Tuesday, August 14, 2012

Hanya Menerangkan, Wang yang Hilang Dikembalikan

Suatu hari ketika masih menggantikan posisi seorang guru yang berkursus pada sesi pagi, berlaku satu kecurian di dalam kelas 2 Omar. Ketika itu, semua pelajar sedang bersiap sedia untuk keluar rehat. Seorang pelajar lelaki yang duduk di barisan hadapan datang bertemu saya di meja guru mengadukan masalah kehilangan wang saku yang dibawanya.

“Cikgu, duit belanja saya hilang.” Dia memberitahu saya tentang kehilangan wang belanja yang dibawanya.

Pada mulanya, saya tidak melakukan apa-apa. Hanya menggantikan wangnya yang hilang tersebut dengan sedikit wang sendiri bagi membolehkan pelajar tersebut turut dapat rehat bersama kawan-kawannya.

“Mmm, hari ini ustazah belanja kamu. Ambil duit ini untuk buat belanja makan waktu rehat kamu pada hari ini.” Saya menghulur sekeping wang kertas berwarna biru kepada pelajar tersebut. Dia menyambutnya dengan wajah yang masih muram sambil berjalan kembali ke tempat duduknya.

Duga saya, tindakan saya itu sudah benar mengikut Teknik Nabi Muhammad yang tidak menyiasat sebarang kesalahan. Namun ternyata ia silap besar.

Ketika semua pelajar 2 Omar sudah keluar rehat, pelajar itu masih duduk di mejanya. Saya hairan. Apakah penyelesaian yang diberikan dengan menggantikan wangnya yang hilang tadi masih belum dapat memulihkan perasaannya sehingga dia tidak keluar rehat.

Kebetulan pula pada waktu itu, saya memang tidak bercadang mahu kembali ke bilik guru atau berehat. Saya hanya menghabiskan waktu rehat selama 30 minit di dalam kelas 2 Omar. Saya menghampiri pelajar lelaki yang mengadu kehilangan wang tadi.

“Kamu tidak pergi rehat? Bukankah ustazah sudah berikan sedikit wang untuk kamu rehat?” Tanya saya kepada pelajar tersebut.

Pada mulanya dia masih kelihatan muram. Namun sebaik pertanyaan itu disuakan, pelajar tersebut langsung menangis dan menjawab, “Duit saya hilang Rm 9.00, cikgu ganti Rm 1.”

Tanpa dapat ditahan, dia menangis semahunya. Saya benar-benar rasa bersalah. Patutlah dia tidak keluar rehat. Wang belanjanya hilang Rm 9.00, saya pula hanya memberikan Rm 1.00 mana mungkin dapat menampung rasa sedih atas kehilangan keseluruhan jumlah wangnya yang hilang.

Saya mula sedar yang kesilapan saya adalah tidak bertanya langsung berkenaan wang belanjanya yang hilang. Niat pada mulanya tidak mahu menyiasat rupanya mengundang salah faham saya memahami beza antara ‘bertanya’ dan ‘menyiasat’.

Ya, saya seharusnya bertanya serba sedikit berkenaan wangnya yang hilang bukan hanya mendiamkan terus. Lalu menggantikan wangnya yang hilang. Memang patutlah pelajar tersebut tidak mahu keluar rehat.

Situasi ini membuatkan saya semakin memahami perbezaan antara ‘bertanya’ dan ‘menyiasat’. Apabila dinyatakan Nabi tidak menyiasat, bukanlah bermaksud Nabi Muhammad tidak bertanya langsung, baginda bertanya serba sedikit sekadar ingin mengetahui jawapan.

Sebagai contoh, dalam hadith 12 Malaikat (baca di sini), apabila seorang lelaki datang lambat untuk menunaikan solat kemudian dia membaca zikir  'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih' dengan suara yang kuat sehingga mengganggu kekhusyukan Nabi yang sedang bersolat, selepas bersolat Nabi bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata (zikir) itu.”

Apabila lelaki itu tidak mengaku pada awalnya, Nabi bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Barulah lelaki yang mengucapkan kata-kata itu mengaku.

