Showing posts with label Menaikkan Self-Esteem. Show all posts
Showing posts with label Menaikkan Self-Esteem. Show all posts

Tuesday, July 10, 2012

Mendorong Anak-anak Kecil - Episod 1

Saya pasti tersenyum mengenang peristiwa manis mendidik anak-anak kecil yang comel dan gigih belajar dalam entri kali ini. Dua minggu yang lalu, pihak pengurusan sekolah telah meminta supaya saya bertugas dua sesi bagi menggantikan beberapa orang guru yang berkursus dan bercuti.

Pengalaman mengaplikasi beberapa Teknik Nabi Muhammad kepada anak-anak kecil telah memudahkan P&P saya. Malah, respon dan reaksi pelajar menunjukkan mereka gembira belajar sepanjang kelas berlangsung.

“Cikgu baru..cikgu baru.” Beberapa orang pelajar bertubuh kecil molek di dalam kelas 2 Omar bersuara kuat memberitahu kawan-kawannya sebaik melihat saya berjalan menuju ke kelas mereka.

Pertama kali masuk ke dalam kelas tahap satu (2 Omar) pada hari itu, ramai pelajar yang kelihatan takut-takut dan ada juga yang mengantuk. Barangkali kerana waktu masih terlalu pagi membuatkan mereka mengantuk dan kelihatan kurang bersemangat mahu belajar.

P&P pagi hari itu dimulakan dengan Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka kepada pelajar-pelajar 2 Omar. Saya berdiri di hadapan para pelajar tanpa berkata sepatah perkataan. Dengan wajah yang tenang (tidak marah dan tidak juga suka) saya memerhatikan anak-anak kecil di hadapan yang cuba berdiri selama beberapa minit sebelum mereka memberi salam. Pada mulanya, ramai pelajar tidak berdiri tegak. Mereka hanya berdiri ala kadar dan ikut suka sahaja.

Saya tidak tegur perbuatan mereka. Sebaliknya, saya mendiamkan diri dan terus memerhatikan semua pelajar 2 Omar yang sedang berdiri di hadapan. Namun kali ini, wajah saya menunjukkan ekspresi tidak suka akan perbuatan mereka yang tidak berdiri dengan betul itu. Saya pandang wajah pelajar-pelajar 2 Omar seorang demi seorang tanpa sepatah kata. Seorang demi seorang yang pada mulanya tidak berdiri dengan betul mula berdiri tegak setelah melihat saya memerhatikan mereka agak lama.

Sebaik selesai mereka memberi salam dan membaca doa, saya menyuruh mereka duduk. Saya lihat ada beberapa orang pelajar masih menguap dan kelihatan tidak bersungguh mahu belajar. Lalu, saya cuba mengaplikasikan pula Teknik Soalan Akhlak Agar Semua Pelajar Dapat Angkat Tangan.

Dalam hadith ‘Abu Bakar Masuk Syurga’,  Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Di dalam hadith ini, prinsip yang diajarkan oleh Nabi Muhammad dalam mendorong orang yang ada bersama-sama beliau untuk membuat baik adalah dengan bertanyakan soalan-soalan akhlak.

Nabi Muhammad saw menggunakan banyak soalan akhlak/ soalan mudah agar semua orang dapat mengangkat tangan. Ini bertujuan supaya semua orang merasa diri mereka pandai. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong self-esteem (maruah) mereka meningkat. Dan apabila maruah seseorang meningkat, ia akan memudahkan proses mengubah tingkah laku berlaku.

Antara soalan akhlak/ soalan mudah yang ditanyakan Nabi Muhammad adalah:
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?”
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?”
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?"
  • “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”


Pada hujung sesi soal jawab itu, Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”

Dalam situasi kelas 2 Omar, saya menggunakan Teknik Nabi ini untuk menaikkan self-esteem pelajar-pelajar 2 Omar agar mereka terdorong dan suka belajar bersama saya. Saya telah bertanyakan soalan-soalan mudah untuk memancing para pelajar mengangkat tangan. Saya berkata,
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia mandi?”
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia gosok gigi?”
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia sarapan?
  • “Siapa pagi tadi sebelum pergi sekolah dia salam mak dan ayah?”
Semua soalan yang ditanya mendapat respon yang baik daripada pelajar-pelajar 2 Omar.
Mereka mengangkat tangan dan berkata, “Saya”
“Saya, cikgu”.
“Cikgu, saya”.

Setiap kali mereka mengangkat tangan, saya akan memuji, ‘Bagus’. Dan setiapkali perkataan ‘bagus’ diucapkan, pelajar-pelajar 2 Omar akan bersorak, “Yeay” sambil bertepuk tangan dengan riangnya.

Pada hujung soalan-soalan itu, saya berkata, “Bagus, siapa yang buat semua perkara yang ustazah tanya tadi, Allah pasti akan memberikan dia kesihatan yang sempurna, dan dia juga akan menjadi pelajar yang berakhlak mulia.”

