Monday, February 9, 2015

3 Kisah Aplikasi Teknik Nabi Di Sekolah Baru


DIPOSTING ke sekolah baru, adalah peluang bagi saya meneruskan legasi mendidik dan mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi Muhammad ﷺ yang dipelajari daripada Tim Pengkaji Hadith Psikologi. Tambahan pula, suasana sekolah yang lebih menenangkan, dan rakan-rakan guru yang ramah serta tidak lokek berbagi ilmu dalam menunjuk arah, saya kira ia anugerah Allah yang tidak ternilai buat saya syukuri.
 
Saya berharap, agar tiada yang akan salah faham mengenai penulisan-penulisan saya ini baik di blog, mahu pun catatan-catatan yang boleh dibaca melalui dinding-dinding Fb. Saya sama sekali tidak bermaksud mahu menunjuk pandai atau mengajar-ngajar guru-guru lain apalagi mahu mengubah corak didikan guru sedia ada.


Cukuplah saya katakan, saya selesa mendidik dan mendorong pelajar meggunakan Teknik Nabi Muhammad  ﷺsebagai panduan saya untuk lebih mudah menyantuni pelajar dan mempraktik pendekatan mengajar berlandaskan sunnah. Soal berjaya mahu pun tidak, juga soal istiqamah mahu pun tidak, saya serahkan pada Allah.


Di sekolah baru ini, saya masih belum berpeluang mengajar subjek major; Bahasa Arab. Allah mentakdirkan saya terpilih mengajar subjek minor iaitu Pendidikan Agama Islam (Al-Quran dan Jawi). Ini kerana, sebaik melapor diri tempohari, keesokan harinya seorang guru j-QAF opsyen Pendidikan Agama Islam cuti bersalin. 


Setiap kali waktu subjek minor Pendidikan Agama Islam, guru j-QAF akan berpasangan dengan guru GPI (Guru Pendidikan Islam). Ini membuatkan satu kelas PAI biasanya, akan mempunyai dua atau lebih daripada seorang guru. Keadaan ini menyebabkan, saya sedikit segan mengaplikasi Teknik Nabi.


Al-maklumlah, saya ini orang baru. Sebolehnya, saya tidak mahu kelihatan seolah-olah saya bertindak mengikut kepala sendiri tanpa memikirkan perasaan guru lain yang juga turut bersama saya di dalam kelas. Mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan P&P. Jadi sebagai orang baru, saya lebih banyak mahu berguru dan memerhatikan mereka mengendalikan kelas. 


Kadangkala, saya kelihatan sudah seperti seorang pencuri. Apabila saya berpeluang masuk awal ke kelas, saya akan segera menyantuni para anak didik menggunakan Teknik Nabi ﷺ. Di bawah ini, adalah catatan-catatan kisah pendek saya megaplikasi Teknik Nabi Muhammad ﷺ sepanjang minggu-minggu awal menabur bakti di sekolah. 

1.Teknik Menegur Dengan Memberi Informasi.

Pagi hari Rabu minggu pertama yang lalu , saya mengendalikan kelas Tasmik bagi satu kelas pelajar cemerlang seorang diri. Ini merupakan dua kelas Tasmik yang saya kendalikan secara perseorangan. Menurut saya, barangkali kerana ia kelas pelajar cemerlang dan silibusnya hanyalah guru perlu mendengar dan menyemak bacaan pelajar, ia tidak memerlukan kepada guru j-QAF berpasangan seperti kelas PAI yang lain. Ini membolehkan saya mengaplikasi Teknik Nabi tanpa rasa segan. Hehehe. 


Ketika saya masuk ke dalam kelas 4 Berlian pagi itu, para pelajar masih sibuk mengurus matapelajaran sebelumnya. Ada di antara mereka yang masih menulis, ada juga yang masih duduk bercakap dengan rakan sebelah menyebelah. Pendek kata, tidak semua daripada mereka berdiri untuk memberi salam sebagai ucapan hormat kepada seorang guru. Ketua kelas mereka pula terus memberi salam tanpa melihat situasi pelajar lain terlebih dahulu.


Sebaik saya menjawab salam yang diberikan. Saya lalu menegur kesilapan mereka menggunakan Teknik Menegur Dengan Memberi Informasi. Saya berkata,


“Sesungguhnya seorang ketua kelas tidak boleh memberi salam selagi semua rakan sekelasnya belum berdiri tegak dan bersedia untuk mengucapkan salam. Sebaliknya tanggungjawab seorang ketua sebelum memberi salam adalah memastikan semua rakannya berdiri tegak, dan setelah semuanya bersedia mengucapkan salam, barulah dia boleh mengetuai ucapan memberi salam dengan sempurna.”


Teknik Menegur Dengan Memberi Informasi di dalam teknik Nabi Muhammad ﷺ adalah berasaskan prinsip-prinsip berikut;


Pertama, Sebut perbuatan salah yang dilakukan pelajar; 


“Sesungguhnya seorang ketua kelas tidak boleh memberi salam selagi semua rakan sekelasnya belum berdiri tegak dan bersedia untuk mengucapkan salam.”


Kedua, Sebut atau berikan maklumat yang betul bagi membetulkan kesalahan pelajar;


“Sebaliknya tanggungjawab seorang ketua sebelum memberi salam adalah memastikan semua rakannya berdiri tegak, dan setelah semuanya bersedia mengucapkan salam, barulah dia boleh mengetuai ucapan memberi salam dengan sempurna.”


Ketiga, Gunakan skrip kata-kata seperti, “sesungguhnya…sebaliknya”.


Dalam skrip menegur perbuatan salah ketua 4 Berlian, saya telah menggunakan perkataan “Sesungguhnya…sebaliknya.”


“Sesungguhnya seorang ketua kelas tidak boleh….

