Thursday, October 31, 2013

Teknik Memberi Solusi Berbahasa Dengan Betul Bagi Anak Kecil

ENTRI kali ini atas permintaan beberapa orang ibu bapa yang bertanya mengenai membetulkan bahasa anak-anak kecil yang 'pelat' apabila bercakap. Saya kongsikan aplikasi Teknik Nabi Memberi Solusi yang pernah diaplikasi ke atas anak buah saya yang comel ini. Mudah-mudahan, ia sedikit sebanyak akan membantu memecahkan masalah yang dihadapai oleh para ibu bapa.


Nama anak buah saya ini, Nur Batrisya Bashirah. Kami sekeluarga memanggilnya dengan panggilan manja Eisya atau Eicha. Sejak kecil, Eisya adalah seorang anak yang cerdik dan aktif. Dia juga petah dalam berkata-kata. Kami sekeluarga sering terhibur setiap kali mendengar celotehnya.

Pernah suatu hari Eisya pulang dari sekolah dalam keadaan baju sekolahnya kotor. Apabila ibunya (kakak saya) bertanya kepadanya, "Eisya, kenapa baju kotor? Eisya main sehingga baju habis kotor ya?"

Eisya seperti biasa akan menjawab dengan petah. Jawabnya, "Ibu, sebenarnya bukan baju Eisya yang kotor, tetapi sekolah itu yang kotor." Hahaha.

Sungguhpun begitu, sebenarnya Eisya sejak kecil menghadapi situasi bercakap 'pelat'. Daripada usianya dua tahun sehingga enam tahun, Eisya masih belum mampu berbahasa dengan betul biarpun sudah sering ditegur dan dibetulkan percakapannya.

Pada bulan Disember tahun lalu, usia Eisya sudah hampir memasuki usia 7 tahun (pada Januari tahun 2013), namun dia masih belum juga boleh bercakap dengan bahasa yang betul sepenuhnya. Kami sekeluarga menghabiskan cuti bersama di Langkawi. Ketika di Langkawi, Eisya memilih untuk menaiki kereta sewa bersama saya dan adik-beradik yang lain. Dia tidak mahu menaiki satu kereta dengan kedua ibu bapanya biar pun sudah berkali-kali disuruh bersama mereka.

Ketika di dalam perjalanan, Eisya yang duduk di ribaan saya dengan ramah memulakan cerita. 

Tuturnya, "Maklang...Maklang, Ateh, Pak Su, nak tahu tak, Eicha nanti darjah satu, Eicha sekolah dekat sekolah ibu. Pagi Eicha sekolah agama dekat sekolah ibu, petang Eicha sekolah kebangsaaaaaaan tahun 1 Anggerik (baca dengan nada pelat ‘kebangsan’ yang panjang dan sengau)."

Saya dan suami hampir ketawa mendengar cerita Eisya kerana bahasanya yang pelat, sengau dan sebutan bunyinya kedengaran agak kelakar.

Manakala adik-beradik di tempat duduk belakang sudah ketawa tidak henti-henti kerana mendengar bahasa Eisya yang 'pelat', sengau dan tidak betul tersebut.

"Hahaha, apa Cha? Sekolah apa, kebangsaaaaaaaan?" Paksunya bertanya sambil ketawa. (Sindiran - SALAH)


"Ha'ahlah, Cha. Apa dia, sekolah kebangsaaaaaan? Eicha ni pelatlahlah. Bukan kebangsaaaaaaaaaaaaaaan. Sebut pun salah." Atehnya pula menyampuk perbualan di antara Eisya dengan kami semua. (Kritik - SALAH)

"Cha, sekolah kebangsaan, barulah betul. Sebut betul-betul." (Nasihat - SALAH)

Eisya yang sememangnya petah berkata-kata terus sahaja membalas kata-kata Pak Su dan Atehnya, "Iyalah, Eicha nanti akan sekolah kebangsaaaaaaaaaaaan." 

Penuh keyakinan Eisya menjawab. Namun sayang, sekali lagi Eisya diketawakan kerana salah dalam menyebut perkataan; 'sekolah kebangsaan' kepada sekolah 'kebangsan' yang panjang. Pak Su dan Ateh-atehnya bukan main suka dapat menyakat Eisya.

Sebaliknya, saya hanya memerhatikan gelagat mereka sambil tersenyum. Di dalam kepala, saya berfikir-fikir mahu membetulkan kesilapan Eisya dengan mengaplikasi Teknik Nabi. Tanpa mengkritik atau menyalahkan, saya lalu mengaplikasi Teknik Memberi Solusi dengan berkata, "Eisya, dengar Maklang sebut. Kemudian, Eisya ikut macam Maklang sebut."


"Se-ko-lah..." Saya mula menyebut bunyi suku kata satu persatu.
"Se-ko-lah..." Eisya mengikut sebutan saya sambil membunyikan sebutan suku kata juga satu persatu.

"Ke-bang.." Sambung saya lagi.
"Ke-bang.." Eisya masih ikut membunyikan sebutan suku kata yang telah saya sebutkan.
"Sa-an."

"Sa-an." Eisya berjaya membunyikan keseluruhan suku kata 'sekolah kebangsaan' dengan baik sekali.

