Tuesday, July 10, 2012

Mendorong Anak-anak Kecil - Episod 1

Saya pasti tersenyum mengenang peristiwa manis mendidik anak-anak kecil yang comel dan gigih belajar dalam entri kali ini. Dua minggu yang lalu, pihak pengurusan sekolah telah meminta supaya saya bertugas dua sesi bagi menggantikan beberapa orang guru yang berkursus dan bercuti.

Pengalaman mengaplikasi beberapa Teknik Nabi Muhammad kepada anak-anak kecil telah memudahkan P&P saya. Malah, respon dan reaksi pelajar menunjukkan mereka gembira belajar sepanjang kelas berlangsung.

“Cikgu baru..cikgu baru.” Beberapa orang pelajar bertubuh kecil molek di dalam kelas 2 Omar bersuara kuat memberitahu kawan-kawannya sebaik melihat saya berjalan menuju ke kelas mereka.

Pertama kali masuk ke dalam kelas tahap satu (2 Omar) pada hari itu, ramai pelajar yang kelihatan takut-takut dan ada juga yang mengantuk. Barangkali kerana waktu masih terlalu pagi membuatkan mereka mengantuk dan kelihatan kurang bersemangat mahu belajar.

P&P pagi hari itu dimulakan dengan Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka kepada pelajar-pelajar 2 Omar. Saya berdiri di hadapan para pelajar tanpa berkata sepatah perkataan. Dengan wajah yang tenang (tidak marah dan tidak juga suka) saya memerhatikan anak-anak kecil di hadapan yang cuba berdiri selama beberapa minit sebelum mereka memberi salam. Pada mulanya, ramai pelajar tidak berdiri tegak. Mereka hanya berdiri ala kadar dan ikut suka sahaja.

Saya tidak tegur perbuatan mereka. Sebaliknya, saya mendiamkan diri dan terus memerhatikan semua pelajar 2 Omar yang sedang berdiri di hadapan. Namun kali ini, wajah saya menunjukkan ekspresi tidak suka akan perbuatan mereka yang tidak berdiri dengan betul itu. Saya pandang wajah pelajar-pelajar 2 Omar seorang demi seorang tanpa sepatah kata. Seorang demi seorang yang pada mulanya tidak berdiri dengan betul mula berdiri tegak setelah melihat saya memerhatikan mereka agak lama.

Sebaik selesai mereka memberi salam dan membaca doa, saya menyuruh mereka duduk. Saya lihat ada beberapa orang pelajar masih menguap dan kelihatan tidak bersungguh mahu belajar. Lalu, saya cuba mengaplikasikan pula Teknik Soalan Akhlak Agar Semua Pelajar Dapat Angkat Tangan.

Dalam hadith ‘Abu Bakar Masuk Syurga’,  Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Di dalam hadith ini, prinsip yang diajarkan oleh Nabi Muhammad dalam mendorong orang yang ada bersama-sama beliau untuk membuat baik adalah dengan bertanyakan soalan-soalan akhlak.

Nabi Muhammad saw menggunakan banyak soalan akhlak/ soalan mudah agar semua orang dapat mengangkat tangan. Ini bertujuan supaya semua orang merasa diri mereka pandai. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong self-esteem (maruah) mereka meningkat. Dan apabila maruah seseorang meningkat, ia akan memudahkan proses mengubah tingkah laku berlaku.

Antara soalan akhlak/ soalan mudah yang ditanyakan Nabi Muhammad adalah:
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?”
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?”
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?"
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”


Pada hujung sesi soal jawab itu, Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”

Dalam situasi kelas 2 Omar, saya menggunakan Teknik Nabi ini untuk menaikkan self-esteem pelajar-pelajar 2 Omar agar mereka terdorong dan suka belajar bersama saya. Saya telah bertanyakan soalan-soalan mudah untuk memancing para pelajar mengangkat tangan. Saya berkata,
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia mandi?”
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia gosok gigi?”
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia sarapan?
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia salam mak dan ayah?”
Semua soalan yang ditanya mendapat respon yang baik daripada pelajar-pelajar 2 Omar.
Mereka mengangkat tangan dan berkata, “Saya”
“Saya, cikgu”.
“Cikgu, saya”.

Setiap kali mereka mengangkat tangan, saya akan memuji, ‘Bagus’. Dan setiapkali perkataan ‘bagus’ diucapkan, pelajar-pelajar 2 Omar akan bersorak, “Yeay” sambil bertepuk tangan dengan riangnya.

Pada hujung soalan-soalan itu, saya berkata, “Bagus, siapa yang buat semua perkara yang ustazah tanya tadi, Allah pasti akan memberikan dia kesihatan yang sempurna, dan dia juga akan menjadi pelajar yang berakhlak mulia.”

