Monday, April 9, 2012

Mengawal Dua Kelas Dengan Teknik Nabi Muhammad saw

Untuk entri kali ini, saya masih menulis laporan hasil aplikasi teknik Nabi Muhammad saw sekitar minggu penyediaan Hari Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber sekolah. Mohon maaf agak lambat diupdate kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan dan entri kali ini agak panjang.

Baiklah, terus sahaja kepada tajuk asal entri.

Hari Jumaat (30.03.12) yang lalu adalah kemuncak kesibukan bagi guru-guru sekolah tempat saya berkhidmat. Lantaran kerana itu, banyak kelas yang tidak dimasuki guru kerana para guru sibuk bergotong-royong membuat persediaan akhir menjelang Hari Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber sekolah keesokan hari.

Usai bacaan Yasin (rutin harian setiap Jumaat bagi pelajar tahap 2) di dewan mini sekolah, para guru dan pelajar diarahkan bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah, kelas dan menyediakan bahan-bahan masakan / jualan untuk gerai masing-masing mengikut pembahagian tugas yang telah ditetapkan.

Memandangkan kawasan sekolah kami hanyalah bangunan-bangunan rumah kedai yang agak terhad kawasannya, aktiviti gotong-royong pelajar cepat sahaja sudah. Manakala, para guru yang telah dibahagikan mengikut tugas masing-masing, ada yang tidak dapat menyelesaikan tugas dalam masa yang singkat. Ini menyebabkan tugas mengawal kelas terpaksa diserahkan kepada para pengawas sekolah.

Saya juga pada asalnya mempunyai tugas yang harus diselesaikan. Namun amat bersyukur, kerana tugas yang diberikan telah saya lakukan secara beransur-ansur sejak awal minggu persediaan Hari Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber Sekolah lagi. Manakala untuk persediaan akhir menjelang Hari Usahawan sekolah, saya memilih untuk menyelesaikan tugasan tersebut di rumah.

Jujur sahaja, saya tidak sampai hati meninggalkan pelajar 5 Ali sendiri. Kadangkala, kerana tugas-tugas penting, terpaksa juga untuk tidak masuk kelas. Mereka (pelajar 5 Ali) akan datang berkali-kali ke pejabat dan bilik guru menuntut supaya saya masuk kelas.

Pernah berlaku bila mana semua pelajar tahun lima dikumpulkan di dalam dewan, dan saya tiada di dalam dewan kerana urusan penting di pejabat, pelajar 5 Ali berulang alik ke pejabat mencari saya. Lebih daripada lima kali Al-Fateh, Salahuddin, Mimi dan Sue turun naik tangga semata-mata mahu gurunya turut berada di dalam dewan.

 Dua sahabat baik, Al-Fateh dan Salahuddin yang akan memanggil saya masuk kelas atau dewan. (Gambar tidak diambil pada hari kejadian)


Ini pula Sue dan Mimi yang sentiasa berlumba dan berebut dengan dua sahabat baik di atas menjemput saya masuk ke kelas =). (Gambar ini juga tidak diambil pada hari kejadian)

Apabila dimaklumkan yang saya sedang berusaha menyelesaikan tugas penting, mereka kembali semula ke dewan. Namun tidak lama selepas itu, mereka tetap juga datang lagi ke pejabat menunggu dengan sabarnya sehinggalah urusan saya selesai dan akhirnya saya mengalah menuruti kehendak mereka.

Dikumpulkan di dalam dewan sahaja mereka akan datang memanggil dan menyuruh bersama mereka berulangkali, apalagi sekiranya mereka dibiarkan sendiri di dalam kelas 5 Ali.

“Ustazah, lepas ini masuk kelas ya.”
“Ustazah, selepas ini masa ustazahkan?”
“Ustazah, selepas ini masuk kelaskan.”

Belum pun bubar sesi di dewan, sudah ramai yang bertanya berulangkali. Tidak sampai hati membayangkan, situasi kelas 5 Ali sekiranya dibiarkan tanpa pengawasan guru walau apa juga yang menjadi alasan hari ini.

