Saturday, March 3, 2012

Akhlak Terpuji Pelajar Corot Menyentuh Hati

05 & 06 Rabi’ul Akhir 1433 H (27 & 28 Feb 2012)

Barangkali kalian masih ingat akan entri yang bertajuk ‘Pelajar 5 Omar Tidak Tahu Membaca Dapat Menghafal Dengan Lancar’ yang pernah saya paparkan di blog sebelum ini (boleh baca di sini). Untuk entri kali ini, saya akan menceritakan  lagi kisah pelajar tersebut datang belajar mengeja dan membaca Jawi setelah terdorong dengan pujian sebelum ini di bilik guru.

Hadi nama pelajar tersebut. Seindah namanya yang membawa erti petunjuk, Hadi datang ke bilik guru (sudah masuk tiga kali) bukan seorang diri. Dia turut menarik sahabatnya yang seorang lagi bernama Ali, yang juga tidak tahu membaca Jawi. Katanya ketika kali pertama bertemu saya di meja guru, “Ustazah, Ali ini juga tidak tahu membaca Jawi. Boleh saya ajak dia belajar bersama?”

“Boleh, Hadi. Kamu memang  patut membantu Ali supaya dia pandai Jawi. Ustazah kagum dengan sikap kamu yang prihatin dengan kawan-kawan. Tentu Allah akan melimpahkan rahmat-Nya ke atas kamu, kerana kamu telah membantu Ali untuk pandai Jawi. Ustazah sangat yakin, kamu akan dapat membaca Jawi dengan baik dengan pertolongan Allah yang turun ke atas kamu. Kebaikan hati kamu mengajak Ali belajar jawi akan ditulis malaikat sebagai satu kebaikan untuk hari ini.”

Ali bersama Hadi ketika kali pertama belajar Jawi di bilik guru

Hadi tersenyum bahagia mendengar kata-kata saya. Senyumnya lebar, kalau diukur mungkin boleh sampai ke telinga. Kali pertama kehadirannya di bilik guru, dia kelihatan kekok. Apabila saya menyuruhnya membaca petikan teks Jawi di dalam buku tahun lima, dia masih kelihatan takut-takut. Suaranya begitu perlahan sekali. Permulaan bacaan juga dia mahu membaca bersama Ali.

“Boleh saya baca dengan Ali Ustazah?” Tanya Hadi kepada saya.
“Boleh, tetapi selepas Ustazah mendengar bacaan kamu dahulu ya?” Kelat wajahnya mendengar jawapan saya.


“Hadi, bukan Ustazah tidak mahu benarkan kamu membaca bersama Ali, tetapi Ustazah ingin mendengar bacaan kamu terlebih dahulu bagi memastikan tahap penguasaan Jawi kamu. Dengan itu, Ustazah akan mudah dan dapat membantu kamu." Hadi mengangguk. Dia memulakan bacaan perenggan pertama teks Jawi. Baru beberapa ayat dibaca, dia berhenti. Lama dia diam. Saya memandang wajahnya.


“Boleh baca lagi?”
“Tidak boleh, Ustazah. Saya tidak tahu macam mana nak baca.”
Saya senyum semanis mungkin. Tidak mengapa, kamu berhenti dahulu. Ustazah mahu dengar Ali pula yang baca.

Ali yang tersengeh-sengeh dari tadi memandang saya bertanya, “Saya kena baca seorang jugakah Ustazah?”

“Ya, silakan membacanya.”

Ali membaca laju sedikit daripada Hadi. Saya hairan, bagaimana Hadi boleh mengatakan Ali tidak tahu membaca, sedangkan bacaannya baik sekali (laju pula tu).

“Bagus, lajunya kamu baca.”

“Saya tulis apa yang Hadi baca tadi dalam tulisan Rumi. Itu yang boleh baca.” Jawabnya.
 
“Patutlah.” Senyum saya mendengar jawapan Ali.

“Baiklah, teruskan baca untuk ayat seterusnya.”

