Wednesday, April 4, 2012

Impak Aplikasi Hadith Salam Kepada Pelajar 5 Omar

Entri ini adalah sambungan kepada entri sebelum ini yang bertajuk Pujian Kepada Pelajar Perempuan, Membuatkan Pelajar Lelaki Terdorong Membuat Latihan (boleh baca di sini).

Sebenarnya pada hari yang sama dengan entri sebelum ini, saya telah mengaplikasi dua teknik Nabi saw kepada pelajar 5 Omar. Satu daripadanya, telah kalian baca dalam entri sebelum ini. Dan satu lagi adalah aplikasi teknik hadith berkaitan salam yang berbunyi begini,

“Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” –Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi. Kredit blog Tim Hadith Psikologi Nabi

Hadith ini merupakan hadith Nabi Muhammad saw mendorong orang memberi salam dengan cara yang betul tanpa mengajar dan mengkritik si pemberi salam dengan cara yang salah. 

Terdapat beberapa prinsip yang harus kita faham dalam hadith ini. Antara prinsip tersebut ialah,

1. Nabi Muhammad saw tidak mengkritik orang yang memberi salam dengan mengatakan cara mereka memberi salam tidak betul dengan berkata:

~ “Salah! Salah! Salam kamu itu salah!” (SALAH)
~ “Cara kamu memberi salam masih tidak betul.” (SALAH)
~ “Bukan begitu cara memberi salam.” (SALAH)

2. Nabi Muhammad saw tidak menyuruh mereka membetulkan cara mereka memberi salam dengan berkata:

~ “Betulkan cara kamu beri salam.” (SALAH)
~ “Bukan macam itu. Belajar cara beri salam yang betul.” (SALAH)
~ “Kalau mahu pahala, betulkan cara kamu beri salam.” (SALAH)

3. Nabi Muhammad saw tidak mengajar mereka cara-cara itu (memberi salam) macam guru mengajar murid-muridnya, ataupun macam penceramah mengajar para hadirin dengan berkata:

~ “Salam adalah doa, jadi mesti diberi dengan betul.” (SALAH)

4. Nabi Muhammad saw tidak menunjukkan contoh orang-orang yang memberi salam dengan cara yang salah, dengan berkata:

~ “Jangan ikut cara orang itu beri salam. Caranya salah.” (SALAH)

5. Nabi Muhammad saw Cuma menunjukkan cara memberi salam yang betul sahaja. Beliau tidak menyuruh mereka supaya ikut macam orang-orang itu memberi salam dengan berkata,

~ “ Kalau mahu pahala, tiru cara mereka.” (SALAH)
~ “Kamu semua ikut cara mereka memberi salam.” (SALAH)
~ “Cara mereka itu betul. Kamu ikut cara mereka.” (SALAH)

Terkesan dengan hadith ini, saya telah aplikasikannya kepada pelajar 5 Omar sewaktu menanda buku latihan Tauhid mereka. Tujuan aplikasi hadith ini kerana saya mahu mendorong pelajar 5 Omar menjawab latihan dengan cara yang betul.

Berbalik kepada penggunaan hadith salam kepada pelajar 5 Omar. 

Setelah siap kerja-kerja latihan Tauhid, saya meminta semua pelajar 5 Omar segera menghantarnya ke meja guru untuk diperiksa. Memandangkan mereka sangat terdorong dengan pujian dalam entri sebelum ini (baca di sini), jumlah pelajar yang berjaya menyiapkan latihan agak ramai. Ini merupakan satu bukti kejayaan penggunaan teknik Nabi. Saya amat bersyukur.

Ketika mahu menanda kerja-kerja latihan pelajar 5 Omar, saya meminta para pelajar yang telah siap membuat latihan beratur bagi memudahkan proses menanda hasil kerja mereka. Setiap daripada mereka saya minta supaya menyerahkan sendiri buku latihan kepada saya. Dan setiap pelajar juga harus berada di hadapan saya ketika proses penyemakan latihan berjalan.

Semasa proses penyemakan latihan pelajar 5 Omar, saya telah menulis tiga  ayat ini bagi mengikut prinsip yang diajarkan Nabi Muhammad saw.

  • Bagi hasil kerja latihan pelajar yang mempunyai kesalahan yang agak ketara, saya menulis komen, “Bagus!”
  • Bagi hasil kerja latihan pelajar yang mempunyai satu atau dua sahaja kesalahan, saya menulis komen, “Bagus! Jawapan tepat!”
  • Bagi hasil kerja latihan pelajar yang tidak mempunyai sebarang kesalahan atau kesilapan, saya menuliskan komen, “Bagus! Jawapan sangat tepat.”


Ketiga-tiga komen yang ditulis ini saya bacakan di hadapan pelajar itu sendiri. Apabila mereka mendengar bunyi komen berbeza untuk kerja-kerja latihan mereka, mereka bertanya; “Ustazah, mengapa dalam buku saya ustazah tulis ini, dan dalam buku diorang Ustazah tulis  macam itu?”

Saya hanya diam dan tersenyum tanpa menjelaskan apakah sebabnya. Sikap mendiamkan diri saya itu telah membuatkan pelajar-pelajar 5 Omar mengumpulkan tiga buah buku latihan yang ditulis dengan komen berbeza. Mereka sendiri yang mencari sebab mengapa komen yang diberikan berbeza. Saya pula terus menanda kerja-kerja latihan pelajar  5 Omar yang lain di meja guru tanpa mengendahkan perbuatan mereka.