Hadith ini menunjukkan Nabi Muhammad juga bertanya, namun tidak menyiasat. Terdapat perbezaan antara bertanya dan menyiasat. Antaranya ialah;
  1. Bertanya tujuannya adalah untuk mengetahui jawapan. Sebaik jawapan diketahui, kita tidak menyalahkan atau mengkritik orang yang melakukan kesalahan. Menyiasat pula tujuannya mahu mengetahu punca mengapa sesuatu perkara itu berlaku.
  2. Apabila bertanya, perkataan ‘Kenapa’ dan ‘Mengapa’ tidak boleh digunakan. Ini kerana, dalam hadith-hadith yang ditemui menunjukkan Nabi Muhammad tidak bertanya menggunakan perkataan ‘kenapa’ dan ‘mengapa’. Sementara menyiasat pula, ayat akan dimulakan dengan penggunaan perkataan ‘kenapa’ dan ‘mengapa’.
  3. Apabila bertanya, kita tidak mempunyai perasaan mahu menyalahkan atau menuduh-nuduh. Ia hanya untuk mengetahui jawapan. Manakala menyiasat, ia seperti kita menuduh-nuduh seseorang melakukan sesuatu perbuatan dan seolah-olah kita menyalahkan seseorang atas kesalahan tersebut.
Menyedari kesilapan ini, saya membaiki situasi dengan bertanya kepada pelajar lelaki yang kehilangan wang belanja tersebut beberapa perkara berkenaan kehilangan wang yang dibawanya.

“Berapakah jumlah sebenar wang kamu yang hilang?”
“Bilakah kamu mula sedar yang wang tersebut telah hilang?”

Sebaik mengetahui jawapan daripada pelajar tersebut, saya berkata kepada pelajar tersebut, “Baik. Nanti selepas semua pelajar masuk ke dalam kelas, ustazah berjanji akan cuba menyelesaikan perkara ini. Sekarang kamu pergi rehat dahulu.”

Pelajar tersebut patuh kepada kata-kata saya.

Sebaik semua pelajar 2 Omar sudah kembali ke dalam kelas, saya mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah kehilangan wang pelajar tersebut dengan menggunakan Teknik Menegur Dengan Menerangkan berdasarkan hadith Badwi Kencing Di Dalam Masjid.

Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. ~Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menegur lelaki Arab dari kampung (Badwi) yang melakukan kesalahan di dalam masjid hanya dengan menerangkan undang-undang apabila berada di dalam masjid.

Kata-kata Nabi Muhammad, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.”

Nabi Muhammad tidak memarahi lelaki Arab Badwi tersebut dengan berkata, “Kamu tidak boleh membuang air di dalam masjid! Salah perbuatan kamu yang membuang air di dalam masjid.” (SALAH)

Nabi Muhammad tidak menyiasat punca lelaki Arab Badwi tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu membuang air di dalam masjid?” (SALAH)
“Mengapa kamu membuang air di dalam rumah Allah?” (SALAH)

Saya telah mengaplikasi Teknik ini dengan Menerangkan kepada pelajar-pelajar 2 Omar bahawa perbuatan mengambil barang orang tanpa izin adalah salah.

Skrip ucapan yang dituturkan ialah, “Hari ini, seorang rakan kita telah kehilangan duit belanja sebanyak Rm 9.00. Kasihan dia tidak mempunyai wang untuk makan dan minum di waktu rehat."

"Kita semua mahu masuk syurga bukan? Siapa mahu masuk syurga, angkat tangan.” Tanya saya kepada pelajar-pelajar 2 Omar.

Semua pelajar 2 Omar mengangkat tangan menandakan mereka mahu masuk syurga.

Saya melanjutkan penerangan dengan berkata, “Sesungguhnya di dalam syurga penuh dengan benda serta perkara yang baik-baik. Semua orang yang menjadi ahli syurga juga adalah orang baik-baik. Di dalam syurga tidak ada sedikit pun benda dan perkara yang tidak baik.”

“Mengambil barang orang tanpa izin adalah salah dan berdosa. Sekiranya kita mengambil barang orang seperti duit contohnya, kemudian kita membeli makanan. Apabila makanan tersebut dimakan, ia akan menjadi darah daging yang tidak baik di dalam tubuh badan kita. Apabila sudah terdapat benda yang tidak baik di dalam tubuh badan kita, ia boleh menyebabkan kita susah mahu dengar cakap ibubapa dan cikgu. Apabila belajar juga ia akan menjadi susah faham.”

“Ketika kita semua mahu masuk ke syurga, hanya orang yang baik-baik dan memiliki tubuh badan yang darah dan dagingnya baik sahaja akan dapat masuk ke syurga. Apabila terdapat benda yang tidak baik di dalam tubuh kita, Allah akan bersihkan tubuh badan kita dengan mencampakkan ia terlebih dahulu ke dalam api neraka. Setelah ia benar-benar bersih, tiada lagi benda-benda yang tidak baik, barulah kita dibenarkan masuk ke syurga.”

