Friday, June 29, 2012

Teknik Nabi Bantu Pelajar Baiki Sikap dan Kemajuan Akademik Dalam Pelajaran

Entri kali ini adalah mengenai peningkatan prestasi akademik seorang pelajar perempuan 5 Ali. Pelajar perempuan ini telah mencapai kemajuan yang agak memberangsangkan di dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini. Daripada kedudukan terakhir di dalam kelas (nombor 25/25) kepada kedudukan 11/25. Segalanya bermula daripada penggunaan Teknik Nabi yang telah diaplikasikan ke atas dirinya.

Saya pernah berkongsi bagaimana saya mengaplikasi Teknik Nabi ke atas pelajar ini di dinding Facebook tidak lama dahulu. Namun, tidak pula saya berkesempatan mencatatkan kisahnya di blog ini. Inshaallah, sebelum saya kongsikan mengenai peningkatan akademik pelajar di dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini, akan saya tuliskan kembali aplikasi Teknik Nabi Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan yang pernah digunakan ke atas pelajar ini di sini.

Catatan Aplikasi Teknik Nabi ke atas Nisrina yang pernah ditulis di fb (baca di sini)

Seperti guru kelas corot yang lain, antara masalah yang sering saya hadapi ketika mengisi buku rekod kedatangan pelajar setiap bulan adalah peratus kehadiran pelajar tidak pernah mencapai catatan yang memuaskan. Masalah ini tidak dapat diatasi sejak bulan Febuari kerana terdapat pelajar di kalangan 5 Ali yang selalu tidak hadir ke sekolah.

Di kalangan pelajar 5 Ali antara pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah adalah seorang pelajar perempuan bernama Nisrina. Selaku guru kelas, saya dapati pelajar yang bernama Nisrina ini sering tidak hadir ke sekolah sejak bulan pertama saya mengajar lagi. Tidak pernah dalam sebulan kehadiran pelajar yang bernama Nisrina ini mencapai tiga hari apalagi seminggu.

Biasanya, Nisrina hanya akan datang satu atau dua hari sahaja dalam sebulan ke sekolah. Saya tidak berpeluang  bercakap atau mendorongnya supaya selalu hadir ke sekolah kerana dia sangat kerap tidak hadir ke sekolah dalam sebulan. Dalam bulan Mac ketika Ujian Prestasi kali pertama berlangsung, Nisrina hanya datang sehari sahaja. Malah pada bulan April yang lalu, Nisrina tidak hadir langsung ke sekolah.

Namun, pada tarikh 08 Mei 2012 yang lalu, Nisrina hadir ke sekolah dengan membawa surat ketidakhadiran untuk diserahkan kepada saya.

Sewaktu mahu memulakan kelas, saya melihat Nisrina memberikan surat yang bersampul putih kepada Nia yang duduk di sebelahnya. Saya fikir, mungkin dia takut untuk menyerahkan surat itu sendiri kepada saya. Apabila melihat adegan dia dan Nia saling tolak menolak surat yang bersampul putih itu, saya memanggil Nisrina datang ke meja guru. Surat yang tadi sudah berada di tangan Nia, diambil kembali.

Sebaik Nisrina berada di hadapan saya, saya bertanyakan kepadanya, “Apakah sebab yang menghalang kamu hadir ke sekolah selama sebulan?”

“Saya mempunyai masalah sakit usus, ustazah.” Jawab Nisrina jujur sambil menyerahkan surat bersampul putih tadi.

Saya mengambil surat tersebut dan menyimpan di dalam buku rekod kedatangan pelajar tanpa membacanya di hadapan Nisrina dan pelajar-pelajar 5 Ali yang lain. Saya buat seolah-olah saya tidak nampak kesalahan tidak hadir ke sekolah Nisrina seperti yang diajarkan dalam Teknik Tutup Mata pada Kesalahan, Puji Kebaikan.

Dalam hadith 12 Malaikat, seorang lelaki itu melakukan perkara-perkara yang salah dan juga perkara-perkara yang betul. Nabi Muhammad memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh. Saya Nampak 12 malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

Setelah itu, saya cari kebaikan Nisrina yang ada pada dirinya untuk dipuji.

Saya berkata, “Ustazah gembira kamu hadir hari ini. Sudah terlalu lama kamu tidak hadir. Ustazah rindu.”

Ketika saya berkata begitu, Kak Yong yang kedudukan mejanya berhadapan dengan meja guru menyampuk percakapan kami. Kata Kak Yong, “Saya juga rindu, ustazah. Saya suka dia datang.”

Lalu saya berkata lagi, “Tengok, bukan Ustazah sahaja yang rindukan kamu, kawan-kawan juga. Dalam ujian fasa pertama dahulu, walaupun kamu hanya mengambil dua mata pelajaran, markah kamu tinggi. Ustazah yakin, sekiranya kamu hadir ke sekolah setiap hari, kamu akan mendapat kedudukan nombor satu hingga sepuluh di dalam kelas 5 Ali ini.”

Nisrina mendapat kedudukan terakhir dalam ujian prestasi kali pertama

Nisrina hanya diam mendengar kata-kata saya. Wajahnya sudah tidak seperti mula-mula dia tiba di meja guru. Sesudah itu, Nisrina saya suruh kembali ke tempat duduknya.

Petang setelah kelas tambahan tamat pada hari itu, Nisrina menyalami tangan saya. Saya berpesan kepadanya dengan berkata, “Jaga diri dan kesihatan kamu baik-baik.”

Peristiwa itu berlaku hampir dua bulan yang lalu. Selepas aplikasi Teknik Nabi dalam peristiwa ini, Nisrina tidak pernah lagi ponteng atau tidak datang ke sekolah (kecuali sekiranya dia terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah kebangsaan) sehingga hari ini. Setiap kali Nisrina hadir ke sekolah, saya akan memuji dan bertanyakan keadaan kesihatannya. Barangkali, ini membuatkan dia rasa disayangi. Dan dia tidak kekok atau segan berkongsi masalah bersama dengan saya.

Semasa peperiksaan pertengahan tahun berlangsung baru-baru ini, Nisrina hadir penuh menduduki peperiksaan. Memandangkan sebelum ini Nisrina kerap tidak hadir ke sekolah, maka banyaklah pelajarannya yang telah tertinggal. Saya tidak dapat menjangkakan apakah Nisrina akan dapat markah yang tinggi untuk semua mata pelajaran yang diduduki mahu pun kedudukan nombor peperiksaannya di dalam kelas.

Dalam tempoh sebulan Nisrina hadir ke sekolah, adalah amat mustahil untuk dia menampung semua mata pelajaran yang tertinggal. Bagi tidak membunuh semangat belajarnya, saya berpesan kepada Nisrina, “Tidak mengapa sekiranya markah kamu tidak tinggi di dalam peperiksaan. Sekiranya kamu berusaha untuk hadir ke sekolah setiap hari dan bersungguh-sungguh menjawab semua kertas peperiksaan, itu sudah cukup baik untuk kamu berjaya pada masa akan datang.”

Dua minggu selepas sekolah dibuka, saya menyiapkan analisis peperiksaan pertengahan tahun pelajar 5 Ali. Apa yang mengkagumkan, prestasi kemajuan akademik Nisrina menampakkan peningkatan yang sangat tinggi. Daripada kedudukan terakhir di dalam kelas (25/25 ketika ujian prestasi kali pertama), turun kepada kedudukan nombor ke sebelas (11/25). Walhal, majoriti guru-guru dan pelajar tahun lima menyatakan bahawa soalan-soalan peperiksaan pertengahan tahun adalah lebih sukar berbanding soalan ujian prestasi kali pertama.

Ini pula keputusan peperiksaan pertengahan Nisrina tahun baru-baru ini.