Ali cuba membaca untuk ayat berikutnya, tetapi tergagap-gagap. Akhirnya dia berhenti, diam juga seperti Hadi.

Saya menoleh buku Jawi Ali. Ayat seterusnya di dalam buku tersebut tidak mempunyai dwi tulisan seperti ayat sebelumnya. ‘Patutlah senyap.’ Saya senyum melindungi tawa yang hampir pecah.

“Boleh baca lagi?”
“Saya tak tahu Ustazah.” Ali menggeleng-geleng kepalanya.
“Baiklah. Boleh Ustazah tahu, apakah kamu boleh mengeja atau tidak?”
“Boleh.” Jawab Hadi dan Ali hampir serentak.

“Bagus, Ustazah suka kamu berdua boleh mengeja. Dengan mengeja, kamu akan pandai membaca Jawi.” Hadi dan Ali memandang saya dalam senyum-senyum yang tidak berapa nak nampak.

“Ustazah mahu Hadi dulu baca perenggan ini.”

Hadi mula membaca perengggan yang sama seperti sebelum ini. Sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti tadi, dia diam lagi.

Saya senyum memandang Hadi sambil berkata, “Baiklah, mari kita eja sama-sama perkataan ini.”

Hadi mula mengeja, ada ejaannya yang salah dieja dan bunyi. Saya membetulkan. Sebaik selesai sepatah perkataan, sepatah lagi hinggalah selesai perenggan pertama.

“Sekarang Ustazah nak kamu baca semula, boleh?” Hadi hanya mengangguk. Sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti (sebelum mengeja tadi), dia diam lagi. Kali ini dia mula mengeja sendiri. Sayangnya, ejaannya berlainan bunyi dengan ejaan ketika mengeja bersama saya. =)

Saya memikir-mikir, bagaimanakah cara pantas mereka dapat dibantu supaya boleh membaca Jawi. Syukur alhamdulillah, ketika itu juga saya teringat bagaimana tips yang pernah diajarkan seorang sahabat ketika bergelar mahasiswi dahulu.

Jika Hadi dan Ali tidak pandai Jawi, saya pula ketika berada di tahun pertama universiti tidak pandai Bahasa Arab. Melalui seorang sahabat yang ikhlas, saya dibimbing agar membaca buku-buku dan ayat-ayat Bahasa Arab berulangkali kali. Kemudian mencari makna perkataan yang tidak difahami di dalam kamus. Setelah bertemu makna yang dicari, beliau menasihati saya supaya menulis di atas atau bawah perkataan yang tidak difahami. Hal ini apabila dilakukan berulangkali (tulis makna), lama-kelamaan akan membuatkan kita memahami makna yang dicari.

Saya ubah sedikit tips yang pernah digunakan dahulu mengikut kesesuaian kanak-kanak seusia Hadi dan Ali. Akhirnya saya berkata, “Hadi, Ali, setiap kali kamu tidak boleh membaca satu-satu perkataan, kamu harus eja mengikut bunyi yang betul. Kemudian, gabungkan bunyi perkataan yang kamu eja tadi, barulah ia akan mempunyai makna yang lengkap. Apabila sudah tahu bunyi setiap perkataan yang dieja, kamu tuliskan dalam ejaan Rumi di sebelah atas atau bawah perkataan yang dieja tadi. Lama-kelamaan, kamu akan tahu dan dapat membaca Jawi dengan mudah.” Hadi dan Ali mengangguk kepala mendengar kata-kata saya.

 “Mari kita mula semula. Hadi baca semula dari ayat yang pertama.” Saya mengarahkan Hadi memulakan bacaan Jawi sekali lagi.

Melayan karenah pelajar memang memerlukan kesabaran yang tinggi.  Tambah-tambah apabila berhadapan dengan pelajar corot. Kalau tidak sabar, tentu saja akan terhambur kata-kata, “Kamu ini macam mana? Tadikan saya sudah ajar, tidak faham-faham lagi? Kamu buat apa masa saya mengajar? Tidur? Susah sangat nak faham.”

