Showing posts with label Membiarkan Kesalahan Kecil. Show all posts
Showing posts with label Membiarkan Kesalahan Kecil. Show all posts

Thursday, March 29, 2012

Pujian Kepada Pelajar Perempuan, Membuatkan Pelajar Lelaki Terdorong Membuat Latihan

Belajar di kala rakan-rakan lain sibuk mengurus dan berlatih aktiviti sempena Hari Usahawan sekolah, memang mengundang rasa malas pelajar. Situasi itu yang berlaku kepada pelajar 5 Omar semalam.

Ketika saya masuk mengajar matapelajaran Tauhid, ramai pelajar kelihatan malas-malas sahaja mahu membuka buku apalagi belajar. Mereka lebih senang bersembang, bermain dan bergurau bersama rakan-rakan di dalam kelas.

Bagi memulakan P&P hari ini (26.03.12), saya mengajak pelajar menyemak jawapan kertas ujian matapelajaran Tauhid tempohari. Meski masih malas-malas, mereka menyemak juga jawapan masing-masing berdasarkan jawapan yang telah dibetulkan.

Seperti biasa, saya menggunakan teknik memuji gaya Nabi Muhammad saw untuk memancing minat mereka belajar (puji + impak). Setiap seorang pelajar saya arahkan membaca satu persatu soalan yang terdapat pada kertas ujian masing-masing. Apabila mereka membaca dengan suara yang jelas, saya akan memuji mereka dengan menyebutkan impaknya.

“Bagus, Ustazah suka dengan bacaan kamu (Pujian). Suara kamu jelas dan terang, semua pelajar dapat mendengarnya.” (Impak)

Kadangkala, saya menyebut, “Bagus! Ustazah kagum dengan bacaan kamu (Pujian). Suara kamu yang kuat memudahkan kawan-kawan kamu menyemak nombor soalan yang sedang kita baca.” (Impak)

Dan apabila mereka dapat memberikan jawapan yang betul daripada soalan yang dibaca, saya akan berkata; “Bagus. Jawapan kamu tepat.”

Hasilnya, mereka berebut-rebut mengangkat tangan mahu membaca soalan meskipun sebenarnya masing-masing telah diperuntukkan seorang satu soalan.

Sebaik selesai sesi menyemak dan memberikan jawapan yang betul kepada pelajar 5 Omar, saya berhasrat menyambung semula pelajaran yang tertangguh sebelum ujian prestasi fasa pertama yang lalu. Namun, reaksi kebanyakan pelajar 5 Omar sangat ketara memperlihatkan tanda-tanda mereka tidak berminat belajar. Jangankan buku teks Tauhid dikeluarkan, mereka lebih selesa bercakap-cakap dengan rakan-rakan dan bersikap acuh tidak acuh kepada arahan saya.

“Baiklah, dahulu kita berhenti pada tajuk Sifat Hayat Allah. Menurut catatan Ustazah, kita sudah selesai membincangkan tajuk Sifat Hayat Allah. Hari ini, kita akan membuat latihan berkenaan tajuk Sifat Hayat Allah.”

“Ustazah, tak payah belajarlah hari ini. Lagipun, bukan semua orang ada.” Celah seorang pelajar.

Sejak ujian prestasi fasa 1 tempohari, ini kali pertama saya menyambung pelajaran yang tertangguh. Memandangkan masa saya mengajar 5 Omar tidak sekerap 5 Ali (hanya dua kali seminggu), hubungan mereka dengan saya tidaklah seakrab pelajar 5 Ali. Sekiranya dengan pelajar 5 Ali, memadai dengan saya memujuk dan merenung lama. Mereka akan segera membuka buku, tetapi ia tidak berlaku dengan pelajar 5 Omar.

“Baiklah, hari ini kita akan buat latihan muka surat 27. Bahagian 1, 2 dan 3.” Kata saya lagi sambil berjalan daripada meja ke meja pelajar.

Sebaik melabuhkan duduk di meja guru, datang Shahrul pelajar yang pernah menerima pujian saya dahulu (boleh baca linknya di sini). Katanya; “Ustazah, buat yang ini sahajalah. Yang ini dan ini tak payahlah (sambil menunjukkan latihan no 2 dan 3 dalam buku teks).”

Saya hanya diam memandang wajah Shahrul. Dia jarang malas melakukan apa sahaja yang disuruh setiap kali subjek saya. Hari ini, dia pula yang meminta supaya latihan diberikan sedikit sahaja. Melihatkan sikapnya itu, saya memikir-mikir, apakah teknik yang Nabi yang boleh digunakan untuk kembali memugar semangat belajarnya dan pelajar 5 Omar yang lain.