Dalam tempoh kehadiran penuh yang tidak sampai sebulan sebelum peperiksaan, Nisrina berjaya membaiki kedudukan dan peningkatan pelajarannya sebelum ini di dalam kelas 5 Ali. Ini benar-benar satu pencapaian yang luar biasa. Segalanya bermula dengan Teknik Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan. Subhanallah, benar Teknik Nabi ini suatu mukjizat.

*Hadith rujukan: '12 Malaikat'
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.' ~Baca lebih lanjut di sini

Nisrina bersama pelajar 5 Ali yang lain ketika meraikan sambutan Hari Guru untuk saya

Ustazah Siti Khadijah

Sunday, June 10, 2012

Menyelesaikan Pergaduhan Berdasarkan Hadith Menjaga Perpaduan dalam Barisan Kepimpinan

Beberapa hari sebelum peperiksaan pertengahan tahun berlangsung, berlaku dua pergaduhan di kalangan pelajar 5 Ali dan 5 Omar. Untuk entri kali ini, saya kongsikan dahulu aplikasi Teknik Nabi Muhammad menyelesaikan pergaduhan yang berlaku kepada dua pelajar 5 Ali yang bernama Abang Ngah dan Angah 2.

Seperti biasa sebelum memulakan P&P di dalam kelas 5 Ali, akan ada beberapa orang pelajar meminta izin untuk turun ke surau bagi menunaikan solat Zohor. Oleh kerana sudah sedia maklum akan perkara ini, saya sering masuk ke dalam kelas lebih awal daripada waktu mengajar yang sepatutnya.

Pada hari itu, saya masuk ke dalam kelas 5 Ali lima belas minit lebih awal. Saya duduk di meja guru sambil memerhatikan kebersihan kelas dan pelajar-pelajar 5 Ali yang baru tiba di dalam kelas dengan menyandang beg sekolah masing-masing.

“Ustazah, saya belum solat Zohor. Saya nak turun solat di surau boleh?” Tanya Abang Ngah kepada saya.

Saya hanya menganggukkan kepala. Tidak lama selepas itu, datang lagi empat lima orang pelajar ke meja guru meminta kebenaran melakukan perkara yang sama seperti Abang Ngah. Mereka turun ke surau sekolah yang terletak di bangunan seberang jalan bagi menunaikan solat Zohor.

Setelah berlalu beberapa waktu, Abang Ngah muncul kembali dengan wajah mencuka dan kelihatan marah. Tanpa ucapan salam sebelum masuk ke dalam kelas, dia langsung duduk di mejanya sambil menahan nafas yang tercungap-cungap. Saya yang sedang berbual dengan pelajar-pelajar 5 Ali di dalam kelas memandang Abang Ngah dengan pandangan yang berisi tanda tanya. Namun tidak pula saya bertanya apakah yang sebenarnya berlaku kerana mengikut Teknik Nabi Muhammad yang tidak menyiasat kesalahan. Saya hanya memerhatikan tingkah laku Abang Ngah daripada jauh.

Dia kemudian memangku kepala dengan kedua tangannya. Bahunya tiba-tiba terenjut-enjut. Menurut saya, barangkali dia menangis. Tepat tekaan saya. Abang Ngah benar-benar menangis.

“Ustazah, Abang Ngah menangis. Tadi, dia dengan Angah 2 bergaduh di surau.” Aiman dan beberapa orang pelajar yang baru naik dari surau datang ke meja saya memberitahu.

Ketika itu, semua pelajar yang mendapat kebenaran menunaikan solat Zohor telah kembali berdiri di tempat masing-masing. Saya mencari kelibat Angah 2. Dia juga telah berdiri di tempatnya. Riak wajahnya tidak menampakkan sebarang tanda-tanda muram, tidak berpuas hati apalagi marah. Angah 2 yang kecil molek di dalam kelas 5 Ali itu memang terkenal dengan senyum manisnya. Dia sering tersenyum setiap kali saya atau siapa sahaja memandang ke arahnya atau menghampiri tempat duduknya.

“Dhirul, sudahlah. Engkau yang mula dulukan. Sabar sahajalah. Ikut apa yang ustazah selalu pesan.” Aiman cuba meredakan tangisan Abang Ngah sambil menepuk-nepuk bahunya yang masih terenjut-enjut. Abang Ngah tiba- tiba berdiri sambil menangis dan dengan wajah tidak berpuas hati dia memandang Angah 2 yang sedang berdiri dalam senyuman melihat saya. Dia tiba-tiba bertindak diluar jangka. Abang Ngah cuba menghampiri Angah 2 dengan menggenggam penumbuk. Syukurlah Aiman segera menariknya sebelum dia benar-benar dekat dengan kedudukan Angah 2.

“Mana ada, kau yang mula dulu.” Abang Ngah tidak puas hati. Dia cuba melepaskan diri daripada tangan Aiman sambil menghambur marahnya kepada Angah 2. Angah 2 yang pada mulanya biasa-biasa sahaja dengan senyumannya tiba-tiba menangis. 

“Mana ada. Dia yang kacau kami ambil wuduk ustazah.” Senyum di wajahnya hilang. Kali ini, air matanya menjujuh di pipi. Dia sedikit pun tidak bergerak dari tempat duduknya untuk membalas perbuatan Abang Ngah yang masih mahu menyerangnya. Tenang sekali tuturnya biarpun ada esak tangis yang sesekali menggangu kelancaran tutur katanya.

Abang Ngah bertindak di luar kawal sekali lagi. Dia masih berusaha mahu melepaskan diri daripada pegangan Aiman untuk menuju ke meja Angah 2. “Kaulah yang mula dulu. Engkau buat. Engkau tuduh aku pula.”

Melihatkan keadaan yang makin tegang, dan tidak sanggup membayangkan Angah 2 yang bertubuh kecil molek itu diapa-apakan Abang Ngah, saya menghampiri kedua-dua pelajar tersebut. Ya, berada di tengah-tengah untuk tidak berat sebelah menghukum apalagi memilih untuk memenangkan salah seorang daripada kedua-duanya.

Oleh kerana saya tidak tahu apa yang berlaku dan Teknik Nabi Muhammad juga tidak mengajar menyiasat kesalahan, saya mendiam diri. Sebaik melihat Abang Ngah terlepas daripada pegangan tangan Aiman, saya segera memegang baju sekolah Abang Ngah dan memaut tangannya di bahagian siku. Kemas dan kejap. Saya turut melakukan perkara yang sama kepada Angah 2 (semoga tidak berlaku salah faham di sini. Saya melakukan perkara ini kerana mereka masih anak-anak dan belum cukup umur.)

Saya cuba mengaplikasi Teknik Menyelesaikan Pergaduhan berdasarkan hadith Menjaga Perpaduan dalam Barisan Kepimpinan.

Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid. Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Khalid, "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya." Khalid al-Walid pun berkata, "Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka." Nabi Muhammad berkata, "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir." - Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban. ~Kredit Blog Tim Hadith Psikologi

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menggunakan beberapa strategi bagi menyelesaikan pergaduhan yang berlaku di antara Abdul Rahman bin Auf dan Khalid al-Walid. Strategi tersebut ialah;

1. Mengalihkan pandangan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu daripada melihat kelemahan dan kesalahan musuhnya kepada melihat kehebatan dan kemuliaan musuh. Ini dilakukan supaya perasaan benci-membenci dialihkan kepada perasaan saling hormat-menghormati dan kagum-mengagumi. 

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu kehebatan dan kemuliaan Khalid al-Walid kepada Abdul Rahman bin Auf, dan menerangkan kehebatan dan kemuliaan Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid al-Walid.

Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad berkata: "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya."

Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad berkata: "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir."

2. Menukar perasaan sakit hati dan benci terhadap musuhnya kepada perasaan menghormati, memuliakan dan mengagumi musuhnya.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad sama sekali tidak bertanya tentang apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga menyebabkan 2 orang tokoh itu sakit hati dan berkonflik. Sebaliknya beliau menerangkan kehebatan masing-masing. Teknik yang beliau gunakan adalah menggantikan perasaan sakit hati kepada perasaan suka dan puas hati hasil menerima pujian daripada pucuk pimpinan.