Semua pelajar 2 Omar diam mendengar kata-kata saya penuh minat. Satu persatu wajah-wajah comel di hadapan saya seluruhi. Memandangkan saya tidak tahu siapa yang mencuri wang pelajar lelaki yang hilang tersebut, saya hanya mengaplikasi teknik ini berdasarkan perbuatan yang pernah dilakukan  Nabi dalam menangani satu-satu situasi. 

Setelah menerangkan perkara tersebut, saya kembali menyambung pelajaran. Tidak dijangka sepuluh minit kemudian, pelajar lelaki yang mengadu kehilangan wang belanja sebelum waktu rehat tadi datang sekali lagi ke meja guru. Kali ini dia datang kerana mahu memulangkan kembali Rm 1 yang telah saya berikan kepadanya sebelum waktu rehat tadi.

Katanya, “Cikgu, saya pulangkan kembali duit yang cikgu bagi pada saya. Orang yang ambil duit saya sudah pulangkan semula semua duit saya.”

Saya amat terperanjat. Subhanallah!

Pelajar yang bersongkok hitam ini merupakan pelajar lelaki yang mengadu kehilangan wang kepada saya (maaf, gambarnya tidak sempat saya snap secara sempurna). 

Ustazah Siti Khadijah

Monday, July 23, 2012

Mendorong Anak-anak Kecil - Episod 2

Pagi hari kedua menjadi guru ganti, pelajar-pelajar 2 Omar kelihatan lebih bersemangat belajar berbanding semalam. Nampak sahaja muka saya, mereka tersenyum-senyum. Ada juga yang menjerit memanggil nama saya dan melambai-lambai tangan kepada saya.

“Cikgu..cikgu.” Sapa mereka.

Saya membalas sapaan mereka dengan memberikan senyuman yang paling manis.  Apabila melihat ada pelajar melambai-lambaikan tangan dari tempat duduk mereka, saya juga membalas dengan lambaian tangan. Sesekali saya mengangguk-angguk kepala kepada pelajar-pelajar yang memanggil. Seronok sungguh mereka apabila sapaan dan lambaian tangan mereka berbalas.

Al-Quran merupakan subjek pertama bagi pelajar-pelajar kelas 2 Omar pada hari ini. Selesai pelajar memberi salam dan membaca doa, saya telah mengaplikasi Teknik Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan kepada pelajar-pelajar 2 Omar. 

Berdasarkan hadith hadith 12 Malaikat, Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith di bawah ini, seorang lelaki melakukan beberapa kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang:

1. Lelaki itu datang lambat.
2. Dia bercakap kuat di dalam masjid.
3. Apabila ditanya dia tidak mengaku.

Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:

"Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)
"Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)

Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa dirinya dimalukan di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak jatuh.

Sebelum pelajaran dimulakan, apabila melihat ada di kalangan pelajar yang  bercakap-cakap dan mengusik kawan-kawannya di dalam kelas, saya tidak menegur kesalahan mereka. Sebaliknya, saya hanya menerangkan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pelajar apabila guru sedang mengajar.

Saya berkata, “Apabila cikgu atau ustazah sudah berada di dalam kelas, dan dia sudah siap untuk memulakan pelajaran, seorang pelajar tidak boleh melakukan beberapa perkara ini. Antara perkara-perkara yang tidak boleh dibuat oleh seorang pelajar ketika guru sedang mengajar ialah;

“Pertama, seorang pelajar tidak boleh bercakap dengan kawan-kawannya. Ini kerana, apabila kita bercakap dengan kawan, ia akan mengganggu kawan-kawan yang mahu belajar. Selain itu, bercakap akan membuatkan kita tidak faham apa yang sedang cikgu atau ustazah terangkan. Kecuali kalau cikgu atau ustazah bertanya, baru kita jawab.”

“Kedua, seorang pelajar tidak boleh bermain seorang diri atau bermain dengan kawan-kawannya. Apabila kita main, kita tidak dapat dengar apa yang sedang cikgu atau ustazah ajar. Kita tidak akan faham apa yang cikgu atau ustazah ajar di hadapan. “

“Ketiga, seorang pelajar tidak boleh bergurau atau usik kawan-kawannya. Ini kerana, apabila kita usik kawan-kawan, kita sudah ganggu kawan yang mahu belajar. Nanti, kita dan dia tidak akan faham apa yang cikgu atau ustazah cakap dan ajarkan.”

