Thursday, February 16, 2012

Pelajar Sering Tidak Siap Kerja, Tetapi Turut Menghantar Kerja Rumah



21 Rabiul Awal 1433

Semalam, saya sempat mengajar mata pelajaran Jawi di kelas Lima Ali. Kami berbincang mengenai pengertian, penggunaan dan contoh-contoh ayat Penyata di dalam bahasa Jawi.

Memandangkan ramai di antara mereka yang telah menerima pujian semasa saya mengajar, saya sengaja mahu menguji mereka dengan meminta buku latihan Jawi dihantar hari ini juga sebelum mereka pulang ke rumah. Saya sangat yakin, pasti akan ada di antara pelajar yang telah menerima pujian tadi akan menghantar buku latihan hari ini biarpun sudah berulangkali saya mendengar 'perbuatan corot' mereka daripada guru-guru lain.

Sebaik selesai mengajar kelas tambahan, seorang guru memberikan buku-buku latihan pelajar tahun Lima Ali kepada saya di bilik guru. Bukan satu atau dua, tetapi buku latihan semua pelajar. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira dengan perkembangan prestasi mereka.
Buku-buku latihan Jawi yang dihantar semua pelajar Tahun Lima Ali


Hari ini 22 Rabiul Awal 1433 (15 Feb 2012), saya mempunyai waktu lapang untuk menanda buku-buku latihan pelajar kelas Lima Ali sebelum turun mengemaskini buku-buku teks pelajar tahun lima.

Setelah menyemak kesemua buku ini, terdapat beberapa perkara yang menyentuh hati. Antaranya ialah:
  1. Hampir ke semua buku latihan yang dihantar oleh pelajar Lima Ali mempunyai sejarah 'tidak siap kerja rumah' diberikan guru. Tetapi untuk latihan Jawi ini, 99% pelajar menyiapkannya dengan baik meskipun ada yang salah.

  2. Banyak contoh ayat dari perkataan 'sayang' yang ditulis pelajar berbunyi begini:

    “Saya sayang guru saya.”

  3. Contoh ayat yang ditulis Awang membuatkan saya dan suami tergelak membacanya. Buku latihan Jawi Awang yang juga mempunyai sejarah 'tidak siap kerja rumah' dan dicampur dengan contengan lain. Awang menulis contoh ayat penyata daripada perkataan 'juara' dan 'kuat' yang berbunyi begini;

    “Saya juara melawan Fatah.”

    “Awang dan Fatah sangat kuat.”
Buku latihan milik Awang.  Perhatikan halaman sebelah kanan. Halaman kosong sebagai bukti Awang turut mempunyai sejarah 'tidak siap kerja rumah'. =)

Selepas membaca latihan yang mereka buat, saya menurunkan catatan seperti berikut :

“Bagus! Ustazah sangat suka ayat-ayat yang kamu tulis. Sangat kreatif! Sekiranya kamu bersungguh-sungguh dan rajin belajar sebegini, tentu kamu akan menjadi seorang profesor apabila besar nanti.”

Ustazah Siti Khadijah

7 comments:

  1. pasti Awang gembira apabila membaca komen ustazah. Kalau pun nanti dia tidak faham apa yang ustazah tulis, saya yakin bahawa dia pasti akan bertanya kepada ustazah. Nanti apabila ustazah bacakan semula pujian tersebut apatah lagi didengar oleh rakan-rakan yang lain, saya percaya dia amat gembira. Insyaallah , pada lain masa Awang akan berusaha keras untuk membuat dan menyiapkan latihan yang ustazah beri. Tahniah ustazah kerana mengaplikasikan teknik memuji Nabi Muhammad ini.
    Semoga Allah mempermudahkan ustazah dalam meneruskan usaha ustazah ini.

    ReplyDelete
  2. As salam,

    Terasa ingin menitis air mata melihat perubahan sikap Awang dari 'zero' menajdi 'hero'. Anak-anak umpama kain putih. Jika mereka gagal, sebenarnya kitalah yang gagal. Saya kagum dengan cara Ustazah. Semoga usaha Ustazah mendidik anak bangsa dirahmati & diberkati Allah dan semoga anak-anak yang dididik menjadi insan cemerlang dunia akhirat, InsyaAllah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puan Ummi: Alhamdulillah, segala yang terbaik hanyalah buat Dia yang berhak. Saya kembalikan pujian puan kepada Dia yang Haq. ~Ustazah Siti Khadijah

      Puan Khairulaniza: Allahumma amin..amin..amin. Terima Puan. Awang telah pun datang kepada saya bertanya, "Ustazah, kenapa buku saya banyak merah-merah?"
      Saya kata padanya, "Cuba kamu baca."
      Dia baca di hadapan saya. Sebaik habis ayat yang dibaca, dia tersenyum suka. Esoknya, sewaktu saya memberikan kerja sekolah untuk dibuat di rumah, dia siapkan di dalam kelas. Ketika saya mahu keluar, dia terjerit-jerit memanggil saya.
      Katanya; "Ustazah, saya sudah siap. Tandalah sekarang."
      Apabila saya menjawab mahu menanda esok, dia tidak mahu. Katanya; "Ustazah, tandalah sekarang di hadapan saya. Saya mahu baca komen ustazah." =) ~Ustazah Siti Khadijah

      Delete
    2. Komen Ustazah di atas menjentik minda saya. Mungkin baik juga Ustazah memberitahu pelajar-pelajar, selepas setiap kali mereka mendapat pujian dikembalikan pujian itu kepada Allah dgn mengucapkan Alhamdullillah. Ini bagi mendidik jiwa mereka agar tidak merasa riak. Hanya sekadar cadangan...wallahua'lam.

      Delete
  3. kalaulah saya pemilik buku tulis ini..saya akan simpan buku ini sampai saya dewasa..
    akan disimpan baik-baik dan ditunjukkan pada anka-anak saya nanti, bahawa ustazah saya pernah memuji di buku tulis saya.. sungguh!

    Ia sesuatu yang istimewa apabila seseorang mengungkapkan pijian-pujian pada kita..dan dizahirkan melalui tulisan

    ReplyDelete
    Replies
    1. benar..kalau saya yg jadi Awang pn saya simpan buku tu. bukan senang nak dapat pujian dari cikgu..siap tulis kat buku. Biasanya cikgu hanya tulis 'good / very good'..di IPT pulak hanya ada tulisan 'see me' apabila assignment gagal melepasi markah cemerlang.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...