“Sebaliknya tanggungjawab seorang ketua sebelum memberi salam…


Ketua kelas 4 Berlian dan semua pelajar yang yang mendengar teguran saya mengangguk-angguk. Ketika saya baru mahu memberi arahan supaya mereka duduk, tanpa disuruh tiba-tiba ketua kelas 4 Berlian sekali lagi memberi salam kepada saya. Kali ini, dia telah memastikan semua rakan sekelasnya berdiri tegak dan bersedia mengucap salam dengan lebih sempurna terlebih dahulu.


Saya memuji perbuatan mereka dengan berkata, “Bagus, beginilah cara yang paling betul memberi salam. Ustazah suka, Allah dan Rasul juga pasti suka.


Selepas itu, saya meminta mereka membaca doa belajar pula. Situasi kali ini, amat mengkagumkan. Mereka terdorong membaca doa secara bersama dengan menjaga tataterbib juga adab berdoa selepas dipuji. 


Kelihatan ramai pelajar membaca doa dengan begitu kusyuk dan semuanya membaca doa dari awal sehingga akhir secara serentak. Saya senyum sendiri seperti baru menerima hadiah daripada buah hati. Menakjubkan, baru dipuji sekali, mereka sudah terdorong memberikan yang terbaik dalam perbuatan mereka berikutnya.


Saya turut memuji perbuatan tertib dan beradabnya mereka ketika berdoa. Mereka tampak seronok dan gembira. Apabila saya memberi arahan supaya mereka membaca Al-Quran di tempat masing-masing, mereka menurut dengan mudah. Tiada yang membikin onar memeningkan. Kelas Tasmik pada hari itu berjalan lancar biar pun hanya beberapa orang sahaja nama pelajar sempat dipanggil dalam tempoh setengah jam. Ajaibnya, yang tidak dipanggil nama juga terdorong mengaji sendiri dari tempat duduk mereka. Subhanallah!


Benarlah menurut pengamatan saya, Teknik Nabi ini apabila diaplikasi kepada pelajar corot, ia akan menyebabkan mereka terdorong berubah cemerlang. Namun apabila diaplikasi pula kepada pelajar kelas yang sudah sedia cemerlang, mereka akan bertambah cemerlang. Tahniah para anak didik 4 Berlian.


Hadith rujukan; Hadith Badwi Kencing.


Anas bin Malik melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama Nabi Muhammad ﷺ . Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabu Muhammad ﷺ berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad  ﷺmemanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau pun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza Wajalla, bersembahyang, dan membaca Al-Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad ﷺ  menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. – Hadith no. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.



2.Teknik Memuji Gaya Nabi. 


Kesempatan mengaplikasi Teknik Pujian Gaya Nabi ini sebenarnya saya sendiri tidak perasan bahawa ianya telah diaplikasi secara tidak sedar kepada seorang pelajar di dalam kelas belakang ketika mengendalikan kelas bersama seorang lagi rakan guru Pendidikan Islam yang lebih berpengalaman pada pagi Khamis di awal minggu pertama yang lalu.


Saya hanya perasan apabila seorang pelajar lelaki kelas belakang memerhatikan dan menegur ketika saya mahu naik ke bilik guru melalui tangga berdekatan dengan kelas mereka.


Pada mulanya, bimbang juga saya. Tertanya-tanya, mengapa pelajar itu melihat saya begitu lama. Ada yang tidak kenakah pada penampilan saya pada hari itu?


Ketika kaki sudah menjejak anak tangga pertama, dia tiba-tiba menghampiri saya. Baru saya perasan bahawa dia adalah merupakan salah seorang daripada kelas tahun 4 paling belakang yang belajar subjek Pendidikan Agama Islam (PAI) bersama saya.


“Ustazah!” Sapanya ramah. Saya yang ketika itu berjalan menaiki tangga segera memberhenti langkah dan berpaling. 


“Ya, saya. Ada perkara apa kamu panggil ustazah?” Tanya saya seraya menatap wajah pelajar lelaki putih kemerahan itu.


“Ustazah, Faisalkan dia kata dia suka ustazah Khadijah.” Luahnya tersipu-sipu malu.


Seingat saya, semalam baru pertama kali saya masuk mengajar di dalam kelas pelajar tersebut. Itu pun, bukan mereka mahu belajar. Ada sahaja perkara yang dilakukan ketika guru sedang mengajar.


Bagaimana hari ini boleh sampai mesej ‘cinta’ pula? Si tukang penyampai mesej pula ketika berada di dalam kelas semalam, jauh sekali mahu memberi perhatian terhadap pelajaran yang diajar. Dia buat muka selamba dan tidak tahu sahaja apabila disuruh membaca Iqra’.


“Dia suka ustazah? Apa sebab dia suka ustazah?” Sengaja saya menduga pelajar si penyampai mesej tersebut. Jujurnya, saya mahu mendengar suara pelajar yang kurang memberi perhatian semasa guru mengajar semalam.


“Dia kata, dia suka ustazah sebab ustazah Khadijah cantik. Lepas itu, ustazah baik.” Tersenyum lebar saya mendengar pujian pelajar tersebut. Terasa kembang semangkuk dipuji sebegitu. 


“Beritahu Faisal, ustazah kirim salam. Cakap juga pada dia, ustazah pun suka dia kerana dia bakal jadi budak baik.” Balas saya spontan.


Merespon sapaan pelajar dengan cara menekankan bahawa mereka bakal menjadi insan baik juga merupakan suatu dorongan. Mudah-mudahan akan menjadi asbab mereka berubah, insya-Allah.


Saya meneruskan langkah ke tingkat atas. Selepas waktu rehat tamat, sekali lagi saya berpeluang masuk melaksanakan P&P di dalam kelas pelajar tersebut. Sebaik mereka memberi salam, pelajar lelaki yang berkulit putih kemerahan alias si penyampai ‘mesej cinta’ tadi memberitahu,


“Ustazah, inilah Faisal.”


Saya sempat memberikan senyuman yang paling manis buat pelajar yang bernama Faisai tersebut sambil mengangguk-angguk. Barulah saya kenal wajah si pengirim ‘mesej cinta’ tadi. Rupa-rupanya si pengirim ‘mesej cinta’ adalah ketua kelas tahun 4 tersebut.


