Wednesday, January 9, 2013

Aplikasi Teknik Memberi Ganjaran, Teknik Memberi Markah Dorongan dan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad

Entri kali ini adalah mengenai aplikasi Teknik Nabi Muhammad pertama saya di dalam kelas di sekolah baru. Minggu pertama bagi semua guru pelatih DPLI j-QAF ambilan 2013 adalah minggu untuk menjalani tugasan MOS (Minggu Orientasi Sekolah). Namun oleh kerana ada guru yang tidak hadir dan sibuk dengan tugasan penting sekolah, saya dan rakan-rakan diminta oleh pihak pengurusan sekolah untuk bergilir-gilir masuk menggantikan kelas-kelas mereka.

Tengahari itu, saya masuk ke dalam kelas 5 Dedikasi sebagai guru Bahasa Arab menggantikan mentor (guru pembimbing) kerana beliau sibuk mengurus urusan SPBT. Sebaik masuk ke dalam kelas, saya berdiri di hadapan pelajar-pelajar berdekatan dengan meja guru.

Para pelajar yang telah dibahagikan supaya duduk dalam kumpulan sedang sibuk dengan aktiviti dan tugasan yang diberikan oleh guru sebelum ini. Mereka tidak begitu mengendahkan kehadiran saya. Ada yang masih sibuk dengan kertas-kertas putih di atas meja mereka, ada juga yang sedang bercakap dengan rakan-rakan, dan ada yang buat hal sendiri. Hanya beberapa orang pelajar sahaja yang berdiri untuk memberi salam (itu pun berdiri dalam keadaan malas-malas sahaja). 

Ketika ketua kelas tahun 5 Dedikasi mula mahu mengucapkan salam, saya segera menunjukkan isyarat tangan lima jari supaya beliau menunggu. Ketua kelas tahun 5 Dedikasi segera faham isyarat yang diberikan. Dia memandang saya yang tidak berkata sepatah perkataan pun.

Saya masih diam sambil memandang semua pelajar di dalam kelas 5 Dedikasi satu persatu dengan memek muka yang menunjukkan saya tidak senang dengan perlakuan mereka ketika saya masuk. Pada mulanya, mereka masih seperti di awal-awal saya masuk ke kelas tadi. Barangkali kerana saya mendiamkan diri agak lama, mereka mula berdiri.

“Woi, cikgulah! Berdiri betul.”
“Woi, ada cikgu dekat depan! Bangunlah.” Beberapa orang pelajar bersuara menyuruh rakan-rakan mereka berdiri. Saya masih memerhati dari meja guru dalam situasi mendiamkan diri.

Saya tidak tegur perbuatan pelajar-pelajar yang tidak menghormati guru tersebut dengan melakukan perkara-perkara di bawah;
  • Saya tidak memarahi pelajar-pelajar dengan berkata, “Berdiri betul-betul! Kamu tidak nampakkah saya sudah masuk?” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar-pelajar dengan berkata, “Berdirilah betul-betul apabila melihat guru kamu masuk ke dalam kelas.” (SALAH)
  • Saya tidak mengkritik pelajar-pelajar dengan berkata, “Kamu ini sudah darjah lima, takkan berdiri betul ketika guru masuk pun kamu tidak tahu.” (SALAH)

Sebaliknya, saya mengaplikasi Teknik Memberi Ganjaran berdasarkan hadith Bersin. Sebaik semua pelajar berdiri memandang saya yang berada di hadapan kelas, saya memilih satu kumpulan yang berdiri tegak dan betul.

Saya lalu berkata, “Inilah cara berdiri yang betul bagi pelajar-pelajar apabila seorang guru masuk ke dalam kelas. Kumpulan ini semua ahlinya berdiri tegak memandang ke arah guru tanpa melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati guru. Mereka tahu cara menghormati dan meraikan guru yang masuk ke dalam kelas. Tahniah buat kumpulan ini. Saya berikan tiga bintang untuk kumpulan ini.”

Teknik Memberi Ganjaran:
1.Ganjaran diberikan apabila kerja dibuat dengan betul.
Satu kumpulan pelajar berdiri betul sambil memandang ke arah guru. Saya memberikan ganjaran kepada mereka atas kerja yang dilakukan iaitu berdiri betul dengan mengumumkan kepada semua pelajar di dalam kelas,

“Inilah cara berdiri yang betul bagi pelajar-pelajar apabila seorang guru masuk ke dalam kelas. Kumpulan ini semua ahlinya berdiri tegak memandang ke arah guru tanpa melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati guru. Mereka tahu cara menghormati dan meraikan guru yang masuk ke dalam kelas.”

Saya juga memberikan mereka ganjaran berbentuk markah dorongan dengan berkata, “Tahniah buat kumpulan ini. Saya berikan tiga bintang untuk kumpulan ini.”

2.Kerja yang dibuat dengan teknik yang salah tidak diberi ganjaran.
Pelajar-pelajar yang tidak berdiri dengan betul tidak diumumkan nama kumpulan mereka dan mereka tidak mendapat markah dorongan berupa bintang.

3.Apabila kerja dilakukan secara terbuka, maka ganjaran juga diberikan secara terbuka.
Perbuatan satu kumpulan pelajar di dalam kelas 5 Dedikasi berdiri dengan cara yang betul dilakukan di tempat terbuka (ada orang nampak) iaitu di dalam kelas, saya memberikan ganjaran kepada mereka juga secara terbuka. Kata-kata saya dapat didengar oleh semua pelajar.

4.Orang yang melakukan kerja dengan teknik yang salah tidak dikritik.
Pelajar-pelajar tahun 5 Dedikasi yang tidak berdiri dengan betul tidak saya tegur, marahi, nasihati atau kritik. Sebaliknya, saya diam sahaja.

