Monday, February 27, 2012

Dengan Teknik Nabi, Pelajar Gembira Belajar Dalam Kumpulan


01 Rabiul Akhir 1433 (22 Feb 2012)

5 Ali adalah kelas paling corot berbanding kelas-kelas tahun lima yang lain di sekolah saya. Banyak entri yang saya tulis sebelum ini untuk melaporkan perubahan sikap dan prestasi pelajar melalui penggunaan teknik Nabi Muhammad, tidaklah menunjukkan  bahawa mereka berubah 100% menjadi pelajar yang pandai, rajin dan baik. Tetapi perubahan mereka berlaku secara perlahan-lahan. Berterusan apabila terus dipuji dan dibimbing dengan kata-kata dorongan yang baik.

Saya tidak menyangkal, apabila ada guru yang mempertikaikan kelas 5 Ali masih kelas yang bising, pelajarnya tidak tahu duduk diam, sering tidak siap kerja rumah dan sebagainya. Itu memang sikap corot mereka. Saya hanya berusaha membantu mereka mengubah sikap corot mereka supaya minat belajar, dan usaha itu telah menampakkan hasil sedikit demi sedikit. Saya sangat bersyukur atas perubahan mereka.

Saya masih ingat pesanan seorang guru, “Kelas yang bising, bukanlah satu kesalahan atau dosa.” Seandainya dengan kelas yang bising pelajar masih dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran, apakah bising itu tetap terus dikatakan sebagai satu kesalahan? Menurut pandangan saya, situasi guru yang terdidik dengan mengatakan kelas yang bising merupakan satu kesalahan, sudah tidak lagi relevan apabila teknik Nabi Muhammad saw digunakan dalam membimbing dan mendorong pelajar untuk terus belajar.

Dan situasi inilah yang berlaku di kelas 5 Ali. Sewaktu proses pembelajaran berlaku, pelajar kelas 5 Ali masih bising, masih ada yang tidak mahu duduk diam dan masih ada beberapa orang pelajar mempunyai sejarah ‘tidak siap kerja sekolah’ (tetapi jumlahnya sudah tidak seramai dahulu).

Selaku guru baru (berkhidmat hampir sebulan), saya kira telah banyak perubahan pelajar kelas 5 Ali yang boleh dibanggakan.

Melalui penggunaan teknik Nabi Muhammad saw, perubahan demi perubahan telah pun berlaku dalam kelas 5 Ali. Kalau dahulu (dengan guru sebelum ini) pelajar-pelajar mahu menghafal dua ayat pun susah, dengan teknik Nabi Muhammad saw, sudah beberapa orang pelajar menamatkan bacaan hafazan mereka di hadapan saya (boleh baca di link ini). Yang masih tidak tamat hafazan juga, paling kurang di dalam kepala mereka sudah ada berbelas-belas ayat. Dan situasi menghafal ayat minggu ini, terlupa ayat yang minggu lalu tidak pernah berlaku dalam kelas 5 Ali melalui dorongan teknik Nabi.

Kalau dahulu, hanya dua tiga orang pelajar yang menghantar buku tulis (latihan). Dengan teknik Nabi, hampir kesemua pelajar terdorong menghantar latihan-latihan yang ditulis meskipun adakalanya kerja yang diberikan tidak siap dan tepat sepenuhnya.

Kalau dahulu juga sewaktu guru mengajar, ada yang tidur dan malas-malas di dalam kelas, dengan teknik Nabi saw, semua pelajar bukan sahaja memberikan perhatian, bahkan berebut-rebut mengangkat tangan mahu membaca petikan buku teks dan menyambung bacaan teks rakan-rakan. Pelajar pemalu juga sudah berani ke hadapan (baca linknya di sini). Pendek kata, dengan teknik Nabi Muhammad saw, pelajar kelas corot 5 Ali begitu seronok belajar. Subhanallah, tiada kata-kata terbaik yang mampu diucapkan selain marilah merakam selawat untuk Rasulullah saw yang telah memberikan teladan melalui sunahnya.

Untuk entri kali ini, saya akan berkongsi pula suasana gembira belajar yang dialami oleh pelajar 5 Ali di dalam kumpulan.