Sayangnya, kata-kata terakhir saya tidak mendapat respon daripada pelajar-pelajar 2 Omar seperti ketika mengajukan soalan-soalan akhlak sebelum ini. Pelajar-pelajar  2 Omar kelihatan bingung dan memandang saya dengan wajah yang berisi tanda tanya. Saya agak hairan pada mulanya. Namun segera tersedar bahawa bahasa saya agak kurang sesuai digunakan ketika berkomunikasi bersama anak-anak kecil. Manalah mereka faham apabila kita bercakap menggunakan perkataan orang dewasa dan perkataan yang menggunakan imbuhan. Hehe =).

Lalu saya segera menukar ayat penghujung soalan-soalan tadi dengan ayat yang lebih mudah difahami mereka dengan berkata, “Bagus, siapa yang gosok gigi, mandi dan sarapan pagi Allah akan sihatkan tubuh badan dia. Dia susah nak dapat sakit, kalau sakit pun dia akan cepat sihat sebab dia selalu mandi, gosok gigi dan sarapan pagi. Siapa yang salam mak ayah dia sebelum pergi sekolah pula, dia akan jadi anak yang baik sebab apabila kita salam tangan mak dan ayah, Allah akan bagi pahala untuk kita mudah masuk syurga.”

Barulah pelajar 2 Omar tersenyum dan mereka sekali lagi bersorak, “Yeay.”
Ada juga pelajar yang berkata, “Cikgu, saya nak badan sihat, saya selalu mandi dan gosok gigi hari-hari.”
“Cikgu, saya hari-hari salam mak dan ayah saya.” =)

Setelah itu, saya melanjutkan P&P Hafazan di dalam kelas 2 Omar. Pelajar-pelajar sudah tidak kelihatan mengantuk atau tidak bersemangat lagi. Malah, ketika saya mengajukan soalan, “Siapa mahu pinjamkan ustazah buku teks Hafazan?” mereka berebut-rebut menjawab ‘saya’ sambil menghulurkan buku teks Hafazan ke arah saya.

Saya mengambil buku yang dihulurkan oleh seorang pelajar lelaki berhampiran dengan kedudukan di meja guru. Sebaik buku teks tersebut bertukar tangan, saya memuji pelajar tersebut menggunakan Format Pujian Nabi (Puji hasil kerja + Nyatakan impak). Teknik Format Pujian ini berdasarkan hadith Pintu Langit Terbuka.

Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Antara ciri-ciri pujian Nabi Muhammad ialah:
  1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya. 
  2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
  3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.
Saya memuji pelajar lelaki yang meminjamkan buku teks tersebut dengan berkata, “Ustazah suka kamu sudi pinjamkan buku kepada ustazah. Kamu telah bantu mudahkan ustazah mengajar. Pasti Allah akan mudahkan pula kamu belajar selepas ini.”

Format pujian Teknik Nabi;
1. Puji hasil kerja:
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“Ustazah suka kamu sudi pinjamkan buku kepada ustazah.”

2. Nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji:
Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.”
“Kamu telah bantu mudahkan ustazah mengajar. Pasti Allah akan mudahkan pula kamu belajar selepas ini.”

Pelajar tersebut tersenyum bangga mendengar pujian saya. Sementara beberapa orang pelajar yang lain pula ada yang berkata, “Cikgu, tadi saya pun bagi buku juga. Tapi cikgu tak ambil buku saya.”
“Cikgu, nanti ambil buku saya pula tau.”

Saya senyum. Nampaknya pujian yang diberikan secara terbuka kepada pelajar lelaki yang meminjamkan buku tadi turut membuatkan pelajar-pelajar lain terdorong melakukan perkara yang sama.

Setelah itu, saya mula membaca surah Al-Kauthar ayat demi ayat. Pelajar-pelajar 2 Omar saya pinta mengikut setiap potongan ayat yang dibaca tersebut sebelum mereka menghafalnya. Kali pertama mereka membaca mengikut bacaan saya, terdapat banyak kesalahan Tajwid pada ayat-ayat yang dibaca. Namun saya tidak melakukan perkara-perkara di bawah ini ke atas pelajar-pelajar 2 Omar bagi menegur kesalahan mereka.

  • Saya tidak mengkritik bacaan pelajar-pelajar 2 Omar dengan berkata, “Salah! Salah! Cara kamu baca itu salah.” (Salah)
  • Saya tidak menyuruh mereka membetulkan cara mereka membaca ayat Al-Quran dengan berkata, “Bukan macam itu. Belajar cara baca ayat Al-Quran dengan betul.” (Salah)
  • Saya tidak menasihat-menasihat pelajar 2 Omar dengan berkata, “Bacalah betul-betul. Sesungguhnya ini adalah ayat Al-Quran. Kamu tidak boleh salah membaca. Berdosa kalau baca tidak betul tahu!” (Salah)
  • Saya tidak menunjukkan contoh orang-orang membaca Al-Quran dengan cara yang salah dengan berkata, “Jangan ikut orang ‘sekian-sekian’ baca Al-Quran. Bacaannya salah.” (Salah)
Sebaliknya saya cuba mengaplikasi Teknik Memberi Markah Dorongan berdasarkan hadith ‘Salam’ yang berbunyi; Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi


