Thursday, February 23, 2012

Memanggil Pelajar Menggunakan Nama Yang Disukai



27 Rabiul Awal (20 Feb 2012)

Hari ini, saya masuk kelas 5 Ali membawa kertas-kertas kecil berwarna biru. Tujuan saya membawa kertas-kertas itu adalah untuk mengetahui panggilan nama yang disukai oleh pelajar. Saya mahu mempraktik teknik Nabi Muhammad saw yang memanggil umatnya dengan panggilan yang disukai.

Bahkan, di dalam sirah turut dinyatakan bahawa kuda Nabi Muhammad juga mempunyai gelaran yang tersendiri.
Antara nama-nama panggilan yang ditulis pelajar 5 Ali
Sebaik pelajar selesai memberi salam, saya membahagikan kertas-kertas tersebut kepada setiap pelajar untuk menuliskan nama gelaran yang disukai (untuk saya memanggil namanya). 

Ustazah, kenapa kena tulis nama panggilan?” Tanya seorang pelajar.

Saya senyum memberi jawapan, “Kerana mengikut sunnah Nabi dan supaya Ustazah lebih menyayangi dan lebih rapat kepada kamu.” Mereka tersenyum suka.

Dalam lembaran aktiviti bengkel tempohari, modul ini dinamakan teknik Menaikkan Self-esteem (maruah) pelajar. Apabila seorang pelajar dipanggil dengan nama yang disukai, maruah mereka akan meningkat dengan cepat sekali. Selain itu, saya merasakan urusan guru dan pelajar juga akan berlaku dengan baik.

Pelajar lelaki 5 Ali menunjukkan kertas nama panggilan masing-masing. 
Pelajar perempuan 5 Ali dengan kertas panggilan nama masing-masing .

Setelah beberapa minit berlalu, saya mengutip kembali kertas-kertas biru yang diedarkan. Satu persatu saya membacanya. Dalam ramai pelajar, hanya seorang pelajar yang mahu dirinya dipanggil Profesor. Dia adalah Profesor Syahmi. Manakala pelajar lain, hanya menuliskan nama panggilan pendek atau manja masing-masing.

Zulfikar mahu dipanggil Boboi, Aisyah mahu dipanggil Ecah, Khairul Anwar mahu dipanggil Angah, Amir Izwan juga mahu dipanggil angah. Sementara Fadhirul mahu dipanggil Bangah. Afini mahu dipanggil Nini, Fathah Vasha mahu dipanggil Fatah. Awang pula mahu dipanggil Izzat atau Awang, Arifah Nasuha mahu di panggil Sue. Dan yang lain-lain panggilannya tidak lari jauh daripada nama sebenar.
Yusri yang mahu dipanggil dengan nama Edry Abd Halim .

Dalam banyak-banyak nama itu, ada satu nama yang memang lari jauh daripada nama asal. Nama asalnya Muhammad Yusri, tetapi dalam kertas biru yang dikutip tadi, dia mahu saya memanggilnya dengan nama Edry Abdul Halim. Lalu, saya bertanya kepada pelajar tersebut, “Bukankah nama kamu Muhammad Yusri?”


Saya tidak mahu dipanggil Yusri kerana kawan-kawan ramai yang mengejek saya!”

Mengejek?” Saya cuba mengorek rahsia. (Sebenarnya, dalam teknik Nabi, kita dilarang menyiasat. Kerana perasaan ingin tahu, tanpa sengaja saya bertanya juga). =)

Mereka kata saya akan kahwin dengan Lisa Surihani. Sebab itu saya mahu tukar nama.” Jawabnya masih sedih.

Saya hampir tergelak. “Baiklah, kalau itu yang kamu mahu, Ustazah akan memanggil kamu dengan nama ini.”

Dia gembira sekali.

Terdorong mahu menasihati pelajar 5 Ali yang suka mengejek kawan-kawan di dalam kelas, saya berkata, “Memanggil atau mengejek kawan-kawan menggunakan nama yang tidak disukai bukanlah cara Nabi. Sesungguhnya, Nabi Muhammad saw memanggil semua orang di sekelilingnya dengan nama-nama yang mereka sukai. Panggillah kawan-kawan kamu dengan nama yang disukai, kamu akan mendapat pahala dan disayangi Ustazah juga Nabi.”

Tidak lama selepas itu, ada pelajar yang berkata, “Dia Ustazah, suka ejek nama ayah saya.”
Ha’ah, Fadhirul, Ustazah.”

Saya menjawab, “Selepas ini, siapa yang diejek atau dipanggil kawan-kawan dengan panggilan tidak baik, jawab begini, “Saya tidak mahu membalas kata-kata kamu kerana saya mahu ikut Nabi. Biarlah Allah sahaja yang balas perbuatan kamu di akhirat nanti.”

Baik,” jawab mereka dengan senang hati.

12 comments:

  1. Betapa telitinya Rasullullah, sehingga perkara yg kita anggap kecil sebenarnya mempunyai kesan yang besar. Ceria sungguh anak-anak didik Ustazah. Pastinya mereka sentiasa tertunggu-tunggu Ustazah masuk ke kelas.

    Syabas & tahniah.

    ReplyDelete
  2. Saya membaca episod ini dengan tergelak-gelak sendirian di hadapan laptop....

    Bagitu rupanya dunia psikologi kanak-kanak. Sungguh tidak kusangka. Orang dewasa mahukan isteri cantik macam Lisa Surihani, tetapi dia tidak mahu dan dia malu...

    Nampaknya mereka suka nama timang-timangan di rumah digunakan juga di sekolah. Ini pun perkara baru juga bagi saya.

    ReplyDelete
  3. Saya ada seorang sepupu bersekolah rendah.. Namanya pada surat beranak ialah Harith, tetapi keluarganya memanggilnya dengan nama Hafiz.. Dia memang tidak suka dan akan marah sekiranya orang panggil dia Harith.. Cikgu sahaja boleh panggil Harith.. :D

    ReplyDelete
  4. Cikpuan Hayati Hanif: Dunia kanak-kanak memang berbeza dengan orang dewasa. Mengasyikkan dan harus penuh kasih sayang. Sekiranya betul cara, tentu sepupu Cikpuan itu tidak akan marah lagi. Haarus tanya Cikgunya tersebut :D

    ReplyDelete
  5. Basah air mata sy tiap kali membaca artikel ustazah, sungguh ikhlas ustazah mendidik anak2 murid mu...

    ReplyDelete
  6. Fiza: Amin, moga benar seperti kata Cikpuan.

    ReplyDelete
  7. seronok membaca entry ustazah hingga membuatkan saya tersenyum sendiri :)

    ReplyDelete
  8. Cikpuan Princess Solehah: Alhamdulillah. Terima kasih atas kesudian berkunjung dan membaca. Semoga bermanfaat! (^_^)

    ReplyDelete
  9. Adoi tergelak saya pagi2 buta ni.. Saya share link di fb ye ustazah. Moga jadi panduan, masa sekolah mmg kwn2 suka mengejek nama kwn atau nama ayah. SYukran

    ReplyDelete
  10. Saya menjawab, “Selepas ini, siapa yang diejek atau dipanggil kawan-kawan dengan panggilan tidak baik, jawab begini, “Saya tidak mahu membalas kata-kata kamu kerana saya mahu ikut Nabi. Biarlah Allah sahaja yang balas perbuatan kamu di akhirat nanti.”

    Kalau mak sendiri yg suka mengejek? Boleh tk cakap balik begini?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...