Impak daripada kata-kata ganjaran yang diberikan tadi, pelajar-pelajar 5 Dedikasi yang tidak berdiri dengan betul menyedari kesilapan mereka. Mereka mula berdiri sama seperti kumpulan yang diumumkan tadi.

Sebaik melihat mereka berdiri betul, saya puji mereka menggunakan Teknik Pujian Gaya Nabi pula.

Saya berkata, “Bagus! Kumpulan ini juga sudah berdiri dengan cara yang betul. Wah, nampaknya semua kumpulan sudah berdiri dengan cara yang betul sebelum memberi salam! Ini satu perkara yang mengembirakan. Ustazah kagum. Kamu cepat faham dan belajar. Kalau begini, tentu apabila kita belajar akan mudah faham. Ustazah berikan setiap kumpulan tiga bintang.”

Pelajar-pelajar 5 Dedikasi tersenyum suka mendengar kata-kata saya. Mereka berdiri tegak sehingga selesai salam diucapkan. Malah, ketika saya mahu keluar daripada kelas setelah tamat waktu mengajar, mereka segera berdiri dengan betul tanpa perlu disuruh berdiri. Alhamdulillah.

Gambar hiasan Pelajar-pelajar 5 Dedikasi ketika melakukan aktiviti dalam kumpulan

Hadith rujukan:
1.Hadith Bersin (Teknik Memberi Ganjaran)
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh saidina Anas bin Malik yang berbunyi begini, Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, “Yarhamkallah.” Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad saw. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?” Nabi Muhammad saw menjawab, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulilliah.

2.Hadith Salam (Teknik Markah Dorongan)
“Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” –Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

3.Hadith 12 Malaikat (Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad)
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Bersambung...
Nantikan entri seterusnya bagaimana saya mendorong pelajar-pelajar 5 Dedikasi menghasilkan Hasil Kreatif menggunakan kertas-kertas putih.

*Oleh kerana tidak sempat snap gambar ketika mereka berdiri, tiadalah gambar-gambar berkaitan untuk entri ini.

Ustazah Siti Khadijah

Saturday, January 5, 2013

Kemuncak Aplikasi Teknik Nabi Muhammad Kepada Pelajar-pelajar 5 Ali

Serasa tidak lengkap catatan setahun yang lalu ke atas pelajar-pelajar 5 Ali tanpa berkongsi pengakhiran daripada kisah-kisah perjuangan mereka. Sebelum memasukkan entri-entri Teknik Nabi Muhammad di sekolah baru, saya memutuskan untuk menutup kisah perjuangan anak-anak 5 Ali di sekolah lama dengan berkongsi pencapaian cemerlang mereka di dalam peperiksaan UPKK (Ujian Penilaian Kelas Kafa) pada akhir tahun 2012 yang lalu.

Jujur saat dimaklumkan oleh rakan guru di sekolah berkenaan keputusan anak-anak 5 Ali, Allah sahaja yang tahu bagaimana situasi saya ketika itu. Selain airmata menggambarkan rasa gembira dan terharu atas pencapaian yang amat memberangsangkan anak-anak 5 Ali, saya hilang suara untuk menyatakan betapa saya bersyukur dengan perubahan mendadak mereka baik dari segi akhlak dan akademik.

Mungkin bagi setengah pihak, apalah ertinya kejayaan anak-anak kelas corot dibandingkan dengan kelas-kelas pertama, kedua atau mungkin ketiga. Bagi diri saya yang bersama mereka berjuang untuk sampai ke tahap ini, ia suatu kejayaan yang amat luar biasa dan boleh dibanggakan.

Kronologi kejayaan anak-anak 5 Ali bermula selepas didorong dengan Teknik-teknik Nabi Muhammad hasil kajian Tim Hadith Psikologi.

Daripada pelajar yang tidak pernah lulus dalam peperiksaan, anak-anak 5 Ali mula lulus dengan pencapaian sederhana. Daripada pelajar yang lulus setakat atas pagar, anak-anak 5 Ali lulus setaraf dengan kelas-kelas hadapan mereka. Malah peratus kelulusan anak-anak 5 Ali jauh lebih baik berbanding dua kelas di hadapan mereka (5 Omar dan 5 Othman). Daripada lulus setaraf, mereka lulus cemerlang di dalam peperiksaan sebenar. Daripada pada mulanya tidak minat membaca dan menghafal, anak-anak 5 Ali sudah suka membaca dan menghafal. Juga daripada pelajar yang tidak mempunyai matlamat hadir ke sekolah, anak-anak 5 Ali mula memahami tujuan mereka hadir ke sekolah.

Tidak perlulah saya bercerita panjang mengenai mereka, kerana saya yakin, para pembaca sudah maklum akan kisah-kisah mereka yang banyak diceritakan di blog ini. Saya sekadar mahu berkongsi keputusan penuh peperiksaan UPKK anak-anak 5 Ali. Inilah kemuncak kegemilangan aplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas mereka. 

Kecemerlangan anak-anak 5 Ali bermula dengan pelajar yang mendapat 7A (paling tinggi) sehingga 1A (paling rendah). Berikut adalah keputusan mereka.

Keputusan penuh peperiksaan UPKK pelajar-pelajar 5 Ali.

Pelajar 5 Ali yang mendapat keputusan 7A
1.Iman Fatini binti Azman @ Iman (7A 1B)
Sekiranya para pembaca masih ingat, cerita mengenai Iman pernah dikongsikan oleh Puan Ainon Mohd. di blog Tim Hadith Psikologi. Iman pelajar pintar yang tidak mahu masuk ke kelas Abu Bakar walaupun keputusannya bagus (baca di sini). 