Sebaik selesai rutin membaca Yasin di dewan, saya kembali ke kelas 5 Ali. Setelah bergotong-royong membersihkan kelas, saya berhasrat menjalankan P&P hari ini secara santai. Tidak dapat menjalankan P&P secara penuh, secara santai juga sudah memadai. Jadi, bagi mengisi P&P untuk mata pelajaran Jawi hari ini, saya memberikan kelas 5 Ali latihan membina Ayat Kehendak.

Sejak menggunakan teknik Nabi saw, self-esteem (maruah) pelajar 5 Ali sudah banyak meningkat. Apabila saya memberikan kerja atau latihan cepat sahaja mereka menurut dan membuatnya tanpa banyak membantah. Meskipun kelas lain sibuk tidak belajar, hari ini mereka tetap belajar. Ini impak yang amat besar dalam saya menggunakan teknik Nabi saw.

Ketika melihat pelajar 5 Ali membuka buku atau mula menulis, saya akan memuji perbuatan mereka menggunakan teknik Nabi Muhammad saw. (Puji perbuatan mereka + Sebutkan impaknya).  Ini kerana, dalam mendorong orang corot mengikut teknik Nabi Muhammad saw, pujian boleh diberikan sebelum dan selepas tugas siap dikerjakan.

Sewaktu mereka berusaha menyiapkan kerja latihan yang diberikan, Abang Ngah berkata kepada saya, “Ustazah, kelas depan bisinglah. Saya tidak dapat tumpukan perhatian buat latihan.”

“Ha’ah, Ustazah. Diorang main dalam kelas. Tu Ustazah, tengok tu!” Seorang lagi pelajar 5 Ali menyampuk.

Menyedari kebenaran kata-kata mereka, saya mengintai kelas sebelah. Memang keadaan kelas di hadapan 5 Ali sangat tidak terkawal. Ada pelajar yang mengerumuni tingkap sambil terjerit-jerit memanggil orang di bawah (kelas 5 Ali dan kelas di hadapannya terletak di tingkat kedua), ada pelajar bermain bebas di dalam kelas, ada pelajar bersembang serta bergurau dengan suara yang kuat, dan pelbagai aktiviti bebas lain lagi. Kelas tersebut sangat bising dan bingit.

Pada mulanya, saya hanya mengintai kelas tahun empat tersebut sekali pandang. Tetapi kerana kelas tersebut terlalu bising dan bingit sehingga menggangu P&P pelajar 5 Ali, saya mengambil tindakan berdiri di hadapan kelas mereka.

Dengan menggunakan teknik Nabi; Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka, saya memandang pelajar-pelajar kelas tahun empat tersebut. Pada mulanya, mereka tidak mengendahkan pandangan saya. Mereka terus sahaja melakukan aktiviti bebas yang disukai tanpa mempedulikan saya yang sedang berdiri di hadapan kelas dan memerhati mereka dengan memek muka yang kurang senang. Namun, tidak lama selepas itu, seorang demi seorang mula kembali ke tempat duduk masing-masing. Bagi pelajar yang sedang mengerumuni tingkap dan terjerit-jerit memanggil orang di bawah, mereka tidak menyedari keberadaan saya di hadapan kelas.

“Woi, ustazahlah!”
“Duduk tempat masing-masing. Ustazah tengoklah, cepat duduk! Nanti Ustazah marah.”

Saya masih meneruskan teknik Menunjukkan Eskpresi Muka tanpa sepatah pun perkataan keluar daripada mulut. Syukur, teknik yang digunakan berjaya. Setelah semua pelajar tahun empat kelas tersebut duduk di tempat masing-masing, saya menggunakan pula teknik Tidak Menegur kesalahan, Tetapi Menerangkan.

“Abang-abang dan kakak-kakak kamu sedang belajar. Kelas kamu ini terlalu bising sehingga mengganggu abang-abang dan kakak-kakak kamu yang sedang membuat latihan di sebelah. Ustazah mahu, kamu duduk dalam keadaan baik seperti ini sehingga abang-abang dan kakak-kakak kamu selesai membuat latihan. Boleh beri kerjasama dengan Ustazah? Sekejap sahaja, boleh?”

