Showing posts with label Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka. Show all posts
Showing posts with label Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka. Show all posts

Tuesday, July 10, 2012

Mendorong Anak-anak Kecil - Episod 1

Saya pasti tersenyum mengenang peristiwa manis mendidik anak-anak kecil yang comel dan gigih belajar dalam entri kali ini. Dua minggu yang lalu, pihak pengurusan sekolah telah meminta supaya saya bertugas dua sesi bagi menggantikan beberapa orang guru yang berkursus dan bercuti.

Pengalaman mengaplikasi beberapa Teknik Nabi Muhammad kepada anak-anak kecil telah memudahkan P&P saya. Malah, respon dan reaksi pelajar menunjukkan mereka gembira belajar sepanjang kelas berlangsung.

“Cikgu baru..cikgu baru.” Beberapa orang pelajar bertubuh kecil molek di dalam kelas 2 Omar bersuara kuat memberitahu kawan-kawannya sebaik melihat saya berjalan menuju ke kelas mereka.

Pertama kali masuk ke dalam kelas tahap satu (2 Omar) pada hari itu, ramai pelajar yang kelihatan takut-takut dan ada juga yang mengantuk. Barangkali kerana waktu masih terlalu pagi membuatkan mereka mengantuk dan kelihatan kurang bersemangat mahu belajar.

P&P pagi hari itu dimulakan dengan Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka kepada pelajar-pelajar 2 Omar. Saya berdiri di hadapan para pelajar tanpa berkata sepatah perkataan. Dengan wajah yang tenang (tidak marah dan tidak juga suka) saya memerhatikan anak-anak kecil di hadapan yang cuba berdiri selama beberapa minit sebelum mereka memberi salam. Pada mulanya, ramai pelajar tidak berdiri tegak. Mereka hanya berdiri ala kadar dan ikut suka sahaja.

Saya tidak tegur perbuatan mereka. Sebaliknya, saya mendiamkan diri dan terus memerhatikan semua pelajar 2 Omar yang sedang berdiri di hadapan. Namun kali ini, wajah saya menunjukkan ekspresi tidak suka akan perbuatan mereka yang tidak berdiri dengan betul itu. Saya pandang wajah pelajar-pelajar 2 Omar seorang demi seorang tanpa sepatah kata. Seorang demi seorang yang pada mulanya tidak berdiri dengan betul mula berdiri tegak setelah melihat saya memerhatikan mereka agak lama.

Sebaik selesai mereka memberi salam dan membaca doa, saya menyuruh mereka duduk. Saya lihat ada beberapa orang pelajar masih menguap dan kelihatan tidak bersungguh mahu belajar. Lalu, saya cuba mengaplikasikan pula Teknik Soalan Akhlak Agar Semua Pelajar Dapat Angkat Tangan.

Dalam hadith ‘Abu Bakar Masuk Syurga’,  Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Di dalam hadith ini, prinsip yang diajarkan oleh Nabi Muhammad dalam mendorong orang yang ada bersama-sama beliau untuk membuat baik adalah dengan bertanyakan soalan-soalan akhlak.

Nabi Muhammad saw menggunakan banyak soalan akhlak/ soalan mudah agar semua orang dapat mengangkat tangan. Ini bertujuan supaya semua orang merasa diri mereka pandai. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong self-esteem (maruah) mereka meningkat. Dan apabila maruah seseorang meningkat, ia akan memudahkan proses mengubah tingkah laku berlaku.

Antara soalan akhlak/ soalan mudah yang ditanyakan Nabi Muhammad adalah:
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?”
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?”
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?"
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”


Pada hujung sesi soal jawab itu, Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”

Dalam situasi kelas 2 Omar, saya menggunakan Teknik Nabi ini untuk menaikkan self-esteem pelajar-pelajar 2 Omar agar mereka terdorong dan suka belajar bersama saya. Saya telah bertanyakan soalan-soalan mudah untuk memancing para pelajar mengangkat tangan. Saya berkata,
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia mandi?”
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia gosok gigi?”
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia sarapan?
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia salam mak dan ayah?”
Semua soalan yang ditanya mendapat respon yang baik daripada pelajar-pelajar 2 Omar.
Mereka mengangkat tangan dan berkata, “Saya”
“Saya, cikgu”.
“Cikgu, saya”.

Setiap kali mereka mengangkat tangan, saya akan memuji, ‘Bagus’. Dan setiapkali perkataan ‘bagus’ diucapkan, pelajar-pelajar 2 Omar akan bersorak, “Yeay” sambil bertepuk tangan dengan riangnya.

