DIPOSTING ke sekolah baru,
adalah peluang bagi saya meneruskan legasi mendidik dan mendorong pelajar menggunakan
Teknik Nabi Muhammad ﷺ yang
dipelajari daripada Tim Pengkaji Hadith Psikologi. Tambahan pula, suasana
sekolah yang lebih menenangkan, dan rakan-rakan guru yang ramah serta tidak
lokek berbagi ilmu dalam menunjuk arah, saya kira ia anugerah Allah yang tidak
ternilai buat saya syukuri.
Saya berharap, agar tiada
yang akan salah faham mengenai penulisan-penulisan saya ini baik
di blog, mahu pun catatan-catatan yang boleh dibaca melalui dinding-dinding Fb.
Saya sama sekali tidak bermaksud mahu menunjuk pandai atau mengajar-ngajar
guru-guru lain apalagi mahu mengubah corak didikan guru sedia ada.
Cukuplah saya katakan, saya
selesa mendidik dan mendorong pelajar meggunakan Teknik Nabi Muhammad ﷺsebagai panduan saya untuk
lebih mudah menyantuni pelajar dan mempraktik pendekatan mengajar berlandaskan sunnah.
Soal berjaya mahu pun tidak, juga soal istiqamah mahu pun tidak, saya serahkan
pada Allah.
Di sekolah baru ini, saya
masih belum berpeluang mengajar subjek major; Bahasa Arab. Allah mentakdirkan
saya terpilih mengajar subjek minor iaitu Pendidikan Agama Islam (Al-Quran dan
Jawi). Ini kerana, sebaik melapor diri tempohari, keesokan harinya seorang guru
j-QAF opsyen Pendidikan Agama Islam cuti bersalin.
Setiap kali waktu subjek
minor Pendidikan Agama Islam, guru j-QAF akan berpasangan dengan guru GPI (Guru
Pendidikan Islam). Ini membuatkan satu kelas PAI biasanya, akan mempunyai dua
atau lebih daripada seorang guru. Keadaan ini menyebabkan, saya sedikit segan
mengaplikasi Teknik Nabi.
Al-maklumlah, saya ini orang baru. Sebolehnya,
saya tidak mahu kelihatan seolah-olah saya bertindak mengikut kepala sendiri
tanpa memikirkan perasaan guru lain yang juga turut bersama saya di dalam
kelas. Mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan P&P. Jadi sebagai
orang baru, saya lebih banyak mahu berguru dan memerhatikan mereka
mengendalikan kelas.
Kadangkala, saya kelihatan sudah
seperti seorang pencuri. Apabila saya berpeluang masuk awal ke kelas, saya akan
segera menyantuni para anak didik menggunakan Teknik Nabi ﷺ. Di bawah ini, adalah catatan-catatan kisah pendek saya
megaplikasi Teknik Nabi Muhammad ﷺ sepanjang minggu-minggu awal menabur bakti di sekolah.
Pagi hari Rabu minggu
pertama yang lalu , saya mengendalikan kelas Tasmik bagi satu kelas pelajar
cemerlang seorang diri. Ini merupakan dua kelas Tasmik yang saya kendalikan
secara perseorangan. Menurut saya, barangkali kerana ia kelas pelajar cemerlang
dan silibusnya hanyalah guru perlu mendengar dan menyemak bacaan pelajar, ia
tidak memerlukan kepada guru j-QAF berpasangan seperti kelas PAI yang lain. Ini
membolehkan saya mengaplikasi Teknik Nabi tanpa rasa segan. Hehehe.
Ketika saya masuk ke dalam
kelas 4 Berlian pagi itu, para pelajar masih sibuk mengurus matapelajaran
sebelumnya. Ada di antara mereka yang masih menulis, ada juga yang masih duduk
bercakap dengan rakan sebelah menyebelah. Pendek kata, tidak semua daripada mereka
berdiri untuk memberi salam sebagai ucapan hormat kepada seorang guru. Ketua
kelas mereka pula terus memberi salam tanpa melihat situasi pelajar lain
terlebih dahulu.
