Wednesday, April 18, 2012

Aplikasi Hadith Himar Kepada Pelajar Yang Meninggalkan Solat

Anak adalah aset ke syurga. Saya yakin dan amat pasti, semua pembaca sudah maklum akan perkara itu. Apabila anak-anak kecil dapat diasuh dengan baik agar menjaga solat lima waktu, urusan yang lain akan menjadi mudah. Namun cara kita mengajak, menyuruh atau menegur anak-anak yang tidak solat seringkali tidak kena cara dan bercanggah dengan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad saw dalam mendorong orang-orang corot. Ini akan menyebabkan anak-anak atau pelajar tidak berterusan (istiqamah) menunaikan solat. Malah, ada ketika mereka merasa seperti dipaksa-paksa pula.

Untuk entri kali ini, saya akan berkongsi pengalaman aplikasi Hadith Himar ke atas seorang pelajar 5 Ali yang sering meninggalkan solat. Sebelum entri ini dikisahkan dengan lebih lanjut, sukalah saya memberitahu, atas alasan melindungi aib pelajar, entri kali ini tidak akan ada gambar sebenar pelajar tersebut mahu pun identiti sebenar pelajar tersebut. Memadai dengan nama yang direka sendiri dan gambar yang tidak berkaitan dengan pelajar yang diceritakan.

Suatu hari ketika saya menyelesaikan tugasan menulis buku laporan RPH di bilik guru, seorang rakan guru memaklumkan, “Dijah, tadi mak Ana (bukan nama sebenar) telefon akak. Dia minta guru kelas anaknya tanya yang Ana sudah solat Zohor atau belum. Kata emaknya, dia selalu tidak solat. Tetapi apabila kita tanya, dia akan jawab sudah solat. Dijah tolong tanyakan si Ana itu nanti. Ana itu, kalau akak jumpa, memang akak cakap dan tegur. Sudah banyak kali akak cakap dan tegur dia. Akak selalu kata, “Kamu ini sudah besar. Tahu tak yang tidak solat itu berdosa. Bla..bla..bla (saya sudah tidak ingat apa ayatnya kerana saya memang tidak berminat dengan nasihat mahu pun kata-kata yang akhirnya bertukar menjadi ceramah atau leteran).”

Oh, iya kah. Baik, nanti saya akan cuba tegur Ana pula di dalam kelas.” Jawab saya pendek.

Sebagai guru kelas 5 Ali, apa sahaja perkara atau percakapan daripada guru-guru yang sampai ke telinga, akan saya simpan kemas dalam kepala. Sekiranya perkara buruk yang diceritakan, seperti perangai pelajar yang pelbagai ragam, akan saya perbetulkan perangai mereka dengan memberikan pujian kepada pelajar yang tidak melakukan kesalahan. Dengan cara ini, pelajar yang melakukan kesalahan akan sedar kesalahan yang dilakukan. (Teknik Puji + Sebutkan Impaknya + Teknik Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan).

Namun untuk kesalahan pelajar 5 Ali kali ini, ia adalah kesalahan yang memang mempunyai hukuman di dalam Islam. Ia kesalahan berat kerana berkait dengan hak Allah swt. Pelajar tersebut pula sudah baligh (cukup umur). Saya harus menegur dan membetulkan kesalahan yang dilakukan. Saya memikir-mikir, apakah teknik dan skrip ucapan yang bakal saya gunakan padanya nanti.

Apabila masuk ke kelas 5 Ali tengahari itu, pada mulanya saya menggunakan Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan (untuk mengetahui teknik ini secara terperinci, baca di sini). Skrip ucapan teknik yang digunakan pada hari itu tidak dapat saya ingat sepenuhnya kerana peristiwa mendorong pelajar tidak solat ini berlaku pada akhir bulan pertama saya berkhidmat di sekolah. Satu-satunya ayat yang masih saya ingat ketika menggunakan Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan (pada waktu itu) ialah, “Siapa yang solat Zohor dahulu sebelum datang sekolah?”

