Untuk entri kali ini, saya masih menulis
laporan hasil aplikasi teknik Nabi Muhammad saw sekitar minggu penyediaan Hari
Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber sekolah. Mohon maaf agak lambat diupdate
kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan dan entri kali ini agak panjang.
Dua sahabat baik, Al-Fateh dan Salahuddin yang akan memanggil saya masuk kelas atau dewan. (Gambar tidak diambil pada hari kejadian)
Ini pula Sue dan Mimi yang sentiasa berlumba dan berebut dengan dua sahabat baik di atas menjemput saya masuk ke kelas =). (Gambar ini juga tidak diambil pada hari kejadian)
Baiklah, terus sahaja kepada tajuk asal entri.
Hari Jumaat (30.03.12) yang lalu adalah
kemuncak kesibukan bagi guru-guru sekolah tempat saya berkhidmat. Lantaran
kerana itu, banyak kelas yang tidak dimasuki guru kerana para guru sibuk bergotong-royong
membuat persediaan akhir menjelang Hari Usahawan dan Perasmian Pusat Sumber sekolah
keesokan hari.
Usai bacaan Yasin (rutin harian setiap Jumaat
bagi pelajar tahap 2) di dewan mini sekolah, para guru dan pelajar diarahkan
bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah, kelas dan menyediakan
bahan-bahan masakan / jualan untuk gerai masing-masing mengikut pembahagian
tugas yang telah ditetapkan.
Memandangkan kawasan sekolah kami hanyalah
bangunan-bangunan rumah kedai yang agak terhad kawasannya, aktiviti gotong-royong
pelajar cepat sahaja sudah. Manakala, para guru yang telah dibahagikan mengikut
tugas masing-masing, ada yang tidak dapat menyelesaikan tugas dalam masa yang
singkat. Ini menyebabkan tugas mengawal kelas terpaksa diserahkan kepada para
pengawas sekolah.
Saya juga pada asalnya mempunyai tugas yang
harus diselesaikan. Namun amat bersyukur, kerana tugas yang diberikan telah
saya lakukan secara beransur-ansur sejak awal minggu persediaan Hari Usahawan dan
Perasmian Pusat Sumber Sekolah lagi. Manakala untuk persediaan akhir menjelang
Hari Usahawan sekolah, saya memilih untuk menyelesaikan tugasan tersebut di
rumah.
Jujur sahaja, saya tidak sampai hati
meninggalkan pelajar 5 Ali sendiri. Kadangkala, kerana tugas-tugas penting, terpaksa
juga untuk tidak masuk kelas. Mereka (pelajar 5 Ali) akan datang berkali-kali
ke pejabat dan bilik guru menuntut supaya saya masuk kelas.
Pernah berlaku bila mana semua pelajar tahun
lima dikumpulkan di dalam dewan, dan saya tiada di dalam dewan kerana urusan penting
di pejabat, pelajar 5 Ali berulang alik ke pejabat mencari saya. Lebih daripada
lima kali Al-Fateh, Salahuddin, Mimi dan Sue turun naik tangga semata-mata mahu
gurunya turut berada di dalam dewan.
Apabila dimaklumkan yang saya sedang berusaha
menyelesaikan tugas penting, mereka kembali semula ke dewan. Namun tidak lama
selepas itu, mereka tetap juga datang lagi ke pejabat menunggu dengan sabarnya
sehinggalah urusan saya selesai dan akhirnya saya mengalah menuruti kehendak
mereka.
Dikumpulkan di dalam dewan sahaja mereka akan
datang memanggil dan menyuruh bersama mereka berulangkali, apalagi sekiranya mereka
dibiarkan sendiri di dalam kelas 5 Ali.
“Ustazah, lepas ini masuk kelas ya.”
“Ustazah, selepas ini masa ustazahkan?”
“Ustazah, selepas ini masuk kelaskan.”
Belum pun bubar sesi di dewan, sudah ramai
yang bertanya berulangkali. Tidak sampai hati membayangkan, situasi kelas 5 Ali
sekiranya dibiarkan tanpa pengawasan guru walau apa juga yang menjadi alasan
hari ini.
