Friday, February 24, 2012

Teknik Melantik Pelajar Menjadi 'Penolong Guru'



28 Rabiul Awal 1433 (21 Feb 2012)

Dalam kursus Mendorong Pelajar Kelas Corot yang pernah saya hadiri tidak berapa lama dahulu, terdapat satu teknik yang dapat membantu meringankan beban seorang guru. Dalam lembaran aktiviti ke 8 Mendorong Pelajar Kelas Corot, teknik ini disebut sebagai teknik Menaikkan Self-Esteem (maruah) pelajar. Klik di sini untuk masuk alumni.

Melalui teknik ini, seorang guru harus mewujudkan jawatan tertentu untuk beberapa orang pelajar bagi meringankan tugas atau beban yang sebelum ini menjadi tanggungjawabnya. Kebaikan teknik ini ialah ia dapat meringankan beban seorang guru, bahkan ia juga dapat mendorong pelajar yang dilantik sebagai ‘penolong guru’.

Saya telah berpeluang mempraktikkan teknik ini sebanyak dua kali. Kali pertama ketika menjadi Fasilitator dan penceramah di UTM, dan kali kedua, hari ini dalam kelas 5 Ali. Hasil daripada kedua-dua eksperimen yang dilakukan di UTM dan kelas 5 Ali, memberikan impak yang positif kepada saya dan pelajar.

Jawatan adalah sumber self-esteem yang sangat efektif. Apabila seorang pelajar dilantik memegang jawatan-jawatan tertentu di sekolah, secara tidak langsung self-esteem atau maruah pelajar akan cepat meningkat disebabkan jawatan tersebut. Contoh jawatan yang dapat diberikan kepada pelajar sebagai ‘penolong guru’ adalah seperti;
  1. Penolong Guru Matematik
  2. Penolong Guru Membaca dan sebagainya

Bagi setiap penolong guru, diberikan pula tiga orang anak murid kepadanya. Dia ditugaskan mengajar atau membimbing anak muridnya sehingga pandai di dalam bidang tugasnya sebagai penolong guru tersebut. Antara jawatan yang boleh dicipta oleh seorang guru untuk pelajar yang menjadi penolong guru adalah seperti:
  1. Ustaz/ Ustazah hafazan
  2. Ustaz/ Ustazah tajwid
  3. Ustaz jawi
  4. Cikgu sifir
  5. Cikgu ejaan
  6. Cikgu kebersihan dan lain-lain lagi

Hari ini, saya berpeluang menggunakan teknik ini sekali lagi ke atas pelajar kelas 5 Ali. Sewaktu matapelajaran Hafazan berlangsung, terdapat tiga orang pelajar kelas 5 Ali yang dapat menghafal keseluruhan ayat surah Al-Insyiqaq (25 ayat). Sebaik mereka mengkhatamkan bacaan hafazan surah ini di hadapan saya, saya telah melantik mereka sebagai penolong guru.

Jawatan mereka saya namakan sebagai Ustaz dan Ustazah Hafazan. Mereka bertanggungjawab memastikan dan menyemak bacaan hafazan anak murid mereka sehingga 15 ayat daripada surah Al-Insyiqaq. Ini akan membuatkan mereka terdorong dengan sendirinya untuk berusaha memastikan anak-anak murid mereka dapat menghafal sehingga 15 ayat tersebut.

Tiga pelajar tersebut adalah Awang Izzuddin Al-Qassam ( yang mahu dipanggil dengan nama Al-Fateh), Muhammad Aqif Hakimi (Aqif) dan Iman Fatini (Iman). Setiap seorang daripada mereka, saya berikan tiga orang anak murid.

Anak murid Al-Fateh ialah Edry Abdul Halim, Zack dan Angah 1. Manakala anak murid Aqif pula ialah Syafiq Iqram, Angah 2 dan Kimi. Sementara Iman pula, anak muridnya ialah Nini dan Nia. Selebihnya pelajar 5 Ali saya sendiri yang menyemak hafazan mereka.

Saya perhatikan, tiga pelajar yang dilantik ini dengan sendirinya menyedari tugas mereka. Mereka berusaha untuk memastikan anak-anak murid mereka menghafal sehingga ayat 15 daripada surah Al-Insyiqaq. Dan ini telah meringankan beban atau tugas saya sebagai seorang guru hafazan. Seringkali saya kesuntukan waktu untuk mentasmik semua pelajar setiap kali mata pelajaran Hafazan (Nota Editor : Tempoh masa satu matapelajaran setiap hari hanya 30 minit). Tetapi dengan teknik ini, masalah yang berlaku sebelum ini telah di dapat di atasi.

Melalui Al-Fateh, Aqif dan Iman, saya mendapat laporan tentang kemajuan hafazan pelajar-pelajar 5 Ali yang menjadi anak-anak murid mereka.
Ustazah, mereka lagi dua ayat.”

Ustazah, mereka sudah dapat hafal sehingga 15 ayat.”

Malah di dalam kelas 5 Ali, pelajar lain yang belum dapat menghafal sehingga ayat 25 juga terdorong menghafal kerana mahu jadi guru. =)

Kisah ini berlaku kepada pelajar yang bernama Fadhirul (Abang Ngah) dan Profesor Syahmi.