2.Muhammad Aqiff Hakimi bin Alimiazan @ Aqiff (7A 1B)
Kisah Aqiff saya pernah kongsikan di Fb di awal-awal tahun yang lalu. Aqiff pelajar kelas corot yang berjaya mendapat tempat kedua ketika mewakili sekolah dalam pertandingan Hafazan peringkat Zon Kajang. Dia kemudian mewakili sekolah ke peringkat daerah dalam pertandingan Hafazan. Kisah Aqiff ini juga saya ceritakan dalam entri Teknik Melantik Penolong Guru (baca di sini dan baca di sini).

Pelajar 5 Ali yang mendapat keputusan 6A
1.Afini Afrina Alang binti Khalidin Alang @ Nini (6A 1B)
Nini adalah pelajar kecil molek yang pernah memberikan saya hadiah beg tangan berwarna purple yang saya kongsikan kisahnya di Fb. Nini ini jugalah yang pernah berkata, "Ustazah, oleh kerana semua orang sudah tolong angkat barang-barang ustazah, biar saya tolong angkat ustazah bawa masuk ke dalam kelas." (baca di sini & di sini)

2.Awang Izzuddin Al-Qassam bin Awang Suffian @ Al-Fateh (6A 1B)
Al-Fateh adalah ketua kelas bagi kelas 5 Ali. Kisah mengenainya banyak saya kongsikan di blog. Sekiranya pembaca masih ingat, Al-Fateh adalah pelajar yang bertanggungjawab mengetuai aktiviti 'gosok menggosok meja' semasa bulan Ramadan yang lalu (baca di sini)

3.Muhammad Amir Syazwan bin Marzuki @ Zack (6A 1B 1C)
Zack antara pelajar paling corot dalam kelas 5 Ali. Dalam hampir semua ujian dan peperiksaan, dia akan mendapat nombor 21-25. Namun dalam peperiksaan UPKK sebenar, dia mendapat 6A 1B 1C. Saya seperti tidak percaya. Terbayang-banyang bagaimana dia didorong daripada tidak minat belajar kepada mahu bersungguh-sungguh belajar. Daripada tidak suka menghafal, kepada pelajar pertama yang datang menghafal. Malah, ketika ramai tidak hadir ke sekolah kerana aktiviti di sekolah Kebangsaan, dia tetap hadir mahu belajar. Sebak pula rasanya. (T__T)

4.Muhammad Khairul Anwar bin Mohd Zamri @ Angah 1 (6A 2B)
Angah 1 juga antara pelajar yang mempunyai prestasi lebih kurang sama dengan Zack. Di dalam kelas, Angah 1 berkawan tiga orang; Dia, Angah 2 dan Boboi. Ketiga-tiganya pelajar adalah pelajar prestasi lemah di dalam semua matapelajaran. Dalam peperiksaan UPKK sebenar, Angah 1 mendapat keputusan yang sama sekali tidak dijangkakan.

5.Muhammad Yusri bin Mohd Ridzuan @ Edry (6A 2B)
Edry adalah Penolong Guru Kebajikan bagi kelas 5 Ali. Tugasnya adalah membantu dan mengangkat barang-barang guru. Kisah lucu mengenai pertukaran nama Yusri kepada Edry pernah saya tuliskan di entri tidak lama dahulu. (baca di sini)

6.Nisrina binti Amran (6A 2C)
Nisrina adalah pelajar yang telah berubah hampir 360 darjah. Kisah pelajar yang bernama Nisrina ini amat memberi kesan di hati saya. Dia pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghidap satu penyakit berat. Namun tetap hadir ke sekolah setelah menerima sentuhan Teknik Nabi Muhammad yang diaplikasikan kepadanya. (baca di sini)

7.Noor Athirah binti Md Redwan @ Kak Yong (6A 2B)
Kak Yong adalah penolong ketua kelas 5 Ali. Dia pelajar yang suka meraih tangan saya setiap kali berjumpa. Kemudian diciumnya berkali-kali. Memandangkan kami sama tinggi, selalu juga dia berangan mahu menukar posisi dengan saya. 

8.Nur Aisyah binti Rosly @ Ecah (6A 1B)
Ecah adalah Penolong Guru Ucapan di dalam kelas 5 Ali. Dia bertanggunggjawab mengetuai ucapan salam, doa dan terima kasih sekiranya ketua kelas dan penolong 5 Ali tidak hadir.

9.Nurfattahillah bin Mohd Rashaidi @ Salahuddin (6A 2B)
Salahuddin adalah pelajar yang pernah menghafal di celah almari. Dia, Al-Fateh dan Abang Ngah adalah tiga sahabat baik yang selalu melakukan aktiviti bersama. Kalau seorang tidak pakai songkok, yang lain akan ikut. Kisah mengenai Salahuddin banyak saya kongsikan di blog ini. (baca di sini)

Pelajar 5 Ali yang mendapat 5A
1.Ariffah Nasuha binti Nasir @ Sue (5A 3B)
Sue ini pelajar yang sering berebut dengan pelajar-pelajar lelaki untuk membawa barang-barang saya masuk ke kelas. Dia juga akan berlumba dengan pelajar lelaki untuk menjemput saya masuk ke kelas. Sue inilah yang menghantar mesej mengucap terima kasih kerana tahun 2013 ini dia dapat masuk ke kelas 6 Omar. (baca di sini)

2.Muhammad Fadhirul Danial bin Muhammad Feno @ Abang Ngah (5A 3B)
Kisah mengenai Abang Ngah pernah saya ceritakan dalam entri hadith Khalid dan Abdur Rahman bin Auf (baca di sini). Abang Ngah juga pernah mengetuai kelas supaya memboikot saya selepas pergaduhan berebutkan ustazah mereka dengan pelajar 5 Omar tidak lama dahulu.

3.Muhammad Khairul Aiman bin Mazri @ Aiman (5A 2B 1C)
Aiman adalah pelajar yang suka bersongkok senget dan melintang. Kisah Aiman boleh dibaca baca di sini.