Sayangnya, kata-kata terakhir saya tidak mendapat respon daripada pelajar-pelajar 2 Omar seperti ketika mengajukan soalan-soalan akhlak sebelum ini. Pelajar-pelajar  2 Omar kelihatan bingung dan memandang saya dengan wajah yang berisi tanda tanya. Saya agak hairan pada mulanya. Namun segera tersedar bahawa bahasa saya agak kurang sesuai digunakan ketika berkomunikasi bersama anak-anak kecil. Manalah mereka faham apabila kita bercakap menggunakan perkataan orang dewasa dan perkataan yang menggunakan imbuhan. Hehe =).

Lalu saya segera menukar ayat penghujung soalan-soalan tadi dengan ayat yang lebih mudah difahami mereka dengan berkata, “Bagus, siapa yang gosok gigi, mandi dan sarapan pagi Allah akan sihatkan tubuh badan dia. Dia susah nak dapat sakit, kalau sakit pun dia akan cepat sihat sebab dia selalu mandi, gosok gigi dan sarapan pagi. Siapa yang salam mak ayah dia sebelum pergi sekolah pula, dia akan jadi anak yang baik sebab apabila kita salam tangan mak dan ayah, Allah akan bagi pahala untuk kita mudah masuk syurga.”

Barulah pelajar 2 Omar tersenyum dan mereka sekali lagi bersorak, “Yeay.”
Ada juga pelajar yang berkata, “Cikgu, saya nak badan sihat, saya selalu mandi dan gosok gigi hari-hari.”
“Cikgu, saya hari-hari salam mak dan ayah saya.” =)

Setelah itu, saya melanjutkan P&P Hafazan di dalam kelas 2 Omar. Pelajar-pelajar sudah tidak kelihatan mengantuk atau tidak bersemangat lagi. Malah, ketika saya mengajukan soalan, “Siapa mahu pinjamkan ustazah buku teks Hafazan?” mereka berebut-rebut menjawab ‘saya’ sambil menghulurkan buku teks Hafazan ke arah saya.

Saya mengambil buku yang dihulurkan oleh seorang pelajar lelaki berhampiran dengan kedudukan di meja guru. Sebaik buku teks tersebut bertukar tangan, saya memuji pelajar tersebut menggunakan Format Pujian Nabi (Puji hasil kerja + Nyatakan impak). Teknik Format Pujian ini berdasarkan hadith Pintu Langit Terbuka.

Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Antara ciri-ciri pujian Nabi Muhammad ialah:
  1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya. 
  2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
  3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.
Saya memuji pelajar lelaki yang meminjamkan buku teks tersebut dengan berkata, “Ustazah suka kamu sudi pinjamkan buku kepada ustazah. Kamu telah bantu mudahkan ustazah mengajar. Pasti Allah akan mudahkan pula kamu belajar selepas ini.”

Format pujian Teknik Nabi;
1. Puji hasil kerja:
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“Ustazah suka kamu sudi pinjamkan buku kepada ustazah.”

2. Nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji:
“Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.”
“Kamu telah bantu mudahkan ustazah mengajar. Pasti Allah akan mudahkan pula kamu belajar selepas ini.”

Pelajar tersebut tersenyum bangga mendengar pujian saya. Sementara beberapa orang pelajar yang lain pula ada yang berkata, “Cikgu, tadi saya pun bagi buku juga. Tapi cikgu tak ambil buku saya.”
“Cikgu, nanti ambil buku saya pula tau.”

Saya senyum. Nampaknya pujian yang diberikan secara terbuka kepada pelajar lelaki yang meminjamkan buku tadi turut membuatkan pelajar-pelajar lain terdorong melakukan perkara yang sama.

Setelah itu, saya mula membaca surah Al-Kauthar ayat demi ayat. Pelajar-pelajar 2 Omar saya pinta mengikut setiap potongan ayat yang dibaca tersebut sebelum mereka menghafalnya. Kali pertama mereka membaca mengikut bacaan saya, terdapat banyak kesalahan Tajwid pada ayat-ayat yang dibaca. Namun saya tidak melakukan perkara-perkara di bawah ini ke atas pelajar-pelajar 2 Omar bagi menegur kesalahan mereka.

  • Saya tidak mengkritik bacaan pelajar-pelajar 2 Omar dengan berkata, “Salah! Salah! Cara kamu baca itu salah.” (Salah)
  • Saya tidak menyuruh mereka membetulkan cara mereka membaca ayat Al-Quran dengan berkata, “Bukan macam itu. Belajar cara baca ayat Al-Quran dengan betul.” (Salah)
  • Saya tidak menasihat-menasihat pelajar 2 Omar dengan berkata, “Bacalah betul-betul. Sesungguhnya ini adalah ayat Al-Quran. Kamu tidak boleh salah membaca. Berdosa kalau baca tidak betul tahu!” (Salah)
  • Saya tidak menunjukkan contoh orang-orang membaca Al-Quran dengan cara yang salah dengan berkata, “Jangan ikut orang ‘sekian-sekian’ baca Al-Quran. Bacaannya salah.” (Salah)
Sebaliknya saya cuba mengaplikasi Teknik Memberi Markah Dorongan berdasarkan hadith ‘Salam’ yang berbunyi; Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi


Pada bacaan yang terdapat banyak kesalahan Tajwid saya berkata, “Kamu dapat 10 markah.”
Pelajar-pelajar 2 Omar memandang saya kehairanan. Barangkali hairan dengan jumlah markah yang tiba-tiba diberikan oleh guru kepada mereka. Lalu mereka bertanya, “Cikgu, markah apa yang 10?”
“Markah bacaan surah Al-Kauthar kamu.” Jawab saya.
“Cikgu, markah paling banyak berapa?”
“30 markah.” Jawab saya pendek.
“Macam mana kalau kitorang nak dapat 30 markah?” Tanya pelajar-pelajar 2 Omar lagi.
“Dengar ustazah baca, kemudian ikut biar sama macam ustazah baca.” Jawab saya lagi.
“Ok, kitorang nak markah penuh.” Sambung beberapa orang pelajar pula.
“Baiklah, mari kita baca semula.” Ajak saya.

Pada bacaan kali kedua, pelajar-pelajar 2 Omar sudah mula membaca secara bertajwid. Namun kesalahannya sudah tidak sebanyak bacaan pada kali pertama. Saya memberikan markah kepada bacaan mereka dengan berkata, “20 markah.”
“Cikgu, kita ulang lagi. Kitorang nak 30 markah.”
Saya tersenyum. Sekali lagi, kami mengulang baca surah Al-Kauthar sehingga akhirnya pelajar-pelajar 2 Omar diberikan markah penuh. Saya akhirnya berkata, “Bagus. Kali ini ustazah beri 30 markah.”
“Yeay. Kitorang menang.”
“Yeay.”

Tidak lama selepas itu, barulah saya menyuruh mereka menghafal surah Al-Kauthar. Bagi memudahkan kerja-kerja menghafal anak-anak kecil yang comel itu, saya memberikan seorang rakan untuk dijadikan teman menghafal (sebenarnya ini Teknik Melantik Penolong Guru, namun bimbang mereka tidak faham kata-kata saya sekali lagi, saya hanya sebutkan ia sebagai 'kawan menghafal'). Mereka menurut tanpa membantah. Alhamdulillah, P&P hari itu lancar tanpa ada pelajar yang tidur atau bermain ketika P&P berlangsung.











Ustazah Siti Khadijah

Tuesday, March 6, 2012

Apabila Self-Esteem Meningkat, Menghafal Bukan Lagi Perkara Sukar


Sebelumnya saya memohon berbanyak kemaafan  kepada pengunjung dan pembaca yang tertunggu-tunggu entri terbaru blog ini. Daripada hari Jumaat lepas sehingga hari Isnin (semalam), saya amat sibuk menyiapkan soalan-soalan peperiksaan mata pelajaran Feqah dan Tauhid bagi pelajar tahun lima. Soalan yang sepatutnya disiapkan oleh pihak berwajib mengandungi banyak kesilapan. Syukur pada Allah, ada di kalangan guru tahun lima yang menyedarinya. Lalu kami (guru-guru tahun lima) mengambil inisiatif membuat kembali semua soalan setiap mata pelajaran.

Baiklah, untuk entri kali ini, saya akan berkongsi cerita mengenai kemajuan hafalan pelajar kelas 5 Ali.

8 Rabiul Akhir (01 Feb 2012) yang lalu saya masuk ke kelas 5 Ali mengajar mata pelajaran Hafazan. Memandangkan semua pelajar sekolah akan menduduki ujian prestasi awal tahun minggu depan, p&p untuk minggu ini lebih kepada mengulangkaji mata pelajaran setiap subjek. Setiap guru harus menghabiskan dua tajuk yang pertama di dalam buku teks bagi memastikan ujian yang bakal diduduki nanti dapat dijawab dengan baik oleh semua pelajar.

Oleh kerana kelas 5 Ali merupakan kelas yang terakhir dalam susunan kelas tahun lima (bermula daripada 5 Abu Bakar, 5 Omar, 5 Othman dan 5 Ali), menghabiskan satu tajuk seminggu  bagi setiap mata pelajaran adalah mustahil. Kalau pun berjaya dihabiskan, saya sangat yakin, apabila ditanyakan semula kepada pelajar 5 Ali, belum tentu mereka faham semua yang diajar. Begitulah juga dengan subjek Hafazan. Saya tidak meminta pelajar menghafalkan keseluruhan ayat Al-Insyiqaq dalam satu minggu.

Sebelum saya mengajar kelas 5 Ali, saya pernah bertanyakan guru sebelum ini yang mengajar subjek Hafazan bagi kelas 5 Ali mengenai aktiviti hafazan mereka. Menurut guru tersebut, pelajar 5 Ali mahu menghafal dua ayat pun sangat susah. Mereka yang dapat menghafal dua ayat juga masih merangkak-rangkak apabila ditasmik.

