Ceritanya bermula apabila seorang pelajar
perempuan memberikan hadiah kepada gurunya selepas pulang daripada bercuti, disusuli
pula oleh pakatan pelajar tahun 5 Ali menulis penghargaan sayang di papan putih,
dan seterusnya berakhir dengan tindakan dua orang pelajar yang bertindak
menjaga solat di dalam kelas tanpa disuruh. Segalanya adalah penghargaan manis
untuk gurunya yang satu ini. Kisahnya bermula begini…
Tengahari Selasa minggu lepas, saya mengatur
langkah memasuki kelas 5 Ali. Minggu ini (06 Mac – 09 Mac 2012), merupakan
minggu semua pelajar menduduki ujian prestasi fasa pertama di sekolah. Semua
guru kelas diarahkan supaya menjaga kelas masing-masing sepanjang tempoh ujian
berlangsung. Sebaik selesai pelajar memberi salam, saya perasan ada seorang
pelajar perempuan tersenyum-senyum memandang saya daripada tempat duduknya.
Saya membalas senyumannya seikhlas mungkin. Dia senyum makin lebar. Risau pula
dibuatnya, mengapa dengan anak ini? Tanya saya sendiri.
Bagi mengelakkan daripada terus berprasangka,
saya menjawab salam pelajar dan berkata, “Baiklah, untuk lebih memberkati ujian
yang bakal kita duduki sebentar lagi, mari
kita menadah tangan berdoa supaya Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya
supaya kita mudah menjawab kertas-kertas ujian hari ini.” Semua pelajar menadah
tangan dan berdoa dengan begitu bersemangat sekali. Saya seluruhi wajah
anak-anak 5 Ali di hadapan satu-persatu. Sampai sahaja pada pelajar perempuan
tadi, dia memandang saya sambil tersenyum-senyum lagi.
“Nia, apakah ada sesuatu yang tidak kena di
wajah Ustazah sehingga kamu memandang Ustazah pelik sebegitu?” Mahu sahaja saya
ajukan soalan itu kepada pelajar perempuan tersebut. Namun, belum pun sempat ia
terlantun, Nia sudah berjalan daripada tempat duduknya menghala ke meja guru.
Dia masih tersenyum-senyum. Malah senyumannya kelihatan semakin manis apabila
dirinya menghampiri saya.
“Ustazah.” Nia memulakan bicara malu-malu.
Senyumnya masih tidak lekang daripada bibir.
“Ya, Nia. Apakah yang sedang mengganggu kamu
sehingga kamu datang menemui Ustazah ini?” Tanya saya tenang, meskipun
sebenarnya saya sangat ingin mengetahui apakah yang menganggu Nia sehingga dia
tidak jemu tersenyum setiap kali bertentang mata dengan saya hari ini.
“Mmm. Saya..saya.” Nia menyambung bicara yang
masih malu-malu. Kali ini suaranya tergagap-gagap.
Saya memandang Nia. Seulas senyum dihadiahkan
buat Nia yang masih kelihatan malu-malu meneruskan bicaranya. “Cakaplah. Ada
apa yang boleh Ustazah bantu kamu sebelum kertas ujian pertama hari ini
dimulakan?”
“Sebenarnya, saya.. saya.” Bicaranya terhenti
sekali lagi. Hujung tudungnya dipegang, lalu dibawa ke muka. Dia menutup
mukanya. Barangkali kerana malu sehingga tidak sedar dia sedang melindungi
wajahnya ketika bercakap dengan saya.
Saya makin bingung. Anak ini, sebenarnya
kenapa? Lalu, tangan Nia saya capai untuk mengalihkan hujung tudung yang
menutupi wajahnya. Setelah itu, saya menggenggam tangannya. “Okey, sekarang
cakap!” Saya memberi arahan.
“Sebenarnya, saya mahu bagi Ustazah hadiah.”
Jawab Nia yang masih lagi malu-malu. Mukanya sudah sedikit kemerahan.
“Hadiah?”
Saya cuba mengingat, apakah ada tarikh-tarikh penting hari ini. Hari
lahir saya bulan lima, ini baru bulan tiga. Hari guru? Bukankah hari guru juga
bulan lima? Musykil dengan kata-kata Nia tadi, saya bertanya kembali.
“Boleh Ustazah tahu, hadiah sempena apa?”
“Cuti Sabtu Ahad tempohari, saya ikut keluarga
bercuti. Semasa berjalan-jalan, saya teringatkan Ustazah. Lalu saya membeli
hadiah ini untuk diberikan kepada Ustazah.” Terang Nia sambil meletakkan satu
bungkusan plastik kecil di hadapan saya.