"Bagus, Eisya sudah boleh sebut dengan betul (Pujian + perbuatan). Maklang suka (Impak 1). Nanti mesti Eisya boleh sebut (Impak 2) dan tidak akan salah lagi (Impak 3). Paksu dan Ateh takkan boleh ketawakan Eisya lagi (Impak 4)."


"Ok, sekarang Eisya ikut Maklang sekali lagi. Sekolah." Kali ini saya menyebut bunyi suku kata sekaligus.
"Sekolah."


"Kebangsaan." Perlahan saya membunyikan perkataan, namun cukup berhati-hati agar sebutannya dapat didengari secara jelas oleh Eisya. Seterusnya, dia mampu menyebutnya sepertimana saya menyebutnya.
"Kebangsaan." Kali ini, sebutan Eisya tidak salah lagi. Dia boleh membunyikan perkataan 'kebangsaan' itu dengan lancar tanpa salah lagi.


"Sekali lagi Eisya. Kita sebut sama-sama."

"Sekolah kebangsaan."

"Sekolah kebangsaan."

Akhirnya Eisya berjaya menyebut perkataan yang sukar. Sebelum ini, sudah berkali-kali dibetulkan kesilapan tersebut, namun masih juga Eisya mengulang kesilapan yang sama. Setelah itu, saya cuba bertanya kembali kepada Eisya, "Nanti pada tahun hadapan, Eisya akan masuk sekolah agama di sekolah ibu dengan sekolah apa satu lagi?"

Eisya menjawab dengan penuh yakin dan tanpa salah lagi, "Sekolah kebangsaan."

Kemudian, Pak Su dan Atehnya yang berada di tempat duduk belakang sengaja bertanya, Eisya masih menjawab 'sekolah kebangsaan' dengan jelas. Setiap kali Eisya menjawab, saya akan memujinya. Saya amat bersyukur, dengan Teknik Nabi Eisya boleh berbahasa dengan betul. Tanpa perlu dimarah-marah, ditegur atau dikritik seperti di dalam amalan lazim 'pelat'nya dapat dikurangkan. 

Nurbatrisya Bashirah atau Eisya kini pelajar tahun satu di Sekolah Kebangssan Bandar Tun Hussien Onn 1 Cheras

Semenjak hari itu, Eisya tidak pernah silap dalam menyebut perkataan 'kebangsaan' lagi. Kadangkala, Pak Su atau Atehnya cuba menyakat dan mempermainkan Eisya dengan bertanya sebutan perkataan 'kebangsaan' secara salah. Namun Eisya tetap menyebutnya dengan betul. Sehingga hari ini, apabila ditanya, Eisya akan menyebut perkataan 'sekolah kebangsaan' dengan jelas dan intonasinya betul sekali. Alhamdulillah, ianya berkat mengaplikasi Teknik Nabi yang Memberi Solusi.


Ustazah Siti Khadijah

Wednesday, September 11, 2013

Skrip Format Pujian Gaya Nabi Buat Pelajar UPSR yang Demam

PAGI tadi ketika menanti para pelajar tahun 6 masuk ke dalam dewan peperiksaan UPSR, saya mendapat tahu seorang pelajar tahun 6 Cemerlang demam. Semalam, ketika saya menampal slip nama pelajar di meja para pelajar tahun 6 Cemerlang,  saya perasan pelajar ini tidak hadir.

   Dia adalah salah seorang ahli kumpulan pelajar tahun 6 yang agak nakal dalam tahun 6 Cemerlang. Namun, setelah diaplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas kumpulan pelajar ini, saya perhatikan mereka sedikit demi sedikit berubah ke arah positif. Setiap kali saya masuk ke dalam kelas, kami pasti duduk bercerita pelbagai isu semasa dan agama sambil mereka membuat latihan.

   Sebaik mendapat tahu pelajar ini demam, namun tetap hadir mengambil peperiksaan UPSR, hati saya berkata, "Pelajar ini harus didorong dengan pujian menggunakan Teknik Nabi Muhammad. Usahanya yang hadir dalam keadaan kurang sihat satu kebaikan yang harus diberikan ganjaran sosial positif."

  Ini bertujuan mendorongnya untuk terus hadir ke sekolah dan tetap bersemangat menjalani peperiksaan biarpun kurang sihat.

   Sebelum semua pelajar masuk ke dalam dewan, saya sempat perhatikan wajah pelajar ini. Memang pagi tadi wajahnya nampak tidak seriang hari biasa. Dia kelihatan diam dan wajahnya sedikit pucat.

   Diam-diam di dalam bilik guru, saya keluarkan sekeping kad kecil daripada sebuah buku. Kemudian, menulis kata-kata pujian ini buat pelajar yang demam tersebut.
Kad ucapan dan ole-ole buat pelajar demam; Azrai'e




"Assalamualaikum. 
Buat Azra'ie yang ustazah sayangi, 
Ustazah kagum melihat kamu hadir ke sekolah mengambil peperiksaan UPSR, meskipun kamu demam. (Pujian)
Allah pasti berikan kamu pahala yang banyak kerana usaha kamu itu. (Impak perbuatan hadir ke sekolah 1) 
Ustazah doakan, kamu akan cepat sembuh (Impak 2) dan mendapat keputusan terbaik dalam UPSR. (Impak 3).