Pada hujung soalan-soalan itu, saya berkata, “Bagus, siapa yang buat semua perkara yang ustazah tanya tadi, Allah pasti akan memberikan dia kesihatan yang sempurna, dan dia juga akan menjadi pelajar yang berakhlak mulia.”

Sayangnya, kata-kata terakhir saya tidak mendapat respon daripada pelajar-pelajar 2 Omar seperti ketika mengajukan soalan-soalan akhlak sebelum ini. Pelajar-pelajar  2 Omar kelihatan bingung dan memandang saya dengan wajah yang berisi tanda tanya. Saya agak hairan pada mulanya. Namun segera tersedar bahawa bahasa saya agak kurang sesuai digunakan ketika berkomunikasi bersama anak-anak kecil. Manalah mereka faham apabila kita bercakap menggunakan perkataan orang dewasa dan perkataan yang menggunakan imbuhan. Hehe =).

Lalu saya segera menukar ayat penghujung soalan-soalan tadi dengan ayat yang lebih mudah difahami mereka dengan berkata, “Bagus, siapa yang gosok gigi, mandi dan sarapan pagi Allah akan sihatkan tubuh badan dia. Dia susah nak dapat sakit, kalau sakit pun dia akan cepat sihat sebab dia selalu mandi, gosok gigi dan sarapan pagi. Siapa yang salam mak ayah dia sebelum pergi sekolah pula, dia akan jadi anak yang baik sebab apabila kita salam tangan mak dan ayah, Allah akan bagi pahala untuk kita mudah masuk syurga.”

Barulah pelajar 2 Omar tersenyum dan mereka sekali lagi bersorak, “Yeay.”
Ada juga pelajar yang berkata, “Cikgu, saya nak badan sihat, saya selalu mandi dan gosok gigi hari-hari.”
“Cikgu, saya hari-hari salam mak dan ayah saya.” =)

Setelah itu, saya melanjutkan P&P Hafazan di dalam kelas 2 Omar. Pelajar-pelajar sudah tidak kelihatan mengantuk atau tidak bersemangat lagi. Malah, ketika saya mengajukan soalan, “Siapa mahu pinjamkan ustazah buku teks Hafazan?” mereka berebut-rebut menjawab ‘saya’ sambil menghulurkan buku teks Hafazan ke arah saya.

Saya mengambil buku yang dihulurkan oleh seorang pelajar lelaki berhampiran dengan kedudukan di meja guru. Sebaik buku teks tersebut bertukar tangan, saya memuji pelajar tersebut menggunakan Format Pujian Nabi (Puji hasil kerja + Nyatakan impak). Teknik Format Pujian ini berdasarkan hadith Pintu Langit Terbuka.

Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Antara ciri-ciri pujian Nabi Muhammad ialah:
  1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya. 
  2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
  3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.
Saya memuji pelajar lelaki yang meminjamkan buku teks tersebut dengan berkata, “Ustazah suka kamu sudi pinjamkan buku kepada ustazah. Kamu telah bantu mudahkan ustazah mengajar. Pasti Allah akan mudahkan pula kamu belajar selepas ini.”

Format pujian Teknik Nabi;
1. Puji hasil kerja:
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“Ustazah suka kamu sudi pinjamkan buku kepada ustazah.”

2. Nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji:
“Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.”
“Kamu telah bantu mudahkan ustazah mengajar. Pasti Allah akan mudahkan pula kamu belajar selepas ini.”

Pelajar tersebut tersenyum bangga mendengar pujian saya. Sementara beberapa orang pelajar yang lain pula ada yang berkata, “Cikgu, tadi saya pun bagi buku juga. Tapi cikgu tak ambil buku saya.”
“Cikgu, nanti ambil buku saya pula tau.”

Saya senyum. Nampaknya pujian yang diberikan secara terbuka kepada pelajar lelaki yang meminjamkan buku tadi turut membuatkan pelajar-pelajar lain terdorong melakukan perkara yang sama.

Setelah itu, saya mula membaca surah Al-Kauthar ayat demi ayat. Pelajar-pelajar 2 Omar saya pinta mengikut setiap potongan ayat yang dibaca tersebut sebelum mereka menghafalnya. Kali pertama mereka membaca mengikut bacaan saya, terdapat banyak kesalahan Tajwid pada ayat-ayat yang dibaca. Namun saya tidak melakukan perkara-perkara di bawah ini ke atas pelajar-pelajar 2 Omar bagi menegur kesalahan mereka.