“Keempat, seorang pelajar juga tidak boleh tidur di dalam kelas ketika cikgu atau ustazah mengajar.”

Belum pun selesai menerangkan perkara keempat yang tidak boleh dilakukan oleh pelajar ketika guru mengajar, beberapa orang pelajar lelaki 2 Omar menyampuk, “Dia cikgu. Dia selalu tidur masa cikgu mengajar.”

“Ya, cikgu. Dia tiap-tiap hari tidur.” Sambung seorang lagi pelajar lelaki 2 Omar sambil menunding jari kepada seorang pelajar lelaki yang duduk di pertengahan barisan meja pelajar.

Pelajar itu memandang saya takut-takut. Saya tidak berkata apa-apa, hanya diam sambil memberikan seulas senyum kepada pelajar tegar tidur kelas 2 Omar tersebut.

Kemudian, saya memulakan pelajaran dengan meminta para pelajar meletakkan buku teks Al-Quran di atas meja masing-masing. Apabila melihat semua pelajar meletakkan buku teks masing-masing di atas meja, saya memuji mereka berdasarkan Format Pujian Nabi.

Saya memuji mereka dengan berkata, “Sungguh ustazah kagum apabila semua pelajar membawa buku. Inshaallah, siapa sahaja yang bawa buku akan menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran .”

Alangkah sukanya pelajar-pelajar 2 Omar mendengar pujian saya. Mereka tersenyum suka apabila dipuji.

Antara ciri-ciri pujian Nabi Muhammad ialah:
  1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya. 
  2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
  3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.
Format pujian Teknik Nabi;
1. Pujian dimulakan dengan ayat, “Saya kagum…,”
“Saya suka…,”
“Saya bangga…,
“Saya gembira…”
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“…ustazah kagum apabila semua pelajar membawa buku."

2. Puji hasil kerja:
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“Sungguh ustazah kagum apabila semua pelajar membawa buku.”

3. Nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji:
“Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.”
“Inshaallah, siapa sahaja yang bawa buku akan menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran.”

Kemudian saya bertanyakan pula kepada pelajar-pelajar 2 Omar perkara yang sama seperti semalam, “Siapakah antara kamu semua yang mahu pinjamkan ustazah buku teks?”

Pelajar-pelajar 2 Omar berebut-rebut menjawab, “Saya, ustazah” sambil mengangkat buku teks masing-masing untuk diberikan kepada saya. Seorang pelajar lelaki yang kedudukan mejanya hampir dengan meja guru langsung bangun berjalan menuju ke meja guru dan menghulurkan bukunya kepada saya.

Saya menyambut huluran buku tersebut dengan memberikan pujian kepadanya, “Terima kasih kerana pinjamkan buku ini pada ustazah. Ustazah kagum. Malaikat pasti menulis kebaikan untuk kamu kerana telah meminjamkan buku ini pada ustazah.”

Sebaik pujian tersebut saya katakan, pelajar-pelajar 2 Omar yang lain mengeluh, “Ala…, ustazah. Kitorang bagi juga buku, tapi ustazah tak ambil.”

Nampaknya, impak memuji semalam telah mendorong pelajar-pelajar 2 Omar berebut-rebut mahu meminjamkan buku kepada saya. Dan pujian kepada pelajar yang memberikan buku teksnya kepada saya telah menyebabkan pelajar-pelajar 2 Omar tidak berpuas hati apabila buku mereka tidak diambil.

Bagi meredakan ketidakpuasan hati mereka, saya meneladani sikap Nabi Muhammad dalam menangani orang yang tidak berpuas hati berdasarkan hadith Bersin.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh saidina Anas bin Malik yang berbunyi, Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, “Yarhamkallah.” Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?” Nabi Muhammad menjawab, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulilliah.” (Lembaran aktiviti 1, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Ganjaran)

Dalam hadith ini, ada dua orang bersin dekat dengan Nabi. Yang seorang membaca “Alhamdulillah” selepas dia bersin, dan seorang lagi tidak membaca, “Alhamdulillah” selepas dia bersin. Nabi Muhammad mendoakan lelaki yang bersin dengan membaca, “Alhamdulillah” itu dengan doa, “Yarhamkallah." Manakala lelaki yang bersin tanpa menyebut “Alhamdulillah” itu tidak didoakan oleh Nabi.