4.Nurnazatul Munirah binti Hussin @ Nazatul (5A 3B)
Nazatul merupakan Penolong Guru Alat Bantu Mengajar di dalam kelas 5 Ali. Tugasnya adalah memastikan buku teks, buku latihan sudah berada di atas meja atau dihantar kepada guru.

5.Nurul Dania binti Mohd Radzi @ Nia (5A 3B)
Nia merupakan Penolong Guru Kehadiran. Tugas Nia adalah memastikan dan memaklumkan kehadiran pelajar 5 Ali kepada guru. Kisah Nia yang pandai menghargai gurunya juga pernah saya tuliskan di entri (baca di sini).

Pelajar 5 Ali yang mendapat 4A
1.Fattah Vasya bin Syaiful Hadi @ Fattah (4A 3B 1C)
Fattah adalah pelajar pendiam dan suka melakukan hal sendiri di dalam kelas 5 Ali. Kisah Fattah yang pendiam ini pernah saya kongsikan di entri (baca di sini)

2.Muhammad Syafiz Izwan bin Jelis @ Angah 2 (4A 3B AC)
Angah 2 ialah pelajar yang mudah tersenyum kepada siapa sahaja yang ditemuinya. Kisah pelajar kecil molek ini pernah saya ceritakan dalam entri hadith Khalid dan Abdur Rahman (baca di sini)

3.Nur Nabila binti Atan @ Nano (4A 2B 2C)

4.Nurul Fatihah binti Mataki @ Ea’ah (4A 4B)
Ea’ah adalah penolong ketua kelas dan Penolong Guru Ucapan di dalam kelas 5 Ali. Dia bertanggunggjawab mengetuai ucapan salam, doa dan terima kasih sekiranya ketua kelas tidak hadir.

Selebihnya, keputusan pelajar-pelajar 5 Ali.
1.Danial Hakimi bin Ahmad Nazarman @ Kimi (3A 3B 2C)
Kisah pelajar yang bernama Kimi ini pernah saya kongsikan di Fb (baca di sini)

2.Muhammad Syahmi Irsyad bin Mohd Nazri @ Profesor Syahmi (3A 3B 1C 1D)
Kisah mengenai pelajar yang mahu dipanggil dengan gelaran Profesor Syahmi pernah saya tuliskan dalam entri. Entri cerita Profesor Syahmi adalah entri yang paling popular di blog USK (baca di sini)

3.Nursyamimi binti Norazman @ Mimi (3A 4B 1C)
Mimi ini juga adalah pelajar perempuan yang akan berlumba dengan pelajar lelaki untuk menjemput saya masuk ke dalam kelas ( baca di sini).

4.Muhammad Zulfikal Khir bin Mohd Sufian @ Boboi (1A 4B 2C 1D)
Boboi adalah pelajar 5 Ali yang terkebelakang berbanding yang lain. Boboi tidak pandai membaca Jawi apalagi Bahasa Arab. Namun setelah didorong menggunakan Teknik Nabi Muhammad, Boboi boleh membaca Jawi dan Bahasa Arab walaupun merangkak-rangkak. Keputusan Boboi dalam peperiksaan sebenar menunjukkan peningkatan yang cemerlang. Ini rekod baru bagi pelajar  yang tidak tahu membaca Jawi dan Bahasa Arab seperti dirinya. Keputusannya benar-benar luar biasa.

5. Wan Muhammad Syafiq Iqram bin Wan Md Noor Shamshalimy @ Syafiq(1A 4B 2C 1(th)) 
Syafiq juga seperti Nisrina. Dia kerap tidak hadir ke sekolah. Apabila ditanya apakah sebabnya selalu tidak hadir ke sekolah, dia akan menjawab, “Emak dan ayah saya kerja, ustazah. Saya jaga adik di rumah.”

Inilah 25 orang anak-anak 5 Ali yang telah banyak memberi inspirasi kepada para pembaca blog USK. Kerana cerita-cerita dari kelas corot mereka, Teknik Nabi Muhammad semakin dikenali. Tiada yang mampu saya berikan buat 25 anak-anak istimewa ini melainkan doa yang tidak pernah putus. Sangat sebak apabila ada di antara mereka yang tidak merelakan pemergian saya di sekolah baru. 

Anak-anak 5 Ali yang baik, seandainya kita tidak lagi bersama, ustazah mendoakan kalian menjadi anak-anak yang cemerlang bukan sahaja di dalam pelajaran, tetapi juga seorang hamba Allah yang beriman. Semoga suatu hari nanti, kalian pula bakal mendidik anak-anak ustazah sebagaimana ustazah mengajar dan membimbing kalian. Ibunda gurumu ini amat yakin, kalian berjiwa besar. Sehingga bertemu lagi di lain waktu. Allah berkati dan sentiasa bersama kalian. 

5 Ali dalam kenangan.

“Kejar pelangimu sehingga ke hujung dunia nak!”

Ustazah Siti Khadijah

Friday, January 4, 2013

Tidak Menegur Kesalahan, Pujian Gaya Nabi

Minggu pertama ini, saya masih belum masuk mengajar kerana terlibat dengan tugasan MOS (Minggu Orentasi Sekolah) yang diarahkan pensyarah. Biarpun masih belum mengajar di dalam kelas, Teknik Nabi Muhammad tetap dapat diaplikasi di luar kelas.


Pagi tadi ketika mahu mencari kelas tahun 6, saya sempat mengaplikasi Teknik Tidak Menegur Kesalahan dan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad bersama beberapa orang pelajar. 

Sekolah tempat saya menjalani latihan adalah sebuah sekolah yang besar. Setiap darjah (daripada tahun 1-6) mempunyai 10 buah kelas dan mempunyai bangunan sendiri. Memandangkan kawasan sekolah agak besar dan semua guru terlibat dengan program PMD (Program Maju Diri), banyak perkara hari ini harus kami usaha dan selesaikan sendiri.

