Seperti Puan Khairulaniza yang mempunyai episod-episod
kecil bersama pelajar-pelajarnya, saya juga mempunyai episod-episod kecil
bersama pelajar 5 Ali dan pelajar 5 Omar. Memandangkan kini saya amat sibuk
dengan beberapa urusan, maka tidaklah dapat saya catatkan entri-entri
penggunaan Teknik Mendorong Pelajar Corot menggunakan teknik Nabi Muhammad
secara terperinci seperti entri-entri sebelum ini.
Seorang pelajar 5 Omar dengan sukarela menjadi jenazah. Kali ini, Faruq mengambil posisi di kepala mayat.
Bagi tidak menghampakan pengunjung-pengunjung
blog dan membiarkan blog ini berterusan sepi, saya memutuskan untuk mengikut
jejak Puan Khairulaniza berkongsi episod-episod kecil bersama pelajar kepada
pembaca. Inshaallah sekiranya ada kesempatan yang lebih panjang, nanti akan
saya kongsikan entri-entri terbaru blog USK Mendorong Pelajar Corot Menggunakan
Teknik Nabi secara terperinci seperti biasa.
Baiklah, mari kita mulakan kisah
Episod-episod Kecil bersama pelajar dengan entri episod kecil pertama yang bertajuk
Disuruh Sekadar Menunjukkan, Mereka Serius Mahu Melakukan Yang Sebenar.
Pada hari Khamis minggu lepas dan hari Isnin
(minggu ini) yang lalu, saya masuk ke dalam kelas 5 Omar dan 5 Ali untuk
mengajar matapelajaran Fekah. P&P matapelajaran Fekah minggu lepas dan
minggu ini adalah mengenai perbahasan Fekah sekitar Solat Jenazah. Oleh kerana sekolah kami merupakan sekolah
integrasi, pelajar-pelajar tahun lima
harus mengambil keseluruhan subjek silibus integrasi daripada pihak JAKIM dan
JAIS. Ya, setiap satu matapelajaran pelajar tahun lima mempunyai dua buah buku
khusus. Satu daripada JAKIM, dan satu lagi daripada JAIS.
Untuk P&P awal tahun sehingga Ujian
Prestasi Fasa Pertama (Januari – Mac) yang lalu, guru-guru tahun lima diminta
mengajar menggunakan silibus pelajaran daripada JAKIM. Sementara selepas Ujian
Prestasi Fasa Pertama (April – Mei), kami diminta pula menggunakan silibus
daripada JAIS. Ini kerana, soalan-soalan peperiksaan awal tahun yang bakal bermula pada 15 Mei
2012 ini telah digubal oleh pihak atasan menggunakan silibus JAIS.
Oleh kerana kesilapan teknikal, pertukaran
silibus bagi bulan April sehingga Mei ini tidak sampai ke pengetahuan saya.
Saya meneruskan P&P sehingga hujung bulan April menggunakan silibus
daripada JAKIM. Ini kerana, saya amat menitik beratkan peperiksaan UPKK yang
bakal diduduki pelajar-pelajar tahun lima di hujung tahun ini. Dan kerana
itulah saya menggunakan silibus buku-buku JAKIM.
Saya hanya mengetahui perkara ini apabila
diberitahu dalam mesyuarat guru-guru tahun lima bersama pengetua sekolah awal
Mei yang lalu. Sebaik maklum perkara ini, saya segera mengubah P&P bulan
Mei menggunakan buku-buku JAIS. Oleh kerana kesilapan teknikal ini, maka
banyaklah tajuk-tajuk di dalam silibus JAIS yang sepatutnya sudah diajarkan
tertangguh. Pelbagai usaha saya lakukan untuk mengejar silibus yang tertinggal.
Antara perkara yang sering saya pesankan
kepada pelajar sebelum memulakan kelas adalah, saya mohon kerjasama mereka
untuk memberi perhatian terhadap pelajaran yang bakal disampaikan. Oleh kerana
kelas 5 Ali dan kelas 5 Omar sudah biasa dengan Teknik Nabi Muhammad, mereka
cepat faham dan memberikan kerjasama yang sangat baik semasa P&P berlangsung.