  • Saya tidak mengkritik bacaan pelajar-pelajar 2 Omar dengan berkata, “Salah! Salah! Cara kamu baca itu salah.” (Salah)
  • Saya tidak menyuruh mereka membetulkan cara mereka membaca ayat Al-Quran dengan berkata, “Bukan macam itu. Belajar cara baca ayat Al-Quran dengan betul.” (Salah)
  • Saya tidak menasihat-menasihat pelajar 2 Omar dengan berkata, “Bacalah betul-betul. Sesungguhnya ini adalah ayat Al-Quran. Kamu tidak boleh salah membaca. Berdosa kalau baca tidak betul tahu!” (Salah)
  • Saya tidak menunjukkan contoh orang-orang membaca Al-Quran dengan cara yang salah dengan berkata, “Jangan ikut orang ‘sekian-sekian’ baca Al-Quran. Bacaannya salah.” (Salah)
Sebaliknya saya cuba mengaplikasi Teknik Memberi Markah Dorongan berdasarkan hadith ‘Salam’ yang berbunyi; Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi


Pada bacaan yang terdapat banyak kesalahan Tajwid saya berkata, “Kamu dapat 10 markah.”
Pelajar-pelajar 2 Omar memandang saya kehairanan. Barangkali hairan dengan jumlah markah yang tiba-tiba diberikan oleh guru kepada mereka. Lalu mereka bertanya, “Cikgu, markah apa yang 10?”
“Markah bacaan surah Al-Kauthar kamu.” Jawab saya.
“Cikgu, markah paling banyak berapa?”
“30 markah.” Jawab saya pendek.
“Macam mana kalau kitorang nak dapat 30 markah?” Tanya pelajar-pelajar 2 Omar lagi.
“Dengar ustazah baca, kemudian ikut biar sama macam ustazah baca.” Jawab saya lagi.
“Ok, kitorang nak markah penuh.” Sambung beberapa orang pelajar pula.
“Baiklah, mari kita baca semula.” Ajak saya.

Pada bacaan kali kedua, pelajar-pelajar 2 Omar sudah mula membaca secara bertajwid. Namun kesalahannya sudah tidak sebanyak bacaan pada kali pertama. Saya memberikan markah kepada bacaan mereka dengan berkata, “20 markah.”
“Cikgu, kita ulang lagi. Kitorang nak 30 markah.”
Saya tersenyum. Sekali lagi, kami mengulang baca surah Al-Kauthar sehingga akhirnya pelajar-pelajar 2 Omar diberikan markah penuh. Saya akhirnya berkata, “Bagus. Kali ini ustazah beri 30 markah.”
“Yeay. Kitorang menang.”
“Yeay.”

Tidak lama selepas itu, barulah saya menyuruh mereka menghafal surah Al-Kauthar. Bagi memudahkan kerja-kerja menghafal anak-anak kecil yang comel itu, saya memberikan seorang rakan untuk dijadikan teman menghafal (sebenarnya ini Teknik Melantik Penolong Guru, namun bimbang mereka tidak faham kata-kata saya sekali lagi, saya hanya sebutkan ia sebagai 'kawan menghafal'). Mereka menurut tanpa membantah. Alhamdulillah, P&P hari itu lancar tanpa ada pelajar yang tidur atau bermain ketika P&P berlangsung.











Ustazah Siti Khadijah

Monday, April 9, 2012

Mengawal Dua Kelas Dengan Teknik Nabi Muhammad saw

Untuk entri kali ini, saya masih menulis laporan hasil aplikasi teknik Nabi Muhammad saw sekitar minggu penyediaan Hari Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber sekolah. Mohon maaf agak lambat diupdate kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan dan entri kali ini agak panjang.

Baiklah, terus sahaja kepada tajuk asal entri.

Hari Jumaat (30.03.12) yang lalu adalah kemuncak kesibukan bagi guru-guru sekolah tempat saya berkhidmat. Lantaran kerana itu, banyak kelas yang tidak dimasuki guru kerana para guru sibuk bergotong-royong membuat persediaan akhir menjelang Hari Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber sekolah keesokan hari.

Usai bacaan Yasin (rutin harian setiap Jumaat bagi pelajar tahap 2) di dewan mini sekolah, para guru dan pelajar diarahkan bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah, kelas dan menyediakan bahan-bahan masakan / jualan untuk gerai masing-masing mengikut pembahagian tugas yang telah ditetapkan.

Memandangkan kawasan sekolah kami hanyalah bangunan-bangunan rumah kedai yang agak terhad kawasannya, aktiviti gotong-royong pelajar cepat sahaja sudah. Manakala, para guru yang telah dibahagikan mengikut tugas masing-masing, ada yang tidak dapat menyelesaikan tugas dalam masa yang singkat. Ini menyebabkan tugas mengawal kelas terpaksa diserahkan kepada para pengawas sekolah.

