Wednesday, September 17, 2014

Teknik Penolong Guru Menyelesaikan Masalah Di Kelas Pemulihan j-QAF

Saya sering menggaru kepala setiap kali tibanya waktu kelas pemulihan j-Qaf. Keletah para pelajar yang ‘sangat kreatif’ dalam membikin onar sering menduga benteng kesabaran dan iman saya. Namun barangkali berkat mengaplikasi Teknik Nabi membuatkan kenakalan mereka kadangkala bertukar menjadi perkara yang menggelikan hati.


“Ini aku punya!”

“Lantaklah, tidak ada nama engkau pun di sini. Siapa dapat, dia punyalah.”

“Engkau ingat meja ini mak bapa kau punya ke?”

“Ustazah, dia yang ajak saya jalan. Dia nak ponteng ustazah. Saya nak pergi kelas.”

“Eleh, mana ada. Engkau yang ajak aku. Kau yang nak ajak ponteng cakap aku pula.”

“Ustazah, dia ambil air sembahyang main-main. Dia sengaja percikkan air pada baju saya. Tengok baju saya ustazah, habis basah.”

“Engkau yang kacau aku dulu. Dia pun sama, ustazah.”

“Woi, Quran itu aku punya. Aku dah simpan semalam.”

“Ah, bukan ada nama kau pun.”


Begitulah situasi yang kerap terjadi setiap kali kelas pemulihan j-QAF diadakan. Pasti ada sahaja masalah yang berlaku. Kalau tidak lambat datang ke kelas, sengaja melambatkan mengambil air sembahyang. Kalau tidak bergaduh sesama sendiri, mereka tidak bersemangat mahu mengaji. Kalaupun mengaji, bacaannya ala kadar sahaja. Itu belum disentuh mengenai bab bacaan, sekiranya disentuh, banyaklah kepincangan yang akan dijumpai.


“Assalamualaikum, Ustazah.”

“Wa’alaikumussalam.”


“Fuyoo, hari ini saya datang awal! Diorang semua dekat bawah lagi.” Adeeb terus duduk di pintu surau bagi membuka kasut untuk segera memasuki surau bersuara.


“Bagus! Apabila datang awal, cepatlah dapat kita mulakan kelas, dan cepat juga kelas dapat kita habiskan.” Balas saya. Salam Adeeb bersahut dan saya terus memuji perbuatannya. Dia sudah mula tersenyum suka.


“Haa… lambat! Aku sampai awal.” Adeeb ternyata cuba memprovok rakan-rakannya yang baru tiba beberapa minit kemudian.  Saya sudah mula menghidu akan adanya bunga pertengkaran.


“Tidak mengapa, yang penting kamu semua sudah selamat sampai. Lekas, kita mahu ambil air sembahyang pula. Ustazah mahu kamu keluar dua orang-dua orang untuk mengambil wuduk. Siapa mahu keluar dahulu?” Provokasi Adeeb segera dapat saya hentikan. 


“Saya dulu ustazah. Saya yang sampai dahulu.” Adeeb segera mengangkat tangan. Aduh, disuruh mengambil air sembahyang sahaja boleh jadi bergaduh.


“Sayalah ustazah. Asyik-asyik dia”. Aizami pula menyambung. Ternyata dia tidak berpuas hati dengan Adeeb.


“Baik, kamu berdua pergi dahulu. Nanti kita akan bergilir dengan yang lain pula. Edzuani dan Shaheera, kamu berdua pergi juga ambil air sembahyang.” Arah saya kepada dua orang lagi pelajar perempuan yang sedang duduk menyusun meja kecil berbentuk seperti rehal bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang bakal berlangsung.


Beberapa minit kemudian, Edzuani dan Shaheera segera kembali ke surau setelah mengambil air sembahyang di bilik wuduk. Namun bayang dua pelajar lelaki yang keluar mendahului mereka masih belum muncul. 


“Ustazah, diorang main simbah-simbah air. Siap jerit-jerit lagi. Kita orang pun dia orang baling dengan air.” Adu Edzuani lagi.


Saya diam. Hati sudah bergalau dua rasa. Rasa marah dan sabar bercampur. Namun amarah segera kendur sebaik minda mengingatkan, ‘Ingat teknik Nabi, tidak perlu marah-marah.’


“Fatihah dan Hidayah, kamu pula pergi ambil air sembahyang. Nanti kalau bertemu dengan Adeeb dan Aizami, beritahu ustazah kira sampai lima.” Tutur saya. Tidaklah saya bermaksud mahu mengugut dua pelajar lelaki tersebut, hanya saya memang suka membilang dengan suara yang kuat sekadar menampakkan ketegasan seorang guru di hadapan mereka. 


Tidak lama selepas dua pelajar perempuan tersebut meninggalkan surau, sayup-sayup dari jauh saya terdengar bunyi tapak kaki orang berlari. Memang ajaib, baru membilang mencapai angka tiga, Adeeb dan Aizami sudah kelihatan di muka pintu dengan wajah dan baju yang sedikit basah. Saya langsung meminta mereka mengambil Al-Quran beserta Iqra’ sebelum duduk di dalam bulatan tanpa berkata apa-apa. 