Situasi ini berubah selepas saya menggunakan teknik Nabi saw ke atas mereka. Sudah ramai pelajar 5 Ali yang dapat menyelesaikan hafalan ayat-ayat surah Al-Insyiqaq, dan kalau pun ada pelajar yang belum menyelesaikan hafazan surah Al-Insyiqaq, pasti dalam kepala mereka sudah ada berbelas-belas ayat yang dihafalnya.

Memandangkan mereka bakal menghadapi peperiksaan minggu hadapan (hari ini 03 Mac 2012 sebenarnya), saya amat khuatir kerana baru satu surah yang dihafal mereka. Sedangkan di dalam peperiksaan akan datang, mereka harus hafal sekurang-kurangnya dua surah.

Oleh kerana ramai pelajar 5 Ali yang telah dapat menghatamkan surah Al-Insyiqaq, hari ini saya bercadang mahu berpindah ke surah hafazan baru. Pelajar yang masih belum menyelesaikan hafazan sehingga ayat terakhir surah Al-Insyiqaq, saya letakkan di bawah pengawasan penolong guru Ustaz dan Ustazah Hafazan.

Petang ini, pelajar 5 Ali saya arahkan membuka buku teks Asas Tilawah Al-Quran halaman 25. Mereka saya berikan tugas baru menghafal surah Al-Zalzalah. Seperti biasa sebelum pelajar-pelajar menghafal, saya akan membaca surah tersebut secara tartil dan bertajwid terlebih dahulu di selang seli dengan bacaan pelajar secara beramai-ramai. Sesudah saya selesai membaca keseluruhan ayat daripada surah Al-Zalzalah, barulah pelajar-pelajar dibenarkan menghafal surah tersebut secara individu. Saya pula akan memantau pelajar-pelajar dengan berjalan dari satu meja ke satu meja.

Apa yang memeranjatkan, semua pelajar seakan memahami tanggungjawab mereka. Mereka mula mencari pasangan untuk saling memperdengar dan membetulkan bacaan hafazan mereka. Ada juga yang meminta saya menentukan pasangan menghafal mereka. Setelah membahagikan pelajar kepada beberapa pasangan, semua pelajar 5 Ali mula menghafal dengan pasangan masing-masing. Ada juga yang mengambil jalan menghafal sendiri.

Salahuddin Al-Ayubi merayu meminta keizinan saya mahu menghafal di celah almari berhampiran meja guru kerana tidak mahu terganggu dengan bacaan hafalan rakan-rakannya yang lain. Sementara Abang Ngah pula dengan selambanya membaringkan diri di bawah meja menghafal surah Al-Zalzalah. Boboi  dan Zack juga tanpa segan silu menuruti perlakuan Abang Ngah. Aduh, anak-anak saya ini ada-ada saja ragamnya. Saya tidak pula melarang mereka berbuat sedemikian kerana memang dalam penggunaan teknik Nabi, kami diajar supaya tidak memarahi pelajar. Saya akan fikirkan cara lain menegur mereka nanti. Manakala pelajar 5 Ali yang lain duduk menghafal bersama pasangan mereka.

Berlalu sahaja 15 minit tempoh menghafal mereka, saya datang daripada satu meja ke meja. Pada asalnya, saya sengaja mahu melihat berapa ayatkah yang dapat dihafal pelajar 5 Ali. Ini kerana, semasa proses menghafal surah Al-Insyiqaq tempohari, mereka hanya mampu menghafal lima ayat sahaja sehari (paling banyak).

Menurut perhitungan saya, tentu untuk surah baru ini tidak lari jauh seperti surah Al-Insyiqaq sebelum ini. Namun alangkah terperanjatnya saya apabila untuk cubaan menghafal kali pertama surah Al-Zalzalah, lebih sepuluh orang pelajar dapat menghafal keseluruhan ayat. Benarlah menurut teknik Nabi saw, apabila self-esteem (maruah) pelajar meningkat, menghafal bukan lagi satu kerja yang sukar.

Maha suci Allah, mari kita merakam selawat untuk Junjungan Nabi Muhammad saw yang telah menunjukkan teladan terbaik untuk umat baginda sejak berkurun lamanya. Allahumma solli wa sallim a’la saiyidina Muhammad. Allahu akbar!

Salahuddin Al-Ayubi menghafal di ceruk almari kerana tidak mahu terganggu dengan hafazan rakan-rakannya.