Saya juga pada asalnya mempunyai tugas yang harus diselesaikan. Namun amat bersyukur, kerana tugas yang diberikan telah saya lakukan secara beransur-ansur sejak awal minggu persediaan Hari Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber Sekolah lagi. Manakala untuk persediaan akhir menjelang Hari Usahawan sekolah, saya memilih untuk menyelesaikan tugasan tersebut di rumah.

Jujur sahaja, saya tidak sampai hati meninggalkan pelajar 5 Ali sendiri. Kadangkala, kerana tugas-tugas penting, terpaksa juga untuk tidak masuk kelas. Mereka (pelajar 5 Ali) akan datang berkali-kali ke pejabat dan bilik guru menuntut supaya saya masuk kelas.

Pernah berlaku bila mana semua pelajar tahun lima dikumpulkan di dalam dewan, dan saya tiada di dalam dewan kerana urusan penting di pejabat, pelajar 5 Ali berulang alik ke pejabat mencari saya. Lebih daripada lima kali Al-Fateh, Salahuddin, Mimi dan Sue turun naik tangga semata-mata mahu gurunya turut berada di dalam dewan.

 Dua sahabat baik, Al-Fateh dan Salahuddin yang akan memanggil saya masuk kelas atau dewan. (Gambar tidak diambil pada hari kejadian)


Ini pula Sue dan Mimi yang sentiasa berlumba dan berebut dengan dua sahabat baik di atas menjemput saya masuk ke kelas =). (Gambar ini juga tidak diambil pada hari kejadian)

Apabila dimaklumkan yang saya sedang berusaha menyelesaikan tugas penting, mereka kembali semula ke dewan. Namun tidak lama selepas itu, mereka tetap juga datang lagi ke pejabat menunggu dengan sabarnya sehinggalah urusan saya selesai dan akhirnya saya mengalah menuruti kehendak mereka.

Dikumpulkan di dalam dewan sahaja mereka akan datang memanggil dan menyuruh bersama mereka berulangkali, apalagi sekiranya mereka dibiarkan sendiri di dalam kelas 5 Ali.

“Ustazah, lepas ini masuk kelas ya.”
“Ustazah, selepas ini masa ustazahkan?”
“Ustazah, selepas ini masuk kelaskan.”

Belum pun bubar sesi di dewan, sudah ramai yang bertanya berulangkali. Tidak sampai hati membayangkan, situasi kelas 5 Ali sekiranya dibiarkan tanpa pengawasan guru walau apa juga yang menjadi alasan hari ini.

Sebaik selesai rutin membaca Yasin di dewan, saya kembali ke kelas 5 Ali. Setelah bergotong-royong membersihkan kelas, saya berhasrat menjalankan P&P hari ini secara santai. Tidak dapat menjalankan P&P secara penuh, secara santai juga sudah memadai. Jadi, bagi mengisi P&P untuk mata pelajaran Jawi hari ini, saya memberikan kelas 5 Ali latihan membina Ayat Kehendak.

Sejak menggunakan teknik Nabi saw, self-esteem (maruah) pelajar 5 Ali sudah banyak meningkat. Apabila saya memberikan kerja atau latihan cepat sahaja mereka menurut dan membuatnya tanpa banyak membantah. Meskipun kelas lain sibuk tidak belajar, hari ini mereka tetap belajar. Ini impak yang amat besar dalam saya menggunakan teknik Nabi saw.

Ketika melihat pelajar 5 Ali membuka buku atau mula menulis, saya akan memuji perbuatan mereka menggunakan teknik Nabi Muhammad saw. (Puji perbuatan mereka + Sebutkan impaknya).  Ini kerana, dalam mendorong orang corot mengikut teknik Nabi Muhammad saw, pujian boleh diberikan sebelum dan selepas tugas siap dikerjakan.

Sewaktu mereka berusaha menyiapkan kerja latihan yang diberikan, Abang Ngah berkata kepada saya, “Ustazah, kelas depan bisinglah. Saya tidak dapat tumpukan perhatian buat latihan.”

“Ha’ah, Ustazah. Diorang main dalam kelas. Tu Ustazah, tengok tu!” Seorang lagi pelajar 5 Ali menyampuk.

Menyedari kebenaran kata-kata mereka, saya mengintai kelas sebelah. Memang keadaan kelas di hadapan 5 Ali sangat tidak terkawal. Ada pelajar yang mengerumuni tingkap sambil terjerit-jerit memanggil orang di bawah (kelas 5 Ali dan kelas di hadapannya terletak di tingkat kedua), ada pelajar bermain bebas di dalam kelas, ada pelajar bersembang serta bergurau dengan suara yang kuat, dan pelbagai aktiviti bebas lain lagi. Kelas tersebut sangat bising dan bingit.