Ketika mencari kelas tahun 6, rakan saya bertanya kepada salah seorang pelajar yang berkumpul bersama rakan-rakannya di hadapan tandas; 

"Abang...abang, bangunan ini semua kelas darjah 6 kah?"

Pelajar yang dimaksudkan memandang rakan saya tersebut kemudian buat-buat tidak dengar. Barangkali juga kerana rakan saya tersebut tidak mempunyai 'nametag' guru, pelajar tersebut sengaja tidak mahu melayaninya.

"Abang..abang, abang baju 'purple', ini bangunan darjah 6 kah?" Rakan saya bertanya lagi. Pelajar tersebut masih buat-buat tidak dengar. Malah, sedikit pun dia tidak mengendahkan kehadiran kami.

Kerana kasihankan rakan tersebut, saya lalu berjalan lebih dekat menghampiri kumpulan pelajar yang sedang berada di hadapan tandas. Saya tidak memarahi pelajar tersebut dengan berkata;

"Hei, awak tak dengarkah cikgu tanya tadi?" (Salah)
"Awak ini kenapa, cikgu panggil banyak kali siap sebut baju awak warna 'purple', takkan awak tak perasan?" (Salah)
"Awak ini, kecil-kecil sudah pandai tidak hormat cikgu." (Salah)

Sebaliknya, saya sentuh bahu seorang pelajar lain yang ada berdekatan dengan pelajar berseragam 'purple' tersebut. Saya lihat 'tag' nama yang terlekat di bajunya, kemudian saya berkata, 

"Muhammad, cikgu mahu bertanya. Ini semua bangunan untuk kelas darjah 6 kah?"

"Ya, cikgu. Ini semua bangunan kelas darjah 6." Jawab pelajar tersebut.

Sebaik mendengar respon daripada pelajar tersebut, saya segera memujinya, "Wah, bagus! Kamu mahu jawab soalan cikgu. Tentu orang akan suka berkawan dengan kamu. Kamu juga akan mudah belajar kerana mendengar cakap seorang guru."

Pelajar tersebut tersenyum mendengar pujian saya. Kemudian saya bertanya lagi, "Ada berapa buah kelas untuk darjah 6?"

"Ada 10 cikgu." Pelajar tersebut membalas lagi.

"Ada 10. Wah, banyaknya!"

"Kamu darjah berapa?"

"Darjah 6 , cikgu."

"Oh, darjah 6. Terima kasih kerana menjawab semua soalan cikgu. Kamu telah memudahkan kerja cikgu. Allah pasti akan beri pahala buat kamu."
Saya menyambung lagi, kemudian beredar meninggalkan tempat tersebut.

Selepas mendengar kata-kata saya, pelajar tersebut segera berkata kepada rakannya yang buat-buat tidak dengar soalan rakan saya tadi, "Itulah engkau, lain kali orang tanya jawab. Apalah!"
Hadith rujukan; Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, “Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa’asila.” Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, “Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?” Lelaki itu menjawab, “Saya, ya Rasul Allah.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu.” Dalam laporannya, Ibnu Umar berkata, “Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu.” –Rekod Hadith Muslim



Sunday, December 9, 2012

Berbengkel Bersama Ustazah Siti Khadijah


Atas permintaan, sekali lagi saya akan turun ke Seremban untuk perkongsian Bengkel Mendorong Pelajar Kelas Corot dengan Teknik Nabi Muhammad. Kalau sebulan yang sudah bengkel setengah hari di Senawang, kali ini bengkel sehari di Seremban Forest Height.


Pihak penganjur membuka bengkel ini untuk siapa sahaja yang berminat. Bagi tuan, puan, cikpuan, ibubapa, cikgu-cikgu, ustaz, ustazah dan bakal -bakal guru yang berkelapangan pada 15 Disember 2012 dan berminat menyertai bengkel ini, boleh hubungi Puan Norzila Zainal (013-6309285) untuk maklumat lanjut.

Untuk bengkel kali ini, setiap peserta yang mendaftar akan menerima ebook Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad dalam bentuk cd beserta dengan videonya sekali.

Terhad kepada 40 orang peserta sahaja. Boleh juga mendaftar kepada pengurus ustazah Siti Khadijah. Sms Tuan Asyraff Hafdzan bin Abdullah 019-3939094. Mohon disertakan nama penuh, no telefon, dan alamat emel.

*Mohon disebarkan kepada rakan-rakan yang lain.

Wednesday, November 21, 2012

Peratus Kelulusan Pelajaran Kelas 5 Ali Mengatasi Kelas 5 Omar dan 5 Othman

“Peratus keseluruhan pelajar-pelajar kelas 5 Ali mencapai 100%?” Saya bertanya sendiri sebaik selesai menyiapkan analisa ujian Prestasi Dua bagi kelas 5 Ali. Seakan tidak percaya. Apakah saya telah salah ‘key in’ markah atau memang benar semua pelajar 5 Ali lulus dalam ujian Prestasi Dua kali ini.

Analisa ujian Prestasi Dua Kelas 5 Ali.

Kerana sukar untuk mempercayai, saya menyemak kembali satu persatu nama-nama pelajar 5 Ali dan markah setiap matapelajaran yang diambil mereka dalam ujian prestasi dua baru-baru ini. Boleh jadi saya tersilap dalam memasukkan markah di dalam komputer. Namun setelah meneliti nama-nama pelajar dan markah setiap matapelajaran mereka, ternyata ia tetap sama seperti yang tertera di dalam komputer riba.

Saya kaget dan kehilangan kata-kata. Rasa ngilu dan sebak mula menghuni tangkai hati. Sungguh saya dilanda debar yang maha hebat.