Setelah memastikan keempat-empat soalan saya dijawab pelajar 5 Ali (tiga lagi soalan, saya lupa), saya merangkum semua soalan yang diajukan dengan berkata, “Sesiapa yang mengangkat tangan tadi kerana melakukan perkara-perkara yang Ustazah sebutkan adalah calon penghuni syurga. Allah akan berkati kamu dengan memudahkan kamu belajar dan menerima pelajaran hari ini.”

Seterusnya saya menggunakan Teknik Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan pula. Saya melanjutkan penerangan mengenai solat dengan berkata, Dengan menunaikan solat, Allah akan beri kita ketenangan dan keberkatan. Bukan sahaja dalam kehidupan sehari-hari, tetapi juga dalam pelajaran yang sedang dipelajari. Kadangkala, kita bukan pelajar yang pandai. Belajar atau menghafal selalu rasa susah dan tersangkut-sangkut. Tetapi apabila dalam peperiksaan, kita dapat menjawab soalan yang kita sendiri kadang-kadang tidak tahu jawapannya. Markah ujian dan peperiksaan kita juga tinggi dan lulus. Padahal, bukan semua pelajaran dapat kita baca, hafal dan ulangkaji. Itulah sebenarnya ketenangan dan keberkatan yang Allah bagi pada kita kerana kita taat pada perintahnya dengan mengerjakan solat.”

Memandangkan pelajar tersebut turut mengangkat tangan ketika diajukan soalan sebentar tadi, saya tahu, dia telah menipu saya kerana baru tadi ibunya memberitahu yang dia tidak solat sebelum ke sekolah. Saya masih cuba mencari ayat-ayat yang berhikmah agar pelajar itu terpujuk menunaikan solat.

Kemudian, saya berkata, “Sekiranya kamu mahu pelajaran yang bakal kita mulakan sebentar lagi diberkati, solatlah dahulu.”

“Ustazah, saya belum solat Zohor. Saya nak pergi solat di surau, boleh?” Syukur, Ana datang menghampiri saya sambil berbisik memohon kebenaran menunaikan solat.

Ketika dia berkata begitu, saya segera memuji tindakannya di hadapan pelajar-pelajar lain. Tujuan pujian tersebut adalah untuk menaikkan self-esteem (maruah) nya. Selain itu, saya amat yakin yang pujian juga dapat membuatkan pelajar tersebut menunaikan solat dengan rela hati bukan dipaksa-paksa.

“Bagus. Ustazah suka sikap Ana yang mengakui kesalahan. Itu tandanya,  dia seorang palajar yang berani dan bersikap benar. Selepas menunaikan solat, Ustazah amat yakin yang pelajaran kamu hari ini akan menjadi mudah. Siapa yang mahu mencontohi kebaikan yang telah dilakukan Ana, silalah turun bersolat di surau.”

Dalam amalan lazim (biasa), apabila seorang anak atau pelajar tidak menunaikan solat, kita biasanya akan berkata seperti ini;

 “Kenapa tidak solat? Nak jadi apa? Nak masuk neraka?” (Salah)
“Orang yang tidak solat akan dimasukkan ke neraka. Kamu nak masuk neraka?" (Salah)
“Tadi emak kamu telefon beritahu yang kamu belum solat Zohor. Kamu sudah lebih sepuluh tahun, kenapa tak solat? Berdosa tahu!” (Salah)
“Mak dan ayah kamu tidak solatkah di rumah? Biasa orang yang malas solat ini, di rumah, mak dan ayah dia juga tidak solat. Mak dan ayah kamu tidak pernah solatkah?” (Salah)
“Sudah jam berapa ini, kamu tidak solat-solat lagi. Pergi solat sekarang!” (Salah)

Berbalik kepada pelajar 5 Ali. Tidak lama selepas kata-kata saya itu, beberapa orang pelajar 5 Ali yang lain turut meminta izin untuk turut menunaikan solat di surau sekolah. Alhamdulillah.