Salam sayang, 
Ustazah Siti Khadijah."


   Ketika memberikan kad ucapan ini kepada pelajar yang bernama Azra'ie, rakan kumpulannya yang lain berkata, "Ustazah, kami mahu juga. "

   "Ustazah beri pada Azra'ie kerana dia demam. Mudah-mudahan dia akan cepat sembuh." Balas saya sambil menghulur kad ucapan dan sedikit ole-ole buat pelajar tersebut.  Sebaik Azra'ie menerima pemberian tersebut, saya lihat dia sudah mula tersenyum. 

Mudah-mudahan Azra'ie akan kembali sihat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan UPSR.

Ustazah Siti Khadijah

Tuesday, May 14, 2013

Menampung Kekurangan dan Membetul Kesilapan dengan Teknik Nabi Muhammad

SEBENARNYA apabila guru mahu membetulkan satu-satu kesilapan mahupun menampung kekurangan pelajar menggunakan Teknik Nabi Muhammad tidaklah sesukar seperti di dalam amalan lazim. Di dalam amalan lazim, apabila seorang guru melihat kesilapan yang dilakukan oleh para pelajar, guru akan cenderung menegur, memarahi, membebel, menasihati, mengkritik, membandingkan atau menghukum pelajar ketika itu juga.

Namun ini berbeza apabila guru mengamalkan Teknik Nabi Muhammad. Semua perbuatan yang sudah biasa dilakukan di dalam amalan lazim tidak akan dilakukan. Memadai guru menunjukkan  cara yang betul dengan menerangkan atau membetulkan kesilapan tersebut hanya dengan memberikan pujian mengikut Teknik Pujian Gaya Rasulullah.

Dalam entri kali ini, saya akan berkongsi kisah bagaimana mahu menampung kekurangan dan membetulkan kesilapan seorang pelajar yang mewakili sekolah dalam acara pertandingan bercerita peringkat sekolah ke Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) di bawah anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tengahari hari itu, saya diminta oleh dua rakan guru untuk melihat latihan dan membetulkan kesilapan seorang pelajar perempuan dalam acara bercerita. Memandangkan saya mempunyai beberapa masa senggang selepas rehat pada hari tersebut, saya segera menyetujui permintaan mereka.

Apa yang berlaku setelah melihat sesi latihan bercerita pelajar perempuan yang bernama Fathina tersebut, saya dapati ada beberapa kekurangan dan kesilapan yang telah dilakukan. Antaranya;
  1. Fathina tidak menghafal keseluruhan teks dengan baik. Dia kerap tergagap-gagap pada perenggan-perenggan tertentu.
  2. Suara Fathina juga agak perlahan. Hanya mungkin akan didengari oleh audien yang berada di hadapan.
  3. Fathina belum menghafal sepenuhnya jawapan soalan-soalan spontan yang bakal diajukan oleh para hakim selepas persembahan cerita yang diberikan.
  4. Gaya dan nada persembahan Fathina juga agak kabur. 
  5. Suaranya ketika membaca ayat Al-Quran, mempersembahkan nasyid, berpantun, bersajak dan bersyair lebih kurang sama sahaja.

Di dalam amalan lazim, apabila guru melihat kekurangan dan kesilapan sebegini dilakukan oleh pelajar, guru akan cenderung menegur, menasihati, mengkritik dan membebel ketika itu juga. Namun saya tidak melakukan demikian apalagi menyalahkan Fathina. Saya tidak berkata;
  • “Kamu ini bagaimana? Esok kita sudah mahu bertanding, kalau begini cara kamu bercerita, memang tiada harapanlah sekolah kita mahu menang.” (SALAH)
  • “Kamu tidak ingat teks, ini boleh menyebabkan markah bercerita kamu dipotong.” (SALAH)
  • “Mengingat teks cerita adalah perkara yang paling penting. Gagal mengingat teks, akan menyebabkan markah dipotong dengan banyak sekali. Kamu mahu sekolah kita kalahkah?” (SALAH)
  • “Apalah kamu ini, teks bercerita yang sebegini mudah pun kamu tidak ingat?” (SALAH)
  • “Fathina, kamu jangan bercerita dengan suara macam ini. Nanti suara kamu penonton tidak dengar.” (SALAH)
  • “Suara kamu perlahan, kuatkan lagi suara kamu. Kalau berborak kuat pula suara kamu” (SALAH)
  • “Fathina, cubalah bercerita dengan suara yang kuat. Barulah orang akan dapat dengar apa yang mahu kamu sampaikan.” (SALAH)
  • “Kita hanya ada masa hari ini. Kalau kamu masih tidak hafal lagi jawapan soalan-soalan spontan, alamatnya susahlah kita nanti.” (SALAH)
  • “Kamu ini, bukankah saya sudah berikan jawapan soalan-soalan spontan tersebut dua hari lepas. Takkan satu pun kamu tidak ingat.” (SALAH)
  • “Hafal soalan-soalan tersebut betul-betul, barulah kita ada harapan mahu menang.” (SALAH)
  • “Cara kamu membaca ayat-ayat Al-Quran dan mempersembah pantun, sajak, nasyid, dan bersyair lebih kurang sama sahaja bunyinya. Tiada beza langsung. Sebutlah betul-betul, baru orang dapat bezakan mana pantun, sajak, nasyid dan syair. (SALAH)
Sebaliknya, saya telah mengaplikasi Teknik Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan.