Pada hari Khamis yang lalu, saya masuk mengajar kelas 5 Ali dengan cadangan mendorong pelajar belajar di dalam kumpulan. Antara kebaikan yang ketara menggunakan teknik ini ialah, para pelajar (ahli kumpulan) akan terdorong bagi mendorong rakan-rakannya di dalam kumpulan untuk lebih memberi perhatian, mencari jawapan dan membantu menyelesaikan satu-satu tugas kumpulan.

Sikap positif ini akan membuatkan mereka seronok belajar. Hari ini saya telah memberikan tiga soalan mata pelajaran Feqah berkaitan solat orang uzur kepada pelajar-pelajar 5 Ali. Daripada jumlah pelajar kelas yang hadir, saya telah membahagikan mereka kepada empat kumpulan. Dua kumpulan pelajar lelaki, dan dua lagi kumpulan pelajar perempuan.

Memandangkan hero-hero kelas 5 Ali mempunyai sikap kreatif dan aktif yang pelbagai, saya telah meletakkan mereka di setiap kumpulan yang berbeza. Apabila saya dapat memuji mendorong mereka, dengan mudahnya mereka akan mendorong rakan-rakan kumpulan yang lain.

Kumpulan Saifullah. Dari kanan; Aiman, Edry, Al-Fateh, Kimi dan Angah 2. Al-Fateh yang menjadi ketua kumpulan dengan senang hati menunjukkan hasil kerja kumpulan mereka.

Al-Fateh diletakkan bersama Angah 2, Kimi, Edry dan Aiman. Saya mendorong Al-Fateh dengan berkata, “Fateh, ustazah tahu kamu seorang ketua kelas yang baik. Apabila kamu telah dapat menjalankan tugas sebagai ketua kelas yang baik, Ustazah amat yakin, kamu juga tentu akan dapat menjadi ketua yang baik di dalam kumpulan dengan membahagikan tugas-tugas kepada ahli kumpulan dengan baik.”

Aku tulis jawapan soalan pertama, Kimi dan Angah cari jawapan soalan kedua. Kau (Edry) dan Aiman cari jawapan ketiga.” Fateh siap memberi arahan kepada ahli kumpulannya.


Kumpulan Walid Muslimin. Dari kanan; Angah 1, Zack, Boboi (gambarnya tidak jelas kerana dia bergerak sewaktu saya mengambil gambar), Fatah (yang dahulunya pemalu) dan Aqif yang menjadi ketua kumpulan.

Boboi pula diletakkan bersama Fatah, Aqif, Angah 1 dan Zack. Memandangkan Boboi adalah pelajar yang paling aktif dan kebiasaannya sering tidak mahu duduk diam, saya memilih untuk memujinya. Kata saya, “Boboi, saya suka melihat kamu duduk dengan sopan di dalam kumpulan. Dengan sikap kamu yang sopan ini, ia kan memudahkan kerja-kerja kumpulan kamu dilakukan. Dan alangkah bagusnya sekiranya kamu dapat tolong membacakan jawapan yang dijumpai rakan-rakan untuk memudahkan Aqif menulis.”

Boboi tanpa berlengah, menolong membacakan jawapan untuk rakannya. Tidak ada lagi masalah pelajar berjalan-jalan sewaktu pembelajaran berlangsung. Sementara pelajar perempuan pula, mereka memang sangat sporting dan baik. Kerja kumpulan dilakukan dengan baik sekali. Seperti kebiasaannya, mereka sentiasa patuh menerima arahan saya tanpa sebarang alasan.

Kumpulan Ana Muslimah yang sporting. Dari kanan; Mimi, Sue, Nazatul, Nano dan Ecah.

Kumpulan Gegirls. Dari kanan, Kak Yong (tidak mahu disnap wajahnya), Nini, Iman dan Nia. Juga merupakan kumpulan yang sporting.


Empat kumpulan tersebut telah berusaha mencari nama kumpulan mereka secara bersama, sekaligus menjawab tiga soalan yang saya berikan juga secara bersama. Apabila seorang pelajar menulis jawapan yang dijumpai di dalam buku teks, beberapa ahli kumpulan yang lain pula akan mencari jawapan soalan-soalan yang lain pula secara bersama. Dengan cara ini, mereka terdorong memberikan komitmen terbaik untuk setiap kumpulan.

Ketika proses menjawab soalan secara berkumpulan ini berlangsung, saya berjalan daripada satu kumpulan kepada satu kumpulan yang lain. Apabila satu-satu kumpulan mempunyai masalah atau ketidakfahaman berkaitan soalan yang diberikan, mereka akan mengangkat tangan dan menanyakannya terus kepada saya yang berlegar-legar mengelilingi kumpulan-kumpulan mereka (haha, kalau dahulu saya yang dikelilingi (tawaf) oleh pelajar, kali ini saya pula yang mengelilingi mereka.)