Pada bacaan yang terdapat banyak kesalahan Tajwid saya berkata, “Kamu dapat 10 markah.”
Pelajar-pelajar 2 Omar memandang saya kehairanan. Barangkali hairan dengan jumlah markah yang tiba-tiba diberikan oleh guru kepada mereka. Lalu mereka bertanya, “Cikgu, markah apa yang 10?”
“Markah bacaan surah Al-Kauthar kamu.” Jawab saya.
“Cikgu, markah paling banyak berapa?”
“30 markah.” Jawab saya pendek.
“Macam mana kalau kitorang nak dapat 30 markah?” Tanya pelajar-pelajar 2 Omar lagi.
“Dengar ustazah baca, kemudian ikut biar sama macam ustazah baca.” Jawab saya lagi.
“Ok, kitorang nak markah penuh.” Sambung beberapa orang pelajar pula.
“Baiklah, mari kita baca semula.” Ajak saya.

Pada bacaan kali kedua, pelajar-pelajar 2 Omar sudah mula membaca secara bertajwid. Namun kesalahannya sudah tidak sebanyak bacaan pada kali pertama. Saya memberikan markah kepada bacaan mereka dengan berkata, “20 markah.”
“Cikgu, kita ulang lagi. Kitorang nak 30 markah.”
Saya tersenyum. Sekali lagi, kami mengulang baca surah Al-Kauthar sehingga akhirnya pelajar-pelajar 2 Omar diberikan markah penuh. Saya akhirnya berkata, “Bagus. Kali ini ustazah beri 30 markah.”
“Yeay. Kitorang menang.”
“Yeay.”

Tidak lama selepas itu, barulah saya menyuruh mereka menghafal surah Al-Kauthar. Bagi memudahkan kerja-kerja menghafal anak-anak kecil yang comel itu, saya memberikan seorang rakan untuk dijadikan teman menghafal (sebenarnya ini Teknik Melantik Penolong Guru, namun bimbang mereka tidak faham kata-kata saya sekali lagi, saya hanya sebutkan ia sebagai 'kawan menghafal'). Mereka menurut tanpa membantah. Alhamdulillah, P&P hari itu lancar tanpa ada pelajar yang tidur atau bermain ketika P&P berlangsung.











Ustazah Siti Khadijah

5 comments:

  1. Laporan puan ini:

    1. Seronok di baca, macam baca cerpen sahaja rasanya.

    2. Sangat mudah difahami teknik-demi-teknik yang puan gunakan dalam P&P.

    Puan boleh cetak laporan ini dan edarkan kepada para peserta program latihan puan. Cara penggunakan lembaran ini:

    1. Edarkan laporan seorang senaskhah.

    2. Beri tempoh 10 minit mereka membaca.

    3. Buat sesi tanya-jawab.

    ReplyDelete
  2. Ya, seronok membacanya! Cerita yang ada ilmu dan teknik yang boleh dan senang diaplikasikan.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Ustazah Siti Khadijah. Saya pernah mengikuti bengkel ustazah kt UM semasa Bengkel Latihan Mengajar. Sekarang saya tengah praktikum.

    Alhamdulillah, saya menggunakan teknik ini dengan plajar kelas corot tingkatan 1. Berkesan:)

    Terima kasih yang tak terhingga:)

    ReplyDelete
  4. Puan Ainon Mohd. yang dihormati, Sukanya membaca komen puan yang sentiasa nampak apa yang saya tidak nampak. Inshaallah, saya akan lakukannya di dalam sesi program latihan nanti. Terima kasih atas cadangan puan yang amat mahal itu. Sukanya.

    *Huhu, sungguh saya terdorong untuk menyelesaikan bahagian kedua daripada tajuk entri ini hari ini. Hehe. (Menaip sambil membayangkann situasi pelajar-pelajar 2 Omar memanggil 'Ustazah Comel..Ustazah Comel' tempohari).

    Alhamdulillah, sukanya dapay menyukakan Cikgu Khairulaniza yang gigih. Semoga perkongsian tidak seberapa ini bermanfaat untuk puan dan semua rakan pembaca yang setia menanti.

    Cikpuan Shahira yang gigih berusaha, Alhamdulillah,senang dan suka sekali saya membaca respon cikpuan berkaitan impak bengkel tempohari. Semoga impak awal ini akan membuatkan cikpuan lebih bersemangat untuk menjadi guru murabbi kepada anak didik. Selamat berusaha dan selamat berjaya.

    ReplyDelete
  5. Mumtaz...keep up the good work.

    Learnt so much from this posting. Jazakillah for sharing.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...