya kagum…”, “Cikgu suka…”, “Ustazah
gembira…”, “Ustaz seronok…”
3.
Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha,
perbuatan atau kebaikan yang dilakukan bukan orangnya.
4.
Sebutkan impak daripada hasil kerja, usaha,
perbuatan atau kebaikan yang dilakukan oleh pelajar di dalam skrip pujian yang
bakal diungkapkan.
Ketika pelajar tahun 5 Dedikasi
dan 5 Cemerlang datang awal atau datang tepat pada masanya, saya akan memuji
mereka dengan ayat-ayat pujian yang mengikut format pujian gaya Nabi seperti di
atas. Suatu hari sebelum saya sampai, beberapa orang pelajar sudah pun sampai
awal dan selebihnya ramai yang datang awal tepat pada masanya.
Saya
mengambil peluang ini bagi memuji para pelajar dengan berkata, “Sungguh ustazah
kagum, pada hari ini ramai yang datang awal dan datang tepat pada masanya.
Malahan ramai yang datang sebelum ustazah sampai. Apabila semua datang awal
atau datang tepat pada masanya, kita dapat bersedia lebih awal dan pelajaran kita
juga dapat berjalan lancar. Allah suka orang yang menepati masa.”
Para
pelajar yang mendengar kata-kata saya tersipu-sipu senyum gembira. Keesokan
harinya, jumlah kedatangan pelajar yang lewat sudah semakin berkurangan.
Dari hari ke sehari, kedatangan pelajar ke kelas Tasmik tidak lagi menjadi masalah. Malahan para pelajar kelas Tasmik saya membuat permintaan supaya diadakan
pertandingan sehingga hujung tahun, siapakan yang paling kerap datang awal ke
kelas Tasmik; guru atau pelajar.
Kata mereka, "Ustazah, apa kata mulai esok kita lawan. Siapa yang akan sampai awal setiap kali ada kelas Tasmik. Ustazah atau kami yang akan menang?"
Saya turutkan kehendak mereka, keesokan harinya dan setiap kali tiba hari Rabu dan Khamis, kami akan berlumba siapakah yang akan tiba awal. Adakalanya saya menang, dan ada ketikanya mereka menang. Dengan perlumbaan ini, saya dan pelajar akan lebih memerhatikan waktu kelas Tasmik. Apa yang mengkagumkan, pelajar-pelajar ini sanggup meminta kebenaran keluar kelas 5 minit awal daripada guru sebelum waktu Tasmik bagi memastikan mereka dapat bersaing secara adil dengan saya. Hahaha.
Kami bersaing untuk tiba awal ke kelas Tasmik sehingga hujung
tahun 2013. Pada penghujung tahun 2013, jumlah pertandingan kedatangan kami ke kelas Tasmik adalah seri. Kami sama-sama menang! Dengan aplikasi pujian gaya Nabi ﷺ anak-anak didik bukan sahaja seronok menghadiri Tasmik, malah mereka turut fokus dalam membaca Al-Quran.
Tidak percaya?
Lihat gambar-gambar di bawah.
Tidak percaya?
Lihat gambar-gambar di bawah.
Inilah sebahagian daripada pelajar-pelajar kelas Tasmik saya pada tahun 2013.
Ustazah Siti Khadijah (USK)
Alhamdulillah! Terungkai sudah penantian dan kerinduan makcik pada entri USK. Terima kasih atas ilmu yg dicurahkan. Makcik bukan cikgu maupun ustazah, tapi benar, bila dipraktikkan aplikasi pujian gaya Nabi serta anggap anak2 sebagai rakan ... Mudahnya melentur buluh. Terima kasih dan syabas!
ReplyDeleteBetul....saya pun lama tunggu posting baru....alhamdulillah...
ReplyDeletePuan Muhaini dan Tuan Al-Khattab: Terima kasih kerana berkunjung dan setia menanti setiap entri di blog yang tidak seberapa ini. Semoga setiap tulisan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak memberi manfaat. Selamat membaca!
ReplyDelete