PELAJAR 5 OMAR TIDAK TAHU MEMBACA DAPAT MENGHAFAL DENGAN LANCAR
Apakah
kalian masih ingat pada seorang pelajar yang pernah diminta membaca
mata pelajaran saya, tetapi tidak bunyi suara di kelas 5 Omar tidak
lama dahulu? Kisah beliau pernah saya ceritakan di dalam grup Fb
Alumni Mendorong Pelajar Corot beberapa hari yang lalu. Sekiranya
kalian perasan, dalam entri yang bertajuk Kelas Bising Bertukar
Menjadi Bunyi Langau ada saya sebutkan sedikit sahaja kisahnya.
Dalam entri tersebut, saya ceritakan sebelum kelas bertukar menjadi bunyi langau, ada seorang pelajar yang disuruh membaca, tetapi tidak bunyi suara. Dalam entri kali ini, saya akan menceritakan kisah mengenai beliau.
Tadi
sesudah memeriksa kuku, rambut pelajar lelaki dan memeriksa lipatan
tudung pelajar perempuan 5 Omar, saya membuka buku teks Feqah.
Pelajaran dan perbincangan hari ini adalah sekitar pengertian, cara-cara,
syarat sah dan amali solat Jamak dan Qasar. Seperti kebiasaannya,
sebelum saya menerangkan isi pelajaran yang akan diajar, saya akan
meminta seorang demi seorang pelajar membaca buku teks terlebih dahulu.
Muka
surat pertama dalam tajuk pelajaran hari ini merupakan satu dialog.
Terdapat tiga watak di dalam dialog tersebut. Ayah, Ahmad dan Salwa.
Jadi, saya memerlukan tiga orang pelajar untuk melakonkan watak dan
jalan cerita tersebut. Disebabkan saya tidak mengenali nama-nama
pelajar kelas 5 Omar, saya main tunjuk sahaja sesiapa yang saya mahu.
Dua orang pelajar telah saya pilih. Hanya seorang lagi pelajar
diperlukan untuk melakonkan watak dan jalan cerita dialog berkenaan
solat Jamak dan Qasar. Saya memilih seorang pelajar lelaki dari
barisan tengah yang duduk di hadapan sekali untuk mencukupkan watak
dialog tersebut.
Sebaik
pelajar tersebut bangun, seisi kelas mentertawakan dirinya. Saya jadi
tertanya-tanya, apakah yang lucunya sehingga meletus tawa seisi
kelas. Pelajar yang baru bangun itu saya perhatikan, wajahnya seakan
sedih.
“Ustazah, dia tak pandai baca.”
“Ha’ah. Betul Ustazah, dia tak tahu membaca.” Seisi kelas ketawa lagi.
Saya
jadi hiba. Rasa mahu menangis pun ada (sebetulnya, saya ini memang
cengeng. Mudah menangis apabila ada perkara yang mengusik hati). Saya terus teringat zaman ketika menjadi pelajar dahulu. Saya bukan seorang
yang pintar, adakalanya apabila ditanya guru, dan saya tidak dapat
menjawab dengan tepat, saya dimarahi, saya akan cepat menangis. Dalam
fikiran, saya kesal. Sekiranya benar pelajar yang baru bangun itu
tidak tahu membaca, apakah dosanya sehingga dia harus diketawakan.
Ketika
itu, saya hanya diam tidak tahu ayat apakah yang harus dituturkan
untuk menghalang kelas 5 Omar dari terus mengetawakan pelajar
tersebut. Kalau diikutkan hati yang terasa, mahu sahaja saya memarahi
seisi kelas yang sedang sakan ketawa.
Saya
benar-benar terlupa. Sepatutnya saya kata begini (mengikut teknik
Nabi), “Jangan ketawakan dia, demi Allah, sesungguhnya dia seorang penolong
ketua kelas yang menghormati gurunya dan seorang yang amanah
mengikuti perintah gurunya.”
(Saya merujuk sifat dia menjaga kuku dan rambut. Dia juga berani berdiri untuk membaca apabila saya menunjuk kepadanya walaupun sebenarnya dia tidak tahu membaca).
(Saya merujuk sifat dia menjaga kuku dan rambut. Dia juga berani berdiri untuk membaca apabila saya menunjuk kepadanya walaupun sebenarnya dia tidak tahu membaca).
Dalam kajian Tim Hadith Psikologi, hadithnya
berbunyi begini,
Kes 1: Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' (keldai), seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman rotan kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun merotan dia lagi. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.
Kes 2: Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawah ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila seslesai, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari
[Baca lebih lanjut di http://hadithpsikologi.blogspot.com/2011/12/nabi-muhammad-tidak-mengizinkan-pedosa.html]
Saya
menyuruhnya duduk. Disebabkan hati mula kacau (saya masih hiba), saya
tidak dapat memilih pelajar yang ketiga. Saya hanya berkata, “Siapa
mahu jadi watak yang ketiga, sila angkat tangan.”