Lelaki yang tidak membaca, “Alhamdulillah” selepas bersin itu tidak berpuas hati kerana Nabi Muhammad tidak mendoakannya. Dia bertanya kepada Nabi Muhammad, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?”

Nabi Muhammad hanya menerangkan sebab mengapa lelaki tersebut tidak didoakan sebagaimana lelaki yang seorang lagi dengan berkata, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulilliah.”

Nabi Muhammad tidak melakukan perkara-perkara di bawah ini untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati lelaki tersebut;

  1. Nabi Muhammad saw tidak memarahi orang yang tidak puas hati itu dengan berkata: “Kenapa awak cemburu?” (Salah)
  2. Nabi Muhammad saw tidak menasihati orang yang tidak berpuas hati itu dengan berkata: “Kalau awak hendak saya doakan awak, awak kenalah perbaiki kerja awak.” (Salah)
  3. Nabi Muhammad saw tidak membandingkan orang yang tidak puas hati itu dengan orang yang dapat ganjaran dengan berkata: “Lain kali awak kenalah buat kerja elok-elok macam Si Fulan, barulah saya beri awak ganjaran macam dia juga.” (Salah)
  4. Nabi Muhammad saw tidak mengkritik orang yang tidak puas hati tu dengan berkata: “Sikap awak tidak betul. Awak hendak saya beri ganjaran, tetapi kerja awak tidak semenggah!" (Salah) ~(Lembaran aktiviti 1, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Ganjaran)

Mendengarkan keluhan pelajar-pelajar 2 Omar yang tidak berpuas hati kerana pujian diberikan kepada pelajar yang meminjamkan buku teks tersebut, saya berkata, “Ustazah memuji dan mengambil  buku dia kerana dia datang ke meja guru dan memberikannya sendiri kepada ustazah. Sedangkan kamu hanya memberikan buku untuk diambil dari tempat duduk masing-masing.”

Pelajar-pelajar 2 Omar senyap selepas mendengar penerangan saya tersebut. Barangkali penerangan saya tadi telah membuatkan mereka berpuas hati. Namun, saya tetap memuji niat mereka yang mahu meminjamkan buku kepada saya menggunakan Format Pujian Nabi. Ini kerana, niat untuk memberi pinjam buku juga merupakan kebaikan. Dan pujian berdasarkan Teknik Nabi sudah boleh diberikan sebelum, semasa dan selepas kerja dilakukan.

Saya berkata, “Jangan risau. Walaupun ustazah tidak mengambil buku kamu, kamu tetap mendapat pahala kerana ada niat nak beri ustazah pinjam buku. Ustazah sangat gembira apabila semua pelajar mahu meminjamkan buku kepada ustazah. Kamu akan mendapat pahala atas niat kamu yang mahu meminjamkan buku tersebut.”

“Yeay…yeay!”
“Yeay, kita pun dapat pahala.” Sorak pelajar-pelajar 2 Omar sebaik mendengar kata-kata saya.

Selepas itu, P&P untuk mata pelajaran Al-Quran dapat dijalankan dengan lancar. Setiap kali melihat kebaikan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar 2 Omar, saya akan memuji mereka mengikut Format Pujian Nabi. Sepanjang P&P berlangsung, semua pelajar memberikan kerjasama yang sangat baik. Pelajar yang tegar ridur di dalam kelas juga belajar sebagaimana kawan-kawannya yang lain.

Selepas tamat masa belajar subjek Al-Quran, saya mengajar mata pelajaran Jawi pula di dalam kelas 2 Omar. Perbahasan untuk mata pelajaran Jawi kali ini adalah berkenaan Suku Kata Nama Tertutup + Suku Kata Nama Terbuka.

Belum sempat saya membuka mulut bertanyakan kepada pelajar-pelajar 2 Omar sekiranya ada yang sudi meminjamkan buku, seorang pelajar lelaki dari barisan belakang bangun datang ke meja guru. Dia memberikan buku teks Jawinya kepada saya untuk digunakan.

Katanya, “Ustazah, ini buku saya. Saya pinjamkan pada ustazah untuk ustazah ajar kami.”

Sungguh saya amat terkejut dan kagum dengan perbuatan pelajar tersebut. Terharu juga ada, hampir-hampir mahu menangis (oh, saya ini orang cengeng. Jangan lupa itu). Dari tempat duduknya yang  jauh di belakang, dia datang ke meja guru semata-mata mahu meminjamkan buku teksnya kepada saya. Datang pula sebelum ditanyakan. Allah maha besar, hebatnya Teknik Nabi.

