Monday, February 9, 2015

3 Kisah Aplikasi Teknik Nabi Di Sekolah Baru


DIPOSTING ke sekolah baru, adalah peluang bagi saya meneruskan legasi mendidik dan mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi Muhammad yang dipelajari daripada Tim Pengkaji Hadith Psikologi. Tambahan pula, suasana sekolah yang lebih menenangkan, dan rakan-rakan guru yang ramah serta tidak lokek berbagi ilmu dalam menunjuk arah, saya kira ia anugerah Allah yang tidak ternilai buat saya syukuri.
 
Saya berharap, agar tiada yang akan salah faham mengenai penulisan-penulisan saya ini baik di blog, mahu pun catatan-catatan yang boleh dibaca melalui dinding-dinding Fb. Saya sama sekali tidak bermaksud mahu menunjuk pandai atau mengajar-ngajar guru-guru lain apalagi mahu mengubah corak didikan guru sedia ada.


Cukuplah saya katakan, saya selesa mendidik dan mendorong pelajar meggunakan Teknik Nabi Muhammad  sebagai panduan saya untuk lebih mudah menyantuni pelajar dan mempraktik pendekatan mengajar berlandaskan sunnah. Soal berjaya mahu pun tidak, juga soal istiqamah mahu pun tidak, saya serahkan pada Allah.


Di sekolah baru ini, saya masih belum berpeluang mengajar subjek major; Bahasa Arab. Allah mentakdirkan saya terpilih mengajar subjek minor iaitu Pendidikan Agama Islam (Al-Quran dan Jawi). Ini kerana, sebaik melapor diri tempohari, keesokan harinya seorang guru j-QAF opsyen Pendidikan Agama Islam cuti bersalin. 


Setiap kali waktu subjek minor Pendidikan Agama Islam, guru j-QAF akan berpasangan dengan guru GPI (Guru Pendidikan Islam). Ini membuatkan satu kelas PAI biasanya, akan mempunyai dua atau lebih daripada seorang guru. Keadaan ini menyebabkan, saya sedikit segan mengaplikasi Teknik Nabi.


Al-maklumlah, saya ini orang baru. Sebolehnya, saya tidak mahu kelihatan seolah-olah saya bertindak mengikut kepala sendiri tanpa memikirkan perasaan guru lain yang juga turut bersama saya di dalam kelas. Mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan P&P. Jadi sebagai orang baru, saya lebih banyak mahu berguru dan memerhatikan mereka mengendalikan kelas. 


Kadangkala, saya kelihatan sudah seperti seorang pencuri. Apabila saya berpeluang masuk awal ke kelas, saya akan segera menyantuni para anak didik menggunakan Teknik Nabi . Di bawah ini, adalah catatan-catatan kisah pendek saya megaplikasi Teknik Nabi Muhammad sepanjang minggu-minggu awal menabur bakti di sekolah. 

1.Teknik Menegur Dengan Memberi Informasi.

Pagi hari Rabu minggu pertama yang lalu , saya mengendalikan kelas Tasmik bagi satu kelas pelajar cemerlang seorang diri. Ini merupakan dua kelas Tasmik yang saya kendalikan secara perseorangan. Menurut saya, barangkali kerana ia kelas pelajar cemerlang dan silibusnya hanyalah guru perlu mendengar dan menyemak bacaan pelajar, ia tidak memerlukan kepada guru j-QAF berpasangan seperti kelas PAI yang lain. Ini membolehkan saya mengaplikasi Teknik Nabi tanpa rasa segan. Hehehe. 


Ketika saya masuk ke dalam kelas 4 Berlian pagi itu, para pelajar masih sibuk mengurus matapelajaran sebelumnya. Ada di antara mereka yang masih menulis, ada juga yang masih duduk bercakap dengan rakan sebelah menyebelah. Pendek kata, tidak semua daripada mereka berdiri untuk memberi salam sebagai ucapan hormat kepada seorang guru. Ketua kelas mereka pula terus memberi salam tanpa melihat situasi pelajar lain terlebih dahulu.