Segera saya terbayangkan wajah beberapa orang pelajar 5 Ali yang tidak pernah mencapai peratus lulus, baik dalam ujian prestasi satu mahupun dalam peperiksaan semester pertama yang lalu. Sekiranya lulus pun, peratusnya betul-betul atas pagar; 40%.

“Boboi, Zack, Angah 2, Mimi, Syafiq, Profesor Syahmi, Nano, Nisrina! Apa sudah jadi pada mereka?” Saya benar-benar seperti dikejutkan dengan suatu perkara diluar jangka.

Sekali lagi, nama dan markah lapan pelajar ini saya amati satu persatu. Subhanallah, memang peratus kelulusan mereka tidak menunjukkan mereka gagal seperti sebelum ini. Malah Boboi, Syafiq, Zack dan Angah 2 yang selalu gagal dalam hampir semua mata pelajaran lulus dengan peratus yang sangat baik dalam semua matapelajaran yang saya ajarkan. Bukan lagi atas pagar 40% tetapi 50% ke atas. Saya keharuan, dan amat yakin semuanya berkat aplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas mereka.

Saya masih ingat, sepanjang sepuluh bulan mengajar dan mengaplikasi Teknik Nabi Muhammad ke atas mereka, saya tidak memaksa mereka belajar. Saya tidak melakukan perkara-perkara di bawah;
  • Saya tidak memarahi mereka; “Kamu ini mahu jadi apa hah? Kalau tidak mahu belajar, baik kamu tidak usah datang ke sekolah.”
  • Saya tidak menasihati mereka; “Kamu mesti belajar bersungguh-sungguh. Tidak boleh main-main. Nanti kamu tidak akan lulus dalam ujian dan peperiksaan.”
  • Saya tidak mengancam atau mengugut mereka; “Sekiranya kamu tidak memberi perhatian dan tidak menyiapkan kerja rumah yang ustazah berikan, jangan balik hari ini.”
  • Saya tidak membanding-bandingkan mereka dengan pelajar kelas tahun 5 yang lain; “Kamu mesti belajar macam budak kelas 5 Abu Bakar. Ustazah masuk kelas mereka, tidak payah suruh mereka ulangkaji pelajaran, mereka ulangkaji sendiri. Bukan macam kamu, asyik main sahaja.”
  • Saya juga tidak menghukum mereka sekiranya mereka tidak siap kerja atau tidak menghafaz; “Oleh kerana kamu tidak hafaz ayat dan tajuk sekian-sekian, ketuk ketampi 30 kali sekarang!” 
Yang saya lakukan hanya mendorong mereka menggunakan Teknik Nabi Muhammad.
  • Saya tidak jemu mengulang Teknik Pujian Format Nabi Muhammad (baca di sini) setiap kali melihat mereka melakukan satu-satu kerja dengan teknik yang betul meskipun hasilnya salah.
  • Saya aplikasikan Teknik Memberi Markah Dorongan (baca di sini)- aplikasi hadith salam.
  • Saya gunakan Teknik Penolong Guru (baca di sini), Teknik Semua Pelajar Angkat Tangan (baca di sini), Teknik Menyelesaikan Konflik (baca di sini), Teknik Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan(baca di sini), Teknik Tutup Mata Pada Kesalahan (baca di sini) dan lain-lain Teknik Nabi Muhammad lagi.
Saya juga masih ingat, setiap kali apabila mereka diminta menjawab soalan baik di dalam buku tulis, di papan putih atau menjawab soalan yang saya tanyakan, selalu mereka akan kata, “Ustazah, saya tak tahu!"
Saya akan balas, “Tidak mengapa, ustazah ajar kamu sampai tahu.”

Apabila mereka kata; “Ustazah, susahlah.”
Saya jawab; “Kita cari dan mula dengan yang mudah dahulu.”

Apabila mereka kata; “Saya tidak hafaz, ustazah.”
Saya jawab, “Baca sahaja yang kamu hafaz.”

Apabila mereka kata, “Ustazah, kita tak usah belajarlah hari ini. Bukan semua orang datang.”
Saya puji mereka menggunakan format pujian Teknik Nabi. Saya kata, “Ustazah kagum. Kehadiran kamu yang hanya bebarapa orang ini akan membantu kamu memahami pelajaran lebih daripada rakan-rakan yang tidak hadir.”

Apabila mereka berkata, “Ustazah, kita pergi perpustakaan sahaja.”
Saya jawab, “Boleh, tetapi setelah kita belajar pelajaran baru hari ini. Waktu di perpustakaan tidak akan terganggu dan akan lebih lama kerana kita sudah selesai belajar.”

Apabila mereka berkata, “Ustazah, saya tidak bawa buku.”
Saya jawab; “Tulis di kertas kosong dahulu. Nanti tampal di dalam buku yang tertinggal.”
“Kongsi dengan kawan sebelah. Kawan sebelah kamu akan dapat pahala sebab tolong orang belajar ilmu Allah.”

Apabila mereka kata, “Ustazah, kelas lain tak belajar pun. Kita tak payahlah belajar. Kita main jugalah ustazah.”
Saya jawab, “Ya, mari kita main mengingat dan menghafal isi-isi penting dan tulis di papan putih. Kita lawan siapa yang paling baik bekerjasama dalam kumpulan dia dikira menang.”

Kerana perkara-perkara ini pelajar 5 Ali mencapai kelulusan 100%. Allahu akbar! Benar Allah itu sangat kaya, sungguh setiap yang Rasulullah lakukan tiada yang sia-sia. Ia mengandungi hikmah yang tidak kita jangka. Ini buktinya! 