3. Memperkenalkan peraturan interaksi sosial yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu Abdul Rahman bin Auf supaya tidak menyakiti Khalid dal-Walid, dan memberitahu Khalid al-Walid supaya tidak menyakiti Abdul Rahman bin Auf.

Setelah tangis Abang Ngah dan Angah 2 reda, saya berkata kepada Abang Ngah, “Abang Ngah, ustazah tahu kamu sayangkan ustazah dan kelas 5 Ali. Kamu tidak boleh bergaduh dengan Angah 2 kerana dia merupakan pelajar 5 Ali dan dia adalah anak murid ustazah. Dia selalu membantu ustazah memastikan buku-buku pelajar di dalam kelas ini sudah berada di atas meja setiap kali pelajaran mahu dimulakan. Jasanya sangat besar untuk kemajuan akademik semua pelajar kelas 5 Ali ini. Kamu tidak mungkin dapat melakukan apa yang telah Angah 2 buat untuk memudahkan pelajaran.”

Abang Ngah diam. Perlahan-lahan, saya nampak dia angguk kepala. Kemudian, saya mengulang kata-kata yang hampir sama kepada Angah 2 pula.

“Angah, ustazah juga tahu kamu sayang ustazah dan kelas 5 Ali ini. Kamu tidak boleh bergaduh dengan Angah 2 kerana dia juga merupakan pelajar 5 Ali dan dia juga adalah anak murid ustazah. Abang Ngah selalu membantu ustazah mengawal kelas dan mengangkat barang-barang guru yang mengajar kamu. Jasanya juga amat besar kepada ustazah-ustazah yang mengajar kamu dan kelas 5 Ali ini. Sekiranya  kamu membersihkan kelas hari-hari, belum tentu kamu dapat menandingi kebaikan yang Abang Ngah telah lakukan.”

Saya bertindak berdasarkan tiga strategi yang terdapat di dalam hadith ini. 


1. Mengalihkan pandangan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu daripada melihat kelemahan dan kesalahan musuhnya kepada melihat kehebatan dan kemuliaan  musuh. Ini dilakukan supaya perasaan benci-membenci dialihkan kepada perasaan saling hormat-menghormati dan kagum-mengagumi.

Dalam pergaduhan ini, saya memberitahu kebaikan dan jasa Angah 2 kapada Abang Ngah, dan kebaikan dan jasa Abang Ngah kepada Angah 2.

Kepada Abang Ngah saya berkata, "Dia selalu membantu ustazah memastikan buku-buku pelajar di dalam kelas ini sudah berada di atas meja setiap kali pelajaran mahu dimulakan. Jasanya sangat besar untuk kemajuan akademik semua pelajar kelas 5 Ali ini. Kamu tidak mungkin dapat melakukan apa yang telah Angah 2 buat untuk memudahkan pelajaran.”

Kepada Angah 2 saya berkata, "Abang Ngah selalu membantu ustazah mengawal kelas dan mengangkat barang-barang guru yang mengajar kamu. Jasanya juga amat besar kepada ustazah-ustazah yang mengajar kamu dan kelas 5 Ali ini. Sekiranya  kamu membersihkan kelas belum tentu kamu dapat menandingi kebaikan yang Abang Ngah telah lakukan.”


2. Menukar perasaan sakit hati dan benci terhadap musuhnya kepada perasaan menghormati, memuliakan dan mengangumi musuhnya.


Dalam pergaduhan di kelas 5 Ali, saya sama sekali tidak bertanya tentang apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga menyebabkan dua pelajar itu bergaduh. Sebaliknya saya menerangkan kebaikan masing-masing. Teknik yang saya gunakan adalah menggantikan perasaan sakit hati kepada perasaan suka dan puas hati hasil menerima pujian daripada orang besar (vip) iaitu ustazah mereka.


3. Memperkenalkan peraturan interaksi sosial yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak.


Dalam pergaduhan di kelas 5 Ali, saya memberitahu Abang Ngah supaya tidak bergaduh dengan Angah 2, dan memberitahu Angah 2 supaya tidak bergaduh  dengan Abang Ngah. Tindakan saya yang melarang mereka bergaduh itu adalah strategi atau prinsip memperkenalkan peraturan interaksi sosial.

Kedua-dua mereka diam mendengar kata-kata saya. Selepas itu, saya menyambung kembali dengan berkata, “Kamu bedua adalah orang yang amat berjasa di dalam kelas 5 Ali ini. Saling bermaafanlah untuk terus belajar di dalam kelas yang ceria seperti selalu. Sesungguhnya, orang yang meminta maaf dan memberi maaf adalah orang yang terpuji dan amat disukai di dalam Islam.”

Angah 2 menghulurkan tangannya kepada Abang Ngah. Saya memuji perbuatannya, “Ustazah kagum dengan sikap kamu yang sanggup mendahului dalam meminta maaf. Sungguh kamu telah melakukan dua kebaikan. Pertama, mengakui kesalahan, dan kedua, menjadi orang pertama dalam meminta maaf. Kamu akan disenangi rakan-rakan kerana sikap mulia ini.”

Mendengar kata-kata saya, Abang Ngah menyambut huluran tangan Angah 2 dengan berkata, “Aku pun minta maaf.”

Mereka berpelukan. Selepas itu, P&P dapat dijalankan seperti biasa. Abang Ngah dan Angah 2 tidak kelihatan seperti selepas bergaduh sepanjang hari itu. Paling mengkagumkan, Abang Ngah dan Angah 2 boleh bekerjasama di dalam kumpulan sepanjang pelajaran berlangsung. Pergaduhan hari itu selesai tanpa perlu saya menyiasat punca mereka bergaduh, menegur, mengkritik atau memarahi perbuatan mereka yang begaduh dan menghukum mana-mana pelajar atas kesalahan bergaduh. 

Cukup dengan memberikan penyelesaian, semuanya kembali kepada sedia kala. Syukur pada Allah. 

 Abang Ngah. Angah 2 tersenyum memandang dari tempat duduknya di belakang

Angah 2 yang sentiasa murah dengan senyuman.

Ustazah Siti Khadijah

Monday, June 4, 2012

Aplikasi Teknik Tidak Menegur Kesalahan Berdasarkan Hadith 12 Malaikat Kepada Pelajar Yang Melakukan Kesalahan Memakai Songkok

Saya sering tersenyum seorang diri mengingat aplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas seorang Penolong Guru di dalam kelas 5 Ali ini. Namanya Aiman. Dia telah dilantik menjadi Penolong Guru Kehadiran bagi memastikan dan memaklumkan kehadiran pelajar 5 Ali kepada saya pada setiap hari belajar. Sejak dilantik menjadi Penolong Guru, Aiman sentiasa berusaha menjalankan tugasnya dengan penuh bertanggungjawab dan baik. (Untuk mengetahui Teknik Melantik Penolong Guru, baca di sini)

Namun dalam entri kali ini, bukan aplikasi Teknik Penolong Guru yang ingin saya kongsikan. Tetapi aplikasi Teknik Tidak Menegur Kesalahan yang telah diaplikasikan kepada Penolong Guru 5 Ali yang bernama Aiman ini atas kesalahan memakai songkok secara melintang dan kadangkala sengaja disengetkan songkok yang dipakai.

Pada bulan-bulan awal mengajar dahulu, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar lelaki di dalam kelas 5 Ali adalah tidak memakai songkok. Namun kini, setelah aplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan, mereka telah bersongkok. Sangat jarang ada pelajar dengan sengaja tidak memakai songkok baik di dalam kelas atau di luar kelas sepanjang hari persekolahan berlangsung.