“Boleh.” Jawab mereka hampir serentak.
“Bagus, ustazah suka jawapan kamu.”

Setelah itu, saya kembali ke dalam kelas 5 Ali meneruskan sesi P&P yang tergendala sebentar tadi. Buku-buku tulis pelajar yang telah siap disalin latihan yang diberikan, saya kutip dan kumpulkan di atas meja guru.

“Ustazah, sekarang kita mahu buat apa?” Tanya beberapa orang pelajar 5 Ali.
“Kita pergi perpustakaanlah Ustazah. Kami nak tengok wayang.” Sampuk seorang pelajar 5 Ali yang lain.

“Hari ini tiada tayangan di perpustakaan kerana perpustakaan sedang dikemas untuk majlis Perasmian Pusat Sumber esok.” Jawab saya pula.
“Ala, boringlah Ustazah.”

Ketika itu, kelas tahun empat yang saya tinggalkan sebentar tadi sudah terdengar bising kembali. Saya lalu bangun dan sekali lagi berdiri di hadapan kelas mereka menggunakan teknik Menunjukkan Ekspresi Muka kepada mereka. Mereka segera senyap, tiada seorang pun yang berganjak daripada tempat duduk.

“Sekarang masa ustazah siapa?” Tanya saya.
“Ustazah (maaf, saya tidak dapat menyebutkan namanya).”
“Sudah cuba panggil Ustazah kamu?”
“Sudah. Tapi kami tidak tahu Ustazah berada di mana.”

“Baiklah, sekarang Ustazah mahu kamu semua masuk kelas 5 Ali.” Saya memberi arahan.

Mereka semua bangun daripada tempat duduk masing-masing dan berjalan masuk ke kelas 5 Ali.

“Penuhkan kerusi yang kosong. Yang lelaki duduk bersama pelajar lelaki, manakala yang perempuan, duduk bersama pelajar perempuan.” Saya melanjutkan arahan.

“Sekiranya tidak muat, boleh ambil kerusi daripada kelas masing-masing bawa masuk untuk duduk.”

Sesudah semua pelajar duduk dalam keadaan yang selesa dan senyap (termasuk pelajar 5 Ali), saya berkata, “Apakah pilihan kamu sekiranya ustazah beri kamu pilihan memilih di antara membaca buku-buku cerita daripada perpustakaan di dalam kelas dengan menonton cerita di dalam kelas? Yang mana satu kamu mahu?”

“Tengok cerita.” Hampir sebulat suara jawapan itu terlantun.

Saya senyum. “Baiklah, kita akan menonton satu cerita yang penuh dengan pengajaran sekejap lagi.”

“Yeay!” Mereka bersorak dan bertepuk tangan.
“Baiklah, sekiranya betul kamu mahu menonton cerita. Ustazah minta kamu duduk dalam keadaan yang beradab.” Sambung saya lagi.

Saya meminta tolong Al-Fateh dan  Abang Ngah ke pejabat mengambil laptop kepunyaan saya dan speaker. Manakala Ea’ah dan Kak Yong saya minta pinjamkan tikar juga daripada pejabat sekolah.

Sementara menanti kedatangan mereka berempat, saya telah menggunakan satu lagi teknik Nabi Muhammad saw iaitu Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan.

Dalam satu hadith yang berbunyi; “Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad saw pernah bertanya, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.”  Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad saw berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” ~Lembaran Aktiviti 5, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan.

Dalam hadith ini, terdapat beberapa prinsip diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang harus difahami. Antaranya;
  • Nabi Muhammad saw menggunakan banyak soalan mudah supaya semua orang dapat mengangkat tangan. Ini bertujuan supaya semua orang merasa diri mereka pandai. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong self-esteem (maruah) mereka meningkat. Dan apabila maruah seseorang meningkat, ia akan memudahkan proses mengubah tingkahlaku berlaku.