Abang Ngah dengan selambanya membaringkan diri di bawah meja

Zack mengikut jejak Abang Ngah

Boboi turut landing atas karpet, sabar sahajalah

Aqif menyemak bacaan Syafiq Iqram

Iman (penolong guru ustazah hafazan) bersama anak muridnya Nia dan Nini

Sue dan Pasangannya Nano. Maaf, gambar tidak jelas

Ecah dan pasangannya Nazatul

Kak Yong juga ustazah hafazan sedang menyemak bacaan anak muridnya Ea'ah dan Mimi

Ustazah Siti Khadijah

Saturday, March 3, 2012

Akhlak Terpuji Pelajar Corot Menyentuh Hati

05 & 06 Rabi’ul Akhir 1433 H (27 & 28 Feb 2012)

Barangkali kalian masih ingat akan entri yang bertajuk ‘Pelajar 5 Omar Tidak Tahu Membaca Dapat Menghafal Dengan Lancar’ yang pernah saya paparkan di blog sebelum ini (boleh baca di sini). Untuk entri kali ini, saya akan menceritakan  lagi kisah pelajar tersebut datang belajar mengeja dan membaca Jawi setelah terdorong dengan pujian sebelum ini di bilik guru.

Hadi nama pelajar tersebut. Seindah namanya yang membawa erti petunjuk, Hadi datang ke bilik guru (sudah masuk tiga kali) bukan seorang diri. Dia turut menarik sahabatnya yang seorang lagi bernama Ali, yang juga tidak tahu membaca Jawi. Katanya ketika kali pertama bertemu saya di meja guru, “Ustazah, Ali ini juga tidak tahu membaca Jawi. Boleh saya ajak dia belajar bersama?”

“Boleh, Hadi. Kamu memang  patut membantu Ali supaya dia pandai Jawi. Ustazah kagum dengan sikap kamu yang prihatin dengan kawan-kawan. Tentu Allah akan melimpahkan rahmat-Nya ke atas kamu, kerana kamu telah membantu Ali untuk pandai Jawi. Ustazah sangat yakin, kamu akan dapat membaca Jawi dengan baik dengan pertolongan Allah yang turun ke atas kamu. Kebaikan hati kamu mengajak Ali belajar jawi akan ditulis malaikat sebagai satu kebaikan untuk hari ini.”

Ali bersama Hadi ketika kali pertama belajar Jawi di bilik guru

Hadi tersenyum bahagia mendengar kata-kata saya. Senyumnya lebar, kalau diukur mungkin boleh sampai ke telinga. Kali pertama kehadirannya di bilik guru, dia kelihatan kekok. Apabila saya menyuruhnya membaca petikan teks Jawi di dalam buku tahun lima, dia masih kelihatan takut-takut. Suaranya begitu perlahan sekali. Permulaan bacaan juga dia mahu membaca bersama Ali.

“Boleh saya baca dengan Ali Ustazah?” Tanya Hadi kepada saya.
“Boleh, tetapi selepas Ustazah mendengar bacaan kamu dahulu ya?” Kelat wajahnya mendengar jawapan saya.


“Hadi, bukan Ustazah tidak mahu benarkan kamu membaca bersama Ali, tetapi Ustazah ingin mendengar bacaan kamu terlebih dahulu bagi memastikan tahap penguasaan Jawi kamu. Dengan itu, Ustazah akan mudah dan dapat membantu kamu." Hadi mengangguk. Dia memulakan bacaan perenggan pertama teks Jawi. Baru beberapa ayat dibaca, dia berhenti. Lama dia diam. Saya memandang wajahnya.


“Boleh baca lagi?”
“Tidak boleh, Ustazah. Saya tidak tahu macam mana nak baca.”
Saya senyum semanis mungkin. Tidak mengapa, kamu berhenti dahulu. Ustazah mahu dengar Ali pula yang baca.

Ali yang tersengeh-sengeh dari tadi memandang saya bertanya, “Saya kena baca seorang jugakah Ustazah?”

“Ya, silakan membacanya.”

Ali membaca laju sedikit daripada Hadi. Saya hairan, bagaimana Hadi boleh mengatakan Ali tidak tahu membaca, sedangkan bacaannya baik sekali (laju pula tu).

“Bagus, lajunya kamu baca.”

“Saya tulis apa yang Hadi baca tadi dalam tulisan Rumi. Itu yang boleh baca.” Jawabnya.
 
“Patutlah.” Senyum saya mendengar jawapan Ali.

“Baiklah, teruskan baca untuk ayat seterusnya.”

Ali cuba membaca untuk ayat berikutnya, tetapi tergagap-gagap. Akhirnya dia berhenti, diam juga seperti Hadi.

Saya menoleh buku Jawi Ali. Ayat seterusnya di dalam buku tersebut tidak mempunyai dwi tulisan seperti ayat sebelumnya. ‘Patutlah senyap.’ Saya senyum melindungi tawa yang hampir pecah.

“Boleh baca lagi?”
“Saya tak tahu Ustazah.” Ali menggeleng-geleng kepalanya.
“Baiklah. Boleh Ustazah tahu, apakah kamu boleh mengeja atau tidak?”
“Boleh.” Jawab Hadi dan Ali hampir serentak.

“Bagus, Ustazah suka kamu berdua boleh mengeja. Dengan mengeja, kamu akan pandai membaca Jawi.” Hadi dan Ali memandang saya dalam senyum-senyum yang tidak berapa nak nampak.

“Ustazah mahu Hadi dulu baca perenggan ini.”

