Entri kali ini adalah mengenai peningkatan
prestasi akademik seorang pelajar perempuan 5 Ali. Pelajar perempuan ini telah
mencapai kemajuan yang agak memberangsangkan di dalam peperiksaan pertengahan
tahun baru-baru ini. Daripada kedudukan terakhir di dalam kelas (nombor 25/25)
kepada kedudukan 11/25. Segalanya bermula daripada penggunaan Teknik Nabi yang
telah diaplikasikan ke atas dirinya.
Saya pernah berkongsi bagaimana saya
mengaplikasi Teknik Nabi ke atas pelajar ini di dinding Facebook tidak lama dahulu.
Namun, tidak pula saya berkesempatan mencatatkan kisahnya di blog ini.
Inshaallah, sebelum saya kongsikan mengenai peningkatan akademik pelajar di
dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini, akan saya tuliskan kembali
aplikasi Teknik Nabi Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan yang pernah
digunakan ke atas pelajar ini di sini.
Catatan Aplikasi Teknik Nabi ke atas Nisrina yang pernah ditulis di fb (baca di sini)
Seperti guru kelas corot yang lain, antara
masalah yang sering saya hadapi ketika mengisi buku rekod kedatangan pelajar
setiap bulan adalah peratus kehadiran pelajar tidak pernah mencapai catatan
yang memuaskan. Masalah ini tidak dapat diatasi sejak bulan Febuari kerana
terdapat pelajar di kalangan 5 Ali yang selalu tidak hadir ke sekolah.
Di kalangan pelajar 5 Ali antara pelajar yang
kerap tidak hadir ke sekolah adalah seorang pelajar perempuan bernama Nisrina. Selaku
guru kelas, saya dapati pelajar yang bernama Nisrina ini sering tidak hadir ke
sekolah sejak bulan pertama saya mengajar lagi. Tidak pernah dalam sebulan
kehadiran pelajar yang bernama Nisrina ini mencapai tiga hari apalagi seminggu.
Biasanya, Nisrina hanya akan datang satu atau
dua hari sahaja dalam sebulan ke sekolah. Saya tidak berpeluang bercakap atau mendorongnya supaya selalu hadir
ke sekolah kerana dia sangat kerap tidak hadir ke sekolah dalam sebulan. Dalam
bulan Mac ketika Ujian Prestasi kali pertama berlangsung, Nisrina hanya datang
sehari sahaja. Malah pada bulan April yang lalu, Nisrina tidak hadir langsung ke
sekolah.
Namun, pada tarikh 08 Mei 2012 yang lalu,
Nisrina hadir ke sekolah dengan membawa surat ketidakhadiran untuk diserahkan
kepada saya.
Sewaktu mahu memulakan kelas, saya melihat
Nisrina memberikan surat yang bersampul putih kepada Nia yang duduk di
sebelahnya. Saya fikir, mungkin dia takut untuk menyerahkan surat itu sendiri
kepada saya. Apabila melihat adegan dia dan Nia saling tolak menolak surat yang
bersampul putih itu, saya memanggil Nisrina datang ke meja guru. Surat yang
tadi sudah berada di tangan Nia, diambil kembali.
Sebaik
Nisrina berada di hadapan saya, saya bertanyakan kepadanya, “Apakah sebab yang
menghalang kamu hadir ke sekolah selama sebulan?”
“Saya
mempunyai masalah sakit usus, ustazah.” Jawab Nisrina jujur sambil menyerahkan
surat bersampul putih tadi.
Saya mengambil surat tersebut dan menyimpan
di dalam buku rekod kedatangan pelajar tanpa membacanya di hadapan Nisrina dan
pelajar-pelajar 5 Ali yang lain. Saya buat seolah-olah saya tidak nampak
kesalahan tidak hadir ke sekolah Nisrina seperti yang diajarkan dalam Teknik
Tutup Mata pada Kesalahan, Puji Kebaikan.
Dalam hadith 12 Malaikat, seorang
lelaki itu melakukan perkara-perkara yang salah dan juga perkara-perkara yang
betul. Nabi Muhammad memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh. Saya
Nampak 12 malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
Setelah itu, saya cari kebaikan Nisrina yang
ada pada dirinya untuk dipuji.
Saya berkata, “Ustazah gembira kamu hadir
hari ini. Sudah terlalu lama kamu tidak hadir. Ustazah rindu.”
Ketika saya berkata begitu, Kak Yong yang
kedudukan mejanya berhadapan dengan meja guru menyampuk percakapan kami. Kata
Kak Yong, “Saya juga rindu, ustazah. Saya suka dia datang.”