Ustazah, nak tulis semua ke? Panjanglah jawapan dia.” Antara soalan yang paling banyak ditanya pelajar kepada saya sewaktu mahu menuliskan jawapan atas kertas kosong kumpulan mereka.

Tidak perlu menulis semua ayat di dalam buku, anakku, tulis sahaja apa yang kamu faham daripada jawapan yang kamu jumpa. Itu lebih mudah dan membuatkan kamu semakin faham bukan?”

Baik ustazah!” Mereka begitu gembira sekali menerima respon daripada saya.

Setiap kali meronda satu kumpulan, saya akan bertanya, “Boleh Ustazah lihat jawapan mana yang akan kamu tulis untuk kertas putih kumpulan nanti?”

Mereka tanpa segan silu menunjukkan jawapan yang dijumpai kepada saya. Apabila jawapan yang ditunjukkan itu betul dan tepat, saya akan memuji mereka, “Bagus! Jawapan kamu ini menunjukkan kamu semua merupakan pelajar yang menumpukan perhatian sewaktu Ustazah mengajar di hadapan. Tahniah, kamu telah menjadi pelajar yang menunaikan amanah seorang pelajar. Sekiranya kamu terus menumpukan perhatian terhadap pelajaran yang diajarkan oleh semua guru, Ustazah sangat yakin, kamu akan menjadi seorang pelajar yang berjaya di dalam peperiksaan UPKK nanti.” Mereka menyambut pujian saya dengan senyuman yang meleret di bibir dan sikap berlumba-lumba mahu menyudahkan kerja kumpulan yang diberikan.

Sebaik waktu mengajar 5 Ali tamat, saya mengumpulkan kertas putih yang telah berisi jawapan setiap kumpulan. Dalam empat kertas putih tersebut, ada satu kertas yang dilipat mengikut kreativiti kumpulan. Apabila membaca nama kumpulan tersebut, tahulah saya itu hasil kreativiti kumpulan Saifullah. Baru sahaja saya mahu membuka mulut memuji, “Baa…” Edry telah pun mendahului saya. Katanya, “Saya tahu Ustazah mahu cakap apa.”

Inilah hasil perbincangan kelas 5 Ali di dalam kumpulan. Perhatikan kertas jawapan kumpulan Saifullah, cantik berlipat dan bersampul. =)


Saya hanya memandang Edry sambil tersenyum dan berkata, “Apa?”
Bagus, saya suka…” Edry menyambung lagi. Kata-katanya mati setakat itu.

Saya senyum semakin lebar. “Apakah kamu tidak suka mendengar Ustazah berkata sedemikian Edry?”

Sudah tentulah saya suka. Siapa yang tak suka apabila Ustazah puji. Itu tandanya Ustazah hargai kerja kami.” Hohoho, saya senyum makin lebar dan dengan sukanya melangkah meninggalkan kelas 5 Ali.

Barakallahu fikum (Allah berkati kalian), wahai anak-anakku!”

Perhatikan wajah khusyuk mereka

Tekun, sehingga tidak sedar gambar mereka diambil

 Boboi, turut menunjukkan minat membaca jawapan yang dijumpai ahli kumpulan

Saya suka gambar ini. Aqif dan Fatah (yang dahulunya pemalu) begitu serius memainkan peranan sebagai ahli kumpulan.



Edry membantu Al-Fateh membaca jawapan, dan Aiman mencari jawapan bagi soalan yang lain



Al-Fateh, mempunyai karisma sebagai ketua kumpulan. Kimi turut memerhatikan jawapan yang ditulis Al-Fateh. Angah 2 pula terus mencari jawapan.