Saya tahu, biar pun banyak kesilapan yang dilakukan oleh pelajar yang bernama Fathina itu ketika menjalani sesi latihan bercerita, dalam masa yang sama Fathina ada melakukan kebaikan-kebaikan. Saya senaraikan kebaikan-kebaikan Fathina setelah dia selesai menjalani satu latihan meskipun kecil. Saya dapati, antara kebaikan-kebaikan tersebut ialah;
  • Biarpun Fathina tergagap-gagap ketika melewati perenggan-perengan tertentu, dia hafal hampir keseluruhan teks cerita.
  • Fathina menyanggupi untuk menjadi wakil sekolah di dalam acara bercerita biar pun mengetahuinya di saat-saat akhir.
  • Fathina berani mencuba dan telah berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup meninggalkan kelas.
  • Fathina tetap bercerita walaupun suaranya agak perlahan.
  • Biar pun intonasi ayat Al-Quran, pantun, sajak, nasyid dan syair kedengaran hampir sama sahaja, Fathina ingat kelima-lima teks yang menyumbang markah bonus tersebut.
Dalam hadith 12 Malaikat;
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu:
  1. Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah mula bersembahyang dia baru sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh.
  2. Dia bercakap kuat di dalam masjid sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.
  3.  Apabila ditanya oleh Nabi Muhammad siapa yang bercakap kuat tadi, dia tidak mengaku.
Kebaikan yang dilakukan oleh lelaki itu:
  1. Datang lambat bukanlah perbuatan berdosa, cuma kuranglah pahalanya. Walaupun dia datang lambat, tetapi dia datang juga ke masjid.
  2. Dia sempat ikut sembahyang berjemaah.
  3. Walaupun dia bercakap kuat, tetapi kata-kata yang diucapkannya adalah kata-kata yang bagus, kerana dia memuji-muji Allah.
  4. Walaupun dia lambat, sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh dan termengah-mengah, dia tetap ingat kepada Allah, dan mulutnya memuji-muji Allah.
  5. Tidak ada sesiapa menyuruh dia berzikir tetapi dia mengambil inisiatif melakukan perbuatan baik itu.
  6. Seni kata dalam bacaan zikirnya itu adalah ciptaannya sendiri. ~Buku Mendorong Pelajar Kelas Corot.
Sesudah menyenaraikan kebaikan-kebaikan Fathina, saya mengaplikasi pula Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad.

Saya memuji Fathina dengan berkata; “Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak. Kita mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pertandingan esok. Hafal keseluruhan teks dan memasukkan kreativiti tersebut sudah membolehkan kita mendapat markah bonus.”

“Ustazah suka cara kamu bercerita. Persembahan cerita kamu tentu akan lebih bagus sekiranya nada suara dikuatkan. Para hakim dan audien akan tertarik mendengar cerita kamu. Ustazah juga suka kamu mengalunkan nada dan intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya. Tentu akan lebih indah kedengaran cerita yang disampaikan nanti.”

Hadith rujukan: 'Pintu Langit Terbuka'
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Ciri-ciri pujian Nabi Muhammad:

1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya.

Saya memuji Fathina dengan berkata, “Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak…”
  
2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.

Pujian yang ditujukan kepada hasil kerja:
“Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak…” (BETUL)
“Ustazah suka cara kamu bercerita…” (BETUL)
“Ustazah juga suka kamu mengalunkan nada dan intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya.” (BETUL)

Contoh pujian yang ditujukan kepada diri orang itu: 
"Kamu pandai bercerita." (SALAH)
"Kamu pandai hafal teks." (SALAH)
"Kamu pandai mengalunkan nada dan intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya." (SALAH)

3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.

Perkataan 'impak' (impact) bermakna kesan yang terhasil daripada perbuatan yang dilakukan. Sebagai contoh, tulisan pelajar yang kemas menghasilkan impak karangannya dapat mudah dibaca oleh guru. 

Contoh pujian yang tidak menyebut impak: 
"Kamu sekarang sudah pandai membaca dengan lancar." (SALAH)
"Bacaan kamu sungguh bagus." (SALAH)

Pujian yang menyebut impak:
“Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak. Kita mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pertandingan esok" – impak 1. (BETUL)

“Hafal keseluruhan teks dan memasukkan kreativiti tersebut sudah membolehkan kita mendapat markah bonus" – impak 2.(BETUL)

“Ustazah suka cara kamu bercerita. Persembahan cerita kamu tentu akan lebih bagus sekiranya nada suara dikuatkan – impak 1. Para hakim dan audien akan tertarik mendengar cerita kamu" – impak 2. (BETUL)

“Ustazah juga suka kamu mengalunkan nada dan intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya. Tentu akan lebih indah kedengaran cerita yang disampaikan nanti.” - Impak 1 (BETUL)


Fathina mengangguk dan tersenyum-senyum mendengar pujian saya.

Dia lalu berkata, “Ustazah, saya mahu cuba sekali lagi. Kali ini saya akan buat lebih baik.”

Saya tahu, self-esteem Fathina sudah meningkat dan kerana itu dia terdorong mahu mengulangi persembahan ceritanya bersama saya sekali lagi. 

