Wednesday, February 15, 2012

Cubaan Menghafal 15 Ayat

Hari ini saya masuk mengajar kelas tahun lima yang paling corot; 5 Ali. Menurut pengamatan saya sepanjang dua minggu bertugas, pelajar-pelajar kelas ini sangat sukar menyiapkankan kerja sekolah apabila diberikan oleh guru. Sekiranya mereka melakukannya pun, ramai yang membuatnya separuh jalan. Buku tidak dihantar kepada guru. Satu perkara yang lebih sukar ialah, mereka sangat tidak suka menghafal. Alasannya, ‘menghafal itu susah’ biarpun alasan sebenarnya adalah mereka tidak minat. 


Pada hari ini, saya mengajar mata pelajaran Hafazan dan Tauhid. Sepatutnya, pada minggu ini mereka sudah menghafal sehingga 15 ayat. Semasa mahu mentasmik, iaitu mendengar bacaan murid, tiada sesiapa yang berani tampil menghafal 15 ayat. 

Dalam ramai-ramai pelajar kelas 5 Ali, ada dua orang pelajar yang boleh tahan nakalnya. Kalau saya mengajar, beliau akan berdiri dan mengusik kawan-kawannya. Kadangkala beliau akan bertawaf mengelilingi meja saya. Namanya Fathillah. Beliau dikenali dengan nama Fatah. Saya meminta supaya beliau tasmik juga hafalannya, meski katanya beliau belum menghafalnya. 

Semasa menghafal surah Al-Insyiqaq, beliau tergagap-gagap. Banyak juga ayat yang salah dibaca. Tetapi semuanya cukup 15 ayat. Sebaik sahaja selesai tasmik, saya memujinya dengan berkata, “Bagus Fatah. Ustazah sangat kagum dengan cara kamu menghafal. Meskipun kamu mengatakan kamu tidak hafal, dan kurang lancar, kamu berani mencubanya. Ustazah yakin, sekiranya kamu ada sifat berani menghafal sebegini, kamu akan dapat menghafal keseluruhan surah ini. Dan kita akan berpindah ke surah-surah lain pula selepas ini.” 

Fatah tersenyum. Kebetulan ketika itu, ada gula-gula lollipop dalam handbag saya. Saya hadiahkan kepadanya. Beliau begitu gembira dan bersemangat sekali. Selepas itu, rakan di sebelahnya yang bernama Awang turut tampil ke hadapan mentasmik ayat 1-15 surah al-Insyiqaq, biarpun masih merangkak-rangkak. Sebaik tamat waktu mengajar, mereka datang sekali lagi kepada saya mentasmik bacaan surah al-Insyiqaq ayat 1-15 dengan lancar. 

Inilah Fathillah (yang tersenyum nampak gigi) dan rakannya Awang.
Dengan Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad, pelajar paling corot pun boleh jadi pelajar paling cemerlang!

Ustazah Siti Khadijah


p/s: Saya baru mengetahui apabila guru-guru bergosip, rupa-rupanya kelas 5 Ali adalah kelas paling corot.



3 comments:

  1. Hehehe.... Alangkah sukanya saya membaca laporan puan ini. Bertambah suka saya merenung gambar si Fatah Gigi Kapak itu. Berkali-kali saya tengok mukanya. Memang nampak jelas kenakalannya!

    Laporan puan ini membaeri gambaran seolah-olah teknik pujian Nabi Muhammad itu mempunyai kuasa magis ke atas kanak-kanak nakal itu.

    Mohon puan letakkan watermark ustazahsitikhadijah.blogspot.com itu di sudut bawah gambar, supaya gambar tidak 'cacat'....

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah ... terhibur bila membaca setiap entri Ustazah ... masih ada rupanya guru yg mursyid .. teruskan usaha, moga sentiasa diberkatiNYA.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puan Ainon: Benar Puan. Memang benar-benar magis teknik Nabi ini. Baik Puan. Entri-entri selepas ini akan saya letakkan di bahagian bawah.

      Tiang Seri: Terima kasih atas sokongan. Saya amat hargainya. ~Ustazah Siti Khadijah

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...