Pada mulanya, saya hanya mengintai kelas tahun empat tersebut sekali pandang. Tetapi kerana kelas tersebut terlalu bising dan bingit sehingga menggangu P&P pelajar 5 Ali, saya mengambil tindakan berdiri di hadapan kelas mereka.

Dengan menggunakan teknik Nabi; Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka, saya memandang pelajar-pelajar kelas tahun empat tersebut. Pada mulanya, mereka tidak mengendahkan pandangan saya. Mereka terus sahaja melakukan aktiviti bebas yang disukai tanpa mempedulikan saya yang sedang berdiri di hadapan kelas dan memerhati mereka dengan memek muka yang kurang senang. Namun, tidak lama selepas itu, seorang demi seorang mula kembali ke tempat duduk masing-masing. Bagi pelajar yang sedang mengerumuni tingkap dan terjerit-jerit memanggil orang di bawah, mereka tidak menyedari keberadaan saya di hadapan kelas.

“Woi, ustazahlah!”
“Duduk tempat masing-masing. Ustazah tengoklah, cepat duduk! Nanti Ustazah marah.”

Saya masih meneruskan teknik Menunjukkan Eskpresi Muka tanpa sepatah pun perkataan keluar daripada mulut. Syukur, teknik yang digunakan berjaya. Setelah semua pelajar tahun empat kelas tersebut duduk di tempat masing-masing, saya menggunakan pula teknik Tidak Menegur kesalahan, Tetapi Menerangkan.

“Abang-abang dan kakak-kakak kamu sedang belajar. Kelas kamu ini terlalu bising sehingga mengganggu abang-abang dan kakak-kakak kamu yang sedang membuat latihan di sebelah. Ustazah mahu, kamu duduk dalam keadaan baik seperti ini sehingga abang-abang dan kakak-kakak kamu selesai membuat latihan. Boleh beri kerjasama dengan Ustazah? Sekejap sahaja, boleh?”

“Boleh.” Jawab mereka hampir serentak.
“Bagus, ustazah suka jawapan kamu.”

Setelah itu, saya kembali ke dalam kelas 5 Ali meneruskan sesi P&P yang tergendala sebentar tadi. Buku-buku tulis pelajar yang telah siap disalin latihan yang diberikan, saya kutip dan kumpulkan di atas meja guru.

“Ustazah, sekarang kita mahu buat apa?” Tanya beberapa orang pelajar 5 Ali.
“Kita pergi perpustakaanlah Ustazah. Kami nak tengok wayang.” Sampuk seorang pelajar 5 Ali yang lain.

“Hari ini tiada tayangan di perpustakaan kerana perpustakaan sedang dikemas untuk majlis Perasmian Pusat Sumber esok.” Jawab saya pula.
“Ala, boringlah Ustazah.”

Ketika itu, kelas tahun empat yang saya tinggalkan sebentar tadi sudah terdengar bising kembali. Saya lalu bangun dan sekali lagi berdiri di hadapan kelas mereka menggunakan teknik Menunjukkan Ekspresi Muka kepada mereka. Mereka segera senyap, tiada seorang pun yang berganjak daripada tempat duduk.

“Sekarang masa ustazah siapa?” Tanya saya.
“Ustazah (maaf, saya tidak dapat menyebutkan namanya).”
“Sudah cuba panggil Ustazah kamu?”
“Sudah. Tapi kami tidak tahu Ustazah berada di mana.”

“Baiklah, sekarang Ustazah mahu kamu semua masuk kelas 5 Ali.” Saya memberi arahan.

Mereka semua bangun daripada tempat duduk masing-masing dan berjalan masuk ke kelas 5 Ali.

“Penuhkan kerusi yang kosong. Yang lelaki duduk bersama pelajar lelaki, manakala yang perempuan, duduk bersama pelajar perempuan.” Saya melanjutkan arahan.

“Sekiranya tidak muat, boleh ambil kerusi daripada kelas masing-masing bawa masuk untuk duduk.”

Sesudah semua pelajar duduk dalam keadaan yang selesa dan senyap (termasuk pelajar 5 Ali), saya berkata, “Apakah pilihan kamu sekiranya ustazah beri kamu pilihan memilih di antara membaca buku-buku cerita daripada perpustakaan di dalam kelas dengan menonton cerita di dalam kelas? Yang mana satu kamu mahu?”

“Tengok cerita.” Hampir sebulat suara jawapan itu terlantun.

Saya senyum. “Baiklah, kita akan menonton satu cerita yang penuh dengan pengajaran sekejap lagi.”

“Yeay!” Mereka bersorak dan bertepuk tangan.
“Baiklah, sekiranya betul kamu mahu menonton cerita. Ustazah minta kamu duduk dalam keadaan yang beradab.” Sambung saya lagi.