“Oh, begitu rupanya. Patutlah tersenyum dari
tadi dan malu-malu mahu memberitahu.” Jawab saya pula. =)
Bungkusan kecil pemberian Nia saya buka
ketika itu juga. Sebaik terlihat isinya, saya berkata, “Wah, cantik! Ustazah suka
hadiah pemberian kamu ini. Terima kasih kerana memberikan Ustazah hadiah ini. Allah
sahaja yang akan dapat membalas kebaikan hati kamu. Ustazah tahu kamu seorang
pelajar yang baik, Ustazah akan mendoakan supaya kamu lulus dengan cemerlang
dalam ujian nanti.” Nia tersenyum suka mendengar kata-kata saya. Setelah
menjawab terima kasih saya, dia berlalu ke tempat duduknya dalam keadaan
seperti tadi.
Kali ini melihat senyuman Nia, membuatkan saya
pula ikut tersenyum-senyum dan terfikir-fikir. Anak-anak kecil yang masih belum
sampai umur (baligh) selalu tulus. Mereka tidak pandai berbohong. Syukur dan
pujian untuk Allah swt kerana mengizinkan ingatan Nia terbang terhadap gurunya
ini di tengah keseronokan bercuti bersama keluarganya. Selepas itu, saya
meneruskan sesi ujian matapelajaran Feqah untuk pelajar 5 Ali.
Selepas waktu rehat, pelajar 5 Ali menduduki ujian
matapelajaran Al-Quran pula. Bagi ujian mata pelajaran Al-Quran, semua pelajar
hanya diuji secara lisan berdasarkan surah-surah yang dihafal (untuk pemarkahan
bahagian hafazan) dan membaca surah pilihan (untuk pemarkahan tilawah). Memandangkan
masa selepas rehat agak singkat, saya memulakan ujian Al-Quran lebih awal
daripada masa yang telah ditetapkan. Seorang demi seorang pelajar dipanggil
namanya untuk diuji bacaan tilawah dan hafazan.
Sewaktu ujian masih berlangsung, datang
seorang pelajar perempuan kepada saya. Katanya, “Ustazah, Ustazah tidak tukar matapelajaran
di papan putih.”
“Oh, ya! Ustazah terlupa. Boleh kamu tolong
Ustazah tukarkan matapelajaran dan masa ujian di papan putih tersebut?” Tanya
saya kepadanya.
“Boleh!” Jawab beliau dengan gembira sekali.
Memandangkan masa sudah semakin singkat dan
pelajar pula masih ramai yang belum menduduki ujian Al-Quran, saya tidak pula melihat tulisan
pelajar yang membantu menuliskan matapelajaran dan masa di papan putih. Saya
teruskan kerja menyemak bacaan hafazan dan tilawah pelajar. Barangkali kerana
kelas yang terlalu bising, dan suara pelajar yang sedang menduduki ujian tidak
dapat didengari, saya meninggikan suara menyuruh pelajar-pelajar lain diam.
Mereka terdiam mendengar suara saya. Kelas 5 Ali sunyi sekali. Kalau ada jarum
piniti yang jatuh, pasti dapat didengari saat itu.
Memang saya jarang marah (betul-betul) di
dalam kelas. Kebiasaannya kalau pun marah, hanya acah-acah atau olok-olok
sahaja. Kali ini, mereka benar-benar terdiam. Saya pula yang rasa bersalah.
Bagi kembali mengawal situasi, saya memandang
papan putih yang telah ditulis pelajar tadi. Hampir sahaja menitik airmata
apabila melihat tulisan pelajar tadi. Selain tulisan matapelajaran dan masa
ujian yang telah dibetulkan, ada beberapa tulisan lain di samping
tulisan-tulisan tersebut.
“Kami sayang Ustazah Khadijah.”
“We always love you teacher Siti Khadijah.”
“ I love u.”
Allah, benar-benar rasa bersalah dan berdosa saat itu. Rupanya mereka
bising kerana berpakat mahu meluahkan penghargaan sayang kepada saya. Saya pula
memarahi mereka hanya kerana merasa terganggu dengan suara mereka yang
mengganggu perjalanan ujian Al-Quran petang itu.
Akhirnya saya berkata, “Ustazah
suka dan gembira dengan tulisan di papan putih ini. Terima kasih kerana
menyayangi Ustazah. Ustazah juga sayangkan kamu semua. Ustazah akan doakan
semoga kamu semua akan lulus dengan cemerlang.” Saya senyum sambil berdoa mudah-mudahan mereka tidak terasa hati dengan tindakan saya memarahi mereka tadi.
Syukur, alhamdulillah. Pelajar 5 Ali juga tersenyum-senyum mendengar kata-kata saya. Kelas telah kembali
kepada situasi biasa. Mereka meneruskan aktiviti bebas mereka, saya pula
kembali ke meja guru meneruskan kerja menyemak bacaan hafazan dan tilawah
pelajar yang masih belum selesai.