Namun biarpun sudah bersongkok, tetap sahaja ada pelajar yang masih melakukan kesalahan memakai songkok secara tidak betul seperti memakai songkok secara melintang atau senget. Di kalangan pelajar lelaki 5 Ali, Aiman dan Profesor Syahmi adalah pelajar yang paling kerap mengulangi kesalahan ini.

Barangkali, ini adalah tabiat yang telah sebati dalam diri mereka. Ini kerana, menurut pemerhatian saya, mereka berdua apabila diberi penerangan tentang peraturan sekolah bahawa pelajar lelaki harus memakai songkok, mereka akan memakai songkok secara betul pada mulanya. Tidak lama kemudian, songkok di atas kepala berubah daripada kedudukan lurus kepada kedudukan melintang. Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka mengulang perbuatan yang sama.


Aiman ketika masih terbiasa dengan kesalahan memakai songkok secara melintang dan senget

Pada mulanya, saya tidak mempedulikan kesalahan dua pelajar ini. Cukup sekadar saya menerangkan peraturan sekolah, kemudian mereka membetulkan kedudukan songkok yang dipakai. Namun setelah melihat kerap benar kesalahan ini diulang-ulang, saya cuba mengaplikasikan Teknik Nabi Muhammad Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan berdasarkan hadith 12 Malaikat.

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Dalam hadith ini, seorang lelaki melakukan beberapa  kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang. Namun Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:
  
"Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)"
“Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)

Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa  dirinya dimalukan di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak  jatuh.

Beberapa minggu yang lalu, ketika masuk ke dalam kelas 5 Ali, Aiman masih mengulang kesalahan yang sama; memakai songkok secara melintang dan senget. Ketika mahu membetulkan kesilapan Aiman yang memakai songkok secara melintang atau kadangkala senget, saya menghampiri meja Aiman. Saya tidak melakukan perkara-perkara di bawah ini kepada Aiman;
  1. Saya tidak menegur Aiman dengan berkata, “Kamu pakai songkok salah! Betulkan songkok kamu.” (SALAH)
  2. Saya tidak mengkritik Aiman dengan berkata, “Kamu ini Aiman, pakai songkok pun salah.” (SALAH)
  3. Saya tidak menasihat-nasihat Aiman supaya dia tidak mengulang kesilapannya dengan berkata, “Lain kali, pakai songkok betul-betul. Jangan pakai salah atau disenget-sengetkan songkok kamu.” (SALAH)
  4. Saya tidak membanding-bandingkan Aiman dengan pelajar lain dengan berkata, “Aiman, lain kali pakai songkok macam Solahuddin atau Al-Fateh, barulah betul cara kamu pakai songkok.” (SALAH)
  5. Saya tidak menyiasat Aiman dengan berkata, “Mengapa kamu pakai songkok melintang? Kenapa kamu suka sangat pakai songkok melintang/ senget? Aiman, kamu ini memang tidak tahu cara pakai songkok yang betulkah?” (SALAH)
Sebaliknya, sebaik berada di hadapan Aiman, saya membetulkan songkok Aiman yang berada di atas kepalanya daripada kedudukan melintang kepada kedudukan lurus seperti pemakaian songkok yang sepatutnya. Sambil tersenyum, saya berkata; “Begini cara pemakaian songkok yang betul. Kamu nampak kemas dan rapi apabila memakai songkok begini. Ustazah suka.”

Aiman tersenyum-senyum mendengar kata-kata saya. Sepanjang P&P saya di dalam kelas 5 Ali pada hari tu, Aiman tidak menukar kedudukan songkok yang dipakainya. Malah sehingga sekarang, tidak pernah sekalipun saya melihat Aiman memakai songkok dengan cara salah. 

Aiman kini tidak pernah lagi mengulangi kesalahan memakai songkok dengan cara yang salah.

Kadangkala, apabila Profesor Syahmi memakai songkok dengan cara yang salah, Aiman pula yang akan menegur dengan berkata, “Pakai songkok betul-betul. Bukan pakai melintang atau disenget-sengetkan.”

Saya menahan tawa memerhatikan perbuatan Aiman. Dia ada bakat menjadi Guru Disipilin. Hehe.

Ustazah Siti Khadijah

Thursday, May 31, 2012

Contoh Bab dan Episod yang bakal terbit dalam Buku Teknik Mendorong Kelas Corot

Bab Tidak Menyiasat Kesalahan Pelajar
Episod 2
23 Mac 2012- Petang itu, sebaik selesai mengajar matapelajaran terakhir di dalam kelas 5 Ali, saya melalui kaki lima sekolah untuk kembali ke pejabat. Dalam perjalanan, ada seorang pelajar lelaki yang tidak saya kenali namanya memanggil.
“Ustazah!”

Saya menoleh dan menjawab panggilan pelajar tersebut. Ketika memandang wajah pelajar yang memanggil tersebut, saya dapati seorang pelajar lelaki sedang berdiri di bawah panas matahari kaki lima sekolah. Dia ditemani oleh dua orang lagi rakannya.

“Ada apa?” 

Kerana tidak pasti siapa yang memanggil, saya bertanya secara rawak.

“Cakaplah.” Salah seorang daripada mereka menyuruh pelajar yang sedang berdiri di bawah bayang matahari petang itu bercakap.

“Cepatlah cakap. Ustazah tunggu itu.” Seorang lagi rakannya turut menyuruh pelajar yang sama menyatakan tujuan mereka memanggil saya.

Pelajar yang dimaksudkan rakan-rakannya tadi kelihatan takut-takut. Matanya merah berair memandang wajah saya. Dia tidak bercakap sepatah pun ketika memandang wajah saya. Barangkali ada sesuatu yang menyebabkan dia bersikap sedemikian, duga saya dalam hati. Lama kami berpandangan. Akhirnya pelajar tersebut mengalah dengan melarikan diri dari tempat dia sedang berdiri entah ke mana destinasinya tidak pula saya pasti.

“Ustazah, dia kena denda. Ustazah (namanya terpaksa dirahsiakan) suruh dia ambil tandatangan semua guru sebab dia tidak hafal surah Al-Fajr.” Seorang rakannya menjelaskan tujuan mereka memanggil saya sebentar tadi.

Saya hanya mendiamkan diri mendengar patah-patah perkataan yang keluar daripada rakan pelajar tersebut. Jujur, saya simpati. Saya amat yakin, bahawa self-esteem (maruah) pelajar yang didenda sebentar tadi jatuh teruk berdasarkan tindakannya yang sukar untuk menjelaskan tujuan mereka memanggil saya dan perbuatan pelajar tersebut yang melarikan diri daripada terus berhadapan dengan saya.

Selepas itu, saya meneruskan langkah menuju ke pejabat tanpa bertanya atau menyiasat mengapa atau kenapa pelajar tersebut didenda sebegitu. 

Ketika menyelesaikan urusan di pejabat, rakan-rakan pelajar yang didenda tadi datang ke pejabat dengan menyerahkan satu kertas bertulis ayat yang berbunyi, “Saya tidak hafal surah Al-Fajr” kepada saya untuk ditandatangani. Pelajar yang didenda tersebut tidak kelihatan.

Saya meminta supaya pelajar tadi dipanggil berjumpa dengan saya. Tujuan saya hanya satu, mahu mengembalikan self-esteem nya yang telah jatuh. Bukan untuk menyiasat dengan bertanya soalan-soalan seperti ini;

“Kenapa kamu tidak menghafal surah Al-Fajr?"
“Mengapa kamu didenda sebegini?”
“Kenapa kamu perlu mengambil tandangan saya di dalam kertas ini?”

Ketika pelajar tersebut datang kepada saya, belum pun sempat saya membuka mulut, dia menyatakan alasan mengapa dia didenda sambil menangis. “Saya tidak hafal surah Al-Fajr Ustazah, sebab itu saya perlu dapatkan tandangan semua guru sekolah ini,” katanya.