Sangat bersyukur kerana pada waktu itu, saya teringat kata-kata Puan Khairulaniza, “Salah satu cara mengubah tingkah laku negatif pelajar A ialah memuji tingkah laku positif pelajar-pelajar lain. Jika pelajar A masuk lambat ke dalam kelas, ketika itu puji pelajar B yang masuk cepat. Jika pelajar A bercakap ketika guru sedang mengajar, ketika itu puji pelajar lain yang diam dan memberi tumpuan kepada guru mengajar. Inshaallah, tingkah laku negatif pelajar A akan berubah tanpa perlu menegur kesalahannya.”

Melihatkan pelajar lelaki 5 Omar masih bising, tidak mengeluarkan buku, dan bersembang-sembang serta malas-malas, saya memuji pelajar perempuan 5 Omar yang sudah pun mula menyalin latihan yang diberikan walaupun mereka juga kelihatan seperti terpaksa.

Pelajar perempuan dipuji kerana terlebih dahulu mengeluarkan buku dan menyalin latihan

“Wah, bagus! Ustazah sangat kagum dengan pelajar perempuan yang khusyuk menyiapkan latihan (Ayat Pujian). Ustazah sangat yakin, apabila semua pelajar menumpukan perhatian menjawab soalan yang diberikan, tentu latihan kamu akan segera siap (Ayat Impak). Oleh kerana sikap mereka yang mengikut kata Ustazah, mari kita berikan tepukan kepada semua pelajar yang telah menyalin latihan.”

Taktik atau teknik yang digunakan berjaya. Seluruh isi kelas memberikan tepukan gemuruh untuk pelajar perempuan. Pelajar lelaki yang tadi masih berdiri dan bercakap-cakap mula membuka buku menyalin latihan, manakala pelajar perempuan terus tekun menyiapkan latihan yang diberikan. =)

Khusyuk! Inilah perubahan drastik pelajar lelaki 5 Omar selepas pujian diberikan kepada pelajar perempuan

Melihatkan pelajar lelaki terdorong khusyuk menyiapkan latihan, sekali lagi saya berkata, “Baiklah, sekiranya tadi ustazah kagum dengan pelajar perempuan yang rajin menyiapkan latihan, sekarang Ustazah sangat kagum dan suka dengan satu kelas yang menyiapkan latihan (Pujian). Ustazah percaya, sekiranya kamu terus beri perhatian membuat latihan, kerja-kerja latihan kamu akan cepat siap dan Ustazah juga akan boleh menandanya cepat (Impak).”

“Mari sama-sama kita berikan tepukan yang paling gemuruh untuk menghargai diri sendiri.” Sekali lagi seisi kelas bergema dengan tepukan yang kuat. Saya tersenyum, memang ajaib. Tidak sampai lima minit, tingkahlaku mereka berubah. Jika sebelum ini, masing-masing kelihatan malas-malas, kini mereka berlumba-lumba menyiapkan latihan. Alhamdulillah.

Shahrul juga turut terdorong menyiapkan latihan selepas pujian dan penghargaan (tepuk tangan) diberikan tanpa memberikan alasan atau minta dikurangkan lagi latihan

Yang tengah ini Hadi pelajar tidak pandai membaca Jawi suatu masa dahulu (baca linknya di sini) Hadi juga tekun menyiapkan latihan. Dari kiri Hafiz, dan dari kanan Haziq

Permandangan daripada belakang kelas 5 Omar. Mereka sangat tekun membuat latihan sehingga tidak sedar gambar mereka disnap.

Inilah hasil pujian mengikut teknik Nabi Muhammad saw (Puji +Impak). Tidak seorang pun bercakap, masing-masing menyiapkan latihan. Alhamdulillah.

Ustazah Siti Khadijah

Wednesday, February 29, 2012

Tidak Menegur Kesalahan Kecil, Menyebabkan Pelajar Mahu Berubah

02 Rabiul Akhir 1433 (24 Feb 2012)

Entri kali ini adalah catatan saya ketika menghadiri perhimpunan sekolah kali pertama (kali pertama kerana hari Jumaat sebelum-sebelum ini hujan). Peristiwa untuk entri kali ini berlaku secara spontan apabila saya tidak menegur kesalahan pelajar di perhimpunan. Jadi, gambar untuk insiden ini tidaklah sempat saya snap untuk dipaparkan. 