Saya memuji perbuatannya tersebut berdasarkan Format Pujian Nabi. Saya memujinya dengan berkata, “Sungguh ustazah bangga kamu sanggup bangun datang ke meja guru semata-mata mahu pinjamkan buku kepada ustazah. Allah akan berikan pahala yang banyak kepada kamu. Setiap langkah kaki kamu berjalan ke meja guru akan ditulis malaikat sebagai perbuatan baik yang kamu buat pada hari ini.”

Pelajar tersebut mengangguk-angguk dan senyum malu-malu mendengar pujian saya. Dia kembali ke tempat duduknya dengan senang hati.

Format pujian Teknik Nabi;
Pujian dimulakan dengan ayat, “Saya kagum…,”
“Saya suka…,”
“Saya bangga…,
“Saya gembira…”
“…ustazah bangga kamu sanggup bangun…”

Puji hasil kerja:
“Saya kagum dengan kata-kata itu.”
“Sungguh ustazah bangga kamu sanggup bangun datang ke meja guru semata-mata mahu pinjamkan buku…”

Nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji:
“Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.”
“Allah akan berikan pahala yang banyak kepada kamu. Setiap langkah kaki kamu berjalan ke meja guru akan ditulis malaikat sebagai perbuatan baik yang kamu buat pada hari ini.”

Selepas itu, saya memulakan P&P Jawi dengan membaca dan mengeja potongan-potongan ejaan Suku Kata Nama Tertutup dan Suku Kata Nama Terbuka.

“Ba..alif..ba.”
“Ba…wau..bu.”
“Alif…aaa.”
“Ha..nun..han.”
“Kaf..ro..kar.”
“Dal..alif.. Da.”
“Tha..nga..tang.”
“Alif..ha..ah.”

Saya mengeja dan membunyikan ejaan suku kata satu persatu. Kemudian pelajar-pelajar 2 Omar turut ikut membaca secara beramai-ramai.

“Baiklah, sekarang kita akan bina perkataan dari suku kata yang telah dibaca.” Terang saya kepada pelajar-pelajar 2 Omar.

“Cikgu, macam mana?”

“Begini. Kita akan menggabungkan setiap ejaan suku kata dengan satu ejaan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ‘Ba..alif’, bunyinya ‘ba.’ ‘Tha..nga’..pula, bunyinya ‘tang’. Apabila kita gabungkan ‘ba + tang’, jadilah perkataan yang bunyinya, ‘batang’.”

“Ooo, macam tu. Senang saja cikgu. Dal..alif..da, Ha..nun..han (da + han), dahan. Betul tak cikgu?” Tanya seorang pelajar yang duduk di barisan hadapan.

“Bagus, tepat sekali. Itu tandanya kamu faham apa yang ustazah ajarkan.” Pelajar itu senyum mendengar pujian saya.

Selepas itu, beberapa orang pelajar lagi mengangakat tangan mahu mencuba membina perkataan.

“Cikgu, alif..aaa, kaf..ro..kar (a + kar), akar.”
“Cikgu, ba..alif…ba, tha…nga..tang (ba + tang), batang.”
“Cikgu, ba..wau..bu, alif..ha..ah (bu +ah), buah.”

“Bagus, tepat sekali. Tiga bintang.”

Sebaik selesai membina dan menuliskan sepuluh perkataan yang dieja pelajar di papan putih, saya meminta pelajar-pelajar 2 Omar menyalin semula perkataan-perkatan tersebut di dalam buku tulis sebagai latihan untuk mereka pada hari itu. Mereka menyalin dengan senang hati.

Ketika menanti latihan tersebut siap disalin, saya memantau pelajar-pelajar 2 Omar yang tekun membuat kerja dari meja guru. Ketika mata menyinggah pada barisan pertengahan meja pelajar lelaki, pelajar tegar tidur tadi kelihatan menguap-nguap sambil menyalin latihan. Sebaik dia meletakkan kepalanya di atas meja dan matanya terkelip-kelip, saya buat-buat tidak nampak.