Bayangkanlah sekiranya saya tidak mengetahui teknik Nabi ini, dan menutur kata-kata tadi memarahi Hadi dan Ali. Tentu Hadi dan Ali tidak akan datang belajar lagi selepas ini. Nau’uzu billahi min zalik.

Berbalik semula kepada kisah Hadi dan Ali. Hadi membaca perenggan Jawi tersebut sekali lagi. Kali ini masih seperti tadi, sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti sebelum ini, dia mengeja lagi. Apabila ejaannya bunyi lain daripada yang sepatutnya, saya membetulkan sehingga tergabunglah bunyi-bunyi ejaan tersebut menjadi perkataan. Kali ini, Hadi mula menulis di buku teks Jawinya perkataan tersebut dalam tulisan rumi. Setiap kali dia mengeja dan menulis perkataan-perkataan yang dieja, saya memujinya.

“Bagus, Hadi. Ustazah suka sikap kamu yang mendengar arahan dengan baik. Apabila kamu ikut cakap Ustazah, menulis perkataan yang dieja seperti ini (sambil menunjuk perkataan yang ditulis di dalam buku teks Hadi), Ustazah yakin kamu akan dapat membaca Jawi tidak lama lagi. Kamu tentu akan dapat menjawab soalan UPKK dengan baik nanti.” Hadi tersenyum suka mendengar pujian saya.  Dia mengulang eja dan baca lagi ayat-ayat berikutnya hingga selesai satu perenggan.

Apabila saya mengarahkan dia membaca semula ayat-ayat di dalam perenggan yang telah dieja dan ditulis ejaan tersebut dalam tulisan rumi, dia dapat membaca dengan lancar sekali. Saya memuji lagi, “Bagus, Ustazah kagum dengan bacaan kamu, sudah semakin lancar. Ustazah yakin, kamu akan dapat membaca Jawi dan Bahasa Arab pula selepas ini." Selesai giliran Hadi, Ali pula disuruh membaca sambil mengeja bersama saya.

“Saya baca perenggan pertama ya Ustazah?”

“Kamu baca perenggan kedua.”

Ali menurut kata, tidak sampai tiga perkataan, dia berhenti. Saya ulangi lagi pesanan yang sama seperti mengajar Hadi tadi. Ali menurut seperti Hadi. Saya juga turut memuji Ali seperti pujian ke atas Hadi tadi. Kelas Jawi petang itu ditamatkan dengan bacaan perenggan terakhir Hadi bersama Ali. Mereka berjaya membaca keseluruhan petikan, syukur pada Allah. Peristiwa itu berlaku hampir tiga kali. Hadi dan Ali sentiasa bersama datang ke bilik guru belajar Jawi.

Hadi tidak hadir hari ini, Ali belajar Jawi sendiri

Tadi (01 Mac 2012), tidak seperti sebelum ini. Ali hadir belajar Jawi di bilik guru tidak seperti biasa bersama Hadi. Hari ini dia seorang diri. Datangnya awal daripada hari-hari belajar Jawi sebelum ini. Katanya ketika bertemu saya tadi, “Hari ini, Hadi tidak datang, Ustazah. Bolehkah saya belajar seorang diri?”
“Boleh, anakku. Tetapi kamu tidak pergi rehatkah? Awal kamu datang belajar hari ini.”

“Tidak, Ustazah. Saya memang biasa tidak pergi rehat apabila Hadi tiada.” Jawab Ali jujur sekali. 

Belum pun sempat saya melanjutkan pertanyaan, Ali menyambung lagi, “Biasanya saya temankan kawan saja rehat. Saya tidak ada duit nak makan.” Kelu lidah saya mendengar kata-kata Ali.