Setiap kali melihat kebaikan yang dilakukan oleh pelajar daripada dua kelas
ini, saya akan memuji-muji mereka (menggunakan Teknik Nabi) meskipun kebaikan
yang dilakukan adalah sangat kecil.
Kerana kerjasama ini, silibus JAIS yang
tertangguh dapat diselesaikan dalam tempoh yang tidak lama. Hari Khamis minggu
lalu, saya mengajar kelas 5 Omar matapelajaran Fekah mengenai Solat Jenazah.
Selesai menerangkan dan mengulang tunjuk cara solat jenazah, saya meminta
pelajar 5 Omar meniru perlakuan saya.
Pada mulanya, saya menggunakan pembaris
panjang guru sebagai jenazah. Saya minta para pelajar mensolatkan jenazah
seorang wanita Islam. Mereka segera faham arahan yang diberikan. Faruq yang
menjadi imam segera berdiri di sisi pinggang mayat sambil memulakan niat solat
jenazah. Manakala, beberapa orang pelajar 5 Omar yang menjadi makmum segera
mengikuti perbuatan Faruq. Praktik solat jenazah disempurnakan mereka dengan
empat kali takbir yang mana setiap takbir diselangi dengan doa Iftitah,
Al-Fatihah, selawat dan doa. Selesai menyempurnakan praktik ini, mereka memberi salam.
Pembaris panjang guru ini menjadi jenazah perempuan. Faruq yang menjadi imam mengambil posisi di tengah-tengah (pinggang) jenazah perempuan
“Ustazah, kalau kita datang lambat. Kemudian
kita tidak tahu mayat yang disolatkan imam lelaki atau perempuan macam mana
kita mahu niat? Mahu baca niat untuk jenazah lelaki atau perempuan?” Tanya
seorang pelajar 5 Omar kepada saya.
“Begini, kita lihat keadaan imam yang sedang
mensolatkan jenazah tersebut. Sekiranya imam berdiri di sisi kepala mayat, itu
beerti jenazah lelaki yang sedang disolatkan. Dan sekiranya imam tersebut
berdiri di sisi tengah (pinggang) jenazah, itu beerti jenazah yang sedang
disolatkan adalah seorang perempuan.” Jawab saya sambil membacakan kembali
cara-cara solat jenazah yang diterangkan di dalam buku Fekah JAIS.
“Ooo.” Jawab mereka.
“Ustazah, jom kita solat jenazah untuk lelaki
pula. Tadi jenazah perempuan.” Sampuk seorang lagi pelajar.
“A’ah Ustazah. Jomlah! Kali ini, kita buat
yang real punya. Biar saya jadi mayat.” Seorang lagi pelajar lelaki menyampuk
perbualan kami.
Saya senyum, tadi disuruh menunjukkan
sekadarnya sahaja. Kali ini mereka serius mahu melakukan solat jenazah yang
sebenar. Wajah mereka begitu mengharap sekali.
“Bolehlah Ustazah.”
“A’ah Ustazah, bolehlah. Nanti kami akan
semakin faham.” Balas seorang lagi pelajar 5 Omar.
Sambil tersenyum, saya menjawab, “Baiklah.
Kita akan melakukan solat jenazah yang sebenar.”
Sebaik mendengar persetujuan saya, tanpa
berlengah mereka membentuk saf. Seorang pelajar yang telah menawarkan diri menjadi
jenazah sebentar tadi membaringkan dirinya di atas meja. Pelajar 5 Omar yang
menjadi Imam dan Makmum segera menyempurnakan solat jenazah bagi seorang
lelaki. Saya dapati, solat jenazah mereka dapat dilakukan dengan baik meskipun
mereka masih melihat buku. =)
Sementara kisah episod kecil mengenai
pengurusan jenazah bagi kelas 5 Ali pula berlaku pada hari Isnin yang lalu.
Oleh kerana kedatangan pelajar 5 Ali yang tidak sampai ½ daripada bilangan
pelajar sepatutnya di dalam kelas 5 Ali, saya membawa pelajar 5 Ali yang hadir
ke perpustakaan sekolah. Di perpustakaan, saya menyambung P&P minggu lalu
berkenaan pengurusan jenazah.