Bebarapa minggu selepas itu, saya tidak mendengar aduan daripada ibu Ana lagi. Setiap kali masuk ke kelas, Ana akan berkata kepada saya, “Ustazah, saya sudah solat Zohor. Tadi saya solat dengan pelajar 5 Omar yang nama sekian sekian.”
“Ustazah, saya sudah solat Zohor. Tadi saya mengaji sekali.”

Ketika mendengar dia berkata begitu, saya akan berkata, “Bagus, Ustazah kagum dan suka dengan perbuatan kamu. Ustazah sangat yakin, Allah pasti akan menyampaikan pahala kebaikan yang kamu lakukan kepada arwah ayahmu. Kita akan berkumpul bersama di dalam syurga Allah, inshaallah.”

Namun, pada satu hari yang lain, saya diberitahu lagi oleh guru yang sama bahawa ibu Ana mengadu anaknya kembali meninggalkan solat. Saya kembali memikir-mikirkan teknik yang dilakukan tempohari. Di mana silapnya.  Akhirnya saya yakin 100% yang saya salah kerana tidak mengekalkan pujian kepada Ana.

Dalam teknik Nabi Muhammad saw, pujian harus diberikan secara kerap. Puji..puji..dan terus memuji. Apabila pelajar kerap dipuji, self-esteem (maruah) pelajar akan meningkat naik dan tinggi. Ia sangat membantu pelajar untuk mudah mengikut cakap guru dan membetulkan kesilapan yang dilakukan tanpa disuruh-suruh. Memandangkan saya hanya memuji pada masa-masa tertentu, Ana masih belum terdorong sepenuhnya untuk menunaikan solat tanpa disuruh atau didorong.

Ketika masuk mengajar di kelas 5 Ali petang itu, sekali lagi saya tanyakan kepada pelajar ‘apakah mereka sudah solat Zohor atau belum’. Pada mulanya saya bertanya secara umum. Namun kemudiannya saya tanyakan kepada pelajar secara individu (ini bukan teknik Nabi, jangan ditiru). Sampai sahaja kepada giliran Ana, saya berkata, “Kamu sudah solat Zohor?”
“Sudah.” Jawab Ana.
“Betul kamu sudah solat Zohor? Ustazah mungkin tidak tahu betul atau tidak kamu sudah solat, tetapi Allah tahu, malaikat di kiri dan kanan kamu juga mencatat setiap perbuatan yang kamu lakukan.” (Ini ayat ugutan, Nabi tidak pernah mengugut orang corot. Jangan ditiru perangai guru corot ini) Sekali lagi saya ulang pertanyaan kepada Ana.
“Sudah. Eh, belum.” Jawab Ana sekali lagi.

“Bagi sesiapa yang masih belum solat, sekiranya kamu mahu pelajaran kita hari ini diberkati Allah, solatlah dahulu.” Saya masih mengekalkan struktur ayat yang sama seperti sebelum ini kepada semua pelajar 5 Ali. Ayat ini sebenarnya, saya tujukan kepada Ana. Tetapi untuk mengelakkan daripada dia merasakan yang saya sedang menyuruhnya, saya tuturkan untuk semua pelajar 5 Ali.

Alhamdulillah, sekali lagi Ana mengakui kesalahannya dan memohon kebenaran untuk solat Zohor di surau.

Petang itu (ketika waktu rehat), rakan Ana datang ke pejabat mengadu kepada saya yang Ana menangis diejek oleh rakan-rakan sekelasnya. Saya segera ke kelas melihat situasi yang berlaku. Memang Ana sedang menangis. Matanya merah. Sementara rakan yang mengejeknya pula dengan rela berkata kepada saya, “Saya yang salah Ustazah. Nah, ini tangan saya! Rotanlah saya.”

Saya mendiamkan diri. Rotan atau pukul bukan cara Nabi. Saya sama sekali tidak akan menggunakan cara itu. Segala puji bagi Allah, ketika itu juga saya teringat akan hadith Himar yang digunakan Nabi Muhammad saw dalam mendorong orang corot. Saya lantas berkata, “Jangan kutuk dia. Sesungguhnya demi Allah, Ustazah tahu dia amat mencintai Allah dan Rasulnya.”

