Belajar di kala rakan-rakan lain sibuk
mengurus dan berlatih aktiviti sempena Hari Usahawan sekolah, memang mengundang
rasa malas pelajar. Situasi itu yang berlaku kepada pelajar 5 Omar semalam.
Ketika saya masuk mengajar matapelajaran
Tauhid, ramai pelajar kelihatan malas-malas sahaja mahu membuka buku apalagi
belajar. Mereka lebih senang bersembang, bermain dan bergurau bersama
rakan-rakan di dalam kelas.
Bagi memulakan P&P hari ini (26.03.12),
saya mengajak pelajar menyemak jawapan kertas ujian matapelajaran Tauhid
tempohari. Meski masih malas-malas, mereka menyemak juga jawapan masing-masing
berdasarkan jawapan yang telah dibetulkan.
Seperti biasa, saya menggunakan teknik memuji
gaya Nabi Muhammad saw untuk memancing minat mereka belajar (puji + impak).
Setiap seorang pelajar saya arahkan membaca satu persatu soalan yang terdapat
pada kertas ujian masing-masing. Apabila mereka membaca dengan suara yang
jelas, saya akan memuji mereka dengan menyebutkan impaknya.
“Bagus, Ustazah suka dengan bacaan kamu (Pujian).
Suara kamu jelas dan terang, semua pelajar dapat mendengarnya.” (Impak)
Kadangkala, saya menyebut, “Bagus! Ustazah
kagum dengan bacaan kamu (Pujian). Suara kamu yang kuat memudahkan kawan-kawan
kamu menyemak nombor soalan yang sedang kita baca.” (Impak)
Dan apabila mereka dapat memberikan jawapan
yang betul daripada soalan yang dibaca, saya akan berkata; “Bagus. Jawapan kamu
tepat.”
Hasilnya, mereka berebut-rebut mengangkat
tangan mahu membaca soalan meskipun sebenarnya masing-masing telah diperuntukkan
seorang satu soalan.
Sebaik selesai sesi menyemak dan memberikan
jawapan yang betul kepada pelajar 5 Omar, saya berhasrat menyambung semula
pelajaran yang tertangguh sebelum ujian prestasi fasa pertama yang lalu. Namun,
reaksi kebanyakan pelajar 5 Omar sangat ketara memperlihatkan tanda-tanda
mereka tidak berminat belajar. Jangankan buku teks Tauhid dikeluarkan, mereka
lebih selesa bercakap-cakap dengan rakan-rakan dan bersikap acuh tidak acuh
kepada arahan saya.
“Baiklah, dahulu kita berhenti pada tajuk Sifat
Hayat Allah. Menurut catatan Ustazah, kita sudah selesai membincangkan tajuk Sifat
Hayat Allah. Hari ini, kita akan membuat latihan berkenaan tajuk Sifat Hayat
Allah.”
“Ustazah, tak payah belajarlah hari ini.
Lagipun, bukan semua orang ada.” Celah seorang pelajar.
Sejak ujian prestasi fasa 1 tempohari, ini
kali pertama saya menyambung pelajaran yang tertangguh. Memandangkan masa saya
mengajar 5 Omar tidak sekerap 5 Ali (hanya dua kali seminggu), hubungan mereka
dengan saya tidaklah seakrab pelajar 5 Ali. Sekiranya dengan pelajar 5 Ali,
memadai dengan saya memujuk dan merenung lama. Mereka akan segera membuka buku,
tetapi ia tidak berlaku dengan pelajar 5 Omar.
“Baiklah, hari ini kita akan buat latihan
muka surat 27. Bahagian 1, 2 dan 3.” Kata saya lagi sambil berjalan daripada meja
ke meja pelajar.
Sebaik melabuhkan duduk di meja guru, datang
Shahrul pelajar yang pernah menerima pujian saya dahulu (boleh baca linknya di sini). Katanya; “Ustazah, buat yang ini sahajalah. Yang ini dan ini tak payahlah (sambil menunjukkan latihan no 2 dan 3 dalam buku teks).”
Saya hanya diam memandang wajah Shahrul. Dia
jarang malas melakukan apa sahaja yang disuruh setiap kali subjek saya. Hari
ini, dia pula yang meminta supaya latihan diberikan sedikit sahaja. Melihatkan
sikapnya itu, saya memikir-mikir, apakah teknik yang Nabi yang boleh digunakan
untuk kembali memugar semangat belajarnya dan pelajar 5 Omar yang lain.
Sangat bersyukur kerana pada waktu itu, saya
teringat kata-kata Puan Khairulaniza, “Salah satu cara mengubah tingkah laku negatif
pelajar A ialah memuji tingkah laku positif pelajar-pelajar lain. Jika pelajar
A masuk lambat ke dalam kelas, ketika itu puji pelajar B yang masuk cepat. Jika
pelajar A bercakap ketika guru sedang mengajar, ketika itu puji pelajar lain
yang diam dan memberi tumpuan kepada guru mengajar. Inshaallah, tingkah laku
negatif pelajar A akan berubah tanpa perlu menegur kesalahannya.”
Melihatkan pelajar lelaki 5 Omar masih
bising, tidak mengeluarkan buku, dan bersembang-sembang serta malas-malas, saya
memuji pelajar perempuan 5 Omar yang sudah pun mula menyalin latihan yang
diberikan walaupun mereka juga kelihatan seperti terpaksa.
