Tuesday, March 6, 2012

Apabila Self-Esteem Meningkat, Menghafal Bukan Lagi Perkara Sukar


Sebelumnya saya memohon berbanyak kemaafan  kepada pengunjung dan pembaca yang tertunggu-tunggu entri terbaru blog ini. Daripada hari Jumaat lepas sehingga hari Isnin (semalam), saya amat sibuk menyiapkan soalan-soalan peperiksaan mata pelajaran Feqah dan Tauhid bagi pelajar tahun lima. Soalan yang sepatutnya disiapkan oleh pihak berwajib mengandungi banyak kesilapan. Syukur pada Allah, ada di kalangan guru tahun lima yang menyedarinya. Lalu kami (guru-guru tahun lima) mengambil inisiatif membuat kembali semua soalan setiap mata pelajaran.

Baiklah, untuk entri kali ini, saya akan berkongsi cerita mengenai kemajuan hafalan pelajar kelas 5 Ali.

8 Rabiul Akhir (01 Feb 2012) yang lalu saya masuk ke kelas 5 Ali mengajar mata pelajaran Hafazan. Memandangkan semua pelajar sekolah akan menduduki ujian prestasi awal tahun minggu depan, p&p untuk minggu ini lebih kepada mengulangkaji mata pelajaran setiap subjek. Setiap guru harus menghabiskan dua tajuk yang pertama di dalam buku teks bagi memastikan ujian yang bakal diduduki nanti dapat dijawab dengan baik oleh semua pelajar.

Oleh kerana kelas 5 Ali merupakan kelas yang terakhir dalam susunan kelas tahun lima (bermula daripada 5 Abu Bakar, 5 Omar, 5 Othman dan 5 Ali), menghabiskan satu tajuk seminggu  bagi setiap mata pelajaran adalah mustahil. Kalau pun berjaya dihabiskan, saya sangat yakin, apabila ditanyakan semula kepada pelajar 5 Ali, belum tentu mereka faham semua yang diajar. Begitulah juga dengan subjek Hafazan. Saya tidak meminta pelajar menghafalkan keseluruhan ayat Al-Insyiqaq dalam satu minggu.

Sebelum saya mengajar kelas 5 Ali, saya pernah bertanyakan guru sebelum ini yang mengajar subjek Hafazan bagi kelas 5 Ali mengenai aktiviti hafazan mereka. Menurut guru tersebut, pelajar 5 Ali mahu menghafal dua ayat pun sangat susah. Mereka yang dapat menghafal dua ayat juga masih merangkak-rangkak apabila ditasmik.

Situasi ini berubah selepas saya menggunakan teknik Nabi saw ke atas mereka. Sudah ramai pelajar 5 Ali yang dapat menyelesaikan hafalan ayat-ayat surah Al-Insyiqaq, dan kalau pun ada pelajar yang belum menyelesaikan hafazan surah Al-Insyiqaq, pasti dalam kepala mereka sudah ada berbelas-belas ayat yang dihafalnya.

Memandangkan mereka bakal menghadapi peperiksaan minggu hadapan (hari ini 03 Mac 2012 sebenarnya), saya amat khuatir kerana baru satu surah yang dihafal mereka. Sedangkan di dalam peperiksaan akan datang, mereka harus hafal sekurang-kurangnya dua surah.

Oleh kerana ramai pelajar 5 Ali yang telah dapat menghatamkan surah Al-Insyiqaq, hari ini saya bercadang mahu berpindah ke surah hafazan baru. Pelajar yang masih belum menyelesaikan hafazan sehingga ayat terakhir surah Al-Insyiqaq, saya letakkan di bawah pengawasan penolong guru Ustaz dan Ustazah Hafazan.

Petang ini, pelajar 5 Ali saya arahkan membuka buku teks Asas Tilawah Al-Quran halaman 25. Mereka saya berikan tugas baru menghafal surah Al-Zalzalah. Seperti biasa sebelum pelajar-pelajar menghafal, saya akan membaca surah tersebut secara tartil dan bertajwid terlebih dahulu di selang seli dengan bacaan pelajar secara beramai-ramai. Sesudah saya selesai membaca keseluruhan ayat daripada surah Al-Zalzalah, barulah pelajar-pelajar dibenarkan menghafal surah tersebut secara individu. Saya pula akan memantau pelajar-pelajar dengan berjalan dari satu meja ke satu meja.

Apa yang memeranjatkan, semua pelajar seakan memahami tanggungjawab mereka. Mereka mula mencari pasangan untuk saling memperdengar dan membetulkan bacaan hafazan mereka. Ada juga yang meminta saya menentukan pasangan menghafal mereka. Setelah membahagikan pelajar kepada beberapa pasangan, semua pelajar 5 Ali mula menghafal dengan pasangan masing-masing. Ada juga yang mengambil jalan menghafal sendiri.