Saya lalu teringat, semalam ketika si ketua kelas itu belajar subjek Al-Quran, saya sempat memuji kecepatan dan kefahaman beliau terhadap hukum Tajwid yang diajar oleh rakan guru Pendidikan Islam yang bersama saya. Sekiranya tidak silap, pujian saya berbunyi begini, 


“Ha, bagus! Cepatnya kamu jumpa contoh tanda Mad yang diajarkan. Ini menunjukkan kamu faham apa yang diajar ustazah. Kalau macam ini, senanglah kita mengaji selepas ini."


Dalam mengaplikasi Teknik Pujian Gaya Nabi ﷺ , ada empat perkara yang menjadi tunjang utama.


Pertama, Cari sekurang-kurangnya satu kebaikan pelajar.


Kebaikan Faisal adalah, dia cepat menjumpai contoh tanda-tanda Mad selepas diberi penerangan oleh guru.


Kedua, Mulakan skrip pujian dengan menzahirkan emosi positif seperti “Ustazah suka…Ustazah kagum” dan lain-lain.


Dalam skrip pujian yang saya ucapkan secara tidak sedar kepada Faisal, saya menzahirkan emosi positif yang berbunyi, 


“Ha, bagus!...”


Ketiga, Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha, teknik, kebaikan, sikap bukan orangnya.


“Cepatnya kamu jumpa contoh tanda Mad yang diajarkan”.


Keempat, nyatakan impak kepada perbuatan baik, hasil kerja, usaha, teknik atau sikap tersebut di dalam skrip ayat pujian.


“Ini menunjukkan kamu faham apa yang diajar ustazah.” (Impak pertama)

“Kalau macam ini, senanglah kita mengaji selepas ini.” (Impak kedua)


Menariknya pujian yang tidak saya sedari ini telah menyebabkan Faisai si ketua kelas mengirim ‘mesej cinta’ kepada saya melalui rakannya. Ini menunjukkan, self-esteemnya meningkat dan emosinya menjadi suka. Dia bukan sahaja suka mendengar pujian yang diucapkan kepadanya, tetapi juga suka kepada guru yang memuji. Begitulah hebatnya Teknik Nabi. Ia serampang dua mata.


Malah bukan sekadar itu kesan pujian gaya Nabi yang diucapkan kepada Faisal. Apabila saya menjalankan P&P matapelajaran Tasmik atau Al-Quran, sekiranya pelajar-pelajar lain membikin onar dengan melakukan hal-hal yang disukai mereka sesuka hati, sehingga disuruh membaca Iqra’ sendiri, mereka tidak mahu menurut.


Lalu saya akan menegur, “Tadi, Ustazah cakap apa?”


Kemudian Faisal si ketua kelas pula akan menyambung, “Woi, dengarlah cakap ustazah!”


Ini membuatkan saya senyum gelihati. Setiap kali saya menegur pelajar lain, Faisal si pengirim ‘mesej cinta’ alias ketua kelas pasti menyambung menyuruh rakan-rakannya mendengar cakap saya. Dia sebolehnya mahu membuatkan rakan-rakannya mendengar kata-kata dan arahan saya. 


Sikap Faisal yang seperti ini adalah hasil dorongan pujian saya secara tidak sedar. Bayangkan sekiranya saya mencipta skrip-skrip pujian yang lebih baik dari struktur ayat dan memaksudkannya secara khusus. Apakah kemungkinan yang mungkin berlaku?


Hadith rujukan; Hadith Pintu Langit Terbuka.


Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad ﷺ bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad ﷺ berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad ﷺ berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.” – Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.




3.Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Mengangkat Tangan.


Mengaplikasi teknik ini di awal-awal sesi P&P adalah sangat membantu para guru dalam meraih perhatian dan fokus pelajar. Ia juga amat bersesuaian diaplikasi apabila seorang guru menjadi guru ganti kepada sesuatu matapelajaran. Teknik ini selain tujuannya menaikkan self-esteem pelajar, ia juga sebenarnya menghilangkan jurang yang ada di antara guru dan pelajar.


Awal hari Isnin minggu kedua berada di sekolah baru yang lalu, saya diberi tugas mengganti seorang guru yang tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut bagi tahun 4 Nilam. Subjek matapelajaran yang diganti adalah Pendidikan Jasmani.


Bagi saya, ia bukanlah satu masalah apabila seorang guru opsyen Bahasa Arab diminta mengajar Pendidikan Jasmani. Ini kerana, ketika di kampus para guru opsyen Bahasa Arab mahu pun Pendidikan Agama Islam sudah diajar dan dilatih bagaimana mahu mengendalikan kelas Pendidikan Jasmani dengan aktiviti-aktiviti sukan ringan yang bermanfaat sekiranya diminta mengganti kelas Pendidikan Jasmani.


Namun situasi yang berlaku adalah jangka waktu ‘relief’ yang sepatutnya berlangsung selama 30 minit menjadi singkat disebabkan waktu perhimpunan rasmi terlajak. Ini menyebabkan waktu berbaki yang tinggal untuk kelas ganti pada hari itu hanya tinggal beberapa minit sahaja. Adalah sukar memikirkan apakah aktiviti yang bersesuaian dilakukan dalam tempoh masa tidak sampai sepuluh minit.


Mahu dibawa ke tempat biasa pelajar menjalani aktiviti Pendidikan Jasmani sahaja sudah makan masa beberapa minit. Saya memutuskan untuk menjalankan aktiviti singkat Pendidikan Jasmani bersama pelajar di dalam kelas sahaja.


Memandangkan kelas 4 Nilam adalah merupakan kelas ganti ketika itu, adalah penting untuk saya menarik minat pelajar supaya mereka boleh memberi perhatian dan mendengar kata-kata saya. Saya memilih untuk menggunakan Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar. 