Petang itu apabila diberitahu yang semua
pelajar harus solat Asar di rumah, Salahuddin datang ke meja saya. Berkali-kali
dia bertanya kepada saya, “Ustazah, boleh saya solat sambil duduk? Perut saya
sakit.”
“Boleh, Salahuddin. Tetapi, menurut ustazah, adalah
lebih baik kamu solat di rumah sahaja. Sekarang, kamu pergi berehat di tempat
kamu.”
Selepas itu, saya kembali menyemak bacaan
hafazan dan tilawah pelajar yang masih berbaki beberapa orang lagi. Baru sahaja
pelajar terakhir menyudahkan bacaan, terdengar pula jeritan seorang pelajar
perempuan.
“Ustazah, Awang (Al-Fateh) dengan Fadhirul
(Abang Ngah) solat di dalam kelas!”
Saya melihat daripada jauh ke belakang kelas.
Memang Al-Fateh dan Abang Ngah sedang menunaikan solat Asar di dalam kelas.
Patutlah sebentar tadi mereka berdua meminta izin untuk ke tandas. Subhanallah!
Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan ketika itu hanyalah tangan yang
bertindak mengambil foto-foto mereka. Sungguh, ini adalah satu bentuk penghargaan
yang paling istimewa untuk ustazah mereka.
Nia yang malu-malu ketika mahu memberikan hadiah kepada saya sedang menduduki ujian Al-Quran. Tukang ambil gambar adalah Al-Fateh.
Inilah hadiah comel pemberian Nia yang telah saya lekatkan di peti sejuk rumah =)
Suasana hari pertama pelajar 5 Ali menduduki ujian
Pemandangan daripada belakang kelas 5 Ali
Sebahagian pelajar 5 Ali sedang khusyuk menjawab soalan ujian.
Antara tulisan penghargaan sayang mereka kepada saya. Ejaan ustazah pun salah (ustzah). Hehehe.
Lagi pakatan penghargaan sayang daripada pelajar 5 Ali.
Penghargaan paling istimewa di hari pertama kelas 5 Ali menduduki ujian. Sangat damai dan tenang setiap kali menatap foto ini.
Meski hanya beralaskan kain samping sekolah, mereka cukup amanah menjaga perintah Allah. Si cilik yang sedang duduk dan nampak kakinya terjuntai di dalam gambar pula adalah Salahuddin yang sedang menahan sakit perut. Berkali-kali beliau bertanya kepada saya, “Ustazah, boleh saya solat sambil duduk? Perut saya sakit.”
Kak Yong bersedia mahu menjawab soalan Hafazan
Abang Ngah sedang menduduki ujian tilawah Al-Quran
Boboi ketika menduduki ujian Hafazan
Syafiq Iqram sedang menduduki ujian tilawah Al-Quran. Ada cerita mengenai pelajar ini. Inshaallah, lain kali akan saya tuliskan mengenainya.
Ini pula Edry Abdul Halim yang rajin membantu saya membacakan nama sebenar pelajar 5 Ali untuk proses pemarkahan ujian Al-Quran. (Gambarnya ada bulatan putih kerana kesilapan kamera).
Mimi sedang menduduki ujian Al-Quran. Janganlah diperhatikan gambar gurunya, ia memang sengaja dikaburkan.
Ini pula Profesor Syahmi. Cerita mengenainya pernah ditulis di link ini suatu ketika dahulu.
Inilah Al-Fateh yang selalu menjadi jurufoto entri-enti blog ini tanpa disuruh. Entah masa bila gambar ini diambil, saya tidak perasan. Saya hanya diberitahu Edry begini, "Ustazah, yang gambar Awang sandar dekat ustazah itu, sebenarnya tak kena pun ustazah. Awang duduk jauh. Dalam gambar saja nampak dekat."
Ustazah Siti Khadijah
benar, tenang dan damai melihat anak kecil tunduk patuh melaksanakan perintahNYA. Moga ALLAH berkati mereka dan ustazah. Saya jua tatkala melihat anak seusia 12 tahun bangun disepertiga malam bertahajjud padaNYA sangat tersentuh. MOga anak2 kecil ini membesar menjadi hamba ALLAH yang baik.
ReplyDeleteAllahumma amin..amin..amin. Kami (ustazah + pelajar 5 Ali) juga mendoakan kebaikan untuk cikpuan seperti mana cikpuan mendoakan kami. Allahu barik fiki daiman (Allah berkati cikpuan sentiasa) inshaallah.
ReplyDeletesuka dgn cra ustazah Siti Khadijah mendidik anak2 kcil ni. smoga suatu hari nt mreka mnjadi insan berjaya dunia akhirat..amin
ReplyDelete