Hadi mula membaca perengggan yang sama seperti sebelum ini. Sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti tadi, dia diam lagi.

Saya senyum memandang Hadi sambil berkata, “Baiklah, mari kita eja sama-sama perkataan ini.”

Hadi mula mengeja, ada ejaannya yang salah dieja dan bunyi. Saya membetulkan. Sebaik selesai sepatah perkataan, sepatah lagi hinggalah selesai perenggan pertama.

“Sekarang Ustazah nak kamu baca semula, boleh?” Hadi hanya mengangguk. Sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti (sebelum mengeja tadi), dia diam lagi. Kali ini dia mula mengeja sendiri. Sayangnya, ejaannya berlainan bunyi dengan ejaan ketika mengeja bersama saya. =)

Saya memikir-mikir, bagaimanakah cara pantas mereka dapat dibantu supaya boleh membaca Jawi. Syukur alhamdulillah, ketika itu juga saya teringat bagaimana tips yang pernah diajarkan seorang sahabat ketika bergelar mahasiswi dahulu.

Jika Hadi dan Ali tidak pandai Jawi, saya pula ketika berada di tahun pertama universiti tidak pandai Bahasa Arab. Melalui seorang sahabat yang ikhlas, saya dibimbing agar membaca buku-buku dan ayat-ayat Bahasa Arab berulangkali kali. Kemudian mencari makna perkataan yang tidak difahami di dalam kamus. Setelah bertemu makna yang dicari, beliau menasihati saya supaya menulis di atas atau bawah perkataan yang tidak difahami. Hal ini apabila dilakukan berulangkali (tulis makna), lama-kelamaan akan membuatkan kita memahami makna yang dicari.

Saya ubah sedikit tips yang pernah digunakan dahulu mengikut kesesuaian kanak-kanak seusia Hadi dan Ali. Akhirnya saya berkata, “Hadi, Ali, setiap kali kamu tidak boleh membaca satu-satu perkataan, kamu harus eja mengikut bunyi yang betul. Kemudian, gabungkan bunyi perkataan yang kamu eja tadi, barulah ia akan mempunyai makna yang lengkap. Apabila sudah tahu bunyi setiap perkataan yang dieja, kamu tuliskan dalam ejaan Rumi di sebelah atas atau bawah perkataan yang dieja tadi. Lama-kelamaan, kamu akan tahu dan dapat membaca Jawi dengan mudah.” Hadi dan Ali mengangguk kepala mendengar kata-kata saya.

 “Mari kita mula semula. Hadi baca semula dari ayat yang pertama.” Saya mengarahkan Hadi memulakan bacaan Jawi sekali lagi.

Melayan karenah pelajar memang memerlukan kesabaran yang tinggi.  Tambah-tambah apabila berhadapan dengan pelajar corot. Kalau tidak sabar, tentu saja akan terhambur kata-kata, “Kamu ini macam mana? Tadikan saya sudah ajar, tidak faham-faham lagi? Kamu buat apa masa saya mengajar? Tidur? Susah sangat nak faham.”

Bayangkanlah sekiranya saya tidak mengetahui teknik Nabi ini, dan menutur kata-kata tadi memarahi Hadi dan Ali. Tentu Hadi dan Ali tidak akan datang belajar lagi selepas ini. Nau’uzu billahi min zalik.

Berbalik semula kepada kisah Hadi dan Ali. Hadi membaca perenggan Jawi tersebut sekali lagi. Kali ini masih seperti tadi, sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti sebelum ini, dia mengeja lagi. Apabila ejaannya bunyi lain daripada yang sepatutnya, saya membetulkan sehingga tergabunglah bunyi-bunyi ejaan tersebut menjadi perkataan. Kali ini, Hadi mula menulis di buku teks Jawinya perkataan tersebut dalam tulisan rumi. Setiap kali dia mengeja dan menulis perkataan-perkataan yang dieja, saya memujinya.

“Bagus, Hadi. Ustazah suka sikap kamu yang mendengar arahan dengan baik. Apabila kamu ikut cakap Ustazah, menulis perkataan yang dieja seperti ini (sambil menunjuk perkataan yang ditulis di dalam buku teks Hadi), Ustazah yakin kamu akan dapat membaca Jawi tidak lama lagi. Kamu tentu akan dapat menjawab soalan UPKK dengan baik nanti.” Hadi tersenyum suka mendengar pujian saya.  Dia mengulang eja dan baca lagi ayat-ayat berikutnya hingga selesai satu perenggan.

Apabila saya mengarahkan dia membaca semula ayat-ayat di dalam perenggan yang telah dieja dan ditulis ejaan tersebut dalam tulisan rumi, dia dapat membaca dengan lancar sekali. Saya memuji lagi, “Bagus, Ustazah kagum dengan bacaan kamu, sudah semakin lancar. Ustazah yakin, kamu akan dapat membaca Jawi dan Bahasa Arab pula selepas ini." Selesai giliran Hadi, Ali pula disuruh membaca sambil mengeja bersama saya.