Sungguh, hati saya terusik melihat dan mendengar esak tangisnya. Saya tahan sebak yang mula mengepung jiwa sambil berkata, “Apakah boleh Ustazah tahu, berapa ayat yang telah kamu hafal daripada keseluruhan ayat surah Al-Fajr?”

“Saya hafal 11 ayat, Ustazah. Ustazah (namanya dirahsiakan) nak 30 ayat.”

Mendengar jawapannya, saya lalu menyambung lagi, “Bagus. Ustazah suka dan senang mendengar kamu sudah menghafal sehingga 11 ayat. Ustazah sangat yakin, sekiranya 11 ayat tersebut sudah mampu kamu hafal, tentu kamu juga akan mampu menghafal sehingga 30 ayat. Ustazah akan bantu mendoakan kamu.”

Sebaik mendengar kata-kata saya, wajah pelajar tersebut berubah seratus peratus. 

Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan sangat yakin self-steemnya telah kembali naik. 

Bayangkanlah sekiranya saya terus bertanya mengapa dan kenapa dia didenda dan tidak menghafal atau berleter menasihatinya kerana tidak menghafal, sudah tentu pelajar tersebut tidak akan menyalami tangan saya dan mengucapkan terima kasih sambil tersenyum dalam linangan air mata.

Ustazah Siti Khadijah

Wednesday, May 16, 2012

Pertandingan Status FB Terbaik: anjuran Ustazah Siti Khadijah: Memori Didenda Cikgu



Ustazah Siti Khadijah sedang menganjurkan Pertandingan Status FB Terbaik: anjuran Ustazah Siti Khadijah: Memori Didenda Cikgu di Facebook.

Klik pautan Event di bawah untuk menyertainya.
https://www.facebook.com/events/225506420898120/

Setakat ini, sudah 50 orang yang akan menyertainya. Dan ramai lagi yang dijangka menyertai.

Jumpa di sana, ya?

Thursday, May 10, 2012

Disuruh Sekadar Menunjukkan, Mereka Serius Mahu Melakukan Yang Sebenar.

Seperti Puan Khairulaniza yang mempunyai episod-episod kecil bersama pelajar-pelajarnya, saya juga mempunyai episod-episod kecil bersama pelajar 5 Ali dan pelajar 5 Omar. Memandangkan kini saya amat sibuk dengan beberapa urusan, maka tidaklah dapat saya catatkan entri-entri penggunaan Teknik Mendorong Pelajar Corot menggunakan teknik Nabi Muhammad secara terperinci seperti entri-entri sebelum ini.

Bagi tidak menghampakan pengunjung-pengunjung blog dan membiarkan blog ini berterusan sepi, saya memutuskan untuk mengikut jejak Puan Khairulaniza berkongsi episod-episod kecil bersama pelajar kepada pembaca. Inshaallah sekiranya ada kesempatan yang lebih panjang, nanti akan saya kongsikan entri-entri terbaru blog USK Mendorong Pelajar Corot Menggunakan Teknik Nabi secara terperinci seperti biasa.

Baiklah, mari kita mulakan kisah Episod-episod Kecil bersama pelajar dengan entri episod kecil pertama yang bertajuk Disuruh Sekadar Menunjukkan, Mereka Serius Mahu Melakukan Yang Sebenar.

Pada hari Khamis minggu lepas dan hari Isnin (minggu ini) yang lalu, saya masuk ke dalam kelas 5 Omar dan 5 Ali untuk mengajar matapelajaran Fekah. P&P matapelajaran Fekah minggu lepas dan minggu ini adalah mengenai perbahasan Fekah sekitar Solat Jenazah.  Oleh kerana sekolah kami merupakan sekolah integrasi, pelajar-pelajar  tahun lima harus mengambil keseluruhan subjek silibus integrasi daripada pihak JAKIM dan JAIS. Ya, setiap satu matapelajaran pelajar tahun lima mempunyai dua buah buku khusus. Satu daripada JAKIM, dan satu lagi daripada JAIS.

Untuk P&P awal tahun sehingga Ujian Prestasi Fasa Pertama (Januari – Mac) yang lalu, guru-guru tahun lima diminta mengajar menggunakan silibus pelajaran daripada JAKIM. Sementara selepas Ujian Prestasi Fasa Pertama (April – Mei), kami diminta pula menggunakan silibus daripada JAIS. Ini kerana, soalan-soalan peperiksaan awal tahun yang bakal bermula pada 15 Mei 2012 ini  telah digubal oleh  pihak atasan menggunakan silibus JAIS.

Oleh kerana kesilapan teknikal, pertukaran silibus bagi bulan April sehingga Mei ini tidak sampai ke pengetahuan saya. Saya meneruskan P&P sehingga hujung bulan April menggunakan silibus daripada JAKIM. Ini kerana, saya amat menitik beratkan peperiksaan UPKK yang bakal diduduki pelajar-pelajar tahun lima di hujung tahun ini. Dan kerana itulah saya menggunakan silibus buku-buku JAKIM.

Saya hanya mengetahui perkara ini apabila diberitahu dalam mesyuarat guru-guru tahun lima bersama pengetua sekolah awal Mei yang lalu. Sebaik maklum perkara ini, saya segera mengubah P&P bulan Mei menggunakan buku-buku JAIS. Oleh kerana kesilapan teknikal ini, maka banyaklah tajuk-tajuk di dalam silibus JAIS yang sepatutnya sudah diajarkan tertangguh. Pelbagai usaha saya lakukan untuk mengejar silibus yang tertinggal.

Antara perkara yang sering saya pesankan kepada pelajar sebelum memulakan kelas adalah, saya mohon kerjasama mereka untuk memberi perhatian terhadap pelajaran yang bakal disampaikan. Oleh kerana kelas 5 Ali dan kelas 5 Omar sudah biasa dengan Teknik Nabi Muhammad, mereka cepat faham dan memberikan kerjasama yang sangat baik semasa P&P berlangsung. Setiap kali melihat kebaikan yang dilakukan oleh pelajar daripada dua kelas ini, saya akan memuji-muji mereka (menggunakan Teknik Nabi) meskipun kebaikan yang dilakukan adalah sangat kecil.

Kerana kerjasama ini, silibus JAIS yang tertangguh dapat diselesaikan dalam tempoh yang tidak lama. Hari Khamis minggu lalu, saya mengajar kelas 5 Omar matapelajaran Fekah mengenai Solat Jenazah. Selesai menerangkan dan mengulang tunjuk cara solat jenazah, saya meminta pelajar 5 Omar meniru perlakuan saya.

Pada mulanya, saya menggunakan pembaris panjang guru sebagai jenazah. Saya minta para pelajar mensolatkan jenazah seorang wanita Islam. Mereka segera faham arahan yang diberikan. Faruq yang menjadi imam segera berdiri di sisi pinggang mayat sambil memulakan niat solat jenazah. Manakala, beberapa orang pelajar 5 Omar yang menjadi makmum segera mengikuti perbuatan Faruq. Praktik solat jenazah disempurnakan mereka dengan empat kali takbir yang mana setiap takbir diselangi dengan doa Iftitah, Al-Fatihah, selawat dan doa. Selesai menyempurnakan praktik ini, mereka memberi salam.

Pembaris panjang guru ini menjadi jenazah perempuan. Faruq yang menjadi imam mengambil posisi di tengah-tengah (pinggang) jenazah perempuan

“Ustazah, kalau kita datang lambat. Kemudian kita tidak tahu mayat yang disolatkan imam lelaki atau perempuan macam mana kita mahu niat? Mahu baca niat untuk jenazah lelaki atau perempuan?” Tanya seorang pelajar 5 Omar kepada saya.