Saya mengangguk dan berkata, “Baik, mari kita mulakan sekarang.”

Kali ini, Fathina menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh, persembahan berceritanya bertambah baik. Suaranya sudah dikuatkan dan tidak perlahan lagi. Suara dan nada setiap kreativiti yang terdapat di dalam teks bercerita dibunyikan mengikut nada dan intonasi yang betul. Apabila sampai kepada teks berpantun, Fathina berpantun seperti sedang berjual beli di dalam acara pantun. Apabila sampai kepada teks bersajak, Fathina mendeklamasi sajak dengan baik sekali. Begitulah juga dengan kreativiti yang lain. 

Setiap kali melihat persembahan Fathina yang bertambah baik, saya memberikan ganjaran sosial berbentuk dorongan kata-kata positif ‘bagus’ dan isyarat ‘good’ dengan menggunakan ibu jari sehingga dia selesai menjalani latihan.

Memang Teknik Nabi Muhammad tidak pernah mengecewakan. Persembahan bercerita Fathina bukan sahaja bertambah baik, malah kesilapan dan  kekurangannya sebelum ini dapat dibaiki tanpa perlu saya marah-marah, menasihati mahupun berleter panjang. Memadai dengan memuji segalanya selesai.

Keesokan hari, Fathina dibawa guru pengiring ke sekolah yang menjadi tuan rumah bagi acara pertandingan bercerita. Sebelum pergi, dia berkesempatan bertemu saya.

Saya sentuh bahunya dan bisikkan sesuatu, “Kalah menang adalah adat bertanding. Kamu sudah pun menang ketika menjalani latihan bersama ustazah. Selamat bertanding, doa ustazah bersama kamu.”

Jujur sahaja, saya dan dua lagi rakan guru tidak mengharapkan apa-apa kemenangan berdasarkan beberapa faktor. Salah satu daripadanya, Fathina dilatih pada saat-saat akhir kerana tempoh masa pemberitahuan pertandingan dan hari bertanding terlalu singkat.

Fathina mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bercerita peringkat sekolah.

Tengahari tersebut sebelum pulang ke rumah, saya dimaklumkan oleh seorang rakan guru yang menerima sms daripada guru pengiring para peserta pertandingan bahawa Fathina mendapat tempat ketiga dalam acara pertandingan bercerita MTQ.  Subhanallah…amdulillah…allahu akbar!

*"Kita mahu jadi guru penyayang, bukan guru yang garang."

Ustazah Siti Khadijah (USK)
@ Ustazah Comel :-)

Tuesday, January 22, 2013

Apabila Pelajar Hilang Semangat dan Fokus, Beginilah Cara Menaikkan Self-Esteem Mereka

“Susahlah cikgu, saya sudah tidak tahu mahu buat apa.”

"Yalah, cikgu. Kitaorang sudah tak ada idea."

“Cikgu, tak seronoklah buat benda ini. Bukan dapat apa pun. Kita buat kerja sendiri sahajalah.”

“Cikgu janganlah tengok. Kami malu.”

“Cikgu, tengok! Dia buat roket cikgu.”

Inilah respon pelajar ketika saya meronda-ronda di dalam kelas 5 Dedikasi selepas mereka memberi salam sebentar tadi. Pelajar-pelajar 5 Dedikasi sudah hilang semangat mahu meneruskan aktiviti Hasil Kreatif sempena Program Maju Diri pada hari tersebut.

Memandangkan aktiviti yang berlangsung ketika itu adalah aktiviti Hasil Kreatif, setiap kumpulan yang telah dibekalkan dengan beberapa keping kertas putih bersaiz A4 harus menghasilkan seberapa banyak hasil kreatif dengan menggunakan kertas putih tersebut. Kumpulan pelajar yang paling banyak mencipta hasil kreatif menggunakan putih akan dikira sebagai pemenang.

Berdasarkan pengalaman mengaplikasi Teknik Nabi Muhammad, apabila seorang pelajar tidak bersemangat atau kurang tumpuan terhadap pelajaran, saya sedia maklum bahawa self-esteem pelajar berada di tahap yang rendah. Kerana itu, mereka tidak mempunyai keyakinan kepada diri sendiri untuk mendorong diri mereka agar tetap belajar atau meneruskan kerja -kerja yang diarahkan guru. Hal sebegini boleh diselamatkan dengan aplikasi Teknik Nabi Muhammad.

Bagi kembali menaikkan self-esteem pelajar-pelajar 5 Dedikasi, saya tidak melakukan perkara-perkara berikut;
  • Saya tidak memarahi mereka dengan berkata, “Kamu ini bagaimana? Dari tadi guru kamu masuk menjalankan aktiviti, baru satu hasil kreatif kamu?” (Salah)
  • Saya tidak kritik mereka dengan berkata, “Itulah, lain kali guru mengajar pasang telinga. Lihat dan dengar bagaimana guru menerangkan. Barulah kamu faham dan tahu apa yang bakal kamu hasilkan. Ini tidak, setengah jam guru kamu berada di dalam kelas kamu tidak dapat apa-apa manfaat.” (Salah)
  • Saya tidak menyiasat mereka dengan berkata, “Setengah jam pertama tadi, apa yang kamu buat? Sehingga sekarang ada kumpulan yang langsung tidak membuat hasil kreatif? Kamu main ya?” (Salah)

Sebaliknya, saya bina keyakinan mereka dengan menaikkan self-esteem pelajar-pelajar yang sudah hampir padam. Saya cari kebaikan yang ada kepada pelajar-pelajar 5 Dedikasi. Sebaik menemui kebaikan mereka, saya puji dan dorong menggunakan Teknik Nabi Muhammad.