Sebaik selesai rutin membaca Yasin di dewan,
saya kembali ke kelas 5 Ali. Setelah bergotong-royong membersihkan kelas, saya
berhasrat menjalankan P&P hari ini secara santai. Tidak dapat menjalankan
P&P secara penuh, secara santai juga sudah memadai. Jadi, bagi mengisi
P&P untuk mata pelajaran Jawi hari ini, saya memberikan kelas 5 Ali latihan
membina Ayat Kehendak.
Sejak menggunakan teknik Nabi saw,
self-esteem (maruah) pelajar 5 Ali sudah banyak meningkat. Apabila saya
memberikan kerja atau latihan cepat sahaja mereka menurut dan membuatnya tanpa
banyak membantah. Meskipun kelas lain sibuk tidak belajar, hari ini mereka
tetap belajar. Ini impak yang amat besar dalam saya menggunakan teknik Nabi saw.
Ketika melihat pelajar 5 Ali membuka buku
atau mula menulis, saya akan memuji perbuatan mereka menggunakan teknik Nabi
Muhammad saw. (Puji perbuatan mereka + Sebutkan impaknya). Ini kerana, dalam mendorong orang corot
mengikut teknik Nabi Muhammad saw, pujian boleh diberikan sebelum dan selepas
tugas siap dikerjakan.
Sewaktu mereka berusaha menyiapkan kerja
latihan yang diberikan, Abang Ngah berkata kepada saya, “Ustazah, kelas depan
bisinglah. Saya tidak dapat tumpukan perhatian buat latihan.”
“Ha’ah, Ustazah. Diorang main dalam kelas. Tu
Ustazah, tengok tu!” Seorang lagi pelajar 5 Ali menyampuk.
Menyedari kebenaran kata-kata mereka, saya
mengintai kelas sebelah. Memang keadaan kelas di hadapan 5 Ali sangat tidak
terkawal. Ada pelajar yang mengerumuni tingkap sambil terjerit-jerit memanggil
orang di bawah (kelas 5 Ali dan kelas di hadapannya terletak di tingkat kedua),
ada pelajar bermain bebas di dalam kelas, ada pelajar bersembang serta bergurau
dengan suara yang kuat, dan pelbagai aktiviti bebas lain lagi. Kelas tersebut
sangat bising dan bingit.
Pada mulanya, saya hanya mengintai kelas
tahun empat tersebut sekali pandang. Tetapi kerana kelas tersebut terlalu bising
dan bingit sehingga menggangu P&P pelajar 5 Ali, saya mengambil tindakan
berdiri di hadapan kelas mereka.
Dengan menggunakan teknik Nabi; Teknik Menunjukkan
Ekspresi Muka, saya memandang pelajar-pelajar kelas tahun empat tersebut. Pada
mulanya, mereka tidak mengendahkan pandangan saya. Mereka terus sahaja
melakukan aktiviti bebas yang disukai tanpa mempedulikan saya yang sedang
berdiri di hadapan kelas dan memerhati mereka dengan memek muka yang kurang
senang. Namun, tidak lama selepas itu, seorang demi seorang mula kembali ke
tempat duduk masing-masing. Bagi pelajar yang sedang mengerumuni tingkap dan
terjerit-jerit memanggil orang di bawah, mereka tidak menyedari keberadaan saya
di hadapan kelas.
“Woi, ustazahlah!”
“Duduk tempat masing-masing. Ustazah
tengoklah, cepat duduk! Nanti Ustazah marah.”
Saya masih meneruskan teknik Menunjukkan
Eskpresi Muka tanpa sepatah pun perkataan keluar daripada mulut. Syukur, teknik
yang digunakan berjaya. Setelah semua pelajar tahun empat kelas tersebut duduk
di tempat masing-masing, saya menggunakan pula teknik Tidak Menegur kesalahan,
Tetapi Menerangkan.
“Abang-abang dan kakak-kakak kamu sedang belajar. Kelas kamu ini terlalu bising sehingga
mengganggu abang-abang dan kakak-kakak kamu yang sedang membuat latihan di
sebelah. Ustazah mahu, kamu duduk dalam keadaan baik seperti ini sehingga
abang-abang dan kakak-kakak kamu selesai membuat latihan. Boleh beri kerjasama
dengan Ustazah? Sekejap sahaja, boleh?”