“Begini, kita lihat keadaan imam yang sedang mensolatkan jenazah tersebut. Sekiranya imam berdiri di sisi kepala mayat, itu beerti jenazah lelaki yang sedang disolatkan. Dan sekiranya imam tersebut berdiri di sisi tengah (pinggang) jenazah, itu beerti jenazah yang sedang disolatkan adalah seorang perempuan.” Jawab saya sambil membacakan kembali cara-cara solat jenazah yang diterangkan di dalam buku Fekah JAIS.

“Ooo.” Jawab mereka.
“Ustazah, jom kita solat jenazah untuk lelaki pula. Tadi jenazah perempuan.” Sampuk seorang lagi pelajar.
“A’ah Ustazah. Jomlah! Kali ini, kita buat yang real punya. Biar saya jadi mayat.” Seorang lagi pelajar lelaki menyampuk perbualan kami.

Saya senyum, tadi disuruh menunjukkan sekadarnya sahaja. Kali ini mereka serius mahu melakukan solat jenazah yang sebenar. Wajah mereka begitu mengharap sekali.
“Bolehlah Ustazah.”
“A’ah Ustazah, bolehlah. Nanti kami akan semakin faham.” Balas seorang lagi pelajar 5 Omar.
Sambil tersenyum, saya menjawab, “Baiklah. Kita akan melakukan solat jenazah yang sebenar.”

Sebaik mendengar persetujuan saya, tanpa berlengah mereka membentuk saf. Seorang pelajar yang telah menawarkan diri menjadi jenazah sebentar tadi membaringkan dirinya di atas meja. Pelajar 5 Omar yang menjadi Imam dan Makmum segera menyempurnakan solat jenazah bagi seorang lelaki. Saya dapati, solat jenazah mereka dapat dilakukan dengan baik meskipun mereka masih melihat buku. =)

Seorang pelajar 5 Omar dengan sukarela menjadi jenazah. Kali ini, Faruq mengambil posisi di kepala mayat.

Sementara kisah episod kecil mengenai pengurusan jenazah bagi kelas 5 Ali pula berlaku pada hari Isnin yang lalu. Oleh kerana kedatangan pelajar 5 Ali yang tidak sampai ½ daripada bilangan pelajar sepatutnya di dalam kelas 5 Ali, saya membawa pelajar 5 Ali yang hadir ke perpustakaan sekolah. Di perpustakaan, saya menyambung P&P minggu lalu berkenaan pengurusan jenazah.

Memandangkan masa saya bersama pelajar 5 Ali lebih lama berbanding pelajar 5 Omar (dua kali seminggu), perbahasan Fekah sekitar solat jenazah di dalam kelas 5 Ali telah masuk kepada perbahasan memandikan dan mengkafankan jenazah.

Seperti pelajar 5 Omar, saya juga melakukan perkara yang sama untuk kelas 5 Ali. Saya minta kerjasama mereka ketika sesi P&P dijalankan, dan mereka menurut permintaan saya dengan mudah sekali. Saya terangkan cara-cara memandi dan mengkafankan jenazah. Pada mulanya saya hanya menerangkan secara lisan dengan menggayakan cara-cara memandikan jenazah di hadapan mereka. Namun, mereka tidak berpuas hati. Seperti pelajar 5 Omar, mereka juga meminta supaya praktik memandi dan mengkafankan jenazah dilakukan secara sebenar.

“Ustazah, kita buat yang betul-betullah. Baru best.” Solahuddin memberi cadangan.
“Ya, Ustazah. Kita buat yang betul-betul, biar saya yang buat. Ustazah tengok, betul atau tidak saya buat.” Sambung Abang Ngah pula.
“Saya nak jadi mayat, Ustazah.” Solahuddin sekali lagi menyampuk dengan menawar diri untuk menjadi jenazah.
“Biar saya jadi tukang baca arahan, Ustazah.” Edry Abd Halim pula menawarkan dirinya untuk membacakan cara-cara memandikan jenazah yang tertulis di papan putih.

Akhirnya saya mengangguk menyetujui cadangan mereka dengan menyatakan, “Bagus, Ustazah suka semangat belajar kamu. Sekarang kita akan melakukan cara-cara memandikan mayat yang sebenar.” Ketika mengkafankan mayat juga, pelajar 5 Ali meminta untuk melakukan betul-betul sebagaimana yang sebenar.


Abang Ngah siap memandikan jenazah

Edry sedang membacakan cara-cara memandikan jenazah bagi membantu Abang Ngah

Abang Ngah sempat memberikan pose istimewa ketika mewudukkan jenazah

Sungguh saya kagum dengan kesungguhan dan semangat belajar pelajar dua kelas ini. Apabila saya menyuruh sekadar menunjukkan yang biasa-biasa, mereka mahukan yang sebenar. Ini membuktikan self-esteem (maruah) dan semangat belajar mereka sudah sangat tinggi.

*Nota, kerana ketiadaan kain putih, saya menggunakan kain pink yang dipinjam daripada perpustakaan. Saya meminta mereka menganggap kain tersebut adalah kain yang berwana putih. Seorang penolong guru yang bernama Aiman berkata, “Ustazah, kain ini warna pink. Ini menunjukkan yang si mayat adalah lelaki lembut kerana hanya perempuan sahaja yang sukakan warna pink.” Kami sama-sama ketawa mendengar kata-katanya.

Ini pula, foto Sue (menunduk memandang bawah meja), Nano, Edry dan Solahuddin yang sedang menghafalkan niat memandikan jenazah lelaki dan perempuan. Menghafal sehingga tertutup-tutup matanya.

Angah sedang meminta rakan-rakannya menyemak hafalan niat memandikan jenazah lelaki dan perempuan. Manakala yang duduk menghafal sendirian di hujung sana, adalah pelajar pendiam yang suka menyendiri si Fattah Vasya.

Ini pula hero popular 5 Ali yang menghafal niat memandikan jenazah lelaki dan perempuan dengan gaya kuak lentang.

Ustazah Siti Khadijah

Wednesday, April 18, 2012

Aplikasi Hadith Himar Kepada Pelajar Yang Meninggalkan Solat

Anak adalah aset ke syurga. Saya yakin dan amat pasti, semua pembaca sudah maklum akan perkara itu. Apabila anak-anak kecil dapat diasuh dengan baik agar menjaga solat lima waktu, urusan yang lain akan menjadi mudah. Namun cara kita mengajak, menyuruh atau menegur anak-anak yang tidak solat seringkali tidak kena cara dan bercanggah dengan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad saw dalam mendorong orang-orang corot. Ini akan menyebabkan anak-anak atau pelajar tidak berterusan (istiqamah) menunaikan solat. Malah, ada ketika mereka merasa seperti dipaksa-paksa pula.

Untuk entri kali ini, saya akan berkongsi pengalaman aplikasi Hadith Himar ke atas seorang pelajar 5 Ali yang sering meninggalkan solat. Sebelum entri ini dikisahkan dengan lebih lanjut, sukalah saya memberitahu, atas alasan melindungi aib pelajar, entri kali ini tidak akan ada gambar sebenar pelajar tersebut mahu pun identiti sebenar pelajar tersebut. Memadai dengan nama yang direka sendiri dan gambar yang tidak berkaitan dengan pelajar yang diceritakan.

Suatu hari ketika saya menyelesaikan tugasan menulis buku laporan RPH di bilik guru, seorang rakan guru memaklumkan, “Dijah, tadi mak Ana (bukan nama sebenar) telefon akak. Dia minta guru kelas anaknya tanya yang Ana sudah solat Zohor atau belum. Kata emaknya, dia selalu tidak solat. Tetapi apabila kita tanya, dia akan jawab sudah solat. Dijah tolong tanyakan si Ana itu nanti. Ana itu, kalau akak jumpa, memang akak cakap dan tegur. Sudah banyak kali akak cakap dan tegur dia. Akak selalu kata, “Kamu ini sudah besar. Tahu tak yang tidak solat itu berdosa. Bla..bla..bla (saya sudah tidak ingat apa ayatnya kerana saya memang tidak berminat dengan nasihat mahu pun kata-kata yang akhirnya bertukar menjadi ceramah atau leteran).”