Sewaktu melintasi kumpulan pelajar yang masih duduk di dalam kumpulan sambil memegang kertas-kertas putih, saya puji mereka menggunakan pujian gaya Nabi Muhammad.



“Wah, cikgu kagum pada kerjasama yang ditunjukkan oleh kumpulan ini. Walaupun mereka masih belum mempunyai hasil kreatif yang benar-benar siap, mereka tetap berusaha dengan memikirkan apakan hasil-hasil yang dapat dicipta menggunakan kertas putih di tangan mereka. Orang yang tetap berusaha memikir sudah pun diberi pahala oleh Allah walaupun hasil kerjanya belum siap. Allah suka pada orang yang tidak putus asa.”

Kumpulan pelajar yang dipuji tersenyum-senyum mendengar kata-kata saya. Mereka duduk dalam kumpulan memberikan kerjasama bersama rakan-rakan yang lain meneruskan aktiviti Hasil Kreatif. Kalau tadi mereka masih bermain-main dengan kertas di tangan, kali ini mereka sudah mengambil kertas baru. Satu kertas putih sebelum ini disudahkan oleh rakan-rakan di sebelah kiri mereka, satu lagi kertas putih sudah dilakar dengan lukisan tangan oleh rakan-rakan pelajar perempuan yang duduk di sebelah kanan.

Saya tersenyum suka. Dengan Teknik Nabi Muhammad, sesuatu yang sukar akan menjadi mudah sekiranya betul aplikasinya.

“Cikgu, malulah. Janganlah tengok!”

“Tidak perlu malu. Ini percubaan pertama kamu. Memanglah akan kelihatan banyak kekurangan dan tidak sempurna. Cikgu yakin, sekiranya kumpulan kamu terus mencuba, percubaan kedua kumpulan kamu tentu akan lebih baik daripada yang sebelum ini.” Balas saya memugar keyakinan mereka.

Syukur, kata-kata saya menampakkan hasil. Kumpulan pelajar yang tadi malu dan segan mahu menunjukkan hasil kerja mereka mula meletakkan kertas putih yang telah dibentuk di atas meja.

“Kita buat rekaan lain pula. Ini yang pertama, kali ini yang kedua akan lebih bagus.”

“Cikgu, tengok dia cikgu. Dia buat roket.” Seorang pelajar lelaki yang duduk dalam kumpulan pelajar di hadapan kelas mengadu.

Saya segera menghampiri pelajar yang dimaksudkan. Pelajar tersebut kelihatan takut-takut. Pesawat kertas yang bertulisan tangan ‘Air Asia’ disorokkan di bawah lengannya.

“Biar cikgu lihat.” Pinta saya kepada pelajar tersebut.


“Wah, cikgu kagum! Sekarang kamu mencipta kapal terbang kertas Air Asia. Suatu hari nanti, insha-Allah kamu akan mencipta kapal terbang Air Asia dan pesawat MAS yang sebenar untuk negara pula.”

Pelajar tersebut senyap sahaja mendengar respon saya. Namun selepas dipuji, dia tidak menyorokkan kapal terbang kertasnya lagi. Sebaliknya, kapal terbang kertasnya diletakkan elok di atas meja. Sekiranya tadi dia hanya menulis perkataan ‘Air Asia’ di sayap kapal terbang, kali ini dia sudah mula mewarnakan perkataan tersebut menggunakan pensil warna berwarna merah. Di bahagian sudut lain, dia menambah logo ‘1 Malaysia’ pula. Berhasil! Teknik Nabi Muhammad membuatkan self-esteemnya naik dan risiko sosialnya bersama guru menjadi hilang. Dia sedang mendorong dirinya sendiri untuk menjadi lebih cemerlang. Subhanallah.

Saya berjalan lagi ke arah kumpulan-kumpulan yang lain. Saya dorong semua kumpulan menggunakan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad (cari kebaikan + puji kebaikan tersebut + sebutkan impaknya).


Ketika menghampiri satu kumpulan pelajar perempuan, saya berkata; “Wah bagus! Kumpulan kamu kreatif mencipta bakul. Nanti kamu akan boleh membuat bakul daripada rotan pula. Ia boleh dijual. Dengan itu, kamu akan mempunyai pendapatan.”

Mereka suka mendengar kata-kata saya.

“Cikgu, boleh kami ambil kertas kosong lagi?”

“Boleh.” Balas saya.

Satu kelas khusyuk mencipta hasil kreatif mereka bersama kumpulan. Tiada yang curi tulang atau bermalas-malas seperti mula-mula sesi P&P tadi.

Kepada kumpulan pelajar yang melukis, saya puji hasil lukisan mereka dengan berkata,

"Bagus, cantik lukisan kamu. Memang kamu mempunyai bakat menjadi seorang pelukis. Cikgu doakan kamu menjadi pelukis terkenal suatu hari nanti. Lukisan kamu ini memang cantik, sekiranya diwarnakan tentu akan kelihatan lebih cantik."