Salahuddin Al-Ayubi merayu meminta keizinan saya mahu menghafal di celah almari berhampiran meja guru kerana tidak mahu terganggu dengan bacaan hafalan rakan-rakannya yang lain. Sementara Abang Ngah pula dengan selambanya membaringkan diri di bawah meja menghafal surah Al-Zalzalah. Boboi  dan Zack juga tanpa segan silu menuruti perlakuan Abang Ngah. Aduh, anak-anak saya ini ada-ada saja ragamnya. Saya tidak pula melarang mereka berbuat sedemikian kerana memang dalam penggunaan teknik Nabi, kami diajar supaya tidak memarahi pelajar. Saya akan fikirkan cara lain menegur mereka nanti. Manakala pelajar 5 Ali yang lain duduk menghafal bersama pasangan mereka.

Berlalu sahaja 15 minit tempoh menghafal mereka, saya datang daripada satu meja ke meja. Pada asalnya, saya sengaja mahu melihat berapa ayatkah yang dapat dihafal pelajar 5 Ali. Ini kerana, semasa proses menghafal surah Al-Insyiqaq tempohari, mereka hanya mampu menghafal lima ayat sahaja sehari (paling banyak).

Menurut perhitungan saya, tentu untuk surah baru ini tidak lari jauh seperti surah Al-Insyiqaq sebelum ini. Namun alangkah terperanjatnya saya apabila untuk cubaan menghafal kali pertama surah Al-Zalzalah, lebih sepuluh orang pelajar dapat menghafal keseluruhan ayat. Benarlah menurut teknik Nabi saw, apabila self-esteem (maruah) pelajar meningkat, menghafal bukan lagi satu kerja yang sukar.

Maha suci Allah, mari kita merakam selawat untuk Junjungan Nabi Muhammad saw yang telah menunjukkan teladan terbaik untuk umat baginda sejak berkurun lamanya. Allahumma solli wa sallim a’la saiyidina Muhammad. Allahu akbar!

Salahuddin Al-Ayubi menghafal di ceruk almari kerana tidak mahu terganggu dengan hafazan rakan-rakannya.

Abang Ngah dengan selambanya membaringkan diri di bawah meja

Zack mengikut jejak Abang Ngah

Boboi turut landing atas karpet, sabar sahajalah

Aqif menyemak bacaan Syafiq Iqram

Iman (penolong guru ustazah hafazan) bersama anak muridnya Nia dan Nini

Sue dan Pasangannya Nano. Maaf, gambar tidak jelas

Ecah dan pasangannya Nazatul

Kak Yong juga ustazah hafazan sedang menyemak bacaan anak muridnya Ea'ah dan Mimi

Ustazah Siti Khadijah

4 comments:

  1. keep up the good approach ustazah. really enjoy reading your writing :) salam kenal dr saya.

    ReplyDelete
  2. AllahuAkbar!

    Tidak pernah saya duga, suasana P&P akan menjadi begini!.... Kalah sekolah-sekolah di Scandinavia!

    Puan sungguh kreatif bereksperimentasi.

    Inilah yang dikatakan demokrasi dalam pendidikan. Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran mereka sendiri, dan mereka diizinkan mengamalkan gaya pembelajaran yang memang Allah berikan kepada mereka.

    Teknik puan menuliskan laporan ini sangat menyukakan hati kami yang membaca. Kagum ada, hairan pun ada...

    Pelik tetapi benar, bahawa pemandangan macam ini boleh berlaku di sebuah sekolah agama di Malaysia...

    Lebih pelik lagi, kanak-kanak kelas paling corot menunjukkan semangat belajar yang sangat tinggi...

    ReplyDelete
  3. Saya yakin guru-guru yang mengajar kelas ini terkejut dengan perubahan anak-anak didik Ustazah Siti ini. Mereka tidak perlu dipaksa, tidak perlu dirotan, tidak perlu dimarahi, tetapi hanya menggunakan teknik mendorong Nabi Muhammad. Subhanallah! Semoga lebih ramai lagi guru yang mengaplikasikan teknik Nabi supaya anak-anak 'dibenarkan' belajar.

    ReplyDelete
  4. Ju Yusof: Alhamdulillah. Salam perkenalan kembali daripada saya.

    Puan Ainon Mohd.: Hehehe. Puan, kata seorang guru, "Kalau macam inilah gayanya, tentu saya akan gagal apabila orang atas datang membuat penilaian penganjarag dan pembelajaran". Tetapi puan sebaliknya. Saya suka! =)

    Puan Khairulaniza yang baik: Amin. Saya juga amat berharap kata-kata puan akan dimakbulkan Tuhan suatu masa nanti. Amin.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...