Wednesday, February 15, 2012

Pelajar Pendiam & Kurang Keyakinan, Akhirnya Berani Menghafal & Tampil Menjawab Soalan



14 Feb 2012
Di dalam kelas Tahun Lima Ali, ada seorang pelajar lelaki yang agak pendiam. Saya perhatikan, beliau tidak pernah mahu menjawab soalan yang ditanyakan, seringkali tidak siap kerja yang saya berikan dan apalagi mahu datang memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran yang dihafal di hadapan pelajar-pelajar lain.

Semasa mengajar tadi, saya mengambil keputusan memanggilnya datang ke hadapan. Sebaik beliau berada di hadapan meja guru, saya bertutur dengan lembut sekali, “Ustazah mahu dengar ayat-ayat yang telah kamu hafal, boleh?”

Saya belum hafal.” Jawab beliau (sebetulnya, saya tidak tahu siapa nama pelajar tersebut kerana memang sengaja mengikut teknik Nabi supaya tidak menyiasat) dalam riak wajah takut-takut memandang mata saya.

Tidak mengapa sekiranya kamu belum dapat hafal sehingga ayat 15. Baca sahaja ayat yang kamu hafal meskipun hanya satu ayat.” Sedaya mungkin saya cuba memujuk agar dia mahu mencuba.

Sekejap dia memandang saya, sekejap tunduk memandang lantai. Mulutnya masih diam.

Cubalah. Ustazah yakin, kamu pasti hafal.”

Dia memandang saya lagi. Saya memberikan senyuman yang paling manis. Akhirnya kedengaran suara membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’.

Dia membaca ayat satu dan dua daripada surah Al-Insyiqaq. Sebaik selesai bacaannya, saya terus memuji dengan berkata; “Bagus! Ustazah sukakan bacaan kamu. Walaupun hanya dua ayat, Allah sedang melihat kamu telah berusaha.Dan para malaikat yang mencatat kebaikan dan keburukan sedang berebut-rebut untuk menulis di dalam buku amal baik dan buruk apa yang telah yang kamu perbuat. Sekiranya kamu terus menghafal biarpun sedikit, lama-kelamaan kamu akan dapat menghafal satu surah Al-Insyiqaq ini. Baik, kamu boleh balik ke tempat duduk. Hafalkan ayat seterusnya.”
Ini reaksi pelajar tersebut selepas dipuji.
Selepas waktu tamat, saya mengajar mata pelajaran Tauhid pula di kelas yang sama. Sangat memeranjatkan apabila pelajar yang pendiam tadi datang sekali lagi kepada saya dan mahu menyambung hafalannya berkenaan ayat-ayat surah Al-Insyiqaq dari ayat 1-5. Lebih memeranjatkan, ketika saya mengajukan soalan untuk mata pelajaran Tauhid, dia dengan beraninya mengangkat tangan bersama kawan-kawannya yang lain. Malah tampil ke hadapan menjawab soalan meskipun jawapannya salah =). Subhanallah!
Setelah berkali-kali dia datang kepada saya, baru saya tahu namanya Fathah Vasya =)

*Nota kaki, Teknik Nabi dalam kes ini:



1.Pujian diberikan kepada perbuatannya, bukan dirinya.
Bagus! Ustazah sukakan bacaan kamu.”

2.Puji perbuatan pelaku dengan menyebut impaknya (action+impak)
Walaupun hanya dua ayat, Allah sedang melihat kamu telah berusaha.Dan para malaikat yang mencatat kebaikan dan keburukan sedang berebut-rebut untuk menulis di dalam buku amal baik dan buruk apa yang telah yang kamu perbuat. Sekiranya kamu terus menghafal biarpun sedikit, lama-kelamaan kamu akan dapat menghafal satu surah Al-Insyiqaq ini. Baik, kamu boleh balik ke tempat duduk. Hafalkan ayat seterusnya.”

3.Pujian/ penghargaan harus segera didahulukan sebaik si pelaku selesai melakukan satu perbuatan baik
Dalam kes ini, saya segera memuji pelajar tersebut sebaik dia menyudahkan bacaannya.

Kebaikan memberi pujian sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat adalah kerana:
-Supaya kita tidak lupa tingkah laku positif tersebut
-Supaya tingkah laku positif tersebut diulang-ulang
-Supaya orang yang mendengar tidak lupa
-Supaya dapat meninggikan maruah @ self esteem pelaku

Ustazah Siti Khadijah

8 comments:

  1. perkongsian yg amat bermanfaat! alhamdulillah... :) barakallahu fiik..

    ReplyDelete
  2. AllahuAkbar!...

    1. Sungguh luar biasa kesan pujian puan kepada pelajar pendiam dan pemalu itu!

    2. Laporan teknikal yang puan tulis itu sangat jelas formulanya. Mudah bagi guru-guru lain yang mahu mencontohi apa yang puan lakukan.

    3. Ayat pujian impak yang puan cipta itu sungguh indah! AllahuAkbar! Saya kagum....

    "Allah sedang melihat kamu telah berusaha.Dan para malaikat yang mencatat kebaikan dan keburukan sedang berebut-rebut untuk menulis di dalam buku amal baik dan buruk apa yang telah yang kamu perbuat." -- Saya percaya pujian ini yang menaikkan self-esteem beliau sehingga berani angkat tangan!

    ReplyDelete
  3. Subhanallah!Ustazah mempunyai kelebihan dalam menyatakan impak pujian. kata-kata itu lebih mendorong anak-anak mendekatkan diri kepada Allah. Saya kagum dengan ustazah. Saya pinjam kata-kata ustazah ini, ya. Hehehe!

    ReplyDelete
  4. Saya turut teruja dan bersemangat untuk cuba menghafal Al-Quran apabila saya sudah membaca laporan ini.

    Laporan ini juga mengingatkan saya tentang apa yang diajarkan oleh Puan Ainon sewaktu Kursus Mendorong Pelajar Corot tempoh hari.

    Teruskan Puan Ustazah. Semoga hasrat menjadi pendorong supaya pelajar menjadi penjaya tercapai.

    Amin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puan Ummi: Allhu barik fihi.

      Puan Ainon: Alhamdulillah, terima kasih Puan. Segala yang terbaik hanyalah untuk Allah. Saya sangat bersyukur, Fatah Vasha kini tidak pemalu lagi. Malah setiap kali saya mengajar (belum habis beri penerangan), dia sudah pun mengangkat tangan mahu bertanya apa yang tidak difahami berkenaan tajuk yang diajarkan.

      Puan Khairulaniza: Silakan Puan. Segala yang terbaik hanya datang daripada Allah.

      Puan Azlina Ahmad: Amin. Terima kasih atas sokongan Puan, saya amat hargainya. Allah berkati Puan, semoga berjaya menjadi seorang hafizah. Saya pasti, Allah akan memudahkan siapa sahaja yang ikhlas mahu memelihara firman-Nya. ~ Ustazah Siti Khadijah

      Delete
  5. Salam Ustazah,

    saya kagum dgn kesabaran ustazah dan teknik ustazah 'menjinakkan' pelajar tersebut.

    Salam kenalan...

    ReplyDelete
  6. Salam kembali. Alhamdulillah, terima kasih Cikpuan. Semoga tulisan-tulisan ini bermanfaat.

    ReplyDelete
  7. Bagus pendekatan yang dilakukan. Semoga Ustazah akan terus menulis dan berkongsi lagi dengan kami.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...