Selepas menjawab salam para pelajar, saya lalu bertanya beberapa soalan berunsur akhlak kepada pelajar-pelajar tahun 4 Nilam. Soalan-soalan saya berbunyi; 


“Siapa di antara pelajar-pelajar sekalian yang pagi tadi sebelum dia pergi sekolah, dia salam tangan ibu dan ayah?”


Beberapa orang pelajar kelihatan mengangkat tangan. Biar pun tidak satu kelas yang mengangkat tangan, ramai juga yang mengangkat tangan menujukkan mereka menyalami ibu dan ayah mereka sebelum ke sekolah. Ini suatu akhlak yang baik.


Saya lalu berkata, “Bagus, menyalami ibu bapa akan membuatkan kita beroleh restu. Ibu bapa akan mendoakan yang baik-baik untuk anaknya di sekolah."


“Siapa yang datang sekolah dia cakap pada diri dia, ‘Aku datang sekolah nak belajar.’?”


Kali ini, kelihatan lebih ramai pelajar mengangkat tangan.


“Bagus!” Balas saya ringkas.


“Baiklah, siapa dia yang datang sekolah hari ini dia mandi bersih-bersih?”


“Saya cikgu!”


“Saya!” Bersemangat sekali para pelajar menjawab. Semuanya mengangkat tangan tanpa ada seorang pun yang terkecuali.


“Bagus, apabila kita mandi bersih-bersih sebelum datang ke sekolah, badan kita akan sihat dan kuat.”


Saya melanjutkan bertanya soalan berikutnya.


“Siapa pula yang datang ke sekolah pada hari ini, dia sudah ada niat, sekiranya dia bertemu dengan guru-guru, dia akan berusaha memberi salam?”


“Saya…saya…saya, ustazah!”


“Allah, bagusnya! Sukanya ustazah. Siapa sahaja yang angkat tangan masa ustazah tanya soalan-soalan tadi, insya-Allah dia anak-anak ahli syurga."


"Apabila kita salam tangan ibu bapa sebelum ke sekolah, itu merupakan sifat seorang anak yang baik. Anak yang baik akan jadi anak soleh, dan anak soleh tempatnya disediakan di dalam syurga. Sementara niat datang sekolah sebab mahu belajar juga merupakan sifat ahli syurga. Ahli syurga terdiri daripada orang baik-baik dan orang yang suka belajar (ilmu). Mandi bersih-bersih juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri ahli syurga. Di dalam syurga, ahli syurga semuanya cantik, bersih dan memakai wangi-wangian. Apabila kita mandi bersih-bersih, badan kita akan sihat wangi. Dan siapa yang ada niat mahu beri salam pada guru juga dia insya-Allah boleh jadi ahli syurga, kerana di dalam syurga Allah sebut, ahli-ahli syurga apabila saling berjumpa mereka akan memberi salam dengan gembira.”


Para pelajar bertepuk tangan dan bersorak, ‘Yeay!’ apabila mendengar kata-kata saya. Mereka begitu gembira dan seronok. Usaha saya mahu memancing minat mereka membuahkan hasil. Alhamdulillah!


Selepas itu, kelas dimulakan dengan senaman menarik nafas kemudian melepaskannya secara perlahan-lahan. Baru dua kali kami menarik nafas, loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu kelas Pendidikan Jasmani. Saya mendengar keluhan pelajar yang berbunyi, “Alaaa…” Hahaha.


Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Mengangkat Tangan berasaskan perkara-perkara berikut;


Pertama, Mulakan soalan dengan kata tanya yang berbunyi, “Siapakah…”


Kedua, Pastikan soalan yang ditanya adalah soalan berunsur akhlak mulia dan mampu diangkat tangan oleh semua pelajar.


“Siapa di antara pelajar-pelajar sekalian yang pagi tadi sebelum dia pergi sekolah, dia salam tangan ibu dan ayah?”

“Siapa yang datang sekolah dia cakap pada diri dia, ‘Aku datang sekolah nak belajar.’?”

“Siapa dia yang datang sekolah hari ini dia mandi bersih-bersih?”

“Siapa pula yang datang ke sekolah pada hari ini, dia sudah ada niat, sekiranya dia bertemu dengan guru-guru, dia akan berusaha memberi salam?”


Ketiga, Tutup soalan-soalan yang ditanyakan dengan ayat-ayat pujian dan impak melakukan perkara-perkara yang ditanyakan.


“Allah, bagusnya! Sukanya ustazah. Siapa sahaja yang angkat tangan masa ustazah tanya soalan-soalan tadi, insya-Allah dia boleh jadi ahli syurga.” 


“Apabila kita salam tangan ibu bapa sebelum ke sekolah, itu merupakan sifat seorang anak yang baik. Anak yang baik akan jadi anak soleh solehah, dan anak soleh tempatnya disediakan di dalam syurga. Sementara niat datang ke sekolah sebab mahu belajar juga merupakan sifat ahli syurga. Ahli syurga terdiri daripada orang baik-baik dan orang yang suka belajar (ilmu). Mandi bersih-bersih juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri ahli syurga. Di dalam syurga, ahli syurga semuanya cantik, bersih dan memakai wangi-wangian. Apabila kita mandi bersih-bersih, badan kita akan sihat dan wangi. Begitu juga siapa yang ada niat mahu beri salam pada guru, dia insya-Allah boleh jadi ahli syurga, kerana di dalam syurga Allah sebut, ahli-ahli syurga apabila saling berjumpa mereka akan memberi salam dengan gembira.”



Hadith rujukan; Hadith Abu Bakar Masuk Syurga.


Abu Hurairah melaporkan, bahawa pada suatu masa Rasulullah pernah bertanya, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya!”

Lalu Nabi Muhammad pun berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” - Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim



Ustazah Siti Khadijah (USK)

Tuesday, February 3, 2015

Dari Admin : Ruang Muat Turun Sudah Boleh Digunakan!