Dalam amalan lazim, biasanya guru hanya bertanyakan soalan-soalan yang tidak ramai pelajar dapat mengangkat tangan seperti;

“Siapa sudah hafal formula matematik yang ini dan itu?” (Salah)
“Siapa tahu jawapan soalan berkaitan imbuhan ini..ini?” (Salah)
“Siapa boleh jawab soalan saya tentang pelajaran hari ini?” (Salah)
“Siapa tahu makna perkataan ini?” (Salah)

Soalan-soalan di atas ini betul, tetapi caranya salah dan bertentangan dengan cara yang diajar oleh Nabi saw. Sekiranya  soalan ini ditanyakan kepada pelajar cemerlang atau pandai, mungkin mereka dapat menjawabnya. Tetapi apabila ia ditanyakan kepada pelajar corot, tidak semua pelajar akan dapat mengangkat tangan. Ini akan membuatkan self-esteem (maruah) mereka jatuh dan rendah. Malah, mereka tidak akan terdorong untuk belajar.

Dalam situasi dua kelas yang telah digabungkan, saya mengaplikasi teknik ini dengan berkata;

“Siapa antara kamu semua yang sebelum datang ke sekolah dia salam dengan ibubapa?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua yang mandi pagi sebelum datang ke sekolah?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua sebelum datang sekolah, dia solat Zohor?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua yang makan tengahari dahulu sebelum datang sekolah?” (Betul)

Alhamdulillah, setiap soalan saya ramai pelajar yang mengangkat tangan dan menjawab, “Saya.”
“Saya, Ustazah.”
“Saya.”

Selesai bertanya keempat-empat soalan, saya berkata; “Sesiapa yang mengangkat tangan tadi kerana melakukan perkara-perkara yang Ustazah sebutkan adalah calon penghuni syurga. Kita akan berkumpul dalam syurga Allah bersama-sama seperti mana kita berkumpul pada hari ini.”

Pelajar kedua-dua kelas tersenyum dan tersengih-sengih mendengar kata-kata saya.

Sebenarnya, dalam hadith yang disebutkan di atas, terdapat satu lagi prinsip yang diajarkan Nabi Muhammad saw. 


Prinsip tersebut adalah, 
  • Nabi Muhammad saw tidak berkata, “Abu Bakar sudah tentu masuk syurga.” Tetapi Nabi Muhammad saw berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”
Perkataan ‘Seseorang’ dalam hadith ini membawa maksud ‘sesiapa’, tidak spesifik kepada orang tertentu sahaja. Kerana itu, hadith ini adalah hadith mendorong sesiapa sahaja dengan menggunakan pertanyaan-pertanyaan yang mudah.

Berbalik kepada pelajar yang telah digabungkan dengan kelas 5 Ali, mereka begitu gembira sekali mendengar kata-kata saya. Malah, ada beberapa orang pelajar meminta izin menunaikan solat Zohor di surau selepas itu kerana tadi sebelum datang sekolah mereka tidak solat. Ini membuktikan self-esteem mereka telah naik. Tanpa perlu saya marah, tegur atau kritik, mereka menyedari kesilapan mereka. Alhamdulillah.

Sebaik Al-Fateh, Abang Ngah, Ea’ah dan Kak Yong tiba membawa laptop, speaker dan tikar, saya memasang filem Hafalan Shalat Delisa untuk tontonan mereka (Sebenarnya, kami bermain satu permainan sebelum menonton filem. Tetapi saya tidak dapat menuliskan mengenainya kerana entri ini sudah terlalu panjang). Saya arahkan Penolong-penolong Guru kelas 5 Ali dan tahun empat mengawal kelas apabila saya terpaksa berulang-alik ke pejabat.

Sangat bersyukur, teknik ini juga berjaya. Mohon maaf kerana tidak dapat menerangkan secara terperinci teknik Nabi yang ini. Inshaallah, dalam entri akan datang akan saya kongsikan secara terperinci. Salam sayang Allah, cinta Nabi. Semoga entri kali ini bermanfaat.

Menonton filem Hafalan Shalat Delisa

Khusyuk!

Tidak dapat menonton wayang menggunakan LCD perpustakaan, guna laptop pun jadi.

Antara Penolong Guru yang mengawal kelas ketika ketiadaan saya. Dari kiri, Penolong Guru tahun empat (saya lupa namanya) dan Abang Ngah.

