Monday, February 20, 2012

Kerana Pujian Terdahulu, Hampir Semua Pelajar 5 Omar Termotivasi Menjaga Kebersihan


KERANA PUJIAN TERDAHULU, HAMPIR SEMUA PELAJAR 5 OMAR TERMOTIVASI MENJAGA KEBERSIHAN

23 Rabiul Awal 1433 (16 Feb 2012)

Hari ini, saya masuk kelas 5 Omar mengajar mata pelajaran Feqah. Memandangkan masa untuk mata pelajaran Feqah adalah dua masa, saya mempunyai lebih masa bagi menjalankan eksperimen mendorong pelajar menggunakan teknik Nabi.

Untuk pengetahuan pembaca blog ustazahsitikhadijah.blogspot.com, kelas 5 Omar bukanlah kelas corot dari segi akademik, tetapi kelas 5 Omar (menurut pandangan saya) corot dari segi akhlak dan adab dengan guru. Buktinya di kalangan para guru, kelas 5 Omar dikenali sebagai ‘kelas paling bingit @ suka buat bising dalam kelas’ dan pelajarnya tidak makan ditegur apa juga kesalahan.

Sewaktu saya mula melangkah kaki ke kelas 5 Omar, hati berdebar kencang. Ini kali keempat saya masuk mengajar kelas 5 Omar. Kali pertama pada hari Khamis minggu pertama, kali kedua pada hari Khamis minggu kedua, dan kali ketiga adalah pada hari Isnin minggu ketiga. Saya berdoa supaya pelajar-pelajar kelas 5 Omar hari ini akan mendengar kata dan tidak mengganggu pembelajaran yang bakal berlangsung nanti seperti kali ketiga tempohari (selepas memuji menggunakan teknik Nabi). Bagi yang belum membaca entri mengenainya, boleh membaca di link ini.

Dalam kepala, saya masih belum terfikir mahu menggunakan teknik Nabi yang mana bagi mendorong pelajar kelas 5 Omar. Oleh kerana saya sudah lama tidak mengulangkaji lembaran modul-modul mendorong teknik Nabi, saya hampir terlupa kebanyakan modul. Apa yang saya tahu, saya harus banyak memuji pelajar apabila mereka melakukan kebaikan dan menyebutkan impaknya. Berkali-kali juga saya ingatkan pada diri, apabila mereka melakukan kesalahan, saya harus lebih bersabar dan tidak boleh memarahi mereka. Saya juga tidak boleh menyiasat dengan bertanya ‘mengapakah kamu berbuat begitu dan begini.’

Teknik inilah yang digunakan Nabi Muhammad saw apabila menghadapi situasi berhadapan dengan orang-orang corot pada zamannya.

Jujur pada masa itu, hanya teknik Nabi ini yang benar-benar melekat dalam kepala saya. Menurut teori penggunaan teknik Nabi, apabila seseorang melakukan kebaikan, meskipun hasilnya salah kita harus memuji perbuatan tersebut dengan menyebutkan impaknya. Dengan cara ini, mereka akan terdorong melakukan perbuatan tersebut berulang kali. Action + pujian + impak.

Baiklah, mari saya ceritakan apa yang berlaku setelah saya berada di dalam kelas 5 Omar. Sebaik berada di meja guru di hadapan pelajar, saya mendiamkan diri dan memerhatikan wajah pelajar 5 Omar satu persatu. Sewaktu itu, saya memang sengaja mendiamkan diri (berpura-pura yang saya adalah Ustazah garang...=) ). Ketika itu, semua pelajar 5 Omar masih dengan perangai mereka sendiri. Ada yang sedang bergurau, bermain, menulis, bersembang dan pastinya semua pelajar 5 Omar sedang kreatif membingitkan kelas mereka.

Sebaik terpandangkan saya masuk, mereka terdiam. Semua pelajar cepat-cepat berdiri di belakang kerusi dan meletakkan tangan masing-masing di atas meja. Pelajar lelaki ada yang membuka songkok. Sementara pelajar perempuan pula meletakkan tangan di atas meja sambil membetulkan tudung yang tidak berlipat.

Sesekali terdengar suara beberapa orang pelajar berbisik, “Woi, berdiri belakang kerusilah!”