Inilah Hadi, pelajar yang memiliki akhlak terpuji

Fahamlah saya mengapa Ali sentiasa bersama Hadi, dan mengapa Hadi amat menginginkan Ali belajar Jawi bersamanya. Allah berikan budi pekerti luhur dalam diri pelajar corot yang bernama Hadi untuk Ali menumpang rezeki. Sungguh Hadi dan Ali adalah cerminan akhlak terpuji yang saya temui dalam mendorong pelajar corot menggunakan teknik Nabi.

Saya segera meraba beg tangan. Syukurlah ada satu bar coklat pemberian suami malam tadi. Lalu, saya berikan kepada Ali. Allah sahaja tahu betapa gembiranya Ali menerima coklat kacang Hazel Vochelle sebagai pengganti rezeki waktu rehatnya bersama Hadi. Saya tidak dapat menahan air mata. Ternyata dua pelajar corot yang belajar Jawi bersama saya ini, miliki keistimewaan luar biasa dalam menjalin persahabatan suci.

Allah berkati dirimu, wahai anakku! Terima kasih kerana mengajar gurumu ini indahnya akhlak yang mencontohi pekerti Nabi. (T_T)

Ustazah Siti Khadijah

13 comments:

  1. Penutup post ini amat bermakna sekali. Allah mengganjari mereka kebaikan yang banyak atas kesungguhan mereka belajar.

    Insyaallah, setiap yang berusaha pasti berjaya. Antara pelajaran dan sikap, saya lebih tertarik membentuk sikap dahulu. Semoga kita istiqamah mencontohi rasulullah sebagai pendorong sikap yang berkesan

    ReplyDelete
  2. Allah~ alang, sedihnya kisah hadi dan ali ni.moga Allah merahmati mereka menjadi pemuda yang soleh untuk ummah kelak, jua merahmati alang dan keluarga..mesti seronok menjadi guru kan alang..Allahu yubarik fiki ya ukhti :)

    ReplyDelete
  3. Corot akademik bukan bermakna corot akhlak. Bergenang air mata membaca kisah Ali dan persahabatannya dengan Hadi.Sesungguhnya, apabila kita benar-benar 'mengenali' diri anak-anak didik kita ini, kita akan lebih memahami diri mereka dan akan terserlah kelebihan mereka! Subhanallah! Teknik Nabi Muhammad benar-benar memberikan impak yang luar biasa!

    ReplyDelete
  4. Sangat terkesan. Saya suka sekali belajar bersma anak- anak kerana seringkali ada sahaja perkara yang diajari kepada kita melalui mereka. Semoga ustazah siti khadijah terus diberi kemudahan membantu anak- anak ini dan diberi kelapangan masa untuk berkongsi dengan kami.

    ReplyDelete
  5. sebak,,,
    keren,,,
    terbaa-ek,,,,
    hebat,,!!!!

    ReplyDelete
  6. moga menjadi contoh guru guru yang lain yang sedang memperjuangkan kenaikan gaji... haha

    ReplyDelete
  7. Subhanallah saya amat tersentuh dengan kisah Ali dan Hadi ni...:'(

    ReplyDelete
  8. semoga anak didik ustazah dipermudahkan untuk trus menuntut ilmu....ameen...
    cdih plak baca cte ni...

    ReplyDelete
  9. Allahumma amin. Terima kasih kepada semua yang memberikan respon. Mohon doanya sentiasa.

    ReplyDelete
  10. TAhniah Ustazah!!!Amat mengagumi kegigihan ustazah dalam menerapkan akhlak rasulullah..semoga saya dapat mempelajari ilmu ini daripada ustazah dan aplikasikan kepada anak-anak saya!!!semoga allah membalas keikhlasan ustazah dalam mendidik. kalau saya duduk dekat ustazah for sure saya akan hantar anak2 saya belajar daripada ustazah!!!

    ReplyDelete
  11. Alhamdulillah, terima kasih. Allahuma amin..amin..amin.

    ReplyDelete
  12. Asalamualaikum ustazah
    Baru mula membaca blog ustazah. Insyaallah akan cuba praktik untuk melayan/mendidik anak.
    Dah menitik air mata pula baca entry ni.
    Tq.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...