Jumaat yang lalu, ketika perhimpunan berlangsung, saya berdiri di hadapan pelajar-pelajar bersama beberapa orang guru yang lain. Apabila melihat beberapa orang pelajar ditarik pengawas ke hadapan ruang perhimpunan, saya mula merasakan ada sesuatu yang telah dilakukan pelajar-pelajar tersebut. Saya tidak pula bertanya, “Mengapakah pelajar tersebut diarahkan berdiri di hadapan ruang perhimpunan?”. Kerana memang dalam teknik Nabi Muhammad saw mendorong orang-orang corot, beliau tidak menggunakan perkataan ‘mengapa’ atau menyiasat punca kesalahan yang dilakukan.

Pelajar perempuan sedang beratur. Gambar Hiasan.
Tidak berapa lama selepas melihat insiden tersebut, saya mula mengangkat kaki meronda dari satu barisan ke satu barisan pelajar. Setelah agak berpuas hati, barulah saya kembali semula berdiri bersama beberapa orang guru di hadapan pelajar. Saya cuba mengagak apa yang dilakukan pelajar tersebut, tetapi perasaan bersangka buruk yang sememangnya jarang menghuni hati melarang keras saya berbuat demikian. Akhirnya saya mengambil keputusan melihat sahaja apa yang bakal berlaku selepas ini kepada pelajar tersebut.

Semasa perhimpunan masih berlangsung, saya menangkap kata-kata ini daripada guru yang sedang bertugas di perhimpunan, “Kamu tahu atau tidak mengapa pelajar-pelajar ini disuruh berdiri di hadapan?”
“Sebab langgar peraturan sekolah.” Jawab beberapa suara.

“Haa, kamu. Kenapa tidak memakai samping? Samping kamu mana?”

“Dalam beg Ustazah.”

“
Nak bagi siapa pakai dalam beg? Beg pakai?”

“
Tak. Tadi saya buka, simpan dalam beg.”

“
Menjawab.”

Saya tidak menyalahkan guru yang bertugas, tidak juga menyebelahi pelajar yang melakukan kesalahan tersebut. Barangkali kebanyakan guru yang bertugas di perhimpunan sekolah sudah terbiasa dengan cara memanggil pelajar yang melakukan kesalahan untuk diberi pengajaran di hadapan ramai pelajar yang berhimpun, supaya tidak ada pelajar yang mengulangi perbuatan yang telah dilakukan pelajar tersebut.

Antara pelajar yang dibawa ke hadapan.
Namun, di dalam teknik Nabi Muhammad saw mendorong orang-orang corot, cara ini jelas bertentangan. Matlamat atau niat guru tersebut betul, tetapi cara atau tekniknya yang salah. Nabi Muhammad saw tidak pernah mendorong orang yang melakukan kesalahan dengan teknik yang salah apalagi mengaibkan orang-orang corot yang melakukan kesalahan di hadapan beliau.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh saidina Anas bin Malik yang berbunyi begini, Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, “Yarhamkallah.” Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad saw. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?” Nabi Muhammad saw menjawab, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulilliah." (Lembaran aktiviti 1, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Ganjaran)

Dalam hadith ini, terdapat beberapa prinsip dan teknik yang harus kita faham.

  1. Ganjaran diberikan apabila kerja dibuat dengan teknik yang betul.
Lelaki yang pertama bersin dan dia menyebut Alhamdulillah. Disebabkan dia melakukan kerja itu dengan betul, Nabi Muhammad saw memberikan ganjaran kepadanya. Ganjaran itu adalah doa.

  1. Kerja yang dibuat dengan teknik yang salah tidak diberi ganjaran.
Lelaki yang kedua membuat kerja dengan teknik yang salah. Dia bersin tetapi dia tidak menyebut Alhamdulillah. Nabi Muhammad saw tidak memberi ganjaran kepadanya (tidak mendoakannya).

  1. Apabila kerja itu dibuat secara terbuka, maka ganjaran diberikan juga secara terbuka
Lelaki itu bersin di tempat terbuka di mana orang-orang lain dapat melihat mereka bersin. Maka Nabi Muhammad saw memberikan ganjarannya secara terbuka juga, yakni di ketahui orang-orang lain. Dalam peristiwa ini, Nabi Muhammad saw mendoakan lelaki itu dengan suara yang jelas dan dapat didengar oleh orang lain yang kebetulan ada di situ.

  1. Orang yang melakukan kerja dengan teknik yang salah tidak dikritik.
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad saw tidak menegur kesalahan lelaki yang bersin yang tidak menyebut Alhamdulillah. Nabi Muhammad saw cuma tidak memberi ganjaran, yakni beliau tidak mendoakan lelaki itu.