Dalam Teknik Nabi Muhammad mendorong orang-orang corot, apabila seseorang malakukan perkara yang salah dan juga perkara yang betul dalam masa yang sama, Nabi Muhammad pura-pura tidak nampak kesalahan yang dilakukan, sebaliknya Nabi Muhammad memuji kebaikan yang dilakukan oleh orang tersebut. Teknik ini disebut, Tutup Mata pada Kesalahan, Puji Kebaikan

Berdasarkan hadith 12 Malaikat, Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.' ~Blog Tim Hadith Psikologi.

Kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu:
  1. Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah mula bersembahyang dia baru sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh.
  2. Dia bercakap kuat di dalam masjid sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.
  3. Apabila ditanya oleh Nabi Muhammad siapa yang bercakap kuat tadi, dia tidak mengaku.

Kebaikan yang dilakukan oleh lelaki itu:
  1. Datang lambat bukanlah perbuatan berdosa, cuma kuranglah pahalanya. Walaupun dia datang lambat, tetapi dia datang juga ke masjid. 
  2. Dia sempat ikut sembahyang berjemaah.
  3. Walaupun dia bercakap kuat, tetapi kata-kata yang diucapkannya adalah kata-kata yang bagus, kerana dia memuji-muji Allah.
  4. Walaupun dia lambat, sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh dan termengah-mengah, dia tetap ingat kepada Allah, dan mulutnya memuji-muji Allah.
  5. Tidak ada sesiapa menyuruh dia berzikir tetapi dia mengambil inisiatif melakukan perbuatan baik itu.
  6. Seni kata dalam bacaan zikirnya itu adalah ciptaannya sendiri.

Saya cuba mempraktikkan teknik ini bagi mengatasi rasa mengantuk seorang pelajar tegar tidur 2 Omar tersebut.

Dalam situasi pelajar 2 Omar, pelajar tegar tidur tersebut menguap dan mula mahu tidur dengan meletakkan kepalanya di atas meja. Ini merupakan kesalahan kerana di awal pelajaran, saya sudah menerangkan beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan oleh seorang pelajar apabila guru berada di dalam kelas antaranya adalah tidur. Dalam masa yang sama, dia menulis latihan Jawi yang diberikan di papan putih.

Saya tidak menegur, memarahi, mengkritik dan menyiasat mengapa pelajar tersebut menguap dan mahu tidur. Sebaliknya, saya bangun daripada tempat duduk menuju ke meja pelajar tersebut dan memuji kebaikan yang sedang dilakukan pelajar tersebut iaitu menyalin latihan di dalam buku tulis walaupun dia amat mengantuk.

Saya berkata, “Ustazah kagum kamu tetap buat latihan walaupun kamu terpaksa lawan rasa mengantuk. Apabila selalu kamu lawan rasa mengantuk ketika belajar, kamu tidak akan tidur di dalam kelas. Kamu juga tidak akan tertinggal dalam pelajaran.”

Pelajar tersebut memandang saya tanpa sebarang reaksi di wajahnya. Namun, sebaik saya mengangkat kaki dari tempat duduknya, dia bangun duduk seperti biasa menyalin latihan.

Kemudian, saya memantau pula pelajar-pelajar 2 Omar yang sedang menulis latihan. Kelihatan beberapa orang pelajar menguap-nguap seperti pelajar tegar tidur tadi. Seperti yang dilakukan kepada pelajar tegar tidur tadi, saya juga berpura-pura tidak nampak pelajar-pelajar 2 Omar lain yang sedang menguap-menguap.

Sebaliknya, saya memberikan penyelesaian kepada semua pelajar 2 Omar dengan mengajak mereka bangun dan bermain. Saya berkata, “Baiklah, letakkan pensil kamu. Sekarang kita akan bermain sekejap bagi menghilangkan rasa mengantuk.”

“Kamu ikut apa yang ustazah cakap, jangan ikut apa yang ustazah tunjuk.”
“Cikgu, macam mana? Tak faham.”
“Begini, apabila ustazah sebut hidung, kamu tunjuk hidung. Jangan ikut apa yang ustazah tunjuk. Ini kerana, boleh jadi ustazah sebut hidung, tetapi ustazah tunjuk perut. Itu sudah salah. Faham?”
“Faham, cikgu.”

Kami bermain permainan Dengar dan Tunjuk ini selama beberapa minit. Apabila ada pelajar yang silap dalam mendengar arahan, mereka akan salah menunjuk. Pecah tawa seisi kelas. Ini membuatkan kelas ceria dan rasa mengantuk tidak lagi terasa.

