SEBENARNYA apabila guru mahu membetulkan
satu-satu kesilapan mahupun menampung kekurangan pelajar menggunakan Teknik
Nabi Muhammad tidaklah sesukar seperti di dalam amalan lazim. Di dalam amalan
lazim, apabila seorang guru melihat kesilapan yang dilakukan oleh para pelajar,
guru akan cenderung menegur, memarahi, membebel, menasihati, mengkritik,
membandingkan atau menghukum pelajar ketika itu juga.
Namun ini berbeza apabila guru mengamalkan
Teknik Nabi Muhammad. Semua perbuatan yang sudah biasa dilakukan di dalam
amalan lazim tidak akan dilakukan. Memadai guru menunjukkan cara yang betul dengan menerangkan atau
membetulkan kesilapan tersebut hanya dengan memberikan pujian mengikut Teknik
Pujian Gaya Rasulullah.
Dalam entri kali ini, saya akan berkongsi kisah
bagaimana mahu menampung kekurangan dan membetulkan kesilapan seorang pelajar
yang mewakili sekolah dalam acara pertandingan bercerita peringkat sekolah ke
Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) di bawah anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia.
Tengahari hari itu, saya diminta oleh dua
rakan guru untuk melihat latihan dan membetulkan kesilapan seorang pelajar
perempuan dalam acara bercerita. Memandangkan saya mempunyai beberapa masa
senggang selepas rehat pada hari tersebut, saya segera menyetujui permintaan mereka.
Apa yang berlaku setelah melihat sesi latihan
bercerita pelajar perempuan yang bernama Fathina tersebut, saya dapati ada
beberapa kekurangan dan kesilapan yang telah dilakukan. Antaranya;
- Fathina tidak menghafal keseluruhan teks
dengan baik. Dia kerap tergagap-gagap pada perenggan-perenggan tertentu.
- Suara Fathina juga agak perlahan. Hanya
mungkin akan didengari oleh audien yang berada di hadapan.
- Fathina belum menghafal sepenuhnya jawapan
soalan-soalan spontan yang bakal diajukan oleh para hakim selepas persembahan
cerita yang diberikan.
- Gaya
dan nada persembahan Fathina juga agak kabur.
- Suaranya ketika membaca ayat Al-Quran, mempersembahkan nasyid, berpantun,
bersajak dan bersyair lebih kurang sama sahaja.
Di dalam amalan lazim, apabila guru melihat
kekurangan dan kesilapan sebegini dilakukan oleh pelajar, guru akan cenderung
menegur, menasihati, mengkritik dan membebel ketika itu juga. Namun saya tidak
melakukan demikian apalagi menyalahkan Fathina. Saya tidak berkata;
- “Kamu ini bagaimana? Esok kita sudah mahu
bertanding, kalau begini cara kamu bercerita, memang tiada harapanlah sekolah
kita mahu menang.” (SALAH)
- “Kamu tidak ingat teks, ini boleh menyebabkan
markah bercerita kamu dipotong.” (SALAH)
- “Mengingat teks cerita adalah perkara yang paling
penting. Gagal mengingat teks, akan menyebabkan markah dipotong dengan banyak
sekali. Kamu mahu sekolah kita kalahkah?” (SALAH)
- “Apalah kamu ini, teks bercerita yang
sebegini mudah pun kamu tidak ingat?” (SALAH)
- “Fathina, kamu jangan bercerita dengan suara
macam ini. Nanti suara kamu penonton tidak dengar.” (SALAH)
- “Suara kamu perlahan, kuatkan lagi suara
kamu. Kalau berborak kuat pula suara kamu” (SALAH)
- “Fathina, cubalah bercerita dengan suara yang
kuat. Barulah orang akan dapat dengar apa yang mahu kamu sampaikan.” (SALAH)
- “Kita hanya ada masa hari ini. Kalau kamu
masih tidak hafal lagi jawapan soalan-soalan spontan, alamatnya susahlah kita
nanti.” (SALAH)
- “Kamu ini, bukankah saya sudah berikan
jawapan soalan-soalan spontan tersebut dua hari lepas. Takkan satu pun kamu
tidak ingat.” (SALAH)
- “Hafal soalan-soalan tersebut betul-betul,
barulah kita ada harapan mahu menang.” (SALAH)
- “Cara kamu membaca ayat-ayat Al-Quran dan
mempersembah pantun, sajak, nasyid, dan bersyair lebih kurang sama sahaja
bunyinya. Tiada beza langsung. Sebutlah betul-betul, baru orang dapat bezakan
mana pantun, sajak, nasyid dan syair. (SALAH)
Sebaliknya, saya telah mengaplikasi Teknik
Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan.