Sebaik saya menjawab salam
yang diberikan. Saya lalu menegur kesilapan mereka menggunakan Teknik Menegur
Dengan Memberi Informasi. Saya berkata,
“Sesungguhnya seorang ketua
kelas tidak boleh memberi salam selagi semua rakan sekelasnya belum berdiri
tegak dan bersedia untuk mengucapkan salam. Sebaliknya tanggungjawab seorang
ketua sebelum memberi salam adalah memastikan semua rakannya berdiri tegak, dan
setelah semuanya bersedia mengucapkan salam, barulah dia boleh mengetuai ucapan
memberi salam dengan sempurna.”
Teknik Menegur Dengan
Memberi Informasi di dalam teknik Nabi Muhammad ﷺ adalah
berasaskan prinsip-prinsip berikut;
Pertama,
Sebut perbuatan salah yang dilakukan pelajar;
“Sesungguhnya seorang ketua
kelas tidak boleh memberi salam selagi semua rakan sekelasnya belum berdiri
tegak dan bersedia untuk mengucapkan salam.”
Kedua,
Sebut atau berikan maklumat yang betul bagi membetulkan kesalahan pelajar;
“Sebaliknya tanggungjawab
seorang ketua sebelum memberi salam adalah memastikan semua rakannya berdiri
tegak, dan setelah semuanya bersedia mengucapkan salam, barulah dia boleh mengetuai
ucapan memberi salam dengan sempurna.”
Ketiga, Gunakan
skrip kata-kata seperti, “sesungguhnya…sebaliknya”.
Dalam skrip menegur
perbuatan salah ketua 4 Berlian, saya telah menggunakan perkataan
“Sesungguhnya…sebaliknya.”
“Sesungguhnya
seorang ketua kelas tidak boleh….
“Sebaliknya
tanggungjawab seorang ketua sebelum memberi salam…
Ketua kelas 4 Berlian dan
semua pelajar yang yang mendengar teguran saya mengangguk-angguk. Ketika saya
baru mahu memberi arahan supaya mereka duduk, tanpa disuruh tiba-tiba ketua
kelas 4 Berlian sekali lagi memberi salam kepada saya. Kali ini, dia telah memastikan
semua rakan sekelasnya berdiri tegak dan bersedia mengucap salam dengan lebih
sempurna terlebih dahulu.
Saya memuji perbuatan mereka
dengan berkata, “Bagus, beginilah cara yang paling betul memberi salam. Ustazah
suka, Allah dan Rasul juga pasti suka.
Selepas itu, saya meminta
mereka membaca doa belajar pula. Situasi kali ini, amat mengkagumkan. Mereka
terdorong membaca doa secara bersama dengan menjaga tataterbib juga adab berdoa
selepas dipuji.
Kelihatan ramai pelajar
membaca doa dengan begitu kusyuk dan semuanya membaca doa dari awal sehingga
akhir secara serentak. Saya senyum sendiri seperti baru menerima hadiah
daripada buah hati. Menakjubkan, baru dipuji sekali, mereka sudah terdorong
memberikan yang terbaik dalam perbuatan mereka berikutnya.
Saya turut memuji perbuatan
tertib dan beradabnya mereka ketika berdoa. Mereka tampak seronok dan gembira.
Apabila saya memberi arahan supaya mereka membaca Al-Quran di tempat
masing-masing, mereka menurut dengan mudah. Tiada yang membikin onar
memeningkan. Kelas Tasmik pada hari itu berjalan lancar biar pun hanya beberapa
orang sahaja nama pelajar sempat dipanggil dalam tempoh setengah jam. Ajaibnya,
yang tidak dipanggil nama juga terdorong mengaji sendiri dari tempat duduk
mereka. Subhanallah!
Benarlah menurut pengamatan
saya, Teknik Nabi ini apabila diaplikasi kepada pelajar corot, ia akan
menyebabkan mereka terdorong berubah cemerlang. Namun apabila diaplikasi pula
kepada pelajar kelas yang sudah sedia cemerlang, mereka akan bertambah
cemerlang. Tahniah para anak didik 4 Berlian.
Hadith rujukan; Hadith
Badwi Kencing.
Anas bin Malik melaporkan,
pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid
bersama Nabi Muhammad ﷺ . Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam
masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat
Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabu Muhammad
ﷺ berkata, “Jangan buat dia terhenti
kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang
kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad ﷺmemanggil
lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak
boleh kencing atau pun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh
berzikir mengingati Allah Azza Wajalla, bersembahyang, dan membaca Al-Quran.”