“Saya baca perenggan pertama ya Ustazah?”

“Kamu baca perenggan kedua.”

Ali menurut kata, tidak sampai tiga perkataan, dia berhenti. Saya ulangi lagi pesanan yang sama seperti mengajar Hadi tadi. Ali menurut seperti Hadi. Saya juga turut memuji Ali seperti pujian ke atas Hadi tadi. Kelas Jawi petang itu ditamatkan dengan bacaan perenggan terakhir Hadi bersama Ali. Mereka berjaya membaca keseluruhan petikan, syukur pada Allah. Peristiwa itu berlaku hampir tiga kali. Hadi dan Ali sentiasa bersama datang ke bilik guru belajar Jawi.

Hadi tidak hadir hari ini, Ali belajar Jawi sendiri

Tadi (01 Mac 2012), tidak seperti sebelum ini. Ali hadir belajar Jawi di bilik guru tidak seperti biasa bersama Hadi. Hari ini dia seorang diri. Datangnya awal daripada hari-hari belajar Jawi sebelum ini. Katanya ketika bertemu saya tadi, “Hari ini, Hadi tidak datang, Ustazah. Bolehkah saya belajar seorang diri?”
“Boleh, anakku. Tetapi kamu tidak pergi rehatkah? Awal kamu datang belajar hari ini.”

“Tidak, Ustazah. Saya memang biasa tidak pergi rehat apabila Hadi tiada.” Jawab Ali jujur sekali. 

Belum pun sempat saya melanjutkan pertanyaan, Ali menyambung lagi, “Biasanya saya temankan kawan saja rehat. Saya tidak ada duit nak makan.” Kelu lidah saya mendengar kata-kata Ali.

Inilah Hadi, pelajar yang memiliki akhlak terpuji

Fahamlah saya mengapa Ali sentiasa bersama Hadi, dan mengapa Hadi amat menginginkan Ali belajar Jawi bersamanya. Allah berikan budi pekerti luhur dalam diri pelajar corot yang bernama Hadi untuk Ali menumpang rezeki. Sungguh Hadi dan Ali adalah cerminan akhlak terpuji yang saya temui dalam mendorong pelajar corot menggunakan teknik Nabi.

Saya segera meraba beg tangan. Syukurlah ada satu bar coklat pemberian suami malam tadi. Lalu, saya berikan kepada Ali. Allah sahaja tahu betapa gembiranya Ali menerima coklat kacang Hazel Vochelle sebagai pengganti rezeki waktu rehatnya bersama Hadi. Saya tidak dapat menahan air mata. Ternyata dua pelajar corot yang belajar Jawi bersama saya ini, miliki keistimewaan luar biasa dalam menjalin persahabatan suci.

Allah berkati dirimu, wahai anakku! Terima kasih kerana mengajar gurumu ini indahnya akhlak yang mencontohi pekerti Nabi. (T_T)

Ustazah Siti Khadijah

Friday, February 24, 2012

Teknik Melantik Pelajar Menjadi 'Penolong Guru'



28 Rabiul Awal 1433 (21 Feb 2012)

Dalam kursus Mendorong Pelajar Kelas Corot yang pernah saya hadiri tidak berapa lama dahulu, terdapat satu teknik yang dapat membantu meringankan beban seorang guru. Dalam lembaran aktiviti ke 8 Mendorong Pelajar Kelas Corot, teknik ini disebut sebagai teknik Menaikkan Self-Esteem (maruah) pelajar. Klik di sini untuk masuk alumni.

Melalui teknik ini, seorang guru harus mewujudkan jawatan tertentu untuk beberapa orang pelajar bagi meringankan tugas atau beban yang sebelum ini menjadi tanggungjawabnya. Kebaikan teknik ini ialah ia dapat meringankan beban seorang guru, bahkan ia juga dapat mendorong pelajar yang dilantik sebagai ‘penolong guru’.

Saya telah berpeluang mempraktikkan teknik ini sebanyak dua kali. Kali pertama ketika menjadi Fasilitator dan penceramah di UTM, dan kali kedua, hari ini dalam kelas 5 Ali. Hasil daripada kedua-dua eksperimen yang dilakukan di UTM dan kelas 5 Ali, memberikan impak yang positif kepada saya dan pelajar.

