Thursday, March 15, 2012

Teguran Mengikut Cara Nabi Muhammad saw

Ini bukan entri hasil eksperimen penggunaan teknik Nabi Muhammad saw yang saya gunakan seperti biasa mendorong pelajar sebelum ini. Ini entri hasil pembacaan ulangkaji saya di blog Tim Hadith Psikologi yang mengkaji hadith-hadith Nabi Muhammad saw (boleh baca di sini)


Baru sekejap tadi saya mengulangkaji hadith-hadith di blog Tim Hadith Psikologi. Sebelum ini hanya membaca sepintas lalu. Tetapi tadi membaca dengan niat mahu lebih memahami dan mengaplikasi dalam hidup sehari-hari. Pembacaan terhenti pada hadith di bawah ini. Saya membacanya berulangkali. Semakin dibaca, semakin terasa kerdilnya diri. 






Benar, kadangkala kesilapan kita dalam menegur perbuatan buruk seseorang lebih kepada ruang terbuka seperti di Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya. Sedangkan Nabi Muhammad saw mengajar, teguran harus terus dinyatakan kepada si pelaku kesalahan, bukan diumumkan di ruang terbuka atau juga melalui perantaraan.



Saya merasakan, amat perlu analisis hadith ini dikongsi di blog ini. Sungguh saya tidak dapat menahan airmata ketika menuliskan entri ini. Barangkali, ini teguran Allah kepada saya. Moga dengan perkongsian ini akan membuatkan kita benar-benar mengerti mengapa sirah mengatakan 'Indahnya Akhlak Nabi saw'. Semoga juga, ia bermanfaat dan memberi kita peluang membetulkan kesalahan.

Gambar hiasan yang diambil dari internet

Asma binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang berada, waktu itu Asma memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah dan telapak tangannya. - catatan ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Abu Dawud.

1. Memakai pakaian yang diperbuat daripada kain nipis adalah kesalahan teknikal. Ia bukan kesalahan moral.

2. Asma adalah seorang perempuan yang baik akhlak atau moralnya. Hanya sahaja kain yang menjadi bahan bajunya itu nipis. Maka penyelesaiannya adalah dengan cara Nabi Muhammad memberitahu dia bahawa dia tidak boleh memakai pakaian yang nipis.

2. Hadith ini menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menegur perempuan yang memakai pakaian yang menampakkan aurat, yakni bahagian badannya yang perlu ditutup.

i. Nabi Muhammad menegur perempuan itu secara langsung, maknanya kata-kata teguran diucapkan terus kepada perempuan yang berkenaan sahaja. Kerana Asma yang memakai pakaian daripada kain nipis maka kepada Asma sahaja teguran itu diberikan.

ii. Teguran tidak boleh diucapkan secara tidak langsung, di mana perempuan lain yang melakukan kesalahan tetapi teguran itu diucapkan kepada perempuan-perempuan lain, umpamanya Asma yang memakai baju nipis tetapi Nabi Muhammad bercakap berkenaan baju nipis kepada Siti Aisyah, Fatimah, Habibah dan lain, bukan kepada Asma.

iii. Nabi Muhammad tidak mengirimkan teguran melalui orang perantaraan, ertinya disebabkan Asma yang melakukan kesalahan itu, maka Nabi Muhammad bercakap terus kepada Asma, bukannya menyuruh Aisyah supaya menyampaikan tegurannya kepada Asma.

iv. Teguran terhadap baju Asma itu tidak diucapkan oleh Nabi Muhammad di khalayak ramai secara umum, seperti dalam ceramah, dalam blog ataupun dalam Facebook.

v. Teguran Nabi Muhammad kepada Asma itu tidak diucapkan dalam bentuk sindiran. Contoh ayat-ayat sindiran:


* "Buat apa memakai baju, kalau kita dapat tengok bayangan tubuhnya." (SALAH)

* "Ada perempuan yang menutup aurat tetapi sebenarnya dia membalut auratnya." (SALAH)

* "Sesetengah perempuan memakai tudung tetapi jambulnya terjulur." (SALAH)

* "Bagi sesetengah perempuan, tudung adalah perhiasan yang diletakkan di kepalanya." (SALAH)



3. Kesalahan tidak menutupi aurat dengan sempurna adalah jenis kesalahan personal yang tidak dikenakan hukuman di dunia, kerana hukumannya adalah di akhirat. Ia seperti kesalahan-kesalahan mengumpat, membuang masa, tidak menepati janji dan lain-lain.

4. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada Asma adalah memberi pendidikan, ataupun istilahnya tarbiyah.

5. Apabila menegur baju Asma yang nipis, bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad semasa mendidik Asma adalah bahasa teknikal. ~Sumber asal blog Analisis Hadith Psikologi

"Wahai Allah, ampuni kami!" 

*Bercadang menulis entri lain, lain pula yang dipost. Tidak mengapalah, semoga ini memberi manfaat.

Ustazah Siti Khadijah

8 comments:

  1. diharap ustazah dpt terus menulis dan mengajar ttg cara2 memotivasi gaya Rasulullah. sy mahu menggunakannya kpd kontraktor2 dibawah penyeliaan sy. project delay sgt merugikan bila contractor2 ini rendah moralnya dan suka ikut kepala sendiri.

    keadah leadership stephen covey agak complex dan sy tidak mahir padanya.

    ReplyDelete
  2. Inshaallah, mohon doanya daripada tuan sentiasa. Saya cadangkan, tuan membaca blog tim psikologi hadith Nabi Muhammad saw ini. Ia lebih terperinci http://hadithpsikologi.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum ustzh..semoga ustzh d berikan kesihatan yg baik utk terus menulis motivasi ini melalui teknik psikologi Nabi Muhammad s.a.w..semoga ilmu ini dpt saya gunakn utk membimbing,membentuk n menjadi ejen perubhn kpd pelajar2 saya yg rata2nya terdiri drp kelas terkebelakang..insyaallah

    ReplyDelete
  4. Minta ustazah bg contoh2 ayat tarbiyah ......utk sy apply kpd pelajar sekolah agama....

    ReplyDelete
  5. salam...saya tersentuh dan insaf bila membaca blog ustazah...cuba untuk apply hari ni semasa mengajar kelas 4 corot...tp masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki...

    ReplyDelete
  6. Sangat setuju. Ustazah baru aebentar tadi saya ditegur kerana gambar selfie ternampak rambut oleh seorang muslimah lain - dgn cara yang sangat menjelik-kan.

    Katanya takut jerita seksaaan saya di kubur menganggu ketenteraman nya kelak.

    Nauzubillah. Moga ramai insan yang dpt berpeluang membaca tulisan ustazah dan perbaiki diri masing2. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah.jatuh cinta dgn blog ini dlm seminggu dua,apbila diperkenalkan oelh rakan sekuliah dlm kelas psikologi.selama ini saya tercari2 formula bgmn menjadi guru berkesan dan melahirkan pljr yg cemerlang.akhirnya apbila menjumpai blog ini,tidak lain dan bukan teknik yg saya cari selama ini ada pd Rasulullah saw. Terima kasih kpd team hadith psikologi krn usaha kalian mengesani ramai pendidik dan ibu bapa.saya berazam ingin memulakan sesi pembelajaran 2015 dgn teknik ini. Jazakillah khair kpd ustazah siti khadijah atas coretan cerita2 menarik utk panduan kami =)

    ReplyDelete
  8. Amat bermanfaat

    Pembentangan analisis yang baik berjaya melengkapkan kefahaman saya

    Jazakillahulhairan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...