Menurut saya, sekiranya mereka dimarahi atau dileteri ia hanya akan membuang-buang masa. Perkara sudah berlaku dan saya juga tidak mahu mengajar dalam keadaan diri yang dibungkus emosi tidak tenang.


Setelah selesai semua pelajar mengambil wuduk, kelas dimulakan dengan salam kemudian diikuti dengan bacaan doa. Sebelum memulakan PdP, saya berkata kepada pelajar-pelajar, “Mulai hari ini ustazah akan melantik beberapa orang penolong guru untuk kelas Al-Quran kita.”


“Ha? Penolong guru?”

“Penolong guru itu apa ustazah?” Tanya Fikri yang nampak kebingungan.


“Penolong guru itu adalah satu jawatan yang hampir sama dengan ketua kelas, penolong kelas, pengawas dan lain-lain. Mereka yang dilantik menjadi penolong guru akan bertanggungjawab menjadi pembantu ustazah bagi tugas-tugas tertentu. Siapa yang menjadi penolong guru, akan membantu ustazah menjalankan tugas-tugas khas.” Penerangan saya nampaknya membantu menghilangkan kebingungan mereka.


“Saya nak ustazah!” Edzuani mula menawarkan diri.


“Eleh, kau! Tak payahlah. Macam bagus saja.” Amir dan Haikal mula menyakat Edzuani yang berbadan besar.


“Jangan risau, untuk jawatan penolong guru, ustazah yang akan pilih sendiri.”


“Edzuani, mulai hari ini kamu akan menjadi penolong guru laporan. Tugas kamu adalah memastikan semua rakan-rakan kamu mengambil wuduk dalam masa yang ustazah tetapkan. Kamu akan membantu ustazah melaporkan apa sahaja yang kawan-kawan kamu buat di bilik wuduk seperti hari ini. Kamu juga akan menyampaikan arahan ustazah kepada rakan-rakan kamu seperti yang kamu lakukan tadi. Boleh kamu jalankan tugas kamu ini setiap kali ada kelas j-QAF?”


“Boleh, ustazah. Saya pasti akan buat dengan baik. Lagipun saya suka.” Edzuani nampak gembira dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan jawatan penolong guru yang baru diamanahkan.


“Fiqri, kamu pula akan menjadi penolong guru kehadiran kelas. Tugas kamu adalah memastikan siapa rakan-rakan yang tidak hadir seterusnya melaporkan jumlah kehadiran kepada ustazah setiap kali kita ada kelas. Bagaimana Fiqri?” Tanya saya kepada Fiqri yang sudah mula tersengih-sengih.


“Okey!” Ringkas sahaja jawapannya. Senyumnya yang sudah sampai ke telinga jelas menampakkan dia sebenarnya gembira diberikan jawatan.


“Hidayah dan Shaheera, kamu berdua pula akan menjadi penolong guru peralatan kelas. Tugas kamu adalah memastikan Al-Quran, Iqra’ dan meja (rehal) disusun setiap kali kelas mahu bermula dan tamat.” 


Belum sempat saya bertanya, Shaheera dan Hidayah sudah serentak menjawab, “Baik, ustazah.”


“Ustazah juga akan melantik beberapa orang lagi penolong guru bacaan Iqra’ selepas ini. Kita akan baca Al-Quran dahulu. Sebaik tamat membaca Al-Quran nanti ustazah akan memilih dua orang penolong guru bacaan di kalangan kamu semua.” Saya menyambung lagi.


Setelah selesai membaca Al-Quran dengan cara BIG (Baca Ikut Guru), saya melantik Adeeb dan Aizami sebagai penolong guru bacaan Iqra’ pula.


Keesokan harinya, saya sungguh terkejut!


Apakah yang berlaku? Nantikan sambungan di dalam buku Mendorong Pelajar Dengan Teknik Nabi Muhammad yang bakal terbit tidak lama lagi. 

 Duduk di sebelah kiri Adeeb, penolong guru bacaan Iqra' menyemak bacaan bersama rakan-rakannya ketika sesi bacaan Al-Quran bersama guru.

Dari kanan, Edzuani penolong guru laporan. Di tengah Shaheera; penolong guru peralatan kelas.


Ustazah Siti Khadijah

Tuesday, September 9, 2014

Terdorong Dipuji, Guru Pula Diajak Berlumba Ke Kelas Mengaji

SELAIN mengajar subjek Bahasa Arab di sekolah, saya turut terlibat di dalam mengendalikan kelas Tasmik - kelas memperdengar bacaan Al-Quran bagi silibus program j-Qaf. Di sekolah kebangsaan tempat saya mengajar ini, biasanya di dalam menjalankan kelas Tasmik (bagi setiap satu kelas), ia akan dipandu oleh dua orang guru sebagai pemudahcara.