Jawatan adalah sumber self-esteem yang sangat efektif. Apabila seorang pelajar dilantik memegang jawatan-jawatan tertentu di sekolah, secara tidak langsung self-esteem atau maruah pelajar akan cepat meningkat disebabkan jawatan tersebut. Contoh jawatan yang dapat diberikan kepada pelajar sebagai ‘penolong guru’ adalah seperti;
  1. Penolong Guru Matematik
  2. Penolong Guru Membaca dan sebagainya

Bagi setiap penolong guru, diberikan pula tiga orang anak murid kepadanya. Dia ditugaskan mengajar atau membimbing anak muridnya sehingga pandai di dalam bidang tugasnya sebagai penolong guru tersebut. Antara jawatan yang boleh dicipta oleh seorang guru untuk pelajar yang menjadi penolong guru adalah seperti:
  1. Ustaz/ Ustazah hafazan
  2. Ustaz/ Ustazah tajwid
  3. Ustaz jawi
  4. Cikgu sifir
  5. Cikgu ejaan
  6. Cikgu kebersihan dan lain-lain lagi

Hari ini, saya berpeluang menggunakan teknik ini sekali lagi ke atas pelajar kelas 5 Ali. Sewaktu matapelajaran Hafazan berlangsung, terdapat tiga orang pelajar kelas 5 Ali yang dapat menghafal keseluruhan ayat surah Al-Insyiqaq (25 ayat). Sebaik mereka mengkhatamkan bacaan hafazan surah ini di hadapan saya, saya telah melantik mereka sebagai penolong guru.

Jawatan mereka saya namakan sebagai Ustaz dan Ustazah Hafazan. Mereka bertanggungjawab memastikan dan menyemak bacaan hafazan anak murid mereka sehingga 15 ayat daripada surah Al-Insyiqaq. Ini akan membuatkan mereka terdorong dengan sendirinya untuk berusaha memastikan anak-anak murid mereka dapat menghafal sehingga 15 ayat tersebut.

Tiga pelajar tersebut adalah Awang Izzuddin Al-Qassam ( yang mahu dipanggil dengan nama Al-Fateh), Muhammad Aqif Hakimi (Aqif) dan Iman Fatini (Iman). Setiap seorang daripada mereka, saya berikan tiga orang anak murid.

Anak murid Al-Fateh ialah Edry Abdul Halim, Zack dan Angah 1. Manakala anak murid Aqif pula ialah Syafiq Iqram, Angah 2 dan Kimi. Sementara Iman pula, anak muridnya ialah Nini dan Nia. Selebihnya pelajar 5 Ali saya sendiri yang menyemak hafazan mereka.

Saya perhatikan, tiga pelajar yang dilantik ini dengan sendirinya menyedari tugas mereka. Mereka berusaha untuk memastikan anak-anak murid mereka menghafal sehingga ayat 15 daripada surah Al-Insyiqaq. Dan ini telah meringankan beban atau tugas saya sebagai seorang guru hafazan. Seringkali saya kesuntukan waktu untuk mentasmik semua pelajar setiap kali mata pelajaran Hafazan (Nota Editor : Tempoh masa satu matapelajaran setiap hari hanya 30 minit). Tetapi dengan teknik ini, masalah yang berlaku sebelum ini telah di dapat di atasi.

Melalui Al-Fateh, Aqif dan Iman, saya mendapat laporan tentang kemajuan hafazan pelajar-pelajar 5 Ali yang menjadi anak-anak murid mereka.
“Ustazah, mereka lagi dua ayat.”

“Ustazah, mereka sudah dapat hafal sehingga 15 ayat.”

Malah di dalam kelas 5 Ali, pelajar lain yang belum dapat menghafal sehingga ayat 25 juga terdorong menghafal kerana mahu jadi guru. =)

Kisah ini berlaku kepada pelajar yang bernama Fadhirul (Abang Ngah) dan Profesor Syahmi.

Sebelum saya melantik beberapa orang pelajar 5 Ali menjadi guru Hafazan, Abang Ngah tidak pernah datang kepada saya untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat hafazannya. Tetapi tadi, selepas saya mengumumkan tiga pelajar 5 Ali yang sudah menyelesaikan hafalan surah Insyiqaq dilantik menjadi guru Hafazan, dia datang ke meja guru untuk memperdengar ayat-ayat hafazannya.

Ketika beberapa orang pelajar 5 Ali (yang bukan anak murid ustaz/ Ustazah Hafazan) tidak juga datang menghafal kepada saya, Abang Ngah datang kepada saya dan berkata, “Ustazah, biar saya tolong. Saya nak jadi ustaz Hafazan juga.”

Saya tersenyum dan turut mengumumkan namanya sebagai guru hafazan bagi pelajar 5 Ali yang menghafal bawah dari ayat 10.

Selepas waktu rehat, saya masuk ke kelas 5 Ali untuk mengajar mata pelajaran Feqah. Sebelum pelajar memberi salam, saya perasan ada tiga orang pelajar tiada di dalam kelas. Selepas bertanyakan kepada pelajar yang ada di dalam kelas tentang keberadaan mereka, barulah terjawab yang rupanya mereka berada di kelas kosong di sebelah, sedang ditasmik oleh Abang Ngah. =)

Al-Fateh dilantik menjadi Ustaz Hafazan 5 Ali

Aqif juga dilantik menjadi ustaz Hafazan 5 Ali

Iman (duduk di tengah) juga dilantik menjadi guru Hafazan. Di sebelah kanan beliau, Nini (anak murid beliau) dan di sebelah kiri beliau, Nia (juga anak muridnya).

Abang Ngah menyelesaikan hafalannya kerana mahu jadi Ustaz Hafazan =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...