Kemudian, Nabi Muhammad ﷺ menyuruh salah seorang
yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. –
Hadith no. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.
Kesempatan mengaplikasi
Teknik Pujian Gaya Nabi ini sebenarnya saya sendiri tidak perasan bahawa ianya telah
diaplikasi secara tidak sedar kepada seorang pelajar di dalam kelas belakang
ketika mengendalikan kelas bersama seorang lagi rakan guru Pendidikan Islam
yang lebih berpengalaman pada pagi Khamis di awal minggu pertama yang lalu.
Saya hanya perasan apabila
seorang pelajar lelaki kelas belakang memerhatikan dan menegur ketika saya mahu
naik ke bilik guru melalui tangga berdekatan dengan kelas mereka.
Pada mulanya, bimbang juga
saya. Tertanya-tanya, mengapa pelajar itu melihat saya begitu lama. Ada yang
tidak kenakah pada penampilan saya pada hari itu?
Ketika kaki sudah menjejak
anak tangga pertama, dia tiba-tiba menghampiri saya. Baru saya perasan bahawa
dia adalah merupakan salah seorang daripada kelas tahun 4 paling belakang yang
belajar subjek Pendidikan Agama Islam (PAI) bersama saya.
“Ustazah!” Sapanya ramah.
Saya yang ketika itu berjalan menaiki tangga segera memberhenti langkah dan
berpaling.
“Ya, saya. Ada perkara apa
kamu panggil ustazah?” Tanya saya seraya menatap wajah pelajar lelaki putih
kemerahan itu.
“Ustazah, Faisalkan dia kata
dia suka ustazah Khadijah.” Luahnya tersipu-sipu malu.
Seingat saya, semalam baru
pertama kali saya masuk mengajar di dalam kelas pelajar tersebut. Itu pun,
bukan mereka mahu belajar. Ada sahaja perkara yang dilakukan ketika guru sedang
mengajar.
Bagaimana hari ini boleh
sampai mesej ‘cinta’ pula? Si tukang penyampai mesej pula ketika berada di
dalam kelas semalam, jauh sekali mahu memberi perhatian terhadap pelajaran yang
diajar. Dia buat muka selamba dan tidak tahu sahaja apabila disuruh membaca
Iqra’.
“Dia suka ustazah? Apa sebab
dia suka ustazah?” Sengaja saya menduga pelajar si penyampai mesej tersebut.
Jujurnya, saya mahu mendengar suara pelajar yang kurang memberi perhatian
semasa guru mengajar semalam.
“Dia kata, dia suka ustazah
sebab ustazah Khadijah cantik. Lepas itu, ustazah baik.” Tersenyum lebar saya
mendengar pujian pelajar tersebut. Terasa kembang semangkuk dipuji sebegitu.
“Beritahu Faisal, ustazah
kirim salam. Cakap juga pada dia, ustazah pun suka dia kerana dia bakal jadi
budak baik.” Balas saya spontan.
Merespon sapaan pelajar
dengan cara menekankan bahawa mereka bakal menjadi insan baik juga merupakan
suatu dorongan. Mudah-mudahan akan menjadi asbab mereka berubah, insya-Allah.
Saya meneruskan langkah ke
tingkat atas. Selepas waktu rehat tamat, sekali lagi saya berpeluang masuk
melaksanakan P&P di dalam kelas pelajar tersebut. Sebaik mereka memberi
salam, pelajar lelaki yang berkulit putih kemerahan alias si penyampai ‘mesej
cinta’ tadi memberitahu,
“Ustazah, inilah Faisal.”
Saya sempat memberikan
senyuman yang paling manis buat pelajar yang bernama Faisai tersebut sambil
mengangguk-angguk. Barulah saya kenal wajah si pengirim ‘mesej cinta’ tadi.
Rupa-rupanya si pengirim ‘mesej cinta’ adalah ketua kelas tahun 4 tersebut.
Saya lalu teringat, semalam
ketika si ketua kelas itu belajar subjek Al-Quran, saya sempat memuji kecepatan
dan kefahaman beliau terhadap hukum Tajwid yang diajar oleh rakan guru
Pendidikan Islam yang bersama saya. Sekiranya tidak silap, pujian saya berbunyi
begini,
“Ha, bagus! Cepatnya kamu
jumpa contoh tanda Mad yang diajarkan. Ini menunjukkan kamu faham apa yang
diajar ustazah. Kalau macam ini, senanglah kita mengaji selepas ini."