“Boleh.” Jawab mereka hampir serentak.
“Bagus, ustazah suka jawapan kamu.”
Setelah itu, saya kembali ke dalam kelas 5 Ali meneruskan
sesi P&P yang tergendala sebentar tadi. Buku-buku tulis pelajar yang telah
siap disalin latihan yang diberikan, saya kutip dan kumpulkan di atas meja
guru.
“Ustazah, sekarang kita mahu buat apa?” Tanya
beberapa orang pelajar 5 Ali.
“Kita pergi perpustakaanlah Ustazah. Kami nak
tengok wayang.” Sampuk seorang pelajar 5 Ali yang lain.
“Hari ini tiada tayangan di perpustakaan
kerana perpustakaan sedang dikemas untuk majlis Perasmian Pusat Sumber esok.”
Jawab saya pula.
“Ala, boringlah Ustazah.”
Ketika itu, kelas tahun empat yang saya
tinggalkan sebentar tadi sudah terdengar bising kembali. Saya lalu bangun dan
sekali lagi berdiri di hadapan kelas mereka menggunakan teknik Menunjukkan
Ekspresi Muka kepada mereka. Mereka segera senyap, tiada seorang pun yang
berganjak daripada tempat duduk.
“Sekarang masa ustazah siapa?” Tanya saya.
“Ustazah (maaf, saya tidak dapat menyebutkan namanya).”
“Sudah cuba panggil Ustazah kamu?”
“Sudah. Tapi kami tidak tahu Ustazah berada
di mana.”
“Baiklah, sekarang Ustazah mahu kamu semua
masuk kelas 5 Ali.” Saya memberi arahan.
Mereka semua bangun daripada tempat duduk masing-masing dan
berjalan masuk ke kelas 5 Ali.
“Penuhkan kerusi yang kosong. Yang lelaki
duduk bersama pelajar lelaki, manakala yang perempuan, duduk bersama pelajar
perempuan.” Saya melanjutkan arahan.
“Sekiranya tidak muat, boleh ambil kerusi
daripada kelas masing-masing bawa masuk untuk duduk.”
Sesudah semua pelajar duduk dalam keadaan
yang selesa dan senyap (termasuk pelajar 5 Ali), saya berkata, “Apakah pilihan
kamu sekiranya ustazah beri kamu pilihan memilih di antara membaca buku-buku cerita
daripada perpustakaan di dalam kelas dengan menonton cerita di dalam kelas?
Yang mana satu kamu mahu?”
“Tengok cerita.” Hampir sebulat suara jawapan
itu terlantun.
Saya senyum. “Baiklah, kita akan menonton
satu cerita yang penuh dengan pengajaran sekejap lagi.”
“Yeay!” Mereka bersorak dan bertepuk tangan.
“Baiklah, sekiranya betul kamu mahu menonton
cerita. Ustazah minta kamu duduk dalam keadaan yang beradab.” Sambung saya
lagi.
Saya meminta tolong Al-Fateh dan Abang Ngah ke pejabat mengambil laptop
kepunyaan saya dan speaker. Manakala Ea’ah dan Kak Yong saya minta pinjamkan
tikar juga daripada pejabat sekolah.
Sementara menanti kedatangan mereka berempat,
saya telah menggunakan satu lagi teknik Nabi Muhammad saw iaitu Teknik Memberi
Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan.
Dalam satu hadith yang berbunyi; “Abu
Hurairah r.a melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad saw pernah
bertanya, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari
ini?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara
saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar r.a
menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara
sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar r.a menjawab,
“Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah
antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar
r.a menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad saw berkata, “Seseorang yang melakukan
perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” ~Lembaran Aktiviti 5,
Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat
Tangan.
Dalam hadith ini, terdapat beberapa prinsip
diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang harus difahami. Antaranya;
- Nabi Muhammad saw menggunakan banyak soalan mudah supaya semua orang dapat mengangkat tangan. Ini bertujuan supaya semua orang merasa diri mereka pandai. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong self-esteem (maruah) mereka meningkat. Dan apabila maruah seseorang meningkat, ia akan memudahkan proses mengubah tingkahlaku berlaku.