Dari meja Admin:

Terima kasih atas sokongan tuan puan pelawat semua. Setakat ini, tidak kurang 100 orang pelawat yang mengunjungi blog ini setiap hari. Kami sedang berusaha keras bagi membolehkan tuan puan terus mendapat manfaat daripada perkongsian di blog ini.

Alhamdulillah, ruang Muat Turun sudah boleh digunakan. Bahan yang dikongsikan adalah hakcipta terpelihara bagi masing-masing empunya hak. Namun, sudah diberikan keizinan untuk dimuat turun.


Tuan puan punya bahan yang sesuai dikongsikan?
Atau tuan puan mahu memberi cadangan bahan apa yang patut dikongsikan?

Boleh komen di ruang di bawah.

Terima kasih.

ADMIN Blog USK

Wednesday, September 17, 2014

Teknik Penolong Guru Menyelesaikan Masalah Di Kelas Pemulihan j-QAF

Saya sering menggaru kepala setiap kali tibanya waktu kelas pemulihan j-Qaf. Keletah para pelajar yang ‘sangat kreatif’ dalam membikin onar sering menduga benteng kesabaran dan iman saya. Namun barangkali berkat mengaplikasi Teknik Nabi membuatkan kenakalan mereka kadangkala bertukar menjadi perkara yang menggelikan hati.


“Ini aku punya!”

“Lantaklah, tidak ada nama engkau pun di sini. Siapa dapat, dia punyalah.”

“Engkau ingat meja ini mak bapa kau punya ke?”

“Ustazah, dia yang ajak saya jalan. Dia nak ponteng ustazah. Saya nak pergi kelas.”

“Eleh, mana ada. Engkau yang ajak aku. Kau yang nak ajak ponteng cakap aku pula.”

“Ustazah, dia ambil air sembahyang main-main. Dia sengaja percikkan air pada baju saya. Tengok baju saya ustazah, habis basah.”

“Engkau yang kacau aku dulu. Dia pun sama, ustazah.”

“Woi, Quran itu aku punya. Aku dah simpan semalam.”

“Ah, bukan ada nama kau pun.”


Begitulah situasi yang kerap terjadi setiap kali kelas pemulihan j-QAF diadakan. Pasti ada sahaja masalah yang berlaku. Kalau tidak lambat datang ke kelas, sengaja melambatkan mengambil air sembahyang. Kalau tidak bergaduh sesama sendiri, mereka tidak bersemangat mahu mengaji. Kalaupun mengaji, bacaannya ala kadar sahaja. Itu belum disentuh mengenai bab bacaan, sekiranya disentuh, banyaklah kepincangan yang akan dijumpai.


“Assalamualaikum, Ustazah.”

“Wa’alaikumussalam.”


“Fuyoo, hari ini saya datang awal! Diorang semua dekat bawah lagi.” Adeeb terus duduk di pintu surau bagi membuka kasut untuk segera memasuki surau bersuara.


“Bagus! Apabila datang awal, cepatlah dapat kita mulakan kelas, dan cepat juga kelas dapat kita habiskan.” Balas saya. Salam Adeeb bersahut dan saya terus memuji perbuatannya. Dia sudah mula tersenyum suka.


“Haa… lambat! Aku sampai awal.” Adeeb ternyata cuba memprovok rakan-rakannya yang baru tiba beberapa minit kemudian.  Saya sudah mula menghidu akan adanya bunga pertengkaran.


“Tidak mengapa, yang penting kamu semua sudah selamat sampai. Lekas, kita mahu ambil air sembahyang pula. Ustazah mahu kamu keluar dua orang-dua orang untuk mengambil wuduk. Siapa mahu keluar dahulu?” Provokasi Adeeb segera dapat saya hentikan. 


“Saya dulu ustazah. Saya yang sampai dahulu.” Adeeb segera mengangkat tangan. Aduh, disuruh mengambil air sembahyang sahaja boleh jadi bergaduh.


“Sayalah ustazah. Asyik-asyik dia”. Aizami pula menyambung. Ternyata dia tidak berpuas hati dengan Adeeb.


“Baik, kamu berdua pergi dahulu. Nanti kita akan bergilir dengan yang lain pula. Edzuani dan Shaheera, kamu berdua pergi juga ambil air sembahyang.” Arah saya kepada dua orang lagi pelajar perempuan yang sedang duduk menyusun meja kecil berbentuk seperti rehal bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang bakal berlangsung.


Beberapa minit kemudian, Edzuani dan Shaheera segera kembali ke surau setelah mengambil air sembahyang di bilik wuduk. Namun bayang dua pelajar lelaki yang keluar mendahului mereka masih belum muncul. 


“Ustazah, diorang main simbah-simbah air. Siap jerit-jerit lagi. Kita orang pun dia orang baling dengan air.” Adu Edzuani lagi.


Saya diam. Hati sudah bergalau dua rasa. Rasa marah dan sabar bercampur. Namun amarah segera kendur sebaik minda mengingatkan, ‘Ingat teknik Nabi, tidak perlu marah-marah.’


“Fatihah dan Hidayah, kamu pula pergi ambil air sembahyang. Nanti kalau bertemu dengan Adeeb dan Aizami, beritahu ustazah kira sampai lima.” Tutur saya. Tidaklah saya bermaksud mahu mengugut dua pelajar lelaki tersebut, hanya saya memang suka membilang dengan suara yang kuat sekadar menampakkan ketegasan seorang guru di hadapan mereka. 


Tidak lama selepas dua pelajar perempuan tersebut meninggalkan surau, sayup-sayup dari jauh saya terdengar bunyi tapak kaki orang berlari. Memang ajaib, baru membilang mencapai angka tiga, Adeeb dan Aizami sudah kelihatan di muka pintu dengan wajah dan baju yang sedikit basah. Saya langsung meminta mereka mengambil Al-Quran beserta Iqra’ sebelum duduk di dalam bulatan tanpa berkata apa-apa. 