Setelah selesai bermain, kami menyambung semula pelajaran yang tertangguh. Tiada lagi pelajar yang mengantuk dan mahu tidur. Semuanya berusaha menyiapkan latihan yang diberikan. Seorang demi seorang datang ke meja guru menghantar latihan yang sudah siap disalin.

Catatan mengenai panggilan Ustazah Comel yang pernah dikongsi di Fb.

Ketika saya menanda buku tulis Jawi pelajar, beberapa orang pelajar  2 Omar mengerumuni meja guru. Mereka bertanya, “Cikgu, nama cikgu siapa?”

“Haah, nama cikgu siapa? Saya suka belajar dengan cikgu.” Berulangkali pertanyaan itu diajukan oleh pelajar-pelajar 2 Omar yang sedang mengelilingi meja guru.

Pada mulanya, saya hanya diam memikir-mikir. Apakah perlu atau tidak saya memberitahu nama kepada pelajar-pelajar yang bertanya. Namun entah bagimana, tiba-tiba terasa mahu mengusik mereka.

“Panggil saya Ustazah Comel.” Jawab saya sengaja mahu bergurau dan melihat reaksi mereka.

“Haa.., nama cikgu Ustazah Comel?” Tanya seorang pelajar yang mahukan kepastian.

Saya hanya tersenyum sambil ketawa kecil. Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak. Melihat saya tidak berkata apa-apa, pelajar-pelajar yang sedang menanti buku tulisnya ditanda melaung kepada kawan-kawannya yang masih berusaha menyelesaikan latihan yang diberikan.

“Wei, nama cikgu Ustazah Comellah. Kita kena panggil cikgu Ustazah Comel.”
“Nama cikgu Ustazah Comel.” Sahut beberapa orang pelajar yang berada di hadapan meja guru pula.

Tidak lama selepas itu, beberapa orang pelajar benar-benar memanggil saya dengan gelaran tersebut.

“Cikgu..Ustazah Comel... Ustazah Comel.”
“Ustazah Comel, saya sudah siap salin latihan di dalam buku tulis.” Seorang pelajar mengangkat tangan.

“Cikgu Ustazah Comel, saya pun sudah siap.” 

Hampir sahaja terburai tawa saya mendengar kata-kata mereka. Niat mahu mengusik, bertukar jadi malu pula. Sakit juga perut menahan ketawa. Lebih tidak tahan, sudahlah dipanggil cikgu, dipanggilnya juga ustazah. Aduh, budak-budak kecil ini memang lurus. Apa sahaja kita ajarkan mereka akan cepat ikut.

“Eh, jangan panggil Ustazah Comel. Nama ustazah Siti Khadijah. Panggil Ustazah Khadijah atau Cikgu Khadijah.” Akhirnya saya terpaksa juga memberitahu nama sebenar kepada semua pelajar-pelajar 2 Omar.

“Ooo, nama cikgu Ustazah Siti Khadijah.” Mereka mula membetulkan panggilan daripada Ustazah Comel kepada Cikgu Siti Khadijah.

Selesai menanda semua buku latihan pelajar 2 Omar, saya memberitahu mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir saya mengajar mereka.

Saya berkata, “Hari ini adalah hari terakhir ustazah mengajar kamu. Esok, guru kelas kamu akan datang semula untuk mengajar kamu. Terima kasih kerana beri kerjasama selama ustazah mengajar kamu. Ustazah suka mengajar kamu kerana kamu semua ikut dan buat apa yang ustazah suruh. Ustazah sangat yakin, kalau beginilah sikap kamu, kamu semua akan menjadi pelajar yang berakhlak baik dan berjaya dalam pelajaran. Belajarlah rajin-rajin agar kamu menjadi orang berguna.”

"Cikgu, saya pun suka belajar dengan cikgu."
"Saya pun suka cikgu."
"Saya pun."

Selepas waktu rehat, saya mengajar di dalam kelas 2 Abu Bakar pula sehingga waktu balik. Apabila semua pelajar 2 Abu Bakar sudah pulang, seorang pelajar kelas 2 Omar datang menghampiri saya dan berkata, “Cikgu, nanti bila-bila cikgu kelas saya tiada, cikgu ganti ajar kelas saya ya. Saya suka belajar dengan cikgu.”

“Inshaallah.” Jawab saya pendek.

Pelajar tersebut menyalami tangan saya dan kemudian menuju ke tangga untuk pulang. Dia melambai-lambaikan tangannya kepada saya sambil berkata, “Cikgu, kan seronok kalau cikgu kelas saya pergi kursus hari-hari.” =)





Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...