Ecah dan Nano, khusyuk berbincang mengenai jawapan

Ustazah Siti Khadijah

9 comments:

  1. Tahniah ustazah!
    Apabila ustazah membandingkan sikap pelajar 5 Ali sebelum dan selepas penggunaan teknik mendorong Nabi, pembaca dapat membayangkan dengan lebih jelas lagi impak positif hasil aplikasi teknik nabi ini.
    Memang betul, perubahan tidak berlaku secara mendadak. Namun perubahan yang kecil memberi peluang pujian diberikan lagi dan lagi dan lagi. Lama-kelamaan perubahan akan menjadi lebih besar.
    Memang betul, pasti ada guru yang memandang sinis akan perubahan yang berlaku malah mungkin ada yang tidak perasan pun, namun rasanya mahu sahaja dikatakan kepada mereka, kalau tidak berubah lagi, marilah sama-sama kita mengaplikasikan teknik mendorong nabi supaya perubahan berlaku lebih cepat, lebih besar dan lebih ketara. Kalau hanya dalam kelas Ustazah sahaja, jangan hairanlah pelajar akan bersikap positif waktu ustazah sahaja.
    Benar seperti kata ustazah, bising bukan satu dosa. Pelajar kelas peralihan saya juga bising.Bising adalah iklan bagi saya. Rancangan yang bagus di tv tentunya ada diselangi dengan iklan. Begitu juga pelajar KP
    Teruskan usaha ustazah. Biarlah orang hendak kata apa, yang penting kita doakan agar meerka turut dibuka hati untuk mengikut sunnah nabi.

    ReplyDelete
  2. Puan Khairulaniza: Terima kasih. Saya sangat bersetuju dengan respon Puan. Bukan saya tidak pernah cuba berkongsi teknik ini dengan guru-guru lain, pernah Puan. Tetapi reaksinya sangat tidak menyokong. Saya pernah berbincang dengan Puan Ainon mengenai perkara ini, solusinya, saya dan Puan Ainon bersetuju untuk saya terus menggunakan teknik Nabi ini biarpun sendirian. Inshaallah, saya percaya dan yakin, mereka akan nampak sedikit masa lagi. Terbaru, Penolong Kanan sekolah saya juga sudah membaca blog ini. =)

    *Semalam saya masuk kelas 5 Ali, ada seorang palajar bertanya, "Ustazah, buku ini nak tulis nama yang ustazah panggil atau nama sebenar?"
    Jawab saya, "Nama sebenar. Sekiranya ditulis nama panggilan, bimbang guru-guru lain tidak tahu sekiranya buku itu hilang."
    "Ustazah Elly tahulah ustazah. Kami pun terkejut apabila ustazah Elly panggil Yusri dengan nama Edry."
    Selepas mengajar, saya bertemu PK. Ternyata benar, beliau mengetahui nama panggilan tersebut selepas membaca blog ini. Hehehe.

    ReplyDelete
  3. Saya sentiasa membaca setiap perkataan dalam laporan puan. Saya sangat teliti membaca dialog yang puan ucapkan kepada pelajar, kerana itu adalah elemen paling penting yang mesti dikuasai oleh guru yang menggunakan teknik Nabi.

    1. Saya belum pernah terbaca puan menggunakan frasa dan ayat negatif, meskipun semasa mahu mengawal tingkah laku negatif pelajar.

    2. Semua ayat pujian yang puan ucapkan sentiasa memberikan impak tingkah laku yang dipuji.

    3. Semua pujian yang puan berikan adalah terhadap perbuatan dan hasil kerja pelajar yang dipuji.

    4. Semua pujian itu puan ucapkan secara serta-merta dan terbuka.

    5. Puan mengulang-ulang frasa pujian, sehingga pelajar boleh menghafal dan dapat meneka apa yang puan akan ucapkan. Ini sangat bagus kerana apabila pelajar dapat meramalkan kata-kata pujian yang mereka akan terima, hal itu mendorong mereka berusaha demi mendapatkan kata-kata pujian itu!

    NOTA: Mohon ditag saya apabila puan menulis posting baru....

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. tahniah dik ... teruskan perjuangan.

    ReplyDelete
  6. Puan Ainon Mohd.: Subhanallah, Puan sangat teliti. Saya sangat suka dengan respon yang Puan berikan. Membuatkan saya mahu terus menuturkan kata-kata positif mendorong pelajar dan membimbing pelajar corot dengan sabar biar apa juga ujian yang datang. Terima kasih Puan. =)

    ReplyDelete
  7. Puan Ainon Mohd.: Inshaallah, selepas ini pasti suami saya akan tag Puan. Malam kelmarin internet meragam lagi, maafkan kami. =)

    ReplyDelete
  8. Tiang Seri: Terima kasih, Puan. Mohon doanya.

    ReplyDelete
  9. Edry juga sudah pandai memuji Ustazah kesayangannya...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...