Menurut saya, sekiranya mereka dimarahi atau dileteri ia hanya akan membuang-buang masa. Perkara sudah berlaku dan saya juga tidak mahu mengajar dalam keadaan diri yang dibungkus emosi tidak tenang.


Setelah selesai semua pelajar mengambil wuduk, kelas dimulakan dengan salam kemudian diikuti dengan bacaan doa. Sebelum memulakan PdP, saya berkata kepada pelajar-pelajar, “Mulai hari ini ustazah akan melantik beberapa orang penolong guru untuk kelas Al-Quran kita.”


“Ha? Penolong guru?”

“Penolong guru itu apa ustazah?” Tanya Fikri yang nampak kebingungan.


“Penolong guru itu adalah satu jawatan yang hampir sama dengan ketua kelas, penolong kelas, pengawas dan lain-lain. Mereka yang dilantik menjadi penolong guru akan bertanggungjawab menjadi pembantu ustazah bagi tugas-tugas tertentu. Siapa yang menjadi penolong guru, akan membantu ustazah menjalankan tugas-tugas khas.” Penerangan saya nampaknya membantu menghilangkan kebingungan mereka.


“Saya nak ustazah!” Edzuani mula menawarkan diri.


“Eleh, kau! Tak payahlah. Macam bagus saja.” Amir dan Haikal mula menyakat Edzuani yang berbadan besar.


“Jangan risau, untuk jawatan penolong guru, ustazah yang akan pilih sendiri.”


“Edzuani, mulai hari ini kamu akan menjadi penolong guru laporan. Tugas kamu adalah memastikan semua rakan-rakan kamu mengambil wuduk dalam masa yang ustazah tetapkan. Kamu akan membantu ustazah melaporkan apa sahaja yang kawan-kawan kamu buat di bilik wuduk seperti hari ini. Kamu juga akan menyampaikan arahan ustazah kepada rakan-rakan kamu seperti yang kamu lakukan tadi. Boleh kamu jalankan tugas kamu ini setiap kali ada kelas j-QAF?”


“Boleh, ustazah. Saya pasti akan buat dengan baik. Lagipun saya suka.” Edzuani nampak gembira dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan jawatan penolong guru yang baru diamanahkan.


“Fiqri, kamu pula akan menjadi penolong guru kehadiran kelas. Tugas kamu adalah memastikan siapa rakan-rakan yang tidak hadir seterusnya melaporkan jumlah kehadiran kepada ustazah setiap kali kita ada kelas. Bagaimana Fiqri?” Tanya saya kepada Fiqri yang sudah mula tersengih-sengih.


“Okey!” Ringkas sahaja jawapannya. Senyumnya yang sudah sampai ke telinga jelas menampakkan dia sebenarnya gembira diberikan jawatan.


“Hidayah dan Shaheera, kamu berdua pula akan menjadi penolong guru peralatan kelas. Tugas kamu adalah memastikan Al-Quran, Iqra’ dan meja (rehal) disusun setiap kali kelas mahu bermula dan tamat.” 


Belum sempat saya bertanya, Shaheera dan Hidayah sudah serentak menjawab, “Baik, ustazah.”


“Ustazah juga akan melantik beberapa orang lagi penolong guru bacaan Iqra’ selepas ini. Kita akan baca Al-Quran dahulu. Sebaik tamat membaca Al-Quran nanti ustazah akan memilih dua orang penolong guru bacaan di kalangan kamu semua.” Saya menyambung lagi.


Setelah selesai membaca Al-Quran dengan cara BIG (Baca Ikut Guru), saya melantik Adeeb dan Aizami sebagai penolong guru bacaan Iqra’ pula.


Keesokan harinya, saya sungguh terkejut!


Apakah yang berlaku? Nantikan sambungan di dalam buku Mendorong Pelajar Dengan Teknik Nabi Muhammad yang bakal terbit tidak lama lagi. 

 Duduk di sebelah kiri Adeeb, penolong guru bacaan Iqra' menyemak bacaan bersama rakan-rakannya ketika sesi bacaan Al-Quran bersama guru.

Dari kanan, Edzuani penolong guru laporan. Di tengah Shaheera; penolong guru peralatan kelas.


Ustazah Siti Khadijah

Tuesday, September 9, 2014

Terdorong Dipuji, Guru Pula Diajak Berlumba Ke Kelas Mengaji

SELAIN mengajar subjek Bahasa Arab di sekolah, saya turut terlibat di dalam mengendalikan kelas Tasmik - kelas memperdengar bacaan Al-Quran bagi silibus program j-Qaf. Di sekolah kebangsaan tempat saya mengajar ini, biasanya di dalam menjalankan kelas Tasmik (bagi setiap satu kelas), ia akan dipandu oleh dua orang guru sebagai pemudahcara.

Namun bagi sesi tahun 2013 yang lalu, saya diamanahkan untuk mengendalikan dua kelas Tasmik seorang diri. Memandangkan sesi berlangsungnya kelas Tasmik hanyalah 30 minit, jumlah pelajar yang agak ramai ada ketikanya mengganggu kelancaran kelas. Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar adalah ponteng kelas dan datang lewat ke bilik j-QAF bagi menjalani sesi Tasmik.

            Situasi pelajar datang lewat ke kelas Tasmik bukanlah perkara baru. Ia adalah situasi yang sering dialami oleh guru-guru pemudahcara kelas Tasmik. Malah, saya pernah diberitahu oleh rakan guru yang lain, ada ketikanya pelajar menyorok di tempat tertentu kerana tidak mahu menghadiri kelas Tasmik.

Dalam situasi yang saya alami, apabila pelajar-pelajar datang lewat ke bilik j-QAF bagi menghadiri kelas Tasmik, saya tidak akan melakukan perkara-perkara berikut sebagaimana di dalam amalan lazim.