Sebaik saya menjawab salam yang diberikan. Saya lalu menegur kesilapan mereka menggunakan Teknik Menegur Dengan Memberi Informasi. Saya berkata,


“Sesungguhnya seorang ketua kelas tidak boleh memberi salam selagi semua rakan sekelasnya belum berdiri tegak dan bersedia untuk mengucapkan salam. Sebaliknya tanggungjawab seorang ketua sebelum memberi salam adalah memastikan semua rakannya berdiri tegak, dan setelah semuanya bersedia mengucapkan salam, barulah dia boleh mengetuai ucapan memberi salam dengan sempurna.”


Teknik Menegur Dengan Memberi Informasi di dalam teknik Nabi Muhammad adalah berasaskan prinsip-prinsip berikut;


Pertama, Sebut perbuatan salah yang dilakukan pelajar; 


“Sesungguhnya seorang ketua kelas tidak boleh memberi salam selagi semua rakan sekelasnya belum berdiri tegak dan bersedia untuk mengucapkan salam.”


Kedua, Sebut atau berikan maklumat yang betul bagi membetulkan kesalahan pelajar;


“Sebaliknya tanggungjawab seorang ketua sebelum memberi salam adalah memastikan semua rakannya berdiri tegak, dan setelah semuanya bersedia mengucapkan salam, barulah dia boleh mengetuai ucapan memberi salam dengan sempurna.”


Ketiga, Gunakan skrip kata-kata seperti, “sesungguhnya…sebaliknya”.


Dalam skrip menegur perbuatan salah ketua 4 Berlian, saya telah menggunakan perkataan “Sesungguhnya…sebaliknya.”


“Sesungguhnya seorang ketua kelas tidak boleh….

“Sebaliknya tanggungjawab seorang ketua sebelum memberi salam…


Ketua kelas 4 Berlian dan semua pelajar yang yang mendengar teguran saya mengangguk-angguk. Ketika saya baru mahu memberi arahan supaya mereka duduk, tanpa disuruh tiba-tiba ketua kelas 4 Berlian sekali lagi memberi salam kepada saya. Kali ini, dia telah memastikan semua rakan sekelasnya berdiri tegak dan bersedia mengucap salam dengan lebih sempurna terlebih dahulu.


Saya memuji perbuatan mereka dengan berkata, “Bagus, beginilah cara yang paling betul memberi salam. Ustazah suka, Allah dan Rasul juga pasti suka.


Selepas itu, saya meminta mereka membaca doa belajar pula. Situasi kali ini, amat mengkagumkan. Mereka terdorong membaca doa secara bersama dengan menjaga tataterbib juga adab berdoa selepas dipuji. 


Kelihatan ramai pelajar membaca doa dengan begitu kusyuk dan semuanya membaca doa dari awal sehingga akhir secara serentak. Saya senyum sendiri seperti baru menerima hadiah daripada buah hati. Menakjubkan, baru dipuji sekali, mereka sudah terdorong memberikan yang terbaik dalam perbuatan mereka berikutnya.


Saya turut memuji perbuatan tertib dan beradabnya mereka ketika berdoa. Mereka tampak seronok dan gembira. Apabila saya memberi arahan supaya mereka membaca Al-Quran di tempat masing-masing, mereka menurut dengan mudah. Tiada yang membikin onar memeningkan. Kelas Tasmik pada hari itu berjalan lancar biar pun hanya beberapa orang sahaja nama pelajar sempat dipanggil dalam tempoh setengah jam. Ajaibnya, yang tidak dipanggil nama juga terdorong mengaji sendiri dari tempat duduk mereka. Subhanallah!


Benarlah menurut pengamatan saya, Teknik Nabi ini apabila diaplikasi kepada pelajar corot, ia akan menyebabkan mereka terdorong berubah cemerlang. Namun apabila diaplikasi pula kepada pelajar kelas yang sudah sedia cemerlang, mereka akan bertambah cemerlang. Tahniah para anak didik 4 Berlian.


Hadith rujukan; Hadith Badwi Kencing.