Ketika
itu, ramai juga pelajar 5 Omar yang mengangkat tangan.
“Saya, Ustazah.”
“Sayalah, Ustazah.”
Saya memilih seorang pelajar lelaki dari sebelah kiri yang duduk barisan kedua dari belakang.
“Baik, kamu baca.”
Semasa
bangun berjalan ke hadapan, pelajar tersebut dengan bangganya
berkata, “Tengok oranglah. Akukan memang pandai.” Pelajar yang
tidak tahu membaca itu hanya diam mendengar ucapan kawannya. Saya
dapat merasakan, dia terpukul dengan kata-kata itu. Sebaik tiga
pelajar tersebut, membaca dialog berkaitan tajuk solat Jamak dan
Qasar, saya memanggil pelajar yang tidak tahu membaca tadi. Dia
datang ke hadapan saya dalam memek muka yang masih sedih dan murung.
Sungguh, saya tidak sampai hati melihatnya.
Saya
pantas berkata, “Apakah kamu mahu sekiranya ustazah mengajar kamu
membaca?”
Dia mengangguk sambil menjawab, “Mahu.”
“Bagus, saya sukakan semangat dan jawapan kamu yang meyakinkan. Sekiranya kamu mahu, mulai Isnin hadapan, datanglah ke bilik guru berjumpa Ustazah. Insha-Allah, Ustazah akan membantu kamu mengeja dan membaca.”
Pelajar tersebut mengangguk lagi.
“Sekarang, kamu boleh kembali ke tempat duduk.”
Barulah saya melihat pelajar yang tidak tahu membaca itu tersenyum.
Tiga pelajar 5 Omar membaca dan melakonkan dialog solat Jamak dan Qasar |
Saya
kembali memberikan perhatian kepada bacaan dan lakonan tiga orang
pelajar di hadapan. Selesai sahaja lakonan mereka, saya memuji
mereka, “Bagus. Saya sangat suka dengan cara, gaya dan intonasi
kamu membaca sangat jelas terang dan lancar. Satu kelas dapat
mendengar dan menghayatinya. Ini akan memudahkan mereka faham
pengertian solat Jamak dan Qasar.” Ketiga-tiga pelajar begitu
seronok menerima pujian daripada saya. Saya perasan, mereka kembali
ke tempat duduk sambil ‘cover’ senyum dan perasaan bangga.
“Baiklah,
siapa lagi yang mahu mencuba dan mencabar tiga pelajar tadi, sila
angkat tangan.”
Ketika itu juga pelajar 5 Omar mengangkat tangan serentak.
“Saya, Ustazah.”
“Saya.”
“Saya.”
Lebih 20 pelajar yang mengangkat tangan. Saya tersenyum kerana berbangga melihat peningkatan jumlah pelajar 5 Omar yang mengangkat tangan. Semuanya kerana pujian yang sebelumnya tadi. Memang benar-benar magis teknik Nabi ini.
Ketika
tiga pelajar seterusnya pula membaca dan melakonkan dialog pengertian
solat Jamak dan Qasar, saya menuliskan isi-isi penting
daripada dialog tersebut di papan putih. Antaranya ialah pengertian solat Jamak dan
solat Qasar. Sesudah itu, saya membacanya berulang kali dan
menerangkannya kepada pelajar-pelajar. Setelah merasakan mereka
faham, saya memberikan mereka masa sepuluh saat untuk menghafal
pengertian solat Jamak dan Qasar. Kelas 5 Omar sekali lagi bertukar
mejadi bunyi langau apabila semua pelajar 5 Omar mula menghafalkan
pengertian solat Jamak dan Qasar.
Berlalu
sahaja sepuluh saat, saya mula berjalan dari meja ke meja pelajar
untuk mendengar hafalan mereka. Sampai sahaja di meja pelajar yang
tidak tahu membaca tadi, saya tidak berniat mahu menyuruhnya kerana
bimbang dia akan diketawakan sekali lagi. Saya hanya bertanya;
“Apakah kamu mahu mencuba?”
“Mahu ustazah. Saya sudah menghafalnya.” Jawab pelajar tersebut.
Lalu
dia membaca pengertian solat Jamak dan Qasar yang dihafal dengan
begitu lancar sekali. Subhanallah! Saya benar-benar tidak menyangka.
Hampir sahaja saya menitiskan air mata. Benarlah, teknik Nabi ini
benar-benar magis. Pujian saya terhadap pelajar yang tidak tahu
membaca tadi, rupanya telah membangkitkan semangatnya mahu menghafal.