Dalam mengaplikasi Teknik
Pujian Gaya Nabi ﷺ , ada
empat perkara yang menjadi tunjang utama.
Pertama,
Cari sekurang-kurangnya satu kebaikan pelajar.
Kebaikan Faisal adalah, dia
cepat menjumpai contoh tanda-tanda Mad selepas diberi penerangan oleh guru.
Kedua,
Mulakan skrip pujian dengan menzahirkan emosi positif seperti “Ustazah
suka…Ustazah kagum” dan lain-lain.
Dalam skrip pujian yang saya
ucapkan secara tidak sedar kepada Faisal, saya menzahirkan emosi positif yang
berbunyi,
“Ha, bagus!...”
Ketiga,
Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha, teknik, kebaikan, sikap bukan
orangnya.
“Cepatnya kamu jumpa contoh
tanda Mad yang diajarkan”.
Keempat,
nyatakan impak kepada perbuatan baik, hasil kerja, usaha, teknik atau sikap
tersebut di dalam skrip ayat pujian.
“Ini menunjukkan kamu faham
apa yang diajar ustazah.” (Impak pertama)
“Kalau macam ini, senanglah kita
mengaji selepas ini.” (Impak kedua)
Menariknya pujian yang tidak
saya sedari ini telah menyebabkan Faisai si ketua kelas mengirim ‘mesej cinta’
kepada saya melalui rakannya. Ini menunjukkan, self-esteemnya meningkat dan
emosinya menjadi suka. Dia bukan sahaja suka mendengar pujian yang diucapkan
kepadanya, tetapi juga suka kepada guru yang memuji. Begitulah hebatnya Teknik
Nabi. Ia serampang dua mata.
Malah bukan sekadar itu
kesan pujian gaya Nabi yang diucapkan kepada Faisal. Apabila saya menjalankan
P&P matapelajaran Tasmik atau Al-Quran, sekiranya pelajar-pelajar lain
membikin onar dengan melakukan hal-hal yang disukai mereka sesuka hati,
sehingga disuruh membaca Iqra’ sendiri, mereka tidak mahu menurut.
Lalu saya akan menegur,
“Tadi, Ustazah cakap apa?”
Kemudian Faisal si ketua
kelas pula akan menyambung, “Woi, dengarlah cakap ustazah!”
Ini membuatkan saya senyum
gelihati. Setiap kali saya menegur pelajar lain, Faisal si pengirim ‘mesej
cinta’ alias ketua kelas pasti menyambung menyuruh rakan-rakannya mendengar
cakap saya. Dia sebolehnya mahu membuatkan rakan-rakannya mendengar kata-kata
dan arahan saya.
Sikap Faisal yang seperti
ini adalah hasil dorongan pujian saya secara tidak sedar. Bayangkan sekiranya
saya mencipta skrip-skrip pujian yang lebih baik dari struktur ayat dan
memaksudkannya secara khusus. Apakah kemungkinan yang mungkin berlaku?
Hadith rujukan; Hadith Pintu
Langit Terbuka.
Ibnu Umar menceritakan, pada
suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di
masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar
kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas
selesai sembahyang, Nabi Muhammad ﷺ bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang
membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi
Muhammad ﷺ
berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana
kata-kata itu.” Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya
terdengar Nabi Muhammad ﷺ berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata
itu.” – Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi
hadith-hadith autentik Muslim.
3.Teknik Memberi Peluang Semua
Pelajar Mengangkat Tangan.
Mengaplikasi teknik ini di
awal-awal sesi P&P adalah sangat membantu para guru dalam meraih perhatian
dan fokus pelajar. Ia juga amat bersesuaian diaplikasi apabila seorang guru
menjadi guru ganti kepada sesuatu matapelajaran. Teknik ini selain tujuannya
menaikkan self-esteem pelajar, ia juga sebenarnya menghilangkan jurang yang ada
di antara guru dan pelajar.
Awal hari Isnin minggu kedua
berada di sekolah baru yang lalu, saya diberi tugas mengganti seorang guru yang
tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut bagi tahun 4 Nilam. Subjek
matapelajaran yang diganti adalah Pendidikan Jasmani.