Lebih mengejutkan, setelah sepuluh bulan didorong dengan Teknik Nabi Muhammad, bukan sahaja pelajar 5 Ali lulus 100% dalan ujian Prestasi Dua, malah peratus kelulusan mereka telah mengatasi dua kelas tahun 5 yang lain; 5 Omar dan 5 Othman. 5 Ali kelas kedua terbaik selepas kelas cemerlang 5 Abu Bakar! Ini satu rekod baru buat pelajar kelas corot 5 Ali.



Analisa ujian Prestasi Dua 5 Omar.




Ini pula analisa Ujian Prestasi Dua kelas 5 Othman.

*Saya tidak menyertakan analisa ujian Prestasi Dua kelas 5 Abu Bakar kerana 5 Abu Bakar adalah kelas cemerlang. Peratus kelulusan keseluruhan mereka tidak pernah gagal.

Ustazah Siti Khadijah

Friday, October 12, 2012

"Kalau Ustazah Emak Saya, Saya Akan Peluk Ustazah Sekarang."

Petang Jumaat seminggu yang lalu, sedang saya ralit menyiapkan tugasan yang tertangguh di meja sendiri, seorang pelajar lelaki yang tidak bersongkok dan berstokin datang ke pejabat untuk meminta plastik sampah. Sebaik terlihatkan saya yang sedang menulis catatan di dalam buku rekod mengajar, dia berpatah kembali dari pejabat  menuju ke meja saya.

“Assalamualaikum, ustazah.” Sapanya ramah.

“Wa’alaikumussalam. Oh, kamu.” Saya membalas sapaan pelajar tersebut.


“Saya mahu minta plastik sampah. Tapi apabila nampak ustazah, saya rasa mahu berbual dengan ustazah.” Terangnya jujur.


Saya senyum mendengar kata-katanya. Kemudian saya memberitahu kepadanya, “Kamu boleh minta plastik sampah dengan meminta kepada ustazah yang ada di dalam pejabat. Di sini tiada plastik sampah.”




“Saya tahu. Tetapi saya tetap mahu berbual dengan ustazah.” Sambungnya lagi.

Mengenangkan masa itu bukanlah waktu rehat, saya menyambung lagi, “Nanti pada waktu rehat, kamu datang lagi. Kita boleh berbual lebih panjang. Sekarang masih belum waktu rehat. Pelajar tidak dibenarkan berada di luar kelas kecuali dengan kebenaran guru. Lagi pula, tidak baik buat orang tertunggu-tunggu. Mana tahu rakan-rakan dan guru kamu sedang menunggu plastik sampah. Kasihan mereka.”

Dalam Teknik Nabi Muhammad mendorong orang corot, apabila seseorang melakukan kesalahan, Nabi Muhammad tidak akan memarahi mereka. Sebaliknya, Nabi hanya menerangkan.

Anas bin Malik melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab daripada kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi mengambil setimba air, lalu disirami kencing itu. ~Hadith Rekod Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prinsip-prinsip berikut:
  • Ada kesalahan yang yang mesti dibiarkan ia dilakukan sampai selesai, seperti dalam kes ini Nabi Muhammad tidak membenarkan lelaki itu diganggu sehingga menyelesaikan kencingnya.
  • Faktor menjaga kesihatan pesalah adalah lebih utama daripada menyuruh pesalah itu menghentikan kesalahan yang sedang dilakukannya.
  • Ada jenis kesalahan yang pesalah tidak disuruh membetulkan kesan kesalahannya, sebaliknya orang lain yang diminta melakukannya. ~Buku Bengkel Mendorong Pelajar Kelas Corot 
Dalam situasi yang berlaku pada hari itu, ada beberapa kesalahan yang telah dilakukan oleh pelajar tersebut. Antaranya ialah;
  1. Tujuan asal pelajar tersebut datang ke pejabat untuk meminta plastik sampah. Sebaik melihat saya berada di meja guru, dia langsung melupakan tujuan asalnya.
  2. Masa tersebut adalah masa belajar, namun dia berada di luar kelas dengan tujuan mahu berbual.
  3. Tidak memakai songkok dan stokin.
Berpandukan hadith Badwi Kencing, saya telah mengaplikasi Teknik Menegur dengan Menerangkan.
  • Saya tidak memarahi pelajar tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu berada di sini, bukankah sekarang masa belajar?” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar tersebut dengan berkata, “Masuklah ke dalam kelas untuk belajar. Nanti kamu akan jadi pandai.” (SALAH)
  • Saya tidak mengkritik pelajar tersebut dengan berkata, “Sudah tahu mahu meminta plastik sampah, mengapa kamu datang berjumpa saya. Di sini bukan tempat meminta plastik sampah.” (SALAH)
Sebaliknya saya menegur dengan menerangkan kepada pelajar tersebut dengan berkata, “Nanti pada waktu rehat, kamu datang lagi. Kita boleh berbual lebih panjang. Sekarang masih belum waktu rehat. Pelajar tidak dibenarkan berada di luar kelas kecuali dengan kebenaran guru. Lagi pula, tidak baik buat orang tertunggu-tunggu. Mana tahu rakan-rakan dan guru kamu sedang menunggu plastik sampah. Kasihan mereka.”

Sebaik mendengar kata-kata saya, pelajar tersebut akur dan kembali kepada tujuan asal mengapa dia datang ke pejabat. Namun setelah mendapatkan plastik sampah, dia menyinggah lagi di meja saya untuk meninggalkan pesanan.

Katanya, “Ustazah, nanti masa rehat saya mahu datang berbual dengan ustazah ya.”

Saya mengiyakan kata-katanya, dan kemudian sempat mengaplikasi satu lagi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan, Tetapi Menerangkan.

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” ~Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith ini, seorang lelaki melakukan beberapa  kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang. Namun Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:
  
"Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)"
Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)

Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa  dirinya dimalukan di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak  jatuh.