Sebaik saya pergi dari tempat mereka, pelajar di dalam kumpulan tadi mula mewarnakan hasil lukisan mereka secara bersama.


Beberapa minit kemudian, saya pusing-pusing lagi melihat dan menilai hasil kerja pelajar-pelajar 5 Dedikasi. Sudah banyak hasil kreatif terhasil tidak sampai setengah jam. Ia benar-benar berbeza dengan setengah jam pertama mereka bersama guru sebelum ini. Tadi mereka hanya mencipta satu hasil kreatif sahaja, malah ada kumpulan yang tidak buat apa-apa. Kini, sudah pelbagai bentuk hasil kreatif ciptaan kumpulan mereka. Ada lukisan yang cantik, ada bintang, pesawat Air Asia & Garuda, origami, sampul surat, kapal layar dan sebagainya.

Ini menunjukkan self-esteem pelajar sudah naik sangat tinggi dalam tempoh yang tidak lama. Ia benar-benar satu mukjizat. Pelajar yang telah hilang semangat pada mulanya sedang gigih berusaha menyudahkan tugasan mereka dengan sukarela.

Ketika memerhatikan dan mengambil gambar kumpulan-kumpulan pelajar yang tekun menyudahkan hasil kreatif, seorang pelajar bertubuh besar datang kepada saya.


“Cikgu, ini hasil kerja saya.”
Dia menunjukkan pesawat kertas putih kosong kepada saya.

“Bagus. Ini adalah pesawat kertas kamu. Sekarang, ini pesawat kertas ‘Air Asia’ kamu. Nanti suatu hari kamu akan tunjukkan kepada dunia pesawat sebenar Air Asia yang kamu cipta pula.” Saya mengulang skrip pujian yang sama ke atas pelajar sebelum ini kepada pelajar di hadapan saya.

“Pesawat Garuda cikgu!” Balas pelajar tersebut.

“Garuda?” Tanya saya kembali mahu mendapatkan kepastian. Kurang jelas dengan jawapan pelajar tersebut.

“Saya orang Indonesia, cikgu. Saya mahu cipta pesawat Garuda buat negara Indonesia.” Balas pelajar tersebut menjawab pertanyaan saya.

Tersenyum saya mendengarnya. Patutlah Garuda, orang Indonesia rupanya. =)

*Di bawah ini, saya sertakan foto-foto anak-anak 5 Dedikasi yang gembira menjalankan aktiviti PMD selepas diaplikasi Teknik Nabi Muhammad.

























Ustazah Siti Khadijah

Wednesday, January 9, 2013

Aplikasi Teknik Memberi Ganjaran, Teknik Memberi Markah Dorongan dan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad

Entri kali ini adalah mengenai aplikasi Teknik Nabi Muhammad pertama saya di dalam kelas di sekolah baru. Minggu pertama bagi semua guru pelatih DPLI j-QAF ambilan 2013 adalah minggu untuk menjalani tugasan MOS (Minggu Orientasi Sekolah). Namun oleh kerana ada guru yang tidak hadir dan sibuk dengan tugasan penting sekolah, saya dan rakan-rakan diminta oleh pihak pengurusan sekolah untuk bergilir-gilir masuk menggantikan kelas-kelas mereka.

Tengahari itu, saya masuk ke dalam kelas 5 Dedikasi sebagai guru Bahasa Arab menggantikan mentor (guru pembimbing) kerana beliau sibuk mengurus urusan SPBT. Sebaik masuk ke dalam kelas, saya berdiri di hadapan pelajar-pelajar berdekatan dengan meja guru.

Para pelajar yang telah dibahagikan supaya duduk dalam kumpulan sedang sibuk dengan aktiviti dan tugasan yang diberikan oleh guru sebelum ini. Mereka tidak begitu mengendahkan kehadiran saya. Ada yang masih sibuk dengan kertas-kertas putih di atas meja mereka, ada juga yang sedang bercakap dengan rakan-rakan, dan ada yang buat hal sendiri. Hanya beberapa orang pelajar sahaja yang berdiri untuk memberi salam (itu pun berdiri dalam keadaan malas-malas sahaja). 

Ketika ketua kelas tahun 5 Dedikasi mula mahu mengucapkan salam, saya segera menunjukkan isyarat tangan lima jari supaya beliau menunggu. Ketua kelas tahun 5 Dedikasi segera faham isyarat yang diberikan. Dia memandang saya yang tidak berkata sepatah perkataan pun.

Saya masih diam sambil memandang semua pelajar di dalam kelas 5 Dedikasi satu persatu dengan memek muka yang menunjukkan saya tidak senang dengan perlakuan mereka ketika saya masuk. Pada mulanya, mereka masih seperti di awal-awal saya masuk ke kelas tadi. Barangkali kerana saya mendiamkan diri agak lama, mereka mula berdiri.

“Woi, cikgulah! Berdiri betul.”
“Woi, ada cikgu dekat depan! Bangunlah.” Beberapa orang pelajar bersuara menyuruh rakan-rakan mereka berdiri. Saya masih memerhati dari meja guru dalam situasi mendiamkan diri.