Dalam amalan lazim, biasanya guru hanya
bertanyakan soalan-soalan yang tidak ramai pelajar dapat mengangkat tangan
seperti;
“Siapa sudah hafal formula matematik yang ini
dan itu?” (Salah)
“Siapa tahu jawapan soalan berkaitan imbuhan
ini..ini?” (Salah)
“Siapa boleh jawab soalan saya tentang
pelajaran hari ini?” (Salah)
“Siapa tahu makna perkataan ini?” (Salah)
Soalan-soalan di atas ini betul, tetapi
caranya salah dan bertentangan dengan cara yang diajar oleh Nabi saw. Sekiranya
soalan ini ditanyakan kepada pelajar cemerlang atau pandai, mungkin mereka dapat menjawabnya. Tetapi apabila ia ditanyakan kepada pelajar corot, tidak semua pelajar akan dapat mengangkat tangan. Ini akan membuatkan self-esteem
(maruah) mereka jatuh dan rendah. Malah, mereka tidak akan terdorong untuk
belajar.
Dalam situasi dua kelas yang telah
digabungkan, saya mengaplikasi teknik ini dengan berkata;
“Siapa antara kamu semua yang sebelum datang
ke sekolah dia salam dengan ibubapa?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua yang mandi pagi
sebelum datang ke sekolah?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua sebelum datang
sekolah, dia solat Zohor?” (Betul)
“Siapa antara kamu semua yang makan tengahari
dahulu sebelum datang sekolah?” (Betul)
Alhamdulillah, setiap soalan saya ramai
pelajar yang mengangkat tangan dan menjawab, “Saya.”
“Saya, Ustazah.”
“Saya.”
Selesai bertanya keempat-empat soalan, saya
berkata; “Sesiapa yang mengangkat tangan tadi kerana melakukan perkara-perkara
yang Ustazah sebutkan adalah calon penghuni syurga. Kita akan berkumpul dalam
syurga Allah bersama-sama seperti mana kita berkumpul pada hari ini.”
Pelajar kedua-dua kelas tersenyum dan tersengih-sengih mendengar kata-kata saya.
Sebenarnya, dalam hadith yang disebutkan di atas,
terdapat satu lagi prinsip yang diajarkan Nabi Muhammad saw.
Prinsip tersebut adalah,
Prinsip tersebut adalah,
- Nabi Muhammad saw tidak berkata, “Abu Bakar sudah tentu masuk syurga.” Tetapi Nabi Muhammad saw berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”
Perkataan ‘Seseorang’ dalam hadith ini membawa maksud
‘sesiapa’, tidak spesifik kepada orang tertentu sahaja. Kerana itu, hadith ini
adalah hadith mendorong sesiapa sahaja dengan menggunakan pertanyaan-pertanyaan yang mudah.
Berbalik kepada pelajar yang telah
digabungkan dengan kelas 5 Ali, mereka begitu gembira sekali mendengar kata-kata saya. Malah,
ada beberapa orang pelajar meminta izin menunaikan solat Zohor di surau selepas itu kerana
tadi sebelum datang sekolah mereka tidak solat. Ini membuktikan self-esteem
mereka telah naik. Tanpa perlu saya marah, tegur atau kritik, mereka menyedari
kesilapan mereka. Alhamdulillah.
Sebaik Al-Fateh, Abang Ngah, Ea’ah dan Kak
Yong tiba membawa laptop, speaker dan tikar, saya memasang filem Hafalan Shalat
Delisa untuk tontonan mereka (Sebenarnya, kami bermain satu permainan sebelum menonton filem. Tetapi saya tidak dapat menuliskan mengenainya kerana entri ini sudah terlalu panjang). Saya arahkan Penolong-penolong Guru kelas 5 Ali dan tahun empat mengawal kelas apabila saya terpaksa berulang-alik ke pejabat.
Sangat
bersyukur, teknik ini juga berjaya. Mohon maaf kerana tidak dapat menerangkan
secara terperinci teknik Nabi yang ini. Inshaallah, dalam entri akan datang
akan saya kongsikan secara terperinci. Salam sayang Allah, cinta Nabi. Semoga entri
kali ini bermanfaat.
Menonton filem Hafalan Shalat Delisa
Khusyuk!