Oleh kerana pelajar tersebut tidak memakai songkok dan stokin, saya berkata, “Ustazah suka melihat kamu memakai songkok. Pakaian kamu akan kelihatan lebih kemas dan rapi sekiranya kamu memakai songkok.”
  • Saya tidak memarahi pelajar itu dengan berkata, “Kamu tidak pakai songkok. Perbuatan kamu ini salah. Kamu telah melanggar peraturan sekolah.” (SALAH)
  • Saya tidak menasihati pelajar itu supaya tidak mengulang kesalahan yang sama dengan berkata, “Lain kali, jangan tidak pakai songkok lagi. Nanti saya akan bawa kamu jumpa guru besar.” (SALAH)
  • Saya juga tidak bertanya apa-apa soalan bagi menyiasat kesalahan pelajar tersebut dengan berkata, “Kenapa kamu tidak pakai songkok?”, “Mengapa kamu ini selalu sangat tidak pakai songkok?” (SALAH)
Tiba-tiba pelajar tersebut menyambung kata-kata saya, “Kalau pakai stokin mesti lebih bagus kan ustazah. Nanti masa perhimpunan, saya tidak akan didenda lagi.”

Saya mengangguk membenarkan kata-katanya. Sebelum menuruni tangga, sempat dia berkata, “Ustazah, rehat nanti saya akan datang lagi untuk berbual dengan ustazah. Saya akan pakai songkok dan stokin.”

“Baik. Ustazah tunggu kamu.” Balas saya sambil menghadiahkan senyuman yang paling manis buatnya.

Sebenarnya, pelajar tersebut adalah pelajar tegar tidak bersongkok di sekolah. Setiap kali perhimpunan sekolah diadakan, dia akan ditarik oleh pengawas sekolah supaya berdiri di hadapan perhimpunan kerana kesalahan tidak bersongkok. Sudah berulangkali dia didenda berdiri di hadapan perhimpunan sekolah dan kadangkala dicubit perut oleh guru disiplin, namun dia masih juga liat mahu bersongkok.

Saya tidak mengenali namanya kerana dia bukan pelajar darjah lima. Saya hanya mengenal wajahnya lantaran dia berulangkali berdiri di perhimpunan sekolah kerana kesalahan tidak bersongkok. Kami baru berbaik-baik sejak pertemuan pertama di pejabat beberapa bulan yang lalu.

Ketika itu, dia berlegar-legar di ruang pejabat tanpa tujuan. Melihat saya duduk di meja sendiri, dia datang menegur. Tegurannya disambut baik. Kami berbual beberapa perkara. Saya tidak menegur perbuatannya yang tidak bersongkok dan berlegar di pejabat tanpa tujuan. Sebaliknya hanya mengaplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan sama seperti situasi di atas. Hasilnya, semasa perhimpunan sekolah petang hari itu, dia tidak didenda lagi atas kesalahan tidak bersongkok.

Barangkali, kerana saya jarang bertemu dengannya, dan jarang dapat mengaplikasi Teknik Nabi kepadanya, dia tetap mengulang kesalahan yang sama. Di hari-hari perhimpunan sekolah seterusnya dia masih tetap didenda atas kesalahan yang sama.

Pada waktu rehat petang hari Jumaat itu, dia datang lagi menunaikan kata-katanya. Kali ini, dia datang lengkap bersongkok dan berstokin. Saya memujinya menggunakan Format Pujian Nabi. Pujian saya berbunyi, “Wah, bagus! Ustazah suka melihat kamu bersongkok. Tentu kamu tidak akan dihukum lagi kerana telah memakai songkok.” (Baca Teknik Format Pujian Nabi di sini)

Dia hanya tersenyum-senyum mendengar pujian saya. Saya mempelawa dia duduk bersama di meja. Makanan yang dibekalkan suami pada hari itu saya hidangkan di atas meja. Saya menjemput dia makan bersama. Dia sangat teruja.

Semasa makan, kami berbual bercerita pelbagai perkara. Barulah saya tahu bahawa dia salah seorang pelajar kelas corot bagi tahun empat. Kawan-kawannya yang kebetulan mahu pergi ke perpustakaan juga menyinggah di meja saya. Saya ajak mereka semua makan bersama. Jelas kelihatan di wajah mereka rasa terkejut. Mungkin hairan bagaimana rakannya boleh mendapat layanan istimewa daripada seorang guru.

Kami berbual lagi. Di hadapan kawan-kawannya saya disua pertanyaan, “Ustazah, kenapa ustazah tak garang macam guru-guru lain? Ustazah tidak marah-marah saya tidak pakai songkok dan stokin.”

Saya menjawab, “Kerana Nabi tidak pernah memarahi atau memukul orang yang buat salah. Nabi buat baik pada semua orang tidak kira orang itu orang baik atau tidak. Ustazah mahu ikut Nabi, kerana itu ustazah tidak mahu marah-marah dan pukul kamu.”

Dia dan rakan-rakannya memandang saya lama setelah mendengar jawapan tersebut. Ketika berdiri mahu menghadiri perhimpunan sekolah, dia berkata, “Ustazah, salam. Saya mahu turun ke perhimpunan. Nanti ustazah turun ya. Saya dan kawan-kawan tunggu ustazah.”

Saya mengangguk kepala. Baru beberapa langkah berjalan, dia memanggil saya. Katanya, “Ustazah, kalau ustazah emak saya, saya akan peluk Ustazah sekarang.”

Kalbu saya dibuai sayu dan keharuan. Walaupun bayang pelajar tersebut telah hilang di pandangan, kata-katanya masih terngiang-ngiang. Benarlah Teknik Nabi ini mukjizat. Pelajar corot itu apabila dilayan mengikut perlakuan Nabi, menatijahkan impak yang tidak dapat dijangkakan. 

Pelajar corot ini menjadi sangat istimewa apabila dilayan dengan cara yang betul

Ustazah Siti Khadijah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...