Hadi adalah nama yang pelajar yang tidak tahu membaca ini. Tetapi apabila dipuji, dia turut menghafal dengan bersungguh-sungguh sekali bersama pelajar 5 Omar yang lain. |
Sekali
lagi saya memujinya, “Hebat! Ustazah kagum dengan pengertian solat
Jamak dan Qasar yang kamu hafal. Sekiranya beginilah sikap kamu
menghafal dan belajar membaca, Ustazah sangat yakin kamu akan
mendapat pangkat ‘Mumtaz’ (cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas
Kafa (UPKK – peperiksaan JAKIM bagi semua pelajar tahun 5 ) tahun
ini. Kamu tentu boleh menjadi seperti kawan-kawan kamu yang lain.
Pandai membaca jawi dan Bahasa Arab.” Pelajar tersebut tersenyum
senang mendengar pujian saya.
Sebaik
sahaja selesai mengajar kelas tahun 5 Omar, semua pelajar keluar
rehat. Hanya tinggal beberapa orang sahaja di dalam kelas. Antaranya
pelajar yang pernah saya puji sebelum ini (dalam entri yang lalu),
dan pelajar yang tidak tahu membaca tadi. Pelajar yang tidak pandai
membaca tadi datang sekali lagi kepada saya.
“Ustazah, terima kasih. Esok (hari Jumaat) waktu rehat sudah boleh mula belajar dengan Ustazah kah?" Dia nampaknya sudah tidak sabar mahu belajar.
Saya menjawab, “Esok Ustazah belum pasti lagi. Tetapi hari Isnin insha-Allah.”
Dia mengangguk kepala sambil tersenyum.
Sebelum
keluar kelas, saya sempat berpesan kepada pelajar yang masih tinggal
di dalam kelas, “Ustazah minta tolong tutup kipas dan lampu ya, sebelum keluar.” Sambil berkata, saya berjalan menuju suiz di
hadapan. Pelajar yang pernah dipuji sebelum ini, segera datang
membantu saya.
“Ustazah, biar saya tolong.”
“Baik, terima kasih. Kamu seorang anak murid yang baik dan ringan tulang. Kamu akan disayangi kawan dan guru-guru.”
Dia tersenyum lagi sambil jalan dengan santunnya menuju kantin. =)
Ustazah Siti Khadijah
Entah mengapa..sayu hati membaca entri ini.
ReplyDeleteJika semua guru di Malaysia mengamalkan teknik Nabi, Insya-Allah semua murid akan cemerlang akademik dan sahsiah..
Teruskan Ustazah untuk memandaikan mereka
Sememangnya ada kejadian yang tidak kita duga menyebabkan kita kehilangan kata-kata. Alhamdulillah! ustazah telah diberikan ilham oleh Allah untuk menangani situasi yang berlaku.
ReplyDeleteWalaupun pelajar itu tidak boleh membaca namun ternyata dia mempunyai kelebihan yang lain.Ustazah telah melihat dan seterusnya memuji kelebihannya itu. ternyata pujian mengikut teknik nabi Muhammad memberikan impak yang begitu besar. Subhanallah!
Teruskanlah ustazah berkongsi ilmu begini. Contoh-contoh kata-kata yang digunakan oleh ustazah memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada pembacanya. Selain itu, kata-kata itu juga boleh diteladani tatkala guru-guru menghadapi situasi yang serupa. Insyaallah!
Madam Yana: Inshaallah Puan, mari bersama kita mendoakan agar teknik akan berkembang dan tersebar. Sekiranya ia tersebar, kata-kata Puan akan menjadi kenyataan. Mohon doanya juga untuk diri kerdil ini. Saya amat hargai sokongan Puan. ~Siti Khadijah
DeletePuan Khairulaniza: Benar Puan, impak penggunaan teknik Nabi ini sangat luar biasa. Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kita satu contoh tauladan yang tiada tolok bandingnya. Mari merakam selawat kepada Nabi Muhammad saw, tanda kita mencintai dan menghargai baginda.
Saya hanya berusaha puan, Allahlah yang mengilhamkan segala yang terbaik. Terima kasih atas sokongan Puan. Ianya satu motivasi untuk saya terus berusaha meneruskan teknik Nabi ini. Entri-entri Puan di blog banyak memberi kekuatan kepada saya dalam membimbing pelajar. Terima kasih Puan. ~Siti Khadijah.
Alhamdulillah, saya sangat terkesan membaca kisah ustazah. Allah telah mengurniakan ustazah kelebihan dalam pandai menggunakan kata2. susunan kata dan bahasa cukup indah tetapi mudah difahami serta menusuk hati. mengalir air mata saya. mungkin juga seperti ustazah kata, sifat cengeng,.
ReplyDeleteteruskan perjuangan ustazah..
Alhamdulillah. Terima kasih Puan. Mohon doanya sentiasa.
ReplyDeleteAlhamdulillah Ustazah. bertambah ilmu saya dengan membaca kisah ini. Mengalir air mata. Semoga saya dapat mengamalkan pula teknik ini untuk anak-anak saya. Semoga Allah permudahkan. Amin..
ReplyDelete