Saya tahu, biar pun banyak kesilapan yang
dilakukan oleh pelajar yang bernama Fathina itu ketika menjalani sesi latihan
bercerita, dalam masa yang sama Fathina ada melakukan kebaikan-kebaikan. Saya
senaraikan kebaikan-kebaikan Fathina setelah dia selesai menjalani satu latihan
meskipun kecil. Saya dapati, antara kebaikan-kebaikan tersebut ialah;
- Biarpun Fathina tergagap-gagap ketika
melewati perenggan-perengan tertentu, dia hafal hampir keseluruhan teks cerita.
- Fathina menyanggupi untuk menjadi wakil
sekolah di dalam acara bercerita biar pun mengetahuinya di saat-saat akhir.
- Fathina berani mencuba dan telah berusaha
dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup meninggalkan kelas.
- Fathina tetap bercerita walaupun suaranya
agak perlahan.
- Biar pun intonasi ayat Al-Quran, pantun,
sajak, nasyid dan syair kedengaran hampir sama sahaja, Fathina ingat
kelima-lima teks yang menyumbang markah bonus tersebut.
Dalam hadith 12
Malaikat;
Anas melaporkan, pada suatu hari ada
seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang
sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar
waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban
mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah
tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak
seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang
mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang
berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan
termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad
berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat
kata-kata itu.”
-- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.
Kesalahan yang
dilakukan oleh lelaki itu:
- Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah
mula bersembahyang dia baru sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh.
- Dia bercakap kuat di dalam masjid
sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.
- Apabila ditanya oleh Nabi Muhammad
siapa yang bercakap kuat tadi, dia tidak mengaku.
Kebaikan yang
dilakukan oleh lelaki itu:
- Datang lambat bukanlah perbuatan berdosa,
cuma kuranglah pahalanya. Walaupun dia datang lambat, tetapi dia datang juga ke
masjid.
- Dia sempat ikut sembahyang berjemaah.
- Walaupun dia bercakap kuat, tetapi kata-kata
yang diucapkannya adalah kata-kata yang bagus, kerana dia memuji-muji Allah.
- Walaupun dia lambat, sampai dalam keadaan
terkocoh-kocoh dan termengah-mengah, dia tetap ingat kepada Allah, dan mulutnya
memuji-muji Allah.
- Tidak ada sesiapa menyuruh dia berzikir
tetapi dia mengambil inisiatif melakukan perbuatan baik itu.
- Seni kata dalam bacaan zikirnya itu adalah
ciptaannya sendiri. ~Buku Mendorong Pelajar Kelas Corot.
Sesudah menyenaraikan kebaikan-kebaikan
Fathina, saya mengaplikasi pula Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad.
Saya memuji Fathina dengan berkata; “Ustazah
kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran,
nasyid, pantun, syair dan sajak. Kita mempunyai peluang yang cerah untuk
memenangi pertandingan esok. Hafal keseluruhan teks dan memasukkan kreativiti
tersebut sudah membolehkan kita mendapat markah bonus.”
“Ustazah suka cara kamu bercerita.
Persembahan cerita kamu tentu akan lebih bagus sekiranya nada suara dikuatkan.
Para hakim dan audien akan tertarik mendengar cerita kamu. Ustazah juga suka
kamu mengalunkan nada dan intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut
iramanya. Tentu akan lebih indah kedengaran cerita yang disampaikan nanti.”
Hadith rujukan:
'Pintu Langit Terbuka'
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu
masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid.
Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran,
alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas
selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada,
"Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab,
"Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum
dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."
Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi
Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata
itu."
- Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.
Ciri-ciri pujian Nabi
Muhammad:
1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh
orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya
pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya.
Saya memuji Fathina dengan berkata, “Ustazah
kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran,
nasyid, pantun, syair dan sajak…”
2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja
yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
Pujian yang ditujukan kepada hasil kerja:
“Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks
cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak…”
(BETUL)
“Ustazah suka cara kamu bercerita…” (BETUL)
“Ustazah juga suka kamu mengalunkan nada dan
intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya.” (BETUL)
Contoh pujian yang ditujukan kepada diri
orang itu:
"Kamu pandai bercerita." (SALAH)
"Kamu pandai hafal teks." (SALAH)
"Kamu pandai mengalunkan nada dan
intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya." (SALAH)
3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif
perbuatan yang dipuji.