Dalam satu hadith yang diriwayatkan, Umar bin Al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah ‘Himar’ yang bermakna ‘Si Keldal’. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad saw ketawa. Nabi Muhammad saw pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad saw atas kesalahan meminum arak, Nabi Muhammad pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu, seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad saw berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” ~Hadith Bab 4 : Himar, Draf Buku Manual Hadith Psikologi Nabi Muhammad saw.

Terdapat banyak prinsip yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith ini. Antaranya adalah;

Pertama: Hadith ini adalah hadith menyelamatkan maruah. Nabi Muhammad saw menunjukkan langkah estrem yang beliau sanggup ambil bagi mempertahankan maruah seorang penjenayah (minum arak adalah salah di sisi agama). Nabi Muhammad saw mempertahankan maruahnya, bukan perbuatan meminum arak yang dilakukan Abdullah (Himar). “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

Manakala dalam kes pelajar 5 Ali, saya mempertaruhkan nama saya sebagai guru dengan berkata; “Jangan kutuk dia. Sesungguhnya demi Allah, Ustazah tahu dia amat mencintai Allah dan Rasulnya.” Saya mempertahankan maruah Ana, bukan perbuatan Ana yang tidak solat.

Kedua: Hadith ini dapat digunakan bagi mendorong penjenayah mengubah tingkah lakunya yang buruk kepada yang baik.

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad saw secara tidak langsung telah mendorong si peminum arak untuk meninggalkan tabiat meminum arak. Dalam hadith di atas turut dinyatakan yang Abdullah atau nama jolokannya Himar (Si Keldai) adalah peminum arak tegar. Ini dibuktikan dengan ucapan orang yang mengutuknya, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.”

Perkataan Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Menunjukkan Abdullah adalah penjenayah tegar. Sebelum peristiwa hadith ini, dia sudah sering dibawa menemui Nabi saw. Kata-kata Nabi Muhammad saw, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” telah menyebabkan dia mengubah tabiat buruknya. Ini kerana, sekiranya dia masih kekal meminum arak, tentulah ada hadith lain yang menceritakan mengenainya selepas peristiwa dalam hadith ini.

Ketiga: Strategi motivasi yang digunakan oleh Nabi Muhammad saw bagi mendorong peminum arak itu adalah:
  • Strategi melindungi dan menyelamatkan maruah si pesalah
    Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan tidak mengizinkan orang mengutuk si pesalah. Apabila ada seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia..."

    Dalam kes pelajar corot yang melakukan kesalahan, lazimnya guru tidak melindungi maruah pelajar corot itu. Sebagai contoh, sekolah menghukum pelajar corot yang melakukan kesalahan secara terbuka di hadapan perhimpunan sehingga maruah pelajar itu jatuh dan dia mendapat malu.

    Di dalam kelas, apabila ada pelajar mengejek kawan mereka yang melakukan kesilapan, guru hendaklah melindungi maruah pelajar dengan menegah kawan-kawannya supaya jangan mengejeknya. Beritahu kepada kelas bahawa Nabi Muhammad tidak membenarkan kawan mengejek kawan.
  • Strategi menaikkan maruah si pesalah
    Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan memuji si pesalah itu. Beliau memuji "....kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” Di sini Nabi Muhammad secara terbuka memuji si pesalah yang sedang menjalani hukuman dengan memberitahu kepada orang ramai kelebihan pesalah itu. Malah Nabi Muhammad bersumpah dengan menyebut nama Allah, dan beliau mengaku apa yang dipujinya itu adalah benar.
Keempat: Nabi Muhammad saw menunjukkan jika ada sesiapa mengutuk orang lain di hadapan orang ramai, perbuatannya hendaklah ditegah. ~Kredit Blog Tim Hadith Psikologi.