  • Nabi Muhammad saw tidak memarahi orang yang tidak puas hati itu dengan berkata: “Kenapa awak cemburu?”
  • Nabi Muhammad saw tidak menasihati orang yang tidak berpuas hati itu dengan berkata: “Kalau awak hendak saya doakan awak, awak kenalah perbaiki kerja awak.”
  • Nabi Muhammad saw tidak membandingkan orang yang tidak puas hati itu dengan orang yang dapat ganjaran dengan berkata: “Lain kali awak kenalah buat kerja elok-elok macam Si Fulan, barulah saya beri awak ganjaran macam dia juga.”
  • Nabi Muhammad saw tidak mengkritik orang yang tidak puas hati tu dengan berkata: “Sikap awak tidak betul. Awak hendak saya beri ganjaran, tetapi kerja awak tidak semenggah!” (Lembaran aktiviti 1, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Ganjaran)

Dalam kes pelajar yang dipanggil tadi, sekiranya kita mengikut teknik Nabi Muhammad saw, situasinya tidak banyak beza dengan peristiwa yang diriwayatkan di dalam hadith.

Bagi mendorong pelajar tersebut, guru-guru haruslah mengikut prinsip yang telah tersusun di atas.

Bagi prinsip yang pertama, guru yang bertugas boleh memuji pelajar yang mematuhi peraturan sekolah. Ciptalah skrip ucapan yang baik bagi menghargai pelajar yang melakukan kerja dengan teknik yang betul (mematuhi peraturan sekolah). (Ganjaran diberikan apabila kerja dibuat dengan teknik yang betul).

Prinsip kedua, pelajar yang dipanggil tadi tidak diberi ganjaran kerana tekniknya salah (tidak mematuhi peraturan sekolah), beliau tidak dipuji dengan skrip ucapan yang baik. (Kerja yang dibuat dengan teknik yang salah tidak diberi ganjaran).

Prinsip ketiga, guru yang bertugas harus memuji pelajar yang mematuhi peraturan di tempat terbuka. Ini sangat membantu untuk menaikkan self-esteem (maruah) pelajar untuk terus melakukan kerja dengan teknik yang betul secara berulang-ulang. (Apabila kerja itu dibuat secara terbuka, maka ganjaran diberikan juga secara terbuka).

Prinsip keempat, pelajar yang dipanggil ke hadapan tersebut tidak boleh dikritik (Orang yang melakukan kerja dengan teknik yang salah tidak dikritik).

Dalam situasi yang berlaku semasa perhimpunan tadi, pelajar yang melakukan kerja dengan teknik yang salah disiasat dan diumumkan kesalahannya di hadapan orang banyak (tempat terbuka). Ini akan membuatkan self-esteem (maruah) pelajar tersebut jatuh dan dia mungkin rasa dimalukan. Apabila self-esteem (maruah) pelajar jatuh, ia menyukarkan proses dorongan untuk membaiki diri oleh pelajar tersebut.

Teknik ini yang tergambar dalam kepala saya apabila menyaksikan pelajar tersebut ditegur di hadapan khalayak. Barangkali kerana sudah terbiasa memandang orang sekeliling berdasarkan teknik Nabi, gambaran inilah yang bermain di kepala. Alangkah bagusnya sekiranya gambaran ini dapat dijelmakan ketika itu. Namun ia hanya berlegar-legar di kepala. Moga suatu hari nanti, ia akan menjadi nyata.


Pelajar sedang berbaris dalam perhimpunan.
Barangkali juga kerana tidak sanggup melihat beberapa pelajar lagi terus disiasat (saya ini orang cengeng dan mudah terasa), tanpa sedar saya melangkah merapati pelajar-pelajar yang berada dalam barisan. Ketika menghampiri barisan pelajar tahun lima, ada beberapa orang pelajar berkata, “Ini Ustazah, dia pakai selipar.”

“Dia ini Ustazah, tidak pakai songkok. Bawa dia ke hadapan.”

Saya hanya mendiamkan diri tidak berkata apa-apa. Ketika menghampiri Abang Ngah, dia berkata, “Ini Ustazah, dia tidak pakai songkok. Bawa dia ke hadapan.”

Ketika itu juga mata saya terpandangkan poket baju sekolah Abang Ngah yang tidak bertampal lencana. Saya lalu berkata,
“Apakah kamu mahu sekiranya Ustazah menarik kamu ke hadapan kerana kamu tidak memakai lencana?”

“Tidak.” Dia menjawab ringkas.

“Begitulah juga yang dirasakan oleh rakan-rakan kamu yang kamu katakan tadi.” Abang Ngah hanya diam dan tersenyum kembali memandang saya.

Sebaik saya mahu mengatur langkah ke hadapan, terdengar suara daripada pelajar-pelajar yang tidak mematuhi peraturan sekolah berhampiran Abang Ngah, “Ustazah ini baiklah, Ustazah tidak suruh kita ke hadapan. Minggu hadapan, aku akan pakai songkok.” =)


Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...