Anas bin Malik melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama Nabi Muhammad . Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabu Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad  memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau pun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza Wajalla, bersembahyang, dan membaca Al-Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad   menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. – Hadith no. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.



2.Teknik Memuji Gaya Nabi. 


Kesempatan mengaplikasi Teknik Pujian Gaya Nabi ini sebenarnya saya sendiri tidak perasan bahawa ianya telah diaplikasi secara tidak sedar kepada seorang pelajar di dalam kelas belakang ketika mengendalikan kelas bersama seorang lagi rakan guru Pendidikan Islam yang lebih berpengalaman pada pagi Khamis di awal minggu pertama yang lalu.


Saya hanya perasan apabila seorang pelajar lelaki kelas belakang memerhatikan dan menegur ketika saya mahu naik ke bilik guru melalui tangga berdekatan dengan kelas mereka.


Pada mulanya, bimbang juga saya. Tertanya-tanya, mengapa pelajar itu melihat saya begitu lama. Ada yang tidak kenakah pada penampilan saya pada hari itu?


Ketika kaki sudah menjejak anak tangga pertama, dia tiba-tiba menghampiri saya. Baru saya perasan bahawa dia adalah merupakan salah seorang daripada kelas tahun 4 paling belakang yang belajar subjek Pendidikan Agama Islam (PAI) bersama saya.


“Ustazah!” Sapanya ramah. Saya yang ketika itu berjalan menaiki tangga segera memberhenti langkah dan berpaling. 


“Ya, saya. Ada perkara apa kamu panggil ustazah?” Tanya saya seraya menatap wajah pelajar lelaki putih kemerahan itu.


“Ustazah, Faisalkan dia kata dia suka ustazah Khadijah.” Luahnya tersipu-sipu malu.


Seingat saya, semalam baru pertama kali saya masuk mengajar di dalam kelas pelajar tersebut. Itu pun, bukan mereka mahu belajar. Ada sahaja perkara yang dilakukan ketika guru sedang mengajar.


Bagaimana hari ini boleh sampai mesej ‘cinta’ pula? Si tukang penyampai mesej pula ketika berada di dalam kelas semalam, jauh sekali mahu memberi perhatian terhadap pelajaran yang diajar. Dia buat muka selamba dan tidak tahu sahaja apabila disuruh membaca Iqra’.


“Dia suka ustazah? Apa sebab dia suka ustazah?” Sengaja saya menduga pelajar si penyampai mesej tersebut. Jujurnya, saya mahu mendengar suara pelajar yang kurang memberi perhatian semasa guru mengajar semalam.


“Dia kata, dia suka ustazah sebab ustazah Khadijah cantik. Lepas itu, ustazah baik.” Tersenyum lebar saya mendengar pujian pelajar tersebut. Terasa kembang semangkuk dipuji sebegitu. 


“Beritahu Faisal, ustazah kirim salam. Cakap juga pada dia, ustazah pun suka dia kerana dia bakal jadi budak baik.” Balas saya spontan.


Merespon sapaan pelajar dengan cara menekankan bahawa mereka bakal menjadi insan baik juga merupakan suatu dorongan. Mudah-mudahan akan menjadi asbab mereka berubah, insya-Allah.


Saya meneruskan langkah ke tingkat atas. Selepas waktu rehat tamat, sekali lagi saya berpeluang masuk melaksanakan P&P di dalam kelas pelajar tersebut. Sebaik mereka memberi salam, pelajar lelaki yang berkulit putih kemerahan alias si penyampai ‘mesej cinta’ tadi memberitahu,


“Ustazah, inilah Faisal.”


Saya sempat memberikan senyuman yang paling manis buat pelajar yang bernama Faisai tersebut sambil mengangguk-angguk. Barulah saya kenal wajah si pengirim ‘mesej cinta’ tadi. Rupa-rupanya si pengirim ‘mesej cinta’ adalah ketua kelas tahun 4 tersebut.