Daripada hadith ini, saya belajar bahawa sekiranya kita ingin mengubah tingkah laku buruk seseorang (terutama perbuatan buruk yang mempunyai hukuman dan bersalahan dalam agama) dua perkara harus dilakukan. Pertama, Maruah pesalah harus dibela/ selamatkan maruahnya (bukan perbuatannya). Kedua, Naikkan self-esteem (maruah) nya (pujilah kebaikan yang ada pada dirinya).


Kembali kepada situasi di dalam kelas 5 Ali. Setelah saya berkata begitu, rakan sekelas Ana yang mengejeknya tadi memohon maaf kepada Ana tanpa disuruh. Tangisan Ana juga berhenti serta merta. Dia mula senyum mendengar kata-kata saya.


Semenjak kejadian hari tu (sebulan yang lalu) sehinggalah hari ini, saya tidak pernah lagi menerima aduan baik daripada guru mahu pun emak Ana yang mengadu anaknya meninggalkan solat. Malah, setiap kali bertemu saya, Ana akan memaklumkan yang dia sudah solat Zohor. Saya pula tidak pernah jemu memuji perbuatannya. Kadangkala, apabila pelajar diarahkan supaya solat Asar di rumah, Ana tetap meminta kebenaran saya untuk turun ke surau bagi menunaikan solat. Maha suci Allah, segalanya berlaku kerana aplikasi hadith Himar di atas. 


Paling tidak mungkin saya lupa, minggu lepas. Ketika saya kurang sihat dan menghabiskan masa rehat di perpustakaan.Ana datang ke perpustakaan bertanya, "Ustazah sudah makan?"
"Belum". Jawab saya.
"Ini, emak saya ada bagi bekal. Emak saya buat pisang goreng untuk ustazah." 

Allahu akbar! Tak terluah syukur dan gembira saya dengan kata-kata. (^_^)

Gambar hiasan. Ini pula pelajar 5 Ali yang sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya. Tanpa disuruh, mereka solat di dalam kelas biarpun hanya beralaskan kain sampin sekolah. Penjelasannya mengenainya boleh baca di sini









Ustazah Siti Khadijah

8 comments:

  1. panjang kisah tulisan ustazah kali ni.. namun terasa cepat pula habis bila membacanya..Tahniah..amat berkesan utk dilakukan bagi mendidik anak2 ni.. :)

    ReplyDelete
  2. Entah mengapa, air mata saya keluar apabila selesai membaca entri ini. Entri Ustazah ini amat bermakna dalam membantu saya menguruskan kehidupan seharian. Saya percaya orang lain juga begitu. Teruskan menulis Ustazah!

    ReplyDelete
  3. SubhanaAllah.. bergenang air mata saya membacanya... teruskan perkongsian... moga Ustazah sentiasa diberkati dan dimurahkan rezeki... Amin!

    ReplyDelete
  4. Puan menerangkan dengan sangat terperinci proses bagaimana puan mendorong perubahan tingkah laku Ana.

    Puan juga menerangkan dengan terperinci hadith yang puan gunakan sebagai alat mendorong Ana mengubah tingkah lakunya.

    Puan juga menerangkan maju-mundur proses perubahan tingkah laku Ana dan apa yang puan lakukan bagi meluruskan proses itu.

    Laporan puan ini betul-betul membuat saya macam sedang menonton reality show!

    ReplyDelete
  5. saya suka membaca kisah ustazah...sy juga rasa tersentuh dan spt handak menangis.teruskan usaha ustazah yg murni.sy juga akan kutip ilmu ini utk diaplikasikan di kelas.terima kasih dengan ilmu yg dikongsi ;)

    ReplyDelete
  6. sangat menarik.....saya akan gunakan untuk anak2 murid saya disini..menggunakan teknik yg siti ajarkan

    ashadi johari

    ReplyDelete
  7. masyaAllah...sebak sy baca artikel ustazah...insyaAllah akan diaplikasi dlm kelas saya kelak...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...