Bagi saya, ia bukanlah satu masalah apabila
seorang guru opsyen Bahasa Arab diminta mengajar Pendidikan Jasmani. Ini
kerana, ketika di kampus para guru opsyen Bahasa Arab mahu pun Pendidikan Agama
Islam sudah diajar dan dilatih bagaimana mahu mengendalikan kelas Pendidikan
Jasmani dengan aktiviti-aktiviti sukan ringan yang bermanfaat sekiranya diminta
mengganti kelas Pendidikan Jasmani.
Namun situasi yang berlaku
adalah jangka waktu ‘relief’ yang sepatutnya berlangsung selama 30 minit
menjadi singkat disebabkan waktu perhimpunan rasmi terlajak. Ini menyebabkan
waktu berbaki yang tinggal untuk kelas ganti pada hari itu hanya tinggal
beberapa minit sahaja. Adalah sukar memikirkan apakah aktiviti yang bersesuaian
dilakukan dalam tempoh masa tidak sampai sepuluh minit.
Mahu dibawa ke tempat biasa
pelajar menjalani aktiviti Pendidikan Jasmani sahaja sudah makan masa beberapa
minit. Saya memutuskan untuk menjalankan aktiviti singkat Pendidikan Jasmani
bersama pelajar di dalam kelas sahaja.
Memandangkan kelas 4 Nilam
adalah merupakan kelas ganti ketika itu, adalah penting untuk saya menarik
minat pelajar supaya mereka boleh memberi perhatian dan mendengar kata-kata
saya. Saya memilih untuk menggunakan Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar.
Selepas menjawab salam para
pelajar, saya lalu bertanya beberapa soalan berunsur akhlak kepada
pelajar-pelajar tahun 4 Nilam. Soalan-soalan saya berbunyi;
“Siapa di antara
pelajar-pelajar sekalian yang pagi tadi sebelum dia pergi sekolah, dia salam
tangan ibu dan ayah?”
Beberapa orang pelajar
kelihatan mengangkat tangan. Biar pun tidak satu kelas yang mengangkat tangan,
ramai juga yang mengangkat tangan menujukkan mereka menyalami ibu dan ayah
mereka sebelum ke sekolah. Ini suatu akhlak yang baik.
Saya lalu berkata, “Bagus,
menyalami ibu bapa akan membuatkan kita beroleh restu. Ibu bapa akan mendoakan
yang baik-baik untuk anaknya di sekolah."
“Siapa yang datang sekolah
dia cakap pada diri dia, ‘Aku datang sekolah nak belajar.’?”
Kali ini, kelihatan lebih
ramai pelajar mengangkat tangan.
“Bagus!” Balas saya ringkas.
“Baiklah, siapa dia yang
datang sekolah hari ini dia mandi bersih-bersih?”
“Saya cikgu!”
“Saya!” Bersemangat sekali
para pelajar menjawab. Semuanya mengangkat tangan tanpa ada seorang pun yang
terkecuali.
“Bagus, apabila kita mandi
bersih-bersih sebelum datang ke sekolah, badan kita akan sihat dan kuat.”
Saya melanjutkan bertanya
soalan berikutnya.
“Siapa pula yang datang ke
sekolah pada hari ini, dia sudah ada niat, sekiranya dia bertemu dengan
guru-guru, dia akan berusaha memberi salam?”
“Saya…saya…saya, ustazah!”
“Allah, bagusnya! Sukanya
ustazah. Siapa sahaja yang angkat tangan masa ustazah tanya soalan-soalan tadi,
insya-Allah dia anak-anak ahli syurga."
"Apabila kita salam tangan
ibu bapa sebelum ke sekolah, itu merupakan sifat seorang anak yang baik. Anak
yang baik akan jadi anak soleh, dan anak soleh tempatnya disediakan di dalam
syurga. Sementara niat datang sekolah sebab mahu belajar juga merupakan sifat
ahli syurga. Ahli syurga terdiri daripada orang baik-baik dan orang yang suka
belajar (ilmu). Mandi bersih-bersih juga merupakan salah satu daripada
ciri-ciri ahli syurga. Di dalam syurga, ahli syurga semuanya cantik, bersih dan
memakai wangi-wangian. Apabila kita mandi bersih-bersih, badan kita akan sihat
wangi. Dan siapa yang ada niat mahu beri salam pada guru juga dia insya-Allah
boleh jadi ahli syurga, kerana di dalam syurga Allah sebut, ahli-ahli syurga
apabila saling berjumpa mereka akan memberi salam dengan gembira.”