Pelajar perempuan dipuji kerana terlebih dahulu mengeluarkan buku dan menyalin latihan
“Wah, bagus! Ustazah sangat kagum dengan
pelajar perempuan yang khusyuk menyiapkan latihan (Ayat Pujian). Ustazah sangat
yakin, apabila semua pelajar menumpukan perhatian menjawab soalan yang
diberikan, tentu latihan kamu akan segera siap (Ayat Impak). Oleh kerana sikap mereka
yang mengikut kata Ustazah, mari kita berikan tepukan kepada semua pelajar yang
telah menyalin latihan.”
Taktik atau teknik yang digunakan berjaya. Seluruh
isi kelas memberikan tepukan gemuruh untuk pelajar perempuan. Pelajar lelaki
yang tadi masih berdiri dan bercakap-cakap mula membuka buku menyalin latihan,
manakala pelajar perempuan terus tekun menyiapkan latihan yang diberikan. =)
Khusyuk! Inilah perubahan drastik pelajar lelaki 5 Omar selepas pujian diberikan kepada pelajar perempuan
Melihatkan pelajar lelaki terdorong khusyuk
menyiapkan latihan, sekali lagi saya berkata, “Baiklah, sekiranya tadi ustazah
kagum dengan pelajar perempuan yang rajin menyiapkan latihan, sekarang Ustazah
sangat kagum dan suka dengan satu kelas yang menyiapkan latihan (Pujian).
Ustazah percaya, sekiranya kamu terus beri perhatian membuat latihan,
kerja-kerja latihan kamu akan cepat siap dan Ustazah juga akan boleh menandanya
cepat (Impak).”
“Mari sama-sama kita berikan tepukan yang
paling gemuruh untuk menghargai diri sendiri.” Sekali lagi seisi kelas bergema
dengan tepukan yang kuat. Saya tersenyum, memang ajaib. Tidak sampai lima
minit, tingkahlaku mereka berubah. Jika sebelum ini, masing-masing kelihatan
malas-malas, kini mereka berlumba-lumba menyiapkan latihan. Alhamdulillah.
Shahrul juga turut terdorong menyiapkan latihan selepas pujian dan penghargaan (tepuk tangan) diberikan tanpa memberikan alasan atau minta dikurangkan lagi latihan
Yang tengah ini Hadi pelajar tidak pandai membaca Jawi suatu masa dahulu (baca linknya di sini) Hadi juga tekun menyiapkan latihan. Dari kiri Hafiz, dan dari kanan Haziq
Permandangan daripada belakang kelas 5 Omar. Mereka sangat tekun membuat latihan sehingga tidak sedar gambar mereka disnap.
Inilah hasil pujian mengikut teknik Nabi Muhammad saw (Puji +Impak). Tidak seorang pun bercakap, masing-masing menyiapkan latihan. Alhamdulillah.
Ustazah Siti Khadijah
Masya Allah....
ReplyDeleteInilah laporan terbaik untuk eksperimen mendorong sekumpulan murid yang hampir semuanya dalam mood malas belajar!
Dalam kes-kes lain sebelum ini, dorongan diberikan kepada murid individu yang malas belajar.
Nilai laporan ini sangat berharga.
Eksperimen puan ini membuktikan teknik Nabi dapat digunakan ke atas individu mahupun ke atas kelompok.
Laporan dialog Hadi, murid yang rajin, pun minta supaya dikurangkan latihan adalah sangat fungsional.
Foto-foto yang puan siarkan sangat meyakinkan bahawa laporan puan ini ditulis secara objektif, oleh itu sohih, bukan dilebih-lebihkan....
Ustazah telah membuktikan bahawa dengan menggunakan teknik Nabi Muhammmad, apa yang berlaku di kelas saya juga berlaku di kelas Ustazah. Pujian yang diberikan secara terbuka mendorong insan yang mendengar pujian juga terdorong sama. Ustazah menunjukkan bahawa teknik pujian diberikan kepada ramai pelajar maka yang terdorong juga bukan sahaja individu tetapi juga ramai pelajar.Tahniah!
ReplyDeletePuan Ainon Mohd.: Alhamdulillah, terima kasih Puan Ainon. Perbualan dengan puan ketika di Janda Baik tempohari banyak memberi impak kepada saya untuk lebih tekun dan gigih membaca, mengkaji serta memahami teknik Nabi saw ini. Saya agak kurang update blog akhir-akhir ini kerana membaca setiap tulisan berkenaan teknik ini. Baik draf Buku Manual Hadith Psikologi Nabi Muhammad suami saya tekuni, blog-blog Tim Psikologi Hadith, Puan Khairulaniza dan Ustazah Nurhidayah saya jelajahi dan lembaran aktiviti ketika dibengkel turut diulang baca entah untuk ke berapa kali. Saya ingat kata puan, 'kompeten' (betulkah ejaannya) elemen ilmu + teknik. Saya harus punya ilmu untuk menggunakan teknik ini. Dan, inilah hasilnya. Alhamdulillah, teramat suka. ^_^
ReplyDeletePuan Khairulaniza yang disayangi murid: Alhamdulillah, Puan Khairulaniza. Sifat puan yang tidak lokek berkongsi tips dan hasil eksperimen harus dipuji. Hasil entri ini, cambahan ilham Tuhan daripada tunjuk ajar puan. Terima kasih!