Tidak dapat menonton wayang menggunakan LCD perpustakaan, guna laptop pun jadi.
Antara Penolong Guru yang mengawal kelas ketika ketiadaan saya. Dari kiri, Penolong Guru tahun empat (saya lupa namanya) dan Abang Ngah.
Ini pula, Al-Fateh yang suka mengambil foto-foto untuk entri saya bersama dua Penolong Guru tahun empat.
*Tidak semua gambar dalam entri yang diceritakan dapat saya snap kerana terlalu sibuk. Gambar-gambar yang ada ini, hasil kerja Al-Fateh dan Abang Ngah. Lihat di tangan Al-Fateh ada sarung kamera saya. Hehe.
Ustazah Siti Khadijah
Saya suka dan kagum dengan usaha Ustazah berkongsi aplikasi Teknik Mendorong Nabi Muhammad. Penerangan Ustazah jelas . Ustazah juga menerangkan cara ustazah mengaplikasikan teknik dalam P&P dan ustazah memberi maklumat tentang teknik Nabi yang digunakan. Skrip kata-kata yang ustazah gunakan mudah dicontohi. 30 markah untuk ustazah!
ReplyDeleteLaporan puan sangat lancar dibaca. Disebabkan pembacaan begitu lancar, saya jadi khusyuk membaca, sehingga setiap ayat saya baca satu persatu.
ReplyDeletePuan terangkan langkah-demi-langkah bagaimana puan memilih Teknik Nabi dan seterusnya bagaimana puan aplikasikan teknik itu, dan kesan ke atas perubahan tingkah laku murid.
Puan mahir menggunakan lebih daripada satu Teknik Nabi dalam satu sesi kelas. Ini adalah kompetensi yang tinggi. 30 markah!
Episod puan menggabungkan 2 kelas menjadi satu dan penggunaan Teknik Nabi bagi mengawal tingkah laku negatif sangat meyakinkan.
Laporan tentang murid berulang-alik dari dewan mencari puan menjadi bukti bagaimana mereka sangat menyukai kehadiran puan, dan suka sentiasa berada bersama-sama puan. Begitulah juga tingkah laku para sahabat Rasulullah, mereka resah gelisah apabila baginda tidak bersama mereka....
Puan Khairuaniza, Wah, saya dapat markah penuh! Suka sekali membaca komen Puan. Ia membuatkan saya tidak sabar mahu menulis entri baru lagi. Hehehe.
ReplyDeletePuan Ainon Mohd., Wah, saya dapat markah penuh sekali lagi! Alhamdulillah, terima kasih Puan. Entri kali ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana banyak penggunaan teknik memerlukan perincian sebelum dipublish bagi bacaan umum. Saya menerima banyak respon daripada pembaca agar teknik yang digunakan diperincikan dengan lebih mendalam untuk mereka belajar dan contohi. Jujur, saya sendiri teruja apabila sudah mampu mengaplikasi banyak teknik dalam satu masa. Sungguh teknik ini benar-benar mukjizat, kerana ia bukan sahaja mendorong dan membantu pelajar corot berubah, tetapi juga pembaca berkeinginan belajar dan gurunya untuk lebih gigih berusaha mengaplikasi dan berkongsi yang terbaik orang lain juga. Saya suka membaca respon puan kerana puan selalunya menyedari apa yang tidak sedar.
Assalamualaikum...
ReplyDeleteJazakillah Puan/ Ustazah Khadijah atas perkongsian berguna ini. Jika di Mesir dahulu Ustazah menghadiri tutorial saya, kini saya lebih perlu menghadiri 'tutorial' Ustazah di sini. Banyak lagi yang wajib saya tahu.
terima kasih atas perkongsian yang sangat menarik ini....
ReplyDeleteUs Salmanfasiri dan Cikpuan Solehah: Walaikumussalam warhmatullah. Sama-sama, semoga bermanfaat.