Ø  Saya tidak memarahi mereka. (SALAH)

Ø  Saya tidak mengkritik mereka. (SALAH)

Ø  Saya tidak menghukum mereka. (SALAH)

Ø  Saya tidak menasihati mereka. (SALAH)

Sebaliknya, saya mencari hari di mana mereka boleh datang awal atau datang tepat pada masanya. Sekiranya mereka datang awal atau datang tepat pada masanya, saya akan memuji perbuatan mereka dengan pujian yang menggunakan format pujian gaya nabi.

Dalam pujian gaya Nabi, ada empat elemen yang harus digunakan ketika mengucapkan skrip pujian. Elemen-elemen tersebut ialah;

1.      Cari sekurang-kurangnya satu kebaik yang dilakukan oleh pelajar.
2.      Mulakan skrip pujian dengan kata-kata yang menzahirkan emosi positif seperti, “Saya kagum…”, “Cikgu suka…”, “Ustazah gembira…”, “Ustaz seronok…”
3.      Pujian diberikan kepada hasil kerja, usaha, perbuatan atau kebaikan yang dilakukan bukan orangnya.
4.      Sebutkan impak daripada hasil kerja, usaha, perbuatan atau kebaikan yang dilakukan oleh pelajar di dalam skrip pujian yang bakal diungkapkan.

Ketika pelajar tahun 5 Dedikasi dan 5 Cemerlang datang awal atau datang tepat pada masanya, saya akan memuji mereka dengan ayat-ayat pujian yang mengikut format pujian gaya Nabi seperti di atas. Suatu hari sebelum saya sampai, beberapa orang pelajar sudah pun sampai awal dan selebihnya ramai yang datang awal tepat pada masanya.

Saya mengambil peluang ini bagi memuji para pelajar dengan berkata, “Sungguh ustazah kagum, pada hari ini ramai yang datang awal dan datang tepat pada masanya. Malahan ramai yang datang sebelum ustazah sampai. Apabila semua datang awal atau datang tepat pada masanya, kita dapat bersedia lebih awal dan pelajaran kita juga dapat berjalan lancar. Allah suka orang yang menepati masa.”

Para pelajar yang mendengar kata-kata saya tersipu-sipu senyum gembira. Keesokan harinya, jumlah kedatangan pelajar yang lewat sudah semakin berkurangan. Dari hari ke sehari, kedatangan pelajar ke kelas Tasmik tidak lagi menjadi masalah. Malahan para pelajar kelas Tasmik saya membuat permintaan supaya diadakan pertandingan sehingga hujung tahun, siapakan yang paling kerap datang awal ke kelas Tasmik; guru atau pelajar.

Kata mereka, "Ustazah, apa kata mulai esok kita lawan. Siapa yang akan sampai awal setiap kali ada kelas Tasmik. Ustazah atau kami yang akan menang?"

Saya turutkan kehendak mereka, keesokan harinya dan setiap kali tiba hari Rabu dan Khamis, kami akan berlumba siapakah yang akan tiba awal. Adakalanya saya menang, dan ada ketikanya mereka menang. Dengan perlumbaan ini, saya dan pelajar akan lebih memerhatikan waktu kelas Tasmik. Apa yang mengkagumkan, pelajar-pelajar ini sanggup meminta kebenaran keluar kelas 5 minit awal daripada guru sebelum waktu Tasmik bagi memastikan mereka dapat bersaing secara adil dengan saya. Hahaha.

Kami bersaing untuk tiba awal ke kelas Tasmik sehingga hujung tahun 2013. Pada penghujung tahun 2013, jumlah pertandingan kedatangan kami ke kelas Tasmik adalah seri. Kami sama-sama menang! Dengan aplikasi pujian gaya Nabi ﷺ anak-anak didik bukan sahaja seronok menghadiri Tasmik, malah mereka turut fokus dalam membaca Al-Quran.

Tidak percaya? 
Lihat gambar-gambar di bawah.


Inilah sebahagian daripada pelajar-pelajar kelas Tasmik saya pada tahun 2013.

Ustazah Siti Khadijah (USK)

Thursday, October 31, 2013

Teknik Memberi Solusi Berbahasa Dengan Betul Bagi Anak Kecil

ENTRI kali ini atas permintaan beberapa orang ibu bapa yang bertanya mengenai membetulkan bahasa anak-anak kecil yang 'pelat' apabila bercakap. Saya kongsikan aplikasi Teknik Nabi Memberi Solusi yang pernah diaplikasi ke atas anak buah saya yang comel ini. Mudah-mudahan, ia sedikit sebanyak akan membantu memecahkan masalah yang dihadapai oleh para ibu bapa.


Nama anak buah saya ini, Nur Batrisya Bashirah. Kami sekeluarga memanggilnya dengan panggilan manja Eisya atau Eicha. Sejak kecil, Eisya adalah seorang anak yang cerdik dan aktif. Dia juga petah dalam berkata-kata. Kami sekeluarga sering terhibur setiap kali mendengar celotehnya.

Pernah suatu hari Eisya pulang dari sekolah dalam keadaan baju sekolahnya kotor. Apabila ibunya (kakak saya) bertanya kepadanya, "Eisya, kenapa baju kotor? Eisya main sehingga baju habis kotor ya?"

Eisya seperti biasa akan menjawab dengan petah. Jawabnya, "Ibu, sebenarnya bukan baju Eisya yang kotor, tetapi sekolah itu yang kotor." Hahaha.

Sungguhpun begitu, sebenarnya Eisya sejak kecil menghadapi situasi bercakap 'pelat'. Daripada usianya dua tahun sehingga enam tahun, Eisya masih belum mampu berbahasa dengan betul biarpun sudah sering ditegur dan dibetulkan percakapannya.

Pada bulan Disember tahun lalu, usia Eisya sudah hampir memasuki usia 7 tahun (pada Januari tahun 2013), namun dia masih belum juga boleh bercakap dengan bahasa yang betul sepenuhnya. Kami sekeluarga menghabiskan cuti bersama di Langkawi. Ketika di Langkawi, Eisya memilih untuk menaiki kereta sewa bersama saya dan adik-beradik yang lain. Dia tidak mahu menaiki satu kereta dengan kedua ibu bapanya biar pun sudah berkali-kali disuruh bersama mereka.