Saya meminta tolong Al-Fateh dan  Abang Ngah ke pejabat mengambil laptop kepunyaan saya dan speaker. Manakala Ea’ah dan Kak Yong saya minta pinjamkan tikar juga daripada pejabat sekolah.

Sementara menanti kedatangan mereka berempat, saya telah menggunakan satu lagi teknik Nabi Muhammad saw iaitu Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan.

Dalam satu hadith yang berbunyi; “Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad saw pernah bertanya, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.”  Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad saw berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” ~Lembaran Aktiviti 5, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan.

Dalam hadith ini, terdapat beberapa prinsip diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang harus difahami. Antaranya;
  • Nabi Muhammad saw menggunakan banyak soalan mudah supaya semua orang dapat mengangkat tangan. Ini bertujuan supaya semua orang merasa diri mereka pandai. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong self-esteem (maruah) mereka meningkat. Dan apabila maruah seseorang meningkat, ia akan memudahkan proses mengubah tingkahlaku berlaku.

Dalam amalan lazim, biasanya guru hanya bertanyakan soalan-soalan yang tidak ramai pelajar dapat mengangkat tangan seperti;

“Siapa sudah hafal formula matematik yang ini dan itu?” (Salah)
“Siapa tahu jawapan soalan berkaitan imbuhan ini..ini?” (Salah)
“Siapa boleh jawab soalan saya tentang pelajaran hari ini?” (Salah)
“Siapa tahu makna perkataan ini?” (Salah)

Soalan-soalan di atas ini betul, tetapi caranya salah dan bertentangan dengan cara yang diajar oleh Nabi saw. Sekiranya  soalan ini ditanyakan kepada pelajar cemerlang atau pandai, mungkin mereka dapat menjawabnya. Tetapi apabila ia ditanyakan kepada pelajar corot, tidak semua pelajar akan dapat mengangkat tangan. Ini akan membuatkan self-esteem (maruah) mereka jatuh dan rendah. Malah, mereka tidak akan terdorong untuk belajar.

Dalam situasi dua kelas yang telah digabungkan, saya mengaplikasi teknik ini dengan berkata;

“Siapa antara kamu semua yang sebelum datang ke sekolah dia salam dengan ibubapa?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua yang mandi pagi sebelum datang ke sekolah?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua sebelum datang sekolah, dia solat Zohor?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua yang makan tengahari dahulu sebelum datang sekolah?” (Betul)

Alhamdulillah, setiap soalan saya ramai pelajar yang mengangkat tangan dan menjawab, “Saya.”
“Saya, Ustazah.”
“Saya.”

Selesai bertanya keempat-empat soalan, saya berkata; “Sesiapa yang mengangkat tangan tadi kerana melakukan perkara-perkara yang Ustazah sebutkan adalah calon penghuni syurga. Kita akan berkumpul dalam syurga Allah bersama-sama seperti mana kita berkumpul pada hari ini.”

Pelajar kedua-dua kelas tersenyum dan tersengih-sengih mendengar kata-kata saya.

Sebenarnya, dalam hadith yang disebutkan di atas, terdapat satu lagi prinsip yang diajarkan Nabi Muhammad saw. 


Prinsip tersebut adalah, 
  • Nabi Muhammad saw tidak berkata, “Abu Bakar sudah tentu masuk syurga.” Tetapi Nabi Muhammad saw berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”
Perkataan ‘Seseorang’ dalam hadith ini membawa maksud ‘sesiapa’, tidak spesifik kepada orang tertentu sahaja. Kerana itu, hadith ini adalah hadith mendorong sesiapa sahaja dengan menggunakan pertanyaan-pertanyaan yang mudah.

Berbalik kepada pelajar yang telah digabungkan dengan kelas 5 Ali, mereka begitu gembira sekali mendengar kata-kata saya. Malah, ada beberapa orang pelajar meminta izin menunaikan solat Zohor di surau selepas itu kerana tadi sebelum datang sekolah mereka tidak solat. Ini membuktikan self-esteem mereka telah naik. Tanpa perlu saya marah, tegur atau kritik, mereka menyedari kesilapan mereka. Alhamdulillah.

Sebaik Al-Fateh, Abang Ngah, Ea’ah dan Kak Yong tiba membawa laptop, speaker dan tikar, saya memasang filem Hafalan Shalat Delisa untuk tontonan mereka (Sebenarnya, kami bermain satu permainan sebelum menonton filem. Tetapi saya tidak dapat menuliskan mengenainya kerana entri ini sudah terlalu panjang). Saya arahkan Penolong-penolong Guru kelas 5 Ali dan tahun empat mengawal kelas apabila saya terpaksa berulang-alik ke pejabat.