“Oh, iya kah. Baik, nanti saya akan cuba tegur Ana pula di dalam kelas.” Jawab saya pendek.

Sebagai guru kelas 5 Ali, apa sahaja perkara atau percakapan daripada guru-guru yang sampai ke telinga, akan saya simpan kemas dalam kepala. Sekiranya perkara buruk yang diceritakan, seperti perangai pelajar yang pelbagai ragam, akan saya perbetulkan perangai mereka dengan memberikan pujian kepada pelajar yang tidak melakukan kesalahan. Dengan cara ini, pelajar yang melakukan kesalahan akan sedar kesalahan yang dilakukan. (Teknik Puji + Sebutkan Impaknya + Teknik Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan).

Namun untuk kesalahan pelajar 5 Ali kali ini, ia adalah kesalahan yang memang mempunyai hukuman di dalam Islam. Ia kesalahan berat kerana berkait dengan hak Allah swt. Pelajar tersebut pula sudah baligh (cukup umur). Saya harus menegur dan membetulkan kesalahan yang dilakukan. Saya memikir-mikir, apakah teknik dan skrip ucapan yang bakal saya gunakan padanya nanti.

Apabila masuk ke kelas 5 Ali tengahari itu, pada mulanya saya menggunakan Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan (untuk mengetahui teknik ini secara terperinci, baca di sini). Skrip ucapan teknik yang digunakan pada hari itu tidak dapat saya ingat sepenuhnya kerana peristiwa mendorong pelajar tidak solat ini berlaku pada akhir bulan pertama saya berkhidmat di sekolah. Satu-satunya ayat yang masih saya ingat ketika menggunakan Teknik Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan (pada waktu itu) ialah, “Siapa yang solat Zohor dahulu sebelum datang sekolah?”

Setelah memastikan keempat-empat soalan saya dijawab pelajar 5 Ali (tiga lagi soalan, saya lupa), saya merangkum semua soalan yang diajukan dengan berkata, “Sesiapa yang mengangkat tangan tadi kerana melakukan perkara-perkara yang Ustazah sebutkan adalah calon penghuni syurga. Allah akan berkati kamu dengan memudahkan kamu belajar dan menerima pelajaran hari ini.”

Seterusnya saya menggunakan Teknik Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan pula. Saya melanjutkan penerangan mengenai solat dengan berkata, “Dengan menunaikan solat, Allah akan beri kita ketenangan dan keberkatan. Bukan sahaja dalam kehidupan sehari-hari, tetapi juga dalam pelajaran yang sedang dipelajari. Kadangkala, kita bukan pelajar yang pandai. Belajar atau menghafal selalu rasa susah dan tersangkut-sangkut. Tetapi apabila dalam peperiksaan, kita dapat menjawab soalan yang kita sendiri kadang-kadang tidak tahu jawapannya. Markah ujian dan peperiksaan kita juga tinggi dan lulus. Padahal, bukan semua pelajaran dapat kita baca, hafal dan ulangkaji. Itulah sebenarnya ketenangan dan keberkatan yang Allah bagi pada kita kerana kita taat pada perintahnya dengan mengerjakan solat.”

Memandangkan pelajar tersebut turut mengangkat tangan ketika diajukan soalan sebentar tadi, saya tahu, dia telah menipu saya kerana baru tadi ibunya memberitahu yang dia tidak solat sebelum ke sekolah. Saya masih cuba mencari ayat-ayat yang berhikmah agar pelajar itu terpujuk menunaikan solat.

Kemudian, saya berkata, “Sekiranya kamu mahu pelajaran yang bakal kita mulakan sebentar lagi diberkati, solatlah dahulu.”

“Ustazah, saya belum solat Zohor. Saya nak pergi solat di surau, boleh?” Syukur, Ana datang menghampiri saya sambil berbisik memohon kebenaran menunaikan solat.

Ketika dia berkata begitu, saya segera memuji tindakannya di hadapan pelajar-pelajar lain. Tujuan pujian tersebut adalah untuk menaikkan self-esteem (maruah) nya. Selain itu, saya amat yakin yang pujian juga dapat membuatkan pelajar tersebut menunaikan solat dengan rela hati bukan dipaksa-paksa.

“Bagus. Ustazah suka sikap Ana yang mengakui kesalahan. Itu tandanya,  dia seorang palajar yang berani dan bersikap benar. Selepas menunaikan solat, Ustazah amat yakin yang pelajaran kamu hari ini akan menjadi mudah. Siapa yang mahu mencontohi kebaikan yang telah dilakukan Ana, silalah turun bersolat di surau.”

Dalam amalan lazim (biasa), apabila seorang anak atau pelajar tidak menunaikan solat, kita biasanya akan berkata seperti ini;

 “Kenapa tidak solat? Nak jadi apa? Nak masuk neraka?” (Salah)
“Orang yang tidak solat akan dimasukkan ke neraka. Kamu nak masuk neraka?" (Salah)
“Tadi emak kamu telefon beritahu yang kamu belum solat Zohor. Kamu sudah lebih sepuluh tahun, kenapa tak solat? Berdosa tahu!” (Salah)
“Mak dan ayah kamu tidak solatkah di rumah? Biasa orang yang malas solat ini, di rumah, mak dan ayah dia juga tidak solat. Mak dan ayah kamu tidak pernah solatkah?” (Salah)
“Sudah jam berapa ini, kamu tidak solat-solat lagi. Pergi solat sekarang!” (Salah)

Berbalik kepada pelajar 5 Ali. Tidak lama selepas kata-kata saya itu, beberapa orang pelajar 5 Ali yang lain turut meminta izin untuk turut menunaikan solat di surau sekolah. Alhamdulillah.

Bebarapa minggu selepas itu, saya tidak mendengar aduan daripada ibu Ana lagi. Setiap kali masuk ke kelas, Ana akan berkata kepada saya, “Ustazah, saya sudah solat Zohor. Tadi saya solat dengan pelajar 5 Omar yang nama sekian sekian.”
“Ustazah, saya sudah solat Zohor. Tadi saya mengaji sekali.”

Ketika mendengar dia berkata begitu, saya akan berkata, “Bagus, Ustazah kagum dan suka dengan perbuatan kamu. Ustazah sangat yakin, Allah pasti akan menyampaikan pahala kebaikan yang kamu lakukan kepada arwah ayahmu. Kita akan berkumpul bersama di dalam syurga Allah, inshaallah.”

Namun, pada satu hari yang lain, saya diberitahu lagi oleh guru yang sama bahawa ibu Ana mengadu anaknya kembali meninggalkan solat. Saya kembali memikir-mikirkan teknik yang dilakukan tempohari. Di mana silapnya.  Akhirnya saya yakin 100% yang saya salah kerana tidak mengekalkan pujian kepada Ana.

Dalam teknik Nabi Muhammad saw, pujian harus diberikan secara kerap. Puji..puji..dan terus memuji. Apabila pelajar kerap dipuji, self-esteem (maruah) pelajar akan meningkat naik dan tinggi. Ia sangat membantu pelajar untuk mudah mengikut cakap guru dan membetulkan kesilapan yang dilakukan tanpa disuruh-suruh. Memandangkan saya hanya memuji pada masa-masa tertentu, Ana masih belum terdorong sepenuhnya untuk menunaikan solat tanpa disuruh atau didorong.

