Thursday, February 23, 2012

Menerima Hadiah Daripada Seorang Pelajar Corot


27 Rabiul Awal 1433 (20 Feb 2012)

Saya tidak tahu bagaimana mahu meneruskan entri kali ini. Setiap kali mahu menulis ada perasaan sayu di hati. Beberapa kali cuba menulis, tidak juga berhasil. Setelah menyapu mata yang basah beberapa kali, barulah entri ini dapat ditulis. [Itulah sebab mengapa dua hari tiada entri - Editor]

Sungguh, saya tidak mampu menahan perasaan apabila teringatkan wajah pelajar yang satu ini. Terkenang peristiwa manis dihargai. Terkenang juga bagaimana sakitnya rasa di hati apabila dia dimalukan.

Syahmi Irsyad adalah seorang pelajar kelas corot 5 Ali. Memang dia tergolong dalam pelajar yang nakal dan amat menguji kesabaran seorang guru (apabila berhadapan dengannya). Apabila disuruh menghafal, dia akan berkata, “Ala, senang saja hafal ayat itu.” Tetapi apabila ditanya selepas beberapa waktu, dia tidak dapat menghafal pun. Dia juga seorang pelajar yang sering menyampuk apabila siapa sahaja bercakap. Ini menyebabkan rakan-rakan kurang senang dengan sikapnya.

Pernah beberapa kali saya mengajar di hadapan sambil memberi penerangan berkenaan tajuk yang diajar, dia menyampuk seolah-olah dia pula guru yang mengajar. Pada mulanya, memang ada juga rasa kurang senang di hati. Namun, saya biarkan sahaja perasaan kurang senang tersebut berlalu begitu sahaja.

Sehingga pada suatu hari dia menyampuk penerangan yang sedang diberikan, saya berkata; “Syahmi, ustazah kagum dengan cara kamu yang tidak sabar mahu memberi penerangan. Tetapi bukankah lebih baik sekiranya kamu mendengar penerangan Ustazah sehingga selesai terlebih dahulu, baru kamu menerangkannya kembali kepada Ustazah dan rakan-rakan? Dengan cara itu, kamu tidak akan salah memberi penerangan kepada Ustazah dan rakan-rakan. Kamu juga akan lebih memahami tajuk yang sedang kita pelajari.

Ustazah kagum dengan kelebihan yang Allah berikan kepada kamu, sikap suka memberi penerangan. Tidak semua orang dipilih Allah untuk mempunyai sikap seperti kamu ini. Ustazah yakin, kamu akan menjadi seorang pembimbing yang baik di dalam kumpulan sekiranya kamu terus mempunyai sikap sebegini.”


Dia senyum dan mengangguk-angguk. Sejak hari itu, dia jarang menyampuk cakap saya lagi kecuali apabila ditanya.

Syahmi Irsyad juga seorang pelajar corot yang malas menghafal subjek Hafazan. Sudah masuk minggu ketiga masih juga tidak menghafal satu ayat. Apabila dia dapat menghafal beberapa ayat (tidak lancar sepenuhnya), saya memujinya, “Bagus. Satu percubaan yang baik. Ustazah suka ayat-ayat yang kamu baca ini meskipun hanya beberapa ayat. Dengan ayat-ayat yang kamu baca ini, malaikat yang menjaga buku amalan baik kamu menulis bahawa kamu telah melakukan satu kebaikan pada hari ini. Sekiranya kamu datang lagi menghafal sehingga 15 ayat selepas ini, malaikat akan menulis lagi di dalam buku amalan baik kamu. Ini bererti, dalam satu hari sahaja kebaikan kamu akan terus bertambah.”

Dia senyum dalam bingung-bingung mendengar kata-kata saya. Akhirnya mengangguk-angguk faham.

Muhammad Syahmi Irsyad membaca ayat-ayat yang dihafal di hadapan saya

Petang itu, pada waktu rehat Syahmi muncul di bilik guru. Katanya, “Ustazah, saya sudah hafal sehingga ayat 15. Saya mahu tasmik dengan Ustazah.”

Saya menjawab, “Bagus, ustazah suka mendengarnya. Silakan baca, Ustazah akan menyemaknya.”

Dia mula membaca ayat-ayat surah Al-Insyiqaq daripada mula. Belum pun selesai bacaannya, terdengar suara berkata; “Syahmi Irsyad, bukan?”

Ha’ah. Syahmi Irsyad.” Jawab satu suara lagi.