Ini pula, Al-Fateh yang suka mengambil foto-foto untuk entri saya bersama dua Penolong Guru tahun empat.






*Tidak semua gambar dalam entri yang diceritakan dapat saya snap kerana terlalu sibuk. Gambar-gambar yang ada ini, hasil kerja Al-Fateh dan Abang Ngah. Lihat di tangan Al-Fateh ada sarung kamera saya. Hehe.


Ustazah Siti Khadijah

19 comments:

  1. Saya suka dan kagum dengan usaha Ustazah berkongsi aplikasi Teknik Mendorong Nabi Muhammad. Penerangan Ustazah jelas . Ustazah juga menerangkan cara ustazah mengaplikasikan teknik dalam P&P dan ustazah memberi maklumat tentang teknik Nabi yang digunakan. Skrip kata-kata yang ustazah gunakan mudah dicontohi. 30 markah untuk ustazah!

    ReplyDelete
  2. Laporan puan sangat lancar dibaca. Disebabkan pembacaan begitu lancar, saya jadi khusyuk membaca, sehingga setiap ayat saya baca satu persatu.

    Puan terangkan langkah-demi-langkah bagaimana puan memilih Teknik Nabi dan seterusnya bagaimana puan aplikasikan teknik itu, dan kesan ke atas perubahan tingkah laku murid.

    Puan mahir menggunakan lebih daripada satu Teknik Nabi dalam satu sesi kelas. Ini adalah kompetensi yang tinggi. 30 markah!

    Episod puan menggabungkan 2 kelas menjadi satu dan penggunaan Teknik Nabi bagi mengawal tingkah laku negatif sangat meyakinkan.

    Laporan tentang murid berulang-alik dari dewan mencari puan menjadi bukti bagaimana mereka sangat menyukai kehadiran puan, dan suka sentiasa berada bersama-sama puan. Begitulah juga tingkah laku para sahabat Rasulullah, mereka resah gelisah apabila baginda tidak bersama mereka....

    ReplyDelete
  3. Puan Khairuaniza, Wah, saya dapat markah penuh! Suka sekali membaca komen Puan. Ia membuatkan saya tidak sabar mahu menulis entri baru lagi. Hehehe.

    Puan Ainon Mohd., Wah, saya dapat markah penuh sekali lagi! Alhamdulillah, terima kasih Puan. Entri kali ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana banyak penggunaan teknik memerlukan perincian sebelum dipublish bagi bacaan umum. Saya menerima banyak respon daripada pembaca agar teknik yang digunakan diperincikan dengan lebih mendalam untuk mereka belajar dan contohi. Jujur, saya sendiri teruja apabila sudah mampu mengaplikasi banyak teknik dalam satu masa. Sungguh teknik ini benar-benar mukjizat, kerana ia bukan sahaja mendorong dan membantu pelajar corot berubah, tetapi juga pembaca berkeinginan belajar dan gurunya untuk lebih gigih berusaha mengaplikasi dan berkongsi yang terbaik orang lain juga. Saya suka membaca respon puan kerana puan selalunya menyedari apa yang tidak sedar.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum...
    Jazakillah Puan/ Ustazah Khadijah atas perkongsian berguna ini. Jika di Mesir dahulu Ustazah menghadiri tutorial saya, kini saya lebih perlu menghadiri 'tutorial' Ustazah di sini. Banyak lagi yang wajib saya tahu.

    ReplyDelete
  5. terima kasih atas perkongsian yang sangat menarik ini....

    ReplyDelete
  6. Us Salmanfasiri dan Cikpuan Solehah: Walaikumussalam warhmatullah. Sama-sama, semoga bermanfaat.