Belakang kerusi.” Matanya sekejap menoleh wajah saya, sekejap memandang rakan-rakannya yang masih belum berdiri tegak belakang kerusi.

Ada juga suara, “Tangan atas meja.”

Atas meja!” Sahut pelajar yang lain.


Pelajar lelaki 5 Omar bersedia untuk diperiksa kuku dan rambut

Oho, saya terasa seperti guru disiplin pula. Tidak, saya bukan guru disiplin. Hanya sahaja, saya memang seorang guru yang suka memastikan kuku pelajar tidak panjang dan bersih sebelum mengajar. Rambut pelajar lelaki juga harus pendek dan tudung palajar perempuan harus berlipat. Ini tabiat semulajadi saya apabila mengajar sejak lama dahulu.

Saya pernah mengajar di hampir lima buah sekolah di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, dan setiap kali sebelum memulakan pelajaran, memang perkara ini yang akan saya lakukan. Bezanya dahulu saya tidak menggunakan teknik Nabi, tetapi sekarang saya menggunakan teknik Nabi. Hehehe.


Pelajar perempuan 5 Omar, juga bersedia untuk diperiksa kuku dan tudung


Pelajar 5 Omar sudah punya pengalaman menjalani pemeriksaan kuku, rambut dan tudung dengan saya. Kali pertama, kedua dan ketiga saya masuk mengajar, saya sudah melakukan perkara tersebut. Kerana itu, kali ini tanpa disuruh mereka telah meletakkan tangan di atas meja, membuka songkok dan membetul-betulkan tudung.

Saya masih diam sambil berjalan dari meja ke meja pelajar 5 Omar. Setiap kali memeriksa kuku pelajar yang pendek dan bersih, saya akan berkata, “Bagus, saya suka melihat kuku kamu yang pendek dan bersih. Pandai sungguh kamu menjaganya. Sekiranya kamu terus menjaga kuku seperti ini, saya yakin kamu akan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah swt. Iman kamu juga akan meningkat dari sehari ke sehari. Ini kerana, Allah ada menyebut yang kebersihan itu merupakan sebahagian daripada iman. Dan orang yang menjaga kebersihan adalah orang yang mempunyai iman. Kamu adalah seorang pelajar yang beriman.”
Semua pelajar gembira dan bersemangat tinggi bagi meneruskan sesi pembelajaran.
Gambar Ihsan : Tim Hadith Psikologi & Tuan Razali Rasyad Kelinci (mantan kartunis majalah Lanun)

Majoriti pelajar yang mendapat pujian daripada saya, tersenyum dan tersengih-sengih seperti kerang busuk. Manakala pelajar yang kukunya panjang dan tidak bersih saya tidak marah, tetapi berkata, “Allah suka dan kasihkan orang yang menjaga kebersihan. Saya juga suka dan sangat kagum dengan pelajar yang pandai menjaga kebersihan.”

Selesai memeriksa semua pelajar, saya sangat berpuas hati. Boleh dikatakan, hampir semua pelajar berkuku pendek, berambut pendek dan melipat tudung hari ini. Oleh kerana itu, saya mengulang pujian sekali lagi untuk pelajar 5 Omar. Kalau tadi pujian ditujukan untuk individu, kali ini pujian saya ditujukan untuk semua pelajar yang berkuku dan berambut pendek, serta melipat tudung. Ayat pujian saya lebih kurang sama seperti waktu memuji pelajar secara individu tadi. Cuma semasa memberikan pujian kepada semua pelajar, saya menambah kata-kata ini, “Baiklah, bagi menghargai kawan-kawan kita yang amanah menjaga kebersihan, mari kita tepuk tangan untuk mereka.” Semua pelajar 5 Omar bertepuk tangan sambil menjerit ‘yeah’ atau ‘yes’ (saya kurang pasti). Sebaik saya selesai mengucapkan kata-kata itu. Mereka begitu gembira dan bersemangat sekali untuk memulakan pelajaran.