Sangat bersyukur, teknik ini juga berjaya. Mohon maaf kerana tidak dapat menerangkan secara terperinci teknik Nabi yang ini. Inshaallah, dalam entri akan datang akan saya kongsikan secara terperinci. Salam sayang Allah, cinta Nabi. Semoga entri kali ini bermanfaat.

Menonton filem Hafalan Shalat Delisa

Khusyuk!

Tidak dapat menonton wayang menggunakan LCD perpustakaan, guna laptop pun jadi.

Antara Penolong Guru yang mengawal kelas ketika ketiadaan saya. Dari kiri, Penolong Guru tahun empat (saya lupa namanya) dan Abang Ngah.

Ini pula, Al-Fateh yang suka mengambil foto-foto untuk entri saya bersama dua Penolong Guru tahun empat.






*Tidak semua gambar dalam entri yang diceritakan dapat saya snap kerana terlalu sibuk. Gambar-gambar yang ada ini, hasil kerja Al-Fateh dan Abang Ngah. Lihat di tangan Al-Fateh ada sarung kamera saya. Hehe.


Ustazah Siti Khadijah

Thursday, March 29, 2012

Pujian Kepada Pelajar Perempuan, Membuatkan Pelajar Lelaki Terdorong Membuat Latihan

Belajar di kala rakan-rakan lain sibuk mengurus dan berlatih aktiviti sempena Hari Usahawan sekolah, memang mengundang rasa malas pelajar. Situasi itu yang berlaku kepada pelajar 5 Omar semalam.

Ketika saya masuk mengajar matapelajaran Tauhid, ramai pelajar kelihatan malas-malas sahaja mahu membuka buku apalagi belajar. Mereka lebih senang bersembang, bermain dan bergurau bersama rakan-rakan di dalam kelas.

Bagi memulakan P&P hari ini (26.03.12), saya mengajak pelajar menyemak jawapan kertas ujian matapelajaran Tauhid tempohari. Meski masih malas-malas, mereka menyemak juga jawapan masing-masing berdasarkan jawapan yang telah dibetulkan.

Seperti biasa, saya menggunakan teknik memuji gaya Nabi Muhammad saw untuk memancing minat mereka belajar (puji + impak). Setiap seorang pelajar saya arahkan membaca satu persatu soalan yang terdapat pada kertas ujian masing-masing. Apabila mereka membaca dengan suara yang jelas, saya akan memuji mereka dengan menyebutkan impaknya.

“Bagus, Ustazah suka dengan bacaan kamu (Pujian). Suara kamu jelas dan terang, semua pelajar dapat mendengarnya.” (Impak)

Kadangkala, saya menyebut, “Bagus! Ustazah kagum dengan bacaan kamu (Pujian). Suara kamu yang kuat memudahkan kawan-kawan kamu menyemak nombor soalan yang sedang kita baca.” (Impak)

Dan apabila mereka dapat memberikan jawapan yang betul daripada soalan yang dibaca, saya akan berkata; “Bagus. Jawapan kamu tepat.”

Hasilnya, mereka berebut-rebut mengangkat tangan mahu membaca soalan meskipun sebenarnya masing-masing telah diperuntukkan seorang satu soalan.

Sebaik selesai sesi menyemak dan memberikan jawapan yang betul kepada pelajar 5 Omar, saya berhasrat menyambung semula pelajaran yang tertangguh sebelum ujian prestasi fasa pertama yang lalu. Namun, reaksi kebanyakan pelajar 5 Omar sangat ketara memperlihatkan tanda-tanda mereka tidak berminat belajar. Jangankan buku teks Tauhid dikeluarkan, mereka lebih selesa bercakap-cakap dengan rakan-rakan dan bersikap acuh tidak acuh kepada arahan saya.

“Baiklah, dahulu kita berhenti pada tajuk Sifat Hayat Allah. Menurut catatan Ustazah, kita sudah selesai membincangkan tajuk Sifat Hayat Allah. Hari ini, kita akan membuat latihan berkenaan tajuk Sifat Hayat Allah.”

“Ustazah, tak payah belajarlah hari ini. Lagipun, bukan semua orang ada.” Celah seorang pelajar.

Sejak ujian prestasi fasa 1 tempohari, ini kali pertama saya menyambung pelajaran yang tertangguh. Memandangkan masa saya mengajar 5 Omar tidak sekerap 5 Ali (hanya dua kali seminggu), hubungan mereka dengan saya tidaklah seakrab pelajar 5 Ali. Sekiranya dengan pelajar 5 Ali, memadai dengan saya memujuk dan merenung lama. Mereka akan segera membuka buku, tetapi ia tidak berlaku dengan pelajar 5 Omar.