Memandangkan masa saya bersama pelajar 5 Ali
lebih lama berbanding pelajar 5 Omar (dua kali seminggu), perbahasan Fekah
sekitar solat jenazah di dalam kelas 5 Ali telah masuk kepada perbahasan memandikan dan mengkafankan
jenazah.
Seperti pelajar 5 Omar, saya juga melakukan
perkara yang sama untuk kelas 5 Ali. Saya minta kerjasama mereka ketika sesi
P&P dijalankan, dan mereka menurut permintaan saya dengan mudah sekali.
Saya terangkan cara-cara memandi dan mengkafankan jenazah. Pada mulanya saya
hanya menerangkan secara lisan dengan menggayakan cara-cara memandikan jenazah
di hadapan mereka. Namun, mereka tidak berpuas hati. Seperti pelajar 5 Omar,
mereka juga meminta supaya praktik memandi dan mengkafankan jenazah dilakukan
secara sebenar.
“Ustazah, kita buat yang betul-betullah. Baru
best.” Solahuddin memberi cadangan.
“Ya, Ustazah. Kita buat yang betul-betul,
biar saya yang buat. Ustazah tengok, betul atau tidak saya buat.” Sambung Abang
Ngah pula.
“Saya nak jadi mayat, Ustazah.” Solahuddin
sekali lagi menyampuk dengan menawar diri untuk menjadi jenazah.
“Biar saya jadi tukang baca arahan, Ustazah.”
Edry Abd Halim pula menawarkan dirinya untuk membacakan cara-cara memandikan jenazah yang tertulis di papan putih.
Akhirnya saya mengangguk menyetujui cadangan
mereka dengan menyatakan, “Bagus, Ustazah suka semangat belajar kamu. Sekarang
kita akan melakukan cara-cara memandikan mayat yang sebenar.” Ketika
mengkafankan mayat juga, pelajar 5 Ali meminta untuk melakukan betul-betul sebagaimana
yang sebenar.
Abang Ngah siap memandikan jenazah
Edry sedang membacakan cara-cara memandikan jenazah bagi membantu Abang Ngah
Abang Ngah sempat memberikan pose istimewa ketika mewudukkan jenazah
Sungguh saya kagum dengan kesungguhan dan
semangat belajar pelajar dua kelas ini. Apabila saya menyuruh sekadar
menunjukkan yang biasa-biasa, mereka mahukan yang sebenar. Ini membuktikan
self-esteem (maruah) dan semangat belajar mereka sudah sangat tinggi.
*Nota, kerana ketiadaan kain putih, saya
menggunakan kain pink yang dipinjam daripada perpustakaan. Saya meminta mereka
menganggap kain tersebut adalah kain yang berwana putih. Seorang penolong guru
yang bernama Aiman berkata, “Ustazah, kain ini warna pink. Ini menunjukkan yang
si mayat adalah lelaki lembut kerana hanya perempuan sahaja yang sukakan warna
pink.” Kami sama-sama ketawa mendengar kata-katanya.
Ini pula, foto Sue (menunduk memandang bawah meja), Nano, Edry dan Solahuddin yang sedang menghafalkan niat memandikan jenazah lelaki dan perempuan. Menghafal sehingga tertutup-tutup matanya.
Angah sedang meminta rakan-rakannya menyemak hafalan niat memandikan jenazah lelaki dan perempuan. Manakala yang duduk menghafal sendirian di hujung sana, adalah pelajar pendiam yang suka menyendiri si Fattah Vasya.
Ini pula hero popular 5 Ali yang menghafal niat memandikan jenazah lelaki dan perempuan dengan gaya kuak lentang.
Ustazah Siti Khadijah
Assalamualaikum,
ReplyDeleteSuka baca perkongsian yg indah ini. Tahniah Ustazah.
Wa'alaiki assalam warahmatullah.
ReplyDeletePuan Mamawana,
Alhamdulillah, terima kasih. Moga bermanfaat.