ReplyDelete*wa'alaikumussalam
ReplyDeleteslm ustazah khadijah..alhndulillah..sngt teruja n tenang bc entri ustzh brkaitan dgn teknik yg digunakn..tm kseh ustzh..;)
ReplyDeleteAssalamualaikum, terima kasih kerana berkongsi teknik mengajar menggunakan pendekatan Rasulullah.. Saya juga merupakan seorang guru tetapi di kawasan pedalaman Sarawak yang majoritinya adalah kaum iban. Saya pernah memberikan kata-kata pujian tetapi kepada murid2 yang berjaya sahaja. Manakala, murid-murid yang kurang berjaya saya berikan kata-kata semangat. Setelah membaca blog ustazah ini, boleh saya berikan kata-kata pujian yang sesuai untuk murid2 yang lemah dan melakukan kesalahan. Terima kasih sekali lagi :)
ReplyDeleteSalam ustazah.. Saya mengajar di sekolah menengah di kuala lumpur. Sekolah saya mempunyai lebih kurang 3k student. 95% daripadanya merupakan pelajar cina. Bagaimanakah cara yang boleh saa gunakan untuk mengatasi pelajar cina yang biadap..suka menyindir..tidak menghormati guru?
ReplyDeletesalam ustazah..bagaimana pula untuk mendisiplinkan murid-murid di sekolah missionary?apakah teknik yg sesuai..murid-murid saya majoriti non-muslim..
ReplyDeletemohon ustazah emelkan kepada sy ya teknik2 yang boleh digunakan..syukran jazilan..ni emel sy : ez_zar2201@yahoo.com =)
ReplyDeleteSaya kagum melihat anak murid Ustazah duduk dengan tertib & fokus pada skrin laptop yang kecil itu. Sebab kalau hendak bercakap tentang selesa, mestilah anak-anak zaman sekarang memilih skrin LCD yang besar.
ReplyDeleteSaya pernah menjaga dua orang anak kecil sementara ibu mereka menyelesaikan urusan kerja seharian. Walaupun dua orang sahaja, skrin laptop saya yang kecil menjadi punca rengekan, rajukan dan sebagainya. "Kecil sangat la, kakak!", "Tak nampak apa-apa pun!" dan sebagainya.
Mungkin sebab apa yang ustazah lakukan disertakan dengan niat yang baik & ikhlas, dan anak didik ustazah sudah biasa dengan didikan ustazah yang mencontohi sifat Rasulullah, maka sebarang aktiviti yang dilakukan mendapat berkat dari Allah.
Saya mohon ustazah terus menulis untuk kami contohi. Sebab ilmu ustazah ni boleh dipakai dalam semua institusi kemanusiaan ; keluarga, tempat kerja & hubungan sosial.
Salam ukhuwwah dari saya :)
enry yg sgt membantu...in sha Allah sy akan cuba aplikasikan..
ReplyDeleteterima kasih ustazah atas perkongsian, sgt bermanfaat, semoge usaha ustazah ini dibalas tinggi di sisi Allah, ameen
ReplyDeleteAssalamualaikum ustazah...Alhamdulillah....satu perkongsian yang sangt bermanfaat...saya tercari cari..satu entry untuk mengawal keaadaan yang bising dalam kelas..untuk persediaan masuk kedalam dunia perguruan..maklumlah orang baru..Alhamdulillah...jumpa jugak entr ni..perfect dan bermanfaat...semoga ustazah sentiasa dilimpahi dengan rahmat-Nya...amin....doakan saya berjaya..cemerlang .sebagai pendidik dan dapat mengaplikasikan cara hidup Baginda s.a.w dalam hidup saya...terima kasih ya ustazah..saya kasi 5 bintang.....^_^
ReplyDeleteSangat membantu..setiap pelajar perlu diberi peluang dengan cara dan teknik yang betul...
ReplyDeleteTerima kasih cikgu.. tips yang cikgu berikan sangat membantu diri saya yang mula down.. kerana hari ini saya hampir2 mahu menangis disebabkan anak murid yang sudah mula tidak mengendahkan arahan saya dan semakin berani.
ReplyDeleteAssalamualaikum ustazah, cara ni sesuai tak guna untuk budak darjah satu dan dua. Diorang ni terlalu aktif sampai selalu menjerit kuat-kuat dalam kelas. Saya juga mengharapkan ustazah memberi sedikit cadangan macam mana nak mengawal budak-budak dan mententeramkan suasana kelas yang bising sewaktu saya sedang mengajar.
ReplyDelete