Saya memandang empunya suara. Dua guru lain yang turut berada di bilik guru rupanya. Saya hanya senyum dan terus mendengar bacaan Syahmi.
Memandangkan Syahmi menghafal sehingga ayat 15 dalam tempoh masa yang tidak lama, banyak juga kesilapan hafazannya. Malah sesekali terdengar hafalannya tergagap-gagap.

Ketika dia tidak dapat satu ayat daripada ayat-ayat yang dihafal, kedengaran suara; “Syahmi Irsyad! Rotan sahaja Ustazah. Susah sangat nak suruh menghafal, daripada tahun lepas lagi. Menghafal tidak dapat-dapat. Rotan sahaja.”

Satu suara lagi menyambut, “Ha’ah Ustazah, rotan sahaja. Susah sangat nak menghafal.”

Saya memandang empunya suara. Cuba tersenyum, meski terasa sukar dan ada rasa sakit di hati. Saya memandang wajah Syahmi. Dia terdiam takut-takut dan reaksinya seperti seorang pesalah yang bersedia menerima hukuman. Ada jalur sedih dan malu saya kesani di matanya.

Teruskan bacaan kamu. Ustazah tahu, kamu boleh menghafalnya. Usah pedulikan apa yang kamu dengar.” Saya memberi arahan.

Dia mengulangi bacaan sekali lagi. Kali ini cukup 15 ayat.

Bagus, tahniah! Kamu sudah menghafal sehingga 15 ayat. Ustazah tahu, kamu seorang anak murid yang baik dan mendengar kata. Sekiranya tidak, mana mungkin kamu dapat menghafal sehingga ayat 15. Betul, bukan?” Dia senyum, masih angguk-angguk dalam takut-takut.

Saya menambah lagi, “Meskipun tidak lancar, setiap bacaan kamu telah didengar Allah dan para malaikat. Bahkan, setiap satu huruf yang kamu sebut tadi pasti diberikan pahala oleh Allah. Sekiranya kamu terus ulangi lagi ayat-ayat hafalan kamu, pasti kamu akan ingat dan lancar ayat-ayat yang dihafal. Kita juga akan boleh berpindah ke surah-surah lain selepas ini. Tahniah, Ustazah kagum dengan perubahan sikap kamu.” Syahmi tersenyum. Kali ini, tidak takut-takut lagi.
Syahmi Irsyad tersenyum gaya Mahathir Lokman apabila dipuji.

Selepas dia kembali ke kelas, saya masuk ke kelas 5 Ali. Di atas meja guru, saya perasan ada sebatang gula-gula Lolipop.

Gula-gula ini kepunyaan siapa?” Saya bertanya.

Tiada pelajar yang menjawab mahu pun mengangkat tangan. Tiba-tiba Syahmi Irsyad datang ke meja guru. Dia berkata separuh perlahan; “Ustazah, esok saya mahu menghafal surah Al-Insyiqaq sehingga ayat 20. Gula-gula ini saya beri pada Ustazah. Rasalah Ustazah, sedap.”

Saya keharuan mendoakan, “Allah berkati dirimu, wahai anakku!”
Gula-gula Lolipop, pemberian Syahmi Irsyad.
Jejaka-jejaka 5 Ali sedang beratur menunggu giliran menghafal. Dari hadapan; Fadhirul, Khairul Aiman dan Yusri.
Awang Izzuddin Al-Qassam berjaya menghafal keseluruhan ayat surah Al-Insyiqaq.
Tahniah, anakku. Ustazah kagum dengan kemajuan dirimu.” =)
Aqif Hakimi juga berjaya menghafalkan keseluruhan ayat surah Al-Insyiqaq dengan begitu baik. Bacaannya sempurna bertajwid.
Sebahagian pelajar perempuan yang sedang menghafal surah Al-Insyiqaq. Dari kanan yang memandang ke atas , Ariffah Nasuha dan Syamimi. Barisan belakang; Nazhatul, Nabila dan Aisyah.

Ustazah Siti Khadijah





28 comments:

  1. Allahu Akbar!

    Basah kelopak mataku membaca laporan puan ini...

    ReplyDelete
  2. Huhu. Air mata turut bertakung di mata saya. Si murid corot, sayalah tu.

    ReplyDelete
  3. Inilah dia teknik pujian utk pelajar corot, saya akan mulakan dengan anak-anak sendiri.

    Sungguh terharu membaca kisah ini.