Sebelum P&P saya tamat di kelas 5 Omar, semua pelajar menghantar kerja-kerja latihan Tauhid yang diberikan tanpa sebarang kesalahan. 

Memang ajaib, tanpa perlu saya tegur atau mengajar membuat latihan dengan betul mahupun kritik hasil kerja mereka, mereka sendiri telah terdorong membuat dan menjawab latihan dengan betul. Maha suci Allah, inilah hikmah penggunaan hadith salam di atas (menurut kefahaman saya).

Ketika selesai menanda kerja latihan Tauhid, Shahrul; pelajar yang pernah menerima pujian gaya Nabi Muhammad daripada saya (entri mengenai beliau dapat dibaca di sini) dengan kuatnya membaca komen saya yang tertulis di buku latihannya, “Bagus, jawapan sangat tepat!” Kemudian dia bersorak, “Yeay!”

Dengan impak hadith salam ini, saya amat percaya, persepsi dalam amalan lazim (biasa) yang kita lakukan apabila mahu menyuruh orang membetulkan satu-satu kerja harus diubah mengikut ajaran Nabi Muhammad saw.

Perbuatan mengkritik hasil kerja seseorang yang tidak betul terlebih dahulu, kemudian baru diberitahu cara yang betul harus dielakkan. Ini kerana, ia  bertentangan dengan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad saw berdasarkan hadith salam di atas. Cara betul yang diajar Nabi Muhammad saw di dalam hadith ini adalah, jangan dikritik cara orang membuat kerja walaupun caranya salah. Terus sahaja tunjukkan contoh sebenar cara yang betul. Semoga bermanfaat!

Komen "Bagus! Jawapan tepat" ditulis bagi hasil kerja latihan pelajar yang mempunyai satu atau dua sahaja kesalahan jawapan. (Gambar disnap ketika berada di hadapan pelajar 5 Omar)

Komen "Bagus! Jawapan sangat tepat" ini pula ditulis bagi hasil kerja latihan pelajar yang tidak mempunyai sebarang kesalahan jawapan. (Gambar untuk tulisan komen ini pula saya snap pada keesokan hari (27.03.12).


*Bagi komen "Bagus", duka cita dimaklumkan saya tidaklah dapat mengambil gambarnya kerana selepas pelajar 5 Omar membuat penilaian perbezaan komen yang ditulis, tiada seorang pun pelajar 5 Omar mengulang kesalahan yang sama. =)

Ustazah Siti Khadijah 

7 comments:

  1. Saya sebelum ini hanya nampak hadith berkenaan menyentuh tahap ganjaran memberi salam. Dengan perkongsian puan, mudah2an saya dapat memperkembangkan manfaatnya dengan lebih lagi terutama dalam proses tarbiyyah anak2 dan remaja. Jazakillahu khairan atas perkongsian idea ini.

    http://muzir.wordpress.com

    ReplyDelete
  2. SubhanaAllah... teknik ni benar-benar mukjizat. Terima kasih atas perkongsian :)

    ReplyDelete
  3. Salam kenal ustazah :) pertama kali membaca entry dlm blog ini, benar2 berjaya memikat hati saya mengenai didikan cara Nabi.....

    ReplyDelete
  4. Tuan Shahmuzir: Alhamdulillah. Afwan, wa iyyaka. Semoga bermanfaat.

    Cikpuan Ctfarazila: Sama-sama.

    Princess Solehah: Salam perkenalan kembali, Cikpuan. Alhamdulillah, Allah berkati Cikpuan. Moga bermanfaat.

    ReplyDelete
  5. Mohon maaf, puan. Saya sudah membaca laporan ini sebaik-baik saya terima tag dalam FB, cuma saya lambat menuliskan respon saya sebab saya sangat sibuk dengan penulisan buku "40 Hadith MNotivasi".

    1. Format laporan ini sangat sesuai dijadikan bab buku. Ini kerana struktur laporan ini memang bagus.

    2. Mula-mula puan terangkan hadith mana yang puan gunakan.

    3. Kemudian puan terangkan prinsip dan teknik dalam hadith itu yang puan aplikasikan.

    4. Kemudian puan terangkan dengan detail langkah-demi-langkah bagaimana puan menjalankan eksperimen puan itu.

    5. Pada akhirnya puan terangkan impak eksperimen puan ke atas tingkah laku murid.

    6. Struktur laporan puan ini memang boleh dijadikan buku panduan kepada guru-guru yang mengikuti blog puan ini.

    ReplyDelete
  6. as salam..ustazah adn cadangan untuk menulis komen membina untuk pelajar yang tidak menyiapkan kerja sekolah.dan yang tulisannya tidak kemas..terima kasih.harap ustazah dapat menjawab..

    ReplyDelete
  7. Wsalam. Cikpuan cari kebaikan pelajar (apa saja), kemudian pujilah kebaikan tersebut dengan menyebutkan hasilnya.

    Contoh, "Cikgu kagum melihat kamu buat kerja sekolah. Ini membuktikan kamu sedang berusaha untuk berjaya. Alangkah baik sekiranya kamu membuat kerja sekolah dengan tulisan yang lebih kemas. Ia akan lebih membuatkan kamu nampak gigih berusaha untuk berjaya." (Ini ayat sponttan saya). Cikpuan ciptalah ayat yang lebih baik daripada ini.

    Selamat mencuba dan selamat berjaya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...