Ketika di dalam perjalanan, Eisya yang duduk di ribaan saya dengan ramah memulakan cerita. 

Tuturnya, "Maklang...Maklang, Ateh, Pak Su, nak tahu tak, Eicha nanti darjah satu, Eicha sekolah dekat sekolah ibu. Pagi Eicha sekolah agama dekat sekolah ibu, petang Eicha sekolah kebangsaaaaaaan tahun 1 Anggerik (baca dengan nada pelat ‘kebangsan’ yang panjang dan sengau)."

Saya dan suami hampir ketawa mendengar cerita Eisya kerana bahasanya yang pelat, sengau dan sebutan bunyinya kedengaran agak kelakar.

Manakala adik-beradik di tempat duduk belakang sudah ketawa tidak henti-henti kerana mendengar bahasa Eisya yang 'pelat', sengau dan tidak betul tersebut.

"Hahaha, apa Cha? Sekolah apa, kebangsaaaaaaaan?" Paksunya bertanya sambil ketawa. (Sindiran - SALAH)


"Ha'ahlah, Cha. Apa dia, sekolah kebangsaaaaaan? Eicha ni pelatlahlah. Bukan kebangsaaaaaaaaaaaaaaan. Sebut pun salah." Atehnya pula menyampuk perbualan di antara Eisya dengan kami semua. (Kritik - SALAH)

"Cha, sekolah kebangsaan, barulah betul. Sebut betul-betul." (Nasihat - SALAH)

Eisya yang sememangnya petah berkata-kata terus sahaja membalas kata-kata Pak Su dan Atehnya, "Iyalah, Eicha nanti akan sekolah kebangsaaaaaaaaaaaan." 

Penuh keyakinan Eisya menjawab. Namun sayang, sekali lagi Eisya diketawakan kerana salah dalam menyebut perkataan; 'sekolah kebangsaan' kepada sekolah 'kebangsan' yang panjang. Pak Su dan Ateh-atehnya bukan main suka dapat menyakat Eisya.

Sebaliknya, saya hanya memerhatikan gelagat mereka sambil tersenyum. Di dalam kepala, saya berfikir-fikir mahu membetulkan kesilapan Eisya dengan mengaplikasi Teknik Nabi. Tanpa mengkritik atau menyalahkan, saya lalu mengaplikasi Teknik Memberi Solusi dengan berkata, "Eisya, dengar Maklang sebut. Kemudian, Eisya ikut macam Maklang sebut."


"Se-ko-lah..." Saya mula menyebut bunyi suku kata satu persatu.
"Se-ko-lah..." Eisya mengikut sebutan saya sambil membunyikan sebutan suku kata juga satu persatu.

"Ke-bang.." Sambung saya lagi.
"Ke-bang.." Eisya masih ikut membunyikan sebutan suku kata yang telah saya sebutkan.
"Sa-an."

"Sa-an." Eisya berjaya membunyikan keseluruhan suku kata 'sekolah kebangsaan' dengan baik sekali.

"Bagus, Eisya sudah boleh sebut dengan betul (Pujian + perbuatan). Maklang suka (Impak 1). Nanti mesti Eisya boleh sebut (Impak 2) dan tidak akan salah lagi (Impak 3). Paksu dan Ateh takkan boleh ketawakan Eisya lagi (Impak 4)."


"Ok, sekarang Eisya ikut Maklang sekali lagi. Sekolah." Kali ini saya menyebut bunyi suku kata sekaligus.
"Sekolah."


"Kebangsaan." Perlahan saya membunyikan perkataan, namun cukup berhati-hati agar sebutannya dapat didengari secara jelas oleh Eisya. Seterusnya, dia mampu menyebutnya sepertimana saya menyebutnya.
"Kebangsaan." Kali ini, sebutan Eisya tidak salah lagi. Dia boleh membunyikan perkataan 'kebangsaan' itu dengan lancar tanpa salah lagi.


"Sekali lagi Eisya. Kita sebut sama-sama."

"Sekolah kebangsaan."

"Sekolah kebangsaan."

Akhirnya Eisya berjaya menyebut perkataan yang sukar. Sebelum ini, sudah berkali-kali dibetulkan kesilapan tersebut, namun masih juga Eisya mengulang kesilapan yang sama. Setelah itu, saya cuba bertanya kembali kepada Eisya, "Nanti pada tahun hadapan, Eisya akan masuk sekolah agama di sekolah ibu dengan sekolah apa satu lagi?"

Eisya menjawab dengan penuh yakin dan tanpa salah lagi, "Sekolah kebangsaan."

Kemudian, Pak Su dan Atehnya yang berada di tempat duduk belakang sengaja bertanya, Eisya masih menjawab 'sekolah kebangsaan' dengan jelas. Setiap kali Eisya menjawab, saya akan memujinya. Saya amat bersyukur, dengan Teknik Nabi Eisya boleh berbahasa dengan betul. Tanpa perlu dimarah-marah, ditegur atau dikritik seperti di dalam amalan lazim 'pelat'nya dapat dikurangkan. 

Nurbatrisya Bashirah atau Eisya kini pelajar tahun satu di Sekolah Kebangssan Bandar Tun Hussien Onn 1 Cheras

Semenjak hari itu, Eisya tidak pernah silap dalam menyebut perkataan 'kebangsaan' lagi. Kadangkala, Pak Su atau Atehnya cuba menyakat dan mempermainkan Eisya dengan bertanya sebutan perkataan 'kebangsaan' secara salah. Namun Eisya tetap menyebutnya dengan betul. Sehingga hari ini, apabila ditanya, Eisya akan menyebut perkataan 'sekolah kebangsaan' dengan jelas dan intonasinya betul sekali. Alhamdulillah, ianya berkat mengaplikasi Teknik Nabi yang Memberi Solusi.


Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...