Para pelajar bertepuk tangan
dan bersorak, ‘Yeay!’ apabila mendengar kata-kata saya. Mereka begitu gembira
dan seronok. Usaha saya mahu memancing minat mereka membuahkan hasil.
Alhamdulillah!
Selepas itu, kelas dimulakan
dengan senaman menarik nafas kemudian melepaskannya secara perlahan-lahan. Baru
dua kali kami menarik nafas, loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu kelas
Pendidikan Jasmani. Saya mendengar keluhan pelajar yang berbunyi, “Alaaa…”
Hahaha.
Teknik Memberi Peluang Semua
Pelajar Mengangkat Tangan berasaskan perkara-perkara berikut;
Pertama,
Mulakan soalan dengan kata tanya yang berbunyi, “Siapakah…”
Kedua,
Pastikan soalan yang ditanya adalah soalan berunsur akhlak mulia dan mampu
diangkat tangan oleh semua pelajar.
“Siapa di antara
pelajar-pelajar sekalian yang pagi tadi sebelum dia pergi sekolah, dia salam
tangan ibu dan ayah?”
“Siapa yang datang sekolah
dia cakap pada diri dia, ‘Aku datang sekolah nak belajar.’?”
“Siapa dia yang datang
sekolah hari ini dia mandi bersih-bersih?”
“Siapa pula yang datang ke
sekolah pada hari ini, dia sudah ada niat, sekiranya dia bertemu dengan
guru-guru, dia akan berusaha memberi salam?”
Ketiga, Tutup
soalan-soalan yang ditanyakan dengan ayat-ayat pujian dan impak melakukan perkara-perkara
yang ditanyakan.
“Allah, bagusnya! Sukanya
ustazah. Siapa sahaja yang angkat tangan masa ustazah tanya soalan-soalan tadi,
insya-Allah dia boleh jadi ahli syurga.”
“Apabila kita salam tangan
ibu bapa sebelum ke sekolah, itu merupakan sifat seorang anak yang baik. Anak
yang baik akan jadi anak soleh solehah, dan anak soleh tempatnya disediakan di
dalam syurga. Sementara niat datang ke sekolah sebab mahu belajar juga
merupakan sifat ahli syurga. Ahli syurga terdiri daripada orang baik-baik dan orang
yang suka belajar (ilmu). Mandi bersih-bersih juga merupakan salah satu
daripada ciri-ciri ahli syurga. Di dalam syurga, ahli syurga semuanya cantik,
bersih dan memakai wangi-wangian. Apabila kita mandi bersih-bersih, badan kita
akan sihat dan wangi. Begitu juga siapa yang ada niat mahu beri salam pada
guru, dia insya-Allah boleh jadi ahli syurga, kerana di dalam syurga Allah
sebut, ahli-ahli syurga apabila saling berjumpa mereka akan memberi salam
dengan gembira.”
Hadith rujukan; Hadith Abu
Bakar Masuk Syurga.
Abu Hurairah melaporkan,
bahawa pada suatu masa Rasulullah pernah bertanya, “Siapakah antara
saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab,
“Saya!” Beliau bertanya lagi,
“Siapakah antara
saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab,
“Saya!” Beliau bertanya lagi,
“Siapakah antara
saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar
menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,
“Siapakah antara
saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar
menjawab, “Saya!”
Lalu Nabi Muhammad pun
berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk
syurga.” - Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Ustazah Siti Khadijah (USK)
Nice content, sesuai untuk saya yg jadi guru hanya tahu mengajar subjek je tapi tak tahu nk mendidik pelajar, pelajar pulak golongan dewasa lagi lah cepat bosan gurunya asyik streat je, tak de penceritaan, perkongsian, pujian.
ReplyDeleteMerkur 37c - xn-o80b910a26eepc81il5g.online
ReplyDeleteMerkur 37C septcasino is a classic double edge safety razor, 메리트카지노총판 with an excellent slanted blade angle that หาเงินออนไลน์ extends to the face of the razor blade.