Saya lalu teringat, semalam ketika si ketua kelas itu belajar subjek Al-Quran, saya sempat memuji kecepatan dan kefahaman beliau terhadap hukum Tajwid yang diajar oleh rakan guru Pendidikan Islam yang bersama saya. Sekiranya tidak silap, pujian saya berbunyi begini, 


“Ha, bagus! Cepatnya kamu jumpa contoh tanda Mad yang diajarkan. Ini menunjukkan kamu faham apa yang diajar ustazah. Kalau macam ini, senanglah kita mengaji selepas ini."


Dalam mengaplikasi Teknik Pujian Gaya Nabi , ada empat perkara yang menjadi tunjang utama.


Pertama, Cari sekurang-kurangnya satu kebaikan pelajar.


Kebaikan Faisal adalah, dia cepat menjumpai contoh tanda-tanda Mad selepas diberi penerangan oleh guru.


Kedua, Mulakan skrip pujian dengan menzahirkan emosi positif seperti “Ustazah suka…Ustazah kagum” dan lain-lain.


Dalam skrip pujian yang saya ucapkan secara tidak sedar kepada Faisal, saya menzahirkan emosi positif yang berbunyi, 


“Ha, bagus!...”


Ketiga, Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha, teknik, kebaikan, sikap bukan orangnya.


“Cepatnya kamu jumpa contoh tanda Mad yang diajarkan”.


Keempat, nyatakan impak kepada perbuatan baik, hasil kerja, usaha, teknik atau sikap tersebut di dalam skrip ayat pujian.


“Ini menunjukkan kamu faham apa yang diajar ustazah.” (Impak pertama)

“Kalau macam ini, senanglah kita mengaji selepas ini.” (Impak kedua)


Menariknya pujian yang tidak saya sedari ini telah menyebabkan Faisai si ketua kelas mengirim ‘mesej cinta’ kepada saya melalui rakannya. Ini menunjukkan, self-esteemnya meningkat dan emosinya menjadi suka. Dia bukan sahaja suka mendengar pujian yang diucapkan kepadanya, tetapi juga suka kepada guru yang memuji. Begitulah hebatnya Teknik Nabi. Ia serampang dua mata.


Malah bukan sekadar itu kesan pujian gaya Nabi yang diucapkan kepada Faisal. Apabila saya menjalankan P&P matapelajaran Tasmik atau Al-Quran, sekiranya pelajar-pelajar lain membikin onar dengan melakukan hal-hal yang disukai mereka sesuka hati, sehingga disuruh membaca Iqra’ sendiri, mereka tidak mahu menurut.


Lalu saya akan menegur, “Tadi, Ustazah cakap apa?”


Kemudian Faisal si ketua kelas pula akan menyambung, “Woi, dengarlah cakap ustazah!”


Ini membuatkan saya senyum gelihati. Setiap kali saya menegur pelajar lain, Faisal si pengirim ‘mesej cinta’ alias ketua kelas pasti menyambung menyuruh rakan-rakannya mendengar cakap saya. Dia sebolehnya mahu membuatkan rakan-rakannya mendengar kata-kata dan arahan saya. 


Sikap Faisal yang seperti ini adalah hasil dorongan pujian saya secara tidak sedar. Bayangkan sekiranya saya mencipta skrip-skrip pujian yang lebih baik dari struktur ayat dan memaksudkannya secara khusus. Apakah kemungkinan yang mungkin berlaku?


Hadith rujukan; Hadith Pintu Langit Terbuka.


Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.” – Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.




3.Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Mengangkat Tangan.


Mengaplikasi teknik ini di awal-awal sesi P&P adalah sangat membantu para guru dalam meraih perhatian dan fokus pelajar. Ia juga amat bersesuaian diaplikasi apabila seorang guru menjadi guru ganti kepada sesuatu matapelajaran. Teknik ini selain tujuannya menaikkan self-esteem pelajar, ia juga sebenarnya menghilangkan jurang yang ada di antara guru dan pelajar.


Awal hari Isnin minggu kedua berada di sekolah baru yang lalu, saya diberi tugas mengganti seorang guru yang tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut bagi tahun 4 Nilam. Subjek matapelajaran yang diganti adalah Pendidikan Jasmani.