Perkataan 'impak' (impact) bermakna kesan
yang terhasil daripada perbuatan yang dilakukan. Sebagai contoh, tulisan
pelajar yang kemas menghasilkan impak karangannya dapat mudah dibaca oleh guru.
Contoh pujian yang tidak menyebut impak:
"Kamu sekarang sudah pandai membaca
dengan lancar." (SALAH)
"Bacaan kamu sungguh bagus."
(SALAH)
Pujian yang menyebut impak:
“Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks
cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak. Kita
mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pertandingan esok" – impak 1. (BETUL)
“Hafal keseluruhan teks dan memasukkan
kreativiti tersebut sudah membolehkan kita mendapat markah bonus" – impak 2.(BETUL)
“Ustazah suka cara kamu bercerita. Persembahan
cerita kamu tentu akan lebih bagus sekiranya nada suara dikuatkan – impak 1.
Para hakim dan audien akan tertarik mendengar cerita kamu" – impak 2. (BETUL)
“Ustazah juga suka kamu mengalunkan nada dan
intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya. Tentu akan lebih
indah kedengaran cerita yang disampaikan nanti.” - Impak 1 (BETUL)
Fathina mengangguk dan tersenyum-senyum
mendengar pujian saya.
Dia lalu berkata, “Ustazah, saya mahu cuba
sekali lagi. Kali ini saya akan buat lebih baik.”
Saya tahu, self-esteem Fathina sudah
meningkat dan kerana itu dia terdorong mahu mengulangi persembahan ceritanya
bersama saya sekali lagi.
Saya mengangguk dan berkata, “Baik, mari kita mulakan
sekarang.”
Kali ini, Fathina menjalani latihan dengan
bersungguh-sungguh, persembahan berceritanya bertambah baik. Suaranya sudah
dikuatkan dan tidak perlahan lagi. Suara dan nada setiap kreativiti yang
terdapat di dalam teks bercerita dibunyikan mengikut nada dan intonasi yang
betul. Apabila sampai kepada teks berpantun, Fathina berpantun seperti sedang
berjual beli di dalam acara pantun. Apabila sampai kepada teks bersajak,
Fathina mendeklamasi sajak dengan baik sekali. Begitulah juga dengan kreativiti
yang lain.
Setiap kali melihat persembahan Fathina yang bertambah baik, saya
memberikan ganjaran sosial berbentuk dorongan kata-kata positif ‘bagus’ dan
isyarat ‘good’ dengan menggunakan ibu jari sehingga dia selesai menjalani
latihan.
Memang Teknik Nabi Muhammad tidak pernah
mengecewakan. Persembahan bercerita Fathina bukan sahaja bertambah baik, malah
kesilapan dan kekurangannya sebelum ini
dapat dibaiki tanpa perlu saya marah-marah, menasihati mahupun berleter
panjang. Memadai dengan memuji segalanya selesai.
Keesokan hari, Fathina dibawa guru pengiring
ke sekolah yang menjadi tuan rumah bagi acara pertandingan bercerita. Sebelum
pergi, dia berkesempatan bertemu saya.
Saya sentuh bahunya dan bisikkan sesuatu,
“Kalah menang adalah adat bertanding. Kamu sudah pun menang ketika menjalani
latihan bersama ustazah. Selamat bertanding, doa ustazah bersama kamu.”
Jujur sahaja, saya dan dua lagi rakan guru
tidak mengharapkan apa-apa kemenangan berdasarkan beberapa faktor. Salah satu
daripadanya, Fathina dilatih pada saat-saat akhir kerana tempoh masa
pemberitahuan pertandingan dan hari bertanding terlalu singkat.
Fathina mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bercerita peringkat sekolah.
Tengahari tersebut sebelum pulang ke rumah, saya
dimaklumkan oleh seorang rakan guru yang menerima sms daripada guru pengiring
para peserta pertandingan bahawa Fathina mendapat tempat ketiga dalam acara
pertandingan bercerita MTQ.
Subhanallah…amdulillah…allahu akbar!
*"Kita mahu jadi guru penyayang, bukan guru yang garang."
Ustazah Siti Khadijah (USK)
@ Ustazah Comel :-)