Namun bagi sesi tahun 2013 yang lalu, saya diamanahkan untuk mengendalikan dua kelas Tasmik seorang diri. Memandangkan sesi berlangsungnya kelas Tasmik hanyalah 30 minit, jumlah pelajar yang agak ramai ada ketikanya mengganggu kelancaran kelas. Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar adalah ponteng kelas dan datang lewat ke bilik j-QAF bagi menjalani sesi Tasmik.

            Situasi pelajar datang lewat ke kelas Tasmik bukanlah perkara baru. Ia adalah situasi yang sering dialami oleh guru-guru pemudahcara kelas Tasmik. Malah, saya pernah diberitahu oleh rakan guru yang lain, ada ketikanya pelajar menyorok di tempat tertentu kerana tidak mahu menghadiri kelas Tasmik.

Dalam situasi yang saya alami, apabila pelajar-pelajar datang lewat ke bilik j-QAF bagi menghadiri kelas Tasmik, saya tidak akan melakukan perkara-perkara berikut sebagaimana di dalam amalan lazim.

Ø  Saya tidak memarahi mereka. (SALAH)

Ø  Saya tidak mengkritik mereka. (SALAH)

Ø  Saya tidak menghukum mereka. (SALAH)

Ø  Saya tidak menasihati mereka. (SALAH)

Sebaliknya, saya mencari hari di mana mereka boleh datang awal atau datang tepat pada masanya. Sekiranya mereka datang awal atau datang tepat pada masanya, saya akan memuji perbuatan mereka dengan pujian yang menggunakan format pujian gaya nabi.

Dalam pujian gaya Nabi, ada empat elemen yang harus digunakan ketika mengucapkan skrip pujian. Elemen-elemen tersebut ialah;

1.      Cari sekurang-kurangnya satu kebaik yang dilakukan oleh pelajar.
2.      Mulakan skrip pujian dengan kata-kata yang menzahirkan emosi positif seperti, “Saya kagum…”, “Cikgu suka…”, “Ustazah gembira…”, “Ustaz seronok…”
3.      Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha, perbuatan atau kebaikan yang dilakukan bukan orangnya.
4.      Sebutkan impak daripada hasil kerja, usaha, perbuatan atau kebaikan yang dilakukan oleh pelajar di dalam skrip pujian yang bakal diungkapkan.

Ketika pelajar tahun 5 Dedikasi dan 5 Cemerlang datang awal atau datang tepat pada masanya, saya akan memuji mereka dengan ayat-ayat pujian yang mengikut format pujian gaya Nabi seperti di atas. Suatu hari sebelum saya sampai, beberapa orang pelajar sudah pun sampai awal dan selebihnya ramai yang datang awal tepat pada masanya.

Saya mengambil peluang ini bagi memuji para pelajar dengan berkata, “Sungguh ustazah kagum, pada hari ini ramai yang datang awal dan datang tepat pada masanya. Malahan ramai yang datang sebelum ustazah sampai. Apabila semua datang awal atau datang tepat pada masanya, kita dapat bersedia lebih awal dan pelajaran kita juga dapat berjalan lancar. Allah suka orang yang menepati masa.”

Para pelajar yang mendengar kata-kata saya tersipu-sipu senyum gembira. Keesokan harinya, jumlah kedatangan pelajar yang lewat sudah semakin berkurangan. Dari hari ke sehari, kedatangan pelajar ke kelas Tasmik tidak lagi menjadi masalah. Malahan para pelajar kelas Tasmik saya membuat permintaan supaya diadakan pertandingan sehingga hujung tahun, siapakan yang paling kerap datang awal ke kelas Tasmik; guru atau pelajar.

Kata mereka, "Ustazah, apa kata mulai esok kita lawan. Siapa yang akan sampai awal setiap kali ada kelas Tasmik. Ustazah atau kami yang akan menang?"

Saya turutkan kehendak mereka, keesokan harinya dan setiap kali tiba hari Rabu dan Khamis, kami akan berlumba siapakah yang akan tiba awal. Adakalanya saya menang, dan ada ketikanya mereka menang. Dengan perlumbaan ini, saya dan pelajar akan lebih memerhatikan waktu kelas Tasmik. Apa yang mengkagumkan, pelajar-pelajar ini sanggup meminta kebenaran keluar kelas 5 minit awal daripada guru sebelum waktu Tasmik bagi memastikan mereka dapat bersaing secara adil dengan saya. Hahaha.

Kami bersaing untuk tiba awal ke kelas Tasmik sehingga hujung tahun 2013. Pada penghujung tahun 2013, jumlah pertandingan kedatangan kami ke kelas Tasmik adalah seri. Kami sama-sama menang! Dengan aplikasi pujian gaya Nabi anak-anak didik bukan sahaja seronok menghadiri Tasmik, malah mereka turut fokus dalam membaca Al-Quran.

Tidak percaya? 
Lihat gambar-gambar di bawah.


Inilah sebahagian daripada pelajar-pelajar kelas Tasmik saya pada tahun 2013.

Ustazah Siti Khadijah (USK)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...