Lalu saya berkata lagi, “Tengok, bukan
Ustazah sahaja yang rindukan kamu, kawan-kawan juga. Dalam ujian fasa pertama
dahulu, walaupun kamu hanya mengambil dua mata pelajaran, markah kamu tinggi. Ustazah yakin, sekiranya kamu hadir ke sekolah setiap hari, kamu akan
mendapat kedudukan nombor satu hingga sepuluh di dalam kelas 5 Ali ini.”
Nisrina mendapat kedudukan terakhir dalam ujian prestasi kali pertama
Nisrina hanya diam mendengar kata-kata saya.
Wajahnya sudah tidak seperti mula-mula dia tiba di meja guru. Sesudah itu,
Nisrina saya suruh kembali ke tempat duduknya.
Petang setelah kelas tambahan tamat pada hari
itu, Nisrina menyalami tangan saya. Saya berpesan kepadanya dengan berkata,
“Jaga diri dan kesihatan kamu baik-baik.”
Peristiwa itu berlaku hampir dua bulan yang
lalu. Selepas aplikasi Teknik Nabi dalam peristiwa ini, Nisrina tidak pernah
lagi ponteng atau tidak datang ke sekolah (kecuali sekiranya dia terlibat
dengan aktiviti kokurikulum di sekolah kebangsaan) sehingga hari ini. Setiap
kali Nisrina hadir ke sekolah, saya akan memuji dan bertanyakan keadaan
kesihatannya. Barangkali, ini membuatkan dia rasa disayangi. Dan dia tidak
kekok atau segan berkongsi masalah bersama dengan saya.
Semasa peperiksaan pertengahan tahun berlangsung baru-baru ini, Nisrina hadir penuh menduduki peperiksaan.
Memandangkan sebelum ini Nisrina kerap tidak hadir ke sekolah, maka banyaklah
pelajarannya yang telah tertinggal. Saya tidak dapat menjangkakan apakah
Nisrina akan dapat markah yang tinggi untuk semua mata pelajaran yang diduduki
mahu pun kedudukan nombor peperiksaannya di dalam kelas.
Dalam tempoh sebulan Nisrina hadir ke
sekolah, adalah amat mustahil untuk dia menampung semua mata pelajaran yang
tertinggal. Bagi tidak membunuh semangat belajarnya, saya berpesan kepada
Nisrina, “Tidak mengapa sekiranya markah kamu tidak tinggi di dalam
peperiksaan. Sekiranya kamu berusaha untuk hadir ke sekolah setiap hari dan bersungguh-sungguh
menjawab semua kertas peperiksaan, itu sudah cukup baik untuk kamu berjaya pada
masa akan datang.”
Dua minggu selepas sekolah dibuka, saya
menyiapkan analisis peperiksaan pertengahan tahun pelajar 5 Ali. Apa yang
mengkagumkan, prestasi kemajuan akademik Nisrina menampakkan peningkatan yang
sangat tinggi. Daripada kedudukan terakhir di dalam kelas (25/25 ketika ujian
prestasi kali pertama), turun kepada kedudukan nombor ke sebelas (11/25).
Walhal, majoriti guru-guru dan pelajar tahun lima menyatakan bahawa
soalan-soalan peperiksaan pertengahan tahun adalah lebih sukar berbanding
soalan ujian prestasi kali pertama.
Ini pula keputusan peperiksaan pertengahan Nisrina tahun baru-baru ini.
Dalam tempoh kehadiran penuh yang tidak
sampai sebulan sebelum peperiksaan, Nisrina berjaya membaiki kedudukan dan
peningkatan pelajarannya sebelum ini di dalam kelas 5 Ali. Ini benar-benar satu
pencapaian yang luar biasa. Segalanya bermula dengan Teknik Tutup Mata Pada
Kesalahan, Puji Kebaikan. Subhanallah, benar Teknik Nabi ini suatu mukjizat.
*Hadith rujukan: '12
Malaikat'
Anas melaporkan, pada suatu hari ada
seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang
sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar
waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban
mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah
tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak
seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang
mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang
berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan
termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad
berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat
kata-kata itu.”
-- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Nota: 'Alhamdulillahi
hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi
Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.' ~Baca lebih lanjut di sini
Nisrina bersama pelajar 5 Ali yang lain ketika meraikan sambutan Hari Guru untuk saya
Ustazah Siti Khadijah
Alhamdulillah, byk entry ustazah yang saya baca sebelum ni.. Secara tak langsung, ia menyuntik perasaan saya utk mnjdi guru suatu hari nanti.. InsyaAllah jika diizinkan :)
ReplyDeleteperkongsian yang menarik.seronok baca:)
ReplyDelete