Sebelum saya melantik beberapa orang pelajar 5 Ali menjadi guru Hafazan, Abang Ngah tidak pernah datang kepada saya untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat hafazannya. Tetapi tadi, selepas saya mengumumkan tiga pelajar 5 Ali yang sudah menyelesaikan hafalan surah Insyiqaq dilantik menjadi guru Hafazan, dia datang ke meja guru untuk memperdengar ayat-ayat hafazannya.

Ketika beberapa orang pelajar 5 Ali (yang bukan anak murid ustaz/ Ustazah Hafazan) tidak juga datang menghafal kepada saya, Abang Ngah datang kepada saya dan berkata, “Ustazah, biar saya tolong. Saya nak jadi ustaz Hafazan juga.”

Saya tersenyum dan turut mengumumkan namanya sebagai guru hafazan bagi pelajar 5 Ali yang menghafal bawah dari ayat 10.

Selepas waktu rehat, saya masuk ke kelas 5 Ali untuk mengajar mata pelajaran Feqah. Sebelum pelajar memberi salam, saya perasan ada tiga orang pelajar tiada di dalam kelas. Selepas bertanyakan kepada pelajar yang ada di dalam kelas tentang keberadaan mereka, barulah terjawab yang rupanya mereka berada di kelas kosong di sebelah, sedang ditasmik oleh Abang Ngah. =)

Al-Fateh dilantik menjadi Ustaz Hafazan 5 Ali

Aqif juga dilantik menjadi ustaz Hafazan 5 Ali

Iman (duduk di tengah) juga dilantik menjadi guru Hafazan. Di sebelah kanan beliau, Nini (anak murid beliau) dan di sebelah kiri beliau, Nia (juga anak muridnya).

Abang Ngah menyelesaikan hafalannya kerana mahu jadi Ustaz Hafazan =)

10 comments:

  1. Tahniah Ustazah kerana berjaya mengaplikasi teknik melantik pelajar menajdi penolong guru.Entri ustazah ini memberi idea cara yang sesuai untuk mengaplikasinya. Saya teringat kepada Bean, Hong dan Sin dalam kelas Peralihan. Mereka ada kelebihan iaiatu lebih pandai bahasa Melayu daripada kawan-kawan yang lain tetapi mereka juga yang paling nakal.Ustazah berhadapan dengan pelajar-pelajar Melayu,s aya pula berhadapan dengan pelajar India dan Cina. Kita lihat pula impaknya nanti apabila saya aplikasikan teknik ini.

    ReplyDelete
  2. Saya setuju dengan cikgu aniza. Nanti saya mahu cuba teknik ini. Terima kasih kerana memperkenalkan teknik ini pada kami. Mesti akan semakin terdorong anak murid saya nanti.

    ReplyDelete
  3. Selamat mengaplikasikasikan teknik ini Puan Khairulaniza & Ustazah Engineer. Inshaallah, saya iringkan usaha kalian dengan doa. Saya nantikan catatan Puan dan Ustazah. =)~Ustazah Siti Khadijah

    ReplyDelete
  4. satu teknik yang bijak...semoga segala usaha kita dipermudahkan serta diberkati olehNya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allahumma amin.. amin.. amin. Terima kasih, Cikgu Saiful.

      Delete
  5. Assalamualaikum..salam perkenalan untuk semua.Saya juga seorang guru dan ustazah, mengajar kanak-kanak istimewa OKU penglihatan dan pendengaran.Banyak perkongsian yang sangat-sangat memberi kesan kepada rakan-rakan pembaca hingga mencetuskan keterujaan untuk diaplikasikan.Syukur kerana ditemukan dengan blog dan "team" ini=) =)..Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati dan memberi kita ilham untuk mendidik anak-anak dan generasi masa kini dengan berpandukan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w...

    ReplyDelete
  6. Cikpuan Siti Fatimah Abd Aziz: Wa'alaiki as-salam warahmatullah. Salam perkenalan kembali kepada cikpuan. Allahumma amin. Saya mendoakan kebaikan untuk cikpuan @ ustazah bersama anak didik. Semoga segala yang tercatat di sini memberi manfaat.

    ReplyDelete
  7. Seronok sgt baca... Alhamdulillah. Syukran ya ustazah

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum Ustazah,

    Tahniah. Sejuk perut mamawana memabca entri ini. Good Job.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum, saya mencari tenaga pengajar yang berkelayakkan sebagai,

    JAWATAN KOSONG :

    TIMBALAN PENGURUS
    USTAZ / USTAZAH
    FULLTIME / PARTIME

    Sila bawa Resume dan sessi Interview antara Isnin-Jumaat. Bermula 8mlm.

    Kelayakan/kriteria :

    Mahir mengajar Al Quran, Tajwid dan Fardhu Ain
    Penolong pengurusan
    Mahir Komputer/Internet/Website
    Bahasa/English
    Rajin & mesra
    Ada transport sendiri
    Ikhlas bekerja
    Boleh bekerja lebih waktu.
    Overtime di beri.
    Boleh mengajar di luar kawasan yg berdekatan.

    Gaji : RM1500-RM3000

    PUSAT PENGAJIAN AL QURAN
    AL Baghdadi Rasta Ttdi KL
    No. 2 Plaza Rasta
    Jalan Datuk Sulaiman
    60000 KL

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...