“Baiklah, hari ini kita akan buat latihan muka surat 27. Bahagian 1, 2 dan 3.” Kata saya lagi sambil berjalan daripada meja ke meja pelajar.

Sebaik melabuhkan duduk di meja guru, datang Shahrul pelajar yang pernah menerima pujian saya dahulu (boleh baca linknya di sini). Katanya; “Ustazah, buat yang ini sahajalah. Yang ini dan ini tak payahlah (sambil menunjukkan latihan no 2 dan 3 dalam buku teks).”

Saya hanya diam memandang wajah Shahrul. Dia jarang malas melakukan apa sahaja yang disuruh setiap kali subjek saya. Hari ini, dia pula yang meminta supaya latihan diberikan sedikit sahaja. Melihatkan sikapnya itu, saya memikir-mikir, apakah teknik yang Nabi yang boleh digunakan untuk kembali memugar semangat belajarnya dan pelajar 5 Omar yang lain.

Sangat bersyukur kerana pada waktu itu, saya teringat kata-kata Puan Khairulaniza, “Salah satu cara mengubah tingkah laku negatif pelajar A ialah memuji tingkah laku positif pelajar-pelajar lain. Jika pelajar A masuk lambat ke dalam kelas, ketika itu puji pelajar B yang masuk cepat. Jika pelajar A bercakap ketika guru sedang mengajar, ketika itu puji pelajar lain yang diam dan memberi tumpuan kepada guru mengajar. Inshaallah, tingkah laku negatif pelajar A akan berubah tanpa perlu menegur kesalahannya.”

Melihatkan pelajar lelaki 5 Omar masih bising, tidak mengeluarkan buku, dan bersembang-sembang serta malas-malas, saya memuji pelajar perempuan 5 Omar yang sudah pun mula menyalin latihan yang diberikan walaupun mereka juga kelihatan seperti terpaksa.

Pelajar perempuan dipuji kerana terlebih dahulu mengeluarkan buku dan menyalin latihan

“Wah, bagus! Ustazah sangat kagum dengan pelajar perempuan yang khusyuk menyiapkan latihan (Ayat Pujian). Ustazah sangat yakin, apabila semua pelajar menumpukan perhatian menjawab soalan yang diberikan, tentu latihan kamu akan segera siap (Ayat Impak). Oleh kerana sikap mereka yang mengikut kata Ustazah, mari kita berikan tepukan kepada semua pelajar yang telah menyalin latihan.”

Taktik atau teknik yang digunakan berjaya. Seluruh isi kelas memberikan tepukan gemuruh untuk pelajar perempuan. Pelajar lelaki yang tadi masih berdiri dan bercakap-cakap mula membuka buku menyalin latihan, manakala pelajar perempuan terus tekun menyiapkan latihan yang diberikan. =)

Khusyuk! Inilah perubahan drastik pelajar lelaki 5 Omar selepas pujian diberikan kepada pelajar perempuan

Melihatkan pelajar lelaki terdorong khusyuk menyiapkan latihan, sekali lagi saya berkata, “Baiklah, sekiranya tadi ustazah kagum dengan pelajar perempuan yang rajin menyiapkan latihan, sekarang Ustazah sangat kagum dan suka dengan satu kelas yang menyiapkan latihan (Pujian). Ustazah percaya, sekiranya kamu terus beri perhatian membuat latihan, kerja-kerja latihan kamu akan cepat siap dan Ustazah juga akan boleh menandanya cepat (Impak).”

“Mari sama-sama kita berikan tepukan yang paling gemuruh untuk menghargai diri sendiri.” Sekali lagi seisi kelas bergema dengan tepukan yang kuat. Saya tersenyum, memang ajaib. Tidak sampai lima minit, tingkahlaku mereka berubah. Jika sebelum ini, masing-masing kelihatan malas-malas, kini mereka berlumba-lumba menyiapkan latihan. Alhamdulillah.

Shahrul juga turut terdorong menyiapkan latihan selepas pujian dan penghargaan (tepuk tangan) diberikan tanpa memberikan alasan atau minta dikurangkan lagi latihan

Yang tengah ini Hadi pelajar tidak pandai membaca Jawi suatu masa dahulu (baca linknya di sini) Hadi juga tekun menyiapkan latihan. Dari kiri Hafiz, dan dari kanan Haziq

Permandangan daripada belakang kelas 5 Omar. Mereka sangat tekun membuat latihan sehingga tidak sedar gambar mereka disnap.

Inilah hasil pujian mengikut teknik Nabi Muhammad saw (Puji +Impak). Tidak seorang pun bercakap, masing-masing menyiapkan latihan. Alhamdulillah.

Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...