Sebenarnya saya tahu mengapa hari ini hampir semua pelajar 5 Omar berjaya berkuku dan berambut pendek juga melipat tudung. Jawapannya, kerana mereka termotivasi dengan pujian yang saya berikan kepada pelajar yang berkuku dan berambut pendek serta melipat tudung pada hari Isnin yang lepas. Ketika itu, tidak ramai pelajar kelas 5 Omar berkuku dan berambut pendek, hanya beberapa orang sahaja yang memang berkuku dan berambut pendek. Saya telah memberikan pujian kepada mereka yang berkuku dan berambut pendek, juga kepada pelajar yang melipat tudung dengan berkata, “Bagus, saya suka kuku dan rambut kamu yang pendek. Kamu kelihatan kemas apabila berkuku dan berambut pendek. Kamu pasti akan menjadi pelajar yang sihat apabila selalu menjaga kebersihan.”

Hari ini, saya dapat melihat hasil yang amat memberangsangkan lantaran penggunaan teknik Nabi beberapa hari yang lalu. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dalam takjub yang tinggi terhadap penggunaan teknik Nabi ini. Memang benar-benar magis!

*Saya tidak sempat mengambil gambar pelajar-pelajar 5 Omar sewaktu membuat pemeriksaan ke atas kuku, rambut dan tudung kerana benar-benar terlupa. Lain kali ya. =)

Ustazah Siti Khadijah

3 comments:

  1. Laporan puan berkenaan maklumat perubahan tingkah laku pelajar ini sangat bagus. Laporan ini memberi sisi baru kepada aplikasi teknik Nabi Muhammad dalam kelas.

    Mudah bagi guru-guru lain mencontohi kepelbagaian aplikasi teknik Nabi, selain bagi mendorong pencapaian akademik.

    ReplyDelete
  2. Ustazah, Tahniah atas perongsian ilmu ini.
    Penilaian saya,
    Pertama, ustazah menulis, "saya memang seorang guru yang suka memastikan kuku pelajar tidak panjang dan bersih sebelum mengajar. Rambut pelajar lelaki juga harus pendek dan tudung palajar perempuan harus berlipat.
    Saya pernah mengajar di hampir lima buah sekolah di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, dan setiap kali sebelum memulakan pelajaran, memang perkara ini yang akan saya lakukan." - Komen -Ini menunjukkan ustazah sudah melaksanakan pengurusan kelas iaitu penetapan peraturan kelas sebelum P&P bermula. Daripada cerita ustazah, ternyata pelajar-pelajar ini sudah tahu dan maklum akan hal ini.

    Kedua pula, ustazah menceritakan...
    Sesekali terdengar suara beberapa orang pelajar berbisik, “Woi, berdiri belakang kerusilah!”
    “Belakang kerusi.” Matanya sekejap menoleh wajah saya, sekejap memandang rakan-rakannya yang masih belum berdiri tegak belakang kerusi.
    Ada juga suara, “Tangan atas meja.”
    “Atas meja!” Sahut pelajar yang lain.
    Komen -Hal ini menunjukkan bahawa sudah ada pelajar yang menjadi pendorong kepada pelajar yang lain. Motivasi daripada rakan memang kuat pengaruhnya kepada pelajar.

    Ketiga, ustazah menulis...
    Manakala pelajar yang kukunya panjang dan tidak bersih saya tidak marah, tetapi berkata, “Allah suka dan kasihkan orang yang menjaga kebersihan. Saya juga suka dan sangat kagum dengan pelajar yang pandai menjaga kebersihan.”
    Komen -Saya suka akan kata-kata ustazah. Ustazah telah menggunakan teknik Nabi Muhammad tidak menegur kesalahan tetapi menerangkan.

    Keempat, ustazah juga telah memuji pelajar secara terbuka dan pelajar yang mendengar pujian juga terdorong untuk melakukan tindakan yang sama.Ini adalah salah satu prinsip dalam teknik memuji cara Nabi Muhammad

    Kelima, ustazah juga telah memberikan ganjaran positif iaitu ajakan memberi tepukan kepada pelajar-pelajar yang telah membuat kebaikan itu.

    Tahniah ustazah! Ternyata pengurusan kelas dan proses P&P yang ustazah laksanakan menunjukkan ustazah memang pendidik yang sejati. Alhamdulillah!

    ReplyDelete
  3. Puan Ainon Mohd: Terima kasih Puan. Saya banyak belajar daripada Puan dan suami yang selalu bercerita tentang hadith-hadith yang dikaji. Amin.

    Puan Khairulaniza: Alhamdulillah, terima kasih atas ulasan Puan yang sangat terperinci. Saya suka =)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...