    ReplyDelete
  7. slm ustazah khadijah..alhndulillah..sngt teruja n tenang bc entri ustzh brkaitan dgn teknik yg digunakn..tm kseh ustzh..;)

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum, terima kasih kerana berkongsi teknik mengajar menggunakan pendekatan Rasulullah.. Saya juga merupakan seorang guru tetapi di kawasan pedalaman Sarawak yang majoritinya adalah kaum iban. Saya pernah memberikan kata-kata pujian tetapi kepada murid2 yang berjaya sahaja. Manakala, murid-murid yang kurang berjaya saya berikan kata-kata semangat. Setelah membaca blog ustazah ini, boleh saya berikan kata-kata pujian yang sesuai untuk murid2 yang lemah dan melakukan kesalahan. Terima kasih sekali lagi :)

    ReplyDelete
  9. Salam ustazah.. Saya mengajar di sekolah menengah di kuala lumpur. Sekolah saya mempunyai lebih kurang 3k student. 95% daripadanya merupakan pelajar cina. Bagaimanakah cara yang boleh saa gunakan untuk mengatasi pelajar cina yang biadap..suka menyindir..tidak menghormati guru?

    ReplyDelete
  10. salam ustazah..bagaimana pula untuk mendisiplinkan murid-murid di sekolah missionary?apakah teknik yg sesuai..murid-murid saya majoriti non-muslim..

    ReplyDelete
  11. mohon ustazah emelkan kepada sy ya teknik2 yang boleh digunakan..syukran jazilan..ni emel sy : ez_zar2201@yahoo.com =)

    ReplyDelete
  12. Saya kagum melihat anak murid Ustazah duduk dengan tertib & fokus pada skrin laptop yang kecil itu. Sebab kalau hendak bercakap tentang selesa, mestilah anak-anak zaman sekarang memilih skrin LCD yang besar.
    Saya pernah menjaga dua orang anak kecil sementara ibu mereka menyelesaikan urusan kerja seharian. Walaupun dua orang sahaja, skrin laptop saya yang kecil menjadi punca rengekan, rajukan dan sebagainya. "Kecil sangat la, kakak!", "Tak nampak apa-apa pun!" dan sebagainya.

    Mungkin sebab apa yang ustazah lakukan disertakan dengan niat yang baik & ikhlas, dan anak didik ustazah sudah biasa dengan didikan ustazah yang mencontohi sifat Rasulullah, maka sebarang aktiviti yang dilakukan mendapat berkat dari Allah.

    Saya mohon ustazah terus menulis untuk kami contohi. Sebab ilmu ustazah ni boleh dipakai dalam semua institusi kemanusiaan ; keluarga, tempat kerja & hubungan sosial.

    Salam ukhuwwah dari saya :)

    ReplyDelete
  13. enry yg sgt membantu...in sha Allah sy akan cuba aplikasikan..

    ReplyDelete
  14. terima kasih ustazah atas perkongsian, sgt bermanfaat, semoge usaha ustazah ini dibalas tinggi di sisi Allah, ameen

    ReplyDelete
  15. Assalamualaikum ustazah...Alhamdulillah....satu perkongsian yang sangt bermanfaat...saya tercari cari..satu entry untuk mengawal keaadaan yang bising dalam kelas..untuk persediaan masuk kedalam dunia perguruan..maklumlah orang baru..Alhamdulillah...jumpa jugak entr ni..perfect dan bermanfaat...semoga ustazah sentiasa dilimpahi dengan rahmat-Nya...amin....doakan saya berjaya..cemerlang .sebagai pendidik dan dapat mengaplikasikan cara hidup Baginda s.a.w dalam hidup saya...terima kasih ya ustazah..saya kasi 5 bintang.....^_^

    ReplyDelete
  16. Sangat membantu..setiap pelajar perlu diberi peluang dengan cara dan teknik yang betul...

    ReplyDelete
  17. Terima kasih cikgu.. tips yang cikgu berikan sangat membantu diri saya yang mula down.. kerana hari ini saya hampir2 mahu menangis disebabkan anak murid yang sudah mula tidak mengendahkan arahan saya dan semakin berani.

    ReplyDelete
  18. Assalamualaikum ustazah, cara ni sesuai tak guna untuk budak darjah satu dan dua. Diorang ni terlalu aktif sampai selalu menjerit kuat-kuat dalam kelas. Saya juga mengharapkan ustazah memberi sedikit cadangan macam mana nak mengawal budak-budak dan mententeramkan suasana kelas yang bising sewaktu saya sedang mengajar.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...