Ketika masuk mengajar di kelas 5 Ali petang itu, sekali lagi saya tanyakan kepada pelajar ‘apakah mereka sudah solat Zohor atau belum’. Pada mulanya saya bertanya secara umum. Namun kemudiannya saya tanyakan kepada pelajar secara individu (ini bukan teknik Nabi, jangan ditiru). Sampai sahaja kepada giliran Ana, saya berkata, “Kamu sudah solat Zohor?”
“Sudah.” Jawab Ana.
“Betul kamu sudah solat Zohor? Ustazah mungkin tidak tahu betul atau tidak kamu sudah solat, tetapi Allah tahu, malaikat di kiri dan kanan kamu juga mencatat setiap perbuatan yang kamu lakukan.” (Ini ayat ugutan, Nabi tidak pernah mengugut orang corot. Jangan ditiru perangai guru corot ini) Sekali lagi saya ulang pertanyaan kepada Ana.
“Sudah. Eh, belum.” Jawab Ana sekali lagi.

“Bagi sesiapa yang masih belum solat, sekiranya kamu mahu pelajaran kita hari ini diberkati Allah, solatlah dahulu.” Saya masih mengekalkan struktur ayat yang sama seperti sebelum ini kepada semua pelajar 5 Ali. Ayat ini sebenarnya, saya tujukan kepada Ana. Tetapi untuk mengelakkan daripada dia merasakan yang saya sedang menyuruhnya, saya tuturkan untuk semua pelajar 5 Ali.

Alhamdulillah, sekali lagi Ana mengakui kesalahannya dan memohon kebenaran untuk solat Zohor di surau.

Petang itu (ketika waktu rehat), rakan Ana datang ke pejabat mengadu kepada saya yang Ana menangis diejek oleh rakan-rakan sekelasnya. Saya segera ke kelas melihat situasi yang berlaku. Memang Ana sedang menangis. Matanya merah. Sementara rakan yang mengejeknya pula dengan rela berkata kepada saya, “Saya yang salah Ustazah. Nah, ini tangan saya! Rotanlah saya.”

Saya mendiamkan diri. Rotan atau pukul bukan cara Nabi. Saya sama sekali tidak akan menggunakan cara itu. Segala puji bagi Allah, ketika itu juga saya teringat akan hadith Himar yang digunakan Nabi Muhammad saw dalam mendorong orang corot. Saya lantas berkata, “Jangan kutuk dia. Sesungguhnya demi Allah, Ustazah tahu dia amat mencintai Allah dan Rasulnya.”

Dalam satu hadith yang diriwayatkan, Umar bin Al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah ‘Himar’ yang bermakna ‘Si Keldal’. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad saw ketawa. Nabi Muhammad saw pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad saw atas kesalahan meminum arak, Nabi Muhammad pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu, seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad saw berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” ~Hadith Bab 4 : Himar, Draf Buku Manual Hadith Psikologi Nabi Muhammad saw.

Terdapat banyak prinsip yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadith ini. Antaranya adalah;

Pertama: Hadith ini adalah hadith menyelamatkan maruah. Nabi Muhammad saw menunjukkan langkah estrem yang beliau sanggup ambil bagi mempertahankan maruah seorang penjenayah (minum arak adalah salah di sisi agama). Nabi Muhammad saw mempertahankan maruahnya, bukan perbuatan meminum arak yang dilakukan Abdullah (Himar). “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

Manakala dalam kes pelajar 5 Ali, saya mempertaruhkan nama saya sebagai guru dengan berkata; “Jangan kutuk dia. Sesungguhnya demi Allah, Ustazah tahu dia amat mencintai Allah dan Rasulnya.” Saya mempertahankan maruah Ana, bukan perbuatan Ana yang tidak solat.

Kedua: Hadith ini dapat digunakan bagi mendorong penjenayah mengubah tingkah lakunya yang buruk kepada yang baik.

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad saw secara tidak langsung telah mendorong si peminum arak untuk meninggalkan tabiat meminum arak. Dalam hadith di atas turut dinyatakan yang Abdullah atau nama jolokannya Himar (Si Keldai) adalah peminum arak tegar. Ini dibuktikan dengan ucapan orang yang mengutuknya, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.”

Perkataan “Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Menunjukkan Abdullah adalah penjenayah tegar. Sebelum peristiwa hadith ini, dia sudah sering dibawa menemui Nabi saw. Kata-kata Nabi Muhammad saw, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” telah menyebabkan dia mengubah tabiat buruknya. Ini kerana, sekiranya dia masih kekal meminum arak, tentulah ada hadith lain yang menceritakan mengenainya selepas peristiwa dalam hadith ini.

Ketiga: Strategi motivasi yang digunakan oleh Nabi Muhammad saw bagi mendorong peminum arak itu adalah:
  • Strategi melindungi dan menyelamatkan maruah si pesalah
    Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan tidak mengizinkan orang mengutuk si pesalah. Apabila ada seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia..."

    Dalam kes pelajar corot yang melakukan kesalahan, lazimnya guru tidak melindungi maruah pelajar corot itu. Sebagai contoh, sekolah menghukum pelajar corot yang melakukan kesalahan secara terbuka di hadapan perhimpunan sehingga maruah pelajar itu jatuh dan dia mendapat malu.

    Di dalam kelas, apabila ada pelajar mengejek kawan mereka yang melakukan kesilapan, guru hendaklah melindungi maruah pelajar dengan menegah kawan-kawannya supaya jangan mengejeknya. Beritahu kepada kelas bahawa Nabi Muhammad tidak membenarkan kawan mengejek kawan.
  • Strategi menaikkan maruah si pesalah
    Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan memuji si pesalah itu. Beliau memuji "....kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” Di sini Nabi Muhammad secara terbuka memuji si pesalah yang sedang menjalani hukuman dengan memberitahu kepada orang ramai kelebihan pesalah itu. Malah Nabi Muhammad bersumpah dengan menyebut nama Allah, dan beliau mengaku apa yang dipujinya itu adalah benar.
Keempat: Nabi Muhammad saw menunjukkan jika ada sesiapa mengutuk orang lain di hadapan orang ramai, perbuatannya hendaklah ditegah. ~Kredit Blog Tim Hadith Psikologi.


Daripada hadith ini, saya belajar bahawa sekiranya kita ingin mengubah tingkah laku buruk seseorang (terutama perbuatan buruk yang mempunyai hukuman dan bersalahan dalam agama) dua perkara harus dilakukan. Pertama, Maruah pesalah harus dibela/ selamatkan maruahnya (bukan perbuatannya). Kedua, Naikkan self-esteem (maruah) nya (pujilah kebaikan yang ada pada dirinya).


Kembali kepada situasi di dalam kelas 5 Ali. Setelah saya berkata begitu, rakan sekelas Ana yang mengejeknya tadi memohon maaf kepada Ana tanpa disuruh. Tangisan Ana juga berhenti serta merta. Dia mula senyum mendengar kata-kata saya.


Semenjak kejadian hari tu (sebulan yang lalu) sehinggalah hari ini, saya tidak pernah lagi menerima aduan baik daripada guru mahu pun emak Ana yang mengadu anaknya meninggalkan solat. Malah, setiap kali bertemu saya, Ana akan memaklumkan yang dia sudah solat Zohor. Saya pula tidak pernah jemu memuji perbuatannya. Kadangkala, apabila pelajar diarahkan supaya solat Asar di rumah, Ana tetap meminta kebenaran saya untuk turun ke surau bagi menunaikan solat. Maha suci Allah, segalanya berlaku kerana aplikasi hadith Himar di atas. 


Paling tidak mungkin saya lupa, minggu lepas. Ketika saya kurang sihat dan menghabiskan masa rehat di perpustakaan.Ana datang ke perpustakaan bertanya, "Ustazah sudah makan?"
"Belum". Jawab saya.
"Ini, emak saya ada bagi bekal. Emak saya buat pisang goreng untuk ustazah." 

Allahu akbar! Tak terluah syukur dan gembira saya dengan kata-kata. (^_^)

Gambar hiasan. Ini pula pelajar 5 Ali yang sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya. Tanpa disuruh, mereka solat di dalam kelas biarpun hanya beralaskan kain sampin sekolah. Penjelasannya mengenainya boleh baca di sini









Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...