    ReplyDelete
  4. memang sedih... murid itu istimewa apabila didorong dengan cara istimewa...

    ReplyDelete
  5. boleh di gunakan teknik ini pada cucu cucu saya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  6. MasyaAllah...saya ni bakal guru..dan saya rasa saya seorang guru yang boleh tahan garangnyer..jadi lepas saya baca post ni .baru saya faham kenape guru yang memahami akan diingati oleh anak muridnya berbanding guru yang garang kan...saya akan cuba jadikan iktibar...Murid corot tak semestinya murid yang tak baik..diorang cme perlu cara yang berbeza dalam mendekati dan memberi ilmu pada mereka...

    ReplyDelete
  7. kenapa mata saya merah & air mata bergenang baca entri ini?

    ReplyDelete
  8. ALLAHUAKBAR. MOga ALLAH memberkati ustazah dan anak2 murid ustazah. ustazah mengajar dengan penuh kasih sayang semata-mata keranaNYA.Insya-ALLAH semua anak2 murid ustazah bakal menjadi hamba ALLAH yang baik.untie doakan syahmi berjaya dunia akhirat.

    ReplyDelete
  9. Guru sebagai murrobi..melentur anak-anak murid terus daripada rebungnya...

    teruskan ustazah...

    ReplyDelete
  10. Saya rasa Tuan Syahmi Irsyad ini ada bakat jadi ahli Parlimen Malaysia satu hari nanti.

    ReplyDelete
  11. Terima kasih kepada semua pengunjung yang menitipkan respon di sini. Saya amat hargainya. Semoga catatan ini dapat memberi impak kepada siapa sahaja yang membacanya. Amin. =)

    ReplyDelete
  12. MasyaAllah, tahniah ustazah. byk pengajaran dan contoh yang baik yang boleh saya ambil dri tulisan ustazah ni. sememangnya bukan mudah untuk menjadi seorg guru kerana byk tanggungjawab dan amanah yg dipikul. saya pernah mengajar di Khalifah Model School, dan cara inilah yg pernah diaplikasikan oleh seorang guru, iaitu 'KIND BUT FIRM'. Jgn suka marah2 dan bersikap negative terhadap pelajr kerana kita sendiri pun tidak suka dimarahi.
    aynarazaly.blogspot.com

    ReplyDelete
  13. Terima kasih Cikpuan. Segala pujian dan yang terbaik, saya kembalikan kepada Dia yang lebih Berhak.Alhamdulillah. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk Cikpuan. =)

    ReplyDelete
  14. Salam alaik alang.lama sangat tak berborak dan bertanya kabar alang.moga sentiasa sihat dan dalam lindungan Allah selalu.Anis terjumpa blog alang yang comel ni kat fb.seronok sangat baca.Teruskan alang..mungkin nanti akan jadi inspirasi saya pula.:)

    ReplyDelete
  15. Wa aliki assalam warahmatullah. Alhamdulillah, alang sihat. Semoga Anis juga baik-baik sahaja di bawah jagaan Allah. Terima kasih kerana berkunjung dan membaca entri-entri ini. Semoga bermanfaat. =)

    ReplyDelete
  16. Salam. Ustazah, terharu membaca cerita ustazah ni. Kata2 itu satu doa. Doalah yang terbaik untuk semua anak murid ustazah. Insya allah

    ReplyDelete
  17. sedih sy mmbaca tulisan sis...insyaallah selepas ini akan cuba diaplikasikan sms p&p

    ReplyDelete
  18. Cikpuan Muna: Inshaallah, mari bersama berusaha untuk yang terbaik.

    Cikpuan Farzaana Nazilah: Semoga berjaya puan.

    ReplyDelete
  19. tersentuhnya baca citer ni...satu nilai pendidikan yg harus ibubapa di terapkan di rumah..

    ReplyDelete
  20. Macam mana gambar Izzat(Awang Izuddin Al-Qassam) ada kat sini.(gelak)

    ReplyDelete
  21. Entah berapa kali saya baca entri ini. Setiap kali membaca entri ni, masa yang sama juga ada orang memotong bawang di sebelah.. pedih mata dibuatnya.. :)

    ReplyDelete
  22. saya kagum dengan teknik yang ustazah guna untk pelajar corot. sebak rasa hati saya bila mengenangkan zaman sek saya dulu. disebabkan tidak pandai beljar, sy dipandang rendah oleh guru-guru sy dulu. :(

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...