Saya tidak tegur perbuatan pelajar-pelajar yang tidak menghormati guru tersebut dengan melakukan perkara-perkara di bawah;
  • Saya tidak memarahi pelajar-pelajar dengan berkata, “Berdiri betul-betul! Kamu tidak nampakkah saya sudah masuk?” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar-pelajar dengan berkata, “Berdirilah betul-betul apabila melihat guru kamu masuk ke dalam kelas.” (SALAH)
  • Saya tidak mengkritik pelajar-pelajar dengan berkata, “Kamu ini sudah darjah lima, takkan berdiri betul ketika guru masuk pun kamu tidak tahu.” (SALAH)

Sebaliknya, saya mengaplikasi Teknik Memberi Ganjaran berdasarkan hadith Bersin. Sebaik semua pelajar berdiri memandang saya yang berada di hadapan kelas, saya memilih satu kumpulan yang berdiri tegak dan betul.

Saya lalu berkata, “Inilah cara berdiri yang betul bagi pelajar-pelajar apabila seorang guru masuk ke dalam kelas. Kumpulan ini semua ahlinya berdiri tegak memandang ke arah guru tanpa melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati guru. Mereka tahu cara menghormati dan meraikan guru yang masuk ke dalam kelas. Tahniah buat kumpulan ini. Saya berikan tiga bintang untuk kumpulan ini.”

Teknik Memberi Ganjaran:
1.Ganjaran diberikan apabila kerja dibuat dengan betul.
Satu kumpulan pelajar berdiri betul sambil memandang ke arah guru. Saya memberikan ganjaran kepada mereka atas kerja yang dilakukan iaitu berdiri betul dengan mengumumkan kepada semua pelajar di dalam kelas,

“Inilah cara berdiri yang betul bagi pelajar-pelajar apabila seorang guru masuk ke dalam kelas. Kumpulan ini semua ahlinya berdiri tegak memandang ke arah guru tanpa melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati guru. Mereka tahu cara menghormati dan meraikan guru yang masuk ke dalam kelas.”

Saya juga memberikan mereka ganjaran berbentuk markah dorongan dengan berkata, “Tahniah buat kumpulan ini. Saya berikan tiga bintang untuk kumpulan ini.”

2.Kerja yang dibuat dengan teknik yang salah tidak diberi ganjaran.
Pelajar-pelajar yang tidak berdiri dengan betul tidak diumumkan nama kumpulan mereka dan mereka tidak mendapat markah dorongan berupa bintang.

3.Apabila kerja dilakukan secara terbuka, maka ganjaran juga diberikan secara terbuka.
Perbuatan satu kumpulan pelajar di dalam kelas 5 Dedikasi berdiri dengan cara yang betul dilakukan di tempat terbuka (ada orang nampak) iaitu di dalam kelas, saya memberikan ganjaran kepada mereka juga secara terbuka. Kata-kata saya dapat didengar oleh semua pelajar.

4.Orang yang melakukan kerja dengan teknik yang salah tidak dikritik.
Pelajar-pelajar tahun 5 Dedikasi yang tidak berdiri dengan betul tidak saya tegur, marahi, nasihati atau kritik. Sebaliknya, saya diam sahaja.

Impak daripada kata-kata ganjaran yang diberikan tadi, pelajar-pelajar 5 Dedikasi yang tidak berdiri dengan betul menyedari kesilapan mereka. Mereka mula berdiri sama seperti kumpulan yang diumumkan tadi.

Sebaik melihat mereka berdiri betul, saya puji mereka menggunakan Teknik Pujian Gaya Nabi pula.

Saya berkata, “Bagus! Kumpulan ini juga sudah berdiri dengan cara yang betul. Wah, nampaknya semua kumpulan sudah berdiri dengan cara yang betul sebelum memberi salam! Ini satu perkara yang mengembirakan. Ustazah kagum. Kamu cepat faham dan belajar. Kalau begini, tentu apabila kita belajar akan mudah faham. Ustazah berikan setiap kumpulan tiga bintang.”

Pelajar-pelajar 5 Dedikasi tersenyum suka mendengar kata-kata saya. Mereka berdiri tegak sehingga selesai salam diucapkan. Malah, ketika saya mahu keluar daripada kelas setelah tamat waktu mengajar, mereka segera berdiri dengan betul tanpa perlu disuruh berdiri. Alhamdulillah.

Gambar hiasan Pelajar-pelajar 5 Dedikasi ketika melakukan aktiviti dalam kumpulan

Hadith rujukan:
1.Hadith Bersin (Teknik Memberi Ganjaran)
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh saidina Anas bin Malik yang berbunyi begini, Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, “Yarhamkallah.” Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad saw. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?” Nabi Muhammad saw menjawab, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulilliah.

2.Hadith Salam (Teknik Markah Dorongan)
“Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” –Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

3.Hadith 12 Malaikat (Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad)
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Bersambung...
Nantikan entri seterusnya bagaimana saya mendorong pelajar-pelajar 5 Dedikasi menghasilkan Hasil Kreatif menggunakan kertas-kertas putih.

*Oleh kerana tidak sempat snap gambar ketika mereka berdiri, tiadalah gambar-gambar berkaitan untuk entri ini.

Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...