Bagi saya, ia bukanlah satu masalah apabila seorang guru opsyen Bahasa Arab diminta mengajar Pendidikan Jasmani. Ini kerana, ketika di kampus para guru opsyen Bahasa Arab mahu pun Pendidikan Agama Islam sudah diajar dan dilatih bagaimana mahu mengendalikan kelas Pendidikan Jasmani dengan aktiviti-aktiviti sukan ringan yang bermanfaat sekiranya diminta mengganti kelas Pendidikan Jasmani.


Namun situasi yang berlaku adalah jangka waktu ‘relief’ yang sepatutnya berlangsung selama 30 minit menjadi singkat disebabkan waktu perhimpunan rasmi terlajak. Ini menyebabkan waktu berbaki yang tinggal untuk kelas ganti pada hari itu hanya tinggal beberapa minit sahaja. Adalah sukar memikirkan apakah aktiviti yang bersesuaian dilakukan dalam tempoh masa tidak sampai sepuluh minit.


Mahu dibawa ke tempat biasa pelajar menjalani aktiviti Pendidikan Jasmani sahaja sudah makan masa beberapa minit. Saya memutuskan untuk menjalankan aktiviti singkat Pendidikan Jasmani bersama pelajar di dalam kelas sahaja.


Memandangkan kelas 4 Nilam adalah merupakan kelas ganti ketika itu, adalah penting untuk saya menarik minat pelajar supaya mereka boleh memberi perhatian dan mendengar kata-kata saya. Saya memilih untuk menggunakan Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar. 


Selepas menjawab salam para pelajar, saya lalu bertanya beberapa soalan berunsur akhlak kepada pelajar-pelajar tahun 4 Nilam. Soalan-soalan saya berbunyi; 


“Siapa di antara pelajar-pelajar sekalian yang pagi tadi sebelum dia pergi sekolah, dia salam tangan ibu dan ayah?”


Beberapa orang pelajar kelihatan mengangkat tangan. Biar pun tidak satu kelas yang mengangkat tangan, ramai juga yang mengangkat tangan menujukkan mereka menyalami ibu dan ayah mereka sebelum ke sekolah. Ini suatu akhlak yang baik.


Saya lalu berkata, “Bagus, menyalami ibu bapa akan membuatkan kita beroleh restu. Ibu bapa akan mendoakan yang baik-baik untuk anaknya di sekolah."


“Siapa yang datang sekolah dia cakap pada diri dia, ‘Aku datang sekolah nak belajar.’?”


Kali ini, kelihatan lebih ramai pelajar mengangkat tangan.


“Bagus!” Balas saya ringkas.


“Baiklah, siapa dia yang datang sekolah hari ini dia mandi bersih-bersih?”


“Saya cikgu!”


“Saya!” Bersemangat sekali para pelajar menjawab. Semuanya mengangkat tangan tanpa ada seorang pun yang terkecuali.


“Bagus, apabila kita mandi bersih-bersih sebelum datang ke sekolah, badan kita akan sihat dan kuat.”


Saya melanjutkan bertanya soalan berikutnya.


“Siapa pula yang datang ke sekolah pada hari ini, dia sudah ada niat, sekiranya dia bertemu dengan guru-guru, dia akan berusaha memberi salam?”


“Saya…saya…saya, ustazah!”


“Allah, bagusnya! Sukanya ustazah. Siapa sahaja yang angkat tangan masa ustazah tanya soalan-soalan tadi, insya-Allah dia anak-anak ahli syurga."


"Apabila kita salam tangan ibu bapa sebelum ke sekolah, itu merupakan sifat seorang anak yang baik. Anak yang baik akan jadi anak soleh, dan anak soleh tempatnya disediakan di dalam syurga. Sementara niat datang sekolah sebab mahu belajar juga merupakan sifat ahli syurga. Ahli syurga terdiri daripada orang baik-baik dan orang yang suka belajar (ilmu). Mandi bersih-bersih juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri ahli syurga. Di dalam syurga, ahli syurga semuanya cantik, bersih dan memakai wangi-wangian. Apabila kita mandi bersih-bersih, badan kita akan sihat wangi. Dan siapa yang ada niat mahu beri salam pada guru juga dia insya-Allah boleh jadi ahli syurga, kerana di dalam syurga Allah sebut, ahli-ahli syurga apabila saling berjumpa mereka akan memberi salam dengan gembira.”


Para pelajar bertepuk tangan dan bersorak, ‘Yeay!’ apabila mendengar kata-kata saya. Mereka begitu gembira dan seronok. Usaha saya mahu memancing minat mereka membuahkan hasil. Alhamdulillah!


Selepas itu, kelas dimulakan dengan senaman menarik nafas kemudian melepaskannya secara perlahan-lahan. Baru dua kali kami menarik nafas, loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu kelas Pendidikan Jasmani. Saya mendengar keluhan pelajar yang berbunyi, “Alaaa…” Hahaha.


Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Mengangkat Tangan berasaskan perkara-perkara berikut;


Pertama, Mulakan soalan dengan kata tanya yang berbunyi, “Siapakah…”


Kedua, Pastikan soalan yang ditanya adalah soalan berunsur akhlak mulia dan mampu diangkat tangan oleh semua pelajar.


“Siapa di antara pelajar-pelajar sekalian yang pagi tadi sebelum dia pergi sekolah, dia salam tangan ibu dan ayah?”

“Siapa yang datang sekolah dia cakap pada diri dia, ‘Aku datang sekolah nak belajar.’?”

“Siapa dia yang datang sekolah hari ini dia mandi bersih-bersih?”

“Siapa pula yang datang ke sekolah pada hari ini, dia sudah ada niat, sekiranya dia bertemu dengan guru-guru, dia akan berusaha memberi salam?”


Ketiga, Tutup soalan-soalan yang ditanyakan dengan ayat-ayat pujian dan impak melakukan perkara-perkara yang ditanyakan.


“Allah, bagusnya! Sukanya ustazah. Siapa sahaja yang angkat tangan masa ustazah tanya soalan-soalan tadi, insya-Allah dia boleh jadi ahli syurga.” 


“Apabila kita salam tangan ibu bapa sebelum ke sekolah, itu merupakan sifat seorang anak yang baik. Anak yang baik akan jadi anak soleh solehah, dan anak soleh tempatnya disediakan di dalam syurga. Sementara niat datang ke sekolah sebab mahu belajar juga merupakan sifat ahli syurga. Ahli syurga terdiri daripada orang baik-baik dan orang yang suka belajar (ilmu). Mandi bersih-bersih juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri ahli syurga. Di dalam syurga, ahli syurga semuanya cantik, bersih dan memakai wangi-wangian. Apabila kita mandi bersih-bersih, badan kita akan sihat dan wangi. Begitu juga siapa yang ada niat mahu beri salam pada guru, dia insya-Allah boleh jadi ahli syurga, kerana di dalam syurga Allah sebut, ahli-ahli syurga apabila saling berjumpa mereka akan memberi salam dengan gembira.”



Hadith rujukan; Hadith Abu Bakar Masuk Syurga.


Abu Hurairah melaporkan, bahawa pada suatu masa Rasulullah pernah bertanya, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya!”

Lalu Nabi Muhammad pun berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” - Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim



Ustazah Siti Khadijah (USK)

2 comments:

  1. Nice content, sesuai untuk saya yg jadi guru hanya tahu mengajar subjek je tapi tak tahu nk mendidik pelajar, pelajar pulak golongan dewasa lagi lah cepat bosan gurunya asyik streat je, tak de penceritaan, perkongsian, pujian.

    ReplyDelete
  2. Merkur 37c - xn-o80b910a26eepc81il5g.online
    Merkur 37C septcasino is a classic double edge safety razor, 메리트카지노총판 with an excellent slanted blade angle that หาเงินออนไลน์ extends to the face of the razor blade.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...